Semuanya Adalah Milik Tuhan




Seluruh yang wujud yang dapat dilihat mahupun tidak adalah milik Tuhan.
Langit dan bumi dan seluruh isinya kepunyaan-Nya.
Harta yang engkau milik, ilmu yang ada pada engkau, pangkat yang engkau sandang, semuanya milik Tuhan.
Bahkan diri engkau pun kepunyaan-Nya.
Tuhan yang mewujudkan, Tuhanlah yang empunya.
Cuma apa yang ada pada kita itu sama ada yang bersifat benda mahupun yang bersifat maknawi, Tuhan pinjamkan.
Kalau semuanya milik Tuhan, kita hanya sebagai pemegang amanah sahaja.
Kalau begitu, kepunyaan Tuhan itu bolehkah kita gunakan sesuka hati?
Bukan sahaja Tuhan tidak membenarkan untuk sesuka hati,
akal kita pun tidak membenarkannya.
Bukankah sudah sama-sama bersetuju di antara akal dengan Tuhan,
sepertilah orang simpankan barang kepada kita, ia adalah kepunyaannya.
Apakah barang itu boleh kita gunakan sesuka hati?
Tentu tidak.
Kita akan gunakan mengikut apa yang dia pesankan kepada kita, bukan?
Harta kita, tenaga kita, hakikatnya adalah kepunyaan Tuhan.
Kepunyaan kita hanyalah sebagai nisbi sahaja, disandarkan sahaja kepada kita.
Akal fikiran kita, ilmu kita, hakikatnya kepunyaan Tuhan yang ia bersifat maknawi.
Bahkan apa yang ada pada kita lahir dan batin adalah kepunyaan Tuhan.
Tuhan hanya pinjamkan sahaja kepada kita.
Bahkan diri kita pun kepunyaan Tuhan.
Dan dipesankan kepada kita, gunakan mengikut kehendak Tuhan, bukan kehendak kita.
Kalau begitu mana boleh kita kata: 
"Harta aku, terpulanglah kepada aku."
"Apa aku hendak buat, terpulanglah kepada aku."
Setiap yang kita miliki akan ditanya nanti bagaimana menggunakannya.
Bilamana penggunaannya tidak sesuai dengan kehendak Tuhan, Nerakalah jawapannya.
Kerana itulah kalau manusia faham konsep milik ini,
tidak ada manusia yang susah di dunia.
Yang tidak punya pun akan terbela.
Kerana yang punya, pandai mengguna kepunyaannya di tempat yang betul.
Iaitu membela orang yang tidak punya.
Sebenarnya setiap manusia yang Tuhan hidupkan sudah sedia rezeki dan sebagainya.
Yang tidak bernasib baik, mungkin cedera, cacat, kemalangan,
tetap ada rezekinya. Tapi rezeki itu di tangan orang kaya.
Orang kaya pasti membela mereka.
Kalau tidak, orang kaya telah melakukan penzaliman sesama manusia. 

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah