*1066*
Kalau kita berjuang menumpang platform orang, macam kita menumpang kapal orang.
Kita ada matlamat sendiri, yang punya kapal mempunyai matlamat sendiri.
Sudah tentulah yang punya kapal itu akan membawa kapalnya ke destinasi yang dia kehendaki.
Bukan ke destinasi yang kita kehendaki.
Bila hendak sampai?!
*1067*
Kalau ada orang di dalam hidupnya terutama di dalam perjuangannya, tidak serius mencari rezeki, tapi rezekinya tidak putus,
tidak meminta-minta tapi orang hadiahkan,
tidak memikirkan sangat masalah hidup tapi boleh hidup.
Kalau dipandang hartanya tiada, dia miskin, tapi melihat kehidupannya dia kaya.
Tidak ada kepentingan dunia di dalam perjuangannya.
Bila dunia datang, dia tidak sayang mengorbankannya untuk kebaikan orang atau perjuangannya.
Ini orang luar biasa.
*1068*
Perjuangan ibarat membawa kereta, jalan yang ditempuh suasananya tidak sama.
Adakalanya mendaki, adakalanya menurun.
Waktu tertentu menempuh liku-liku,
adakalanya berjalan di tepi gaung,
adakalanya mengharung banjir,
tidak mustahil pula sekali-sekala
melalui batu kerikil dan jalan lekuk-lekuk.
Oleh itu kereta yang dibawa kenalah sekali sekala laju,
adakalanya perlahan,
tidak kurang pula ada waktunya berjalan sederhana,
boleh berhenti, bukan rehat tapi mencari muslihat.
*1069*
Di dalam perjuangan adakalanya kita mesti mara ke hadapan,
adakalanya kita mesti undur ke belakang
dan adakalanya kita mesti bertahan.
Begitulah strategi di dalam perjuangan.
*1070*
Orang yang kuat jiwa dan berjiwa besar,
dia tidak kenal kecewa di dalam perjuangan.
Kalau perjuangannya itu ibarat sampan di laut,
waktu cuaca baik dan angin baik, lautan tenang, dia lajukan sampannya.
Waktu sekali-sekala berhadapan dengan ribut, pandai pula dia mengendalikannya dengan perlahan-lahan, penuh berhati-hati.
Bijak menongkah ombak dan pandai mengelecek angin.
Waktu kapalnya karam, sesetengah kawan-kawannya tenggelam,
pandai pula dia berenang dan mampu ke darat.
Sampai di darat dia rehat seketika,
selepas itu dia membuat sampan
dan mencari kawan-kawan,
kemudian belayar semula dengan satu taktik dan strategi yang baru pula.
Sekali-kali putus asa tidak ada di dalam kamus hidupnya.
No comments:
Post a Comment