MADAH baru 430



*641*
Mencari ilmu tidak ada salahnya.
Yang salah, kerana ilmu korbankan iman.
Mencari rezeki memang tidak salah, yang salahnya kerana rezeki korbankan maruah.
Membangun tidak dilarang, adakalanya fardhu kifayah, yang dilarang ialah kerana membangun, rosak syariat dan akhlak.
Bergaul dengan orang kafir atau orang fasik tidak menjadi satu kesalahan, yang menjadi kesalahan itu bila bergaul dengan mereka, korbankan prinsip.
Mencari kekayaan bukanlah satu kesalahan, yang salah itu mencari kekayaan tidak kira halal dan haram.
Kita mendapat pangkat bukanlah satu kesalahan, yang salah itu kerana pangkat melanggar tata susila dan menjatuhkan orang lain. 

*642*
Wahai umat Islam, apalah erti ilmu, kemajuan, pembangunan, kekayaan hingga terkorban aqidah, punah syariat, leburnya akhlak. Ini kerana di dalam Islam, aqidah, syariat, akhlak tidak boleh dijual beli, ia adalah hidup mati kita. 

*643*
Kesesatan secara kekampungan banyak orang nampak, alim ulama berani mengulas dan menyanggahnya, tapi kesesatan secara moden banyak orang yang tidak nampak, para ulama pun tidak berani mengulas, seperti:
* kerana komputer, tinggal sembahyang
* kerana ilmu, korbankan syariat
* kerana pangkat, menjadi sombong dengan Tuhan, acuh tak acuh
* kerana pembangunan, tidak peduli akhirat
* kerana hendak menjaga hati sesuatu golongan atau kaum, korbankan iman
* kerana mesyuarat, tak peduli sembahyang
* tinggalkan syariat Islam kerana pertahankan ideologi
* kalau tidak main dengan riba', tidak akan maju. 

*644*
Peninggalan atau tamadun yang ditinggalkan oleh pembesar-pembesar yang derhaka kepada Allah, banyak bersifat fizikal dan material yang dapat dilihat oleh mata tapi tamadun yang ditinggalkan oleh pembesar-pembesar Allah kebanyakannya bersifat maknawiyah dan rohaniah yang dapat dirasakan oleh akal dan hati. 

*645*
Kalau ada satu golongan umat Islam atau satu kaum di kalangan umat Islam, kecemerlangan akhlak mereka makin meningkat, makin lama makin terserlah, makin lama makin indah, tanda kaum itu jangka panjang akan menguasai dunia. Tapi kalau umat Islam itu kemajuan dan pembangunannya bertambah pesat tapi akhlak makin menurun, gejala masyarakat makin memesat, tanda bangsa itu hendak hancur atau rosak.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah