Kalau dari pandangan mata
terhadap gunung-ganang, lautan dan daratan, langit dan bumi,
tidak terasa kuasa Tuhan.
Jika setiap peristiwa dan kejadian,
tidak terasa kebesaran-Nya.
Setiap nikmat tidak terasa anugerah Tuhan.
Kejadian malam dan siang tidak terasa pentadbiran dan bijaksana-Nya.
Orang yang senang tiba-tiba jadi susah.
Orang yang susah tiba-tiba jadi senang.
Tidak terasa ketentuan Tuhan.
Orang yang hina jadi mulia, yang mulia jadi hina.
Tidak terasa Qudrat dan Iradat Tuhan.
Air banjir, gunung berapi, gempa bumi melenyapkan sekelip mata apa yang ada.
Tidak terasa lagi hebatnya Tuhan, kemampuan, Jabbar dan Qahhar-Nya.
Kematian yang berlaku setiap hari tidak diambil pengajaran.
Apakah lagi yang boleh membangunkan jiwa manusia dari tidurnya?
Apakah lagi yang boleh menyedarkan jiwa manusia dari kelalaiannya?
Apa lagi agaknya dan macam mana lagi gerangannya untuk menginsafkan manusia?
Memang tidak ada jalan lagi buat manusia.
Segala lorong dan jalan telah buntu.
Untuk manusia menempuh jalan kebenaran.
Hati memang telah buta.
Lebih-lebih lagi hati nuraninya telah mati.
Segala yang dilihat daripada berbagai-bagai peristiwa.
Tidak merasa apa-apa.
Perasaan dan sensitivitinya sudah tiada.
Macamlah anggota lahir yang lumpuh.
Apa sahaja yang disentuhnya sudah tidak terasa apa-apa.
Inilah akibatnya tidak menjaga mata kepala.
Menjadikan mata hati buta atau mati.
No comments:
Post a Comment