Engkau jaga dan belai muka engkau
agar licin dan cantik
Engkau gunakan berbagai-bagai jenis krim dan losyen
untuk menjaga kulit badan
Agar kulit sentiasa licin dan tegang
Engkau makan berbagai-bagai makanan awet muda
Untuk menjaga keteguhan dan kesihatan badan engkau
Semua yang engkau jaga itu adalah nilai dunia
Kerana badan lahir ini
bukan ada perasaan mengenal Tuhan
Jauh sekali rasa kehambaan
Lantaran itu apabila mati dibaham
oleh ulat dan jadi tanah
Ertinya ia tidak kekal abadi
Tapi malang sekali
Anggota batin engkau yang boleh jadi nilai Akhirat
engkau abaikan
Akal yang menjadikan engkau mukalaf
Jiwa atau hati yang boleh mengenal Tuhan
Engkau cuaikan
Nafsu yang boleh dididik dan dilatih untuk taat
Kepada Tuhan semesta alam
Engkau tidak ambil peduli pun
untuk bermujahadah terhadapnya
Padahal semuanya ada nilai Akhirat
Dia adalah kekal abadi di Akhirat kelak
Sama ada ke Syurga atau ke Neraka
Sebenarnya akal, jiwa, nafsu inilah hakikat diri engkau
Badan lahir kalau engkau abaikan
Hanya menderita di dunia sahaja
Tapi jasad batin iaitu hakikat diri engkau,
jika engkau abaikan
Dia akan menderita di Neraka
Engkau abaikan hakikat diri engkau
Engkau termasuk orang yang sangat zalim
Tapi engkau tidak nampak
engkau menzalimi diri engkau sendiri
Yang engkau nampak orang lain menzalimi diri engkau
Orang menzalimi diri engkau,
engkau dapat pahala
Tapi engkau menzalimi diri engkau sendiri,
dapat
bala dan Neraka
No comments:
Post a Comment