Mekah kembali diperintah oleh Keturunan Nabi Ismail AS


Bismillah... Sebelum ini Mekah diperintah oleh Kabilah Jurhum setelah mereka berkongsi telaga Zamzam dengan Siti Hajar. Selepas itu Nabi Ismail berkahwin dengan perempuan Jurhum, maka Mekah terus diperintah oleh zuriat Nabi Ismail sehinggalah datang Bani Khuzaa'h  merampas Mekah dari keturunan Nabi Ismail dan Jurhum. Jurhum dihalau keluar dari Mekah. Bani Khuzaah yang dipimpin oleh A'mru bin Lahayy telah membawa agama syirik masuk ke Mekah dan akhirnya tersebar ke seluruh Jazirah Arab. Ada juga keturunan Nabi Ismail yang terus tinggal di Mekah tapi mereka tak punya kuasa dan tidak mendapat tempat lagi di Mekah. Namun keinginan mereka menguasai Mekah kembali tidak pernah padam walaupun Khuzaah telah meguasai Mekah selama 500 tahun sehingga datang Qusai bin Kilab. Qusai bin Kilab ini dari keturunan Nabi Ismail AS dari anak cucu Fihr yang digelar Quraish. Ketika itu Qusai merupakan salah seorang bangsawan Mekah. Allah telah memberi kekuatan dan kekayaan kepadanya. 


Akhirnya dia berjaya mengahwini anak perempuan Hulail Ketua Mekah dan Ketua bani Khuza'ah ketika itu. Setelah Hulail mati, Qusai ingin mengembalikan Mekah kepada keturunan Nabi Ismail AS. Dengan itu dia mengistiharkan dirinya menjadi ketua Mekah. Berlaku peperangan antara Quraish yang diketuai oleh Qusai bin Kilab keturunan Nabi Ismail yang merupakan penduduk asal Mekah dan yang mewarisi telaga Zamzam dari Nabi Ismail dengan Bani Khuzaa'h yang merasa mereka juga berhak ke atas Mekah kerana Mekah telah berada dalam tangan mereka lebih dari 500 tahun. Setelah berlaku peperangan yang tak berkesudahan itu, kedua dua pihak bersetuju mencari hakim untuk menyelesaikan pertelingkahan. Mereka memilih salah seorang Hukamak dan orang bijaksana dikalangan Arab untuk menjadi Hakim dalam perebutan mereka. Kedua belah pihak akan bersetuju dengan apa saja yang diputuskan oleh Hakim ini. Nama hakim ini Ya'mur bin Auf. Mereka  masing-masing bersumpah dan membawa saksi bahawa mereka akan menerima apa saja keputusan Hakim ini. Ya'mur memanggil kedua belah pihak dan meminta mereka membentangkan hujah masing-masing bahawa merekalah yang berhak ke atas Mekah. Bagi Qusai, Mekah ini adalah kepunyaan datuk neneknya. Nabi Ismail adalah orang pertama mendiami Mekah. Zamzam terbuka kerana Nabi Ismail. Nabi Ismail yang membina Kaabah. Khuza'ah walaupun dah memerintah lama tapi mereka adalah perampas kuasa. Sedangkan Khuza'ah ketika itu tak mempunyai hujjah yang konkrit. Ya'mur memutuskan bahawa segala-galanya dikembalikan kepada Qusai bin Kilab. Keistimewaan Siqayah, Rifadah, Hijabah, dan semuanya menjadi hak Qusai bin Kilab. Selepas itu Qusai ini memerintah Mekah dengan bijaksana dan adil. Kehidupan orang Mekah makin makmur dan orang makin sayang dengan Qusai. Qusai membina Darul Nadwah kepada orang-orang Mekah. Darul Nadwah menjadi pusat pemerintahan Mekah, tempat berbincang, tempat melaksanakan akad Nikah dan upacara-upacara sosial lain. Rasulullah Saw adalah dari zuriat Qusai bin Kilab ini.

Selepas kematian Qusai bin Kilab, kesemua kemulian Quraisy - Rifadah, Hijabah, Sidanah, siqayah, nadwah diwariskan kepada anak sulungnya Abdul Dar. Selepas kematian Abdul Dar perkara ini dibahagikan di antara anak-anak Qusai yang lain dan anak-anak Abdul Dar. Abdul Mutalib datuk Rasulullah Saw telah mewarisi Siqayah iaitu hak memberi minum kepada jemaah haji. Ketika itu Zamzam sudah tidak ada lagi, sudah hilang sejak Mekah dirampas oleh Bani Khuzaa'h, sejak Amru bin Lahayy membawa  masuk agama syirik ke Mekah. Allah selamatkan zam-zam dari kedurjanaan mereka.  Abdul Mutalib mengambil air dari luar Mekah untuk jemaah haji. Orang Quraish ini kerana pemurah mereka, mereka juga mencampurkan kedalam air yang disediakan itu, susu dan madu. Begitulah pemurahnya datuk nenek Rasulullah secara khusus dan bangsa Arab secara amnya ketika itu.

Abrahah ingin meruntuhkan Kaabah




Salam wrt. Sambung lagi... Abrahah masih belum puas hati, dia mahu pujuk Najashi lagi. Lalu dia membina sebuah gereja yang paling besar ketika itu di Yaman. Abrahah namakannya Al Qulais. Abrahah menghantar lapuran kepada Najashi bahawa dia telah membina sebuah gereja yang paling besar di Yaman dan dia akan memerintahkan semua kabilah Arab datang membuat haji di Yaman. Mulalah Abrahah menghantar utusannya kepada kabilah-kabilah Arab supaya mereka datang haji di Al Qulais. Bila berita ini sampai pada salah satu kabilah Arab yang paling memebesarkan kaabah iaitu Ahlun Nasi. Ada  salah seorang dari mereka datang senyap-senyap ke Al Qulais lalu dia buang air besar disitu dan disapunya ke dinding Al Qulais. 



Bila Abrahah tahu bahawa orang yang membuat angkara ini kepada Al Qulais adalah dari Ahlun Nasi' yang sangat membesarkan dan mencintai Kaabah. Abrahah naik berang lalu mempersiapkan tenteranya untuk meruntuhkan Kaabah. Dia membawa sekali gajahnya yang besar yang bernama Mahmud. Dalam perjalanan Abrahah menuju ke kaabah ada beberapa kabilah Arab datang menyerang tentera Abrahah untuk menyekatnya dari meruntuhkan Kaabah. Namun semuanya dikalahkan dengan mudah oleh tentera Abrahah yang gagah dan lengkap dengan senjata itu. Bila Abrahah sampai ke Taif, orang Taif tak berani nak menyekat Abrahah. Sebaliknya mereka berlepas tangan dari Kaabah, bahkan mereka menghantar wakil mereka untuk menunjukkan jalan dan Kaabah kepada Abrahah. Nama wakil orang orang Taif ini Zu Rughal. Sebelum sampai ke Kaabah Zu Rughal mati, dia ditanam ditempat kematiannya. Setelah itu kuburnya jadi tempat orang Arab merejam sebagai penghinaan kepada orang yang khianat kepada kaumnya. Sampai hari ini nama Zu Rughal ini jadi perumpamaan kepada orang yang khianat dikalangan orang Arab. Orang yang khianat disebut Zu Rughal.

Jadi bila tentera Abrahah sampai dekat dengan Mekah, mereka merampas binatang-binatang ternakan orang orang Mekah. Di antara yang mereka rampas 200 ekor unta Abdul Mutallib. Abdul Mutallib datuk Nabi kita yang ketika itu merupakan ketua Mekah datang mengadap Abrahah. Bila Abdul Mutalib masuk mengadap Abrahah, Abrahah turun duduk di bawah dengan Abdul Mutallib kerana menghormati Abdul Mutalib. Melihat perawakannya saja sudah jelas kehebatan dan ketokohannya. Abdul Mutallib minta Abrahah kembalikan binatang ternakannya dan binatang ternakan orang Mekah yang telah dirampas oleh tentera Abrahah. Abrahah terkejut mendengar permintaan itu, Abrahah fikir Abdul Mutallib nak minta belas kasihannya supaya jangan ganggu Kaabah. Kata Abdul Mutallib, Wahai Abrahah, aku ini tuan unta-unta ini sebab itulah aku minta dibebaskan unta-unta ini, Kaabah itu ada tuannya, yang menjaganya, kalau Kaabah itu Rumah Allah pasti Allah menjaganya.

 Kaabah ada Tuhan yang menjaganya

Dengan itu Abrahah mengembalikan ternakan yang dirampas dan berjanji tidak akan mengganggu orang Mekah, yang penting dia nak robohkan Kaabah. Jadi Abdul Mutallib pulang ke kaumnya membawa semula binatang ternakan mereka yang dirampas dan mengajak mereka keluar dari Mekah ke bukit yang berhampiran. Dari bukit itulah orang orang Mekah dengan hati yang hiba dan cemas memerhatikan apa yang akan dilakukan oleh Abrahah kepada Kaabah.

Pada hari yang telah takdirkan oleh Allah Abrahah mengarahkan tentera bergajahnya ke arah Kaabah untuk merobohkan Kaabah. Maha Besar Tuhan, dengan kuasa Allah Rabbul kaabah, gajah tidak mahu bergerak walaupun dipukul, bila digerakkan ke arah lain dia mahu bergerak, bila dihalakan ke arah kaabah gajah tak mahu bergerak. Ketika itu juga kelihatan awan hitam dilangit, bila kehitaman hitam itu makin dekat rupanya sekumpulan burung burung Ababil setiap seekor burung bawa tiga biji batu kecil. Bila tentera Abrahah tiba burung-burung ini melepaskan batu-batu kecil ini kepada tentera Abrahah. Maha Besar Tuhan yang maha Gagah, bila batu-batu kecil ini mengenai tentera Abrahah mulalah daging-daging mereka berguguran dan menjadi cair. Ramai tentera Abrahah yang mati, bila Abrahah melihat hal itu dia lari menyelamatkan diri tapi batu sudah mengenai badannya. Akhirnya Abrahah dan semua tenteranya semuanya mati tanpa kecuali. Allah telah menceritakan pada kita umat akhir zaman cerita ini dalam Al Quran.

Maha Besar Tuhan, dengan peristiwa ini bertambah besarlah penghormatan orang orang Arab kepada Kaabah terutama bangsa Quraish dan orang orang Mekah yang menyaksikan peristiwa itu dengan mata kepala mereka sendiri. Dengan itu tahun itu dinamakan Tahun Gajah. Bermula dengan kejadian ini orang Arab menyusun taqwim mereka dengan peristiwa ini. 5 tahun sebelum tahun gajah, 2 tahun selepas Tahun Gajah, dan seterusnya. Maka Rasulullah SAW Nabi Besar junjungan kita dilahirkan pada tahun ini. Iaitu pada 12 Rabiul Awal Tahun Gajah.

Bagaimana Farsi pula bertapak di Yaman?

Jadi selepas Abrahah dan tenteranya Allah musnahkan dengan tentera Ababil. Yaman terus diperintah oleh anak anak Abrahah sampailah kezaman Masruq bin Abrahah. Ketika itu muncul salah seorang keturunan Tubba' raja Yaman sebelum Yaman dikuasai oleh orang orang Habsyah. Namanya Saif bin Abi Yazan. Dia ingin merampas kembali kerajaan Yaman dari orang-orang Habsyah. Dia minta pertolongan Qaisar raja rom. Qaisar enggan menolong sebab orang-orang Habsyah beragama Nasrani macam Qaisar juga. Saif minta tolong Raja Arab pula iaitu Raja Nukman bin Munzir, Raja kerajaan Kabilah Manazirah. Dia tak berani menentang Kerajaan Habsyah yang jauh lebih kuat daripadanya. Akhirnya Saif minta tolong Raja Farsi. Ringkasnya Raja Farsi telah menghantar banduan-banduan dari penjara bersama salah seorang panglimanya yang paling gagah memimpin pasukan ini ditambah dengan Saif bin Abi yazan dan pengikut pengikutnya. Mereka berjaya mengalahkan tentara Habsyah di Yaman dan Masruq bin Abrahah dibunuh oleh Panglima Farsi ini. Saif berjaya menghalau orang orang Habsyah dari Yaman tapi masalah mereka tak selesai, Farsi pula memerintah mereka. Kisra melantik gabenornya di Yaman, bermula dengan Mirzaban kemudian Taibujan dan akhirnya sampai ke Bazan. Ketika Rasulullah Saw ditabalkan menjadi Rasul dan mula berdakwah dan memperjuangkan Islam, ketika itu Yaman diperintah oleh  Bazan. Bazan akhirnya masuk Islam selepas Rasulullah hijrah ke Madinah sebelum Futuh Mekah. Orang orang Yaman masuk Islam dengan Islamnya Bazan dan Rasulullah Saw mengekalkannya sebagai Gabenor Yaman sampai dia mati.

Nasrani masuk ke Jazirah Arab



Selepas itu, ketika Yaman diperintah oleh keturunan Tabban yang bernama Zu Nuwas. Ketika itu ada seorang rahib Nasrani dari Syam yang beragama tauhid. Dia keluar dari Syam untuk berdakwah ke Afrika. Dalam perjalanan dia diserang oleh perompak, ditangkap dan dijual kepada seorang lelaki dari Najran. Kemudian lelaki itu berpindah ke Jazirah Arab. Menurut sejarah  nama rahib ini Femeon. Femeon telah menjadi hamba. Disamping dia berkhidmat dengan tuannya dia juga beribadat diwaktu rehat dan sangat kuat beribadat dengan agamanya. Satu malam tuannya masuk ketempat Femeon lalu didapati Femeon ini bercahaya-cahaya.  Tuannya tanya apa rahsianya. Femeon mengambil peluang berdakwah kepada tuannya tentang agama Nasrani. Orang Najran ketika itu menyembah pokok. Kata Femeon kepada tuannya, bagaimana kalau Tuhan aku dapat mengalahkan tuhan kamu, apakah engkau mahu menyembah Tuhan aku? Kata Najran itu, kalau memang Tuhan kamu dapat mengalahkan tuhan aku, aku masuk agama kamu. Lalu dikumpulkan orang ramai ditempat adanya pokok yang menjadi sembahan orang-orang Najran. Femeon datang ke situ bersembahyang dan berdoa kepada Allah agar memberi hidayah kepada orang orang Najran kepada agama tauhid. Akhirnya Allah datangkan kilat membakar pokok itu. Dengan peristiwa itu orang orang Najran semuanya masuk agama Nasrani.


Selepas itu ada seorang lelaki dari Najran bernama Abdullah bin Tsabit dan beberapa orang pendeta Nasrani dari Najran berpindah ke Yaman. Mereka beribadah secara rahsia di Yaman kerana takut kepada orang orang Yahudi Yaman. Ketika itu Yaman masih diperintah oleh Tubba' yang bernama Zu Nuwas. Ketika itu Zu Nuwas sedang mencari pengganti kepada ahli sihirnya yang dah tua. Dia memilih seorang remaja yang paling cerdik di negerinya untuk mewarisi ilmu sihir dari tukang sihirnya. Setiap hari remaja ini pergi belajar sihir dari tukang sihir raja yang tinggal di bukit. Didalam perjalanan remaja ini ketempat gurunya dia lalu ditempat salah seorang Rahib dari Najran tadi. Dia dapat dengar rintihan Rahib ini dalam ibadahnya, akhirnya dia jatuh hati dengan rintihan dan doa Rahib ini dan mula masuk belajar dengan Rahib ini. Dalam masa yang sama dia juga belajar ilmu sihir dari tukang sihir raja. Lama-kelamaan dia jadi benci dengan sihir dan tidak pergi lagi belajar dengan tukang sihir raja. Dia hanya pergi belajar dengan Rahib tadi. Tukang sihir melapurkan kepada Raja. Lalu Raja menangkap remaja ini, diazab dan dipaksa dia keluar dari agama Tauhid yang dia belajar dari Rahib. Remaja ini tetap dengan pendiriannya hingga Raja Zu Nuwas atau Tubba' Zu Nuwas memerintahkan agar remaja ini dibunuh. Untuk membunuhnya pengawal raja bawa dia ketengah laut untuk dicampakkan ke tengah laut, sampai tengah laut datang ribut, sampan terbalik semua pengawal raja mati tetapi remaja ini pulang mengadap raja dengan selamat, Maha Besar Tuhan. Raja perintah supaya dia dicampak dari atas gunung pula, rakyat semua menyaksikan peristiwa ini. Bila tentara raja nak campak remaja ini dari atas gunung berlaku gempa bumi, semua tentera raja yang membawa remaja ini jatuh dari atas gunung dan remaja ini selamat.

          Berbagai cara digunakan oleh Tubba' Zu nuwas untuk menghapuskan remaja beriman ini tetapi tetap tidak berjaya. Akhirnya remaja ini memberi tahu rahsianya kepada Tubba', wahai Tubba' Zu Nuwas, kalau kamu mahu membunuh aku juga hendaklah kamu mengumpulkan rakyat semua dan ikat aku di pokok kemudian ambil panahku ini dan panahlah aku dengan menyebut: dengan nama Allah Tuhan remaja ini. Kalau kamu laksanakan apa yang aku cakap ini baru kamu dapat membunuh aku. Bila Zu Nuwas melaksanakan seperti yang disebut oleh remaja beriman ini barulah Tubba' berjaya membunuh remaja beriman ini. Namun semua rakyat yang menyaksikan peristiwa ini berkata: bagaimana Zu Nuwas dengan  kekuasaan dan kegagahannya tidak berjaya membunuh remaja ini melainkan  dengan menyebut ; Dengan nama Allah Tuhan remaja ini. Dengan peristiwa itu Allah campakkan iman kedalam hati 20 ribu rakyat Yaman ketika itu, semua mereka beriman dengan agama Tauhid.

          Tubba' Zu Nuwas yang terlalu marah dengan peristiwa itu akhirnya memerintahkan tenteranya menggali lubang yang besar dalam bahasa Al Quran disebut " Ukhdud " dan dipenuhkan kayu api didalamnya kemudian dinyalakan api yang besar. Sesiapa yang tidak mahu murtad dari agama tauhid akan dicampakkan kedalam api itu. Hal ini Allah ceritakan pada kita didalam Al Quran dalam surah Al Buruj

          Rasulullah SAW juga ada menceritakan dalam Hadis. Diantara kisah yang sangat mneyentuh, dari kalangan  ramai itu ada seorang ibu dengan bayinya yang masih menyusu. Si ibu merasa takut dan teragak-agak kerana merasa kesian dengan bayinya yang masih kecil itu untuk dimasukkan kedalam api Tubba’. Ketika itu bayinya talah bercakap kepada ibunya:

Wahai ibu, jangan takut terjun saja kedalam api itu, sesungguhnya ibu sedang menuju ke suyurga.

          Kesemua 20 ribu itu dibunuh kerana mereka beriman dengan Allah yang esa. Mereka tak buat apa apa kesalahan, mereka tidak menentang Raja tapi kerana mereka beriman, Tubba' bakar mereka semua. Dari semua itu ada seorang lelaki yang selamat namanya Daus bin Tsa'labah, dia berjaya melarikan diri dan pergi mengadu kepada Qaisar raja Rom yang juga beragama Nasrani. Menyalalah kemarahan Qaisar bila mendengar Zu Nuwas membakar orang-orang Nasrani di Yaman. Qaisar mengirim wakilnya kepada Najashi raja Habsyah raja Nasrani yang paling dekat dengan Yaman supaya menghantar tentera memerangi Tubba' raja Yaman itu. Najasyi yang juga sangat marah bila mendengar cerita Daus itu terus menyiapkan tentaranya seramai 70 ribu orang. Satu jumlah tentera yang sangat besar ketika itu yang belum pernah berlaku lagi di Jazirah Arab. Tentara ini diketuai oleh panglimanya yang bernama Aryath di dalam barisan panglima tentera itu juga ada seorang paglima yang bernama Abrahah.

          Bila berlaku peperangan antara tentera Aryath dan tentara Tubba’ Zu Nuwas, tentera Tubba’ telah kalah. Zu Nuwas melarikan diri dan masuk ke dalam laut membunuh diri. Dengan itu orang Habsyah menguasai yaman dan Najasyi melantik Aryath menjadi  Gabenornya di Yaman. Bila Aryath menjadi Gabenor dia mula menzalimi rakyat Yaman dan juga tentera tenteranya sendiri. Akhirnya tenteranya yang tak tahan dengan sikap Aryath ini memberontak dibawah pimpinan Abrahah. Bertembunglah dua kumpulan dalam tentera Habsyah, satu yang menyokong Aryath satu lagi yang menyokong Abrahah. Abrahah yang tak mahu berlaku peperangan sesama tentera Habsyah mengajak Aryath bertarung satu lawan satu. Siapa menang dia memerintah Yaman. Dalam pertarungan itu Abrahah berjaya membunuh Aryath tapi sebelum Aryath terbunuh dia sempat menebas hidung Abrahah. Maka serpihlah hidung Abrahah. Sebab itulah Abarahah ini digelar Abrahah Al Asyram Abrahah yang serpih hidungnya. Dengan itu Abrahah memerintah Yaman.

          Bila berita ini sampai pada Najashi, Najashi murka dengan Abrahah yang berani membunuh gabenor yang dilantik oleh Najashi. Najashi bersumpah akan memimpin sendiri tenteranya ke Yaman dan tak akan kembali ke Habsyah melainkan setelah dapat memijak-mijak tanah Yaman dan membotakkan kepala Abrahah sebagai satu tanda penghinaan kepada Abrahah. Abrahah ketakutan, dia tak berani melawan Najashi. Namun dengan kepintarannya dia menghantar utusannya mengadap Najashi dan dia hantar bersama utusan ini rambutnya dan tanah Yaman. Katanya kepada Najashi: Wahai Tuanku Najashi, ini Abrahah sudah menyempurnakan sumpah Tuanku. Ini rambut Abrahah dan ini tanah Yaman untuk Tuanku pijak-pijak. Abrahah tetap taat setia dan tunduk kepada Tuanku Najashi. Dengan itu Najashi tidak jadi memerangi Abrahah. Selesailah masalah Abrahah dengan Najashi. 

Yahudi bertapak di Jazirah Arab



Salam wrt. Apa khabar semua?  Alhamdulillah, malam ni salim sedikit hati ini. Siang tadi agak sibuk dan 'kerisauan'. Yang sebenarnya, orang mukmin sejati itu tidak akan pernah berasa takut atau sedih terhadap hal-hal dunia. Nak buat camne.. Belum capai maqam itu.. InsyaAllah, moga Allah rezekikan suatu hari nanti. ameen.:) Malam ni buat sedikit bacaan tentang bagaimana agama Nasrani, Yahudi dan Majusi bertapak di Tanah Arab. Begini...


          Orang Najran di zaman itu beragama Nasrani, orang Yaman sebahagiannya Yahudi, sebahagian Nasrani, Yathrib yaitu Madinah dan Khaibar pula didatangi oleh orang Yahudi dari Syam. Yahudi paling ramai di Yaman tetapi selepas itu Farsi yang menganut Majusi menawan Yaman. Ketika Rasulullah diutuskan Yaman diperintah oleh kerajaan Farsi. Mari kita ringkaskan cerita yang panjang ini. 


Satu ketika Rabiah bin Nasr penguasa Yaman telah bermimpi satu mimpi yang pelik. Mimpi itu telah ditafsirkan oleh Ahli nujum yang menguasai kehidupan masyarakat ketika itu, Kata mereka, mimpi itu bermaksud orang orang Habsyah akan menguasai Yaman sekitar 60 ke 70 tahun lagi.  Rabiah ini takut hal itu berlaku keatas zuriatnya, lalu dia membawa semua ahli keluarganya meninggalkan Yaman. Mereka berpindah ke Hirah satu tempat yang berdekatan dengan Irak. Akhirnya mereka menguasai Hirah. Raja Nuaim bin Munzir, raja Hirah itu adalah dari keturunan Rabeah bin Nasr ini.

          Ketika itu raja  Rom dipanggil Qaisar dan raja Farsi dipangil Kisra, raja habsyah dipanggil Najasyi, dan raja Yaman dipanggil Tubba'. Dalam Al Quran Allah ada menceritakan perihal kaum Tubba' yaitu orang-orang Yaman. Ketika itu Yaman diperintah oleh Tubaa' yang bernama Tabban bin As'ad. Dia seorang raja yang terkenal dan selalu keluar berdagang dan melancong. Satu ketika dia keluar berdagang ke Syam ditemani oleh anaknya dan tentara-tenteranya. Sebelum ke Syam mereka singgah di Madinah dulu, anaknya ditinggalkan di Madinah menguruskan perniagaannya di Madinah. Sewaktu Tabban bin As'ad ini pergi ke Syam berlaku selisih faham antara anaknya dan orang orang Madinah sehingga orang orang Madinah membunuh anaknya. Bila Tabban dapat berita ini dia berpatah balik untuk menuntut bela di atas kematian anaknya. Berlaku peperangan antara orang Yaman dan orang Madinah.

          Dalam peperangan itu ada satu hal yang sangat menjadi kehairanan bahkan satu yang sangat menarik bagi Tabban. Orang Madinah kerana terlalu pemurah, mereka berperang disiang hari bila sampai waktu malam mereka berenti perang. Di waktu malam orang-orang Madinah menghantar makanan dan minuman kepada tentara Tabban yang memerangi mereka pada siang hari. Sampai begitu mereka memuliakan tetamu walaupun tetamu itu adalah musuh yang memerangi mereka di siang hari. Namun  Tabban tetap nak tuntut bela keatas kematian anaknya.

          Di tengah peperangan itu datang kepada Tubban pendeta-pendeta Yahudi yang datang dari Syam. Mereka minta nak bertemu dan berbincang dengan Tabban. Setelah  mengadap Tubban mereka bertanya apa yang Tubban mahu dari peperangan ini.  Tabban memberitahu mereka bahawa dia mahu menghancurkan Madinah. Kata pendeta Yahudi kepada Tabban, kamu tidak akan berjaya, sebaliknya Allah akan musnahkan kamu kerana Madinah ini adalah tempat hijrah Nabi. Begitulah menurut kitab-kitab kami. Tabban telah berminat dan tertarik untuk mendalami tentang Taurat. Akhirnya dia memeluk agama Yahudi dan berhenti dari memerangi orang-orang Madinah.

          Selepas itu dia dan tenteranya ke Mekah. Ketika itu Bani Huzail memusuhi orang Mekah dan mereka juga tak suka kepada orang Yaman. Mereka mengambil peluang ini untuk melaga-lagakan orang Yaman dan orang Mekah. Mereka menceritakan pada Tabban bahawa di Mekah ada satu bangunan iaitu kaabah, di mana dibawah kaabah ini terdapat banyak emas dan permata. Memang ketika itu orang orang Arab menanam emas dan permata di Kaabah sebagai memuliakan Kaabah. Bila Tabban mendengar hal ini datang perasaan tamaknya untuk menguasai harta itu. Terus dia persiapkan tenteranya untuk menyerang Mekah dan Kaabah pula. Pendeta-pendeta Yahudi yang masih ada bersama mereka kerana mengajar mereka agama Yahudi telah menasihat Tabban agar jangan menyerang Mekah dan Kaabah. Kata mereka, yang kami tahu Kaabah inilah satu satunya rumah Allah di atas muka bumi ini. Kalau kamu serang Kaabah, Allah yang akan musnahkan kamu. Tabban menerima nasihat ini dan bertanya pendeta apa yang patut dia buat bila dia masuk Mekah nanti. Kata pendeta yahudi, bila engkau masuk Mekah nanti engkau besarkan Kaabah ini. Macam mana? Tanya Tabban, kata pendeta, engkau tawaf keliling Kaabah. Tabban tanya pendeta : apakah kamu akan tawaf juga? Kata pendeta, kami pun nak tawaf tapi oleh kerana Kaabah ini ketika ini dipenuhi dengan berhala sekelilingnya jadi kami para Ulamak tak sepatutnya tawaf dalam keadaan begini. Tabban telah melaksanakan nasihat pendeta Yahudi.  Semasa dia di Mekah dia melihat dalam tidurnya dia memakaikan kelambu pada Kaabah. Tabban memerintahkan orang-orangnya menyiapkan kelambu Kaabah. Dengan itu orang yang pertama memakaikan kelambu pada Kaabah ialah Tabban bin As'ad  raja Yaman ini. Selepas itu barulah kabilah Arab menyambung tradisi ini.

          Bila Tabban balik ke Yaman dia perintahkan semua rakyatnya menganut agama Yahudi tapi rakyatnya tak setuju. Rakyat yaman ketika itu menyembah api. Di setiap rumah mereka ada rumah api, kalau mereka bergaduh sesama mereka mereka akan pergi kepada rumah api ini, bila rumah api dibuka siapa yang kena sambar api dulu dialah yang salah. Jadi mereka ambil keputusan untuk berhakim dengan api dalam masalah arahan Tabban ini. Tabban pun setuju, dihari yang ditentukan dibawa pendeta Yahudi ke rumah api begitu juga dengan pendeta Majusi yang menyembah api. Bila dibuka pintu rumah api, api menyambar pendeta Majusi, mereka lari menyelamatkan diri. Rakyat tak puas hati, diulang lagi kali kedua, kali ini pendeta Majusi dipaksa jangan lari. Kali ini pun api menyambar pendeta Majusi dan akhirnya pendeta Majusi mati terbakar api di situ. Melihatkan peistiwa itu semua rakyat Yaman memeluk agama Yahudi. Begitulah Allah menunjukkan kebesarannya dalam memenangkan agamanya. 

Syirik masuk ke Jazirah Arab



Selepas itu datang seorang tokoh Arab dari Bani Khuzaa’h bernama Amru bin Luhayy. Bani khuzaa’h ini telah telah menyerang Bani Jurhum dan menghalau mereka keluar dari Mekah seterusnya  Bani Khuzaa'h mengusai Mekah. Amru bin Luhayy inilah orang pertama yang memperkenalkan berhala kepada kaumnya yang kemudian tersebar ke seluruh kabilah Arab yang lain. Memang Amru ini seorang yang kaya dan dermawan, dialah yang menyediakan keperluan orang-orang yang datang mengerjakan haji ke Mekah. Kekayaan dan demawanya itulah yang telah mempengaruhi orang sehingga mereka mendengar cakapnya dan akhirnya menurut perintahnya agar menyembah berhala. Kemudian Amru menukar talbiah Tauhid kepada talbiah syirik. Talbiah tauhid itu , itulah yang jemaah haji baca ketika Ihram.



Ketaatan hanya untukMu ya Allah, tiada sekutu bagi Mu,sesungguhnya pujian
dan nikmat hanya untukMu,tiada sekutu bagiMu

Amru bin Luhayy telah menambah  Talbiah ini kepada :

Tiada sekutu bagiMu
melainkan sekutu yang menjadi milikMu
engkau memilikinya dan segala kepunyaanya

          Talbiah yang mengesakan Tuhan ini diubahnya menjadi talbiah yang mensyirikkan Tuhan. Bukan setakat itu saja, lepas itu Amru mencipta binatang binatang yang suci pula yang ditaqdiskan antaranya Saaibah, Bahiirah, Haami. Haami ini adalah unta betina yang telah melahirkan sepuluh ekor unta jantan maka  ketika itu unta tersebut dinakan Haami dan tidak boleh ditunggang lagi, tidak boleh disembelih, tak boleh disakiti tapi sebaliknya dimuliakan dan dipuja.

          Bermula dari situ setiap Kabilah mempunyai berhala mereka sendiri pula. Hubal berhala orang mekah, Wud berhala bani kilab, Suwa' berhala Bani Huzail, Yaghuus berhala Bani Thoyyik dan penduduk Jerash, Yauu'qa berhala Bani Hamazan dan Nasr berhala orang Yaman. Satu kisah menarik, ada berhala yang namanya Isaf dan Naelah, dua berhala yang disembah di kaabah. Sejarah menceritakan Isaf  ini asalnya seorang pemuda dari Yaman begitu juga Naelah seorang gadis dari Yaman, mereka sama sama cinta mencintai tapi keluarga tak setuju mereka kahwin. Ringkasnya mereka berjanji bertemu di mekah di musim haji. Akhirnya ketika orang semua tak perasan mereka zina di tepi Kaabah. Lalu Allah tukar mereka berdua menjadi batu. Lepas itu Isaf diletakkan di Safa dan Naelah diletakkan di Marwah sebagai pengajaran dan peringatan kepada orang lain. Bila Amru bin Lahayy datang ke Mekah, dia pindahkan kedua dua batu ini ke kaabah. Ketika itu masyarakat dah mula lupa asal usul batu ini dan akhirnya mereka  menjadikan dua batu ini berhala yang disembah. Begitulah penyembahan berhala makin meluas di Semenanjung Arab.

          Pernah Saidina umar setelah menjadi Amirul Mukminin dilihat oleh para sahabat menangis dan kemudian tertawa tanpa sebab yang lahir, akhirnya ada yang berani bertanya, Wahai Amirul Mukminin apa rahsia kami melihat tuan menangis kemudian tersenyum tanpa sebab lahir yang kami faham. Maka Saidina Umar menceritakan, dulu aku dan orang orang Quraish sebelum Allah datangkan rahmat Islam, kami sangat benci pada anak perempuan. Ketika aku dapat anak perempuan, dari saat kelahirannya lagi kebencianku sudah bermula, aku pendam rasa benci itu, aku sabar sampailah umurnya 6 tahun, aku dah tak tahan lagi, jadi aku bawa dia kepadang pasir dan aku gali lubang, dia yang ingat aku membawanya berkelah dan untuk bermain main, dia juga turut membantuku menggali lubang, bila lubang dah siap aku tolak dia ke dalam lubang dan aku mula menimbusnya dengan pasir, anakku yang masih belum tahu niatku, masih ingat aku bermain main, dia tolong mengibaskan pasir-pasir dari jangut dan pakaianku, tapi akhirnya aku timbus dia hidup-hidup tampa belas kasihan. Inilah kehidupan kami sebelum kedatangan Rasulullah, kami memuliakan anak lelaki dan menghina anak perempuan bahkan membunuh mereka hidup hidup. Itulah rahsianya, bila aku teringat kisah ini aku menangis. Maha Besar Tuhan, Maha Baik Tuhan yang menghantar Rasulnya yang membawa satu syariat yang meletakkan perempuan ditempat yang mulia. Marilah kita bersyukur diatas nikmat ini.  

          Adapun rahsia tersenyumku, satu hari aku keluar dari Mekah, kami kalau keluar dari Mekah biasanya akan membawa bersama batu dari Mekah untuk jadi sembahan kami, tapi hari itu aku lupa nak bawa batu tapi aku ada bawa tamar jadi aku buat berhala dari tamar dan aku sembah tuhan ini, bila makan aku habis mulalah akan makan tuhan aku ini sedikit demi sedikit. Bila aku teringat kisah ini aku ketawa sendiri.

          Begitulah kehidupan bangsa Arab Jahiliah. Moga dengan itu kita dapat merasakan bagaimana kebesaran Islam yang telah mengubah bangsa Arab jahiliyah ini kepada peribadi peribadi yang sangat agung. Wallahua'lam.

Perintah Allah ::: Nabi Ibrahim membina Kaabah.


Assalam. Sedikit perkongsian berkenaan pembinan Kaabah. Moga Bermanfaat (",)



Ketika Allah memerintahkan Nabi Ibrahim AS membawa isteri dan anak kecil kesayangannya, Nabi Ismail AS untuk ditinggalkan di disatu wadi gersang tanpa tumbuhan disisi Rumah Allah di Tanah Haram. Disitulah Kaabah dibina oleh Nabi Ibarahim selepas itu. Mekah ketika itu hanya sebuah wadi yang kosong dan kering kontang. Nabi Ibrahim telah mendatanginya dari Palestin, tanah yang diberkati, dengan perintah Allah. Di tempat yang bakal menjadi Baitul Haram, baginda meninggalkan isteri dan anaknya Nabi Ismail AS. Ketika ditinggalkan disitu Siti Hajar merasa pelik kerana tidak ada air, tidak ada makanan, tidak ada jiran yang boleh menolong bahkan tiada manusia lain, sedangkan dia ditinggalkan bersama seorang bayi kecil.



Ketika Nabi Ibrahim meninggalkan tempat itu, Siti Hajar mengekori Nabi Ibrahim sambil bertanya namun Nabi Ibrahim tidak mengindahkannya. Sehinggalah akhirnya Siti Hajar bertanya, Apakah Allah yang perintahkan hal ini. Benar jawab Nabi Ibrahim. Siti Hajar dengan penuh yakin dan hati yang beriman dengan kekuasaan Allah berkata, kalau begitu pasti Allah tidak akan mensia-siakan kita. Kalaulah ini perintah Allah pasti ada pembelaan dari Allah Tuhan yang Maha Baik itu. Si anak menangis kehausan sementara susu Siti Hajar sudah mula kering. Berlarilah Siti Hajar mencari air dari Safa ke Marwah dengan penuh cemas dan harap pada Tuhan. Berkat rintihan hati Siti Hajar yang bergantung penuh dengan Tuhan itu Allah menghantar Saidina Jibril, dengan sayapnya dia menyingkap telaga Zamzam yang terpancar dari hentakan kaki bakal seorang Nabi Allah yang mulia Nabi Ismail AS. Inilah sejarah Zam zam yang kekal hingga hari ini.

          Menurut Ulamak sejarah, perkara ini berlaku selepas satu empangan besar di Yaman yang namanya Sad Maarib pecah. Emapangan Maarib ketika itu adalah satu empangan yang besar dan menjadi sumber air dan sumber kehidupan kepada rakyat Yaman ketika itu. Empangan ini dibina oleh kerajaan Saba' di Yaman yang terkenal dengan kepakaran seni bina. Mereka membina empangan ini untuk menampung air hujan yang akan dimenafaatkan untuk keperluan harian dan pertanian mereka. Bila mana mereka engkar dengan Tuhan Allah hukum mereka dengan dipecahkan empangan mereka. Bila empangan pecah bangsa Arab yang berasal dari Yaman ini terpaksa berpindah dari Yaman mencari kehidupan ditempat baru. Maka bertebaranlah bangsa Arab ini keseluruh semenanjung Arab, Kabilah Tsaqif berpindah ke Taif, Kabilah Aus dan Khazraj ke Madinah, Arab Ghasasinah berhijrah ke Syam, Arab Manazirah berhijrah sampai ke sempadan Irak.

          Ketika itu Kabilah Jurhum yang sedang mencari tempat baru lalu dekat dengan Mekah, mereka melihat burung-burung berterbangan menandakan ada air dikawasan itu sedangkan mereka tahu memang tak pernah ada air dikawasan itu. Bila diperiksa, benar ada air disitu. Maha Besar Tuhan yang berkuasa mengadakan yang tiada. Begitulah Allah membela isteri yang solehah ini yang taat setia dengan perintah Allah dan suaminya, Nabi Ibrahim. Mereka mendapati ada seorang perempuan dan anak kecilnya ditempat air. Kabilah Jurhum yang terkenal baik ini tidak terus merampas zamzam dari Siti Hajar. Mereka minta izin untuk berkongsi air dengan Siti Hajar bahkan mereka sanggup membayar sewa telaga air ini kepada Siti Hajar. Allah yang maha Baik tidak mesia-siakan hambanya yang bergantung penuh dengan rahmatnya. Apalagi inilah keberkatan doa dan rintihan hati Nabi Ibrahim dan isterinya yang solehah dan taat setia itu. Nabi Ibrahim kerana perintah Allah dengan hati yang tabah meninggalkan isteri dan anak kesayangannya ditempat yang lojik akal mengatakan tak mungkin boleh hidup disitu. Namun inilah keyakinan seorang Nabi dengan Tuhannya. Mengapa tidak kita belajar dari keyakinan ini. Bantuan dan kuasa Tuhan itu mengatasi lojik akal manusia.

"Sesungguhnya Allah Taala berkuasa penuh di atas segala sesuatu"


          Setelah Nabi Ismail agak dewasa, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail membina Kaabah diatas tapak asas kabah yang dibina oleh Nabi Adam AS. Kaabah pertama telah dibina dizaman Nabi Adam lagi, kemudian runtuh dan terkambus. Setelah siap pembinaan Kaabah hanya tinggal satu yang tidak dapat disempurnakan kerana tak ada batu yang cukup ukuran untuk menyempurnakan penjuru. Setelah dicari-cari pun tidak berhasil. Allah telah menurunkan batu dari syurga. Itulah Hajarul Aswad yang disunatkan pada jemaah haji sampai hari ini mengucupnya.

          Betapa hebat keyakinan Nabi Ibrahim dan taat setianya pada perintah Tuhan tanpa sebarang dolak dalih. Maka Allah bagi pihaknya pula telah melakukan sesuatu yang diluar kemampuan dan akal fikiran manusia. Alangkah hebatnya Tuhan. Setelah Kaabah siap, walhal dia hanya satu bangunan batu. Bagaimana pula nak panggil orang datang ke Kaabah. Allah perintahkan Nabi Ibrahim melaungkan azan, membuat seruan pada manusia. Kata nabi Ibrahim, wahai Tuhan bagaiman suara aku nak sampai kepada semua manusia. Jawap Allah, tugas kamu wahai Ibrahim hanyalah azan iaitu membuat seruan. Sedangkan Allahlah yang akan menyampaikan kepada manusia. Nabi Ibrahim naik ke Jabal Arafah melaungkan azan menyeru manusia dari seluruh dunia ke Kaabah. Maha Besar Tuhan, dengan kuasanya yang tiada batas itu,  Allah telah memperdengarkan suara Nabi Ibrahim kepada semua manusia. Bahkan Allah jatuhkan ke dalam hati-hati manusia rasa cinta dan rasa hormat pada Kaabah. Lihatlah lagi ketaatan mutlak Nabi Ibrahim melaksanakan perintah Allah. Lihatlah juga bagaimana Allah yang Maha Berkuasa itu menjayakan kehendaknya.

          Dengan itu bermulalah orang berdatangan membuat haji ke Kaabah khususnya dari semenanjung Arab. Mereka tiba-tiba tanpa diarah dan diberitahu oleh sesiapa telah membesar-besarkan dan memuliakan Kaabah. Dengan itu bermulalah ibadah Haji dengan kuasa Allah. Tersebarlah agama Tauhid sehingga akhirnya seluruh bangsa Arab menganut agama Nabi Ibrahim. iaitu agama yang mengesakan Tuhan dan agama yang Tuhan redhai. Allahlah yang telah memenangkan agamanya tampa campur tangan sesiapa. Bukankah ini kebenaran janji Allah dalam QuranNya.

 "Tiadalah kemenangan itu melainkan semata-mata kurniaan daripada Allah taala"

::: Sewaktu waktu :::


Salam wrt. Apa khabar semua? Moga Allah memelihara anda, pembaca semua:). Apa itu "SEWAKTU WAKTU?" ... begini  ceritanya...

Semalam saya mendapat dua pengisian yang berguna. Ilmu Allah memang luaskan! Cuma kita jer yang sombong nak atau tidak. macam saya ni la..huhu..

Hari ini, Program Cinta Ilmu di TV Al-Hijrah. Penyampaian oleh Tuan Guru Syeikh Nuruddin Marbu Albanjari Al Makki. Tajuknya "Ilmu dan Hiburan".

Ada seorang sahabat Nabi, dia menyatakan bahawa ketika dia duduk2 bersama Nabi, hatinya tenang, tak gundah gulana, bahagia jer. tapi bila dia pulang ke rumah, hilang semua tu. Jiwa dia kembali tidak tenang.

 Nabi SAW bersabda, jika hati kamu sentiasa tenang, sudah tentu malaikat turun dan bersalam dengan kamu. Selepas itu Nabi berkata, "sewaktu-waktulah". Anda faham? hehe.. cuba fahamkan yer...:) Amek masa untuk faham ya.

itulah yang diceritakan oleh Syeikh Nuruddin. Selain itu beliau turut bercerita tentang hiburan yang dibenarkan Islam. Cerita tentang kaitan hiburan dengan sebab manusia diciptakan. Banyak lagilah yang diceritakannya.

Pada malam itu pula, ada satu lagi tarbiyah berkenaan dengan sifat Ahad Allah. Tapi berbentuk text yang ditulis. Meminta supaya meletakkan Allah dalam setiap ruangan hati, Dialah segalanya, tiada yang lain selain Dia.
 Alhamdulillah, perkongsian yang berguna:)..

Eerrmmm, Dalam menimba ilmu ni, ada perkara yang saya takuti...

Yang saya takut, saya seronok mendengar ilmu,
tapi tak seronok untuk beramal...huhu...
Patutnya bila seronok mendengar ilmu, makin seronoklah untuk beramal.
Biar sedikit ilmu, tapi ilmu itu diamalkan...
Lagi banyak ilmu, lagi banyaklah beramal... ini yang betul.

Umpama sebuah kebun buahlah. Contohnya buah manggis (sebut manggis sebab sekarangkan banyak buah manggis yang dijual di tepi2 jalan dan pasar..hehe).

Ok, kebun manggis tu kepunyaan kita. Tiba jer musim, dia berbuah lebat. Menghitam jer kebun tu dengan buah2 manggis. Cantikkan! Suka kita tengok. Orang lain yang tengok pun suka! Jelous orang tengok kebun kita, berbuah lebat...Itu memberi tamsilan kepada ibadah kita yang banyak ok.

Tapi yang menjadikan tak bestnyer, kita jemput kawan kita untuk petik dan buka buah manggis yang banyak tu.

Apa jadi? setiap kali dibuka, bergetah... buka lagi sebiji, bergetah... buka lagi, bergetah lagi... isinya tidak elok...

Jadi, kalau demikian, apa pandangan kita dengan kebun manggis tadi? Buah banyak tapi semua xle makan, sebab bergetah...

Inilah perumpamaan, orang yang banyak beribadah, tapi tidak berakhlak... Orang tengok dia kuat sgt ibadah, sampai ada yang kagum dan ada pula  yang iri hati dengan ibadahnya yang banyak. Tapi, orang tidak suka kepadanya. Sebab apa, bila cuba mendekatinya, rupa-rupanya dia tidak seperti yang kita sangka. Ibadahnya banyak, tapi mulutnya masih bercerita pasal aib orang lain, masih memaki orang, masih pemarah, masih, masih, masih... banyak lagilah mazmumah yang ada pada dirinya...  Itulah orang yang hanya mementingkan ibadah lahir. Ibadah batinnya tiada atau kurang. Sayang sekali...

Ya Allah, jangan jadikan hidupku hanya lebat pada syariat sahaja, tapi tidak membuahkan akhlak. Jika pula Engkau mentakdirkan diriku berakhlak, jadikanlah ia membuahkan Ulwah, yakni kasih sayang sesama manusia.. ameen ya Rabb...

kembali : 2013 (",)


Salam wrt. Apa khabar semua. Alhamdulillah, telah bermula tahun 2013. Tahun yang penuh bermakna buatku. Tahun ini, banyak perubahan yang akan berlaku dalam hidupku. Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini. Kadang-kadang aku termenung panjang memikirkan perjalanan hidupku ini. Adakah dalam pimpinan Allah atau dalam kemurkaannya. Kadang2 hujan air mata turun membasahi pipi. Entah kenapa demikian.

Terkenang zaman dahulu. Bersama abah ummi dan keseronokan bermain dgn adik beradik, gurau senda sesama kami, Alangkah indahnya saat itu dan ia tidak akan berulang kembali. Ummi abah bawa kami ke sana sini, mengenalkan kami erti hidup, mengajarkan kami kehidupan seorang mukmin dan sebagainya. pengalaman itu umpama berlari2 dalam mindaku ini. Walaupun diari tulisan tanganku yang lepas telah ku kunci kemas dlm beg di atas peran, tetapi cerita di dalamnya turun dari tangga peran dan menjengah ke bilikku menjadikan kisah2 masa kecilku kembali segar dlm igtnku. adakah saat indah itu akan berulang kembali?


Kenangan2 ini menjadikan aku mengenangkan berapa banyak tangan yang telah berjasa kepadaku sehingga usiaku hari ini. Dan juga berapa banyak dosa aku pada manusia-manusia yang aku gauli. Itu yang menghantuiku. Teringat doaku ketika mengelilingi rumah suci bulan lepas, ada satu doa yg terkesan di hatiku.

"Ya Allah, tolong tanggung dosa-dosaku terhadap orang-orang lain".

Aku ulang-ulang doa itu banyak kali. Moga suara hatiku didengar oleh Tuhan Yang Maha Baik. Rabbana taqabbal minna dua ana innaka antassamiul alim.

Diri ini mula memikirkn permulaan hidup berumah tangga. kerana saatnya hampir tiba. perancangan Allah sangat menakjubkan. Moga Allah terus memimpin aku ini. Menjadikan aku ikhlas beragama, menjadikan Islam sebagai jalan/panduan dalam membina kehidupan seterusnya. Ya Allah, kurniakanlah aku isteri dan anak-anak penyejuk mata hatiku. Jadikanlah kami dr golongan orang2 yang bertaqwa.ameen.

Sambung lagi nanti. insyaAllah. 

KEKAYAAN DAN FALSAFAHNYA


Assalam. Apa khabar? Kali ini perkongsian agak panjang. Selamat membaca:)

Apabila menyebut kekayaan atau kaya, yang cepat menangkap pada fikiran umum atau apa yang cepat teringat oleh kebanyakan orang ialah kekayaan harta dan wang ringgit. Kebanyakan orang tidak terfikir bahawa ada kekayaan-kekayaan yang lain. Kalaupun ada yang terfikir bahawa kekayaan itu bukan harta dan wang ringgit sahaja atau bukan semata-mata wang ringgit dan harta, tapi kekayaan bentuk lain itu kurang diminati atau kurang sangat diperkatakan dan dibualkan orang.

Ini menunjukkan di antara fitrah semula jadi manusia ialah ingin kaya atau kekayaan. Yang sangat menjadi tarikan dan minat ialah kekayaan harta dan wang ringgit. Ini menunjukkan kekayaan wang ringgit dan harta atau kekayaan mata benda dunia sangat mempengaruhi jiwa dan fikiran manusia.

Justeru itulah kita lihat di dalam pengalaman hidup manusia bahawa manusia itu bertungkus-lumus pagi dan petang, siang dan malam bekerja keras mencari kekayaan harta dan wang ringgit, bahkan mereka mencari ilmu, berkawan, bahkan adakalanya berkahwin pun adalah kerana dengan tujuan untuk mencari kekayaan harta dan wang ringgit. Begitulah pengaruh kekayaan wang ringgit dan harta kepada kebanyakan manusia.

BAHAGIAN KEKAYAAN

Yang sebenarnya kekayaan di dalam kehidupan manusia di dunia ini bukan kekayaan harta dan wang ringgit sahaja. Banyak lagi kekayaan lain yang jarang diperkatakan oleh manusia. Bahkan ada kekayaan yang lebih baik daripada wang ringgit dan harta. Di bawah ini kita akan senaraikan bahagian-bahagian kekayaan di dalam kehidupan manusia di dunia ini:




1. Kaya dengan wang ringgit dan harta
2. Kaya ilmu dan pengalaman
3. Kaya dengan anak-anak
4. Kaya dengan pengikut
5. Kaya jiwa
6. Kaya budi bahasa
7. Kaya dengan kawan dan kenalan

KEKAYAAN WANG RINGGIT DAN HARTA

Salah satu tarikan kepada manusia ialah kekayaan harta dan wang ringgit. Di sini ada dua golongan manusia; satu golongan mencari harta dengan yang halal semata-mata dan satu golongan lagi mencari harta tidak kira halal dan haram semuanya disapu belaka. Apa sahaja yang boleh mendatangkan kekayaan, dia buat sama ada dengan judi, tipu, menjual arak, rasuah, membuka rumah pelacuran, disko dan sebagainya.

Islam tidak melarang umatnya mencari kekayaan kerana ia sesuai dengan fitrah manusia itu tapi dengan beberapa syarat iaitu:

1. Hendaklah mencari kekayaan dengan cara halal.
2. Apabila kaya, cukup haul, hendaklah membayar zakat.
3. Hendaklah menjadi orang pemurah.
4. Hendaklah digunakan kekayaan itu kepada jalan Allah seperti membantu fakir miskin, membangunkan rumah ibadah atau tempat pendidikan, membantu orang berdakwah dan lain-lain lagi.
5. Jangan ada pembaziran dan membuang-buang harta tidak menentu.
6. Jangan digunakan untuk maksiat dan menderhakai Allah Taala.
7. Jangan mencari harta hingga meninggalkan perkara-perkara yang asas di dalam Islam seperti mengabaikan fardhu ain, jangan meninggalkan sembahyang, puasa, sampai masa hendaklah naik haji.
8. Kena tunaikan wajib yang aradhi seperti pada satu masa masyarakat Islam perlukan satu bangunan untuk pendidikan, masyarakat umum di kalangan umat Islam sudah tidak mampu lagi memberi derma kerana susahnya, maka orang yang kaya pada mereka adalah wajib aradhi membiayai bangunan itu kerana dia mampu.
9. Orang kaya mesti sanggup jadi bank kepada masyarakatnya. Hayati cerita di bawah:

Ummul Mukminin Aisyah r.a berkata bahawa dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Kulihat Abdul Rahman bin Auf masuk Syurga dengan merangkak.”

Sebahagian Sahabat menyampaikan cerita Aisyah itu kepada Abdul Rahman, lalu dia pun menemui Aisyah dan berkata: “Engkau telah memperingatkan aku suatu Hadis yang tak pernah kulupa akannya. Dengan ini saksikanlah bahawa seluruh kafilah ini dengan muatannya kupersembahkan untuk fisabilillah.”

Dia juga pernah berkata, “Sungguh kulihat diriku, seandainya aku mengangkat batu nescaya kutemukan di bawahnya emas dan perak.”

Dia sering menangis dan berkata, “Sesungguhnya aku khuatir dipisahkan dari sahabat-sahabatku kerana kekayaanku yang melimpah.”
                                        
Justeru itu segala kekayaan yang ada dilaburkannya di jalan Allah. Sehingga pernah dikata orang: “Seluruh penduduk Madinah berserikat dengan Abdul Rahman bin Auf pada hartanya. Sepertiga dipinjamkan kepada mereka, sepertiga lagi dipergunakannya untuk membayar hutang-hutang mereka dan sepertiga sisanya diberikan dan dibahagikan kepada mereka.”

Dalam Al Quran ada menyebut:

Maksudnya: “Umpama orang yang menafkahkan hartanya kerana mengkehendaki keredhaan Allah dan menetapkan (keimanan) hatinya.” (Al Baqarah: 265)

KELAZIMAN SIKAP ORANG KAYA

Selalunya orang kaya Islam majoritinya apa yang berlaku di dalam sejarah, tidak bersyukur kepada Allah Taala dengan membuat perkara-perkara seperti di bawah ini:

1. Selalunya mendapatkan kekayaan tidak kira halal haram.
2. Sombong dengan manusia dan sombong juga dengan Tuhan.
3. Menjadi orang yang bakhil dan kedekut. Padahal Tuhan berfirman:

Maksudnya: “Hai orang yang beriman, nafkahkanlah sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepadamu sebelum tiba hari yang tidak ada jual beli pada hari itu, tidak ada persahabatan dan tidak ada pertolongan (yakni hari Kiamat). Dan orang-orang kafir itu adalah orang-orang yang aniaya.” (Al Baqarah: 254)

4. Menjadi orang yang tamak iaitu rasa tidak cukup. Firman Allah:

Maksudnya: “Orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakan kepada jalan Allah maka mereka itu akan ditimpa azab yang pedih.” (At Taubah: 14)

5. Lalai dengan Allah Taala serta cuai dengan syariat-Nya.
6. Tidak mahu mengeluarkan zakat.
7. Menyalahgunakan kekayaan dengan memberi rasuah kepada ahli politik yang berkuasa kerana hendakkan tender dan hendakkan projek-projek.
8. Apatah lagi hendak bertanggungjawab kepada keperluan-keperluan masyarakat yang aradhi sudah tentu tidak berlaku. Kalaupun ada bantuan dari mereka, ada udang di sebalik batu.

Sejarah menceritakan kisah Sa’labah bin Hatib yang asalnya miskin telah menjadi kaya raya setelah didoakan oleh Rasulullah SAW. Semasa dia miskin, setiap waktu Sa’labah bersembahyang jemaah dengan Rasulullah. Selesai sembahyang, Sa’labah bergegas pulang ke rumah kerana isterinya pula hendak sembahyang. Rupanya dia menanti pakaian yang dipakai oleh Sa’labah itu untuk dia memakainya pula. Begitulah miskinnya hidup mereka.

Sa’labah berkata kepada Rasulullah SAW, “Doakanlah kepada  Allah kiranya Dia memberikan aku rezeki harta. Jika aku mendapat kekayaan nescaya akan aku korbankan ke jalan Allah.”

Rasulullah SAW menjawab, “Harta sedikit yang engkau syukuri lebih baik daripada banyak harta tetapi engkau tidak mensyukurinya.”

Sa’labah rupanya tidak menerima nasihat Rasulullah yang nampak sifat tamak dan cinta dunia dalam hatinya itu. Sebab itulah Rasulullah menasihatinya bahawa hidup miskin itu lebih baik baginya. Tapi setelah berkali-kali Sa’labah meminta baginda mendoakannya, Rasulullah pun menunaikan permintaannya. Akhirnya Sa’labah menjadi kaya raya yang mana kambing-kambingnya berkembang biak memenuhi lembah antara dua buah bukit. Setelah kaya Sa’labah bukan saja mencuaikan sembahyang berjemaah dengan Rasulullah bahkan dia menjadi tamak dan kedekut. Janjinya kepada Rasulullah untuk mengorbankan hartanya tidak ditunaikan dan apabila turun perintah zakat, Sa’labah enggan membayarnya.

Begitu juga kisah Qarun yang semasa hidupnya miskin dia taat beribadah kepada Tuhan. Setelah dianugerahkan kepadanya ilmu membuat emas oleh Nabi Musa a.s., akhirnya Qarun menjadi kaya raya. Malangnya setelah kaya, Qarun menjadi sombong dan lupa asal usulnya. Dia tidak mahu mengeluarkan hartanya untuk kepentingan fakir miskin, tidak mahu membayar zakat dan lain-lain bahkan berfoya-foya dengan kekayaannya itu. Akhirnya Tuhan membenamkan Qarun berserta seluruh hartanya ke dalam bumi. Alangkah ruginya nasib orang yang terpesona dengan harta dunia yang sedikit hingga sanggup menempa azab yang maha pedih di Akhirat.

KEKAYAAN ILMU DAN PENGALAMAN

Ajaran Islam sangat menggalakkan kepada penganutnya menuntut ilmu sama ada ilmu dunia mahupun ilmu Akhirat.

Firman Allah SWT: Maksudnya: “Allah yang menciptakan tujuh langit dan tujuh bumi, seperti langit, turun berkali-kali perintah Allah antara langit dan bumi supaya engkau memperoleh ilmu, supaya kamu sekalian mempunyai ilmu, bahawa Allah itu kuasa atas segala sesuatu dan bahawa Allah sudah berilmu, sudah mengetahui segala sesuatu yang meliputi ilmu itu untuk segala sesuatu.” (At Talaq: 12)

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Keutamaan seorang yang berilmu pengetahuan ke atas seorang yang banyak ibadahnya, laksana keutamaanku ke atas serendah-rendah orang dari golongan Sahabatku.”

Mengapa Allah Taala menggalakkan umat Islam menguasai ilmu sama ada ilmu dunia dan Akhirat. Di antara hikmahnya ialah:

1. Agar mengenal Allah Taala dan boleh menyembah-Nya serta takut dengan-Nya kerana Dia berkuasa di atas kita.
2. Supaya umat Islam tidak buta ilmu agar dari ilmu berbagai-bagai maklumat boleh diketahui.
3. Agar umat Islam terpimpin dengan syariat-Nya di dalam seluruh kehidupannya dan berakhlak mulia.
4. Agar dengan ilmu dan pengalaman manusia boleh maju di dalam seluruh aspek kehidupan.
5. Agar umat Islam cinta dengan Akhirat dan mengutamakannya daripada dunia.
6. Agar umat Islam dengan ilmunya mudah menarik dan mempengaruhi orang yang bukan Islam masuk Islam.
7. Agar umat Islam dengan ilmu dan pengalamannya pandai mengendalikan urusan kehidupan hingga mudah dan senang menguruskannya.
8. Agar layak menjadi khalifah Allah Taala di bumi.
9. Agar dapat memimpin manusia ke jalan yang benar.

LUMRAH AHLI-AHLI ILMU

Allah Taala menginginkan kepada ahli ilmu agar menjadi seperti yang telah kita sebut di atas tadi. Tapi lumrah berlaku dalam sepanjang sejarah manusia, ahli-ahli ilmu adalah seperti berikut:

1. Sombong apabila menjadi ahli ilmu. Dengan ilmu bukan hendak merendah diri dengan Tuhan dan dengan manusia.
2. Menggunakan ilmu sebagai mencari kekayaan dunia atau pangkat untuk kepentingan diri sendiri.
3. Tidak pun rasa takut dengan Allah Taala, itulah secara majoritinya kecuali sedikit.
4. Ilmu yang dimiliki tidak pun dijadikan panduan hidup kecuali di aspek-aspek tertentu.
5. Dengan ilmu yang banyak tidak pun menarik orang yang bukan Islam masuk Islam kecuali sedikit sangat. Oleh kerana itulah masyarakat manusia cepat menjadi jahat kerana cendiakawannya jahat.
6. Ahli-ahli ilmu tidak pun menjadikan ilmu obor dalam kehidupan manusia. Sebab itulah masyarakat manusia cepat menjadi jahat.

KAYA DENGAN ANAK-ANAK

Islam menggalakkan penganut-penganutnya berkahwin, bahkan lelaki dibolehkan berkahwin sehingga empat isteri agar mendapat zuriat yang banyak. Rasulullah SAW berbangga dengan umatnya yang ramai. Kaya dengan anak ini dengan tujuan seperti berikut:

1. Untuk menghibur Rasulullah SAW, kerana Rasulullah SAW berbangga dengan umat atau pengikut yang ramai.
2. Agar zuriat yang ramai itu dapat dididik secara Islam, dengan itu wujudlah suatu masyarakat Islam yang kecil yang akan menjadi tapak kepada masyarakat Islam yang lebih besar.
3. Anak-anak yang ramai yang terdidik dengan Islam adalah menjadi aset dan tenaga pelapis menyambung perjuangan ibu dan bapa untuk mengembangkan ajaran Islam.
4. Agar dengan ramainya anak-anak, terdidik pula dengan ajaran Islam, akan memberi pahala yang banyak kepada dua ibu bapanya, bahkan berkekalan selepas wafat ibu bapanya.
5. Agar kita bersyukur kepada Allah Taala kerana anak-anak itu adalah cahaya mata yang merupakan nikmat daripada Allah Taala, dengan itu kita dapat pahala syukur.
6. Agar dengan anak-anak yang banyak terasa kebesaran dan kekuasaan Allah Taala, ia merupakan ayatullah.

Biasanya apa yang terjadi pada orang banyak anak:

1. Secara umum umat Islam sudah tidak mendidik anak-anaknya dengan didikan Islam. Oleh itu lahirlah anggota masyarakat yang menyusahkan ibu bapa dan menjadi perosak kepada agama, bangsa dan negara.
2. Ibu bapa menjadikan anak-anak aset untuk mendapatkan kekayaan dunia semata-mata.
3. Berbangga dan sombong dengan anak-anak yang banyak dan berjaya mendapat pangkat dan kekayaan dunia.
4. Tidak ada pun menjadi cita-cita ibu bapanya bahawa anak-anak yang ramai hendak dijadikan tenaga penyambung memperjuangkan Islam.
5. Tidak ada cita-cita hendak menjadikan anak-anak atau keluarga sebagai tapak masyarakat Islam.

KAYA DENGAN PENGIKUT

Bagi umat Islam yang ada ilmu, ada karisma memimpin akan terjadi nanti ada pengikut-pengikut atau orang ramai cenderung kepadanya. Maka jadilah ia pemimpin secara fitrah semula jadi dengan tujuan:

1. Boleh mempersatukan umat Islam dengan daya dan karisma pemimpin itu.
2. Agar mereka dapat dididik secara Islam supaya kelak akan menjadi masyarakat contoh untuk memudahkan orang lain mengikut.
3. Supaya mereka dapat dijadikan tenaga untuk memperjuangkan syariat Islam agar Islam bertambah luas dan dapat menegakkan Islam secara global.
4. Agar dengan tenaga pengikut itu dapat diasuh supaya dapat bertolong bantu, dapat menegakkan amal makruf nahi mungkar.

Biasanya terjadi kepada pemimpin terhadap pengikutnya yang ramai:

1. Pemimpin biasanya berbangga-bangga dan sombong dengan banyaknya pengikut.
2. Pengikut tidak diasuh dan dididik secara Islam bahkan dididik secara dunia atau sekular semata-mata.
3. Para pemimpin menggunakan tenaga pengikut yang ramai untuk kepentingan diri.
4. Tidak diajak mereka berjuang untuk mengembangkan ajaran Islam serta menegakkan Islam secara syumul di dalam kehidupan.
5. Bahkan terdapat pemimpin menggunakan tenaga pengikut menentang para pejuang menegakkan Islam di dalam kehidupan.

 KAYA JIWA

Orang yang kaya jiwa ialah orang yang kuat imannya, kental keyakinannya. Akhirat menjadi matlamat bahkan memang sentiasa ditunggu-tunggu. Terhadap dunia - ada dengan tiada, sama sahaja. Ada pun tidak menggugat jiwanya, tiada pun tidak menggugat jiwanya. Berasa puas apa yang ada. Banyak atau sedikit serupa sahaja. Dia rasa kaya dengan Tuhan. Harta kalau tidak ada, tidak menyusahkan jiwanya. Kalau ada pula, terhibur dengan memberi. Tidak memberi lebih susah hatinya, apabila memberi lapang hatinya. Tenang hatinya dengan ujian dan kesusahan, kecuali sedikit mengikut fitrah semula jadi.

Orang yang kaya hati atau jiwa itu orang yang tidak dapat digugat oleh dunianya, sama ada kesusahan yang menimpa mahupun kesenangan yang mendatang, kecuali yang bersifat fitrah semula jadi yang tidak mencacatkan. Dunianya di tangan bukan di hati. Orang yang kaya jiwa ini, dunianya tidak dapat melalaikannya. Bahkan kalau dunia ada di tangan, terhibur hatinya jika memberi, susah hati jika tidak memberi.

Orang yang kaya jiwa ini Allah Taala berfirman:

Maksudnya: “Tidak merasa takut dan tidak berdukacita.” (Yunus: 62)

Maksudnya: “Orang-orang Tuhan, dengan sebab mereka itulah manusia diberi bantuan, diberi rezeki, dijauhi daripada bala bencana.”

Orang yang kaya jiwa tidak rasa inferiority complex dengan orang kaya, raja, cerdik pandai, orang yang berkuasa dan lain-lain lagi. Orang-orang Tuhan ini, awas, jangan susahkan dia, Allah Taala akan turunkan bala. Kalau tidak jangka pendek, akan berlaku jangka panjang. Kalau mereka disusahkan, ya, mereka hamba Allah, mungkin mereka susah, untuk meninggikan darjat mereka di Akhirat. Tapi Allah Taala akan susahkan manusia yang menyusahkannya di dunia lagi. Contohnya para nabi dan rasul, kalau mereka disusahkan, memang mereka pun mendapat kesusahan seperti dibunuh, dipenjara, disingkir daripada negaranya, difitnah, diberi malu. Tetapi apa yang Allah telah lakukan kepada manusia yang menyusahkannya? Tidak perlu saya sebutkan di sini, bacalah sejarah mereka.

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Ulama itu racun, sesiapa yang memakannya, dia binasa.”

Orang yang kaya jiwa ini dengan dunia mudah sahaja. Kalau ada, mereka rasa tanggungjawab mereka kepada agama dan masyarakat amat berat kerana itulah mereka susah hati kalau mendapat kekayaan dunia. Ditakuti tidak boleh bertanggungjawab kepada masyarakat. Kalau dunia tiada di tangan, senang hati mereka kerana ringan tanggungjawab mereka di dunia ini. Orang yang kaya jiwa ini, kalau mereka kaya harta, ramai boleh menumpang sama kerana dia tidak terpengaruh dengan harta kekayaan yang dimilikinya. Fakir miskin terbela, orang susah dibantu, yang memerlukan diberi, yang meminta dikasihi, orang yang berhutang diselesaikan hutangnya.

Orang yang kaya jiwa kalau dia kaya, dia menjadi bank kepada masyarakatnya. Kalau ada orang lain yang mendapat kesenangan, dia dapat bersekutu bersama rasa senang itu. Kalau dia mendapat kesusahan, hatinya tidak pula susah kecuali sekadar fitrah semula jadi.

KAYA DENGAN BUDI BAHASA

Orang ini adalah kerana didorong oleh iman, maka akhlaknya mulia, lapang dada dengan kerenah manusia, mesra dengan orang, tetamu dimuliakan, kawan dijaga, pemurah dengan tenaga, harta, ilmu dan dengan senyuman, lemah lembut, pemaaf, mudah minta maaf, pemalu, bahasanya dijaga, sekali keluar bak mutiara penuh dengan ilmu dan penuh dengan hikmah. Dia senang dengan orang, orang senang dengan dia.

Jika ada orang yang hasad dengki atau menyusahkannya, dia mendoakannya dengan kebaikan. Dia tidak pernah gelisah dengan kejahatan orang. Orang yang menyusahkannya pula yang susah dan gelisah. Orang yang berbuat jahat dengannya pula yang tidak tenang. Orang yang menyusahkannya rasa gelisah di hadapannya, orang yang disusahkan tenang sahaja. Sebab itulah orang yang kaya dengan budi bahasa, ini kalau ada orang membuat salah kepadanya, orang itulah yang sangat terseksa kalau orang itu bertemu dengannya. Kalau boleh hendak dielak-elakkan daripada bertemu.

Orang yang kaya dengan budi bahasa itu tidak suka menyusahkan orang bahkan suka menghiburkan dengan bantuan dan pertolongan, suka menziarahi orang khususnya kawan-kawannya. Orang terhibur dengan keberadaannya walaupun orang malu dengannya. Suka memberi hadiah kepada orang terutama kawan-kawannya, sangat mengenang jasa orang, budi orang dibalas. Orang datang berziarah, dia senang menerimanya.

Orang yang kaya dengan budi bahasa ini senang berbincang dengannya, mudah berkira, boleh berlebih kurang, mudah berkawan, tidak pernah tidak menunaikan hajat orang. Kalau hajat orang tidak boleh ditunaikan, susah hatinya, mudah menolong orang, hutang orang kepadanya tidak pernah dimintanya.

KAYA DENGAN KAWAN DAN KENALAN

Biasanya orang ini suka bergaul dengan orang, jauh perjalanannya dan suka merantau. Maka terjadilah banyak kawan dan kenalan dan banyak juga pengalaman. Tujuan banyak kawan dan kenalan itu agar dapat belajar dengan pengalaman, yang baik diambil, yang buruk ditinggalkan. Yang baik dijadikan pengajaran, yang jahat dijadikan sempadan. Allah Taala ada berfirman:

Maksudnya: “Berjalanlah di atas muka bumi ini maka lihatlah bagaimana kesudahan orang yang berdusta.” (Ali Imran: 137)

Orang yang banyak kawan dan kenalan kenalah tunaikan hak-haknya. Apabila bertemu beri salam. Apabila diberi salam jawablah salamnya. Apabila dia susah, kenalah tolong. Apabila dijemput ke rumahnya kenalah pergi tunaikan jemputannya, kecuali kalau jemputan itu ada maksiat dan kemungkaran. Di waktu-waktu tertentu kenalah memberi hadiah. Di waktu kawan mendapat kesenangan, lahirkanlah sama rasa kegembiraan dan kesenangan itu.

Di waktu kawan mendapat kemalangan dan kesusahan, lahirkanlah rasa kesusahannya. Ertinya rasa kesusahan dan kesenangan bagi orang mukmin hendaklah dikongsi bersama. Berkirim-kirim salamlah dengan kawan-kawan. Di waktu agak sudah lama tidak bertemu, ziarahilah ke rumahnya dan bawalah buah tangan. Tujuannya ialah untuk mengekalkan kasih sayang. Di waktu kematiannya atau keluarganya, ziarahilah sebagai mengucapkan takziah.

Tapi apa yang biasanya berlaku, orang yang kaya kawan dan kenalan itu tidak mengikut syariat Islam. Dengan ramainya kawan dan kenalan, dia mengambil peluang meminta tolong selalu suka berhutang dengan kawan, ziarah kawan dengan tujuan menyusahkan kawan, tidak ada pun hendak bawa buah tangan, ziarah-menziarahi sudah tidak berlaku. Kebaikan kawan tidak ditiru dan kejahatannya dijaja merata-rata. Berkirim-kirim salam sudah tidak berlaku. Kesusahan kawan tidak pun ingin membantu.

Dia berfikiran biarlah kawan memikirkan kesusahannya. Bukannya dia hendak memikirkan kesusahan kawannya. Begitulah di akhir zaman ini berkawan tidak setia, berkenalan tidak jujur bahkan berkawan itu hanya sementara waktu, di waktu susah, di waktu berdagang, kerana berkawan di waktu itu amat perlukan bantuan. Selepas itu berkawan sudah tidak berlaku lagi.

Sebagai penutupnya, jarang umat Islam itu yang mendapat kekayaan di semua perkara, iaitu kaya harta, kaya ilmu, kaya anak, kaya pengikut, kaya jiwa, kaya budi bahasa, kaya kawan dan kenalan. Kalau ada orang yang mendapat semua kekayaan ini, dia adalah manusia luar biasa. Setengah orang itu kaya satu-satu perkara atau dua perkara atau tiga perkara, tidak lebih daripada itu. Kalau kita tidak boleh kaya di dalam semua perkara, carilah kekayaan ilmu dan pengalaman, kekayaan jiwa dan kekayaan budi bahasa. Ini sudah cukup untuk menjadi manusia yang berguna di dunia dan Akhirat.

MENCARI KEKAYAAN DUNIA BOLEH TIMBUL PERMUSUHAN

Perlu diingat bahawa mencari kekayaan harta dan wang ringgit selalunya terpaksa melalui pertarungan yang sengit. Selalu sahaja ada saingan, musuhnya banyak, selalu sahaja iri hati, hasad dengki, akhirnya membawa kepada permusuhan dan perkelahian. Bahkan bangsa-bangsa di dunia ingin menguasai politik dan ingin menguasai sesebuah negara dan sesuatu bangsa itu.

Dengan kata-kata yang lain, lahirnya penjajahan di antara satu bangsa ke atas bangsa yang lain atau penjajahan negara ke atas sesebuah negara yang lain, tujuannya tidak lain, melainkan kerana hendak merebut harta dan kekayaan atau menguasai ekonomi. Timbullah peperangan, penzaliman, diskriminasi, kelas-kelas masyarakat di kalangan manusia. Berlaku peperangan dunia yang pertama dan peperangan dunia kedua, hakikatnya kerana hendak berebut atau memonopoli kekayaan dunia.

Lalu lahirlah mala petaka besar kepada bangsa-bangsa di dunia, berlakulah kerosakan di atas muka bumi, terjadilah yang menjajah menjadi kaya, bangsa yang kena jajah, jatuh miskin. Kemudian akhirnya bangsa yang kena jajah bangun berjuang membebaskan tanahair masing-masing, pun secara umum ingin menguasai kekayaan negaranya supaya jangan selama-lamanya dikaut oleh penjajah.

Selama bangsa-bangsa di dunia berebut-rebut kekayaan harta dan wang ringgit menjadi matlamat, maka selama itulah dunia tidak akan aman. Bangsa-bangsa di dunia akan sentiasa bermusuhan di antara satu sama lain. Peperangan tidak akan habis-habis dan berkesudahan.

PERJUANGAN YANG PALING SELAMAT

Perjuangan yang paling selamat ialah memperjuangkan kekayaan ilmu, kekayaan budi bahasa dan kekayaan jiwa. Memperjuangkan kekayaan-kekayaan yang kita sebut itu membawa kepada keamanan, kasih sayang dan keharmonian. Memperjuangkan kekayaan ilmu, kekayaan budi bahasa dan kekayaan jiwa, semua manusia selamat. Berebutkan kekayaan ini tidak ada pertarungan, tidak ada jatuh-menjatuhkan, tidak ada peperangan. Ia berjalan dengan aman, kasih sayang, banyak kawan, bertolong bantu dan keharmonian.

Kalau bangsa-bangsa di dunia ini, kekayaan yang tiga itulah menjadi matlamat hidup dan lantas memperjuangkannya, alangkah indahnya dunia ini dan alangkah bahagianya manusia dan akan jadilah manusia laksana satu keluarga. Tidak ada agama di dunia ini dan juga tidak ada sebarang ideologi di dunia ini yang mengambil serta memperjuangkan kekayaan tiga perkara ini melainkan agama Islam sahaja. Tapi oleh kerana umat Islam jiwanya telah rosak, mereka mendapat didikan dari orang kafir khususnya bangsa-bangsa Barat, maka di waktu itu umat Islam tidak lagi menjadi matlamat memperjuangkan tiga kekayaan itu. Bahkan apa yang diperjuangkan oleh umat Islam hari ini ialah kekayaan harta dan wang ringgit. Maka sudah tidak ada lagi bezanya orang yang bukan Islam dengan orang Islam kecuali golongan yang sedikit.

Oleh itu tidak hairanlah masyarakat umat Islam tidak jauh beza dengan masyarakat orang bukan Islam. Apa sahaja gejala masyarakat atau penyakit masyarakat wujud di dalam masyarakat orang yang bukan Islam, itulah juga yang wujud di dalam masyarakat umat Islam. Kita hendak betulkan semula amat susah dan payah sekali kerana rintangan dan halangan itu datang daripada umat Islam sendiri. Wallahua'lam.

Bumi Tuhan... Bersaksilah