MADAH baru 430



*641*
Mencari ilmu tidak ada salahnya.
Yang salah, kerana ilmu korbankan iman.
Mencari rezeki memang tidak salah, yang salahnya kerana rezeki korbankan maruah.
Membangun tidak dilarang, adakalanya fardhu kifayah, yang dilarang ialah kerana membangun, rosak syariat dan akhlak.
Bergaul dengan orang kafir atau orang fasik tidak menjadi satu kesalahan, yang menjadi kesalahan itu bila bergaul dengan mereka, korbankan prinsip.
Mencari kekayaan bukanlah satu kesalahan, yang salah itu mencari kekayaan tidak kira halal dan haram.
Kita mendapat pangkat bukanlah satu kesalahan, yang salah itu kerana pangkat melanggar tata susila dan menjatuhkan orang lain. 

*642*
Wahai umat Islam, apalah erti ilmu, kemajuan, pembangunan, kekayaan hingga terkorban aqidah, punah syariat, leburnya akhlak. Ini kerana di dalam Islam, aqidah, syariat, akhlak tidak boleh dijual beli, ia adalah hidup mati kita. 

*643*
Kesesatan secara kekampungan banyak orang nampak, alim ulama berani mengulas dan menyanggahnya, tapi kesesatan secara moden banyak orang yang tidak nampak, para ulama pun tidak berani mengulas, seperti:
* kerana komputer, tinggal sembahyang
* kerana ilmu, korbankan syariat
* kerana pangkat, menjadi sombong dengan Tuhan, acuh tak acuh
* kerana pembangunan, tidak peduli akhirat
* kerana hendak menjaga hati sesuatu golongan atau kaum, korbankan iman
* kerana mesyuarat, tak peduli sembahyang
* tinggalkan syariat Islam kerana pertahankan ideologi
* kalau tidak main dengan riba', tidak akan maju. 

*644*
Peninggalan atau tamadun yang ditinggalkan oleh pembesar-pembesar yang derhaka kepada Allah, banyak bersifat fizikal dan material yang dapat dilihat oleh mata tapi tamadun yang ditinggalkan oleh pembesar-pembesar Allah kebanyakannya bersifat maknawiyah dan rohaniah yang dapat dirasakan oleh akal dan hati. 

*645*
Kalau ada satu golongan umat Islam atau satu kaum di kalangan umat Islam, kecemerlangan akhlak mereka makin meningkat, makin lama makin terserlah, makin lama makin indah, tanda kaum itu jangka panjang akan menguasai dunia. Tapi kalau umat Islam itu kemajuan dan pembangunannya bertambah pesat tapi akhlak makin menurun, gejala masyarakat makin memesat, tanda bangsa itu hendak hancur atau rosak.

Semuanya Adalah Milik Tuhan




Seluruh yang wujud yang dapat dilihat mahupun tidak adalah milik Tuhan.
Langit dan bumi dan seluruh isinya kepunyaan-Nya.
Harta yang engkau milik, ilmu yang ada pada engkau, pangkat yang engkau sandang, semuanya milik Tuhan.
Bahkan diri engkau pun kepunyaan-Nya.
Tuhan yang mewujudkan, Tuhanlah yang empunya.
Cuma apa yang ada pada kita itu sama ada yang bersifat benda mahupun yang bersifat maknawi, Tuhan pinjamkan.
Kalau semuanya milik Tuhan, kita hanya sebagai pemegang amanah sahaja.
Kalau begitu, kepunyaan Tuhan itu bolehkah kita gunakan sesuka hati?
Bukan sahaja Tuhan tidak membenarkan untuk sesuka hati,
akal kita pun tidak membenarkannya.
Bukankah sudah sama-sama bersetuju di antara akal dengan Tuhan,
sepertilah orang simpankan barang kepada kita, ia adalah kepunyaannya.
Apakah barang itu boleh kita gunakan sesuka hati?
Tentu tidak.
Kita akan gunakan mengikut apa yang dia pesankan kepada kita, bukan?
Harta kita, tenaga kita, hakikatnya adalah kepunyaan Tuhan.
Kepunyaan kita hanyalah sebagai nisbi sahaja, disandarkan sahaja kepada kita.
Akal fikiran kita, ilmu kita, hakikatnya kepunyaan Tuhan yang ia bersifat maknawi.
Bahkan apa yang ada pada kita lahir dan batin adalah kepunyaan Tuhan.
Tuhan hanya pinjamkan sahaja kepada kita.
Bahkan diri kita pun kepunyaan Tuhan.
Dan dipesankan kepada kita, gunakan mengikut kehendak Tuhan, bukan kehendak kita.
Kalau begitu mana boleh kita kata: 
"Harta aku, terpulanglah kepada aku."
"Apa aku hendak buat, terpulanglah kepada aku."
Setiap yang kita miliki akan ditanya nanti bagaimana menggunakannya.
Bilamana penggunaannya tidak sesuai dengan kehendak Tuhan, Nerakalah jawapannya.
Kerana itulah kalau manusia faham konsep milik ini,
tidak ada manusia yang susah di dunia.
Yang tidak punya pun akan terbela.
Kerana yang punya, pandai mengguna kepunyaannya di tempat yang betul.
Iaitu membela orang yang tidak punya.
Sebenarnya setiap manusia yang Tuhan hidupkan sudah sedia rezeki dan sebagainya.
Yang tidak bernasib baik, mungkin cedera, cacat, kemalangan,
tetap ada rezekinya. Tapi rezeki itu di tangan orang kaya.
Orang kaya pasti membela mereka.
Kalau tidak, orang kaya telah melakukan penzaliman sesama manusia. 

MADAH baru 429


*636*
Di zaman salafussoleh dahulu, orang  masuk Islam kerana melihat orang Islam sembahyang, ada orang yang masuk Islam kerana melihat orang Islam ada yang menerima ujian penderitaan yang berat tapi tidak pernah mengeluh, ada yang masuk Islam kerana melihat akhlak mulia mereka.
Hari ini setiap hari orang kafir membaca tulisan Islam oleh orang Islam, melihat orang Islam sembahyang, berkongsi dengan umat Islam, semajlis dengan umat Islam, bahkan berkawan dengan orang Islam, tidak ada rasa hati pun orang bukan Islam hendak masuk Islam.
Hendak masuk Islam rahsianya tiada lain ialah ketaqwaan salafussoleh.  

*637*
Pangkat dan kekayaan hendaklah dijadikan alat untuk membangunkan syariat Islam dan akhlak bangsa, jangan pula syariat Islam dan akhlak dijadikan alat untuk kepentingan bangsa dan negara, pangkat dan kekayaan. 

*638*
Membangunkan insaniah manusia hingga dapat melahirkan hamba Allah yang berilmu dan bertaqwa, ini memerlukan kesedaran dan kefahaman, keyakinan, penghayatan, latihan istiqamah, guru yang bertaqwa dan doa. 

*639*
Untuk melahirkan hamba Allah yang bertaqwa tidak cukup dengan ceramah, syarahan dan forum, ini memerlukan tukang cakap yang menjadi contoh dan model, serta para pendengarnya terus dipimpin dan dilatih. 

*640*
Janganlah kita jadikan gelanggang majlis agama medan gelak ketawa, tempat mencari glamour dan nama, kita akan digolongkan oleh Allah orang yang bermain atau memalukan agama.

Perbezaan Berjuang



Berjuang untuk Tuhan tidak sama dengan berjuang untuk ibadah dan syariat.
Berjuang untuk Tuhan, promosikan Tuhan, agar dia dikenal, ditakuti, dicintai,
disembah, disucikan dan diagungkan.
Ibadah dan syariat akan subur dengan sendiri
kerana ia cara atau jalan menyembah dan mengagungkan Tuhan.
Berjuang untuk syariat dan ibadah mungkin kerana Syurga atau takut Neraka,
mungkin itu tradisinya.
Takutkan Tuhan, cintakan Tuhan tidak ada.
Tidak fanatik dengan Tuhan bahkan tidak sensitif dengan Tuhan.
Akhirnya longgar dengan syariat, mungkin banyak ibadahnya.
Kalaupun dengan ibadahnya kerana sudah jadi tabiat,
tidak ada kesannya di dalam sikap peribadinya.
Tabiatnya atau akhlaknya macam orang tidak beribadah.
Dia tidak sabar, tidak cinta dengan manusia, peri kemanusiaannya tidak ada, tamak, bakhil, cinta dunia, hasad, pemarah, dendam, megah, sombong, riyak masih jadi budaya.
Di dalam beribadah, akhlak mulia tidak terserlah, boleh jadi jahat.
Berlakulah di dalam masyarakat, ahli ibadah tidak dihormati bahkan tidak dipercayai.
Bahkan akhir zaman ini, masjid tempat gelanggang beribadah,
di situlah tempat berkrisis dan berkelahi.
Di dalam masjidlah tempat perpecahan dan renggang perpaduan,
banggakan Tuhan tidak diambil kira lagi.
Begitulah terjadi orang beragama kerana syariat atau ibadah atau tradisi,
bukan kerana Tuhan Allah.
Adakalanya ahli ibadah itu, kalau ada orang selalu menyebut Tuhan,
atau menggambar takut dan cintakan Tuhan, dia hairan.
Seolah-olah ibadahnya selama ini terpisah dari  Tuhan.
Ibadah di satu pihak, Tuhan di satu pihak pula, tidak ada kena-mengena.
Apa sudah jadi kepada ahli ibadah di zaman ini?
Bagaimana dia belajar mengenai ibadah, macam belajar tidak sudah aja?!
Bukankah ibadah itu implimentasi dari takutkan Allah atau cintakan Allah.
Lahirlah buah akhlak yang mulia, terserlah dari ahli ibadah.
Akhlak yang mulia itulah yang melahirkan kasih sayang dan perpaduan kepada umat.   


Apabila Tidak Kenal Tuhan



Apabila manusia sudah terlalu jahat kerana tidak kenal atau tidak percaya Tuhan atau tidak takutkan Tuhan atau tidak cintakan Tuhan,
berlakulah berbagai-bagai bentuk jenayah dan kejahatan di dalam kehidupan.
Seribu satu macam kejahatan manusia lakukan
hingga hilang keamanan dan keselamatan, manusia sentiasa takut dan bimbang.
Di waktu itu, undang-undang demi undang-undang, hukuman demi hukuman tidak akan mampu menahannya.
Manusia kalau sudah tidak takut Tuhan, jel dan hukuman bunuh tidak menakutkan.
Kerana mereka menyangka, mati selesai masalah.
Yang bermasalah di waktu hidup, senang pun di sini, susah pun di sini (dunia).
Untuk mendapat kesenangan dan keuntungan, kita buatlah apa sahaja, nasib baik berjaya.
Hati kecil mereka berkata,
"Kalau kerana itu, dihukum mati, tidak mengapalah, selesailah masalah."
"Apalah ertinya hidup kalau sengsara dan menderita, orang kaya bukan peduli kita."
"Kalau di dunia tidak dapat kesenangan dan kebahagiaan, di Akhirat mati jadi tanah, habis cerita."
Kalau manusia sudah ramai berfaham macam ini maka undang-undang dan hukuman tidak ada erti apa-apa.
Ertinya kenalah kembali promosi Tuhan. 
Kenalkan Tuhan hingga Dia ditakuti dan dicintai.
Kembali kenalkan manusia hidup yang kedua yang kekal abadi iaitu Akhirat.
Di sana, nikmat pun hebat dan penderitaannya pun amat dahsyat.
Setelah manusia kenal Tuhan, cinta dan takut,
setelah manusia mengutamakan hidup Akhirat,
setelah mereka yakin bahawa kejahatan yang dibuat di dunia akan dibalas di Akhirat yang kekal abadi seksanya tidak terperi
maka manusia pun takut hendak membuat salah dan maksiat, kecuali sedikit sekali.
Ini bukan satu  dongengan, 
ia telah berlaku di dalam sejarah selama 300 tahun yang dikatakan zaman salafussoleh.
Zaman  salafussoleh itulah yang kita hendak ulangi, berdasarkan kaedah yang sama.
Cintakan Tuhan, takutkan Tuhan, cintakan hidup di Akhirat.
Nanti hasilnya sama kerana kaedahnya sama.
Secara umum, manusia akan menjadi baik seperti di zaman salafussoleh yang silam.
Wahai para pemimpin, para ulama, cerdik pandai hendaklah faham tentang ini! 


MADAH baru 428



*626*
Banyak orang boleh memberi ilmu tapi tidak mampu memberi didikan, justeru itulah di segi pelajarannya cemerlang tapi dari segi akhlaknya malang. 

*627*
Jadikanlah semua hal di dalam kehidupan kita itu pengajaran atau guru yang mendidik kita, tidak pernah meminta balasan tapi memberi pengajaran yang amat dalam dan kalau kita faham, banyak memberi didikan kepada kita yang boleh membaikkan kita. 

*628*
Rasulullah SAW serta para Sahabat ridwanullahu alaihim mengajar dan mendidik manusia, kebanyakannya berlaku secara tidak rasmi, apabila bertemu saja dengan manusia sama ada percakapannya, perbuatannya dan sikapnya, ianya bersifat ilmu dan pendidikan, justeru itulah sangat memberi kesan. Kita mendidik orang, banyak secara rasmi.  Ditentukan masa, ditetapkan tempat, diberitahu siapa penceramahnya, isytiharkan siapa penganjurnya, di dalam majlis ceramah banyak pula gelak ketawa, belum lagi nawaitu masing-masing kita tidak tahu. Bagaimanalah hendak berkesan? 

*629*
Para nabi dan para  rasul sahaja yang terdidik tanpa pendidik dari golongan manusia. Selain itu, memerlukan pendidik yang baik dari manusia. 
Kalau seorang itu mahu menjadi orang yang baik, dia hendaklah dididik oleh orang yang baik iaitu orang yang bertaqwa.

*630*
Jangan hanya belajar dengan guru tapi belajarlah dengan pengalaman, belajarlah dengan kesilapan orang, belajarlah dengan tragedi dan peristiwa, itulah dia universiti yang bersifat universal.

orang cacat memandang dgn syukur

dengarlah kisah ini...

Seorang lelaki yg berusia 30-an dilahirkan cacat. beliau tiada kaki dan tangan. Bukan itu sahaja, beliau cacat penglihatan. Namun semangatnya untuk meneruskan hidup dan menjadi insan yang berjaya tidak pernah dihalang oleh kecacatannya. Kini beliau merupakan seorang pakar motivasi yang terkemuka.

Dalam salah satu sesi motivasinya, beliau ditanya pelbagai soalan oleh peserta yang hadir. 

Salah satu soalannya, "bagaimana tuan dapat hidup ceria seperti hari ini dalam keadaan serba kekurangan? maksud saya, kecacatan ini."

"ini bukan kekurangan atau kecacatan. Ini satu kelebihan. Kenapa? Kerana saya tidak perlu bertanggungjawab terhadap dosa yang dilakukan oleh tangan dan kaki."

"tapi tuan tidak mampu melihat."

"Ya, betul tu. Saya tidak ada peluang memandang perkara-perkara yang diharamkan. Saya juga tidak nampak kelemahan dan keburukan manusia lain yang boleh menyebabkan saya bersangka buruk kepada mereka."

"Tapi apa yang tuan ada?"

"Saya ada mulut untuk menyampaikan kepada manusia lain agar sentiasa bersangka baik dengan Allah. Dengan mulut ini jugalah saya mampu membaca al-Quran dan berzikir. Alhamdulillah."

pengajarannya ialah:

"setiap kekurangan jika dipandang dari sudut yang berbeza, pasti ada satu kelebihan"

MADAH baru 427




*621*
Seseorang itu walau bagaimanapun tinggi ilmunya, pada pandangan Islam kalau dia tidak beramal dengan ilmunya dan tidak takut dengan Allah, dia tidak dianggap orang alim. 

*622*
Biar ilmu sedikit dapat diamalkan, daripada ilmu banyak kita lalai atau tidak dapat diamalkan.
Biar miskin harta, jangan miskin jiwa. 

*623*
Apabila ilmu tidak diamalkan, ia jadilah bahan mujadalah, akhirnya bersalah, selepas itu hilang ukhwah, seterusnya berlakulah pecah belah, itulah yang terjadi di hari ini. 

*624*
Berfikirlah, ia akan membuahkan ilmu.
Amalkanlah ilmu itu, ia akan membuahkan hikmah, itulah yang dikatakan ilmu di dalam ilmu. 

*625*
Kalau kita nilai segala nikmat, kita renung tentang kesusahan dan penderitaan, kita fikir setiap ketentuan yang kita terima, masya-Allah semuanya itu ada ilmu yang besar-besar bahkan ilmu itu sangat memberi kesan kepada jiwa dan sangat meneguhkan aqidah kita tapi malang sekali, kebanyakan manusia tidak dapat ilmu daripadanya.

Marilah Berukhwah Dan Berkawan Kerana Tuhan


Marilah kita berukhwah dan berkawan kerana Tuhan.
Hingga kita jadi jemaah Tuhan sekalian alam.
Jika kita berkawan kerana Tuhan, kita tidak akan berlaku perpisahan.
Mesti kita berkawan sampai penghujung perjuangan.
Kalau kita berkawan kerana Tuhan kalaupun ada perbalahan tidak akan berpanjangan.
Perbalahan dan krisis mudah diselesaikan.
Biasalah manusia hamba Tuhan sedikit-sedikit membuat salah dan kesilapan
tapi mudah selesai dan mudah dihilangkan.
Kalau kita berkawan di dalam perjuangan bukan kerana Tuhan,
bukan kerana takutkan dan cintakan Tuhan, perbalahan mudah datang.
Hendak menyelesaikan pula selalunya berpanjangan.
Tuhan adalah pengikat ukhwah dan perpaduan.
Tuhan adalah anak kunci kesatuan dan kekuatan.
Wang, harta, pangkat, nama dan jawatan selalunya mendatangkan perbalahan.
Oleh itu janganlah diharapkan selain Tuhan boleh berpadu dan menjadi kekuatan.
Selalunya kerana wang, harta, pangkat dan lain-lainnya selalu sahaja membawa perselisihan.
Perselisihan membawa renggang kasih sayang.
Apabila renggang kasih sayang, pecahlah perpaduan dan kesatuan.
Di waktu itu umat Islam akan lemah, musuh pun mudah menghancurkan.
Ingatan ini hendaklah diambil perhatian.
Kekuatan umat Islam berkawan, berjemaah adalah takut dan cintakan Tuhan.
Janganlah cari kekuatan selain Tuhan.
Bahkan selain Tuhan telah dikatakan sebelum ini, ia selalu sahaja membawa perpecahan.
Oleh itu marilah kita perjuangkan Tuhan.
Marilah kita berkawan dan berjemaah, 
bersama Tuhan kita berkawan.
Itulah dia kekuatan umat Islam sepanjang zaman.
Janganlah kita was-was dan janganlah kita dikelirukan.
Seluruh kehidupan kita, Tuhan mestilah dibawa bersama berkawan.
Tuhan adalah sahabat setia kita sepanjang zaman.
Sahabat yang mengawal kita dan menjaga kita di dalam keadaan apa pun.
Tapi umat Islam hari ini seluruh dunia, Tuhan telah ditinggalkan.
Umat Islam terdedah kepada kejahatan musuhnya.
Sedangkan musuhnya ada kekuatan lahir yang kuat.
Padahal umat Islam kekuatan material pun tidak ada, Tuhan pun ditinggalkan.
Kedua-dua kekuatan sudah tidak ada, bagaimanalah hendak menang. 



MADAH baru 426


*616*
Ilmu psikologi  di dalam Islam yang sebenarnya ialah ilmu tasauf kerana ia benar-benar dapat menilai fikiran, nafsu dan jiwa atau hati manusia hingga dengan itu mudah membaiki manusia. 

*617*
Sebenarnya setiap apa yang kita dengar, setiap apa yang kita lihat dan setiap apa yang kita sentuh dan rasa, semuanya menjadi ilmu yang kita dapat daripada pengalaman hidup asalkan kita prihatin, memikir dan mengkajinya. 

*618*
Campurkan ilmu dengan pengalaman, daripada gabungan keduanya itu buat kajian lagi agar timbul hikmahnya atau rahsianya pula, gabungan ini semuanya kita telah dapat ilmu dalam ilmu, maka ilmu itu bertambah teguh dan indah. 

*619*
Adunkan ilmu itu dengan pengalaman, ilmu itu bertambah indah dan kuat, pemiliknya matang, pengutipnya tidak jemu-jemu. 

*620*
Tidak mesti orang muda itu muda ilmunya, begitu juga orang tua, tidak semestinya matang ilmunya, justeru ilmu itu kepunyaan bersama, siapa yang rajin berusaha mencarinya, tidak kira siapa, dialah yang memilikinya.

Tabiat Nafsu



Nafsu sifat atau tabiat semula jadinya sangat jahat, "Laammaraatum bissuu'."
Dia adalah musuh manusia di dalam diri.
Manusia bermusuh dengan musuh lahirnya pun kerana kedua puak atau pihak yang bermusuhan adalah dirangsang oleh nafsu.
Ertinya dua puak atau dua golongan yang bermusuh, bergaduh dan berperang diadu domba oleh nafsu.
Tapi kedua puak atau kedua-dua pihak tidak sedar atau tidak tahu.
Tabiat atau sifat nafsu banyak, di antaranya:
Berkehendak, halal atau haram, baik atau buruk untuk dimilikinya.
Tabiat kedekut adalah budayanya.
Tidak pernah puas-puas, ada sedikit hendak banyak, sudah banyak hendak lagi banyak.
Tidak pernah letih-letih merangsang dan berkehendak.
Macam-macam yang dia hendak, letih badan dibuatnya.
Kerana anggota badan alat atau orang suruhannya untuk menjalankan kehendak-kehendaknya.
Akal adalah memikir, memandu, memberitahu bagaimana menjalankan kemahuannya.
Kehendaknya melulu, rakus, gelojoh, mahu segera dapat.
Kemahuannya kalau tidak dapat menderita jiwa dibuatnya.
Jika dapat berbangga pula, ramai orang tersinggung kerananya.
Begitulah tabiat atau sifat nafsu manusia, siapakah yang boleh mengawalnya?
Ramai yang gagal mengawal nafsu yang melulu itu.
Raja gagal, orang yang berkuasa gagal, orang kaya gagal, ulama gagal, rakyat jelata gagal.
Kemudian, kehendak semua golongan yang tidak dapat dikawal itulah bertembung dan berlanggaran sama sendiri.
Kehendak-kehendak nafsu itu bertembung satu sama lain.
Kerana kehendak nafsu, incident dan accident selalu.
Berlaku saingan, terjadi hasad dengki, cabar-mencabar,
perpecahan, pergaduhan, peperangan.
Begitulah berlaku di dalam kehidupan. 
Kerana nafsu, hancur keamanan dan kedamaian, hidup di dalam ketakutan. 


MADAH baru 425


*611*
Ilmu boleh mendatangkan atau mendapatkan kekayaan tapi kekayaan tidak mendapatkan atau mendatangkan ilmu.
Ilmu memandu cara kehidupan, harta memudahkan kehidupan. 
Oleh itu carilah ilmu, ia merangkumi semua. 

*612*
Musang yang cerdik itu, ia makan buah-buahan atau ayam yang di kebun-kebun atau di ladang-ladang atau di padang-padang.
Bukan makan yang di dalam perangkap, mungkin makanannya lebih istimewa. Selepas makan, perut kenyang, ia terjebak.
Begitulah umat Islam yang beriman lagi cerdik, dia belajar ilmu, memburu kemajuan, membangun, mencari kekayaan tapi tidak sampai terjebak iman dan syariatnya. 

*613*
Ilmu yang tidak bertunjangkan iman itu atau yang tidak bertunjangkan wahyu walaupun yang tidak menyalahi Islam; apatah lagi yang menyalahi Islam; berkatnya tiada.
Bila tiada berkatnya, macam-macam boleh terjadi, di antaranya cepat tua, sakit kepala, ada ilmu tapi rasa jiwa kekosongan, mudah jemu, bila ada masalah dia tidak boleh menyelesaikan masalah, tidak boleh menenangkan jiwa, boleh membawa sakit jiwa dan putus asa. 

*614*
Ilmu dunia sebanyak mana sekalipun, ia tidak akan bersih, kalau ia tidak diproses.
Ia ibarat air yang ditampung sebanyak-banyaknya, kalau air itu tidak diproses dan dibubuh klorin, ia tidak akan jernih dan bersih, berbahaya diminum.
Begitulah ilmu dunia, kalau ia tidak diproses dengan ilmu wahyu, ilmu dunia itu tidak akan terlepas daripada kesalahan dan kesilapan, amat merbahaya kepada aqidah. 

*615*
Ilmu psikologi atau ilmu jiwa mengikut pandangan Barat, yang sebenarnya ialah mengesan nafsu manusia sekalipun mereka tidak mengatakan nafsu.
Ilmu ini tidak berjaya mendidik manusia bahkan pakar psikologi atau pakar jiwa pun ditimpa penyakit jiwa..

Kejadianmu Adalah Untuk Merasai Kebesaran-Nya


Tuhan menjadikan mata engkau bukan sekadar engkau hendak tahu najis apa dan apa warnanya.
Hingga engkau dapat ilmu daripada penglihatannya.
Tapi Tuhan mahu supaya engkau merasa kebesaran dan kuasa Tuhan pada benda yang engkau pandang itu.
Agar engkau membesarkan dan mengagungkan-Nya.
Tuhan memberi engkau pendengaran bukan sekadar halwa telinga.
Atau dapat membezakan suara-suara makhluk-Nya.
Juga ia merupakan sumber pengetahuan buat insan.
Tapi Allah mahu supaya engkau terasa betapa kuasa-Nya dan rahmat-Nya kepada manusia.
Tuhan menjadikan akal bukan sekadar engkau boleh berfikir dan mengkaji sesuatu hingga engkau dapat pengetahuan dan pengalaman.
Tapi Tuhan mahu supaya engkau terasa kasih sayang-Nya serta rahmat-Nya kepada engkau.
Dan patut engkau terasa malu kepada-Nya.
Agar engkau menjadi tawadhuk dan merendah diri.
Bukan membesarkan diri kerana kebolehan engkau.
Begitu juga engkau ada hati, padanyalah engkau ada perasaan.
Perasaan itu pula datang berbagai-bagai rasa mengikut keadaan.
Keadaan yang engkau lihat, yang engkau rasa, mengikut keadaan.
Keadaan yang engkau lihat, yang engkau dengar dan yang engkau fikirkan.
Supaya engkau terasa Maha Kuasa-Nya dan Pentadbirnya Tuhan dengan penuh bijaksana
yang boleh membolak-balikkan perasaan insan.
Yang engkau sendiri tidak mampu mengkontrolnya apabila tiba masanya.
Agar engkau terasa lemah, inginkan pertolongan Tuhan.
Supaya engkau dapat menetapkan pendirian engkau.
Jangan sampai engkau tergelincir pegangan dan keyakinan engkau terhadap kebenaran.
Bukan engkau hendak lajakkan apa yang engkau rasa sekalipun bertentangan dengan kehendak Tuhan.
Di sinilah engkau perlukan mujahadah.
Dan di sini jugalah engkau perlu bantuan Tuhan.
Di sini ramai manusia yang gagal berfungsi.
Iaitu apa yang dia dengar, lihat, fikirkan dan rasa yang dapat dihubungkait dengan Tuhan.
 

MADAH baru 424


*601*
Berbuatlah baik sebanyak-banyaknya, kemudian jagalah sebaik-baiknya, tinggalkanlah dosa seminima mungkin, kemudian jagalah sebaik-baiknya agar pahalanya tidak rosak. 

*602*
Di zaman dahulu, di masjid ibarat rumah tuan-tuan imam, siapa yang datang ke sana dia merasakan tetamunya.
Di zaman sekarang ini tidak lagi begitu, masjid telah menjadi kilang-kilang atau ladang kepada tuan-tuan imam, mereka tidak lagi terasa orang yang datang ke masjid macam tetamunya. 

*603*
Merenunglah ke belakang, mana yang silap lalu diperbaiki, pandanglah ke hadapan, apakah kebaikan yang hendak dibuat lagi, inilah yang dikatakan muhasabah dan muraqabah diri. 

*604*
Ketentuan dan takdir Allah kita tidak suka, ujian-Nya kita benci menerimanya, masa depan kita bimbang sahaja, dapat nikmat bakhil pula, bertambah nikmat bertambah tamaknya, apabila dinasihat marah-marah saja, ketika memberi mengaku ikhlas. Inilah menunjukkan ibadah kita tidak berkesan kerana ibadah-ibadahnya tidak ada jiwanya. Apakah yang hendak kita sembahkan kepada Tuhan kita?! 

*605*
Kalau zaman dahulu, apabila ingin mencari ketenangan, beriktikaf di masjid.
Di hari ini, di masjid banyak hal yang tidak menyenangkan, bagaimanalah di masjid hendak mendapat ketenangan.

Membangun, Berkemajuan Bersama Tuhan


Setiap usaha yang dibuat kerana Allah akan dicucuri rahmat dan berkat oleh Allah.
Kemajuan dan pembangunan yang dilakukan untuk keredhaan Tuhan tidak ada saingan dan jatuh-menjatuhkan.
Setiap amalan yang ditunjang oleh Tuhan atau iman,
tidak ada perselisihan dan perbalahan, kalau ada pun sangat kurang.
Tamadun yang ditegakkan kerana keredhaan Tuhan terlalu kurang side-effectnya yang negatif (sangat banyak, seperti di dalam kemajuan di situlah maksiat, jenayah, perbalahan, pergaduhan mungkin peperangan
hinggakan kemajuan itu tidak sepadan dengan risikonya yang akan ditanggung dan dibeban).
Perjuangan kerana takutkan Tuhan dan mencintai-Nya kasih sayang sesama manusia akan terjalin.
Perjuangan kerana merebut dunia dan kemegahan dunia semata-mata tidak dapat dielakkan dari jatuh-menjatuhkan.
Rahsia perpaduan adalah takutkan Tuhan atau cintakan Tuhan.
Cintakan Tuhan tidak ada rebutan bahkan lahir kasih sayang sesama makhluk Tuhan.
Cintakan dunia berlaku rebutan, jatuh-menjatuhkan, fitnah-memfitnah, rasuah-merasuah, akibatnya parah.
Oleh itu, buatlah apa sahaja di muka bumi ini tapi biarlah kerana Allah (Tuhan).
Membangun jangan tinggalkan Tuhan, Tuhan berlepas tangan.
Rujuklah kepada Tuhan apa sahaja masalah kerana Tuhan ada peranan.
Apalah ertinya membangun, maju, negara cantik dan indah tapi banyak jenayah, banyak berbalah, banyak masalah.
Keamanan, keharmonian dan kebahagiaan, mundur sedikit pun tidak mencacatkan.
Apalah ertinya kemajuan kalau di dalam negara penuh dengan jenayah yang menakutkan.
Manusia di dalam krisis dan berbalah.
Ukhwah tidak ada, perpaduan renggang, kasih sayang gersang.
Kerana itulah di negara yang maju tapi Tuhan ditinggalkan orang, ramai orang bunuh diri.
Paling tidak, ramai manusia yang kecewa dan putus asa sekalipun mereka kaya.
Janganlah tinggalkan Tuhan.
Dia adalah sumber segala kebahagiaan.
Tuhan adalah anak kunci kasih sayang dan perpaduan.
 

MADAH baru 423



*596*
Ibadah yang berkesan itu ialah ibadah yang melahirkan akhlak yang mulia.
Akhlak yang mulia bukan pada percakapan atau ceramahnya tapi gerak geri.
Gerak geri bukan kerana peraturan atau etika pergaulan tapi tabiat diri bahkan satu aspek daripada dirinya, ertinya sudah sebati. 

*597*
Tidak mesti setiap benda yang besar itu bernilai atau paling bernilai di dunia ini. Benda yang paling bernilai dan mahal ialah benda yang kecil iaitu intan dan mutiara.
Begitulah amal ibadah di sisi Allah itu, Allah tidak mengukur tentang banyaknya atau dipandang besar, tapi amal ibadah yang paling ikhlas yang kita buat, sekalipun ibadat kecil sahaja pada pandangan mata. 

*598*
Buatlah kebajikan kepada orang ramai secara tidak rasmi; itu lebih selamat daripada riyak dan ingin nama, agar pahalanya terpelihara; daripada membuat kebajikan kepada orang ramai secara rasmi, payah dijaga daripada ingin nama, hilang pahala. 

*599*
Walau sebanyak manapun kita bersembahyang, berpuluh tahun kita lakukan, hitam dahi, sakit-sakit kaki, tapi yang sembahyang itu ialah fizikal lahir kita.
Yang berdiri badan, akal dan hati tidak berdiri. Badan yang rukuk, akal dan hati tidak rukuk. Badan yang sujud, akal dan hati tidak sujud. Yang membaca lisan, akal dan hati tidak membaca.
Inilah rahsia mengapa sembahyang tidak memberi kesan, itulah rahsia mengapa orang yang bersembahyang berbohong, rasuah, penipu, bakhil, sombong, khianat, mengumpat, kejam, zalim, pemarah, riyak, suma'ah,
tidak bertimbang rasa, tidak bertolak ansur, tamak, jahat sangka, ingin nama, suka glamour dan lain-lain lagi sifat yang keji.
Sedangkan sembahyang Allah berkata:
tanha 'anil fahsya i wal mungkar. 

*600*
Pendidikan itu tapaknya sembahyang atau asasnya sembahyang, tunjangnya iman.
Ia dipraktikkan bermula di dalam keluarga, dari sinilah titik tolak disiplin di dalam Islam. Kalau keseluruhan disiplin yang diwujudkan tidak bermula daripada displin sembahyang, disiplin-disiplin yang lain tidak akan memberi kesan..

Sombong Penghalang Perpaduan


Penyakit sombonglah yang memporak-perandakan dunia.
Dari sakit sombonglah manusia menderita dan sengsara.
Dari sifat sombong lahir hasad dengki.
Beberapa ramai orang yang teraniaya dari hasad dengki seseorang.
Dari sifat sombong lahirlah sifat pemarah yang tidak dapat dikawal.
Berapa ramai pula orang yang dapat malu atau terseksa dari kemarahan seseorang.
Dari sifat sombong lahirlah tidak mahu menerima kebenaran seseorang.
Ramai pula orang yang teraniaya dari dendam kesumatnya yang tidak dapat dikawal dan ditahan.
Dari sifat sombonglah lahirlah sifat menghina dan mencerca orang terutama orang bawahan.
Beberapa ramai pula orang yang dapat malu dan terhina dan jiwa derita.
Dari sifat sombong, seseorang ada kuasa sedikit sahaja lahirlah sifat bangga, rasa ada kuasa, rasa mulia, memandang orang lain hina.
Maka dijatuhkanlah maruah orang sesuka hati, menghina orang, memalukan orang, membuat arahan sewenang-wenang, menganggap orang tidak berguna.
Ramai pula orang sakit hati, benci, dendam, marah, menunggu peluang hendak membalasnya.
Dari sifat sombong lahirlah tidak taat, tidak mahu patuh, susah hendak didisiplinkan.
Ibu bapa, guru, pemimpin pula selalu sakit hati.
Rasa tercabar, tentu marah. Kalau mereka sombong pula akan bertindak semberono dan melulu atau sesuka hati.
Maka haru-birulah berlaku, perpecahan menjadi-jadi, kasih sayang punah-ranah.
Dari sifat sombong lahirlah sifat tidak boleh dicabar atau tidak boleh orang lain lebih maka dia mencabar pula dan membalas dendam.
Beberapa ramai pula manusia teraniaya, menderita dan sengsara kerananya.
Dari sifat sombonglah hilang kasih sayang, hilang persaudaraan, hilang rasa bersama, tidak ada kerjasama, perpaduan pun hilang.
Hilang bahagia, timbul ketakutan, prejudis sesama manusia, harmoni tidak ada.
Sepatutnya para pemimpin dan ulama mendidik manusia menghilangkan penyakit.
Jangan hanya ajak manusia bersatu dan berpadu.
Penghalang perpaduan dan persatuan adalah penyakit sombong tapi dibiarkan.
Itulah yang terjadi di dunia hari ini, manusia terseksa kerana sifat sombong. 


Carilah keberkatan Allah swt SWT di dalam setiap perbuatan.


Hidup yang berkat.
Umur yang berkat.
Rezeki yang berkat.
Keluarga yang berkat.
Anak-anak yang berkat.
Kerja atau perniagaan yang berkat. 

Berkat atau Barokah ialah sedikit seperti banyak dan banyak seperti melimpah ruah sehingga ia boleh memanfaatkan ramai orang. 

Berkat adalah berganda-ganda atau digandakan. Mungkin sesuatu itu nampak sedikit tetapi bila ada keberkatan, ia seperti berganda-ganda atau melimpah ruah.

Kunci berkat? 

Syukur kepadaNya
Perbaiki dan jaga solat Fardhu & Sunat (Dhuha, Tahajud, Fajr, Witir, Tasbih, Sebelum/Selepas solat fardhu)
Perbanyakkan selawat (Ini memang "magik" kuasaNya)
Sedekah (Ini lagi "magik" Allah swt)
Kasihi anak yatim
Khidmat dan bahagiakan ibu bapa/ suami
Khidmat dan jaga keberkatan rezeki ditempat kerja dan dari perniagaan/pelanggan
Bahagiakan orang lain/jiran/ahli keluarga/sanak saudara/sesiapa sahaja
Buat apa yang Allah swt dan Rasul saw suka, jauhi apa yang mereka tidak suka atau benci

Kesan bila tidak berkat?

Banyak/kerap ada ujian/cabaran yang tidak diduga(Bila tidak jaga di atas)
Duit "bocor" - keluar tanpa rela berpunca dari keadaan seperti kereta selalu rosak (walau baru), anak-anak ada sahaja sakit
Hati tidak tenang atau tenteram
Sentiasa diuji
Perselisihan suami/isteri/anak-anak/ibu bapa
Rezeki tersangkut- tiada peningkatan rezeki wang/anak
Sentiasa marah-marah atau pertengkaran
Ada banyak jadi sedikit, ada sedikit tapi "hilang" atau terpaksa habiskan
Hidup rasa kosong tiada erti
Kemurungan

Hidup ini walau apapun yang kita lakukan, jika kita jaga hubungan dengan Allah swt, kita perbanyakkan selawat ke atas kekasihNya, kita sujud selalu kepadaNya, In sha Allah lebih mudah segalanya serta mudah mendapat pertolongan.

Tak percaya sudah. Ini berdasarkan perjalanan yang sendiri lalui. 

Semoga Allah swt jadikan kita semua sentiasa istiqomah di dalam memperbaiki diri kita untuk kejayaan dunia dan akhirat serta diberikan keberkatan di dalam setiap perkara In sha Allah. 

Jangan suka cari salah orang lain, pegang prinsip ini, walau apapun yang berlaku, check diri sendiri dahulu sebelum menyalahkan orang lain.

Semoga bermanfaat! 

Pejuang Kebenaran Penuh Derita


Sejarah para Rasul adalah sejarah penderitaan yang tidak ada tara dan bandingannya.
Kalau bukan Rasulullah ditimpakan penderitaan itu,
mereka sudah tentu kecewa bahkan putus asa.
Hidup mereka sentiasa diburu-buru, mengembara,  
berpindah-randah dengan penuh cemas.
Ujian demi ujian ditimpakan kepada mereka, disingkir dan dipinggirkan dari masyarakatnya.
Demi kerana Tuhan mereka tenang sahaja, yakin dan sangat bertawakal kepada Tuhan yang Maha Esa.
Tidak pernah putus asa, sentiasa optimis masa depannya,
sangat dalam rasa kehambaannya.
Di dalam penderitaan dan kesengsaraan itulah mereka mendidik pengikut-pengikutnya.
Adakalanya para Rasul itu berhadapan pula dengan kerenah-kerenah pengikutnya pula.
Mereka sangat sabar dengan ujian, sangat tabah pula mendidik pengikut-pengikutnya.
Musuh-musuh utama mereka adalah pemerintah dan raja-raja.
Tidak kurang juga daripada rasa tidak senang dari keluarga mereka.
Bertimpa-timpalah ujian yang mereka terima, luar dan dalam setiap masa.
Sudahlah begitu, sejarah perjuangan mereka sangat panjang pula.
Ada yang ratusan tahun lamanya.
Begitu lama menunggu janji Tuhan, barulah mendapat kemenangan dari Tuhannya.
Begitulah perjuangan orang Tuhan, penuh penderitaan dan kesengsaraan.
Tersingkir dan terbuang, padahal mereka adalah kekasih Tuhan.
Sungguh pahit kebenaran dari Tuhan tapi di hujungnya manis.
Berlainan sekali perjuangan musuh Tuhan yang membawa kebatilan.
Dimudahkan kemenangan, mereka angkuh dan sombong,
melakukan kezaliman sewenangnya.
Mereka sudah menganggap perjuangan musuh-musuhnya mustahil mendapat kemenangan.
Setelah mereka lupa daratan.
Di hujungnya mereka dikalahkan setelah tidak logik menerima kekalahan.
Mereka dikalahkan secara total dengan penuh kehinaan.
Haraplah diambil peringatan dan pengajaran.
Kalau ada satu perjuangan mudah mendapat  kemenangan,
jangan-jangan itu musuh Tuhan yang mendapat laknat dari Tuhan.
 

MADAH baru 422


*566*
Jagalah majlis ceramah Islam itu, jangan sampai menjadi majlis melawak dan melalaikan kerana majlis Allah itu ialah majlis keinsafan, majlis muhasabah diri, majlis menyesal, majlis yang kalaupun mata tidak menangis, tapi hati biar menangis. 

*567*
Berdakwah dan menyampaikan risalah Allah itu memang diperintah tapi ukurlah diri kita sendiri, kalau kita bukan orangnya, lebih baik kita tidak berbuat, daripada berbuat kesannya tiada di samping jangka panjang jatuh maruah kita. 

*568*
Kita boleh bercakap, berpidato, memberi nasihat, membaca Al Quran, Hadis, mengeluarkan pandangan yang mengkagumkan, tetapi apabila wibawa diri sudah jatuh atau gerak geri kita itu kurang meyakinkan orang, dengan sendiri kehebatan percakapan kita dipandang sepi atau orang tidak peduli, dengan kata-kata lain, tidak masuk ke hati, hanya orang kagumi. 

*569*
Zaman sekarang ini, siapa yang bercakap Islam tidak mengikut saluran pihak rasmi selalu dicurigai, siapa yang bercakap Islam tiada degri selalu di hasad dengki dan sesiapa bercakap Islam ada pengikut, lagi ditakuti tapi orang ramai simpati. 

*570*
Di akhir zaman, di zaman moden ini, juru cakap Islam ramai, juru pendidik sangat kurang, lantaran itulah yang pandai Islam pun tidak terdidik.

Bumi Tuhan... Bersaksilah