Bertempat di Padang Arafah, pada tahun ke 10 Hijrah ketika
mengerjakan Hujjatul Wada’, Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbahnya yang
terakhir (Khutbah Wida’). Baginda bertolak ke Arafah dari Mina setelah naiknya
matahari 9 Zulhijjah. Sebuah khemah didirikan untuk baginda dan baginda masuk
serta berada di dalamnya sehingga tergelincir matahari (waktu zohor).
Selepas itu, baginda pun mengarahkan
disiapkan untanya al-Qaswah, lalu menaikinya sehingga baginda tiba di Wadi
Uranah. Di hadapan baginda, ribuan para sahabat mengelilingi baginda. Semuanya
menanti penuh debar. Apakah ingin disampaikan baginda. Ramainya manusia yang
berhimpun pada haji wida’ itu. Ada riwayat mengatakan jumlahnya mencecah
144,000 orang semuanya.
Baginda pun menyampaikan khutbahnya
yang bersejarah:
“Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan,
beristighfar dan bertaubat kepada-Nya. Kita berlindung dengan-Nya daripada
kejahatan diri dan keburukan amalan kita. Sesiapa yang Allah berikan hidayat
kepadanya, maka tidak ada siapa yang boleh menyesatkannya. Sesiapa yang
disesatkan oleh Allah, maka tidak ada siapa yang boleh memberikan hidayat
kepadanya. Aku menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Esa,
tidak ada sekutu bagi-Nya. Aku menyaksikan bahawa Muhammad adalah hamba dan
rasul-Nya. Aku berpesan kepada kamu supaya mentaati-Nya. Aku membuka khutbahku
ini dengan mukaddimah yang baik.
Wahai manusia! Sila dengar apa yang
akan aku katakan ini. Aku tidak tahu apakah aku akan dapat bersama kamu semua
lagi selepas tahun ini, di tempat ini selamanya.
1. Sesungguhnya darah kamu, harta
benda kamu dan kehormatan diri kamu telah terpelihara (diharamkan) sebagaimana
diharamkan hari ini, bulan ini dan bandar ini Makkah dan kawasan sekitarnya.
2. Sesiapa yang memegang amanah, maka
dia hendaklah mengembalikan amanah tersebut kepada tuan punyanya.
3. Ingatlah! Segala amalan jahiliyyah
telah berada di tapak kakimu (iaitu telah dihapuskan).
4. Tuntutan hutang darah di zaman
jahiliyyah (sebelum Islam) telah diampunkan. Tuntutan darah pertama yang aku
batalkan adalah darah Rabi’ah bin Al-Haris yang disusukan oleh Bani Saad
kemudian telah dibunuh oleh Huzail.
5. Riba adalah haram dan aku
memulakannya dengan membatalkan riba yang akan diterima oleh Abbas bin Abdul
Mutalib. Sesungguhnya ia dihapuskan keseluruhannya.
6. Wahai manusia! Takutilah Allah SWT
di dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil
mereka sebagai amanah daripada Allah SWT dan mereka telah dihalalkan kepada
kamu dengan kalimah Allah. Wajib ke atas mereka untuk menjaga kehormatan kamu
dan menjaga diri daripada melakukan perbuatan buruk. Jika mereka lakukannya
maka kamu berhak untuk menghukum mereka tetapi bukanlah dengan pukulan yang
mencederakan. Jika isteri-isteri kamu setia dan jujur terhadapmu, maka wajib ke
atas kamu menjaga makan pakai dengan baik.
7. Semua orang mukmin adalah
bersaudara, oleh itu tidak halal bagi seorang muslim mengambil harta orang lain
kecuali setelah mendapat kebenaran daripada tuannya.
8. Jangan kamu kembali menjadi kafir
selepas pemergianku, di mana sebahagian daripada kamu memerangi sebahagian yang
lain. Aku telah tinggalkan untuk kamu suatu panduan, jika kamu berpegang teguh
dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya; kitab Allah dan
sunnah Nabi-Nya.
9. Wahai manusia! Sesungguhnya tidak
ada lagi nabi selepasku dan tidak ada lagi umat selepas kamu. Maka aku menyeru
agar kamu menyembah Allah SWT Tuhan kamu dan menunaikan solat lima waktu,
berpuasa pada bulan Ramadhan serta mengeluarkan zakat hartamu dengan kerelaan.
Dan kerjakanlah haji ke Rumah Suci Tuhanmu (kaabah), untuk itu kamu akan masuk
syurga Tuhanmu.
10. Tuhan kamu adalah Esa, datuk kamu
pula adalah satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam telah dijadikan
daripada tanah. Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah mereka yang
paling bertaqwa kepada Allah. Tidak ada kelebihan bangsa Arab terhadap bangsa
lain kecuali dengan taqwa.
11. Allah SWT telah menetapkan hak
menerima pusaka kepada keluarga si mati, oleh itu tidak boleh membuat wasiat
kepada penerima pusaka. Sesungguhnya laknat Allah ke atas sesiapa yang mengaku
sebagai bapa kepada bukan bapanya yang sebenar, juga laknat dari para malaikat
dan seluruh manusia.
12. Kemudian kamu akan disoal tentang
aku, maka apa yang akan kamu jawab? Mereka menjawab, “Kami bersaksi bahawa tuan
telah menyampaikan dan menyempurnakan risalahmu.” Baginda lalu mengangkat
tangannya ke langit dan menurunkannya ke arah orang ramai sambil berkata, “Ya
Allah! Saksikanlah.” Baginda Rasulullah mengucapkannya sebanyak tiga kali.
Orang yang mengulang kembali ucapan Rasulullah SWT dengan kuatnya di Arafah
ialah Rabi’ah bin Umaiyyah bin Khalaf ra.
Baginda berkhutbah di atas untanya
al-Qaswah. Di sinilah turunnya wahyu mengenai kesempunaan agama Islam.
“Pada hari ini telah disempurnakan
bagimu agamamu, dan telah kucukupkan nikmat-ku kepadamu, dan telah kuredhakan
Islam itu menjadi agama untukmu. (Al-Maidah ayat 3)
Selepas baginda membacakan wahyu ini,
para sahabat saling berpelukan kerana begitu gembira. Namun sayyidina Abu Bakar
perasan al-Qaswah unta nabi menitiskan air mata dengan banyaknya. Beliau pun
ikut menangis.
Sayyidian Umar bertanya apakah
sebabnya lalu sayyidina Abu Bakar menjelaskan. Di sebalik berita gembira
sempurnanya agama Islam, wahyu itu juga petanda khabar duka. Baginda pasti akan
meninggalkan mereka kerana tugasnya sebagai Rasul sudahpun selesai. Mendengar itu
sayyidina Umar pun menangis sama, begitu juga dengan para sahabat yang lain.
No comments:
Post a Comment