Ramai orang bersalah kerana kesalahan orang lain.
Bahkan sering sahaja berlaku orang buat salah kerana kesalahan orang.
Adakalanya kesalahan itu lebih besar daripada kesalahan orang terhadapnya.
Mengikut Tuhan orang yang bersalah kerana orang itu membuat salah kepadanya tetap dianggap salah.
Itu berdendam namanya, berdendam adalah salah dan haram.
Tiada siapa yang boleh menghukum orang lain, sekalipun membuat salah kepadanya kecuali Allah Taala melalui pemerintah.
Kesalahan itu mestilah dihukum mengikut ketentuan Allah atau yang tidak ditentukan adalah takdir berdasarkan kebijaksanaan hakim.
Kesalahan yang berlaku kerana kesalahan orang lumrah berlaku di mana-mana sahaja di dalam kehidupan.
Orang sombong dengannya dia pun berdendam dengannya, menunggu peluang untuk merosakkan orang itu, dia pun fitnah orang itu.
Orang tipu dia, dia pun marah, kemudian orang itu dipukulnya.
Orang fitnah dia, dia pun sakit hati, dibakarnya rumah orang itu hingga musnah.
Ada orang mengganggu anak isterinya, kerana marah, dibunuhnya orang itu, kesalahannya lebih besar daripada orang itu.
Ada orang menghina dia, dia pun membenci, setiap kali bertemu dimakinya orang itu.
Orang curi barangnya, dia umpat merata negeri orang itu hingga orang itu malu.
Tidak kurang ada orang mencerca kita, mengata-ngata kita, kita doakan dia kebinasaan atau kecelakaan.
Cukup sekadar itu sebagai contoh, yang lain kiaskan sahaja.
Begitulah umat Islam hari ini di seluruh dunia, mereka sering berdosa kerana dosa orang lain kepadanya.
Mereka melakukan kesalahan kerana kesalahan umat Islam yang lain kepadanya.
Di mana ada persaudaraan? Di mana kasih sayang? Di mana perpaduan? Di mana maaf- bermaafan?
Maaf-bermaafan sudah tidak ada, bertolak ansur sudah tidak berlaku,
berlapang dada sudah hilang.
No comments:
Post a Comment