SEDERHANA DALAM ISLAM


Umumnya sebahagian ulama hari ini mentafsirkan kesederhanaan itu ialah 50-50. Dengan istilah yang masyhur itu, iaitu fifty-fifty, mereka pun membenarkan hal-hal seperti berikut berlaku dalam masyarakat umat Islam.
1. Campur-aduk antara hal-hal yang membawa dosa dengan pahala. Yakni antara maksiat dan amal soleh.
2. Tidak boleh ekstrim dalam beragama. Iaitu tidak boleh ikut l00% ajaran Islam itu. Ikut setakat mana yang tidak bercanggah dengan adat resam atau budaya orang Melayu.

3. Mengimbangkan amalan dunia dengan Akhirat iaitu untuk dunia 50% dan Akhirat juga 50%.

Dengan konsep fifty-fifty ini, maka berlakulah apa yang telah berlaku sekarang, iaitu:

1. Umat Islam pergi ke masjid tapi pergi juga ke panggung wayang. Pergi ke Makkah tetapi pergi juga ke disko. Puasa tetapi dedah aurat. berzakat tapi ambil , riba Mereka buat amal soleh tetapi mereka juga buat maksiat. Mereka baik, tetapi jahat. Kalau siaran tv di Malaysia, selepas menyiarkan azan, disiarkan pula persembahan rock. Bila ada orang yang serius beragama, dituduh ketinggalan zaman. Wanita berpurdah dikatakan ekstrim. Siapa sembahyang sunat lebih sikit dibimbangi tinggal dunia. Isteri yang taat suami dianggap bodoh dan melulu. Makan dalam dulang dituduh pengotor. Hidup cara Sunnah digelar ortodoks. Asyik dengan Al Quran dikatakan gila. Berzuhud dianggap anti establishment.



Pendek kata, kalau ajaran Islam diamalkan lebih dari yang biasa diamalkan oleh kebanyakan orang, ia sudah dikatakan ekstrim. Itu belum lagi buat 100%. Yang mereka mahu ialah sederhana. Katanya, “Sembahyang sunat jangan banyak sangat, macam biasalah”, “Pakai jangan teruk sangat sampai tak nampak hidung. Baju kurung dan mini telekung sudah cukup”, “Jangan tunduk saja, pandang-pandanglah perempuan, berbual-bual dengan mereka”. Begitu juga perempuan, “Jangan serius sangat, bergelak ketawalah dengan kawan-kawan lelaki (ajnabi), nanti tak berukhuwah dan tak pandai bermasyarakat pula.” 

Timbul anggapan bahawa dengan Akhirat kita kena bersederhana saja. Dunia mahu juga, kata mereka. Kata-kata ini didasarkan pada apa yang mereka faham dari Hadis: Beramallah untuk Akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari. Dan beramallah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. (Riwayat lbnu Asakir)

Mereka kata, Rasulullah suruh buru dunia dan Akhirat. Maka mereka pun burulah dunia sampai terlupakan Akhirat atau dikemudiankan hal-hal Akhirat. Mereka bekerja bertungkus-lumus sampai tinggal sembahyang. Mereka berniaga ke hulu ke hilir, tidak kira halal haram. Mereka bangunkan dunia semahu-mahunya dengan segala peralatan mewah, rumah banglo atau istana, kereta besar dan lain-lain lagi, hinggakan Akhirat seolah-olah tidak wujud lagi. Orang-orang yang mahu 50% dunia 50% Akhirat ini, umumnya kita lihat terperangkap dalam dunia 100% hingga Akhirat tinggal 0%. Kalau ada juga amalan Akhirat, itu pun ‘diduniakan’nya. Belum pernah kita lihat seorang yang benar-benar buat 50% dunia, 50% Akhirat. Yakni masanya 50% untuk urusan dunia, 50% lagi untuk Akhirat. Hartanya 50% untuk dunia, 50% untuk Akhirat. Fikirannya 50% dunia, 50% Akhirat. Wang ringgitnya 50% dunia, 50% Akhirat. Ya, nampaknya tidak jadi begitu. Kalaulah berlaku begitu,boleh tahan juga. Tetapi apa yang berlaku, umat Islam karam dan tenggelam dalam tipuan dunia. Bergelumang dengan berbagai-bagai bentuk maksiat. Kerana itulah kita tidak boleh terima konsep kesederhanaan itu, sepertimana yang difahami dan diamalkan dalam masyarakat kini. Sebab ianya telah membawa umat ke satu bentuk kehidupan yang bertentangan dengan kehendak Islam itu sendiri. Umat Islam kini seolah-olah menganut agama yang bercampur-aduk. Tidak tulen Islam, sebagaimana yang telah diamalkan oleh Rasulullah dan salafussoleh.

Pada kita, orang yang mengatakan, “Saya ni masjid pergi, panggung wayang pun masuk juga. Agama, agamalah tapi dunia jangan lupa. Minyak dengan air tak bercampur” samalah halnya dengan orang yang mengatakan: “Saya makan daging lembu. Tapi tahi lembu pun makan juga. Daging, daginglah, tahinya pun perlu juga. Masing-masing ada gunanya.” Sebab, dalam Islam, ibadah dan hiburan semuanya mesti dibuat kerana ALLAH, mengikut landasan syariat, yakni tidak membawa kepada haram atau makruh. Seorang yang beribadah, boleh juga berhibur. Dengan syarat hiburan itu, hiburan yang dibenarkan oleh Islam. Yakni sebarang bentuk nyanyian, lakonan, puisi, drama, filem dan lain-lain yang dipersembahkan mestilah di atas lima syarat iaitu:

1. Niat kerana ALLAH.
2. Sah menurut syariat.
3. Perlaksanaannya sah menurut Islam.
4. Natijahnya baik.
5. Tidak meninggalkan sembahyang dan lain-lain ibadah yang asas.





Seorang yang patuh pada ALLAH dan Rasul, sesudah melakukan semua suruhan ALLAH, sentiasa pula menjaga dirinya dari melakukan perkara-perkara yang dimurkai ALLAH, iaitu perkara-perkara maksiat yang haram atau makruh. Contohnya, dedah aurat, bergaul bebas, bohong, tipu, mengumpat, berzina, terlibat dengan riba, rasuah, ambil dadah, membazir, menyalahgunakan kuasa dan lain-lain lagi. Seorang yang melakukan semua itu atau salah satu darinya, dikira berdosa dan derhaka. Iman dan Islamnya rosak dan cacat. Dia akan dimurkai oleh ALLAH, diazab dengan Neraka atau ALLAH benci padanya. Sebab itu seorang Islam tiada alasan untuk merelakan dirinya terjebak dalam sebarang maksiat dan dosa. Sebab itu kalau orang berkata, dia pergi masjid dan pergi juga panggung wayang, ertinya dia bukan seorang Islam yang tulen. Yang sebenarnya, dia menentang ajaran Islam. Dia mencampurkan yang hak dengan yang batil. Yang suci dengan najis. Jangan anggap fahaman inilah sebenarnya kesederhanaan dalam Islam. Dia ini penghuni Neraka. 

Buktinya, bacalah firman ALLAH ini: Orang-orang yang mengungkap kata-kata seperti di atas itu, pada saya membuat dua kesilapan. Pertama, dengan kata-kata itu mereka telah menafikan firman ALLAH: 

Sesungguhnya sembahyang itu mencegah perbuatan keji dan mungkar. (Al Ankabut: 45)

ALLAH berkata orang yang benar-benar sembahyang tidak akan melakukan sebarang bentuk perbuatan keji dan mungkar (dosa dan maksiat). Maknanya, orang yang ke masjid, dia tidak akan ke panggung wayang. Tetapi kalau ada yang ke masjid, masih pergi juga ke tempat maksiat, itu pada hakikatnya mereka tidak sembahyang. Sembah-yang mereka tidak betul. Pokok tidak berbuah.

Sedangkan ALLAH sangat marah pada orang-orang yang sembahyangnya penuh kelalaian atau orang yang sembahyang tetapi masih buat maksiat ini. Firman ALLAH: 

Neraka Wail bagi orang yang sembahyang, yang mereka itu lalai dalam sembahyangnya.(Al Ma’un: 4-5)

Orang yang sembahyang tetapi tidak menunaikan janji-janjinya dengan ALLAH sepertimana yang dilafaz dalam sembahyang itu, sebaliknya masih melanggar janji-janjinya itu dengan melakukan maksiat dan kemungkaran kepada ALLAH, tempatnya di Neraka Wail. Wal’iyazubillah.

Kesilapan kedua ialah menganggap dalam Islam tidak ada hiburan. Seolah-olah Islam itu ajarannya berat-berat saja, serius semuanya. Tiada yang ringan-ringan, yang menghibur dan meredakan ketegangan jiwa dan fikiran. Itu adalah anggapan yang salah Islam itu ‘complete way of life’ sesempurna-sempurna cara hidup. Mana mungkin Islam tidak benarkan berhibur kalau ia sempurna atau syumul?

Hiburan dalam Islam cukup luas. Cuma sayang umat Islam tidak mengusahakannya. Orang bukan Islam yang buat. Umat Islam tiru dan ikut sahaja. Sebab itu panggung wayang penuh dengan maksiat. Kalau umat Islam dapat buang maksiat dalam panggung wayang, ganti dengan perkara yang halal dan suci, maka di waktu itu pergi ke panggung wayang untuk berhibur-hibur adalah ibadah kepada ALLAH SWT.

Seterusnya pandangan tentang anggapan atau tuduhan ‘pelampau’ kepada orang-orang ‘yang serius beragama. Yakni yang melaksanakan perintah ALLAH sungguh-sungguh dan lebih banyak dari biasa. Yang mana kadang-kadang golongan ulama pun tersasul mengatakan ekstrim kepada mereka yang bersungguh-sungguh beragama itu. Tak usahlah berlebih-lebih sangat. Buat macam biasa dah cukup. Islam suruh bersederhana dalam semua hal. Demikianlah komen sebahagian alim ulama. Mereka menganggap sederhana itu ialah beramal sikit atau separuh sahaja dari ajaran Islam. Kalau buat semua, itu ekstrim namanya.
Sederhana dalam Islam bukan ertinya mengurangkan amalan-amalan yang diperintahkan oleh ALLAH dan Rasul-Nya. Contohnya, seorang yang sembahyang sunat beratus-ratus rakaat banyaknya, jauh lebih banyak daripada bilangan rakaat yang biasa dibuat oleh umum umat Islam hari ini, itu bukanlah seorang yang ekstrim. Tetapi dialah orang yang terbaik daripada orang lain, di sudut itu. Kerana dia mampu melaksanakan semua sembahyang sunat yang ada diperintahkan oleh ALLAH dan Rasul. Sunat Rawatib, sunat Awwabin, sunat Wudhuk, sunat Dhuha, sunat Isyraq, sunat Tahajjud, sunat Hajat, sunat Tasbih, sunat Witir, sunat Tarawih, sunat Mutlak dan bermacam-macam jenis sembahyang sunat lagi. Yang mana kalau semua itu dibuat, memang boleh sampai beribu rakaat. Sebab tiap satu sembahyang sunat itu bukan setakat dua rakaat sahaja tetapi lebih daripada itu. Ada dua belas, ada lapan, ada enam, ada dua puluh, ada tiga dan ada yang tanpa limit, boleh buat seberapa banyak yang sanggup.

Kalaulah orang yang buat semua jenis sembahyang sunat ini sebagaimana yang dikehendaki oleh ALLAH, sehingga beratus-ratus rakaat, dia dikatakan ekstrim, pelampau atau sebagainya, jadi untuk apa ALLAH perintahkan bermacam-macam jenis sembahyang itu semua? Kalaulah hal itu dikatakan melampau, mengapa ALLAH perintahkan? Sedangkan kita yakin, perintah ALLAH itu adalah sebaik-baik kalimah. Jadi tuduhan melampau kepada orang-orang yang bersungguh-sungguh beramal itu sebenarnya tidak adil dan tidak tepat. Kata-kata tersebut bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenarnya. Kata-kata itu bukan dari ALLAH dan Rasul. Maka sesiapa yang masih menuduh pelampau itu, dia sebenarnya bermusuh dengan ALLAH dan Rasul-Nya.

Contoh lain, juga dikatakan ekstrim kepada seseorang yang berkorban berhabis-habisan untuk jihad fisabilillah. Umpamanya untuk membangunkan projek-projek pembangunan tamadun Islam. Yang orang itu asalnya hidup meriah tetapi jadi zuhud sekali kerana memberi kekayaan pada jemaah Islam. Sebaliknya, dia dikatakan pelampau kerana telah berkorban lebih dari apa yang orang lain biasa lakukan. Dia disuruh bersederhana iaitu dengan mengurangkan pengorbanan harta di jalan ALLAH supaya serupa seperti yang orang ramai lakukan. Dan supaya dia masih nampak kaya dan mewah hidupnya, jangan sampai hidup susah, hanya kerana terlalu banyak berkorban ke-pada Islam. Itu bodoh namanya, kata orang-orang yang menuduh itu.

Sebagai jawapan tentang persoalan ini, mari kita lihat pengorbanan Rasulullah dan para Sahabat. Dengan iman dan taqwa yang terlalu tinggi, Rasulullah bukan sahaja harta bendanya habis dikorbankan kepada ALLAH, tetapi makanan yang berlebih waktu malam pun tidak disimpan untuk pagi. Baginda akan sedekahkan pada orang yang memerlukan pada malam itu juga. Atas dasar, baginda tidak yakin yang esoknya baginda masih hidup. Baginda tidak mahu mati dalam keadaan masih ada harta ALLAH yang disimpan untuk peribadinya. Sayidina Abu Bakar As Siddiq bukankah kerana iman yang bulat, telah berkorban seluruh hartanya pada perjuangan Islam? Rasul terkejut dan lantas bertanya, “Apa lagi yang tinggal untukmu dan keluarga?” Jawab Sahabat itu, “Cukuplah ALLAH dan Rasul-Nya untukku.”
Ekstrimkah mereka itu? Bukankah sikap atau Sunnah Rasul itu adalah contoh teladan dan ikutan kita? Siapa yang berkata, “Itu Rasul, bolehlah!” nyatalah ia berbohong kerana mengatakan perbuatan Rasul itu khusus untuk peribadinya, bukan untuk dicontohi oleh umatnya. Kalau kita masih mahu menganggap orang-orang yang berhabis-habisan harta benda di jalan ALLAH itu ekstrim, ketahuilah bahawa kita seolah-olah berkata, “Rasul dan para Sahabat itu ekstrim dalam beragama.” Kalau begitu nampaknya kita lebih hebat dari Rasulullah dalam cara ber-agama. Masya-ALLAH, ucapan ini boleh merosakkan aqidah. Wal’iyazubillah. Tetapi pelik, kalau ada orang berhabis-habisan harta dan wang gajinya untuk tunangnya atau untuk perem-puan simpanan atau untuk girl friendnya, tidak pula terdengar tuduhan ekstrim ini. Bahkan itu pula dianggap hebat dan patut diberi simpati. Hingga tidak segan-silulah orang itu meneruskan pengorbanannya yang sia-sia. Kerana dirasakan itulah pengorbanan yang suci dan patut dilakukan.

Padahal dengan ALLAH-lah manusia sepatutnya berhabis-habisan. Kerana apa yang kita harap dari ALLAH, jauh lebih besar nilainya daripada apa yang kita inginkan pada seorang perempuan. Tetapi malang, hal itu tidak dibenarkan berlaku. Kerana fikiran umat sudah terbalik. Yang baik dituduh jahat, yang jahat dikatakan baik. Perintah ALLAH dan Rasul dipertikaikan. Perintah nafsu yang diperturut dan dibenarkan. Hanya mukmin yang bertaqwa yang dapat keluar dan bebas dari belenggu dunia yang sudah terbalik ini. Contoh lain tuduhan ekstrim yang dibuat ialah tentang pemakaian purdah dan serban. Wanita yang menutup seluruh auratnya dikatakan pelampau. Sebaliknya yang elok ialah pakaian-pakaian yang biasa dipakai oleh orang Melayu. Itulah sederhana namanya. Orang Melayu pakai kopiah atau songkok sudah cukup, tidak payah pakai serban ke hulu ke hilir. Itu sikap yang ekstrim, konon katanya.



Walhal Islam tidak berkata begitu. Rasulullah SAW berjubah serban. Isteri-isteri baginda dan wanita-wanita beriman di zamannya memakai purdah. Yakni pakaian yang paling tepat untuk menutup aurat wanita. Ia bukannya keterlaluan atau melampau kalau diukur dengan ilmu kebenaran atau pandangan umum. Akal dan nafsu kita yang jahil dan jahat sahaja yang mengandaikan yang bukan-bukan terhadap ajaran Islam itu. Mata lahir kita saja yang rasa sakit dengan purdah. Sebab mereka sudah biasa dengan pakaian Melayu yang tidak sempurna itu. Walhal bila mereka sudah biasa pula dengan purdah, mereka akan merasa cantik pula berpurdah. Alah bisa tegal biasa, kata pepatah Melayu.

Dulu-dulu waktu wanita Melayu berselubung dengan kain batik sewaktu mereka keluar berjalan-jalan, cuma nampak mata saja, ia dibenarkan. Maka tidak ada sebab purdah perlu ditentang. Ia tidak menghalang kebebasan dan keselesaan wanita bekerja. Buktinya boleh dilihat pada wanita-wanita purdah yang sudah ramai kini. Mereka aktif bergerak memperjuangkan agama ALLAH dalam apa saja bidang yang sesuai dengan mereka. Ada di kalangan mereka yang sudah pergi ke merata negara di dunia untuk berdakwah dan ziarah. 

Habis mengapa timbul fahaman 50-50? Mengapa diselewengkan maksud Rasulullah dengan begitu berani sekali? Ada tiga sebab mengapa terjadinya demikian, dan ketiga-tiga sebab itu adalah terbit dari tiga golongan yang berbeza-beza hal keadaannya, iaitu: Kerana tidak faham. Oleh kerana kekurangan ilmu agama maka mereka tidak faham perkara sebenarnya, tentang konsep kesederhanaan itu. Mereka ingat betul-betullah Rasulullah suruh samakan kerja dunia dan kerja Akhirat. Mereka ingat betullah bahawa orang yang sembahyang sunat banyak-banyak atau yang serius beragama itu dikatakan melampau. Jadi pada mereka konsep fifty-fifty itu memang dikira benar. Kerana menjaga kepentingan diri. Golongan ini sebenarnya faham bahawa dunia dan Akhirat tidak boleh disamakan seperti fifty-fifty itu. Sebab Akhirat jauh lebih besar dari dunia. Mana boleh disamakan. Sepertimana tidak bolehnya disamakan busut dengan gunung. Yang satu dihadapi dengan cangkul sahaja, manakala yang satu lagi dengan buldozer. Mereka, para ulama itu, faham sebenarnya sikap fifty-fifty itu salah. Tetapi kerana menjaga periuk nasi, maka didiamkanlah kesalahan tersebut, bahkan turut sama dipraktikkan. Mereka lebih hendak menjaga hati tuan-tuan besar daripada hendak menjaga ALLAH dan Rasul. Kerana dirasanya ‘tuan’nya lebih berjasa dan
berkuasa mernberinya rezeki daripada ALLAH SWT. Maka disambunglah lidah tuan-tuan mereka. Lalu mereka pun dipuji oleh tuan-tuan mereka itu sebagai ulama berdedikasi, dinamis dan berfikiran iuas. Berbanggalah pula para ulama rasmi dengan pujian itu hingga lalailah mereka dan jauhlah mereka dari ALLAH dan Rasul-Nya.

Kerana ingin menutup kelemahan diri, yang mana orang-orang alim itu merasakan mereka tidak faham maksud Rasulullah yang sebenarnya dalam Hadis: Sebaik-baik pekerjaan itu ialah pertengahan. Iaitu Rasulullah suruh berusaha untuk dunia sesuai dengan umur dunia dan bekerja untuk Akhirat sesuai dengan umur Akhirat. Tetapi bukan senang hendak berkorban berhabis-habisan untuk Akhirat. Sebab mereka terlalu cinta dunia hingga tidak cintakan Akhirat. Lalu demi untuk menyelamatkan keadaan itu, mereka pun membohongi ALLAH dan Rasul dengan membenarkan konsep fifty-fifty itu. Dengan itu sikap bakhil dan tamak serta cinta dunia mereka itu dengan sendirinya terlindung. Begitulah halnya mengapa tercoraknya umat Islam dengan segala kesilapan dan kelemahannya pada hari ini. Moga-moga dengan penerangan ini kita dapat kembali menjadi satu bangsa yang gagah yang cinta Akhirat lebih dari cintakan dunia. Kerana cintakan Akhirat itulah rahsia kemajuan yang dituntut dalam Islam.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah