Maksudnya segala usaha, pembangunan, kemajuan dan tamadun yang
dibina di dunia ini seolah-olahnya ladang pertanian tetapi mengetamnya atau
makan hasilnya di Akhirat. Di sanalah nanti akan dapat pahalanya iaitu Syurga.
Pembangunan dan kemajuan serta tamadun yang dibangunkan oleh
orang yang jiwanya bersih ialah pembangunan yang selamat dan menyelamatkan. Ia
tidak ada side effect seperti gejala-gejala masyarakat yang tidak sihat, tidak mudarat dan tidak
pula memudaratkan.
Membangunkan jiwa manusia agar jiwa bersih daripada sifat-sifat
mazmumah, maka daripada kebersihan jiwa itulah membuahkan akhlak yang mulia.
Perlu diingat, membangunkan jiwa untuk membuahkan akhlak tidak semudah yang
kita sangka. Manusia itu tidak cukup diberi ilmu atau pelajaran semata-mata,
tapi keberkesanannya adalah melalui pendidikan dan asuhan. Ini supaya ilmu itu
dapat dihayati serta dapat diterapkan di dalam akal, jiwa, sikap dan perbuatan
hingga mendarah mendaging, menjadi tabiat, sikap dan watak, akhirnya jadi
budaya di dalam kehidupan.
Setakat mendapatkan ilmu adalah mudah. Kita boleh mendengar guru
menyampaikan, kita boleh mendengar dari para mubaligh, kita boleh membaca
sendiri, kita boleh mendengar dari radio dan tv, tapi untuk menghayati hingga
jadi sikap diri kita seterusnya jadi budaya hidup, ia memerlukan pendidikan, asuhan,
bimbingan yang berterusan. Sekadar ilmu sahaja tidak cukup jika tidak disertai
didikan, asuhan dan pimpinan. Ia akan jadi ilmu semata-mata. Sekadar boleh
diajar dan dikuliahkan, sebagai hobi dan aktiviti, sebagai untuk pemanis mulut,
untuk penyedap tulisan, tapi untuk menjadi sikap dan budaya hidup tidak
mungkin.
Kalau setakat ilmu, orang bukan Islam pun boleh mempelajari dan
memiliki ilmu Islam yang banyak bahkan boleh menyampaikan. Di dunia hari ini di
universiti-universiti terutama di Barat dan Amerika, ramai pensyarah ilmu Islam dari kalangan orang yang
bukan Islam, bahkan orang Islam pun belajar dari mereka. Mereka memberi ilmu
Islam tapi bukan pendidikan dan asuhan Islam.
Hari ini ilmu umat Islam tidak lemah. Masih banyak sekolah Islam
di dunia ini hingga ke taraf universiti, bahkan setiap tahun sekolah-sekolah
mengajar ilmu Islam bertambah. Apa yang lemah ialah pendidikan Islam bahkan di
setengah-setengah sekolah yang mengajar mata pelajaran Islam pun, pendidikan Islam
tidak berlaku di sekolah itu. Setakat mengadakan sembahyang berjemaah pun tidak
berlaku, betapalah lebih dari itu.
Justeru itulah sekolah Islam dan ilmu Islam bertambah serta bercambah,
tapi amalan Islam tidak bertambah. Ilmu Islam tersebar tapi akhlak Islam tidak
terserlah. Dakwah dan kuliah-kuliah Islam gelanggangnya bertambah luas tapi
amalan dan akhlak Islam bertambah sempit. Hari ini hampir semua golongan memperkatakan
Islam terutama bila berlaku gejala masyarakat yang negatif, namun kemungkaran
dan gejala masyarakat bukan sahaja tidak tumpas tapi bertambah meningkat setiap
hari. Ini kerana kita bercakap di sudut ilmunya tapi pendidikan tidak berjalan.
Kalau ada pun dinamakan program-program pendidikan, namun ia masih berbentuk
fizikal tapi tidak bersifat kejiwaan. Ia tidak membangunkan rasa tauhid di
dalam jiwa seperti rasa bertuhan, rasa takut, rasa cinta, rasa gerun
dengan Neraka, rasa hebat terhadap Tuhan, rasa malu, rasa hina diri dengan
Tuhan, rasa berdosa, rasa takzim kepada Tuhan.
Sedangkan dengan adanya rasa-rasa bertuhan itulah umat Islam
boleh control diri daripada melakukan kemungkaran dan gejala masyarakat yang
tidak sihat. Ia lebih berkesan dan menghalang, daripada undang-undang,
peraturan dan akta-akta. Ini kerana peranan rasa hati tadi seperti rasa takut
kepada Tuhan dan lain-lain lagi, ia merupakan benteng yang paling kebal
daripada melakukan kejahatan, lebih-lebih lagi daripada takut polis atau akta-akta
yang dibuat. Justeru itulah di dalam Islam ada dikatakan:
Maksudnya: “Hendaklah kamu takut (kepada Allah) di mana sahaja
kamu berada dan hendaklah iringi kejahatan itu dengan kebaikan, nescaya ia akan
menghapuskannya (kejahatan) dan hendaklah berakhlak dengan manusia dengan
akhlak yang baik.” (Riwayat Ahmad, Tarmizi dan Baihaqi)
Cuba lihat, setelah ada rasa takut dengan Tuhan baru boleh berakhlak
baik. Itulah yang dikatakan akidah atau tauhid penghayatan, tauhid yang
bertapak pada hati bukan di kepala, lebih-lebih lagi bukan sekadar bertapak di bibir mulut. Bila
dikatakan takutkan Allah benteng yang paling kebal menghalang diri seseorang
daripada melakukan kemungkaran dan maksiat lebih daripada undang-undang,
peraturan dan akta, bukan pula undang-undang, peraturan dan akta tidak perlu.
Ia perlu juga, tapi ia bukan perkara asas untuk menyekat kemungkaran dan gejala masyarakat yang tidak sihat. Ia setakat mengemaskan lagi
perjalanan sebuah negara, kementerian, jabatan, institusi dan lain-lain lagi.
Kalau ibarat di dalam peperangan, takutkan Allah adalah kubu pertahanan yang
pertama yang paling kebal menjaga keselamatan daripada musuh-musuh. Kubu-kubu
yang lain adalah pertahanan sementara waktu, untuk melarikan diri dan menyelamatkan diri, tapi untuk bertahan lama tidak mungkin.
Begitulah sifat taqwa benteng yang paling kebal atau kubu yang
paling kebal mempertahankan diri daripada serangan hawa nafsu dan syaitan yang
mengajak manusia melakukan kejahatan. Tapi kalau di zaman taqwa sudah tidak ada
tempat, kerana orang sudah lalai, nafsu pun mengaruk, syaitan pun bermaharajalela
mengheret manusia melakukan kejahatan lahir dan batin, maka untuk membendung
daripada berlakunya kemungkaran dan gejala-gejala masyarakat yang buruk itu jangan
sampai terdedah terus kepada jahanam, maka di waktu itu perlu kepada
undang-undang, peraturan-peraturan dan akta-akta kerana tidak ada jalan lain
dan tidak ada pilihan.
Jadi kalau ada orang menganggap bahawa undang-undang, peraturan-peraturan
dan akta-akta yang dibuat itu lebih berkesan di dalam membendung kemungkaran
dan gejala yang negatif, adalah satu kesilapan besar. Kalau setakat
undang-undang, peraturan dan akta, orang tidak melakukan kejahatan bukan
ertinya tidak mahu melakukan kesalahan, hatinya tetap mahu, cuma peluang belum
ada.
Dia mungkin takut kena tangkap, takut masuk jel, takut dibuang kerja,
takut nanti diisytiharkan di dalam media massa dapat malu pula. Namun kalau itu
semua dapat dielakkan, lebih-lebih lagi di zaman manusia pintar, alat-alat pengetahuan canggih, alat-alat
sains teknologi tinggi, orang boleh buat penipuan secara halus dan payah
dikesan, maka di waktu itu dia akan melakukan apa sahaja.
Katakanlah seseorang itu tidak melakukan rasuah kerana terlalu
takut kalau dapat dikesan, maka kerja-kerja masyarakat dan umat terselamat
daripada dikhianati dan ditipu. Tapi mengikut ajaran Islam, orang itu masih
tertipu kerana sikapnya itu tidak jadi ibadah. Dia tidak dapat pahala apa-apa
kerana dia meninggalkan kejahatan itu bukan takut kerana Allah, tapi kerana takut
dengan manusia. Nampaknya lahirnya baik, tapi sebenarnya dia belum baik bahkan
berdosa pula kerana dia telah melakukan syirik. Peluang dia hendak membuat
jahat tidak ada kerana tersekat oleh undang-undang, peraturan-peraturan dan akta-akta
tadi serta takut dapat dikesan. Namun kerana hatinya tetap tidak takut dengan
Allah dan pembalasan di hari Akhirat, kalau ada peluang dapat menyembunyikan
kejahatan itu daripada manusia dia akan lakukan juga.