MADAH baru 430



*641*
Mencari ilmu tidak ada salahnya.
Yang salah, kerana ilmu korbankan iman.
Mencari rezeki memang tidak salah, yang salahnya kerana rezeki korbankan maruah.
Membangun tidak dilarang, adakalanya fardhu kifayah, yang dilarang ialah kerana membangun, rosak syariat dan akhlak.
Bergaul dengan orang kafir atau orang fasik tidak menjadi satu kesalahan, yang menjadi kesalahan itu bila bergaul dengan mereka, korbankan prinsip.
Mencari kekayaan bukanlah satu kesalahan, yang salah itu mencari kekayaan tidak kira halal dan haram.
Kita mendapat pangkat bukanlah satu kesalahan, yang salah itu kerana pangkat melanggar tata susila dan menjatuhkan orang lain. 

*642*
Wahai umat Islam, apalah erti ilmu, kemajuan, pembangunan, kekayaan hingga terkorban aqidah, punah syariat, leburnya akhlak. Ini kerana di dalam Islam, aqidah, syariat, akhlak tidak boleh dijual beli, ia adalah hidup mati kita. 

*643*
Kesesatan secara kekampungan banyak orang nampak, alim ulama berani mengulas dan menyanggahnya, tapi kesesatan secara moden banyak orang yang tidak nampak, para ulama pun tidak berani mengulas, seperti:
* kerana komputer, tinggal sembahyang
* kerana ilmu, korbankan syariat
* kerana pangkat, menjadi sombong dengan Tuhan, acuh tak acuh
* kerana pembangunan, tidak peduli akhirat
* kerana hendak menjaga hati sesuatu golongan atau kaum, korbankan iman
* kerana mesyuarat, tak peduli sembahyang
* tinggalkan syariat Islam kerana pertahankan ideologi
* kalau tidak main dengan riba', tidak akan maju. 

*644*
Peninggalan atau tamadun yang ditinggalkan oleh pembesar-pembesar yang derhaka kepada Allah, banyak bersifat fizikal dan material yang dapat dilihat oleh mata tapi tamadun yang ditinggalkan oleh pembesar-pembesar Allah kebanyakannya bersifat maknawiyah dan rohaniah yang dapat dirasakan oleh akal dan hati. 

*645*
Kalau ada satu golongan umat Islam atau satu kaum di kalangan umat Islam, kecemerlangan akhlak mereka makin meningkat, makin lama makin terserlah, makin lama makin indah, tanda kaum itu jangka panjang akan menguasai dunia. Tapi kalau umat Islam itu kemajuan dan pembangunannya bertambah pesat tapi akhlak makin menurun, gejala masyarakat makin memesat, tanda bangsa itu hendak hancur atau rosak.

Semuanya Adalah Milik Tuhan




Seluruh yang wujud yang dapat dilihat mahupun tidak adalah milik Tuhan.
Langit dan bumi dan seluruh isinya kepunyaan-Nya.
Harta yang engkau milik, ilmu yang ada pada engkau, pangkat yang engkau sandang, semuanya milik Tuhan.
Bahkan diri engkau pun kepunyaan-Nya.
Tuhan yang mewujudkan, Tuhanlah yang empunya.
Cuma apa yang ada pada kita itu sama ada yang bersifat benda mahupun yang bersifat maknawi, Tuhan pinjamkan.
Kalau semuanya milik Tuhan, kita hanya sebagai pemegang amanah sahaja.
Kalau begitu, kepunyaan Tuhan itu bolehkah kita gunakan sesuka hati?
Bukan sahaja Tuhan tidak membenarkan untuk sesuka hati,
akal kita pun tidak membenarkannya.
Bukankah sudah sama-sama bersetuju di antara akal dengan Tuhan,
sepertilah orang simpankan barang kepada kita, ia adalah kepunyaannya.
Apakah barang itu boleh kita gunakan sesuka hati?
Tentu tidak.
Kita akan gunakan mengikut apa yang dia pesankan kepada kita, bukan?
Harta kita, tenaga kita, hakikatnya adalah kepunyaan Tuhan.
Kepunyaan kita hanyalah sebagai nisbi sahaja, disandarkan sahaja kepada kita.
Akal fikiran kita, ilmu kita, hakikatnya kepunyaan Tuhan yang ia bersifat maknawi.
Bahkan apa yang ada pada kita lahir dan batin adalah kepunyaan Tuhan.
Tuhan hanya pinjamkan sahaja kepada kita.
Bahkan diri kita pun kepunyaan Tuhan.
Dan dipesankan kepada kita, gunakan mengikut kehendak Tuhan, bukan kehendak kita.
Kalau begitu mana boleh kita kata: 
"Harta aku, terpulanglah kepada aku."
"Apa aku hendak buat, terpulanglah kepada aku."
Setiap yang kita miliki akan ditanya nanti bagaimana menggunakannya.
Bilamana penggunaannya tidak sesuai dengan kehendak Tuhan, Nerakalah jawapannya.
Kerana itulah kalau manusia faham konsep milik ini,
tidak ada manusia yang susah di dunia.
Yang tidak punya pun akan terbela.
Kerana yang punya, pandai mengguna kepunyaannya di tempat yang betul.
Iaitu membela orang yang tidak punya.
Sebenarnya setiap manusia yang Tuhan hidupkan sudah sedia rezeki dan sebagainya.
Yang tidak bernasib baik, mungkin cedera, cacat, kemalangan,
tetap ada rezekinya. Tapi rezeki itu di tangan orang kaya.
Orang kaya pasti membela mereka.
Kalau tidak, orang kaya telah melakukan penzaliman sesama manusia. 

MADAH baru 429


*636*
Di zaman salafussoleh dahulu, orang  masuk Islam kerana melihat orang Islam sembahyang, ada orang yang masuk Islam kerana melihat orang Islam ada yang menerima ujian penderitaan yang berat tapi tidak pernah mengeluh, ada yang masuk Islam kerana melihat akhlak mulia mereka.
Hari ini setiap hari orang kafir membaca tulisan Islam oleh orang Islam, melihat orang Islam sembahyang, berkongsi dengan umat Islam, semajlis dengan umat Islam, bahkan berkawan dengan orang Islam, tidak ada rasa hati pun orang bukan Islam hendak masuk Islam.
Hendak masuk Islam rahsianya tiada lain ialah ketaqwaan salafussoleh.  

*637*
Pangkat dan kekayaan hendaklah dijadikan alat untuk membangunkan syariat Islam dan akhlak bangsa, jangan pula syariat Islam dan akhlak dijadikan alat untuk kepentingan bangsa dan negara, pangkat dan kekayaan. 

*638*
Membangunkan insaniah manusia hingga dapat melahirkan hamba Allah yang berilmu dan bertaqwa, ini memerlukan kesedaran dan kefahaman, keyakinan, penghayatan, latihan istiqamah, guru yang bertaqwa dan doa. 

*639*
Untuk melahirkan hamba Allah yang bertaqwa tidak cukup dengan ceramah, syarahan dan forum, ini memerlukan tukang cakap yang menjadi contoh dan model, serta para pendengarnya terus dipimpin dan dilatih. 

*640*
Janganlah kita jadikan gelanggang majlis agama medan gelak ketawa, tempat mencari glamour dan nama, kita akan digolongkan oleh Allah orang yang bermain atau memalukan agama.

Perbezaan Berjuang



Berjuang untuk Tuhan tidak sama dengan berjuang untuk ibadah dan syariat.
Berjuang untuk Tuhan, promosikan Tuhan, agar dia dikenal, ditakuti, dicintai,
disembah, disucikan dan diagungkan.
Ibadah dan syariat akan subur dengan sendiri
kerana ia cara atau jalan menyembah dan mengagungkan Tuhan.
Berjuang untuk syariat dan ibadah mungkin kerana Syurga atau takut Neraka,
mungkin itu tradisinya.
Takutkan Tuhan, cintakan Tuhan tidak ada.
Tidak fanatik dengan Tuhan bahkan tidak sensitif dengan Tuhan.
Akhirnya longgar dengan syariat, mungkin banyak ibadahnya.
Kalaupun dengan ibadahnya kerana sudah jadi tabiat,
tidak ada kesannya di dalam sikap peribadinya.
Tabiatnya atau akhlaknya macam orang tidak beribadah.
Dia tidak sabar, tidak cinta dengan manusia, peri kemanusiaannya tidak ada, tamak, bakhil, cinta dunia, hasad, pemarah, dendam, megah, sombong, riyak masih jadi budaya.
Di dalam beribadah, akhlak mulia tidak terserlah, boleh jadi jahat.
Berlakulah di dalam masyarakat, ahli ibadah tidak dihormati bahkan tidak dipercayai.
Bahkan akhir zaman ini, masjid tempat gelanggang beribadah,
di situlah tempat berkrisis dan berkelahi.
Di dalam masjidlah tempat perpecahan dan renggang perpaduan,
banggakan Tuhan tidak diambil kira lagi.
Begitulah terjadi orang beragama kerana syariat atau ibadah atau tradisi,
bukan kerana Tuhan Allah.
Adakalanya ahli ibadah itu, kalau ada orang selalu menyebut Tuhan,
atau menggambar takut dan cintakan Tuhan, dia hairan.
Seolah-olah ibadahnya selama ini terpisah dari  Tuhan.
Ibadah di satu pihak, Tuhan di satu pihak pula, tidak ada kena-mengena.
Apa sudah jadi kepada ahli ibadah di zaman ini?
Bagaimana dia belajar mengenai ibadah, macam belajar tidak sudah aja?!
Bukankah ibadah itu implimentasi dari takutkan Allah atau cintakan Allah.
Lahirlah buah akhlak yang mulia, terserlah dari ahli ibadah.
Akhlak yang mulia itulah yang melahirkan kasih sayang dan perpaduan kepada umat.   


Apabila Tidak Kenal Tuhan



Apabila manusia sudah terlalu jahat kerana tidak kenal atau tidak percaya Tuhan atau tidak takutkan Tuhan atau tidak cintakan Tuhan,
berlakulah berbagai-bagai bentuk jenayah dan kejahatan di dalam kehidupan.
Seribu satu macam kejahatan manusia lakukan
hingga hilang keamanan dan keselamatan, manusia sentiasa takut dan bimbang.
Di waktu itu, undang-undang demi undang-undang, hukuman demi hukuman tidak akan mampu menahannya.
Manusia kalau sudah tidak takut Tuhan, jel dan hukuman bunuh tidak menakutkan.
Kerana mereka menyangka, mati selesai masalah.
Yang bermasalah di waktu hidup, senang pun di sini, susah pun di sini (dunia).
Untuk mendapat kesenangan dan keuntungan, kita buatlah apa sahaja, nasib baik berjaya.
Hati kecil mereka berkata,
"Kalau kerana itu, dihukum mati, tidak mengapalah, selesailah masalah."
"Apalah ertinya hidup kalau sengsara dan menderita, orang kaya bukan peduli kita."
"Kalau di dunia tidak dapat kesenangan dan kebahagiaan, di Akhirat mati jadi tanah, habis cerita."
Kalau manusia sudah ramai berfaham macam ini maka undang-undang dan hukuman tidak ada erti apa-apa.
Ertinya kenalah kembali promosi Tuhan. 
Kenalkan Tuhan hingga Dia ditakuti dan dicintai.
Kembali kenalkan manusia hidup yang kedua yang kekal abadi iaitu Akhirat.
Di sana, nikmat pun hebat dan penderitaannya pun amat dahsyat.
Setelah manusia kenal Tuhan, cinta dan takut,
setelah manusia mengutamakan hidup Akhirat,
setelah mereka yakin bahawa kejahatan yang dibuat di dunia akan dibalas di Akhirat yang kekal abadi seksanya tidak terperi
maka manusia pun takut hendak membuat salah dan maksiat, kecuali sedikit sekali.
Ini bukan satu  dongengan, 
ia telah berlaku di dalam sejarah selama 300 tahun yang dikatakan zaman salafussoleh.
Zaman  salafussoleh itulah yang kita hendak ulangi, berdasarkan kaedah yang sama.
Cintakan Tuhan, takutkan Tuhan, cintakan hidup di Akhirat.
Nanti hasilnya sama kerana kaedahnya sama.
Secara umum, manusia akan menjadi baik seperti di zaman salafussoleh yang silam.
Wahai para pemimpin, para ulama, cerdik pandai hendaklah faham tentang ini! 


MADAH baru 428



*626*
Banyak orang boleh memberi ilmu tapi tidak mampu memberi didikan, justeru itulah di segi pelajarannya cemerlang tapi dari segi akhlaknya malang. 

*627*
Jadikanlah semua hal di dalam kehidupan kita itu pengajaran atau guru yang mendidik kita, tidak pernah meminta balasan tapi memberi pengajaran yang amat dalam dan kalau kita faham, banyak memberi didikan kepada kita yang boleh membaikkan kita. 

*628*
Rasulullah SAW serta para Sahabat ridwanullahu alaihim mengajar dan mendidik manusia, kebanyakannya berlaku secara tidak rasmi, apabila bertemu saja dengan manusia sama ada percakapannya, perbuatannya dan sikapnya, ianya bersifat ilmu dan pendidikan, justeru itulah sangat memberi kesan. Kita mendidik orang, banyak secara rasmi.  Ditentukan masa, ditetapkan tempat, diberitahu siapa penceramahnya, isytiharkan siapa penganjurnya, di dalam majlis ceramah banyak pula gelak ketawa, belum lagi nawaitu masing-masing kita tidak tahu. Bagaimanalah hendak berkesan? 

*629*
Para nabi dan para  rasul sahaja yang terdidik tanpa pendidik dari golongan manusia. Selain itu, memerlukan pendidik yang baik dari manusia. 
Kalau seorang itu mahu menjadi orang yang baik, dia hendaklah dididik oleh orang yang baik iaitu orang yang bertaqwa.

*630*
Jangan hanya belajar dengan guru tapi belajarlah dengan pengalaman, belajarlah dengan kesilapan orang, belajarlah dengan tragedi dan peristiwa, itulah dia universiti yang bersifat universal.

orang cacat memandang dgn syukur

dengarlah kisah ini...

Seorang lelaki yg berusia 30-an dilahirkan cacat. beliau tiada kaki dan tangan. Bukan itu sahaja, beliau cacat penglihatan. Namun semangatnya untuk meneruskan hidup dan menjadi insan yang berjaya tidak pernah dihalang oleh kecacatannya. Kini beliau merupakan seorang pakar motivasi yang terkemuka.

Dalam salah satu sesi motivasinya, beliau ditanya pelbagai soalan oleh peserta yang hadir. 

Salah satu soalannya, "bagaimana tuan dapat hidup ceria seperti hari ini dalam keadaan serba kekurangan? maksud saya, kecacatan ini."

"ini bukan kekurangan atau kecacatan. Ini satu kelebihan. Kenapa? Kerana saya tidak perlu bertanggungjawab terhadap dosa yang dilakukan oleh tangan dan kaki."

"tapi tuan tidak mampu melihat."

"Ya, betul tu. Saya tidak ada peluang memandang perkara-perkara yang diharamkan. Saya juga tidak nampak kelemahan dan keburukan manusia lain yang boleh menyebabkan saya bersangka buruk kepada mereka."

"Tapi apa yang tuan ada?"

"Saya ada mulut untuk menyampaikan kepada manusia lain agar sentiasa bersangka baik dengan Allah. Dengan mulut ini jugalah saya mampu membaca al-Quran dan berzikir. Alhamdulillah."

pengajarannya ialah:

"setiap kekurangan jika dipandang dari sudut yang berbeza, pasti ada satu kelebihan"

MADAH baru 427




*621*
Seseorang itu walau bagaimanapun tinggi ilmunya, pada pandangan Islam kalau dia tidak beramal dengan ilmunya dan tidak takut dengan Allah, dia tidak dianggap orang alim. 

*622*
Biar ilmu sedikit dapat diamalkan, daripada ilmu banyak kita lalai atau tidak dapat diamalkan.
Biar miskin harta, jangan miskin jiwa. 

*623*
Apabila ilmu tidak diamalkan, ia jadilah bahan mujadalah, akhirnya bersalah, selepas itu hilang ukhwah, seterusnya berlakulah pecah belah, itulah yang terjadi di hari ini. 

*624*
Berfikirlah, ia akan membuahkan ilmu.
Amalkanlah ilmu itu, ia akan membuahkan hikmah, itulah yang dikatakan ilmu di dalam ilmu. 

*625*
Kalau kita nilai segala nikmat, kita renung tentang kesusahan dan penderitaan, kita fikir setiap ketentuan yang kita terima, masya-Allah semuanya itu ada ilmu yang besar-besar bahkan ilmu itu sangat memberi kesan kepada jiwa dan sangat meneguhkan aqidah kita tapi malang sekali, kebanyakan manusia tidak dapat ilmu daripadanya.

Marilah Berukhwah Dan Berkawan Kerana Tuhan


Marilah kita berukhwah dan berkawan kerana Tuhan.
Hingga kita jadi jemaah Tuhan sekalian alam.
Jika kita berkawan kerana Tuhan, kita tidak akan berlaku perpisahan.
Mesti kita berkawan sampai penghujung perjuangan.
Kalau kita berkawan kerana Tuhan kalaupun ada perbalahan tidak akan berpanjangan.
Perbalahan dan krisis mudah diselesaikan.
Biasalah manusia hamba Tuhan sedikit-sedikit membuat salah dan kesilapan
tapi mudah selesai dan mudah dihilangkan.
Kalau kita berkawan di dalam perjuangan bukan kerana Tuhan,
bukan kerana takutkan dan cintakan Tuhan, perbalahan mudah datang.
Hendak menyelesaikan pula selalunya berpanjangan.
Tuhan adalah pengikat ukhwah dan perpaduan.
Tuhan adalah anak kunci kesatuan dan kekuatan.
Wang, harta, pangkat, nama dan jawatan selalunya mendatangkan perbalahan.
Oleh itu janganlah diharapkan selain Tuhan boleh berpadu dan menjadi kekuatan.
Selalunya kerana wang, harta, pangkat dan lain-lainnya selalu sahaja membawa perselisihan.
Perselisihan membawa renggang kasih sayang.
Apabila renggang kasih sayang, pecahlah perpaduan dan kesatuan.
Di waktu itu umat Islam akan lemah, musuh pun mudah menghancurkan.
Ingatan ini hendaklah diambil perhatian.
Kekuatan umat Islam berkawan, berjemaah adalah takut dan cintakan Tuhan.
Janganlah cari kekuatan selain Tuhan.
Bahkan selain Tuhan telah dikatakan sebelum ini, ia selalu sahaja membawa perpecahan.
Oleh itu marilah kita perjuangkan Tuhan.
Marilah kita berkawan dan berjemaah, 
bersama Tuhan kita berkawan.
Itulah dia kekuatan umat Islam sepanjang zaman.
Janganlah kita was-was dan janganlah kita dikelirukan.
Seluruh kehidupan kita, Tuhan mestilah dibawa bersama berkawan.
Tuhan adalah sahabat setia kita sepanjang zaman.
Sahabat yang mengawal kita dan menjaga kita di dalam keadaan apa pun.
Tapi umat Islam hari ini seluruh dunia, Tuhan telah ditinggalkan.
Umat Islam terdedah kepada kejahatan musuhnya.
Sedangkan musuhnya ada kekuatan lahir yang kuat.
Padahal umat Islam kekuatan material pun tidak ada, Tuhan pun ditinggalkan.
Kedua-dua kekuatan sudah tidak ada, bagaimanalah hendak menang. 



MADAH baru 426


*616*
Ilmu psikologi  di dalam Islam yang sebenarnya ialah ilmu tasauf kerana ia benar-benar dapat menilai fikiran, nafsu dan jiwa atau hati manusia hingga dengan itu mudah membaiki manusia. 

*617*
Sebenarnya setiap apa yang kita dengar, setiap apa yang kita lihat dan setiap apa yang kita sentuh dan rasa, semuanya menjadi ilmu yang kita dapat daripada pengalaman hidup asalkan kita prihatin, memikir dan mengkajinya. 

*618*
Campurkan ilmu dengan pengalaman, daripada gabungan keduanya itu buat kajian lagi agar timbul hikmahnya atau rahsianya pula, gabungan ini semuanya kita telah dapat ilmu dalam ilmu, maka ilmu itu bertambah teguh dan indah. 

*619*
Adunkan ilmu itu dengan pengalaman, ilmu itu bertambah indah dan kuat, pemiliknya matang, pengutipnya tidak jemu-jemu. 

*620*
Tidak mesti orang muda itu muda ilmunya, begitu juga orang tua, tidak semestinya matang ilmunya, justeru ilmu itu kepunyaan bersama, siapa yang rajin berusaha mencarinya, tidak kira siapa, dialah yang memilikinya.

Tabiat Nafsu



Nafsu sifat atau tabiat semula jadinya sangat jahat, "Laammaraatum bissuu'."
Dia adalah musuh manusia di dalam diri.
Manusia bermusuh dengan musuh lahirnya pun kerana kedua puak atau pihak yang bermusuhan adalah dirangsang oleh nafsu.
Ertinya dua puak atau dua golongan yang bermusuh, bergaduh dan berperang diadu domba oleh nafsu.
Tapi kedua puak atau kedua-dua pihak tidak sedar atau tidak tahu.
Tabiat atau sifat nafsu banyak, di antaranya:
Berkehendak, halal atau haram, baik atau buruk untuk dimilikinya.
Tabiat kedekut adalah budayanya.
Tidak pernah puas-puas, ada sedikit hendak banyak, sudah banyak hendak lagi banyak.
Tidak pernah letih-letih merangsang dan berkehendak.
Macam-macam yang dia hendak, letih badan dibuatnya.
Kerana anggota badan alat atau orang suruhannya untuk menjalankan kehendak-kehendaknya.
Akal adalah memikir, memandu, memberitahu bagaimana menjalankan kemahuannya.
Kehendaknya melulu, rakus, gelojoh, mahu segera dapat.
Kemahuannya kalau tidak dapat menderita jiwa dibuatnya.
Jika dapat berbangga pula, ramai orang tersinggung kerananya.
Begitulah tabiat atau sifat nafsu manusia, siapakah yang boleh mengawalnya?
Ramai yang gagal mengawal nafsu yang melulu itu.
Raja gagal, orang yang berkuasa gagal, orang kaya gagal, ulama gagal, rakyat jelata gagal.
Kemudian, kehendak semua golongan yang tidak dapat dikawal itulah bertembung dan berlanggaran sama sendiri.
Kehendak-kehendak nafsu itu bertembung satu sama lain.
Kerana kehendak nafsu, incident dan accident selalu.
Berlaku saingan, terjadi hasad dengki, cabar-mencabar,
perpecahan, pergaduhan, peperangan.
Begitulah berlaku di dalam kehidupan. 
Kerana nafsu, hancur keamanan dan kedamaian, hidup di dalam ketakutan. 


MADAH baru 425


*611*
Ilmu boleh mendatangkan atau mendapatkan kekayaan tapi kekayaan tidak mendapatkan atau mendatangkan ilmu.
Ilmu memandu cara kehidupan, harta memudahkan kehidupan. 
Oleh itu carilah ilmu, ia merangkumi semua. 

*612*
Musang yang cerdik itu, ia makan buah-buahan atau ayam yang di kebun-kebun atau di ladang-ladang atau di padang-padang.
Bukan makan yang di dalam perangkap, mungkin makanannya lebih istimewa. Selepas makan, perut kenyang, ia terjebak.
Begitulah umat Islam yang beriman lagi cerdik, dia belajar ilmu, memburu kemajuan, membangun, mencari kekayaan tapi tidak sampai terjebak iman dan syariatnya. 

*613*
Ilmu yang tidak bertunjangkan iman itu atau yang tidak bertunjangkan wahyu walaupun yang tidak menyalahi Islam; apatah lagi yang menyalahi Islam; berkatnya tiada.
Bila tiada berkatnya, macam-macam boleh terjadi, di antaranya cepat tua, sakit kepala, ada ilmu tapi rasa jiwa kekosongan, mudah jemu, bila ada masalah dia tidak boleh menyelesaikan masalah, tidak boleh menenangkan jiwa, boleh membawa sakit jiwa dan putus asa. 

*614*
Ilmu dunia sebanyak mana sekalipun, ia tidak akan bersih, kalau ia tidak diproses.
Ia ibarat air yang ditampung sebanyak-banyaknya, kalau air itu tidak diproses dan dibubuh klorin, ia tidak akan jernih dan bersih, berbahaya diminum.
Begitulah ilmu dunia, kalau ia tidak diproses dengan ilmu wahyu, ilmu dunia itu tidak akan terlepas daripada kesalahan dan kesilapan, amat merbahaya kepada aqidah. 

*615*
Ilmu psikologi atau ilmu jiwa mengikut pandangan Barat, yang sebenarnya ialah mengesan nafsu manusia sekalipun mereka tidak mengatakan nafsu.
Ilmu ini tidak berjaya mendidik manusia bahkan pakar psikologi atau pakar jiwa pun ditimpa penyakit jiwa..

Kejadianmu Adalah Untuk Merasai Kebesaran-Nya


Tuhan menjadikan mata engkau bukan sekadar engkau hendak tahu najis apa dan apa warnanya.
Hingga engkau dapat ilmu daripada penglihatannya.
Tapi Tuhan mahu supaya engkau merasa kebesaran dan kuasa Tuhan pada benda yang engkau pandang itu.
Agar engkau membesarkan dan mengagungkan-Nya.
Tuhan memberi engkau pendengaran bukan sekadar halwa telinga.
Atau dapat membezakan suara-suara makhluk-Nya.
Juga ia merupakan sumber pengetahuan buat insan.
Tapi Allah mahu supaya engkau terasa betapa kuasa-Nya dan rahmat-Nya kepada manusia.
Tuhan menjadikan akal bukan sekadar engkau boleh berfikir dan mengkaji sesuatu hingga engkau dapat pengetahuan dan pengalaman.
Tapi Tuhan mahu supaya engkau terasa kasih sayang-Nya serta rahmat-Nya kepada engkau.
Dan patut engkau terasa malu kepada-Nya.
Agar engkau menjadi tawadhuk dan merendah diri.
Bukan membesarkan diri kerana kebolehan engkau.
Begitu juga engkau ada hati, padanyalah engkau ada perasaan.
Perasaan itu pula datang berbagai-bagai rasa mengikut keadaan.
Keadaan yang engkau lihat, yang engkau rasa, mengikut keadaan.
Keadaan yang engkau lihat, yang engkau dengar dan yang engkau fikirkan.
Supaya engkau terasa Maha Kuasa-Nya dan Pentadbirnya Tuhan dengan penuh bijaksana
yang boleh membolak-balikkan perasaan insan.
Yang engkau sendiri tidak mampu mengkontrolnya apabila tiba masanya.
Agar engkau terasa lemah, inginkan pertolongan Tuhan.
Supaya engkau dapat menetapkan pendirian engkau.
Jangan sampai engkau tergelincir pegangan dan keyakinan engkau terhadap kebenaran.
Bukan engkau hendak lajakkan apa yang engkau rasa sekalipun bertentangan dengan kehendak Tuhan.
Di sinilah engkau perlukan mujahadah.
Dan di sini jugalah engkau perlu bantuan Tuhan.
Di sini ramai manusia yang gagal berfungsi.
Iaitu apa yang dia dengar, lihat, fikirkan dan rasa yang dapat dihubungkait dengan Tuhan.
 

MADAH baru 424


*601*
Berbuatlah baik sebanyak-banyaknya, kemudian jagalah sebaik-baiknya, tinggalkanlah dosa seminima mungkin, kemudian jagalah sebaik-baiknya agar pahalanya tidak rosak. 

*602*
Di zaman dahulu, di masjid ibarat rumah tuan-tuan imam, siapa yang datang ke sana dia merasakan tetamunya.
Di zaman sekarang ini tidak lagi begitu, masjid telah menjadi kilang-kilang atau ladang kepada tuan-tuan imam, mereka tidak lagi terasa orang yang datang ke masjid macam tetamunya. 

*603*
Merenunglah ke belakang, mana yang silap lalu diperbaiki, pandanglah ke hadapan, apakah kebaikan yang hendak dibuat lagi, inilah yang dikatakan muhasabah dan muraqabah diri. 

*604*
Ketentuan dan takdir Allah kita tidak suka, ujian-Nya kita benci menerimanya, masa depan kita bimbang sahaja, dapat nikmat bakhil pula, bertambah nikmat bertambah tamaknya, apabila dinasihat marah-marah saja, ketika memberi mengaku ikhlas. Inilah menunjukkan ibadah kita tidak berkesan kerana ibadah-ibadahnya tidak ada jiwanya. Apakah yang hendak kita sembahkan kepada Tuhan kita?! 

*605*
Kalau zaman dahulu, apabila ingin mencari ketenangan, beriktikaf di masjid.
Di hari ini, di masjid banyak hal yang tidak menyenangkan, bagaimanalah di masjid hendak mendapat ketenangan.

Membangun, Berkemajuan Bersama Tuhan


Setiap usaha yang dibuat kerana Allah akan dicucuri rahmat dan berkat oleh Allah.
Kemajuan dan pembangunan yang dilakukan untuk keredhaan Tuhan tidak ada saingan dan jatuh-menjatuhkan.
Setiap amalan yang ditunjang oleh Tuhan atau iman,
tidak ada perselisihan dan perbalahan, kalau ada pun sangat kurang.
Tamadun yang ditegakkan kerana keredhaan Tuhan terlalu kurang side-effectnya yang negatif (sangat banyak, seperti di dalam kemajuan di situlah maksiat, jenayah, perbalahan, pergaduhan mungkin peperangan
hinggakan kemajuan itu tidak sepadan dengan risikonya yang akan ditanggung dan dibeban).
Perjuangan kerana takutkan Tuhan dan mencintai-Nya kasih sayang sesama manusia akan terjalin.
Perjuangan kerana merebut dunia dan kemegahan dunia semata-mata tidak dapat dielakkan dari jatuh-menjatuhkan.
Rahsia perpaduan adalah takutkan Tuhan atau cintakan Tuhan.
Cintakan Tuhan tidak ada rebutan bahkan lahir kasih sayang sesama makhluk Tuhan.
Cintakan dunia berlaku rebutan, jatuh-menjatuhkan, fitnah-memfitnah, rasuah-merasuah, akibatnya parah.
Oleh itu, buatlah apa sahaja di muka bumi ini tapi biarlah kerana Allah (Tuhan).
Membangun jangan tinggalkan Tuhan, Tuhan berlepas tangan.
Rujuklah kepada Tuhan apa sahaja masalah kerana Tuhan ada peranan.
Apalah ertinya membangun, maju, negara cantik dan indah tapi banyak jenayah, banyak berbalah, banyak masalah.
Keamanan, keharmonian dan kebahagiaan, mundur sedikit pun tidak mencacatkan.
Apalah ertinya kemajuan kalau di dalam negara penuh dengan jenayah yang menakutkan.
Manusia di dalam krisis dan berbalah.
Ukhwah tidak ada, perpaduan renggang, kasih sayang gersang.
Kerana itulah di negara yang maju tapi Tuhan ditinggalkan orang, ramai orang bunuh diri.
Paling tidak, ramai manusia yang kecewa dan putus asa sekalipun mereka kaya.
Janganlah tinggalkan Tuhan.
Dia adalah sumber segala kebahagiaan.
Tuhan adalah anak kunci kasih sayang dan perpaduan.
 

MADAH baru 423



*596*
Ibadah yang berkesan itu ialah ibadah yang melahirkan akhlak yang mulia.
Akhlak yang mulia bukan pada percakapan atau ceramahnya tapi gerak geri.
Gerak geri bukan kerana peraturan atau etika pergaulan tapi tabiat diri bahkan satu aspek daripada dirinya, ertinya sudah sebati. 

*597*
Tidak mesti setiap benda yang besar itu bernilai atau paling bernilai di dunia ini. Benda yang paling bernilai dan mahal ialah benda yang kecil iaitu intan dan mutiara.
Begitulah amal ibadah di sisi Allah itu, Allah tidak mengukur tentang banyaknya atau dipandang besar, tapi amal ibadah yang paling ikhlas yang kita buat, sekalipun ibadat kecil sahaja pada pandangan mata. 

*598*
Buatlah kebajikan kepada orang ramai secara tidak rasmi; itu lebih selamat daripada riyak dan ingin nama, agar pahalanya terpelihara; daripada membuat kebajikan kepada orang ramai secara rasmi, payah dijaga daripada ingin nama, hilang pahala. 

*599*
Walau sebanyak manapun kita bersembahyang, berpuluh tahun kita lakukan, hitam dahi, sakit-sakit kaki, tapi yang sembahyang itu ialah fizikal lahir kita.
Yang berdiri badan, akal dan hati tidak berdiri. Badan yang rukuk, akal dan hati tidak rukuk. Badan yang sujud, akal dan hati tidak sujud. Yang membaca lisan, akal dan hati tidak membaca.
Inilah rahsia mengapa sembahyang tidak memberi kesan, itulah rahsia mengapa orang yang bersembahyang berbohong, rasuah, penipu, bakhil, sombong, khianat, mengumpat, kejam, zalim, pemarah, riyak, suma'ah,
tidak bertimbang rasa, tidak bertolak ansur, tamak, jahat sangka, ingin nama, suka glamour dan lain-lain lagi sifat yang keji.
Sedangkan sembahyang Allah berkata:
tanha 'anil fahsya i wal mungkar. 

*600*
Pendidikan itu tapaknya sembahyang atau asasnya sembahyang, tunjangnya iman.
Ia dipraktikkan bermula di dalam keluarga, dari sinilah titik tolak disiplin di dalam Islam. Kalau keseluruhan disiplin yang diwujudkan tidak bermula daripada displin sembahyang, disiplin-disiplin yang lain tidak akan memberi kesan..

Sombong Penghalang Perpaduan


Penyakit sombonglah yang memporak-perandakan dunia.
Dari sakit sombonglah manusia menderita dan sengsara.
Dari sifat sombong lahir hasad dengki.
Beberapa ramai orang yang teraniaya dari hasad dengki seseorang.
Dari sifat sombong lahirlah sifat pemarah yang tidak dapat dikawal.
Berapa ramai pula orang yang dapat malu atau terseksa dari kemarahan seseorang.
Dari sifat sombong lahirlah tidak mahu menerima kebenaran seseorang.
Ramai pula orang yang teraniaya dari dendam kesumatnya yang tidak dapat dikawal dan ditahan.
Dari sifat sombonglah lahirlah sifat menghina dan mencerca orang terutama orang bawahan.
Beberapa ramai pula orang yang dapat malu dan terhina dan jiwa derita.
Dari sifat sombong, seseorang ada kuasa sedikit sahaja lahirlah sifat bangga, rasa ada kuasa, rasa mulia, memandang orang lain hina.
Maka dijatuhkanlah maruah orang sesuka hati, menghina orang, memalukan orang, membuat arahan sewenang-wenang, menganggap orang tidak berguna.
Ramai pula orang sakit hati, benci, dendam, marah, menunggu peluang hendak membalasnya.
Dari sifat sombong lahirlah tidak taat, tidak mahu patuh, susah hendak didisiplinkan.
Ibu bapa, guru, pemimpin pula selalu sakit hati.
Rasa tercabar, tentu marah. Kalau mereka sombong pula akan bertindak semberono dan melulu atau sesuka hati.
Maka haru-birulah berlaku, perpecahan menjadi-jadi, kasih sayang punah-ranah.
Dari sifat sombong lahirlah sifat tidak boleh dicabar atau tidak boleh orang lain lebih maka dia mencabar pula dan membalas dendam.
Beberapa ramai pula manusia teraniaya, menderita dan sengsara kerananya.
Dari sifat sombonglah hilang kasih sayang, hilang persaudaraan, hilang rasa bersama, tidak ada kerjasama, perpaduan pun hilang.
Hilang bahagia, timbul ketakutan, prejudis sesama manusia, harmoni tidak ada.
Sepatutnya para pemimpin dan ulama mendidik manusia menghilangkan penyakit.
Jangan hanya ajak manusia bersatu dan berpadu.
Penghalang perpaduan dan persatuan adalah penyakit sombong tapi dibiarkan.
Itulah yang terjadi di dunia hari ini, manusia terseksa kerana sifat sombong. 


Carilah keberkatan Allah swt SWT di dalam setiap perbuatan.


Hidup yang berkat.
Umur yang berkat.
Rezeki yang berkat.
Keluarga yang berkat.
Anak-anak yang berkat.
Kerja atau perniagaan yang berkat. 

Berkat atau Barokah ialah sedikit seperti banyak dan banyak seperti melimpah ruah sehingga ia boleh memanfaatkan ramai orang. 

Berkat adalah berganda-ganda atau digandakan. Mungkin sesuatu itu nampak sedikit tetapi bila ada keberkatan, ia seperti berganda-ganda atau melimpah ruah.

Kunci berkat? 

Syukur kepadaNya
Perbaiki dan jaga solat Fardhu & Sunat (Dhuha, Tahajud, Fajr, Witir, Tasbih, Sebelum/Selepas solat fardhu)
Perbanyakkan selawat (Ini memang "magik" kuasaNya)
Sedekah (Ini lagi "magik" Allah swt)
Kasihi anak yatim
Khidmat dan bahagiakan ibu bapa/ suami
Khidmat dan jaga keberkatan rezeki ditempat kerja dan dari perniagaan/pelanggan
Bahagiakan orang lain/jiran/ahli keluarga/sanak saudara/sesiapa sahaja
Buat apa yang Allah swt dan Rasul saw suka, jauhi apa yang mereka tidak suka atau benci

Kesan bila tidak berkat?

Banyak/kerap ada ujian/cabaran yang tidak diduga(Bila tidak jaga di atas)
Duit "bocor" - keluar tanpa rela berpunca dari keadaan seperti kereta selalu rosak (walau baru), anak-anak ada sahaja sakit
Hati tidak tenang atau tenteram
Sentiasa diuji
Perselisihan suami/isteri/anak-anak/ibu bapa
Rezeki tersangkut- tiada peningkatan rezeki wang/anak
Sentiasa marah-marah atau pertengkaran
Ada banyak jadi sedikit, ada sedikit tapi "hilang" atau terpaksa habiskan
Hidup rasa kosong tiada erti
Kemurungan

Hidup ini walau apapun yang kita lakukan, jika kita jaga hubungan dengan Allah swt, kita perbanyakkan selawat ke atas kekasihNya, kita sujud selalu kepadaNya, In sha Allah lebih mudah segalanya serta mudah mendapat pertolongan.

Tak percaya sudah. Ini berdasarkan perjalanan yang sendiri lalui. 

Semoga Allah swt jadikan kita semua sentiasa istiqomah di dalam memperbaiki diri kita untuk kejayaan dunia dan akhirat serta diberikan keberkatan di dalam setiap perkara In sha Allah. 

Jangan suka cari salah orang lain, pegang prinsip ini, walau apapun yang berlaku, check diri sendiri dahulu sebelum menyalahkan orang lain.

Semoga bermanfaat! 

Pejuang Kebenaran Penuh Derita


Sejarah para Rasul adalah sejarah penderitaan yang tidak ada tara dan bandingannya.
Kalau bukan Rasulullah ditimpakan penderitaan itu,
mereka sudah tentu kecewa bahkan putus asa.
Hidup mereka sentiasa diburu-buru, mengembara,  
berpindah-randah dengan penuh cemas.
Ujian demi ujian ditimpakan kepada mereka, disingkir dan dipinggirkan dari masyarakatnya.
Demi kerana Tuhan mereka tenang sahaja, yakin dan sangat bertawakal kepada Tuhan yang Maha Esa.
Tidak pernah putus asa, sentiasa optimis masa depannya,
sangat dalam rasa kehambaannya.
Di dalam penderitaan dan kesengsaraan itulah mereka mendidik pengikut-pengikutnya.
Adakalanya para Rasul itu berhadapan pula dengan kerenah-kerenah pengikutnya pula.
Mereka sangat sabar dengan ujian, sangat tabah pula mendidik pengikut-pengikutnya.
Musuh-musuh utama mereka adalah pemerintah dan raja-raja.
Tidak kurang juga daripada rasa tidak senang dari keluarga mereka.
Bertimpa-timpalah ujian yang mereka terima, luar dan dalam setiap masa.
Sudahlah begitu, sejarah perjuangan mereka sangat panjang pula.
Ada yang ratusan tahun lamanya.
Begitu lama menunggu janji Tuhan, barulah mendapat kemenangan dari Tuhannya.
Begitulah perjuangan orang Tuhan, penuh penderitaan dan kesengsaraan.
Tersingkir dan terbuang, padahal mereka adalah kekasih Tuhan.
Sungguh pahit kebenaran dari Tuhan tapi di hujungnya manis.
Berlainan sekali perjuangan musuh Tuhan yang membawa kebatilan.
Dimudahkan kemenangan, mereka angkuh dan sombong,
melakukan kezaliman sewenangnya.
Mereka sudah menganggap perjuangan musuh-musuhnya mustahil mendapat kemenangan.
Setelah mereka lupa daratan.
Di hujungnya mereka dikalahkan setelah tidak logik menerima kekalahan.
Mereka dikalahkan secara total dengan penuh kehinaan.
Haraplah diambil peringatan dan pengajaran.
Kalau ada satu perjuangan mudah mendapat  kemenangan,
jangan-jangan itu musuh Tuhan yang mendapat laknat dari Tuhan.
 

MADAH baru 422


*566*
Jagalah majlis ceramah Islam itu, jangan sampai menjadi majlis melawak dan melalaikan kerana majlis Allah itu ialah majlis keinsafan, majlis muhasabah diri, majlis menyesal, majlis yang kalaupun mata tidak menangis, tapi hati biar menangis. 

*567*
Berdakwah dan menyampaikan risalah Allah itu memang diperintah tapi ukurlah diri kita sendiri, kalau kita bukan orangnya, lebih baik kita tidak berbuat, daripada berbuat kesannya tiada di samping jangka panjang jatuh maruah kita. 

*568*
Kita boleh bercakap, berpidato, memberi nasihat, membaca Al Quran, Hadis, mengeluarkan pandangan yang mengkagumkan, tetapi apabila wibawa diri sudah jatuh atau gerak geri kita itu kurang meyakinkan orang, dengan sendiri kehebatan percakapan kita dipandang sepi atau orang tidak peduli, dengan kata-kata lain, tidak masuk ke hati, hanya orang kagumi. 

*569*
Zaman sekarang ini, siapa yang bercakap Islam tidak mengikut saluran pihak rasmi selalu dicurigai, siapa yang bercakap Islam tiada degri selalu di hasad dengki dan sesiapa bercakap Islam ada pengikut, lagi ditakuti tapi orang ramai simpati. 

*570*
Di akhir zaman, di zaman moden ini, juru cakap Islam ramai, juru pendidik sangat kurang, lantaran itulah yang pandai Islam pun tidak terdidik.

Kalau Engkau Mahu Berfikir



Pagi-pagi engkau keluar rumah untuk tugas harian.
Mula-mula sekali bumi (tanah) yang engkau pijak.
Itulah dia kejadian engkau yang pertama.
Kejadian engkau yang kedua lebih lagi hinanya.
Kalau engkau orang yang insaf, engkau malu dengan diri engkau.
Sombong engkau sudah tentu hilang.
Engkau pun merendah diri di muka bumi Tuhan.
Apabila engkau berhadapan dengan makanan yang sedang dihidang,
makanan dan lauk-pauknya pula berbagai-bagai jenisnya.
Ada sayur, ada ikan, ada daging, 
bukan engkau yang mengusahakannya.
Engkau hanya memilih bahan mentahnya.
Kalau mata hati engkau celik,
engkau akan terasa, wah... ramai sungguh orang yang memberi khidmat kepada engkau.
Sama ada engkau sedar ataupun tidak, kenal atau sebaliknya.
Secara langsung mahupun secara tidak langsung.
Biasanya mereka itu adalah buruh-buruh, nelayan-nelayan dan tenaga orang susah.
Engkau akan terasa sedih waktu hendak makan.
Pasti engkau akan simpati kepada mereka itu.
Jangan-jangan mereka tidak pun memakan seperti yang engkau memakan makanan yang sedap-sedap itu.
Padahal merekalah yang menghasilkan semua itu.
Tentulah engkau akan sentiasa mengambil berat mereka-mereka yang miskin dan susah.
Kerana mereka setiap hari memberi khidmat kepada engkau.
Begitulah seterusnya setiap apa sahaja yang engkau gunakan, miliki dan pakai.
Berapa ramai pula yang terlibat menjayakannya.
Lagilah ramai orang yang telah berjasa kepada engkau.
Apakah engkau boleh berfikir semacam ini?!
Kalau engkau berfikir semacam ini.
Engkau tidak akan sombong, pasti engkau merendah diri.
Kalau engkau boleh berfikir semacam ini.
Sudah pasti engkau sentiasa simpati dengan golongan yang susah.
Engkau tidak akan menghina mereka.
Tapi engkau tidak berfikir semacam ini.
Maka engkau pun sombong, dan fakir miskin engkau tidak peduli. 


MADAH baru 421


Kita lebih banyak mendapat tahu tentang kelemahan diri kita daripada musuh berbanding dengan kawan-kawan kita, justeru itu doakan musuh-musuh kita itu, agar dia mendapat petunjuk atau agar dia diampunkan dosa-dosanya oleh Allah sebagai mengenang jasanya. 

*537*
Mengawal kambing agar jangan merosakkan harta benda orang lain lebih mudah daripada menjaga lidah agar jangan merosakkan orang lain. 

*538*
Jagalah lidah yang lembut ini, dia boleh merosakkan dan boleh membaikkan, boleh memecah belah, boleh mendamaikan, boleh menaikkan, boleh menjatuhkan, boleh menginsafkan, boleh meliarkan, boleh bermusuhan, boleh berkasih sayang, boleh membohongkan, boleh membenarkan. Dengan kata-kata lain, lidah adalah penawar, lidah juga adalah racun. 

*539*
Bagaimana hebatnya kita dan walau besar mana pun rumah kita, bila kita mati, rumah pertama yang kita masuki ialah keranda sebesar saiz badan kita, kemudian kita dipindahkan ke lubang kubur, kiri kanan tanah, atas bawah tanah, sangat sempit dan terhimpit, tidak ada sebarang lampu yang menerangi. 

*540*
Hendaklah kita takutkan Allah di sebarang tempat dan keadaan, kerana kematian kita tidak diberitahu, di tempat mana dan dalam keadaan macam mana, moga-moga kita mati di dalam keadaan bertaqwa.

Akibat Gagal Membangun Insaniah




Para pemimpin atau guru juga ibu bapa,
berbagai-bagai ilmu boleh diajarnya.
Berbagai-bagai kajian boleh dibuat
hingga boleh menyelam berbagai-bagai ilmu,
membuat berbagai-bagai kemajuan,
membangun tamadun material mengkagumkan
tapi hendak mengenal Tuhan, tidak tahu.
Betapa hendak mengajar rasa bertuhan.
Pemimpin ingin ditaati
tapi pemimpin tidak tahu bagaimana rakyatnya hendak mentaati mereka.
Guru-guru ingin mereka dihormati
tapi tidak tahu bagaimana hendak mendidik murid-muridnya ke arah itu.
Ibu bapa juga ingin anak-anaknya menghormatinya
tapi tidak tahu hendak melakukannya.
Berbagai-bagai kepakaran dimiliki oleh cerdik pandai.
Mereka bingung bagaimana hendak menjadikan studentnya menghormatinya,
kasih dan sayang kepadanya, juga mentaatinya.
Padahal sama ada pemimpin, guru, ibu bapa,
semuanya suka jika mereka dihormati
oleh rakyatnya, oleh murid-muridnya dan oleh anak-anaknya.
Di sini kita lihat, para pemimpin, guru, ibu bapa
berjaya membangunkan tamadun material dan fizikal
tapi mereka gagal membangunkan tamadun insaniah dan rohaniah.
Oleh itu apa yang berlaku di dunia ini:
Berjaya berilmu tapi tidak berjaya menahan pergaduhan dan peperangan.
Berjaya membangun dan berkemajuan
tapi tidak berjaya menahan daripada pengkhianatan dan penipuan.
Tamadun yang tinggi dapat dibangunkan
tapi gagal menjadi manusia berakhlak tinggi.
Ramai manusia yang pandai tapi pandai pula merompak dan menyamun.
Perempuan berjaya setanding dengan laki-laki
tapi hilang malunya, hancur maruahnya.
Negara menjadi cantik, perhubungan bertambah mudah
tapi di dalam ketakutan.
Berjaya mendapat isteri atau suami,
kedua-duanya berpelajaran tapi tidak mampu bersefahaman.
Ertinya manusia gagal di dalam kejayaan.
Akalnya bergeliga, kemajuan luar biasa
tapi hati atau jiwanya mati atau buta
kerana rasa bertuhan sudah tidak ada. 


MADAH baru 420


*531*
Apabila anak-anak majoriti telah rosak akhlaknya, perangai-perangai mereka telah mencucuk mata, majoritinya ibu dan ayahnya yang salah, bukankah pepatah Melayu ada berkata:
'Bapa borek anaknya rintik.'
Apabila murid-murid sudah banyak tidak bermoral, disiplin diri sudah tiada, majoritinya guru-gurunya yang bersalah, bukankah pepatah Melayu ada mengatakan:
Guru kencing berdiri, murid kencing berlari.
Apabila rakyat sudah banyak membuat masalah, disiplin diri sudah punah, menunjukkan kebanyakan pemimpin juga sudah rosak. Kalau tidak terang-terangan membuat kejahatan tetapi secara di balik tabir membuat maksiat, bukankah Hadis ada berkata yang maksudnya:
"Manusia itu mengikut agama rajanya (pemerintahnya)." 
Ertinya, bagaimana pemerintahnya begitulah rakyatnya.
Oleh itu untuk membaikkan golongan tadi, kita jangan jadi macam ketam menyuruh anak-anaknya berjalan betul.  

*532*
Bermesralah satu sama lain, diberi pahala. Jangan gelak ketawa, hati mati membawa kepada dosa. Ziarah-menziarahi dan jaga disiplin, ia mendatangkan kasih sayang yang sangat diperlukan.
Bertolong bantulah, memudahkan kerja di samping perpaduan. Rasa susahlah di atas kesusahan orang lain, bergembiralah di atas kegembiraan orang lain, kita akan hidup di dalam harmoni. 

*533*
Setialah berkawan, kesalahannya lupakan, dia tersilap ingatkan, nasihatnya besarkan, kesusahannya jangan biarkan, harapannya tunaikan,  keluarganya hormatkan. 

*534*
Memberilah jangan sampai memalukan, menolonglah jangan sampai hilang kemerdekaan orang, membantulah jangan ada udang di sebalik batu. 

*535*
Biarlah berputih hati, jangan berputih mata, berkata-katalah jangan mengata, prihatinlah tapi jangan cari-cari pasal..

belajar bersyukur

Seseorang yang berperibadi kuat umpama besi waja! semakin dibakar oleh keadaan semakin dititik oleh cabaran hidup, semakin teguh dan waja untuk menghadapi hidup....

Seseorang yang berperibadi lemah laksana tanah apabila diketuk oleh cabaran hidup ia akan berkecai...

Lihatlah di sekeliling kamu dan teguhkan pendirianmu. sepanjang hidup dan usiamu jangan mudah berputus harapan, senyum yang kau berikan dan air mata yang kau titiskan, simpan…jadikan tauladan... segala yang kau pandang dan dengar... simpan… buat pedoman...

Kegagalan pertama, tidak ianya terus gagal tetapi ianya kan membangkitkan cita cita yang bersemangat lagi teguh bagi sesiapa yang pernah mengalaminya....

Hidup ini bagaikan sebuah titian yang perlu dilalui oleh setiap insan di dunia ini. Oleh itu merentaslah di titian yang teguh yang dibina dari kayu-kayu keimanan yang kukuh...

Jangan kenangi kesedihan lalu sebaliknya ingatlah kegembiraan mendatang. Belajarlah bersungguh sungguh agar kegembiraan yang kita nantikan berhasil...

Belajarlah bersyukur ketika mendapat keuntungan dan belajarlah tersenyum ketika menghadapi kerugian...😊

Syirik Khafi


Syirik yang tidak disedari atau menyengutukan Tuhan.
Syirik dengan kemampuan dan kebolehan seseorang.
Maha Suci Tuhan daripada bersekutu dengan apa sekalipun.
Ada orang merasakan, "Kelulusan akulah yang aku menjadi istimewa.
Ada pangkat, ada kekayaan, ada nama dan glamor."
Padahal itu anugerah Tuhan, pangkat dan jawatan kurniaan Tuhan.
Mengapa orang yang begitu pandai, tidak kenal Tuhan?!
Ada orang merasakan, "Kekuasaankulah yang aku boleh buat kemajuan.
Kalau bukan aku, kemunduran masih menimpa bangsa dan negara dan serba ketinggalan."
Dia lupa kuasa itu  Tuhan yang berikan. Kemajuan itu adalah bahan dari ciptaan Tuhan.
Dia telah syirik khafi dengan Tuhan.
Ada orang yang merasakan dirinya, "Kekayaan akulah yang menjadikan aku senang.
Tanpa kekayaan aku mesti malang."
Dia lupa kekayaan itu dari Tuhan, lahirnya dia dapat dari usaha.
Usahanya bukankah anugerah Tuhan?!
Tanpa dia sedari dia telah syirik dengan Tuhan.
Lantaran itulah mereka-mereka ini Tuhan sedarkan; kalau mahu sedar; dengan berbagai-bagai cara yang menyusahkan mereka.
Ada orang bawahan tidak mahu taat, di belakang mereka mengata, 
mana dia ada kuasa?
Ada orang, anak isteri buat ragam, fikiran terganggu jiwa tidak menentu,
manalah kehebatannya? 
Mana kuasanya?!
Ada orang tidak berbangga dengan jasanya, bahkan mengata pula, aduh sakitnya hati, jasanya tidak dikenang orang,
kata ada kuasa?!
Itukan menunjukkan kejayaan itu bukan oleh kita atau olehnya tapi oleh Tuhan.
Itu memberitahu bahawa kejayaan seseorang itu adalah kejayaan Allah menggunakan tenaga seseorang.
Bukanlah tenaga seseorang itu yang membuat kejayaan.
Kalau benarlah ada kuasa, mengapa tidak halang sahaja penyakit yang akan menimpa.
Padahal hati kecil kita merasa ada kuasa, mana kuasa kita? 
Janganlah tipu diri sendiri! 

Erti mengenal Tuhan




Mengenal Tuhan ertinya mengenal tujuan mati dan hidup.
Kerana Tuhanlah kita hidup dan mati.
Mengenal Tuhan ertinya mengenal tempat rujuk,
mengenal tempat berlindung, mengenal tempat menyerah diri,
mengenal tempat mengadu, mengenal tempat bermanja.
Mengenal Tuhan ertinya mengenal perbuatan Tuhan ke atas diri kita.
Semuanya yang berlaku pada diri kita adalah mengandungi hikmah dan pengajaran yang berguna.
Apabila mengenal Tuhan barulah kita rasa seronok melaksanakan syariat-Nya.
Dengan syariat-Nya kita akan selamat dan menyelamatkan.
Kerana syariat itu adalah disiplin kehidupan.
Disiplin adalah sangat diperlukan oleh setiap insan.
Dengan disiplin manusia hidup teratur.
Setiap masa ada program yang tertentu untuk faedah manusia.
Masa tidak terbuang, setiap ruang masa ada jadual hidup yang berguna.
Dengan syariat, manusia hormat-menghormati satu sama lain.
Dapat bekerjasama sama ada secara langsung mahupun tidak secara langsung.
Kemajuan pun terbangun, hidup berkasih sayang dan harmoni juga wujud.
Berlakulah maaf-bermaafan, bertolak ansur, berlapang dada sesama manusia.
Syariat mendisiplinkan manusia hidup secara bersih, rajin dan cergas.
Bersih daripada pengkhianatan, penzaliman,
daripada jatuh-menjatuhkan, daripada rasuah.
Setiap orang ingin hidup bersih,
maka terjauhlah segala maksiat dan jenayah.
Apabila bersyariat bertunjangkan iman kerana Tuhan telah dikenal,
dari syariat lahirlah akhlak yang mulia dan peribadi yang tinggi moralnya.
Akhlak yang mulia itulah pendorong perpaduan,
kedamaian, kasih sayang dan keharmonian.
Maka berlakulah manusia di dunia seolah-olah satu keluarga.
Ini telah pernah berlaku di dalam sejarah.
Terutama di zaman Rasulullah SAW yang begitu indah. 


MADAH baru 419


*521*
Kalau rukun iman tidak dihayati, rukun Islam diabaikan, akhlak Islam tidak menjadi pakaian diri, orang itu tidak boleh dipercayai sekalipun pejuang Islam atau mubaligh, walau hebat membangun dunia untuk kepentingan manusia katanya atau kononnya. 

*522*
Menunggu atau menanti membawa kegelisahan, makin ke hujung membawa kecemasan, Apabila sampai masa yang ditunggu tidak datang, membawa kekecewaan, adakalanya membawa kekesalan yang tidak berkesudahan.
Oleh itu janji kita dengan orang jangan diabaikan. 

*523*
Orang yang bermaruah, biarlah hilang harta, wang ringgit, kehilangan jawatan dan kerja daripada kehilangan maruah diri kerana ia merupakan aset yang paling berharga pada manusia sepanjang hayat. 

*524*
Kalaulah barang yang berharga seperti emas, perak, intan, berlian tidak diletakkan lagi pada tempatnya iaitu di dalam bekas yang tertutup atau di dalam tempat yang eksklusif, ia akan terdedah sama seperti barang yang murah, pasti ia akan binasa, lebih-lebih lagi akan dicuri orang.
Begitulah perempuan, terutama wanita muda, aset yang sangat berharga, sudah tidak mahu lagi diletakkan di tempat yang terkawal bahkan sudah diletakkan di tempat yang terdedah, pastilah dia akan rosak dan merosakkan. 

*525*
Kesusahan bukanlah satu kehinaan, selagi dia tetap menjaga maruah diri, kesenangan tidak mesti mulia, kalau maruah sudah hilang..

MADAH baru 418


*516*
Jadikan ziarah sebagai budaya, bukalah pintu rumah kita untuk tetamu, mencari ilmu dan pengalaman sebagai amalan. 

*517*
Keindahan pemuda itu cergas, tangkas dan mengikut kata-kata. Keindahan wanita itu pemalu, sopan santun dan pandai menjaga rumah tangga. 

*518*
Untuk membangunkan dunia dan tamadunnya tidak perlu kedatangan para rasul dan para nabi. Kalau hendak membangunkan akhlak manusia, di sinilah perlunya Allah utuskan para rasul dan para nabi as dan orang yang menyambung perjuangannya. 

*519*
Banyak orang memikirkan, janganlah orang lain mengganggu dan menyusahkan dirinya. Dia lupa yang dia juga jenis orang juga, pun tidak kurang menyusah dan mengganggu orang lain. Cuma ia tidak disedari kerana yang menyusahkan orang itu ialah perangai kita, perangai kita mana kita sedari. Patutnya setiap orang berfikir agar jangan mengganggu orang lain. 

*520*
Kalau kita berilmu, beramallah.
Kalau kita berkuasa, adillah. Kalau kita kaya, pemurahlah.
Kalau kita pengawal keselamatan, berjaga-jaga dan mengawallah, jangan menindas.
Kalau kita guru, mendidiklah.
Kalau kita ulama, jadi contoh dan menasihatilah.
Kalau kita muda remaja, bertenagalah.
Kalau kita pemudi, malulah dan jaga maruah diri.

Nikmat Dunia Ada Side Effect



Nikmat dunia ada side effectnya.
Tidak macam Syurga.
Ada pangkat besar, banyak yang hasad dengki.
Kerja banyak, rehat tiada.
Kekayaan melimpah ruah, takut sahaja.
Bila orang mahu kidnap?
Bilakah orang akan tipu?
Mengurus hingga kurang tidur, rehat pun tiada.
Banyak ilmu dipanggil profesor.
Mudah cari duit, orang jemput merata-rata membentang kertas kerja.
Badan letih, tidak rehat juga.
Adakalanya orang mengata:
"Ah, mengada-ngada!"
"Ah, ada fulus bolehlah!"
"Ini semua cari nama!"
"Cakap bolehlah, buat tiada!"
Muka cantik, potongan badan ada, jadilah bintang filem atau pramugari atau penyanyi.
Banyak yang tukang hasad dengki.
Banyak laki-laki hidung belang yang memburu.
Susah hati, mana satu pilihan.
Dibawa orang ke sana ke sini.
Ada yang jual diri.
Jika orang tahu, malu pula.
Nak kahwin, orang tak mahu.
Orang suka bawa-bawa saja.
Duit banyak, jiwa derita.
Bila sudah tua, lagi tiada harga.
Kumbang tidak menyeri lagi.
Kawan-kawan lari, tinggallah sendiri seorang diri.
Mungkin duit banyak tapi apa guna?!
Begitulah nikmat dunia.
Di dalam untung ada rugi.
Di dalam indah ada padahnya.
Di dalam keseronokan, ada momokan-momokan.
Di dalam glamour, ada cemasnya.
Adakalanya ruginya lebih banyak daripada untungnya.
Untung sekarung rugi seguni.
Bukan macam nikmat Syurga.
Untung sepanjang masa. 


Kesalahan Yang Berjangkit



Ramai orang bersalah kerana kesalahan orang lain.
Bahkan sering sahaja berlaku orang buat salah kerana kesalahan orang.
Adakalanya kesalahan itu lebih besar daripada kesalahan orang terhadapnya.
Mengikut Tuhan orang yang bersalah kerana orang itu membuat salah kepadanya tetap dianggap salah.
Itu berdendam namanya, berdendam adalah salah dan haram.
Tiada siapa yang boleh menghukum orang lain, sekalipun membuat salah kepadanya kecuali Allah Taala melalui pemerintah.
Kesalahan itu mestilah dihukum mengikut ketentuan Allah atau yang tidak ditentukan adalah takdir berdasarkan kebijaksanaan hakim.
Kesalahan yang berlaku kerana kesalahan orang lumrah berlaku di mana-mana sahaja di dalam kehidupan.
Orang sombong dengannya dia pun berdendam dengannya, menunggu peluang untuk merosakkan orang itu, dia pun fitnah orang itu.
Orang tipu dia, dia pun marah, kemudian orang itu dipukulnya.
Orang fitnah dia, dia pun sakit hati, dibakarnya rumah orang itu hingga musnah.
Ada orang mengganggu anak isterinya, kerana marah, dibunuhnya orang itu, kesalahannya lebih besar daripada orang itu.
Ada orang menghina dia, dia pun membenci, setiap kali bertemu dimakinya orang itu.
Orang curi barangnya, dia umpat merata negeri orang itu hingga orang itu malu.
Tidak kurang ada orang mencerca kita, mengata-ngata kita, kita doakan dia kebinasaan atau kecelakaan.
Cukup sekadar itu sebagai contoh, yang lain kiaskan sahaja.
Begitulah umat Islam hari ini di seluruh dunia, mereka sering berdosa kerana dosa orang lain kepadanya.
Mereka melakukan kesalahan kerana kesalahan umat Islam yang lain kepadanya.
Di mana ada persaudaraan? Di mana kasih sayang? Di mana perpaduan? Di mana maaf- bermaafan?
Maaf-bermaafan sudah tidak ada, bertolak ansur sudah tidak berlaku,
berlapang dada sudah hilang. 

Bumi Tuhan... Bersaksilah