Jika seseorang itu dapat menajamkan rasa kehambaan dan rasa
bertuhan di dalam hatinya maka kesannya adalah seperti berikut:
Pertama: Jika sifat dan rasa kehambaan itu amat kuat berlaku pada
seseorang muslim itu, ia akan menghilangkan atau memusnahkan sifat-sifat
mazmumah seperti hilang rasa riyak, ujub, sum’ah, sombong, pemarah, hasad,
dendam dan lain-lain lagi.
Sebaliknya apabila rasa kehambaan itu tidak wujud, maka akan
lahirlah rasa ketuanan. Rasa ketuanan itulah yang melahirkan rasa sombong,
riyak, sum’ah, pemarah, hasad, minta dipuji, meninggi diri, dendam, tamak dan
lain-lain lagi. Kemudian jika sifat ketuanan itu dibiarkan subur dan dibaja,
maka akan lahirlah pada seseorang itu rasa atau sifat ketuhanan yang mana ia
adalah milik Allah SWT. Maka jatuhlah dia kepada syirik. Wal’iya–zubillah.
Dan kalau dia orang yang berkuasa, maka dia akan menjadi orang yang sangat
zalim dan kejam.
Oleh itu kita sebagai hamba, kenalah mempertajam dan menyuburkan
rasa kehambaan itu agar segala sifat-sifat mazmumah hilang. Begitulah yang
dituntut oleh Allah Taala kepada hamba-hamba-Nya. Apabila rasa kehambaan itu
menghilangkan sifat-sifat mazmumah seperti yang telah disebut tadi maka secara
automatiklahirlah pada diri seseorang itu sifat-sifat mahmudah seperti merendah
diri, malu, bertolak ansur, berkasih sayang, bertimbang rasa, mengutamakan
orang lain, bertawakal, sabar, rasa berdosa, rasa kurang, rasa lemah, rasa
mengharap, memberi maaf, meminta maaf, merasa diri bersalah, rasa berdosa dan
lain-lain lagi.
Kedua: Apabila
rasa bertuhan benar-benar dihayati dan benar-benar mencengkam hati seseorang
muslim serta dibawa ke mana-mana, maka apa yang akan berlaku pada seseorang itu
ialah dia rasa diawasi dan diperhati oleh Allah Taala. Rasa malu sentiasa
wujud. Rasa takut tidak akan lekang lagi dari seseorang itu. Dia akan
benar-benar merasa dirinya di dalam kekuasaan Allah. Nasibnya benar-benar
ditentukan oleh Allah Taala.
Maka apa yang akan berlaku pada seseorang itu ialah dia takut
membuat dosa. Malu dengan Tuhan. Dia akan menjadi orang yang jujur dan ikhlas.
Suka membuat baik. Dia akan menjadi orang yang beradab dan bersopan,
berdisiplin, menunai janji. Apabila membuat dosa terseksa jiwanya. Sentiasa muraqabah, jiwanya
sentiasa hidup dan berhubung dengan Allah Taala.
Maka mereka itu di dalam keadaan macam mana pun, mereka tetap
tidak lalai. Apatah lagi mereka tidak akan hanyut di dalam arus kemaksiatan dan
kemungkaran masyarakat. Mereka tetap dapat mengawal dan menjaga diri. Dengan
kata yang lain, rasa bertuhan itulah menjadi benteng pada seseorang itu
daripada melakukan dosa dan derhaka. Sekaligus ia merupakan anak kunci segala
kebaikan. Oleh itu hendaklah kita sentiasa tajamkan atau hidupkan rasa bertuhan
di dalam hati kerana rasa bertuhan itulah kita akan menjadi orang baik di dunia
ini.
PERINGATAN:
Sebagai peringatan, bahawa sembahyang dan ibadah yang banyak
dilakukan oleh seseorang itu kalau tidak dapat dihayati maka rasa kehambaan
pada seseorang itu tidak akan lahir. Rasa bertuhan tidak akan timbul. Maka
ibadah yang semacam ini bukan sahaja tidak dapat melahirkan orang yang merendah
diri dan berkasih sayang tetapi akan lahir daripada sembahyang dan ibadahnya
yang banyak itu sifat-sifat sombong dan riyak, sum’ah dan ingin dipuji, rasa diri
bersih dan tidak takut dengan Tuhan.
Oleh itu sembahyang dan ibadah yang sepatutnya menghubungkan
diri seseorang hamba dengan Khaliqnya atau Tuhan, sebaliknya telah menjadi hijab
seseorang hamba itu dengan Tuhannya. Dosa seperti inilah biasanya seseorang itu
mati tidak berampun kerana dia tidak tahu atau tidak merasa membuat dosa.
Akhirnya manusia itu mati di dalam suasana su’ul
khatimah kerana dia rasa dia membuat baik bukan
membuat dosa dan derhaka. Rupanya dia membuat dosa di atas saluran yang baik.
Membuat dosa dan derhaka di dalam berbuat taat. Lahirnya nampak taat tapi
batinnya derhaka. Mereka bersembahyang dan beribadah bukan untuk memusnahkan mazmumah
tapi dengan ibadah itulah dia menyuburkan mazmumah.
Wahai Tuhan! Berilah kami pimpinan! Engkau perlihatkanlah diri
kami lahir dan batin! Engkau perlihatkanlah perkara-perkara yang seni-seni di
dalam kebaikan dan kejahatan agar kami selamat daripada dosa-dosa yang susah hendak
difahami. Amin, ya Rabbal alamin.
No comments:
Post a Comment