MADAH baru 253


*M471*
Adakalanya orang yang menyalahkan orang yang membuat salah, dosanya lebih besar daripada orang yang membuat kesalahan atau membuat dosa, kalau dosa itu tersembunyi dibongkarnya atau menuduh atau menghukum terlebih atau keterlaluan daripada kesalahan yang dibuatnya.


*M472*
Setiap hari kiralah dosa-dosa kamu, setidaknya mengingatinya. Janganlah kenang kebaikan kamu, anggap sajalah tidak ada kebaikan.


*M473*
Orang yang setiap hari kerjanya bergelumang dengan najis dan dengan perkara-perkara yang kotor dan menjijikkan, dia telah lali dengan kekotoran itu, busuk najis itu tidak lagi mengganggu perasaannya.  Begitulah orang yang telah bergelumang dengan maksiat dan dosa, tidak terasa lagi dia membuat dosa, bahkan rasa sedap dengan dosa, siapa yang menasihatinya akan dianggap mengganggu ketenteraman dan hak asasinya.


*M474*
Dua orang atau lebih yang membuat satu dosa yang sama nilainya, setiap orang itu rasa berdosa tidak sama, mesti ada lebih ada kurangnya, mengikutlah ketaqwaan masing-masing atau mengikutlah tingkatan masing-masing.


*M475*
Orang yang halus perasaannya, orang lain yang bersalah, dia yang merasa bersalah, orang lain yang berbuat dosa, dia yang merasa berdosa, ada orang yang mati kelaparan, dia yang merasa bersalah, betapalah kalau dia sendiri yang bersalah atau buat dosa, terseksa jiwanya sepanjang masa.

Orang Tuhan Penuh Dengan Penderitaan



Orang-orang Tuhan dan kekasih-Nya penuh dengan penderitaan dan kesengsaraan.
Tersingkir dan terbuang dari tanah airnya, dikeluarkan daripada kampung halaman, dizalimi oleh penguasa-penguasa di zamannya, lumrah sahaja kepada mereka.
Miskin dan papa pula, pengikut-pengikutnya peringkat awalnya adalah golongan bawahan yang dhaif-dhaif dan tidak ada kuasa.
Berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat, membawa kebenaran, melarikan iman, kalau-kalau ada orang yang boleh menerimanya di dalam perantauan.
Namun mengaku kalah dan putus asa tidak ada di dalam kamus hidup mereka.
Setelah berjuang beberapa lama, sesudah menerima ujian demi ujian, bersama pengikutnya yang setia, baru diberi kemenangan.
Setelah menderita beberapa lama, barulah Allah Taala kembalikan ke tanah airnya yang tercinta membawa kemenangan yang cemerlang.
Kebenaran itu amat terserlah di dalam kehidupan mereka.
Mencintai Tuhan, berkasih sayang sesama manusia.
Keadilan dapat ditegakkan, hidup aman damai dan harmoni dan bahagia.
Berlainan sekali tokoh-tokoh dunia, yang menjadi pengikut-pengikut kisra-kisra dan raja-raja.
Mereka duduk di gedung-gedung besar, indah dan di istana-istana yang tersergam gagah.
Di kelilingi dengan taman-taman bunga yang indah yang mempesona manusia.
Rumah mereka dibentang dengan permaidani tebal dan mewah lagi indah.
Dengan pengawal-pengawal yang berlapis-lapis di kiri kanan menjaga dirinya yang terpaksa setia.
Mereka hidup mewah, tenggelam dengan nikmat dunia.
Memiliki intan berlian, emas dan perak dan aset-aset yang berharga.
Mereka itulah yang menimpakan kezaliman kepada orang-orang yang membawa kebenaran dan kekasih Tuhan dengan berbagai-bagai tuduhan dan alasan.
Yang menjadi ancaman kepada perjuangan kebenaran di setiap zaman.
Kita sekarang bolehlah membuat pilihan dari sekarang.
Mahu menerima sunnah para-para kekasih Tuhan atau menerima sunnah kisra dan raja-raja?!
Mahu hidup mewah, senang sementara di dunia atau mahu hidup senang di Syurga berlama-lama?!
Tanyalah hati sendiri, berfikirlah sebelum mati, mahu pilih hidup yang macam mana?!
Tepuk dada tanyalah selera.
Tanyalah hati sebelum terlewat lagi.
Tapi ingat, pilihan itu jangan sampai merugikan kita.
Jangan sampai menempah Neraka yang amat malang lagi celaka. 


MADAH baru 252



*M466*
Nafsu kalau berkehendak, tidak sempat berfikir, akal kalau berkehendak, dia akan berfikir, hati kalau berkehendak, semua anggota akan berkehendak.


*M467*
Akal memandang keindahan dan kecantikan perempuan itu ialah kecerdikan dan kepandaiannya, nafsu memandang keindahan perempuan itu ialah kecantikan dan potongan badannya, hati memandang keindahan perempuan itu ialah pemalunya serta sopan santunnya.


*M468*
Kasih nafsu mudah hilang, kasih fitrah susah hilang.


*M469*
Membaikkan badan mudah, membaikkan akal agak susah, membaikkan nafsu paling susah, justeru itulah badan dan akal selalu saja kalah.
  

*M470*
Kita hamba Allah ini kenalah menyesal selalu, lebih-lebih lagi di waktu bersalah, mengeluhlah selalu, nasib kita belum tahu, merintihlah selalu, terutama dengan dosa-dosa kita, mengakulah lemah di hadapan Tuhan, sekalipun kita serba ada, sedihlah selalu kerana kelalaian kita, menangislah selalu kerana kita tidak dapat elak dari dosa, moga-moga dengan cara itu Allah merahmati kita. 

 

Jiwa Manusia Mudah Tergugat


Jiwa manusia sentiasa tergugat.
Tergugat ertinya sentiasa tercabar dan tercalar.
Sedangkan hati sangat sensitif dan perasa.
Kalau tidak pandai menahan perasaannya, ia sentiasa terseksa dan derita.
Apabila jiwa tergugat, pangkat, harta, nama, glamor tidak dapat mengubatinya.
Jiwa tergugat, hilang ceria, hilang bahagia.
Memperjuangkan cita-cita tiba-tiba gagal, sedihnya jiwa, bercakap pun malas,
menung sahaja.
Orang lain berjaya, aduh lagilah jiwa derita.
Makan pun hilang selera dibuatnya kerana mengenangkan nasibnya.
Itu baru satu perkara yang menggugat jiwa.
Kalau ia datang bertimpa-timpa di dalam satu masa, aduh alangkah terseksanya.
Cita-cita gagal, isteri membuat kerenah pula, masa yang sama anak sakit pula, derita di atas derita.
Kalau masa yang sama juga terjadi jatuh miskin pula, aduh parahnya jiwa.
Jika suasana yang mencabar jiwa ini berpanjangan pula terus kecewa, sakit jiwa
ada sampai putus asa.
Di waktu itu mana orang yang jiwanya rapuh, bunuh diri pula.
Ini semuanya boleh berlaku bagi orang yang sudah kehilangan Tuhannya.
Masalah yang terjadi tidak ada tempat rujuknya.
Semuanya hendak diselesaikan dengan diri sendiri sahaja.
Manusia manalah ada kuasa.
Kalau tidak bunuh diri pun terseksa sepanjang masa.
Bagi orang yang ada Tuhan pula jiwanya kebal, ujian hidup tidak mencemaskan jiwanya.
Dia rasa ujian penghapusan dosa-dosanya.
Kalaupun jiwa terasa juga sakitnya, setidak-tidaknya meringankan juga penderitaannya.
Kerana itulah orang bertuhan dan faham kerja Tuhan tidak pernah sakit jiwa dan kecewa.
Tuhan itulah pengubat jiwanya.
Orang mukmin tenang hidupnya walaupun ujian timpa-menimpa.
Sungguh indah hidup bersama Tuhan, jiwa tidak pernah kecewa, apatah lagi putus asa.
 

MADAH baru 251


*M461* 
Manusia itu apabila jiwanya telah mati, tidak ada lagi ruangan untuk mengingati Allah, justeru suasana dan situasi di dunia ini setiap masa sentiasa melalaikannya dari mengingati Allah, di rumah dilalaikan oleh anak dan isteri, di atas jalan raya dilalaikan oleh telatah manusia yang tidak ada tolak ansur dan berlapang dada, di pejabat atau di tempat kerja disibukkan oleh kerja, di waktu-waktu lapang dilalaikan oleh kawan-kawan atau berfoya-foya dengan perempuan-perempuan cantik di tempat-tempat hiburan.


*M462*
Tidak mesti orang yang senang jiwanya tenang, tidak mesti orang yang susah jiwanya parah, semuanya itu bergantung kepada iman dan ketaqwaan seseorang itu.


*M463*
Penjajahan fizikal banyak orang sedar dan ingin melepaskan diri daripadanya, tapi penjajahan moral dan jiwa banyak orang tidak sedar, sekalipun yang punya diri. Justeru itulah selepas kemerdekaan fizikal pada sesuatu bangsa, penjajahan fikiran dan jiwa pada bangsa itu masih lagi bersambung, berpuluh atau beratus tahun lamanya.


*M464*
Membuat kerja yang sesuai dengan nafsu macam menongkah surut, membuat kerja yang bertentangan dengan nafsu macam menongkah pasang, wiralah seseorang yang sampai ke hulu menungkah pasang.


*M465*
Banyak orang tahu manusia ini rosak oleh kerana dorongan nafsu dan hasutan syaitan tapi  mereka tidak tahu bagaimana hendak mendidik nafsu dan melawan syaitan, oleh itu manusia tetap di dalam kejahatan dan kerosakan.

Fahamilah Maksud Perbuatan Tuhan


Orang yang tidak kenal Tuhan, orang yang tidak faham kerja-kerja Tuhan.
Dia tidak akan faham maksud Tuhan menjadikan sesuatu.
Maksud Tuhan itu difaham mengikut yang dia faham.
Akhirnya dia tidak mampu menanggung apa yang dilakukan oleh Tuhan pada dirinya.
Kalau Tuhan beri dia kuasa, Tuhan hendak melihatkan kuasa-Nya pada diri orang itu.
Tapi orang itu merasa berkuasa dan berbangga dengan kuasa yang ada.
Dia pun takbur dan sombong dan menyalahguna kuasanya.
Jika dia diberi kekayaan, Tuhan hendak melihatkan kekayaan-Nya pada diri orang itu.
Tapi orang itu, dialah yang merasa kaya, dia pun megah dan sombong.
Dia pun menghina orang yang papa kedana.
Apabila Tuhan memberi ilmu, Tuhan hendak memberitahu ilmu pada orang itu Ilmu Tuhan yang diberi kepadanya.
Orang itu menganggap dialah yang punya ilmu, dia mahu dihormat dan dipuji.
Dia rasa, dialah orang alim yang patut dimuliakan.
Padahal Tuhan hendak melihatkan ilmu-Nya pada orang itu.
Jika seseorang itu suaranya sedap atau rupa parasnya cantik,
Tuhan memberitahu itu adalah anugerah Tuhan padanya.
Tuhan pinjamkan kepadanya.
Tapi orang itu merasa megah pula dengan suara dan rupanya.
Ingin dipuji dan disanjung selalu.
Kalau Tuhan uji seseorang dengan kesusahan dan penderitaan.
Tuhan hendak memberitahu, Dia mampu bertindak apa sahaja kalau Dia mahu.
Dia mahu orang itu sedar dan insaf agar kembali kepada-Nya.
Tapi orang itu pula dia tidak senang, gelisah, kecewa dan putus asa.
Begitulah orang yang tidak kenal dan tidak faham perbuatan Tuhan.
Orang itu tidak akan rasa tenang jiwanya.
Jiwanya tidak senang dan kecewa selalu, mungkin putus asa.
Hormat orang tidak kekal, sanjungan orang tidak selalu.
Pujian orang tidak mesti sampai ke hujung.
Kemegahan dan kekuasaan tidak selama-lamanya.
Apabila segala-galanya sudah tidak wujud, lagi kecewa, menderita, putus asa.
Oleh itu kenalilah Tuhan, fahamilah maksud perbuatan Tuhan.
Bukan maksud seperti yang kita fahami.
 

MADAH baru 250


*M456*
Pemimpin politik selalunya hanya dapat menawan fizikal manusia, pemimpin kerohanian biasanya dapat menawan hati manusia. Oleh kerana itulah pemimpin politik dengan pemimpin kerohanian selalu saja berlaku pertembungan di dalam satu masa. Bila pemimpin politik itu kalah, dia selalu saja menggunakan kuasanya, dia kalah di dalam kemenangan.


*M457*
Kemampuan kuasa tidak boleh menawan hati, tapi kemampuan hati boleh menawan hati dan kuasa tanpa kuasa.


*M458*
Kalau seseorang itu terlalu banyak hiburannya, menunjukkan hiburannya di luar hatinya, bukan di dalam hatinya. Hiburan yang sejati ialah hiburan yang di dalam hati, hiburan yang di dalam hati ialah mencintai Allah.


*M459*
Kalau hati hendak senang dan tenang, ingatlah Allah banyak-banyak, lebih-lebih lagi mencintai-Nya. Kalau hendak mata senang dan tenang, cintai dan lihatlah selalu kehijauan dunia ini.


*M460*
Mata apabila buta, tidak dapat melihat yang bersifat fizikal dan material. Apabila hati buta, tidak dapat melihat yang bersifat maknawiah dan rohaniah.

Janganlah Mudah Putus Asa


Mendung tidak mesti hujan.
Hujan tidak mesti selalu.
Panas tidak mesti sampai ke petang.
Malam tiba sejuk pun datang.
Begitulah tidak selalu yang kita harap berlaku.
Tidak mesti pula yang tidak diharapkan tidak berlaku.
Begitulah manusia tidak selamanya, senang atau susah.
Ia silih berganti datang, pergi dan datang.
Cuma lama atau cepat sahaja yang membezakan.
Kerana segala-galanya takdir Tuhan.
Kerana itu janganlah kita kecewa dan dukacita.
Lebih-lebih lagi jangan putus asa.
Seperti gelap tidak selama-lamanya, juga terang tidak selama-lamanya.
Waktu malang, pandai-pandailah kita menerimanya.
Waktu biasa, pandai-pandai pulalah kita menggunanya.
Pandai menerima apa yang berlaku, bijaksana namanya.
Ia tentu menyelamatkan kita.
Kedua-duanya ada hikmahnya.
Apa yang Tuhan lakukan tidak sia-sia.
Semuanya ada hikmahnya. 


MADAH baru 249


*M451*
Kalau barang-barang kita dicuri orang, seperti duit, pakaian, kereta, peralatan rumah dan lain-lain, mudah dicari ganti, tapi jika hati kita dicuri orang, payah hendak dicari ganti, oleh itu jagalah baik-baik hati kita, jangan sampai dicuri orang.


*M452*
Apalah erti kuasa, kekayaan, nama, bintang kehormatan, glamour, sedangkan hati kosong, balik rumah termenung, hati mudah tersinggung, orang lain makan hati lembu, dia makan hati sendiri, di manakah ketenangan.


*M453*
Kalau seseorang itu barangnya dicuri orang, susah jugalah hatinya, tapi jika hatinya di curi orang, boleh membawa merana, seterusnya membawa gila.


*M454* 
Penyakit masyarakat berpunca daripada penyakit hati, yang lain, kalau ibarat pokok ia adalah baja dan air penyuburnya saja. Oleh itu didiklah hati, apabila ia baik, baiklah seluruh anggota lahir dan masyarakat manusia.


*M455*
Penawanan seseorang ke atas seseorang itu yang sebenarnya ialah apabila berjaya menawan hatinya bukan fizikalnya, kalau setakat boleh menawan fizikalnya ertinya kekalahan di dalam kemenangan.

Mari Kempen Tuhan



Wahai manusia marilah kita kempen mengenalkan Allah Taala sebagai Tuhan.
Supaya Tuhan itu dikenal dan disembah orang.
Agar kita semuanya takut dan mencintai-Nya.
Marilah kita jadikan Dia satu-satunya pemimpin.
Tak payah ditandingkan dengan sesiapa.
Dia adalah Esa, Maha Kuasa, Maha Mengetahui, Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Hebat, tidak siapa pun serupa Dia.
Marilah kita promosi Tuhan ke seluruh dunia.
Mari kita kenalkan Tuhan.
Dia adalah Maha Suci dari sebarang penyerupaan, Maha Agung, Maha Perkasa.
Marilah kita kenalkan Tuhan agar kita semua jatuh hati kepada-Nya.
Ketahuilah di antara sifat-Nya yang istimewa, Dia Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya.
Marilah kita sembah, puji, besarkan Dia sepanjang masa.
Marilah kita jadikan Tuhan adalah segala-galanya sepanjang hayat kita.
Kita jadikan Dia tempat meminta, jadikan Dia Pelindung, Pendidik dan Penyelamat kita.
Marilah, marilah kita jadikan Dia tempat rujuk, tempat menyelesaikan segala masalah manusia.
Marilah kita ajak manusia dan marilah jadikan Tuhan Pemimpin kita semua, tidak kira apa bangsa.
Marilah kita beritahu manusia bahawa ujian adalah didikan dan pengajaran buat kita semuanya.
Juga rahmat dan nikmat adalah ujian, apakah kita bersyukur atau kufur dengan nikmat-Nya.
Mari, marilah kita kenalkan Tuhan, bahawa Dia adalah Pencipta segala-galanya, Pentadbirnya, Berkuasa ke atas makhluk-Nya.
Selain Allah Taala tidak ada yang berkuasa, malah dikuasa.
Tidak bersekutu di dalam kuasa, di dalam membuat, di dalam mentadbir dan menjaga.
Marilah kita beritahu manusia semuanya.
Bahawa Tuhan tidak perlu kepada makhluk tapi makhluk memerlukan-Nya.
Tuhan tidak mengambil manfaat di atas ciptaan-Nya.
Faedahnya kembali kepada makhluk.
Marilah kita ajak manusia, jadikan Dia kawan setia di mana sahaja.
Kawan di waktu bermukim dan kawan di hari musafir, di waktu berehat dan di masa kerja.
Marilah kita puji Dia, cintai Dia dan ingat selalu kepada-Nya.
Wahai manusia, marilah kita promosikan Tuhan besar-besaran, terus-menerus hingga Dia dikenal orang di seluruh dunia.
Ketahuilah bahawa Tuhan adalah sumber keselamatan dan kesejahteraan.
Marilah kita lari kepada-Nya, jangan lari daripada-Nya.
Marilah kita mencintai, marilah kita takut kepada-Nya, nanti kita akan berkasih sayang sesama manusia.
Mari, mari jangan lengah-lengah lagi kembali kepada Tuhan.
Sudah lama kita manusia lari dari-Nya.
Kita manusia huru-hara, menderita, sengsara kerana sikap manusia lari dari Tuhannya.
 

MADAH baru 248


*M446*
Kebenaran ialah bilamana ia menerima kebenaran dari Allah melalui wahyu yang disampaikan oleh Allah kepada nabi-nabi dan rasul-Nya.


*M447*
Dahulu umat Islam menjadi ahli fikir (filasuf) kerana mengasah akal dipimpin oleh wahyu, akal mereka bertambah tajam, wahyu pun semakin terserlah, kebenaran oleh akal.
Orang Barat menjadi ahli fikir (filasuf) dengan semata-mata akal, maka akal mereka dikalahkan oleh akal umat Islam yang berteraskan wahyu, justeru itu mereka tertinggal di belakang, umat Islam tertonjol ke depan. Sekarang umat Islam, akal mereka tidak lagi menyuluh kebenaran wahyu itu. Akal mereka mencari kebenaran semata-mata dari bahan dan hasil fikiran orang Barat, mereka sudah tidak faham wahyu dan akal mereka hanya sekadar mendapat serpihan-serpihan fikiran orang Barat, umat Islam tertinggal ke belakang dan orang Barat tertonjol ke depan.


*M448*
Kekuatan umat Islam ialah pada wahyu bukan pada akal, kekuatan orang Barat pada akalnya. Apabila wahyu telah ditinggalkan, ertinya umat Islam telah membuang kekuatan dan menerima akal orang Barat. Bila menerima akal orang Barat, bererti umat Islam murid orang Barat, bila menjadi murid orang Barat, takkan murid dapat mengatasi guru. Ertinya wahyu telah diabaikan, akal tidak sampai ke mana, maka terjadilah umat Islam terhina di mana-mana.


*M449*
Orang yang jiwanya lemah, sekalipun akal dan fizikalnya kuat, tidak mungkin boleh berjuang sampai ke hujung kerana ketahanan seseorang yang asas dan utama itu ialah ketahanan jiwanya.


*M450*
Tragedi dan peristiwa bukan sekadar bahan cerita, lebih-lebih lagi bukan bahan ketawa, ia adalah bahan pendidikan dan pengajaran. Kalau hati buta, akal saja yang celik, ia akan hanya jadi bahan cerita, bukan bahan pengajaran dan didikan.

Berkawan Dengan Tuhan Dalam Semua Keadaan


Tuhan adalah tempat ditakuti dan dicintai.
Dia adalah tempat rujuk, tempat bertanya dan meminta.
Dia adalah pelindung, penyelamat, pemelihara, pentadbir yang bijaksana.
Nasib makhluk Dialah yang menentukan.
Apa yang Dia lakukan, tiada siapa yang dapat menghalang.
Iradah dan takdir-Nya berlaku.
Dia boleh buat apa sahaja dan kepada siapa, Dia tidak kira.
Semua makhluk di dalam pandangan Tuhan sama sahaja.
Kecuali orang yang bertaqwa, dia adalah istimewa, dia adalah mulia.
Tuhan adalah segala-galanya, mintalah, asalkan sepadan dengan kita, 
Tuhan akan memberi dengan hikmah-Nya, menolak juga dengan hikmah-Nya.
Kedua-dua cara ini adalah baik, jika diterima dengan baik.
Jadikanlah Tuhan kawan kita di dalam kehidupan.
Dia Maha Setia, Maha Adil dan Bijaksana.
Berkawanlah dengan Tuhan di dalam semua keadaan.
Di waktu mukim, di waktu musafir, di waktu bekerja, di waktu apa sahaja. 


MADAH baru 247



*M441*
Belajarlah dengan apa cara, yang penting mendapat ilmu, bukan mendapat ijazah. 
Kalau nak menjual ilmu mendapatkan wang, perlulah kepada ijazah.


*M442*
Kesalahan yang silam jadikanlah pengajaran. 
Kebenaran yang telah ditempuh memantapkan lagi. 
Berhati-hatilah bercakap dan berbuat agar jangan salah lagi.


*M443*
Ramai orang yang berjuang didengar suaranya seluruh alam sejagat, tidak mesti dia memperjuangkan kepentingan seluruh alam sejagat, mungkin saja dia memperjuangkan kepentingan diri.


*M444* 
Kalaulah akal dapat menentukan, mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang halal dan mana yang haram, mana yang benar dan mana yang salah, sudah tentu tidak perlu lagi Allah mengutus para Rasul, justeru filasuf ribuan banyaknya telah lahir ke dunia ini.


*M445*
Akal sendiri bagaimana tajam sekalipun tidak dapat membawa kebenaran, akal yang membawa kebenaran itu ialah akal yang dapat menyuluh kebenaran yang mutlak, iaitu wahyu dari Tuhan yang disampaikan kepada para nabi dan rasul. 

 

Lantaran Tidak Kenal Tuhan



Kerana umat Islam sudah lama tidak begitu kenal Tuhan sekalipun mereka yang masih beribadah kepada-Nya.
Kesan dari itu ramai umat Islam yang prejudis dengan Tuhan.
Teringat sahaja Tuhan seolah-olah Tuhan itu hanya menghukum.
Mereka percaya adanya Tuhan tapi dirasakan Tuhan itu menyusahkan dan mengancam.
Teringat Tuhan hanya menakutkan, tidak lebih dari itu.
Percaya dengan Tuhan tapi benci dengan-Nya.
Teringat sahaja Tuhan tidak terasa lazat dan indahnya.
Teringat sahaja Tuhan tidak terasa terhibur.
Padahal Tuhan itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya.
Tapi manusia tidak terasa lagi kasih sayang-Nya.
Manusia tidak terasa lagi Allah itu pentadbir, penjaga, penyelamat dan pelindung.
Seolah-olah Tuhan itu hubungannya dengan manusia hanya menghukum.
Padahal Tuhan itu adalah segala-galanya.
Yang paling menonjol adalah kasih sayang-Nya.
Yang banyak adalah rahmat dan nikmat-Nya kepada manusia, bahkan kepada alam seluruhnya.
Tapi kerana Tuhan sudah tidak dikenali lagi hanya sekadar percaya kewujudan-Nya
maka manusia prejudis dengan Tuhan.
Sepatutnya Tuhan itu dikasihi dan dicintai bukan sekadar ditakuti.
Tuhan itu sepatutnya kita merasa Dia melindungi dan penyelamat.
Setiap manusia sepatutnya sangat perlu kepada Tuhan.
 

MADAH baru 246



*M436*
Kalau seseorang itu, samada lelaki mahupun perempuan, selalu saja memandang lelaki atau perempuan ajnabi, satu Allah akan bala'kan kepadanya ialah merasakan isteri atau suami sendiri sudah tidak  menarik lagi, kenalah jaga mata.


*M437*
Syariat Islam itu apabila diamalkan, otomatik orang itu hidupnya berdisiplin, tidak payah dia didisiplinkan lagi, disiplin macam ini kekal sampai mati.


*M438*
Kalau seseorang itu hidup berdisiplin kerana didisiplinkan, dia tersiksa dan cara itu tidak akan tahan lama.


*M439*
Disiplin harian umat Islam yang sebaik-baiknya, di waktu malam sunyi dia memohon, memunajat, mengadu kepada Allah, bangun sebelum subuh, waktu bangun memuji Allah, serta niat sepanjang hari hendak membuat baik, sembahyang lima waktu berjemaah, kalau boleh sembahyang dhuha, tidur sebelum zuhur, qailullah namanya, tidak tidur selepas Ashar dan Subuh, selepas Isya membaca sedikit atau buat perbincangan dengan keluarga, selepas itu pergi ke tempat tidur, sebelum tidur bertaubat dan berzikir dengan sebanyak-banyaknya hingga tertidur dengan taubat dan zikir, begitulah dibuat sepanjang masa, kecuali kalau ada hal yang mendadak, sama ada masalah pribadi mahupun masalah masyarakat, ubah suailah dengan suasana, dengan tidak mengorbankan yang wajib, beginilah disiplin harian umat Islam, kalau kita izin memperkatakan disiplin.


*M440*
Di bandar-bandar dan di pekan-pekan, terutama di badar-bandar besar, orang jahat lebih ramai dan macam-macam bentuknya daripada di kampung-kampung.

Bala Besar Dari Tuhan



Bala yang besar bukan gempa bumi, bukan ledakan gunung berapi, bukan banjir besar yang memusnah, 
tapi ialah kekufuran di dalam diri atau di dalam hati.
Bala yang disebutkan tadi bahayanya di dunia, tapi kekufuran bahayanya Neraka
yang amat dahsyatnya.
Kemiskinan dan kefakiran bukanlah masalah masyarakat dan negara.
Ada masalah yang lebih besar dari itu sebenarnya.
Iaitu orang yang kaya yang bakhil, tamak dan mengambil harta bangsa dan negara.
Mereka tidak bertanggungjawab kepada fakir miskin dan orang yang menderita.
Harta mereka untuk mereka dan keluarga, bukan untuk  bangsa dan negara.
Pemuda-pemudi yang berlepak-lepak membuang masa membuat kerja yang sia-sia, bahaya juga.
Tapi ada yang lebih bahaya lagi ialah pembesar-pembesar dan orang-orang kaya yang berlepak-lepak membuang masa di gedung-gedung besar yang tertutup, ada penjaga, membuat kerja laknat dan membuang wang sia-sia.
Sedangkan wang ringgit yang mereka dapati dari hasil negara dan bangsa.
Tapi sikap mereka tidak begitu dibising-bisingkan sangat, maklumlah orang istimewa.
Yang dibisingkan sangat kerja muda-mudi yang sia-sia membuang masa.
Bencana yang merosak bukan hanya bencana alam, ia berlaku sekali-sekala.
Bencana yang sebenarnya adalah sifat sombong atau ego, pemarah, pendendam, tamak, bakhil, rasuah, hasad dengki, tipu daya.
Sifat-sifat ini boleh memecahbelahkan perpaduan, boleh berlaku perbalahan, boleh berlaku pergaduhan dan peperangan.
Musnahnya merata, kerosakannya global, bahayanya menimpa bangsa dan negara.
Kebodohan adalah bahaya, tapi orang pandai yang mementingkan diri, mengguna bangsa dan negara untuk kekayaan lagi bahaya.
Begitulah manusia yang sudah kehilangan Tuhan.
Menilai masalah dan bahaya pun tidak begitu kena.
Yang bukan masalah dianggap masalah, yang masalah tidak dianggap masalah.
Yang bahaya kecil dipandang besar, yang bahaya besar dipandang remeh sahaja.
Begitulah orang pandai yang hanya mengguna otak semata-mata.
Ukurannya otak, segala-galanya dinilai berdasarkan otak.
Wahyu sudah tidak dijadikan neraca lagi di dalam menilai.
Oleh yang demikian banyak perkara disalah nilai.
Bahkan sampai mudah menilai yang sesat dianggap tidak sesat, yang tidak sesat dianggap sesat.
Yang bid'ah dianggap sunnah, yang sunnah dianggap bid'ah.
Yang patut fanatik tidak dibolehkan, yang tidak patut fanatik dibolehkan pula. 


GURU MAKLUK PALING DEGIL



Degil. Sungguh. Degil sungguh makhluk bergelar guru ini. Masakan tidak, kecaman dan cemuhan silih berganti, tapi masih setia memegang kapur pendek itu. Biar seluar baju kotor dengan habuk, dia tidak peduli. Dia memang degil.

Itu tiada apa jika nak dibandingkan dengan serangan bertali arus secara terus. Ada yang datang mengejut, menyerang guru di sekolah. Tengah menyusun murid, ditendang dari belakang. Ditumbuk pula bertalu-talu. Tapi dia degil. Esoknya dia ke sekolah lagi. Anak si kaki pukul masih diajar dengan senyuman. Dengan penuh sabar tanpa dendam.

Ada yang datang menunjukkan kuasa. Dibawa pangkat Dato' untuk mengugut. Dicerita kenal orang berkuasa itu ini. Kalau buat anaknya lagi, dia akan ambil tindakan. Ditukar dalam 24 jam. Itu ugutannya. Tapi guru itu makhluk degil. Anak si pengugut itu jatuh luka, guru itu juga yang bergegas mengangkat. Membalut luka, menghantar ke hospital, malah mengelap airmata. Sedang bapanya semalam datang mengugut. Tapi dia makhluk degil.

Guru itu, namanya naik ke balai polis. Akan didakwa ke mahkamah kerana merotan muridnya. Dia ingin mendidik sahaja. Tapi apakan daya, dendam orang dewasa lebih mendalam. Katanya guru itu perlu menerima hukuman.

Tapi guru itu degil sungguh. Tidak dihirau nama yang kian membusuk. Bila muridnya jatuh pengsan sewaktu perhimpunan, guru itu dulu tampil kedepan. Memangku, mengibas, cemas sekali dia. Risau muridnya hilang nyawa. Sedang bapanya, baru kelmarin melaporkan nama guru itu di balai polis. Tidak dihirau semua itu.

Guru itu pernah berkali-kali menyesal. Mengejar pelajarnya yang ponteng hingga seluarnya koyak. Hingga dia jatuh terlentang. Pernah kesal kerana merotan murid nakal, sehingga keretanya dicalar, angin pula dibuang. Kadangkala, cermin keretanya juga dipecahkan, oleh remaja nakal anak didik dia.

Dia pernah menyesal. Pernah berjanji tidak lagi akan ambil tahu. Serik kononnya.

Tapi dia guru. Dia makhluk paling degil. Sesalnya hanya seketika sahaja. Saat anak didiknya ponteng, dia kejar lagi. Saat anak didiknya nakal, dia masih menghayun merotan. Dia nak anak didiknya berjaya. Berjaya menjadi seorang manusia sekurang-kurangnya. 

Tidak diendahkan akibat yang dia bakal terima nanti. Dia sayang sungguh anak didiknya. Risau mereka rosak. Risau mereka menjadi tidak berakhlak. Risau menjadi sampah masyarakat.

Dia akan terus degil. Semuanya kerana cinta. Cinta pada pekerjaannya. Cinta pada muridnya. Bukalah mata. Bukalah mata masyarakat diluar sana.

Masih adakah ibubapa dan masyarakat yang masih mahu menyokong? Saat guru pula bakal dihukum? 

Terima kasih aku ucapkan pada guru-guru aku yang dulunya begitu degil. Kini aku pula ditempatmu. Menjadi guru yang degil.

Guru, makhluk paling degil.

#Aku seorang guru..

MADAH baru 245



*M431*
Kalau disiplin lahir sahaja boleh dibuat disiplin batin (nafsu dan hati) tidak dibuat, akan melahirkan manusia yang cergas dan tahan lasak tapi jahat, begitulah pandangan Islam.


*M432*
Apalah erti pembangunan dan kemajuan di dalam kezaliman, kemungkaran merata, perpaduan pecah, disiplin manusianya terutama golongan remaja, liarnya, hidup nafsi-nafsi, jenayah berleluasa, hidup di dalam ketakutan.


*M433*
Selagi umat Islam rasa bertuhan tidak dibawa ke mana-mana, sekadar hanya percaya dengan Tuhan, selama itulah umat Islam tidak boleh mengawal dirinya daripada membuat kemungkaran, sama ada lahir mahupun batin, terutama bila terlindung daripada pandangan  manusia.


*M434*
Memperbaiki manusia dengan pelajaran dan pendidikan yang tidak masuk ajar lagi, kenalah dihukum dan tindakan undang-undang, tapi kalau para pendidik di kalangan ibu bapa, guru-guru, pemimpin negara, pemimpin kumpulan dan pemimpin masyarakat sudah tidak ikut ajaran, siapa pula yang akan mendidik masyarakat?


*M435*
Setiap orang yang ada ilmu Islam, sekadar yang dia miliki, tidak ada halangan untuk dia menjadi mubaligh iaitu menyampaikan ajaran Islam, tapi untuk memberi kesan dan perubahan kepada manusia, Allah akan pilih siapa di  kalangan mereka yang menjadi pewaris nabi, sekalipun yang berubah itu tidak ramai, Allah tidak memandang yang ramai tapi memandang yang bersyukur sekalipun sedikit, kerana pengikut para nabi pun tidak ramai. 

             

Kenangilah Orang Yang Membuat Jasa



Kenangilah orang yang telah berjasa kepada kita.
Seperti ibu bapa, guru-guru dan para pemimpin kita.
Mereka adalah manusia yang ada jasa di bidang masing-masing.
Hormatilah mereka dan balasilah jasanya.
Paling tidak doakan mereka keselamatannya,
diampunkan dosa-dosa mereka, dimaafkan kesalahan-kesalahan mereka,
Tuhan beri mereka hidayah dan taufiq,
dijauhkan mereka daripada bala bencana.
Orang yang berakhlak tidak melupakan orang yang berjasa.
Sekalipun kita sudah lebih dan maju dari mereka.
Sekalipun kita sudah berpangkat dan kaya.
Kalau bukan jasa mereka, kita tidak berjaya.
Lebih-lebih lagi kepada Tuhan jangan dilupakan.
Jasa-jasa Tuhan kepada kita lagi tidak terkira.
Orang yang berjasa kepada kita, Tuhan juga yang mentakdirnya.
Jasa mereka kepada kita ketentuan Tuhan kepada kita.
Oleh itu bersyukurlah kepada Tuhan, berterima kasihlah kepada yang berjasa.
Berterima kasihlah kepada Tuhan, menyembah-Nya, orang yang berjasa, balas jasa mereka.
Orang yang dapat melakukannya orang yang berakhlak mulia.
Sebaliknya, orang yang tidak pandai mengenang jasa.
Ingatilah nikmat Tuhan, kenangilah orang yang berjasa.
Agar kita pandai menjadi orang yang bersyukur.
Agar kita termasuk golongan yang berakhlak mulia.
Jangan sampai kita dianggap tidak mengenang jasa.
 

MADAH baru 244



*M426*
Hari ini ukuran cemerlang pada seseorang murid ialah berjaya menghafal dan memahami ilmu sekalipun tidak dihayati dan diamalkan, ertinya walaupun murid itu bukan seorang peribadi yang baik, sekalipun tidak sembahyang, sombong dan sebagainya, tapi dia berjaya di bidang ilmu.


*M427*
Hari ini kalau seseorang pelajar itu lemah di bidang ilmu tapi berjaya di bidang pendidikan, umpamanya dengan ilmu yang dipelajarinya itu dihayati dan diamalkan, hingga dia menjadi pelajar yang berakhlak, dia tidak dianggap pelajar yang cemerlang. 
Ukuran ini adalah satu gejala masyarakat yang tidak sihat. Sebenarnya orang tidak anggap ia  satu gejala negatif, oleh kerana itulah hari ini pembangunan dan kemajuan bertambah pesat, tapi akhlak  bertambah rosak dan jahat.


*M428*
Wahai umat Islam, perlu diingat, tidak ada disiplin yang lebih baik dan cantik daripada Islam. Janganlah mencari disiplin lain selain Islam untuk mendisiplinkan umat Islam, nanti umat Islam bukan sahaja tidak berdisiplin, bahkan akan menimbulkan lebih banyak gejala-gejala masyarakat yang tidak sihat.


*M429*
Hari ini latihan-latihan fizikal terlalu banyak bahkan sangat serius diusahakan, tapi latihan rohaniah sangat sedikit diusahakan bahkan adakalanya yang sedikit itu pun tidak tepat, padahal kalau hati itu sudah rosak, nafsu tidak terdidik, latihan fizikal yang dilakukan itu yang menjadikan orang ramai sudah tahan lasak, ketahanan fizikal itu akan disalahgunakan nanti untuk kejahatan.


*M430*
Di dalam Islam, latihan fizikal boleh dibuat sekali sekala, latihan kerohanian (mendidik nafsu dan membersihkan hati), latihannya kena dibuat setiap masa, kerana membentuk dan melatih diri lahir amat mudah tapi hendak membentuk diri yang batin amat susah. Buktinya, dengan badan yang sihat lagi terlatih orang boleh panjat bukit, merenangi lautan, merentas hutan, menurun lurah, berlari beratus batu, tapi untuk sembahyang, lebih-lebih lagi sembahyang Subuh, walaupun di atas karpet di bilik sejuk, banyak orang yang tidak sanggup, bukan fizikalnya yang tidak mampu, tapi hatinya yang tidak mampu.

Bumi Tuhan... Bersaksilah