Kejadiannya yang pertama daripada tanah
Kejadiannya yang kedua daripada mani,
air yang hina dan meloyakan
Keluar daripada tempat yang hina
dan menjijikkan lagi memalukan
Fizikalnya lebih lemah daripada haiwan
seperti anjing, kucing, harimau, singa dan gajah
Tercucuk duri yang kecil sahaja pun terasa sakitnya
Sudah mengganggu dan menyusahkan
Anjing atau kucing kalau patah kaki sebelah
Masih mampu berjalan bahkan masih boleh berlari
ke sana ke mari
Kalau manusia tidak payah patah
kalau tergeliat pun sudah berpapah
Selalu sahaja makan banyak mengundang penyakit
Kalau sedikit makan badan pula lemah
Terlalu sejuk pun tidak tahan
Terlalu panas pun tidak tahan
Mudah sahaja ditimpa penyakit atau demam
Terlalu banyak kerja meletihkan badan
Tidak bekerja pun melesukan badan
Kecerdasan hilang
Bila berhadapan dengan udara tidak bersih
Mudah sahaja diserang penyakit
Selalu bergaul dengan orang yang berpenyakit
lebih-lebih lagi, penyakit menjangkit
Lambat makan beberapa jam sahaja sudah terasa lapar
Lebih daripada itu melemahkan badan
Padahal binatang beberapa hari tidak makan
belum begitu terjejas
Begitulah satu hari tidak dapat air sudah haus
Kalau beberapa hari tidak dapat lemah terus
Apa yang keluar daripada badannya
Lebih-lebih lagi daripada rongga-rongganya
semuanya menjijikkan
Baunya busuk lagi meloyakan
Seperti yang keluar daripada lubang telinga, mata, hidung,
daripada rongga-rongga bulu roma
Apatah lagi yang keluar daripada dua jalan
depan dan belakang
Jika diserang kudis, danur dan nanahlah yang keluar
Bahkan ulat pun boleh keluar juga
Sangat jijik dan meloyakan
Itu baru jasad lahir manusia yang kita perkatakan
Belum lagi jasad batin atau yang bersifat maknawiyah
yang akan kita sebutkan
Juga ketahanannya tidak ada atau rapuh
Sangat sensitif yang menyusahkan
Boleh menggugat kebahagiaan dan ketenangan
Kita datangkan beberapa contoh untuk pengetahuan
Sedikit sahaja orang kata atau cerca sudah menyakitkan hati
Belum lagi orang benci, menghina, memfitnah
Aduh lebih-lebih lagilah menderita dan tergugat diri
Hilang ketenangan
Kalau bertembung serentak
dengan kesusahan-kesusahan yang lahir
seperti miskin, sakit
Sesetengah orang kecewa bahkan putus asa
Melihat orang kaya atau senang, hati sakit pula
Datang penyakit hasad dengki
lebih-lebih lagi bertambah jiwa sakit
Apabila masyarakat manusia sudah rosak
Berbagai-bagai gejala masyarakat yang menakutkan terjadi
Seperti jenayah pergaduhan, pencurian
rompakan, perogolan, pembunuhan, peperangan
Maka jiwa pun sentiasa diburu oleh ketakutan,
musnah kebahagiaan
Kemudian manusia ada nafsu yang sangat menyusahkan
Ditahan kehendak-kehendaknya menyeksakan
Diturutkan sangat kehendak-kehendaknya
merbahaya dan memudharatkan
Memudharatkan diri sendiri dan merosakkan orang lain
Juga manusia ada perasaan
Perasaan ini juga sangat menyusahkan diri seseorang
Melihat sahaja benda yang kotor, menjijikkan dan meloyakan
Sesetengah orang selepas itu hilang selera hendak makan
Melihat sahaja benda yang menakutkan timbul rasa seram
Badan pun lemah longlai
Sesetengah orang kerana terkejut terus pengsan atau hilang
akal
Oleh itu patutkah manusia sombong dan bangga?!
Cuma manusia ada untung sedikit, adanya akal
Dengan akal manusia boleh berfikir
Dapat pengalaman, dapat ilmu pengetahuan
Boleh maju, boleh membangun dan bertamadun
Tapi kalau akal sahaja yang dibangunkan,
roh tidak dibangunkan
Manusia boleh maju tapi bersama dengan kerosakan
yang berbagai-bagai bentuknya
Akibatnya untung sekarung, rugi seguni
Negara cantik, tapi hidup di dalam ketakutan
Oleh itu di manalah istimewanya manusia?
Di manakah kehebatannya?
Hingga menjadi sombong, bangga dan riyak
Kalau tidak ada sifat taqwa
maka tidak ada apa-apa keistimewaan manusia
Di
Akhirat terjun pula ke Neraka, wal ‘iyazubillah
No comments:
Post a Comment