Usaha Yang Sia-sia

Kasihan manusia ini, 
ramai di antara mereka membuat kerja-kerja yang tidak seimbang.
Bahkan adakalanya membuat kerja-kerja yang sia-sia.
Kerja dunia yang sementara serius mereka mengusahakannya.
Dunia yang tidak lama, bertungkus-lumus mereka mendapatkannya.
Bukan sahaja dunia tidak lama yang disangka lama hidup sampai ke tua, ramai yang mati muda.
Segala yang diusaha dan diperolehinya ditinggalkan tidak boleh dibawa.
Sedangkan untuk Akhirat yang kekal abadi selama-lama telah dicuaikannya.
Mereka pergi ke negara yang kekal abadi tidak membawa apa-apa.
Bekal ke sana waktu di dunia telah dilupakannya.
Seperti tidak beribadah atau beribadah membuat sambil lewa, tidak berjiwa, asal ada sahaja.
Pemurahnya tidak ada, maaf-bermaafan tidak biasa, berkasih sayang sesama manusia telah dilupa.
Sabar dan redha tak usah dikata, memang tidak ada.
Mengutamakan orang lain bukan budaya hidupnya.
Ziarah-menziarahi bukan budayanya.
Menghormati hukum-hakam Tuhan di dalam hidupnya bukan disiplin hidupnya.
Islamnya hanya syahadah dan sedikit sedikit ibadah lainnya, itu pun bukan dari jiwa.
Bertimbang rasa tidak dianggap agama, jiran tidak dianggap macam keluarga.
Yang ada, dia memikirkan kepentingan dirinya dan keluarga atau kroni-kroninya.
Orang miskin, susah, dapat bala peduli apa!
Yang dibawanya ke Akhirat ialah sifat sombong, tamak, bakhil, pemarah, zalim, megah, riyak, ujub.
Di samping lupa Tuhan, tidak takut dan tidak cintakan Tuhan.
Di waktu ketika hendak mati masih di dalam angan-angan lagi, ingin menambah harta, mencari nama, ingin glamor.
Ketika itu juga masih hasad dengki, masih menghina orang, masih mengangkat diri.
Ajal pun sampai, mati tidak membawa apa-apa kebaikan, dengan kata-kata lain tidak membawa  sifat taqwa sebagai bekal.
Yang dibawanya hanya sifat-sifat mazmumah yang bernanah di dalam jiwanya.
Aduh malang sekali, dia pergi ke Akhirat membawa barang-barang yang dimurka untuk ke Neraka.
Barang-barang yang dibawa untuk ke Syurga tidak ada
maka rugilah dia sepanjang masa buat selama-lamanya.
Wal'iyazubillah daripada berlakunya seperti yang dikata. 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah