Kehidupan Orang Tuhan Berbeza



Pengikut-pengikut syaitan dan iblis,
perjuangannya Tuhan hamparkan permaidani merah.
Tempat tinggal mereka istana-istana tersergam gagah, besar dan indah.
Mereka mempunyai emas dan perak, intan berlian, kebun yang luas.
Kerana dunia ini pada Tuhan tidak ada nilai sekalipun setimbang sayap nyamuk yang murah.
Patutlah dianugerahkan kepada mereka dunia ini agar di Akhirat tidak ada lagi habuannya.
Seperti Namrud, Firaun, Qarun dan mereka-mereka yang serupa dengan mereka.
Orang-orang Tuhan seperti para Rasul, anbiya dan auliya,
Tuhan layan mereka lain pula caranya.
Kalau mengikut ukuran orang dunia, mereka itu macam terhina sahaja nampaknya.
Tuhan layan mereka, aduh, sungguh hiba ceritanya.
Perjuangan mereka dihamparkan dengan batu-batu kerikil dan duri-duri tajam yang menyucuknya.
Tempat tinggal mereka ala kadarnya, macam orang biasa sahaja.
Bahkan mereka macam tidak ada rumah.
Hidup mereka pindah-randah sahaja merata-rata.
Mereka sentiasa dikejar-kejar dan diburu oleh musuh-musuhnya.
Kerana Tuhan hendak anugerahkan hidup yang indah di Akhirat sana.
Tuhan dera mereka di dunia.
Tapi mereka faham mengapa Tuhan lakukan kepada mereka begitu rupa.
Jiwa mereka tenang, bahkan rasa indah macam hidup di dalam istana yang indah.
Orang yang tidak faham, apatah lagi yang tidak kenal Tuhan, mengejek-ngejek mereka kerana dhaifnya tempat tinggal mereka.
Para rasul, anbiya dan auliya, mereka hidupnya simple sahaja.
Mereka orang dunia itu tertipu dengan nikmat dunia, di Akhirat sana dicampak ke Neraka.
Sungguh berbeza hidup orang syaitan dan orang Tuhan.
Macam di antara langit dengan bumi jaraknya.
Orang syaitan penuh bangga, ingin duduk lama di dunia, berlagak macam ada kuasa.
Body guard di kelilingnya, dengan kebesarannya penuh hebat dengan sombongnya.
Tapi sakit juga, letih juga, mana ada kuasa menolaknya.
Namun demikian tidak sedar juga, rasa ada kuasa.
Mana ada kuasa.
Akhirnya umur tua juga walaupun tidak suka.
Sudah tua badan, sudah lemah, sakit-sakit pula tidak sedar juga.
Tidak juga kembali kepada Tuhan, akhirnya mati juga tinggal sejarahnya sahaja.
Orang Tuhan di bumi penuh rendah diri, serendah bumi.
Tawadhuk dengan Tuhannya di situlah rasa indah jiwanya, tenang perasaannya.
Makin rendah diri, makin terasa tidak ada kuasa, Tuhanlah yang berkuasa.
Tuhan yang berkuasalah yang menjaganya, mengawalnya, sungguh indah dirasa.
Rupanya rasa tidak ada kuasa, Tuhanlah yang berkuasa, 
di situlah ketenangannya, bahkan keindahannya.
Mereka menunggu mati dari detik ke detik, angan-angan kosong tiada.
Menunggu mati kerana ingin bertemu kekasih agungnya, itulah Tuhannya. 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah