Assalam... Jiwa atau hati adalah merupakan wadah atau tempat simpanan, sama
ada tempat simpanan intan berlian maknawi dan rohani mahmudah yang amat
berharga, atau tempat simpanan najis-najis maknawi dan rohani mazmumah yang
jijik lagi kotor. Ia terpulang kepada kita mengisinya. Kita boleh buat pilihan
sama ada hendak mengisinya dengan intan berlian mahmudah atau hendak mengisi
dengan najis-najis mazmumah yang kotor.
Dari situlah ia akan dikeluarkan atau dialirkan kembali ke dalam
kehidupan bermasyarakat melalui saluran tangan, kaki, mata, telinga, mulut dan
perilaku kita dengan dibantu oleh kepandaian akal.
Apa yang disimpan di dalam khazanah hati atau jiwa itu, ia akan
keluar setiap waktu sama ada kita sedari atau tidak. Sasarannya adalah di
tengah kehidupan bermasyarakat. Ertinya masyarakatlah yang akan menerimanya,
berkongsi sama dengan yang empunyanya. Kalau apa yang dikeluarkan dari khazanah hati atau jiwa itu sesuatu
yang berharga seperti yang keluar itu ialah intan berlian maknawi dan rohani
iaitu sifat-sifat mahmudah yang sangat memberi manfaat kepada empunyanya dan seluruh manusia seperti
sifat-sifat ikhlas, pemurah, kasih sayang, lemah lembut, tawadhuk, bertolak
ansur, simpati, sabar, redha, bekerjasama, tawakal dan lain-lain lagi sifat
mahmudah yang berharga maka alangkah indahnya kehidupan bermasyarakat.
Masyarakat mendapat keuntungan yang besar iaitu antaranya:
1. Yang miskin terbela.
2. Yang mendapat bala ditolong.
3. Yang kaya tidak didengki.
4. Orang tua, ibu bapa, guru, pemimpin dihormati.
5. Pemimpin adil.
6. Orang bawahan, kanak-kanak, orang yang lemah disayangi.
Aman, damai, bahagia dan harmoni. Inilah dia faedah yang didapati
oleh manusia di dalam kehidupan dari intan berlian maknawi dan rohani iaitu
sifat-sifat mahmudah yang mengalir dari simpanan khazanah hati atau jiwa yang
murni. Tapi alangkah malangnya kalau yang keluar daripada khazanah simpanan
hati atau jiwa itu najis mazmumah yang busuk, yang jijik, yang menjadi racun di
dalam kehidupan bermasyarakat.
Sudah tentu punah dan rosak masyarakat. Binasalah masyarakat bilamana
yang mengalir ke dalam masyarakat itu najis maknawi dan rohani seperti
mengumpat, najis hasad dengki, najis pemarah, najis tamak, najis sombong, najis
ego, najis mementingkan diri, najis adu domba, najis tidak bertimbang rasa, najis
pembohong, najis memfitnah, najis khianat dan lain-lain lagi. Busuklah
masyarakat. Cemarnya masyarakat. Kotorlah masyarakat. Ini adalah bala bencana
yang dibuat oleh manusia sendiri. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut
disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allahneneruskan azab kepada mereka
sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka (kembali ke jalan
yang benar).” (Ar Rum: 41)
Dari racun najis mazmumah yang mengalir itu, porak-perandalah masyarakat.
Bergaduhlah masyarakat. Bermusuhlah masyarakat. Berkrisislah masyarakat, pecah
belahlah masyarakat, ketakutanlah masyarakat, huru-haralah masyarakat, berperanglah
masyarakat. Berbagai-bagai gejala maksiat dan kemungkaran akan memenuhi
masyarakat. Berbagai-bagai bentuk jenayah mengisi masyarakat.
Justeru itu hendaklah kita berusaha dan berjuang mengumpulkan sedaya
upaya dengan bersungguh-sungguh intan berlian maknawi dan rohani di dalam
simpanan khazanah hati dan jiwa kita agar ia akan jadi kekayaan dan aset agama
kita, negara kita dan Akhirat kita yang sangat menguntungkan. Begitulah juga
hendaklah kita bersungguh-sungguh menghalang, membendung, menyekat najis-najis
mazmumah yang busuk dan jijik itu daripada masuk ke dalam khazanah hati atau jiwa
kita sebagai barang simpanan yang mana ia akan menjadi racun perosak kepada
agama kita, diri kita, keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.
No comments:
Post a Comment