Marilah Berukhwah Dan Berkawan Kerana Tuhan


Marilah kita berukhwah dan berkawan kerana Tuhan.
Hingga kita jadi jemaah Tuhan sekalian alam.
Jika kita berkawan kerana Tuhan, kita tidak akan berlaku perpisahan.
Mesti kita berkawan sampai penghujung perjuangan.
Kalau kita berkawan kerana Tuhan kalaupun ada perbalahan tidak akan berpanjangan.
Perbalahan dan krisis mudah diselesaikan.
Biasalah manusia hamba Tuhan sedikit-sedikit membuat salah dan kesilapan
tapi mudah selesai dan mudah dihilangkan.
Kalau kita berkawan di dalam perjuangan bukan kerana Tuhan,
bukan kerana takutkan dan cintakan Tuhan, perbalahan mudah datang.
Hendak menyelesaikan pula selalunya berpanjangan.
Tuhan adalah pengikat ukhwah dan perpaduan.
Tuhan adalah anak kunci kesatuan dan kekuatan.
Wang, harta, pangkat, nama dan jawatan selalunya mendatangkan perbalahan.
Oleh itu janganlah diharapkan selain Tuhan boleh berpadu dan menjadi kekuatan.
Selalunya kerana wang, harta, pangkat dan lain-lainnya selalu sahaja membawa perselisihan.
Perselisihan membawa renggang kasih sayang.
Apabila renggang kasih sayang, pecahlah perpaduan dan kesatuan.
Di waktu itu umat Islam akan lemah, musuh pun mudah menghancurkan.
Ingatan ini hendaklah diambil perhatian.
Kekuatan umat Islam berkawan, berjemaah adalah takut dan cintakan Tuhan.
Janganlah cari kekuatan selain Tuhan.
Bahkan selain Tuhan telah dikatakan sebelum ini, ia selalu sahaja membawa perpecahan.
Oleh itu marilah kita perjuangkan Tuhan.
Marilah kita berkawan dan berjemaah, 
bersama Tuhan kita berkawan.
Itulah dia kekuatan umat Islam sepanjang zaman.
Janganlah kita was-was dan janganlah kita dikelirukan.
Seluruh kehidupan kita, Tuhan mestilah dibawa bersama berkawan.
Tuhan adalah sahabat setia kita sepanjang zaman.
Sahabat yang mengawal kita dan menjaga kita di dalam keadaan apa pun.
Tapi umat Islam hari ini seluruh dunia, Tuhan telah ditinggalkan.
Umat Islam terdedah kepada kejahatan musuhnya.
Sedangkan musuhnya ada kekuatan lahir yang kuat.
Padahal umat Islam kekuatan material pun tidak ada, Tuhan pun ditinggalkan.
Kedua-dua kekuatan sudah tidak ada, bagaimanalah hendak menang. 



No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah