Islam tidak akan tegak kecuali melalui jihad atau perjuangan. Namun
bukan mudah untuk memperjuangkan kebenaran. Sebelum melangkah ke gelanggang
perjuangan terlebih dahulu mesti memiliki ilmu dan kefahaman tentang
perjuangan.
Betapa susahnya perjuangan menegakkan kebenaran itu kerana kebenaran
itu amat mahal dan tinggi nilainya. Sedikit sahaja di kalangan umat Islam ini
yang mampu perjuangkan kebenaran kerana untuk memiliki ilmu dan memahami segala
liku dan selok-belok perjuangan itu sudah amat sukar, betapalah untuk menempuh
perjuangan itu sendiri.
Kita sudah terlalu jauh dari kehidupan perjuangan Rasulullah SAW
dan para Sahabat. Tiada siapa yang berupaya mentafsirkan erti perjuangan itu
secara tepat. Masing-masing ada berbagai fahaman dan tafsiran. Kalau dalam pentafsiran
perjuangan itu sudah pelbagai, maka dalam perlaksanaan juga sudah pasti berbeza
dan kadang-kadang bercanggah antara satu pihak dengan pihak lain atau satu puak
dengan puak lain. Lebih parah lagi apabila masing-masing pihak mempertahankan
bahawa takrif perjuangan pihak merekalah yang paling tepat lantas mempertikaikan
pula pengertian dan cara pihak lain.
Akibatnya bukan saja Islam tidak tegak bahkan semakin runtuh
kerana berlakunya krisis di kalangan pihak yang hendak memperjuangkan Islam
itu. Sebab itu, tidak hairan di mana saja di dunia ini umat Islam terhina. Ini
kerana tidak mendapat pembelaan Tuhan. Tuhan tidak bela dan tidak bantu para pejuang
Islam kerana kaedah yang dibawa sudah tidak menepati kehendak Tuhan dan sudah
jauh menyimpang dari cara yang pernah ditempuh oleh Rasulullah SAW dan para
Sahabat.
Kebenaran (Islam) itu datangnya dari Tuhan. Tuhan jugalah yang
berhak untuk memenangkan agama-Nya. Sepanjang sejarah perjuangan kebenaran, di
tangan para rasul, Tuhan angkat martabat kebenaran itu mengatasi yang lain.
Tuhan yang mengilhamkan kepada para rasul bagaimana kebenaran itu mesti
diperjuangkan. Di zaman tiada lagi rasul, Tuhan tetap agungkan agama-Nya
di tangan para pemimpin berwatak rasul. Itulah dia para mujaddid yang diutus
oleh Tuhan setiap 100 tahun dan dilahirkan di awal kurun. Kepada para mujaddid
inilah Tuhan ilhamkan kaedah tajdid hingga Islam itu kembali gemilang.
Kalau bukan di tangan mereka, Islam hanyalah ibarat bara saja. Tidak
padam tetapi tidak menyala. Para mujaddid atau para pemimpin berwatak rasul
inilah yang paling faham tentang jihad dan paling tepat tafsiran dan kaedah
perjuangan. Dan di tangan merekalah dijanjikan kemenangan. Memperjuangkan kebenaran
yang pertama dan utama ialah memperjuangkan Tuhan hingga Tuhan dikenali,
diagungkan, dibesarkan, ditakuti, dicintai dan dirasai segala-galanya dalam hidup
manusia. Apabila manusia mendapat Tuhan barulah syariat Tuhan serta yang
lain-lain itu ada nilai di sisi Tuhan. Andainya Tuhan tidak diperjuangkan maka
syariat Tuhan sama saja seperti ideologi. Ini kerana agama mesti ada hubungkait
dengan Tuhan.
Selain itu sekiranya Tuhan tidak ditakuti dan dicintai, syariat
Tuhan amat mudah terabai dan terbarai. Apabila Tuhan tidak diutamakan, tidak
dibesarkan, tidak diagungkan, tidak memiliki rasa bertuhan, maka syariat Tuhan
juga turut dipandang remeh. Syariat sering diamalkan mengikut selera atau
mengambil aspek-aspek yang menguntungkan. Kadang-kadang apabila menghadapi risiko,
amat mudah mengenepikannya sahaja.
Kesimpulannya, aspek-aspek lain seperti keadilan, perpaduan, hukum-hakam
menghapuskan kemungkaran dan kezaliman, akan menjadi mudah dilaksanakan,
diamalkan dan dihayati setelah Tuhan itu terlebih dulu diperjuangkan. Segala syariat
Tuhan sama ada yang berbentuk perintah mahupun larangan akan dirasai cantik dan
indah untuk diamalkan. Perkara- perkara kecil dan remeh pun bernilai tinggi di
sisi Tuhan dan seronok untuk diamalkan. Betapalah ajaran-ajaran Tuhan yang
besar-besar.
Tuhan ciptakan manusia berserta dua peranan iaitu sebagai hamba
dan khalifah. Sebagai hamba, Tuhan perintahkan manusia agar benar-benar kenal
penciptanya iaitu Tuhan, mengagungkan Tuhan, membesarkan Tuhan, merasakan Tuhan
segala-galanya. Sehingga dengan itu benar-benar memiliki jiwa tauhid, iaitu
rasa takut dan cintanya kepada Tuhan amat mendalam serta tidak lekang dari
hati. Amat merasai kehebatan Tuhan. Amat merasai Tuhan Maha Pengasih, Maha
Penyayang, Maha Berkuasa dan sebagainya.
Kesan dari itu rasa bertuhan amat mendalam seperti rasa takut,
gerun, cemas, bimbang, cinta, mengharap, rasa Tuhan tempat bergantung serta
merasai Tuhan itu segala-galanya serta keperluan paling utama. Sehingga dirasai
mendapat Tuhan mendapat segala-galanya, kehilangan Tuhan dirasakan kehilangan segala-galanya
dalam hidup. Sekaligus rasa kehambaan juga amat mendalam. Rasa lemah, dhaif,
berdosa, derhaka, lalai dan leka. Juga merasa diri tidak upaya dan tidak mampu,
bodoh dan jahil. Yakin bahawa setiap sesuatu kejadian dan peristiwa adalah
kerja Tuhan yang tidak sia-sia dan mempunyai maksud atau hikmah di sebaliknya.
Menerima bahawa setiap sesuatu itu ada maksud baik dari Tuhan yang Maha
Sempurna dan Maha Hebat.
Natijah dari rasa bertuhan dan rasa kehambaan itu menjadikan seseorang
hamba itu benar-benar bertaqwa. Rasa takut kepada Tuhan menjadikan seseorang
itu membenci dan menolak segala kejahatan, kemungkaran lebih-lebih lagilah
sangat membersihkan diri dari sifat-sifat mazmumah yang sangat meracun kehidupan
manusia.
Rasa cinta kepada Tuhan pula menjadi pendorong paling kuat seseorang
hamba itu membawa segala kebaikan, kebaktian, taat dan berbuat kebajikan.
Lebih-lebih lagi dari rasa cinta kepada Tuhan itu menyuburkan segala sifat
positif dan mahmudah. Apabila ini berjaya dikuasai oleh seorang hamba maka
jadilah dirinya selamat dan turut menyelamatkan orang lain.
Peranan kedua yang Tuhan perintahkan kepada manusia ini adalah
sebagai khalifah. Sebagai khalifah, Tuhan perintahkan supaya manusia ini
mentadbir, mengatur, menyusun, membangun, berkemajuan dan mengendalikan segala
urusan kehidupan manusia. Manusia perlukan pendidikan, ekonomi, kebudayaan, politik,
sosial, kesihatan, makan minum, pentadbiran, perhubungan teknologi dan berbagai
lagi. Semua keperluan manusia perlu diatur, ditadbir, dikendalikan sebaik
mungkin. Oleh kerana bumi ini Tuhan punya, maka segala urusan kekhalifahan itu
adalah amanah dari Tuhan. Sekaligus Tuhan mahu ia menjadi alat dan saluran
untuk berbakti kepada Tuhan. Segala urusan kekhalifahan itu mestilah sifatnya
selamat dan menyelamatkan. Mesti mendatangkan kesejahteraan kepada manusia.
Mestilah memberi manfaat kepada manusia itu sendiri.
Apa jaminan bagi mereka yang bertanggung jawab terhadap tugas
dan peranan kekhalifahan boleh mencapai matlamat di atas? Sudah terbukti di
mana saja di dunia ini berlakunya bermacam-macam penyelewengan, pecah amanah,
penindasan, kerosakan dan sebagainya. Di atas nama kemajuan dan pembangunan itulah
manusia berkrisis, berpecah, bermusuh, bergaduh, tindas-menindas, menzalim,
berebut kuasa, gila kuasa, berbunuhan dan berperang. Kemajuan dan pembangunan
sudah hilang manfaatnya, menghapuskan kebahagiaan, keharmonian dan
kesejahteraan manusia. Ini tidak lain dan tidak bukan kerana manusia yang
mengendalikan urusan kekhalifahan itu tidak menyempurnakan bahkan tiada
langsung peranan sebagai hamba. Dengan lain kata, pengurus, pentadbir dan
pengendali urusan kehidupan manusia adalah di kalangan manusia yang tidak kenal
Tuhan, tidak faham kerja Tuhan, tiada rasa bertuhan dan sekaligus tidak ada
rasa kehambaan. Dengan lain kata, manusia yang tidak bertaqwa, manusia yang
subur dengan mazmumah, jahat, derhaka dan mungkar. Sempurnanya peranan seorang
hamba itulah jaminan selamatnya peranan sebagai khlaifah.
Di sinilah buktinya betapa pentingnya taqwa kepada manusia. Orang
yang bertaqwa adalah mereka yang berhimpun sebanyak-banyak sifat mahmudah pada
dirinya. Dan sifat-sifat mahmudah itu pula mestilah pada kategori yang tebal. Perlu
diingat dan difahami bahawa kerja-kerja kekhalifahan itu amat mencabar, banyak
risiko dan kerenahnya. Memikul bebannya mesti berjiwa besar. Orang yang
berperanan sebagai hamba dan berjiwa tauhid saja yang berjiwa besar. Mereka
saja yang mampu sabar, syukur, amanah, jujur, zuhud, tawakal, berkasih sayang,
redha, ikhlas, tawadhuk, rajin, bertanggungjawab dan lain-lain dalam segala
urusan kehidupan.
Sandaran hidup mereka hanya kepada Tuhan. Mereka menjadi orang
yang sangat bersyukur terhadap Tuhan di atas rahmat dan nikmat yang tidak
terhingga, tidak terhitung banyaknya. Di atas nikmat itu mereka juga takut
kalau-kalau tidak pandai dan tidak cukup bersyukur. Ketaatan tidak pula
menjadikan mereka riyak, sombong, sum’ah dan merasa senang, kerana ketaatan itu
belum pasti diterima oleh Tuhan dan belum pasti sampai ke hujung hayat. Lantas
segala ketaatan dan kebaikan dilupakan. Kesusahan yang menimpa tidak menjadikan
hati resah dan rusuh. Kesusahan diterima dengan senang, tenang dan sabar.
Keyakinan tetap mantap bahawa di sebalik setiap kesusahan itu banyak
hikmahnya. Hati sentiasa merintih terhadap kelemahan diri sekaligus
mengharapkan pertolongan dan bantuan Tuhan. Terhadap bala bencana atau musibah
diterimanya dengan redha kerana yakin bahawa tidak bergerak dan diam sesuatu itu
melainkan datangnya dari Allah SWT dengan izin Allah dan dengan kehendak-Nya
yang sudah ditakdirkan. Yakin bahawa Tuhan segala-galanya yang seluruh makhluk
ini dalam genggaman-Nya.
Demikianlah kesan rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang mendalam
dalam diri manusia. Ini juga membuktikan bahawa kepincangan yang berlaku dalam
kehidupan manusia kerana tidak sempurnanya peranan kehambaan bagi digunakan
dalam peranan kekhalifahan. Yakni manusia yang jahat, hati yang subur mazmumah
ini yang menghasilkan kepincangan dalam kehidupan.
Sepintas lalu dapatlah disimpulkan sekiranya semua golongan dalam
masyarakat dapat menyuburkan segala sifat-sifat mahmudah. Hasilnya golongan
pemimpin akan sangat bertanggung jawab dan mendatangkan manfaat kepada manusia.
Golongan kaya sangat membela dan berbakti kepada manusia yang memerlukan. Para
ulama sangat berjasa dalam mendidik manusia. Golongan miskin dan pekerja sangat
sabar dan redha tanpa mencetuskan sebarang masalah. Para suami sangat
bertanggungjawab kepada isteri dan isteri-isteri patuh kepada suami. Anak-anak
mudah dididik dan sangat menghormati ibu bapa dan orang-orang tua. Para wanita
sangat menjaga maruah.
Para remaja menjadi aset kepada agama, bangsa dan negara. Masyarakat
bertuhan bersungguh-sungguh untuk menegakkan keadilan dalam semua aspek bermula
dari diri sendiri, keluarga, masyarakat dan seterusnya. Kasih sayang dan
perpaduan amat mudah tercetus kerana masing-masing sama-sama mencintai Tuhan.
Semua orang sangat melihat kepada cacat cela, kesalahan, kelemahan diri,
mazmumah diri hingga tidak sempat memikirkan kesalahan orang lain kerana
takutkan Tuhan. Kaedah dan pendekatan dalam memperjuangkan kebenaran itu pula
sangat lemah lembut dan penuh dengan kasih sayang. Sehingga dengan itu amat
mudah terbongkarnya fitrah rasa bertuhan di hati manusia. Sangat mudah
menjinakkan hati manusia untuk dididik dan dibawa kepada Tuhan.
Inilah rahsia perjuangan kebenaran yang dibawa oleh orang-orang
Tuhan di sepanjang zaman. Pendekatan yang diwahyukan kepada para rasul dan
diilhamkan kepada para mujaddid. Oleh kerana mereka sangat memperjuangkan Tuhan
maka Tuhanlah yang berhak membela dan memenangkan mereka. Tuhan janji kejayaan
kepada mereka.
No comments:
Post a Comment