MADAH baru 285



*M631*
Alangkah indah dan bahagianya umat Islam: 
*iman*, tunjang hidupnya, 
*syariat*, disiplinnya, 
*akhlak*, bunga kehidupannya, 
*kemajuan*, kemudahan dan keselesaan hidupnya.


*M632*
Jangan hanyaTuhan di mulut tidak di hati, Islam sekadar diperkata tidak dikota, Islam sekadar upacara tidak menjadi amalan setiap masa, Islam jangan bermusim tapi ia amalan harian.


*M633*
Kalaulah orang Islam itu ghairah mengamalkan ajaran Islam, tidak ada masa untuk berbincang, berforum dan bermesyuarat kerana masa mengamalkannya sangat terbatas.


*M634*
Islam adalah panduan di dalam semua aspek kehidupan, daripada persoalan peribadi hinggalah kepada persoalan negara dan alam sejagat, ia berlaku di waktu senang, di waktu susah, di waktu tenang, di waktu sibuk di waktu sempit, di waktu lapang, di waktu musafir, di waktu menetap, di waktu malam, di waktu siang, di waktu aman, di waktu pergolakan, di waktu perang, di waktu damai, di waktu sakit, di waktu sihat, di waktu sempit, di waktu makmur, di waktu malapetaka, di waktu sejahtera, di waktu miskin, di waktu kaya, di waktu ada gejala masyarakat, di waktu masyarakat sihat, di waktu perpaduan, di waktu perpecahan, begitulah peranan Islam bukan sekadar setelah timbul gejala masyarakat, ibarat cacing sudah naik ke mata barulah sibuk mencari Islam.
Jadi Islam bukan untuk di waktu sesak dan terdesak, tapi untuk sepanjang hidupnya/hayatnya.


*M635*
Islam akan terbangun dengan secara global, sekiranya berlaku melalui contoh dan kuasa dari pemerintah, contoh dan nasihat dari para ulama, ketaatan dan kepatuhan dari rakyat, tenaga dari pemuda.

Fahamilah Perbuatan Tuhan



Jagalah perhubungan baik engkau dengan Tuhan.
Agar Allah Taala berhubung baik dengan engkau.
Sangka baiklah kepada Tuhan mengenai rezeki engkau.
Tuhan adalah penjamin rezeki engkau.
Bertawakallah kepada-Nya dan yakinlah kepada-Nya, hati engkau akan tenang.
Beradablah kepada Tuhan kerana Dia lebih tahu tentang keperluan-keperluan engkau.
Ketentuan Tuhan ke atas diri engkau itu; kecuali kekufuran; ada mengandungi pelajaran.
Redhalah menerimanya walaupun engkau tidak faham, lambat laun Allah akan memberi faham.
Fahamilah perbuatan Tuhan ke atas diri engkau.
Agar engkau tidak salah faham.
Salah faham terhadap perbuatan Tuhan akan merosakkan engkau.
Sekali-sekala disakitkan-Nya engkau, mesti ada maksud yang tersembunyi oleh Tuhan.
Adakalanya engkau dikayakan Tuhan, ada tujuan.
Di waktu-waktu tertentu engkau dimiskinkan oleh Tuhan.
Mesti ada mengandungi pendidikan.
Setiap kali Allah Taala ubah kehidupan engkau,
berhati-hatilah menerimanya.
Jangan sampai salah terima.
Engkau tidak beradab dengan Tuhan.
Patutkah kita tidak beradab dengan Zat yang Maha Suci.
Yang Maha Mengetahui Lagi Bijaksana.
Daripada sebarang kesalahan dan kesilapan?!
Berhati-hatilah dengan Tuhan!
Jangan sampai kita tidak bersopan dengan-Nya. 


TIPS ELAK GASTRIK /Pedih ulu hati


1. Makanan & Minuman Yang Perlu DiELAKkan atau diKURANGkan

• Makanan bergoreng
• Makanan pedas & berempah
• Makanan di dalam tin – ada asid yang tinggi
• Minuman bergas
• Makanan yg ada asid tinggi – e.g: limau, oren, tomato
• Minuman yang tinggi kafein seperti teh, kopi
• Makanan yang diproses seperti sosej & nugget

Makanlah dalam kuantiti yang sederhana. Elakkan makan terlalu banyak dan jarakkan pengambilan pemakanan.

Banyakkan makan buah-buahan yang tidak berasid, biskut oat atau roti.

Anda digalakkan minum segelas susu semasa pagi. Hal ini dapat mengurangkan simptom gastrik, medu dan ulser peptik.

4. Jangan Makan Lewat Malam

5. Minum Air Kosong

Air kosong penting bagi melancarkan sistem pencernaan dan mengelakkan gastrik atau sakit perut yang dihadapi di siang hari.

-1 gelas ketika bangun tidur
-1 gelas selepas makan
-1 gelas selepas solat maghrib
-1 gelas selepas solat isyak
-1 gelas sebelum tidur

6. Makanan & Minuman Yang Digalakkan

Banyakkan makan makanan karbohidrat kompleks atau yang berasaskan bijirin gandum, seperti beras perang, kekacang badam dan oat.

Ambil makanan yang di panggang atau dikukus
Selain air kosong, anda boleh minum susu atau smoothie buah-buahan yang tidak berasid seperti kurma dan pisang.

MADU MANGKUK DAN RAMBUT.

❤️❤️         

Rasulullah SAW dengan sahabat-2nya, Yaitu Abu Bakar r.a, Umar r.a, Usman r.a telah bertamu di rumah Ali r.a. Isteri beliau Saiyidatina Fatimah r.anha yang juga puteri Rasulullah SAW telah menghidangkan untuk mereka madu yang diletakkan di dalam sebuah mangkuk yang cantik, dan ketika mangkuk madu itu dihidangkan, sehelai rambut telah di dapati di dalam mangkuk itu.

Baginda Rasulullah SAW kemudian meminta kesemua sahabatnya membuat perbandingan terhadap tiga benda tersebut: 

1)Mangkuk yang cantik. 
2)Madu. 
3)Sehelai rambut. 

Abu Bakar r.a telah berkata:“Iman itu lebih cantik dari mangkuk ini, orang yang beriman itu lebih manis dari madu, dan mempertahankan iman itu lebih susah dari meniti di atas sehelai rambut. 

Umar r.a telah berkata:“Kerajaan itu lebih cantik dari mangkuk ini, seorang raja itu laebih manis daripada madu, dan memerintah dengan adil itu lebih susah dari meiniti di atas sehelai rambut. 

Uthman r.a berkata:“Ilmu itu lebih cantik dari mangkuk ini, orang yang menuntut ilmu lebih manis dari madu, dan beramal dengan ilmu lebih susah dari meniti di atas sehelai rambut”. 

Ali r.a berkata:“Tetamu itu lebih cantik dari mangkuk ini, menjamu tetamu itu lebih manis dari madu, dan membuatkan tetamu senang sehingga dia kembali ke rumahnya itu lebih susah dari meniti di atas sehelai rambut”. 

Fatimah r.a.ha telah berkata:“Seorang wanita itu lebih cantik dari mangkuk ini, wanita yang berahklak itu lebih manis dari madu, dan mendapatkan seorang wanita yang berahklak adalah lebih susah dari meniti di atas sehelai rambut”. 

Malaikat Jibril a.s telah berkata: "Menegakkan tiang agama itu adalah lebih cantik dari mangkuk ini, mengorbankan waktu, diri, dan waktu untuk agama adalah lebih manis dari madu, dan mempertahankan usaha agama hingga ke akhir hayat adalah lebih susah dari meniti di atas sehelai rambut.” 

Allah SWT berfirman:“Surgaku itu lebih cantik dari mangkuk ini, nikmat surgaku adalah lebih manis dari madu, dan jalan menuju ke syurgaku itu adalah lebih susah dari meniti di atas sehelai rambut”. 

📚Muhasabah diri: 

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW terus saja mengajak sahabatnya membuat perbandingan yang cenderung kepada mentauhidkan ALLAH, sedangkan kita lebih cenderung mencerca makanan bilamana terdapat rambut pada makanan kita...masyaAllah...

#WanMohdSofian

MADAH baru 284


*M626*
Banyak orang boleh memberi ilmu tapi tidak mampu memberi didikan, justeru itulah di segi pelajarannya cemerlang tapi dari segi akhlaknya malang.


*M627*
Jadikanlah semua hal di dalam kehidupan kita itu pengajaran atau guru yang mendidik kita, tidak pernah meminta balasan, tapi memberi pengajaran yang amat dalam, dan kalau kita faham, banyak memberi didikan kepada kita yang boleh membaikkan kita.


*M628*
Rasulullah SAW serta para sahabat ridwanullah alaihim mengajar dan mendidik manusia kebanyakan berlaku secara tidak rasmi, apabila bertemu saja dengan manusia, samada percakapannya, perbuatannya dan sikapnya, ianya bersifat ilmu dan pendidikan, justeru itulah sangat memberi kesan, kita mendidik orang banyak secara rasmi, ditentukan masa, ditetapkan tempat, diberitahu siapa penceramahnya, istiharkan siapa penganjurnya, di dalam majlis ceramah banyak pula gelak ketawa, belum lagi nawaitu masing-masing kita tidak tahu, bagaimanalah hendak berkesan ?


*M629*
Para-para nabi dan para-para Rasul sahaja yang terdidik tanpa pendidik dari golongan manusia, selain itu memerlu pendidik yang baik dari manusia, kalau seorang itu mahu menjadi orang yang baik, dia hendaklah dididik oleh orang yang baik iaitu orang yang bertaqwa.


*M630*
Jangan hanya belajar dengan guru, tapi belajarlah dengan pengalaman, belajarlah dengan kesilapan orang, belajarlah dengan tragedi dan peristiwa, itulah dia universiti yang bersifat universal. 

  

 

Tuhan Itu Rafiqul A'la


Faham sekular telah memisahkan hamba-hamba dengan Tuhan-Nya.
Sekalipun dia pelajar agama.
Walaupun percaya dengan adanya Tuhan.
Tapi tidak kenal Tuhan, siapa sebenarnya Tuhan, apa peranan Tuhan.
Mereka tidak tahu apa perlunya kepada Tuhan.
Kalaupun mereka tahu, bahawa Tuhan itu hanya mengazab dan menghukum.
Mereka tidak tahu bahawa Tuhan itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Tuhan itu Maha Pemurah, Maha Berkuasa, Penjaga dan Pelindung.
Mereka tidak faham bahawa Tuhan itu Pemimpin.
Idola yang patut ditakuti, disembah, dicintai dan disanjung.
Bahkan mereka tidak faham bahawa Tuhan itu adalah Rafiqul A'la.
Kawan sejati yang sangat setia serta membela.
Mereka tidak faham bahawa Tuhan itu adalah segala-galanya.
Kalaulah mereka faham siapa sebenarnya Tuhan.
Mereka akan jadikan Tuhan sebagai kawan.
Kawan yang dicintai, disanjung dan dipuja.
Mereka tidak akan memutuskan hubungan dengan Tuhan setiap masa.
Mereka rasa perlu dan bahagia bersama Tuhan.
Tuhan akan dibawa ke mana-mana.
Tuhan akan dibawa di waktu rehat.
Di waktu susah dan senang.
Di waktu bermukim dan bermusafir.
Di waktu sihat dan sakit.
Di waktu tidur dan baring.
Di waktu sibuk dan bekerja.
Hinggakan rasa bertuhan tidak lekang dari jiwa.
Di masa yang sama, rasa kehambaan begitu subur di dalam hatinya. 


MADAH baru 283



*M621*
Seseorang itu walau bagaimanapun tinggi ilmunya, pada pandangan Islam kalau dia tidak beramal dengan ilmunya dan tidak takut dengan Allah, dia tidak dianggap orang alim.


*M622*
Biar ilmu sedikit dapat diamalkan, daripada ilmu banyak kita lalai/ tidak dapat diamalkan. 
Biar miskin harta, jangan miskin jiwa.


*M623*
Apabila ilmu tidak diamalkan, ia jadilah bahan mujadalah, akhirnya bersalah, selepas itu hilang ukhwah, seterusnya berlakulah pecah belah, itulah yang terjadi di hari ini.


*M624*
Berfikirlah, ia akan membuahkan ilmu.
Amalkanlah ilmu itu, ia akan membuahkan hikmah, itulah yang dikatakan ilmu di dalam ilmu.


*M625*
Kalau kita nilai segala nikmat, kita renung tentang kesusahan dan penderitaan, kita fikir setiap ketentuan yang kita terima, masya-Allah semuanya itu ada ilmu yang besar-besar, bahkan ilmu itu sangat memberi kesan kepada jiwa dan sangat meneguhkan aqidah kita tapi malang sekali, kebanyakan manusia tidak dapat ilmu daripadanya. 

 

Dosa Hati Jarang Orang Rasa Berdosa


Setiap orang itu sejak baligh hingga hari ini kalau membuat dosa, ada dua peringkat.
Ada dosa yang mudah dikesan, dan mudah pula bertaubat.
Ada dosa-dosa yang tidak mudah dikesan bahkan tidak dirasakan berdosa, maka tentu tidak bertaubat.
Selalunya mati tidak bertaubat.
Dosa-dosa yang mudah diketahui, seperti meninggalkan sembahyang, meninggalkan puasa, mencuri, minum arak, bunuh orang.
Dosa-dosa ini payah dilupakan. Kalau seseorang itu insaf, mudah bertaubat.
Tapi orang tidak rasa berdosa jika tidak ada rasa bertuhan.
Orang tidak rasa satu kesalahan tidak rasa kehambaan.
Berapa ramai orang sejak baligh, dia riyak, sombong, suka dipuji, ujub, ingin nama, tidak terasa membuat dosa.
Nampak orang susah tidak ditolong, tidak bertimbang rasa, mengutamakan diri, gembira dengan kesusahan orang tidak dianggap kesalahan.
Tamak, bakhil, tidak mesra dengan orang tidak dianggap haram.
Tidak tawakkal, tidak sabar, tidak malu dengan Tuhan, tidak belas kasihan itu tidak dipandang kemurkaan Tuhan.
Dosa-dosa kategori yang kedua inilah yang ramai orang terjebak, orang tidak terasa satu dosa.
Apabila tidak terasa perkara itu dosa, ia berlalu begitu sahaja, tanpa sedar, tanpa insaf.
Akhirnya tidak bertaubat.
Matilah seseorang itu di dalam kederhakaan tanpa sedar.
Kadang-kadang dosa-dosa yang tidak disedari ini berlaku kepada orang-orang yang dipandang oleh orang ramai orang baik.
Ada orang ibadahnya banyak, sembahyang malam, puasa sunat di siang hari, sering membaca Al Quran, wirid tidak lekang.
Setengahnya ulama, menasihati orang, dia disegani.
Kerana dosa-dosa tadi sangat tersembunyi, sangat tersirat, ia dosa hati, payah dikesani.
Ahli-ahli ibadah dan para ulama tadi pun tidak menyedarinya.
Orang-orang yang mata hatinya celik sahaja yang dapat mengesani.
Orang-orang yang rohnya bercahaya dan menyuluh yang seni-seninya, yang dikatakan ulil abshor. 
Bukan ulama yang mampu mengetahui. Kecuali kalau ulama itu juga ulil abshor.
 

MADAH baru 282


*M616*
Ilmu psikologi  di dalam Islam yang sebenarnya ialah ilmu tasauf kerana ia benar-benar dapat menilai fikiran, nafsu dan jiwa/hati manusia hingga dengan itu mudah membaiki manusia.


*M617*
Sebenarnya setiap apa yang kita dengar, setiap apa yang kita lihat dan setiap apa yang kita sentuh dan rasa, semuanya menjadi ilmu yang kita dapat daripada pengalaman hidup asalkan kita prihatin, memikir dan mengkajinya.


*M618*
Campurkan ilmu dengan pengalaman, daripada gabungan keduanya itu buat kajian lagi agar timbul hikmahnya atau rahsianya pula, gabungan ini semuanya kita telah dapat ilmu dalam ilmu, maka ilmu itu bertambah teguh dan indah.



*M619*
Adunkan ilmu itu dengan pengalaman, ilmu itu bertambah indah dan kuat, pemiliknya matang, pengutipnya tidak jemu-jemu.


*M620*
Tidak mesti orang muda itu muda ilmunya, begitu juga orang tua, tidak semestinya matang ilmunya, justeru ilmu itu kepunyaan bersama, siapa yang rajin berusaha mencarinya, tidak kira siapa, dialah yang memilikinya.

Apabila Kemenangan Atas Dasar Taqwa


Apabila satu bangsa itu mendapat kemenangan dan kejayaan atas dasar taqwa,
kerana menjadikan Tuhan itu matlamat hidup mereka,
Tuhan adalah cinta agung disembah dan dipuja,
kerana sangat membaiki diri dan membersihkan jiwa,
maka lahirlah kemajuan dan tamadun.
Berkat dan rahmat melimpah ruah merata negara
hingga orang kafir pun mendapat untung sama.
Rezeki dimurahkan, kemakmuran luar biasa.
Tidak tahu mana puncanya.
Side effectnya adalah positif.
Rakyat berkasih sayang sesama mereka.
Mereka hidup hormat-menghormati.
Bertolong bantu, bekerjasama menjadi budaya.
Manusia pemurah, suka memberi dan membantu.
Para pemimpin dan orang kayanya tawadhuk.
Ulama-ulama merendah diri dan menjadi obor kepada masyarakatnya.
Kemungkaran dan maksiat terang-terangan tidak kelihatan.
Jenayah terlalu kurang.
Hidup penuh aman damai dan harmoni.
Hingga rakyat hidup di dalam bahagia dan ceria.
Kebimbangan dan ketakutan tidak ada.
Ramai rakyat yang bersyukur.
Beginilah kalau sesuatu bangsa itu mendapat kemenangan dan kejayaan atas dasar taqwa.
Tapi ini berlaku di dalam sejarah beratus tahun sekali.
Kita harap ia akan datang atau terjadi sekali lagi di zaman kita ini. 


Kisah seorang penjual haiwan ternakan



Setelah melayani pelanggan, saya melihat seorang wanita separuh umur sedang memperhatikan jualan kami,
Dilihat dari penampilannya, ia seperti mahu membeli. Lalu saya menghampirinya dan menawarkan; “Sila kan puan"
Dia menunjuk, “Kalau yang itu berapa harganya?” Wanita itu menunjuk pada kambing yang paling kecil.
Kalau yang itu harganya RM300, jawab saya. 
"Harga paling diskaunnya berapa?" 
"RM250 bolehlah kak". harga sebegitu untung saya kecil, tapi bolehlah..
“Duit saya cuma ada RM200, boleh ya..”.
Alahai..saya bingung, kerana itu harga modal kami, tapi akhirnya saya berlembut. “Boleh lah kak...”
Saya pun menghantar kambing yg sudah dibeli oleh wanita itu ke alamat yg diberikan. Ketika sampai di rumah wanita tersebut.
Astaghfirullaah... Allahu Akbar, terasa menggigil seluruh badan demi melihat keadaan rumah wanita tersebut.
Wanita itu tinggal bertiga dengan ibu dan seorang anaknya di sebuah pondok amat buruk berlantai tanah. Saya tidak dapati katil untuk tidur atau baring. Yang ada hanya pangkin kayu beralas tikar lusuh.
Di atas pangkin itu sedang tidur seorang nenek tua yg kurus. “Mak..bangun mak, ni tengok Sumi bawa apa". Perempuan tua itu terbangun. 
“Mak, Sumi sudah beli kambing buat emak qurban. Nanti kita hantar ke Masjid ya mak."
Orang tua itu terkejut, namun kelihatan bahagia. Sambil mengusap-usap kambing itu orang tua itu berucap, Alhamdulillah, akhirnya kesampaian juga emak nak buat qurban.
“Ni bang duitnya. Maaf ya kalau saya menawarnya terlalu murah. Saya hanya kuli, tukang basuh. Saya kumpulkan wang untuk beli kambing yang mau saya niatkan buat Qurban ibu saya....
Ya Allah...Ampuni dosa hamba. Hamba malu berhadapan dengan hambaMU yg satu ini. HambaMU yg Miskin Harta tapi dia kaya Iman. Seperti bergegar bumi ini setelah mendengar niat dari wanita ini.
“Bang ni wang bayaran kambing itu!" panggil wanita itu,
“Tak pa lah puan, biarlah bayaran kambing ini saya yg tanggung"
Saya cepat berlalu pergi sebelum wanita itu perasan apabila melihat mata ini sudah basah kerana tak sanggup mendapat teguran dari Allah yg sudah mempertemukan dengan hambaNYA yg dengan kesabaran, ketabahan dan penuh keimanan ingin memuliakan orang tuanya....
Semoga Allah menginsafkan kita...😭

MADAH baru 281


Ilmu boleh mendatangkan/ mendapatkan kekayaan, tapi kekayaan tidak mendapatkan/mendatangkan ilmu.
Ilmu memandu cara kehidupan, harta memudahkan kehidupan. Oleh itu carilah ilmu, ia merangkumi semua.


*M612*
Musang yang cerdik itu, dia makan buah-buahan atau ayam yang di kebun-kebun atau diladang-ladang atau di padang-padang. 
Bukan makan yang di dalam perangkap, mungkin makanannya lebih istimewa. Selepas makan, perut kenyang, dia terjebak. 
Begitulah umat Islam yang beriman lagi cerdik, dia belajar ilmu memburu kemajuan, membangun mencari kekayaan, tapi tidak sampai terjebak iman dan syariatnya.


*M613*
Ilmu yang tidak bertunjangkan iman itu atau yang tidak bertunjangkan wahyu, walaupun yang tidak menyalahi Islam; apatah lagi yang menyalahi Islam; berkatnya tiada. 
Bila tiada berkatnya, macam-macam boleh terjadi, di antaranya cepat tua, sakit kepala, ada ilmu tapi rasa jiwa kekosongan, mudah jemu, bila ada masalah dia tidak boleh menyelesaikan masalah, tidak boleh menenangkan jiwa, boleh membawa sakit jiwa dan putus asa.


*M614*
Ilmu dunia sebanyak mana sekalipun, ia tidak akan bersih, kalau ia tidak diproses.
Ia ibarat air yang ditampung sebanyak-banyaknya, kalau air itu tidak diproses dan dibubuh klorin, dia tidak akan jernih dan bersih, berbahaya diminum.
Begitulah ilmu dunia, kalau ia tidak diproses dengan ilmu wahyu, ilmu dunia itu tidak akan terlepas daripada kesalahan dan kesilapan, amat merbahaya kepada aqidah.


*M615*
Ilmu psikologi/jiwa mengikut pandangan Barat yang sebenarnya ialah *mengesan nafsu* manusia, sekalipun mereka tidak mengatakan nafsu.
Ilmu ini tidak berjaya mendidik manusia, bahkan pakar psikologi/jiwa pun ditimpa penyakit jiwa.

Anugerah Nikmat Dan Rahmat Tuhan



Anugerah Tuhan ada rahmat bercampur nikmat.
Ada juga anugerahnya hanya semata-mata nikmat.
Kalau nikmat sahaja tidak semestinya bersama rahmat.
Jika rahmat sudah pasti bersama nikmat.
Nikmat yang besar itu bukan kekayaan dan bukan pangkat.
Tidak juga nikmat yang besar itu kesihatan badan, pengaruh dan nama.
Nikmat yang lahir ini kecil sahaja, lebih-lebih lagi kalau tidak bersama rahmat.
Rahmat dan nikmat yang besar itu selalunya bersifat batin atau bersifat maknawi dan bersifat rohani.
Di antara yang besar-besarnya ialah nikmat iman, Islam dan ibadah.
Termasuk nikmat yang besar itu takut dan cintakan Allah.
Termasuk juga nikmat yang besar itu mengutamakan Akhirat.
Keseluruhan nikmat yang besar itu ialah sifat taqwa.
Nikmat yang besar tidak nampak oleh mata.
Lebih-lebih lagi kemegahannya tidak nampak oleh mata.
Nikmat itu hanya dapat dirasa oleh jiwa.
Balasan nikmat itu hanya dapat di Syurga.
Sebab itulah nikmat dunia atau nikmat yang lahir nampak di mata, jangan pula menipu daya kita.
Kalaupun ia nikmat, hanya sementara di dunia.
Boleh jadi juga lahir nikmat, di situ ada bala yang tersirat.
Sebagai contoh, dapat kekayaan, orang bunuh kita pula.
Dapat  pangkat, nama  dan glamor, orang hasad dengki pula, menyusahkan kita.
Cantiknya muka adakalanya jadi bala.
Atau sedap suara, orang hasad dengki pula.
Adakalanya orang sihir, menderita dibuatnya.
Begitulah kalau nikmat tidak berserta rahmat.
Nikmatnya sedikit, balanya tidak mampu kita menanggungnya.
Jadi, nikmat sudah tidak jadi nikmat lagi.
Ia jadi bala pula.
 

MADAH baru 280


*M606*
Berhati-hatilah kita di dalam hendak menentukan salah dan benar, kerana ia tidak boleh diukur dan ditentukan sekadar ilmu yang ada pada kita, justeru ilmu Allah itu terlalu luas, tidak semuanya mesti ada pada kita, pada orang lain mungkin lebih banyak lagi, kecuali masalah yang kita tentukan itu memang telah masyhur di kalangan umat Islam.


*M607*
Penyangak yang tidak berilmu nampak kepenyangakannya, mudah orang kenal, selamat dari tipu dayanya. 
Tapi penyangak yang berilmu tidak  nampak kepenyangakannya, justeru itu banyak orang yang terkena.


*M608*
Kalau kita hendak buru dunia dan nikmatnya, belajarlah ilmu dunia dengan sebanyak-banyaknya, kemudian gunakanlah ilmu dunia itu untuk mendapatkan dunia.
Jangan gunakan ilmu akhirat untuk dunia, kalaupun di setengah hal tidaklah salah tapi tidak jadi ibadah.


*M609*
Orang yang bertaqwa, ilmu dunianya pun dia boleh jadikan alat untuk membangunkan Islam, betapalah ilmu akhiratnya, sudah tentulah lebih-lebih lagi.
Tapi orang yang fasik atau munafik, ilmu akhirat pun akan dijadikan alat untuk dunianya, apatah lagi ilmu dunianya.


*M610*
Carilah ilmu bukan untuk rezeki tapi untuk panduan dan kemajuan manusia.
Carilah pangkat tapi untuk berkhidmat. 
Carilah harta tapi untuk mengagih-agihnya. 

 

Yakin Dan Keyakinan Seseorang

Yakin, satu perkara yang susah menjadi pegangan hati dan perasaan.
Atas dasar ilmu mudah percaya, atas dasar jiwa dan perasaan susah hendak menerimanya.
Percaya perkara asas, yakin adalah perkara penghayatan dan perasaan
yang tidak ada bimbang, senang sahaja menerimanya.
Sebagai contoh Tuhan suruh yakin bahawa rezeki di tangan-Nya, dalam masa yang sama disuruh berusaha.
Yakin adalah sebahagian aqidah, berusaha sebahagian daripada syariat.
Tuhan memberi bekas, berusaha walaupun diperintah, tapi tidak memberi bekas.
Bukan senang hendak membuang perasaan rezeki bukan dari usaha, tapi dari Tuhan.
Kita nampak usaha juga memberi bekas, bukan Tuhan.
Syirik khafilah kita kerananya.
Cuba lihat susahnya hendak yakin,
atas dasar ilmu boleh terima, atas dasar penghayatan sulit menerimanya.
Contoh lagi, atas dasar taqwa Tuhan bantu kita 90%, atas dasar usaha yang halal
10% sahaja.
Oleh itu rebutlah taqwa untuk dapat pertolongan Tuhan 90%.
Usaha 10% hanya sebagai syariat sahaja atau sebagai usaha tidak boleh diabaikan.
Bukan senang hendak mengutamakan taqwa, memperkecilkan usaha kita.
Selalunya hati berkata, usahalah yang sebenarnya kejayaan kita, bukan taqwa.
Usaha lebih besar daripada taqwa.
Usaha lebih penting daripada taqwa.
Padahal taqwa, usaha juga namanya, tapi usaha batin.
Taqwa bukan sahaja dipandang kecil, tapi ternafi terus daripada perasaan.
Sungguh susah hendak yakin mengikut ajaran Tuhan.
Contoh lain, Tuhan memberi kemenangan dan kejayaan di dalam pejuangan atas dasar taqwa sekalipun tidak ramai.
Tapi bagi umat Islam yang berjuang, masih berfikir ramai pengikut sekalipun tidak ada kualiti.
Walaupun sudah terbukti bahawa ramai masih tidak menang dan tidak ada kejayaan, hingga sekarang.
Tapi hendak ubah sikap dan keyakinan bahawa biarlah sedikit tapi matang, Tuhan akan beri kemenangan dan kejayaan, hati payah menerimanya.
Padahal umat Islam hina di masa ramailah.
Jelas sekali kemenangan di tangan pejuang-pejuang yang sedikit tapi bertaqwa, sejarah telah membuktikan.
Walaupun begitu, susah hendak yakin di dalam hati.
Namun logik masih menghantui fikiran.
Kita bagi contoh lain untuk lebih meyakinkan.
Kecundangnya umat Islam di dalam apa perjuangan adalah kerana dosa.
Oleh itu untuk kejayaan dan kemenangan, bersihkan dosa dan bertaubat segera.
Umat Islam payah mahu menerima konsep ini.
Kerana hendak berjaya dan menang, tidak fikir dosa bahkan buat dosa.
Kalau kita cerdik, tahu atas dasar ilmu, mungkin umat Islam tidak tolak.
Tapi hendak yakin tidak, hati hendak menerima berdolak-dalik sahaja.
Jelaslah yakin satu perkara yang susah, sekadar percaya bolehlah.
Kalau begitu apa yang berlaku kepada umum umat Islam?
Yang berlaku masih ramai umat Islam yang syirik khafi di dalam aqidah.

MADAH baru 279


*M601*
Berbuatlah baik sebanyak-banyaknya, kemudian jagalah sebaik-baiknya, tinggalkanlah dosa seminima mungkin, kemudian jagalah sebaik-baiknya agar pahalanya tidak rosak.


*M602*
Di zaman dahulu, di masjid ibarat rumah tuan-tuan imam, siapa yang datang ke sana dia merasakan tetamunya.
Di zaman sekarang ini tidak lagi begitu, masjid telah menjadi kilang-kilang atau ladang kepada tuan-tuan imam, mereka tidak lagi terasa orang yang datang ke masjid macam tetamunya.


*M603*
Merenunglah ke belakang, mana yang silap lalu diperbaiki, pandanglah ke hadapan, apakah kebaikan yang hendak dibuat lagi, inilah yang dikatakan muhasabah dan muraqabah diri.


*M604*
Ketentuan dan takdir Allah kita tidak suka, ujian-Nya kita benci menerimanya, masa depan kita bimbang sahaja, dapat nikmat bakhil pula, bertambah nikmat bertambah tamaknya, apabila dinasihat marah-marah saja, ketika memberi mengaku ikhlas, inilah menunjukkan ibadah kita tidak berkesan, kerana ibadah-ibadahnya tidak ada jiwanya, apakah yang hendak kita sembahkan kepada Tuhan kita?!


*M605*
Kalau zaman dahulu, apabila ingin mencari ketenangan, beriktikaf di masjid. 
Di hari ini di masjid banyak hal yang tidak menyenangkan, bagaimanalah di masjid hendak mendapat ketenangan.

Makanan Jasad, Akal Dan Roh



Semua anggota di dalam diri manusia kena diberi makan.
Anggota lahir mahupun anggota batin.
Kalau tidak, semua anggota itu akan kelaparan.
Ilmu adalah makanan akal, jasad makanannya adalah nasi, roti  dan sebagainya.
Roh raja di dalam diri, makanannya adalah mengingati Tuhan (zikrullah).
Zikir di sini yang dimaksudkan bukan membaca ayat-ayat atau kalimah-kalimah dijadikan zikir.
Ini adalah bagi orang yang lalai atau bagi permulaan sebagai latihan.
Zikrullah di sini ialah mengenal Tuhan secara tepat.
Hingga terasa besar dan hebat.
Takut dan cintakan Tuhan sebagai hiburan.
Jiwanya rasa bertuhan sentiasa hidup.
Di masa bila dan di mana-mana sahaja.
Ertinya dia sentiasa bersama Tuhan.
Faham kerja dan peranan Tuhan, sama ada lahirnya positif mahupun lahirnya negatif.
Setelah ada ilmunya, dihayati pula, jiwanya akan tenang.
Apa sahaja yang berlaku dalam dirinya, dia terhibur.
Dapat nikmat dia rasa bersyukur dan malu dengan Tuhannya, tidaklah takabur.
Mendapat ujian kesusahan, kemiskinan, kematian, kesakitan, sabar dia menerimanya.
Dia merasa mendapat pahala dari Tuhannya atau dosanya dihapuskan.
Senang hatinya dengan kesusahan-kesusahan itu.
Mendapat pahala atau penghapusan dosa, tentulah jiwanya terhibur.
Kalau tidak, akan masuk Neraka yang amat bahayanya dan dahsyatnya.
Apa sahaja yang dia hajatkan yang berbentuk kebaikan kadang-kadang dapat, kadang-kadang tidak.
Adakalanya hendak mendapat seperti yang dia mahu, tapi dapat kurang daripadanya dia redha.
Dia baik sangka dengan Tuhannya.
Masa depannya dia serahkan kepada Tuhan di dalam dia berusaha.
Dia boleh menerima apa sahaja ketentuan dari Tuhannya.
Kecuali kekufuran dia tidak redha.
Kesenangan orang dia rasa senang, kesusahan orang dia rasa derita.
Hasad dengkinya tidak ada.
Fahaman seperti yang disebut adalah makanan jiwa.
Ia dianggap zikir kepada Tuhannya.
Siapa yang faham seperti yang diceritakan, dihayati, boleh di apply di dalam hidup, dia tidak akan ditimpa penyakit jiwa.
Inilah dia pertahanan diri daripada terlibat dengan dadah dan segala gejala yang tidak sihat. 


MADAH baru 278


*M596*
Ibadah yang berkesan itu ialah ibadah yang melahirkan akhlak yang mulia. 
Akhlak yang mulia bukan pada percakapan atau ceramahnya tapi gerak geri.
Gerak geri bukan kerana peraturan atau etika pergaulan tapi tabiat diri bahkan satu aspek daripada dirinya, ertinya sudah sebati.


*M597*
Tidak mesti setiap benda yang besar itu bernilai atau paling bernilai di dunia ini. Benda yang paling bernilai dan mahal ialah benda yang kecil iaitu intan dan mutiara.
Begitulah amal ibadah di sisi Allah itu, Allah tidak mengukur tentang banyaknya atau dipandang besar, tapi amal ibadah yang paling ikhlas yang kita buat, sekalipun ibadat kecil sahaja pada pandangan mata. 

  

*M598*
Buatlah kebajikan kepada orang ramai secara tidak rasmi; itu lebih selamat daripada riyak dan ingin nama, agar pahalanya terpelihara; daripada membuat kebajikan kepada orang ramai secara rasmi, payah dijaga daripada ingin nama, hilang pahala.


*M599*
Walau sebanyak manapun kita bersembahyang, berpuluh tahun kita lakukan, hitam dahi, sakit-sakit kaki, tapi yang sembahyang itu ialah fizikal lahir kita.
Yang berdiri badan, akal dan hati tidak berdiri. Badan yang rukuk, akal dan hati tidak rukuk. Badan yang sujud, akal dan hati tidak sujud. Yang membaca lisan, akal dan hati tidak membaca. 
Inilah rahsia mengapa sembahyang tidak memberi kesan, itulah rahsia mengapa orang yang bersembahyang berbohong, rasuah, penipu, bakhil, sombong, khianat, mengumpat, kejam, zalim, pemarah, riyak, suma'ah,
tidak bertimbang rasa, tidak bertolak ansur, tamak, jahat sangka, ingin nama, suka glamour dan lain-lain lagi sifat yang keji. 
Sedangkan sembahyang Allah berkata:
tanha 'anil fahsya i wal mungkar.


*M600*
Pendidikan itu tapaknya sembahyang atau asasnya sembahyang, tunjangnya iman.
Ia dipraktikkan bermula di dalam keluarga, dari sinilah titik tolak disiplin di dalam Islam. Kalau keseluruhan disiplin yang diwujudkan tidak bermula daripada displin sembahyang, disiplin-disiplin yang lain tidak akan memberi kesan. 

 

Lalai Basahan Manusia



Lalai menjadi basahan kepada manusia.
Cuai menjadi watak manusia.
Lupa menjadi tabiat semulajadi manusia.
Gopoh menjadi budaya mereka.
Tidak hairanlah lumrah berlaku, sepandai-pandai manusia, lupa berfikir lebih dahulu sebelum bertindak, terutama di waktu dia marah.
Dia bertindak melulu.
Tidak sempat berfikir, meledak sahaja.
Sudah terlajak barulah menyesal.
Jadi cerdik tidak menjamin manusia berfikir sebelum bertindak.
Pandai tidak mesti dia berfikir sebelum berbuat.
Justeru itulah Islam mewajibkan mendidik nafsu.
Agar dia tenang, tindakannya tidak melulu.
Supaya dia tidak gelojoh.
Sempat akal berfikir sebelum melakukan sesuatu.
Tapi manusia ghairah sangat mendidik akal.
Mendidik nafsu tidak ada dalam kurikulum pelajaran.
Nafsu tidak diambil kira.
Seolah-olah nafsu tidak ada dalam diri manusia. 


MADAH baru 277



*M591*
Pengaruh dunia dan mata bendanya ke atas manusia lebih besar lagi daripada pengaruh akhirat dan nikmatnya ke atas manusia.


*M592*
Apabila manusia miskin harta, miskin iman pula, ertinya orang yang malang di dunia dan malang di akhirat.


*M593*
Sebelum beribadah istighfarlah dulu, agar menghadap Allah di dalam keadaan diri yang bersih. 
Waktu beribadah, hayatilah ibadah itu supaya memberi kesan pada jiwa.
Sesudah beribadah istighfar lagi, ditakuti waktu ibadah tadi kita tidak beradab dengan Tuhan kita.
Selepas itu sujud syukurlah kerana boleh menyembah-Nya, kerana mengizinkan kita menyembah-Nya.


*M594*
Memberi hadiah kepada orang yang kita hormati, sebaik-baiknya bukan kerana besarnya atau kerana banyaknya tapi kerana nilainya sekalipun kecil. 
Begitulah ibadah yang hendak kita persembahkan kepada Tuhan itu, biarlah sedikit tapi bernilai atau berkualiti, daripada banyak tapi tidak bernilai.



*M595*
Allah tidak memandang ibadah yang banyak tapi Allah memandang ibadah yang bernilai sekalipun sedikit.

Bumi Tuhan... Bersaksilah