BAGAIMANA MENDIDIK MANUSIA AGAR SUBUR FITRAHNYA?



Assalam... Manusia yang sudah lupa atau telah lalai dengan peringatan-peringatan itu sama ada peringatan semula jadi mahupun peringatan dari Islam, mereka tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Jangan dibiarkan manusia menderita dengan sifat-sifat atau tabiat jahat yang menguasai diri dan kehidupan. Di sinilah kewajipan para pemimpin, guru-guru, ibu bapa serta pejuang dan pendakwah agar tampil mendidik manusia.



BAGAIMANA MENDIDIK MANUSIA?

Mendidik manusia tidak cukup setakat menjaga fizikalnya sahaja dengan diberi makan minum yang cukup serta menjaga kesihatan yang rapi. Begitu juga tidak cukup diberi kenyang akal fikiran dengan ilmu pengetahuan, nanti kejahatan manusia lebih hebat dan pesat lagi dengan dibantu oleh ilmu itu. Apa yang lebih penting daripada segala-galanya itu ialah mendidik semula fitrah manusia.

BAGAIMANA MENDIDIK FITRAH MANUSIA?

Jiwa manusia hendaklah dibangunkan semula secara serius iaitu suburkan kembali dengan iman, dengan takutkan Allah yang Maha Agung, tanamkan semula rasa kebesaran Allah di dalam hati manusia. Semarakkan semula sifat-sifat baik yang sedia ada dalam diri manusia.

Bangunkan jiwa itu rasa benci dengan kekufuran dan kejahatan serta kezaliman. Suburkan semula sifat-sifat terpuji (mahmudah) yang Allah Taala telah bekalkan itu. Juga bangkitkan semula rasa benci dengan sifat-sifat yang hina (mazmumah) yang juga Allah Taala telah bekalkan di dalam diri manusia.

Suburkan rasa tauhid atau rasa bertuhan di dalam hati atau jiwa manusia agar secara automatik rasa kehambaan itu akan subur di dalam jiwa manusia. Maka akan tumbuh subur rasa merendah diri, bersemarak semula rasa cinta kepada Tuhan dan sesama manusia. Dan juga sifat-sifat yang terpuji akan bertapak semula di dalam jiwa manusia.

Apabila hati atau jiwa atau hati nurani manusia telah terdidik iaitu kembali kepada fitrah semula jadinya ertinya raja di dalam diri manusia telah terdidik menjadi baik. Apabila raja di dalam diri manusia menjadi baik, maka ilmu pengetahuan yang memenuhi akal akan ditundukkan kepada kebaikan dan segala anggota lahir (jawarih) akan dikerahkan kepada mentaati Tuhan dan membuat baik kepada seluruh manusia.

Tapi apa yang akan terjadi apabila raja di dalam diri tidak terdidik, yakni raja di dalam diri manusia menjadi jahat? Apabila raja di dalam diri manusia menjadi jahat maka raja diri yang jahat akan menggunakan kekuatan ilmu dan mengarahkan anggota lahir (jawarih) mencetuskan berbagai bentuk kejahatan.

Itulah yang terjadi pada hari ini, manusia di dunia ini telah melakukan kejahatan menggunakan teknologi tinggi, mencuri duit bank menggunakan komputer, menyebarkan bahan-bahan lucah menggunakan internet dan lain-lain lagi. Wallahua'lam.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah