MADAH baru 360


*1061*
Untuk mengenal seseorang pemimpin itu zalim dan sebaliknya,
bila dia ditakuti, itulah tandanya dia zalim. 

*1062*
Pemimpin yang baik itu keberadaannya satu kebahagiaan,
ketiadaannya di dirasakan satu kehilangan,
kerana itu melihat mukanya rasa senang, ketiadaannya dirindui.
Pemimpin yang adil itu dia dihormati dan ditaati.
Pemimpin yang zalim itu dia dibenci dan tidak  ditaati,
orang patuh kerana takut, bukan kerana patut. 

*1063*
Apabila kita diuji, terutama di dalam perjuangan menegakkan kebenaran, dengan kesusahan, penderitaan atau dengan tekanan dan penzaliman,
baru kita tahu siapa kita.
Baru kita sedar selama ini kita berjuang kerana apa?!
Kita gigih untuk apa?!
Kita berani tujuan apa?!
Cuba sorot kembali cita-cita kita!
Apa yang terselit di dalam hati kita?! 

*1064*
Kalau di dalam menegakkan kebenaran, kita ditimpa kesusahan
serta terpaksa meninggalkan kampung halaman,
tirulah Rasulullah SAW di dalam kesabaran.
Kalau kita terpaksa mengembara dan berkelana,
ikutilah jejak Nabi Allah Musa a.s.
Kalau kita dikurung dengan ketakutan,
tirulah Nabi Allah Yunus a.s.
Kalau kita diseksa dan diancam, buatlah seperti Nabi Allah Ibrahim a.s.
Kalau kita diberi nikmat dan kemewahan, jadikanlah Nabi Allah Sulaiman a.s. sebagai teladan.
Begitulah seterusnya.
Pada para Rasul a.s itu ada tauladan 
dan pengajaran. 
Sepatutnya orang Islam tidak buntu
bila berhadapan dengan cabaran. 

*1065*
Perjuangan ibarat kita belayar di lautan.
Tetap di dalam keadaan merbahaya.
Di waktu angin tidak kencang, ombak pun tenang.
Namun demikian, tidak boleh bersenang-senang, dan relaks-relaks sahaja.
Kerana di dalam lautan suasana merbahaya bila-bila boleh berlaku.
Begitulah kita berjuang.
Kita hendaklah sentiasa siap siaga selalu walaupun di dalam suasana tidak ada cabaran.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah