MADAH MURSYID 4 dari Abah


*11/12/2023   

*351*
Kalau ada golongan yang melakukan kemungkaran, pandai menyembunyikan keburukannya, kemudian untuk mencari nama atau ada tujuan-tujuan tertentu, ikut serta membanteras gejala masyarakat, umum menganggap mereka bertanggungjawab atau wira masyarakat tapi Allah mengetahuinya. Usaha itu selalunya gagal kerana ada tangan yang tidak ada berkat yang penuh dengan maksiat. Allah tidak membantunya, menjadikan orang-orang lain yang baik pun sama-sama terhijab pertolongan daripada Allah Al Mannan.
 
*352*
Orang yang kuat jiwa dan berjiwa besar, dia tidak kenal kecewa dalam perjuangannya. Kalau perjuangannya itu ibarat sampan di laut, waktu cuaca baik dan angin baik, lautan tenang, dia lajukan sampan.
Waktu sekali sekala berhadapan dengan ribut, pandai pula dia mengendalikannya dengan perlahan dan dengan penuh berhati-hati, bijak menongkah ombak dan pandai menggelecek angin.
Waktu kapalnya karam, sesetengah kawannya tenggelam, pandai pula dia berenang dan mampu ke darat.
Sampai ke darat dia rehat seketika, selepas itu dia membuat sampan dan mencari kawan-kawan kemudian belayar semula, mungkin dengan satu taktik dan strategi yang baru pula. Namun putus asa tidak ada dalam kamus hidupnya. 

*353*
Perjuangan itu macam perjuangan ke laut menangkap ikan, sentiasa menyabung nyawa, adakalanya dipukul ribut besar, di waktu sama ada berjaya menangkap ikan atau dia mati dimakan ikan. 

*354*
Pejuang itu tetap dalam keadaan merbahaya, ibarat belayar di lautan, di waktu angin tidak kencang, ombak pun tenang namun demikian kita tidak boleh bersenang-senang dan relax sahaja kerana di dalam lautan suasana merbahaya bila-bila boleh berlaku. Begitulah kita berjuang, kita hendaklah sentiasa siap siaga selalu walaupun di dalam suasana tidak ada cabaran. 

*355*
Perjuangan ibarat membawa kereta, jalan yang ditempuh suasananya tidak sama,
adakalanya mendaki, adakalanya menurun, waktu-waktu tertentu menempuh liku-liku, adakalanya berjalan di tepi gaung, adakalanya mengharung banjir, tidak mustahil pula sekali-sekala melalui batu-batu kerikil dan jalan lekuk-lekuk. Oleh itu, kereta yang dibawa kenalah sekali-sekala laju, adakalanya perlahan, tidak kurang pula ada waktunya berjalan sederhana. Boleh berhenti, bukan rehat tapi mencari muslihat.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah