Muslim Cemerlang, Gemilang, Terbilang



Bukan senang hendak mencari seorang Muslim yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Betapa pulalah satu bangsa lebih-lebih lagilah jarang dan kurang.
Dia seorang yang takut dan cintakan Tuhan, ibadah tidak dicuaikan.
Masa yang sama dia maju di dalam pelajaran, kreatif, aktif dan tidak jahat dan curang.
Dia seorang yang berjaya di bidangnya tapi tidak cintakan dunia.
Dunia yang dimilikinya dapat diagih-agih dan dapat dimanfaatkan kepada semua manusia.
Dia maju di dalam hidupnya, sombongnya tidak ada bahkan merendah diri sentiasa.
Kelebihan yang ada padanya untuk agama, bangsa dan negaranya.
Tidak megah, tidak menunjuk-nunjuk bahkan tawadhuk, bermesra sesama manusia.
Walaupun berjaya tapi tidak suka dipuji dan disanjung-sanjung tinggi.
Jika dipuji, dia malu menerimanya bahkan jiwanya terseksa.
Kesenangan yang dimilikinya selalu membantu yang tidak punya. Dia tidak tamak, tidak mementingkan diri, orang yang meminta bantuan ditolongnya.
Bahkan sentiasa sahaja simpati dengan orang yang tidak berada.
Dirinya adalah aset bangsa dan negaranya kerana kemampuannya.
Di dalam dia maju, berkasih sayang. 
Di dalam dia berjaya, hormat dengan manusia.
Dunianya maju dan berjaya, akhiratnya terserlah di dalam ibadahnya, perjuangannya dan akhlaknya.
Dunia di dalam tangannya, syukurnya nampak pada perbuatan dan sikapnya.
Di dalam kejayaan tidak pula menghina orang yang ketinggalan dan kecundang.
Padanya setiap kejayaan yang diperolehinya adalah anugerah Tuhan,
bertambah malu lagi dengan Tuhannya.
Itu baru contoh cemerlang, gemilang dan terbilang bagi seseorang.
Kalau majoriti berlaku kepada satu bangsa umat Islam di sesebuah negara,
itulah yang dikatakan umat Islam yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Sudah wujudkah di mana-mana sebuah negara Islam yang cemerlang, gemilang dan terbilang?
Jika sudah berlaku, tentulah negara itu menjadi tempat rujuk dunia Islam. 


Haji Kemuncak Ibadah


Ibadah haji adalah kemuncak ibadah.
Bermula daripada pengakuan: Allah adalah Tuhan yang patut disembah, Nabi Muhammad Rasulullah.
Kemudian dimulai dengan ibadah sembahyang yang menjadi tiang seri seluruh ibadah.
Disusul pula ibadah puasa, kemudian zakat, penutupnya ibadah haji, semuanya menjadi rukun Islam, haji kemuncak ibadah.
Tujuan ibadah untuk melahirkan dua perkara yang utama.
Menajamkan rasa bertuhan, menebalkan rasa kehambaan.
Dua perkara ini ia lazim-melazimi, tidak boleh kedua-duanya bercerai perasaan.
Jika rasa bertuhan tajam, rasa kehambaan menebal.
Kalau rasa bertuhan tidak ada atau tipis, rasa kehambaan juga ikut sama tidak ada.
Dengan kata-kata yang lain jika wujud cintakan Tuhan dari ibadah,
takutkan Tuhan ikut serta.
Hasil ibadah itulah yang menjadikan Tuhan redha pada seseorang hamba.
Di sini fahamlah kita, tujuan ibadah untuk menebalkan rasa bertuhan
dan untuk menebalkan rasa hamba.
Side effectnya: Hamba itu merendah diri, pemurah, bertimbang rasa,
pemaaf dan meminta maaf.
Ditambah lagi dengan sifat-sifat sabar, redha, tawakal, bertolak ansur,
kasih sayang, rasa bersama dan bekerjasama.
Maka sombong, pemarah, riyak, ujub, bakhil, tamak, dengki, mementingkan diri,
dendam dan lain-lain lagi sifat negatif secara automatik musnah.
Di dalam sajak ini, fokus kita adalah ibadah haji.
Haji ertinya menuju Allah secara rohaniah dan maknawiah.
Ingin mencintai Tuhan yang bersifat kasih sayang kepada manusia.
Menuju Allah tafsirannya adalah hendak menebalkan lagi rasa bertuhan dan sekaligus menebalkan lagi rasa kehambaan.
Hasil dari itu dapat memiliki sifat-sifat mahmudah,
sekaligus sifat-sifat mazmumah pun musnah.
Kalaulah ibadah, dari sembahyang hingga ibadah haji, dihayati,
ia sangat berkesan di dalam jiwa dan hati,
akhirnya terbawa di dalam kehidupan manusia.
Apabila sampai ke ibadah haji, ia telah sampai ke kemuncak ibadah.
Rohaniahnya juga sepatutnya turut memuncak.
Pulang ke tanah air membawa jiwa yang suci murni.
Membawa sifat mahmudah yang tinggi,
akhlak yang mulia, peribadi contoh.
Memiliki rasa cintakan Tuhan dan takutkan Tuhan telah sebati menjadi jati diri.
Mempunyai rasa bertuhan memenuhi hati nurani.
Dapat merasa kehambaan menghayati hati sanubari.
Mereka pulang membawa sebahagian besar sifat-sifat malaikat berupa manusia.
Mereka menjadi role model di kalangan bangsanya untuk ditiru dan dicontohi.
Kalaulah mereka, setiap yang pulang dari haji membawa sifat-sifat dan sikap seperti yang telah digambarkan tadi,
makin ramailah bilangan bangsa itu menjadi role model untuk diikuti setiap tahun oleh bangsanya.
Jangka panjang, bangsa itu akan berkasih sayang,
rasa bersama, bekerjasama, bersatu padu.
Lahirlah kemajuan, bangunlah tamadun, bangsa bermoral dan bermaruah tinggi.
Semua golongan hidup aman damai dan harmoni.
Tapi inikah yang terjadi kepada kebanyakan jemaah haji umat Islam seluruh dunia?
Mereka pulang ke tanah air membawa perangai lama juga.
Ibadah mereka walaupun sudah sampai ke kemuncaknya iaitu ibadah haji perubahan sikap tidak ada.
Kerana itulah kehidupan umat Islam seluruh dunia berpecah-belah,
mundur, akhlak rosak, hina, hidup porak-peranda.
Ibadah mereka tidak membawa erti apa-apa di dalam kehidupan mereka.
Kerana ibadah itu dibuat tidak dihayati bahkan sekadar faham pun tidak ada.
Ibadah yang tidak dihayati itu tidak dapat membangunkan jiwa bangsa,
seterusnya tidak dapat membangunkan kekuatan bangsa. 


MADAH baru 438


*686*
Hari ini manusia hidup di dalam kegelisahan kerana gejala tidak sihat berlaku di mana-mana, di rumah, di sekolah, di tempat kerja bahkan di rumah Allah. 

*687*
Di dalam keluarga kalau anak-anak tidak terdidik, kesalahannya ada pada ibu bapa, isteri kalau tidak terdidik, kesalahannya kepada suami, di dalam sekolah, kalau pelajar-pelajar tidak terdidik, kesalahannya kepada guru-guru, di dalam masyarakat umum, kalau rakyat tidak terdidik, kesalahannya kepada pemimpin. 

*688*
Kalaulah kita datang ke tempat peleseran atau ke tempat ramai, orang membuang-buang masa dengan tujuan semata-mata hendak mencari kesalahan mereka atau dengan tujuan menangkap mereka atau dengan tujuan menakut-nakutkan mereka, gejala masyarakat tidak akan selesai, bahkan mungkin bertambah menebal tapi cuba pihak-pihak yang ingin menangani gejala sosial ini pergi bergaul dengan mereka, berbual-bual dengan mereka, ajak mereka makan dan minum, kemudian tunjuk kasih dan sayang, tunjuk akhlak yang mulia, secara tidak langsung kita dapat menyelami jiwa dan masalah mereka, kemudian lakukan begini secara selalu dan istiqamah, kemudian didik mereka secara perlahan-lahan dengan tidak secara rasmi, cara ini insya-Allah sangat memberi kesan.  

*689*
Di dalam masa hendak membanteras gejala-gejala masyarakat yang ditimbulkan oleh pelajar-pelajar dan para remaja, di dalam masa yang sama orang-orang besar, guru-guru, pihak keselamatan, ibu bapa, pegawai-pegawai kerajaan pun menimbulkan masalah, bagaimanakah pelajar-pelajar dan para remaja mahu menerima nasihat dan disiplin hidup kerana hati kecil mereka berkata:
"Alah, penyakit kita orang muda-muda disibukkan, orang-orang besar dan orang-orang tua pun buat masalah." 

*690*
Apabila kebanyakan manusia telah diasuh dari kecil oleh ibu bapanya, guru-guru, masyarakat, pemerintahnya, bahkan cita-cita dirinya sendiri, bahawa belajar itu dengan tujuan jawatan, mencari kekayaan dunia, kemegahan dan pangkat kebesaran, sudah tentu buahnya akan lahirlah nanti di kalangan bangsa di negara itu doktor-doktor yang mementingkan diri, ahli undang-undang yang mementingkan diri, ahli ekonomi yang mementingkan diri, ahli-ahli politik yang mementingkan diri, ahli-ahli pentadbir yang mementingkan diri, ahli-ahli sains yang mementingkan diri, ahli-ahli sastera yang mementingkan diri, ahli-ahli pasukan keselamatan yang mementingkan diri, kesannya orang awam atau rakyat jelata akan menjadi sasaran negatif, timbul kegelisahan di dalam masyarakat oleh sikap golongan tadi, itulah dia gejala-gejala masyakarat yang kebanyakan manusia tidak menyedari, bila lahir gejala masyarakat dari golongan yang menjadi penyebab gejala itu terjadi, golongan itu pula lah yang bangun kononnya hendak menangani gejala-gejala masyarakat, bolehkah gejala masyarakat itu menjadi baik?!

Pengertian Haji



Mengerjakan haji  ertinya seseorang hamba itu membawa hatinya kepada Tuhan, mengosongkan fikirannya dari memikirkan dunia.
Hati yang merasa hancur luluh kerana takutkan Tuhannya.
Hatinya fana' daripada memikirkan dunia dan nikmatnya,
hanya kebesaran Tuhan sahaja dirasakannya.
Membawa hati yang berdosa, menginginkan rahmat daripada Tuhan agar diampunkan dosanya.
Hamba yang hatinya merasakan hina-dina, tidak berguna,
mengharapkan kemuliaan daripada Tuhannya.
Hatinya yang penuh merasakan kebesaran, keagungan, kekuasaan dan kehebatan Tuhannya.
Hati yang mengharapkan hidayah dan taufiq dari Tuhan sepanjang hayatnya.
Inginkan keselamatan, keberkatan, ketenangan dan kebahagiaan dari Tuhannya.
Hati yang penuh mengharap dosa-dosanya diampunkan,
kesalahan-kesalahannya dimaafkan.
Mengharap kepada Tuhan iman ditinggikan, taqwa ditambahkan, istiqamah dikekalkan.
Hamba-hamba yang pergi menuju Tuhan, mengharapkan pandangan rahmat dari Tuhannya.
Pergi haji seseorang hamba itu mengharapkan dosanya dihapuskan,
mati di dalam husnul khatimah yang diharapkan.
Membawa hati yang derita kerana dosa-dosanya yang sudah dibuatnya, sedih dengan amalan yang tidak sempurna.
Kekurangan amalannya agar ditampung, doanya diterima, kecuaiannya dimaafkan.
Pergi haji seseorang itu rasa kesal di hadapan Tuhannya di atas kecuaian dan keterlanjuran.
Hati yang penuh tawadhuk, khusyuk, malu berhadapan dengan Tuhannya.
Selain itu, manakala melihat kesan sejarah, teringat para Rasul.
Sahabat menderita dan terseksa kerana memperjuangkan kebenaran.
Terkenang dan terasa sangat jasa-jasa mereka itu hingga Islam hidup berpanjangan.
Kerana jasa merekalah Islam sampai kepada mereka ke akhir  zaman  dan mereka menganutinya.
Teringat bagaimana kekasih Tuhan di dalam sejarah, cekal, sabar, redha menerima ujian.
Apabila balik ke tanah air membawa perasaan yang insaf dan terkesan.
Hingga perasaan itu menjadi pemangkin dan pendorong hendak berjuang sekalipun berhadapan dengan kesusahan.
Mati angan-angan kepada dunia, rasa bertuhan dan hambanya  penuh di dalam perasaan.
Jiwanya sangat hidup, perangainya sangat berubah, ibadahnya bertambah.
Menjadi orang yang berkasih sayang, bertimbang rasa, 

rasa bersama bekerjasama sesama manusia.
Halus perasaannya, tinggi kemanusiaannya, bertolak ansur dengan sesama.
Itulah kesan seorang yang bertaqwa balik dari haji.
Melahirkan manusia baru yang luar biasa, senang hati orang yang melihatnya.
Orang yang macam itulah yang mendapat haji mabrur daripada Tuhannya.
Pulang membawa jasadnya manusia, hatinya malaikat.
Dosanya diampunkan Tuhan, bersih daripada dosa macam bayi yang baru dilahirkan.
Itulah dia orang Tuhan,
kesan daripada haji yang mabrur yang menggembirakan.
Begitulah gambaran hati orang yang balik dari haji yang mendapat haji mabrur.
Kalau begitu tentu sekali tidak ramai yang mendapatnya,
kerana haji yang mabrur itu sangat mahalnya. 


MADAH baru 437


*691*
Gejala masyarakat yang tidak sihat bukan boleh selesai dengan pidato berapi-api, mengugut-ugut dan mencaci-caci, buat undang-undang, tangkap dan gari, ia memerlukan sifat taqwa yang menangani, kaedah yang tepat, pemimpin secara dekat. 

*692*
Kalaulah makanan itu ubat pun dicampur racun pun dicampur, kemudian disajikan, yang berpengaruh adalah racun bukan ubat, begitulah apabila masyarakat itu yang negatif disajikan, yang positif pun disogokkan, maka yang berpengaruh kepada masyarakat ialah yang negatif. 

*693*
Kalau kita inginkan anggota masyarakat berdisiplin, rakyat bermoral, masyarakat bersih daripada gejala tidak sihat, kita mestilah lebih dahulu berdisiplin dan bermoral, kita dan keluarga mesti dahulu menjadi model, barulah orang lain berdisiplin dan mudah mereka mencontohi kerana ada model. 

*694*
Kalau kita lihat watak, gelagat dan sikap manusia hari ini, kalaulah tidak dilindungi oleh kepintaran dan ilmu yang banyak serta oleh alat-alat kehidupan yang canggih hingga mudah dikesan oleh mata kepala, kita rasa kejahatan yang tersembunyi ini lebih banyak dan hebat lagi dari gejala-gejala yang kita lihat hari ini. 

*695*
Orang Islam hari ini, dia membenci orang Barat, tapi tidak membenci kelakuan dan budayanya, justeru itulah sebahagian umat Islam masih lagi berkelakuan dan berbudaya Barat.

Ole-Ole Haji




Balik dari Mekah jangan hanya tamar dan zam-zam yang dibawa pulang.
Lebih-lebih lagi tidak igal dan barang-barang mahal yang dibawa pulang.
Bukan itu semua yang penting dibawa pulang.
Tapi pengajaran dan hikmah yang patut dibawa dari sana.
Ole-ole dari haji bukan bersifat material yang dibawa pulang.
Tapi yang bersifat maknawiah dan rohaniah yang lebih penting.
Pengalaman yang luas, akhlak yang tinggi di dalam diri.
Itulah dia buah haji yang mabrur lagi sejati.
Buanglah perangai buruk, gantilah dengan perangai mulia.
Tanamkanlah keinsafan di dalam diri dengan agama.
Jadikanlah agama hidup mati kita.
Sesuai dengan semangat haji kemuncak rukun Islam yang lima.
Kebanyakan jemaah haji pulang ke tanah air tidak berubah.
Sifat-sifat mazmumah yang lama masih dibawa pulang.
Perjuangan tidak wujud, pengorbanan tidak bertambah.
Yang bertambah cinta dunia, gila pangkat, suka glamour.
Kalau itulah yang dibawa, tanda haji yang dibuat tidak berbuah.
Mengikut kitab, haji yang tidak mengubah perangai, 
namanya haji mardud.
Terbuanglah masa, habislah duit, sia-sia tenaga.
Yang dapat hanya susah payah, letih badan, pahala tiada, berdosa pula.

MADAH baru 436


*696*
Gejala-gejala negatif yang diimport dari Barat
bukan sahaja budaya lepak, punk,
disko, pergaulan bebas, homoseksual, lesbian, arak, judi
tapi lebih dari itu
iaitu ego, mementingkan diri,
hidup nafsi-nafsi, materialisma, sekularisma. 

*697*
Di dunia ini
hidup berpura-pura menjadi budaya,
yang lahir tidak menunjukkan yang batin,
kerana hendak mengambil hati manusia
untuk menjaga kepentingannya,
kecuali ada dua golongan.
Pertama:
Orang yang pergantungan dengan Allah saja
yang tidak peduli manusia,
bagaimana yang kita lihat
begitulah yang tersirat.
Kedua:
Orang-orang jahat yang tidak ada kepentingan dengan setengah manusia,
di waktu itu dia akan lahirkan
tanpa malu-malu sikap hidupnya
walaupun apa orang nak kata.
Yang tadi baiknya nyata,
yang ini jahatnya nyata.
Selain yang dua golongan ini,
keburukan dan kebaikannya samar-samar.  

*698*
Di dalam dunia ini
sejak dulu hingga ke hari ini,
kita dapat mengesan
mana golongan-golongan yang berada di dalam sebuah jabatan
atau kementerian
yang sikapnya di dalam tugas
selalu kejam, kasar, menindas, menzalim
dan tidak ada perikemanusiaan,
Allah balakan kepada mereka,
yang mana kebanyakan anak-anak mereka
tidak berdisiplin, jahat
dan terlibat gejala-gejala sosial. 

*699*
Zaman sekarang apabila kita membawa kereta di jalan raya
terutama di waktu malam,
jika kita nampak ada kereta di tepi jalan,
tuannya memanggil kita seolah-olah ada masalah
atau ada orang yang hendak menumpang,
kita menjadi serba salah.
Kalau tidak ditolong, bimbang kalau benar-benar ada masalah,
kalau ditolong
takut kita kena belasah,
habis duit dan barang-barang kena geledah. 

*700*
Hari ini kalau kita ada masalah di jalan raya
terutama di waktu malam
sulit sekali kita hendak mendapat bantuan
kerana orang takut kalau-kalau kita perompak jalan raya atau lebuh raya,
kerana lumrah berlaku kepada mereka.
Inilah gara-gara akhir zaman.

MADAH baru 435


*676*
Di zaman dahulu, setiap orang Islam yang datang ke mana-mana kampung umat Islam dirasakan kepulangan keluarga yang sudah lama hilang, satu kampung menyambut kedatangannya. Tapi sekarang apa yang berlaku, apabila ada orang Islam masuk ke kampung umat Islam, sama ada orang kampung itu buat tidak peduli atau dirasakan penyangak mana pula yang datang. 

*677*
Sebelum merdeka, perhubungan susah, makanan dan pakaian terbatas, tempat tinggal dhaif, kemiskinan terserlah, cerdik pandai kurang tapi masyarakat indah, gotong-royong menjadi budaya, gejala masyarakat sangat kurang, masyarakat agak harmoni, ke mana pergi kita tidak takut dan curiga. 

*678*
Tidak mesti faham ilmu masyarakat (faham ilmu sosiologi), pandai bermasyarakat dan dengan itu pandai meletakkan diri di dalam masyarakat pergaulannya. Berapa ramai ahli kaji masyarakat atau ahli psikologi masyarakat, apabila bergaul dengan masyarakat, dibenci oleh masyarakat kerana tidak pandai bermasyarakat. 

*679*
Di pekan atau di bandar nampak lahirnya indah dan cantik tapi penduduknya tidak tenang, hati selalu bimbang, satu sama lain tidak kenal mengenal, tidak seperti kampung, suasananya tidak cantik, tapi manusia agak tenang, kebimbangan kurang, boleh berkenal satu sama lain. 

*680*
Hari ini sibuk orang menyesat dan mempersalahkan dukun yang mempercayakan keramat, keris, jampi, mantera.
Baguslah! Tapi keyakinan dan semangat ini makin lama makin kurang kerana orang sudah banyak yang pandai, orang tidak mahu lagi tapi timbul kesesatan yang lain yang berbentuk moden yang lebih hebat lagi. Namun demikian jarang sangat orang menyalahkan, ulama-ulama pun tidak berani menyalahkan, mungkin barangkali sudah hampir semua golongan terlibat, justeru itu orang tidak mempersoalkan lagi iaitu faham kebendaan, faham sekular, penganut isma atau ideologi, orang yang tidak mempedulikan Allah atau acuh tak acuh dengan Tuhan.

Tidak Semudah Slogan


Kita ini dari pemimpin hinggalah rakyat jelata mudah sahaja berkata:
"Kita kenalah bertolak ansur! Barulah kita boleh hidup bersama."
Apakah bertolak ansur itu mudah, apa kaedahnya?
Apa pemangkinnya?!
Pernahkah kita didik rakyat cara itu dari kecil lagi?
Cuba jawab bersama.
Marilah kita bekerjasama untuk kepentingan bersama!
Mudah sahaja kita berkata begitu, ilmunya tidak pernah diperkata.
Kalau kita bercakap orang sudah boleh menerima dan boleh melakukannya,
ertinya mudahnya mendidik manusia, begitukah?
Mendidik manusia, kena kenallah manusia, ada ilmunya, ada kaedahnya.
Mendidik manusia tidak semudah dikata.
Dari kecil tidak pernah diasuh, dari sekolah lagi tidak pernah diperkata,
tiba-tiba setelah dewasa minta dikota?!
Tidak masuk akal, tidak munasabah manusia boleh terus bertindak.
Sikap dan watak manusia itu adalah hasil asuhan dan didikan.
Ia mestilah dilatih dari kecil lagi barulah berkesan.
Marilah kita cintakan agama, bangsa dan negara!
Slogan ini tidak semudahnya orang boleh cinta.
Kalau cinta nafsu, memang tidak payah diajar, tidak payah diasuh,
orang sudah sedia pandai.
Macam cinta laki-laki atau perempuan, ia cinta nafsu mudah berlaku.
Kita kenalah faham ini.
Tapi cintakan agama, bangsa dan negara tidak mudah berlaku hanya sekadar berkata.
Ia bukan cinta kepada sesuatu yang terangsang dan merangsang macam cinta laki-laki dan perempuan.
Cinta yang ini mudah berlaku.
Tidak diceritakan pun berlaku, memang setiap hari berlaku.
Cintakan agama, bangsa dan tanah air tidak begitu.
Ia perlu diasuh dari kecil, dididik dari sekolah lagi.
Ia perlu pemangkin, perlu ilmu, perlu kesedaran, perlu galakan,
hingga mendarah mendaging.
Disebut selalu itu hanya hendak menyuburkan sahaja.
Sedangkan asasnya sudah ada, sudah bertapak di jiwa.
Diharap semua golongan faham dan ambil tahu bahawa sebenarnya perkara besar, semua hal adalah hasil didikan.
Bermula dari kecil lagi. 


MADAH baru 434



*661*
Membuka kitab mudah, membaca kitab susah, memahami kitab lagi susah, mengamalkan isi kitab, itulah yang paling susah dan payah. 

*662*
Tunggulah peluang, jangan peluang menunggu kita.
Bila terlepas peluang, dia akan terlepas selama-lamanya, kalaupun selepas itu kita dapat, tapi itu yang lain pula.  

*663*
Siapa di kalangan hamba Allah; sekalipun golongan bawahan yang tidak dikenali mungkin tidak dipeduli; yang terlepas dari godaan syaitan dan belenggu hawa nafsu, dia hanya terikat dengan Allah yang menciptanya semata-mata, 
inilah orang yang sebenar-benar merdeka dan bebas, inilah hamba Allah yang hakiki. Selain itu seseorang itu belum lagi dikatakan merdeka, sekalipun dia seorang pembesar negara yang disanjung tinggi. 

*664*
Merenunglah ke hadapan tentang nasib kita di alam akhirat, janganlah merenung nasib kita di waktu tua  yang mana masa di dunia sudah singkat. 

*665*
Menjadi orang Islam (Muslim) mudah saja, apabila mengucap dua kalimah syahadat, Islamlah seseorang itu tapi untuk menjadi seorang mukmin tidak semudah itu, dia kenalah faham, menghayati dan mengamalkan ajaran Islam lahir dan batin.

Penyakit Masyarakat



Tidak ada orang perseorangan atau golongan yang suka dengan kecurian, penipuan, kidnap, rompakan, pembunuhan.
Tidak ada yang suka berlaku rogol, vandalisma, mengganggu ketenteraman awam, khianat, peras ugut dan lain-lain jenayah.
Lebih-lebih yang tidak suka itu orang kaya, yang berkuasa, korporat-korporat,
orang-orang yang mewah dan senang hidupnya.
Tapi mereka lupa adakalanya mereka juga menyumbang gejala masyarakat yang tidak sihat yang menyusahkan dan menakutkan.
Mereka takut dengan kejadian-kejadian yang menakutkan itu, secara sedar atau tidak sedar mereka juga menyumbang ke arah itu.
Sombong orang kaya, orang membalas dendam. 
Mereka rompak atau membuat gangguan-gangguan.
Bakhil orang kaya, itulah mereka curi atau rompak.
Tidak berperi kemanusiaan pihak berkuasa, itulah adakalanya mereka membuat kerosakan kerana sakit hati dan dendam kesumat.
Mereka itu sudah tidak beragama.
Takut dengan Tuhan sudah tidak ada, mudah mereka membalasnya.
Kalau ada orang-orang yang hidupnya mewah dan senang, ada harta dan kuasa yang sama-sama juga tidak takutkan Tuhan,
apa pula mereka hendak takut hendak membuat aniaya kepada mereka?
Sebenarnya kalau kita analisa dan teliti dengan adil dan saksama; kerana kejahatan juga ada tindakan balas;
jenayah yang berlaku, gejala masyarakat yang negatif terjadi, 
buah daripada pertarungan di antara orang kaya dengan yang tidak punya.
Peperangan secara tidak sedar di antara orang susah dengan orang yang senang, lahir jenayah.
Hasil krisis moral di antara golongan atas dengan golongan bawahan, lahir kerja-kerja tidak bermoral.
Dendam secara senyap-senyap di antara rakyat biasa dengan orang yang berkuasa dan orang yang kaya, terjadi gejala yang bahaya.
Ertinya, adakalanya kejahatan orang disebabkan oleh kejahatan kita yang tidak disenangi orang.
Kejahatan dibalas dengan kejahatan, cuma bentuk kejahatan itu sahaja tidak sama di antara orang susah dengan orang senang.
Oleh itu kalau hendak membaiki masyarakat, kenalah kita juga baik.
Kerana kalau kita juga jahat, macam mana hendak membaiki masyarakat yang sudah jahat.
Yang hendak dipulihkan jahat, yang memulihkan pun jahat, mana ada berkat.
Jahat campur jahat jadilah masyarakat bertambah jahat. 


kongsi terbaik

Terbaca satu tazkirah yang sangat baik untuk dikongsikan kpd kita semua sbg tazkirah dan muhasabah diri...

Dalam dunia ni, semua benda bergerak dalam zon masa masing-masing.

Ada yang masih single.
Ada kahwin 20 ribu belanja, sebulan dah berpisah.
Ada yang dah kahwin 10 tahun tapi masih belum ada anak.
Ada yang baru kahwin bulan lepas, hari ni dah mengandung.

Ada yang grad umur 23 tapi terpaksa tunggu 5 tahun sebelum dapat kerja tetap.
Ada juga yang grad umur 29 tapi lepas grad terus dapat kerja jawatan tetap.

Ada yang muda lagi umur 25 jadi CEO tapi umur 50 dah meninggal.
Ada juga yang umur 50 baru jadi CEO dan hidup sampai umur 90.

Zon masa kita semua tak sama.
Jadi tak perlu merasa kita 'tertinggal' hanya bila nampak orang lain lebih berjaya. 
Masa kita belum sampai.
Obama retired at 55, tapi Trump 'bermula' pada umur 70.
Hanya zon masa mereka saja yang berbeza.
Tapi sama-sama dapat jadi Presiden.

Ada yang dipanggil Datuk pada usia 47 tahun, dan ada yang dah ada cucu di umur yang sama. 
Malah ada yang baru menimang cahaya mata pertama di umur yang sama.

Ada yang 'depan' dari kita.
Tapi ada juga yang 'belakang' kita.
Semua orang bergerak dalam laluan yang berbeza pada zon masa yang berlainan.

Allah ada perancangan berbeza untuk kita semua.
Jangan dengki, jangan sakit hati, jangan sedih.
Mereka bergerak dengan zon masa mereka dan kita pun ada zon masa sendiri.

You are not late.
You are not early.

You are just on time.
Jangan stress.

Percayalah bahawa perancangan Allah jauh lebih baik, rezeki kita telah dicatit olehNya.

MADAH baru 433


*656*
Buatlah jalan raya sebesar dan seluas mana yang kita kehendaki, kalau pemandu-pemandu yang menggunanya berjiwa sempit, jalan raya itu tetap akan sempit, ia akan tetap selalu berlaku traffic jam. 

*657*
Apabila menanam bukan di musimnya, menuai pun bukan pada masanya, kita akan gagal mendapatkan hasilnya, di waktu itu kita membuat kerja sia-sia. 

*658*
Tersalah tersilap, terlalai, terlupa, perkara biasa, boleh dijaga, yang menjadi masalah orang yang sengaja membuat salah kemudian dapat dilindungi oleh kuasa dan kepintarannya. 

*659*
Untuk melahirkan manusia yang berkualiti, iaitu
a. Allah dicintai/ditakuti
b. Rasul ikutan diri
c. Ilmu memenuhi dada
d. Akhlak mulia hiasan diri
e. Fikiran tajam, cergas membuat kerja
Ini memerlukan latihan dan mujahadatun nafsi dengan pimpinan guru yang sejati. 

*660*
Barang yang hilang mungkin boleh bertemu lagi atau boleh diganti, tapi kalau masa hilang, tidak mungkin bertemu lagi atau diganti.

Nikmat Berserta Rahmat & Nikmat Berserta Istidraj





Di antara rahmat Allah Tuhan mencipta alam,
orang baik mahupun orang jahat diberi nikmat.
Nikmat makan minum, nikmat tempat tinggal, harta,
kepandaian dan kejayaan serta lain-lain lagi.
Orang baik dianugerahkan bersama redha-Nya, orang jahat bersama kemurkaan-Nya.
Orang soleh diberi dengan rahmat, orang fasik diberi dengan istidraj atau laknat.
Diberi dengan rahmat adakalanya sedikit sahaja, tapi berkat, side effectnya baik.
Diberi dengan laknat atau istidraj adakalanya banyak tapi tidak berkat,
side effectnya sangat negatif.
Orang soleh dengan nikmat dia bersyukur, aman, damai, tenang, bahagia dan harmoni.
Sekali-sekala diuji dengan kesusahan, agar dia diampunkan dosa-dosanya.
Orang fasik atau tholih dengan nikmat dia kufur dan derhaka, dia lalai dan lupa.
Kerana itu Tuhan tukar dengan masalah yang menyusahkan tidak selesai-selesai.
Makin kaya, berpangkat, berilmu, berjawatan tinggi, entah apa keistimewaannya lagi.
Tuhan gantikan dengan orang benci, anak isteri tidak setia,
penyakit bertimpa-timpa, bala bencana silih berganti.
Akibatnya kejayaan hidup tidak memberi apa-apa  erti.
Hidup di dalam keluh-kesah, fikiran berserabut, tidak bahagia,
tidak tenang, tidak harmoni.
Itulah yang banyak berlaku di dunia hari ini.
Banyak orang pandai tapi tidak dapat keredhaan Tuhan.
Ramai orang yang berjaya keredhaan Tuhan tidak diperolehinya.
Tidak kurang orang yang mendapat kekayaan, keredhaan Tuhan tidak dapat.
Ada bangsa yang maju, membangun tapi dengan kemurkaan atau istidraj dari Tuhan.
Berlaku pula dalam masa yang sama jenayah banyak,
krisis berlaku, peperangan terjadi.
Pecah-belah, berbalah, bergaduh dan berkelahi.
Apa sudah jadi?!
Kejayaan yang diperolehi penuh duri, di dalam ketakutan, di dalam kebimbangan.
Apa yang dihajat dapat, tapi dapat bersama ketakutan.
Apalah ertinya hidup yang begini? 


Akal Yang Bersendiri


Akal tanpa ditunjangi oleh tauhid, akal yang bersendiri.
Akal yang bersendiri, akal yang tidak ada kontrol, bebas memikirkan apa sahaja.
Sedangkan akal bukan Tuhan, ia dicipta Tuhan. Tentulah lemah,
jangkauannya aadalah terbatas.
Tidak semuanya dapat diteroka oleh akal.
Padahal ciptaan Tuhan itu ada yang lahir, ada yang batin.
Ada yang boleh dilihat, ada yang tidak boleh dilihat.
Ada alam nyata, ada alam ghaib.
Ada yang tersirat, ada yang tersurat.
Ada yang bersifat zahir, ada yang bersifat maknawi, ada yang bersifat rohani.
Bahkan Tuhan, Dia adalah Zat yang mempunyai sifat.
Dia adalah pencipta alam lahir dan alam ghaib.
Menjadikan yang tersurat dan yang tersirat.
Yang zahir, maknawi dan rohani.
Dia pencipta bukan dicipta.
Lebih-lebih lagilah akal tidak mampu mengetahui semata-mata kekuatan akalnya.
Kalau dia tidak bersandar dengan kekuatan wahyu dari Tuhan,
kebenaran mutlak sudah tentulah tidak diketahuinya.
Kerana itulah orang yang berbangga dengan akal hendak menyelesaikan dengan akal, selalu sahaja bercanggah dan tersalah.
Apabila bercanggah, selalulah berbalah.
Apabila selalu berbalah, memecahkan ukhwah.
Manakala nafsu pula campurtangan, dititi pula oleh syaitan.
Orang yang menggunakan akal semata-mata, datang sakit hati,
hasad dengki pun menyerang.
Jurang perbalahan pun bertambah dalam.
Berlakulah pergaduhan, permusuhan dan peperangan.
Begitulah sifatnya akal apabila bersendiri tanpa ditunjang oleh Tuhan.
Dia telah mentuhankan diri sendiri iaitu akalnya.
Fikirlah, tuhan yang bukan Tuhan hendak menjadi Tuhan. Tentulah banyak kesilapan.
Macam manalah tidak haru-biru kehidupan insan.
Akal yang lemah tidak mengaku lemah.
Akal yang banyak perkara tidak tahu, memaksa-maksa diri tahu.
Tidak haru-birukah? Tentulah haru-biru.
Dunia yang haru-biru kerana akallah.
Dunia sudah jadi neraka kerana akallah yang mengambil alih kuasa Tuhan.
Tuhan berlepas diri, tanggunglah sendiri.
Tuhan tidak susah, Maha Suci Tuhan daripada susah.
Yang susah dan parah adalah manusia itu sendiri. 


MADAH baru 432



*651*
Bunga yang palsu itu nampak lahirnya lebih cantik dan lama umurnya daripada bunga asalnya tapi manusia tidak dapat merasakan keharumannya dan tidak memberi oksigen kepada manusia.
Bunga asli walaupun pendek umurnya tapi baunya harum dan mempunyai oksigen untuk memberi manfaat kepada manusia.  

*652*
Di antara cinta yang boleh membawa jiwa derita atau seksa, mencintai orang yang tidak mencintai kita, mencintai orang yang telah tiada lagi dengan kita, mencintai orang yang pernah mencintai kita kemudian tidak cinta lagi dengan kita, mencintai sesuatu yang tidak mungkin dapat. 

*653*
Hendaklah kita menjadi orang yang bercita-cita, kita akan berjuang ke arah cita-cita kita itu.
Jangan menjadi orang yang berangan-angan, kita tidak buat kerja, masa terbuang percuma, angan-angan itu macamlah orang yang menjadi kaya di dalam mimpi sahaja. 

*654*
Tindakan seseorang itu bolehlah dibendung dan disekat tapi cita-cita dan kehendaknya tidak boleh dibendung dan disekat, bolehkah dibendung dan disekat? 

*655*
Hukuman Allah itu ada pengajaran dan memberi kesan, hukuman manusia membeban dan tidak ada kesan bahkan secara umumnya orang yang kena hukum itu membalas dendam berpanjangan.

MIMPI KENYATAAN



Dengan tersingkapnya tabir siang
Wajah kita jelas terbayang
Dan terpecah cermin mimpi
Menjadi sinar pelangi pelangi 

Apabila siang ( kiamat ) maka kita akan keluar dari kubur kita masing masing dengan wajah wajah kita yang sebenar yang kita pilih semasa hidup didunia ( mimpi ). Wajah mimpi ini adalah wajah pinjaman yang hanya dicadangkan dan wajah ini hanyalah acuan, fahamilah pada hakikat sebenarnya kita tidak memilikki bentuk dan wajah.
Jika semasa hidup kita memilih menjadi pencuri seperti sifat seekor kera maka bangkitlah kita dengan wajah kera. Dan sekiranya kita memilih sifat manusia maka kekallah kita dengan wajah dan bentuk pinjaman ini. Itulah yang dimaksudkan dengan pelangi yang berwajah dengan berbagai warna, dan yang mana satukah wajah diri kita yang sebenarnya?
Itulah kenyatan apabila aku mencermin diri ku, aku melihat kamu dan dalam kamu aku melihat diriku kerana didalam cermin aku
( hati aku ) tiada sesiapa, tiada engkau dan tiada aku,melainkan Allah.
Maka hilanglah segala alasan untuk mentaati Allah dan lenyaplah sifat sifat benci, hasat, dengki dan cemburu dari hati.

MADAH baru 431


*646*
Di dalam Islam, menyembunyikan kebaikan itu sangat disuruh sepertimana kita menyorokkan kejahatan kita. 

*647*
Banyak orang membaca tidak berfikir, banyak orang berkata tidak mengkota, banyak orang bercerita tidak dapat hikmahnya, banyak orang memberi nasihat, tidak mahu nasihat. 

*648*
Jangan belajar sahaja tapi ambillah pengajarannya, jangan bercerita sahaja tapi ambillah hikmahnya, jangan perhati sahaja tapi prihatin sama, jangan mendengar sahaja tapi nilai sama. 

*649*
Senang tidak mesti bahagia, susah tidak mesti gelisah, kaya tidak mesti selesai masalah, miskin tidak mesti membuat masalah. 

*650*
Berfikirlah tapi jangan salah fikir, 
merenunglah untuk menginsafi, bukan termenung yang tidak punya erti,
prihatinlah, bukan sekadar perhati.

Sifat Akhir Zaman

 


Di akhir zaman sudah ramai umat Islam yang kehilangan Tuhan.
Atau mereka sudah tidak fikirkan lagi adanya Tuhan.
Hingga mereka sudah tidak terasa lagi peranan Tuhan di dalam kehidupan.
Walaupun mereka percaya adanya Tuhan
tapi pada mereka kehidupan ini seolah-olah Tuhan tidak campur tangan.
Oleh itu umat Islam sudah ramai tidak perlukan Tuhan.
Kalau mereka pandai adalah usaha mereka, Tuhan tidak kena-mengena.
Jika mereka kaya, berpangkat, berkuasa kerana kemampuan mereka,
Tuhan tidak ada kuasa menentukan nasib mereka.
Tuhan itu hanya sekadar ada.
Peranan-Nya kepada manusia seolah-olahnya tidak ada.
Cuma sekali-sekala terasa perlukan Tuhan,
setelah mereka tidak ada kuasa pada diri mereka.
Seperti sakit, miskin, dianiaya sesama mereka.
Barulah mereka berdoa atau meminta kawan-kawan tolong doakan keselamatan mereka.
Setelah baik atau senang semula, lupa pula dengan Tuhan, 
Tuhan tidak diperlukan pula.
Sikap ini bukan sahaja berlaku kepada ramai umat Islam di akhir zaman
bahkan yang kelihatan beragama pun; seperti masih bersembahyang,
berpuasa, naik haji; sama aja.
Orang beragama dengan tidak beragama sudah sama sikapnya.
Jadi yang paling rosak di waktu ini adalah aqidah mereka.
Pada mereka, Tuhan ada atau tidak ada sama aja.
Kalaupun percaya adanya Tuhan, Tuhan tidak diperlukan di dalam hidup mereka.
Kalau begitu umat Islam, pergantungan dengan Tuhan sudah tidak ada.
Betapa pulalah untuk ditakuti atau dicintai, tidak ada di dalam perasaan mereka.
Side effectnya apa sudah terjadi?
Orang beragama dengan tidak, perangainya sama aja.
Sama-sama jahat, sama-sama membuat mungkar, sama-sama bergaduh,
sama-sama berkrisis.
Sama-sama tidak ada kasih sayang, sama-sama tidak ada bertimbang rasa,
sama-sama tidak peduli-mempeduli.
Sama-sama tidak sabar, sama-sama tidak pemurah, sama-sama tidak merendah diri.
Mengapa perangai sama?
Mengamalkan agama hanya tradisi, warisan, tidak ada ilmu, tidak dihayati,
hanya harap pahala.
Bukan ditunjang oleh takut atau cintakan Tuhan
maka sebab itulah ibadah mereka tidak melahirkan akhlak yang mulia. 


To Hannans

Untuk anak-anak perempuan,

Ini pesan seorang lelaki yang ayah kepada kamu.

Juga perasaan hati ayah kepada dirimu.

Kerana,

Kamulah kecintaan dan jiwa ayah serta ummi.

1. Jangan pernah menyalahkan orang lain atas kesedihanmu, kerana kebahagiaanmu adalah urusanmu. Kebahagianmu harus dari dalam dirimu. Dapatkan itu dulu. Allah akan membantu.

2. Perempuan tidak sekuat orang lelaki. Tapi, lelaki juga tidak akan sekuat itu jika tidak disempurnakan oleh perempuan. Di tangan dan hatimulah, Allah sudah siapkan kekuatan itu.

3. Anak perempuan itu jauh lebih berharga dari perhiasan apa pun. Akhlak dan adab, itulah yang paling indah buat kamu.

4. Jangan pernah berhenti mendengarkan nasihat kerana hati akan buta jika kehilangan nasihat, terutama setiap kata itu dari ummimu.

5. Saat hidupmu bahagia, ayah dan ummi tidak pernah memintamu untuk memberi kebahagiaan itu, tapi saat kamu terluka, ayahmu selalu datang untuk menerima bagian dari luka mu.

6. Saat ayah pulang, kamu akan lari ke pintu dan memeluk erat, dan semua yang terjadi atau sakitnya diri di hari itu, akan lenyap begitu saja.

7. Tidak ada seorang pun di dunia ini yang dapat mencintai seorang gadis lebih dari ayahnya.

8. Kamu adalah harta dan penyebab seorang ayah susah untuk tidur kerana memikirkanmu.

9. Ayah memegang tanganmu sebentar, tapi ayah juga memegang hatimu selamanya.

Selamat dunia akhirat buat kamu.

Dari kami lelaki-lelaki jiwa buat anak-anak perempuan kami.

Bumi Tuhan... Bersaksilah