MADAH MURSYID 5 dari abah


*356*
Perjuangan macam orang membuka ladang. 
Bermula daripada meneroka hutan belantara, setengah orang itu setakat mampu berangan, hendak membuka hutan, tidak mampu mencuba.
Setengah orang setakat sanggup masuk ke hutan, bila melihat semak samun, kayu besar-besar pula, banyak perkara yang merbahaya, tidak sanggup menebang dan terus meninggalkan hutan.
Setengah orang sudah sampai peringkat menebang tapi memerun pula dia tidak sanggup, keluar pula meninggalkan usaha-usaha. 
Setengah orang sudah sampai peringkat memerun tapi tidak mampu pula membajak, berhenti pula setakat itu. 
Setengah orang sudah siap membajak dan menggemburkan tanah, tidak sabar pula untuk menanam, mereka meninggalkan pula ladang. 
Setengah orang sanggup sampai menanam, hendak menjaga dan mengawal tanaman itu pula tidak sanggup, keluar pula meninggalkan ladang. Akhir sekali, tinggal golongan sedikit yang sanggup menjaga dan mengawal serta mengetam. 

*357*
Kalau ada umat Islam boleh berjuang hari ini; di zaman Barat menguasai politik, ekonomi, ilmu dan lain-lain; di samping membangun mereka berakhlak,
di samping berkemajuan tidak ada diskriminasi,
di samping kuat ekonomi, pemurah, berkorban, membantu dan menolong pula,
di samping mempunyai ilmu, tawaduk, merendah diri, khusyuk,
di samping ada kemudahan, hidup bermasyarakat dan tidak ada kasta-kasta,
kalau orang bukan Islam memenuhi disko, kelab-kelab malam, umat Islam memenuhi masjid-masjid atau surau-surau,
di samping belajar, bekerja dengan cemerlang, tidak ada pergaulan bebas lelaki dan perempuan, perempuannya bersopan dan pemalu,
di samping memiliki alat-alat dan kemudahan-kemudahan hidup yang canggih, hidup di dalam perpaduan, sama ada di dalam keluarga, di dalam parti, di dalam masyarakat, di dalam negara, di dalam pejabat,
di dalam membawa kemajuan, tidak ada rasuah, dadah, pendedahan aurat,
di dalam berjuang dan bernegara, pemimpin disayangi dan dihormati bukan ditakuti, rakyatnya dikasihani bukan ditakut-takutkan dan dikasari.
Ciri-ciri ini kalau wujud di dalam masyarakat Islam masya Allah, umat Islam akan menguasai dunia dan Akhirat, umat Islam akan menjadi empayar dan kuasai dunia sekali lagi. 

*358*
Pemimpin di zaman ini lebih-lebih lagi pemimpin negara, orang bukan hormat kepadanya tapi ditakuti, dia diikut kerana ada kepentingan diri padanya. 
Bila jawatannya sudah tiada, orang habis lari, dia pun menghilangkan diri. 

*359*
Orang sekarang tidak malu mengaku ulama kerana itulah ada persatuan ulama. Zaman dahulu seorang itu telah diiktiraf oleh ramai sebagai ulama, itu pun masih tidak suka mengaku dirinya ulama. 

*360*
Bila seseorang itu mengaku atau merasa dirinya ulama, awaslah fitnah darinya. 
Bila seseorang ulama itu tidak mengaku atau merasa dirinya ulama, ikutlah agamanya.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah