Kalau Engkau Mahu Berfikir



Pagi-pagi engkau keluar rumah untuk tugas harian.
Mula-mula sekali bumi (tanah) yang engkau pijak.
Itulah dia kejadian engkau yang pertama.
Kejadian engkau yang kedua lebih lagi hinanya.
Kalau engkau orang yang insaf, engkau malu dengan diri engkau.
Sombong engkau sudah tentu hilang.
Engkau pun merendah diri di muka bumi Tuhan.
Apabila engkau berhadapan dengan makanan yang sedang dihidang,
makanan dan lauk-pauknya pula berbagai-bagai jenisnya.
Ada sayur, ada ikan, ada daging, 
bukan engkau yang mengusahakannya.
Engkau hanya memilih bahan mentahnya.
Kalau mata hati engkau celik,
engkau akan terasa, wah... ramai sungguh orang yang memberi khidmat kepada engkau.
Sama ada engkau sedar ataupun tidak, kenal atau sebaliknya.
Secara langsung mahupun secara tidak langsung.
Biasanya mereka itu adalah buruh-buruh, nelayan-nelayan dan tenaga orang susah.
Engkau akan terasa sedih waktu hendak makan.
Pasti engkau akan simpati kepada mereka itu.
Jangan-jangan mereka tidak pun memakan seperti yang engkau memakan makanan yang sedap-sedap itu.
Padahal merekalah yang menghasilkan semua itu.
Tentulah engkau akan sentiasa mengambil berat mereka-mereka yang miskin dan susah.
Kerana mereka setiap hari memberi khidmat kepada engkau.
Begitulah seterusnya setiap apa sahaja yang engkau gunakan, miliki dan pakai.
Berapa ramai pula yang terlibat menjayakannya.
Lagilah ramai orang yang telah berjasa kepada engkau.
Apakah engkau boleh berfikir semacam ini?!
Kalau engkau berfikir semacam ini.
Engkau tidak akan sombong, pasti engkau merendah diri.
Kalau engkau boleh berfikir semacam ini.
Sudah pasti engkau sentiasa simpati dengan golongan yang susah.
Engkau tidak akan menghina mereka.
Tapi engkau tidak berfikir semacam ini.
Maka engkau pun sombong, dan fakir miskin engkau tidak peduli. 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah