KEKAYAAN DAN FALSAFAHNYA


Assalam. Apa khabar? Kali ini perkongsian agak panjang. Selamat membaca:)

Apabila menyebut kekayaan atau kaya, yang cepat menangkap pada fikiran umum atau apa yang cepat teringat oleh kebanyakan orang ialah kekayaan harta dan wang ringgit. Kebanyakan orang tidak terfikir bahawa ada kekayaan-kekayaan yang lain. Kalaupun ada yang terfikir bahawa kekayaan itu bukan harta dan wang ringgit sahaja atau bukan semata-mata wang ringgit dan harta, tapi kekayaan bentuk lain itu kurang diminati atau kurang sangat diperkatakan dan dibualkan orang.

Ini menunjukkan di antara fitrah semula jadi manusia ialah ingin kaya atau kekayaan. Yang sangat menjadi tarikan dan minat ialah kekayaan harta dan wang ringgit. Ini menunjukkan kekayaan wang ringgit dan harta atau kekayaan mata benda dunia sangat mempengaruhi jiwa dan fikiran manusia.

Justeru itulah kita lihat di dalam pengalaman hidup manusia bahawa manusia itu bertungkus-lumus pagi dan petang, siang dan malam bekerja keras mencari kekayaan harta dan wang ringgit, bahkan mereka mencari ilmu, berkawan, bahkan adakalanya berkahwin pun adalah kerana dengan tujuan untuk mencari kekayaan harta dan wang ringgit. Begitulah pengaruh kekayaan wang ringgit dan harta kepada kebanyakan manusia.

BAHAGIAN KEKAYAAN

Yang sebenarnya kekayaan di dalam kehidupan manusia di dunia ini bukan kekayaan harta dan wang ringgit sahaja. Banyak lagi kekayaan lain yang jarang diperkatakan oleh manusia. Bahkan ada kekayaan yang lebih baik daripada wang ringgit dan harta. Di bawah ini kita akan senaraikan bahagian-bahagian kekayaan di dalam kehidupan manusia di dunia ini:




1. Kaya dengan wang ringgit dan harta
2. Kaya ilmu dan pengalaman
3. Kaya dengan anak-anak
4. Kaya dengan pengikut
5. Kaya jiwa
6. Kaya budi bahasa
7. Kaya dengan kawan dan kenalan

KEKAYAAN WANG RINGGIT DAN HARTA

Salah satu tarikan kepada manusia ialah kekayaan harta dan wang ringgit. Di sini ada dua golongan manusia; satu golongan mencari harta dengan yang halal semata-mata dan satu golongan lagi mencari harta tidak kira halal dan haram semuanya disapu belaka. Apa sahaja yang boleh mendatangkan kekayaan, dia buat sama ada dengan judi, tipu, menjual arak, rasuah, membuka rumah pelacuran, disko dan sebagainya.

Islam tidak melarang umatnya mencari kekayaan kerana ia sesuai dengan fitrah manusia itu tapi dengan beberapa syarat iaitu:

1. Hendaklah mencari kekayaan dengan cara halal.
2. Apabila kaya, cukup haul, hendaklah membayar zakat.
3. Hendaklah menjadi orang pemurah.
4. Hendaklah digunakan kekayaan itu kepada jalan Allah seperti membantu fakir miskin, membangunkan rumah ibadah atau tempat pendidikan, membantu orang berdakwah dan lain-lain lagi.
5. Jangan ada pembaziran dan membuang-buang harta tidak menentu.
6. Jangan digunakan untuk maksiat dan menderhakai Allah Taala.
7. Jangan mencari harta hingga meninggalkan perkara-perkara yang asas di dalam Islam seperti mengabaikan fardhu ain, jangan meninggalkan sembahyang, puasa, sampai masa hendaklah naik haji.
8. Kena tunaikan wajib yang aradhi seperti pada satu masa masyarakat Islam perlukan satu bangunan untuk pendidikan, masyarakat umum di kalangan umat Islam sudah tidak mampu lagi memberi derma kerana susahnya, maka orang yang kaya pada mereka adalah wajib aradhi membiayai bangunan itu kerana dia mampu.
9. Orang kaya mesti sanggup jadi bank kepada masyarakatnya. Hayati cerita di bawah:

Ummul Mukminin Aisyah r.a berkata bahawa dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Kulihat Abdul Rahman bin Auf masuk Syurga dengan merangkak.”

Sebahagian Sahabat menyampaikan cerita Aisyah itu kepada Abdul Rahman, lalu dia pun menemui Aisyah dan berkata: “Engkau telah memperingatkan aku suatu Hadis yang tak pernah kulupa akannya. Dengan ini saksikanlah bahawa seluruh kafilah ini dengan muatannya kupersembahkan untuk fisabilillah.”

Dia juga pernah berkata, “Sungguh kulihat diriku, seandainya aku mengangkat batu nescaya kutemukan di bawahnya emas dan perak.”

Dia sering menangis dan berkata, “Sesungguhnya aku khuatir dipisahkan dari sahabat-sahabatku kerana kekayaanku yang melimpah.”
                                        
Justeru itu segala kekayaan yang ada dilaburkannya di jalan Allah. Sehingga pernah dikata orang: “Seluruh penduduk Madinah berserikat dengan Abdul Rahman bin Auf pada hartanya. Sepertiga dipinjamkan kepada mereka, sepertiga lagi dipergunakannya untuk membayar hutang-hutang mereka dan sepertiga sisanya diberikan dan dibahagikan kepada mereka.”

Dalam Al Quran ada menyebut:

Maksudnya: “Umpama orang yang menafkahkan hartanya kerana mengkehendaki keredhaan Allah dan menetapkan (keimanan) hatinya.” (Al Baqarah: 265)

KELAZIMAN SIKAP ORANG KAYA

Selalunya orang kaya Islam majoritinya apa yang berlaku di dalam sejarah, tidak bersyukur kepada Allah Taala dengan membuat perkara-perkara seperti di bawah ini:

1. Selalunya mendapatkan kekayaan tidak kira halal haram.
2. Sombong dengan manusia dan sombong juga dengan Tuhan.
3. Menjadi orang yang bakhil dan kedekut. Padahal Tuhan berfirman:

Maksudnya: “Hai orang yang beriman, nafkahkanlah sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepadamu sebelum tiba hari yang tidak ada jual beli pada hari itu, tidak ada persahabatan dan tidak ada pertolongan (yakni hari Kiamat). Dan orang-orang kafir itu adalah orang-orang yang aniaya.” (Al Baqarah: 254)

4. Menjadi orang yang tamak iaitu rasa tidak cukup. Firman Allah:

Maksudnya: “Orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakan kepada jalan Allah maka mereka itu akan ditimpa azab yang pedih.” (At Taubah: 14)

5. Lalai dengan Allah Taala serta cuai dengan syariat-Nya.
6. Tidak mahu mengeluarkan zakat.
7. Menyalahgunakan kekayaan dengan memberi rasuah kepada ahli politik yang berkuasa kerana hendakkan tender dan hendakkan projek-projek.
8. Apatah lagi hendak bertanggungjawab kepada keperluan-keperluan masyarakat yang aradhi sudah tentu tidak berlaku. Kalaupun ada bantuan dari mereka, ada udang di sebalik batu.

Sejarah menceritakan kisah Sa’labah bin Hatib yang asalnya miskin telah menjadi kaya raya setelah didoakan oleh Rasulullah SAW. Semasa dia miskin, setiap waktu Sa’labah bersembahyang jemaah dengan Rasulullah. Selesai sembahyang, Sa’labah bergegas pulang ke rumah kerana isterinya pula hendak sembahyang. Rupanya dia menanti pakaian yang dipakai oleh Sa’labah itu untuk dia memakainya pula. Begitulah miskinnya hidup mereka.

Sa’labah berkata kepada Rasulullah SAW, “Doakanlah kepada  Allah kiranya Dia memberikan aku rezeki harta. Jika aku mendapat kekayaan nescaya akan aku korbankan ke jalan Allah.”

Rasulullah SAW menjawab, “Harta sedikit yang engkau syukuri lebih baik daripada banyak harta tetapi engkau tidak mensyukurinya.”

Sa’labah rupanya tidak menerima nasihat Rasulullah yang nampak sifat tamak dan cinta dunia dalam hatinya itu. Sebab itulah Rasulullah menasihatinya bahawa hidup miskin itu lebih baik baginya. Tapi setelah berkali-kali Sa’labah meminta baginda mendoakannya, Rasulullah pun menunaikan permintaannya. Akhirnya Sa’labah menjadi kaya raya yang mana kambing-kambingnya berkembang biak memenuhi lembah antara dua buah bukit. Setelah kaya Sa’labah bukan saja mencuaikan sembahyang berjemaah dengan Rasulullah bahkan dia menjadi tamak dan kedekut. Janjinya kepada Rasulullah untuk mengorbankan hartanya tidak ditunaikan dan apabila turun perintah zakat, Sa’labah enggan membayarnya.

Begitu juga kisah Qarun yang semasa hidupnya miskin dia taat beribadah kepada Tuhan. Setelah dianugerahkan kepadanya ilmu membuat emas oleh Nabi Musa a.s., akhirnya Qarun menjadi kaya raya. Malangnya setelah kaya, Qarun menjadi sombong dan lupa asal usulnya. Dia tidak mahu mengeluarkan hartanya untuk kepentingan fakir miskin, tidak mahu membayar zakat dan lain-lain bahkan berfoya-foya dengan kekayaannya itu. Akhirnya Tuhan membenamkan Qarun berserta seluruh hartanya ke dalam bumi. Alangkah ruginya nasib orang yang terpesona dengan harta dunia yang sedikit hingga sanggup menempa azab yang maha pedih di Akhirat.

KEKAYAAN ILMU DAN PENGALAMAN

Ajaran Islam sangat menggalakkan kepada penganutnya menuntut ilmu sama ada ilmu dunia mahupun ilmu Akhirat.

Firman Allah SWT: Maksudnya: “Allah yang menciptakan tujuh langit dan tujuh bumi, seperti langit, turun berkali-kali perintah Allah antara langit dan bumi supaya engkau memperoleh ilmu, supaya kamu sekalian mempunyai ilmu, bahawa Allah itu kuasa atas segala sesuatu dan bahawa Allah sudah berilmu, sudah mengetahui segala sesuatu yang meliputi ilmu itu untuk segala sesuatu.” (At Talaq: 12)

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Keutamaan seorang yang berilmu pengetahuan ke atas seorang yang banyak ibadahnya, laksana keutamaanku ke atas serendah-rendah orang dari golongan Sahabatku.”

Mengapa Allah Taala menggalakkan umat Islam menguasai ilmu sama ada ilmu dunia dan Akhirat. Di antara hikmahnya ialah:

1. Agar mengenal Allah Taala dan boleh menyembah-Nya serta takut dengan-Nya kerana Dia berkuasa di atas kita.
2. Supaya umat Islam tidak buta ilmu agar dari ilmu berbagai-bagai maklumat boleh diketahui.
3. Agar umat Islam terpimpin dengan syariat-Nya di dalam seluruh kehidupannya dan berakhlak mulia.
4. Agar dengan ilmu dan pengalaman manusia boleh maju di dalam seluruh aspek kehidupan.
5. Agar umat Islam cinta dengan Akhirat dan mengutamakannya daripada dunia.
6. Agar umat Islam dengan ilmunya mudah menarik dan mempengaruhi orang yang bukan Islam masuk Islam.
7. Agar umat Islam dengan ilmu dan pengalamannya pandai mengendalikan urusan kehidupan hingga mudah dan senang menguruskannya.
8. Agar layak menjadi khalifah Allah Taala di bumi.
9. Agar dapat memimpin manusia ke jalan yang benar.

LUMRAH AHLI-AHLI ILMU

Allah Taala menginginkan kepada ahli ilmu agar menjadi seperti yang telah kita sebut di atas tadi. Tapi lumrah berlaku dalam sepanjang sejarah manusia, ahli-ahli ilmu adalah seperti berikut:

1. Sombong apabila menjadi ahli ilmu. Dengan ilmu bukan hendak merendah diri dengan Tuhan dan dengan manusia.
2. Menggunakan ilmu sebagai mencari kekayaan dunia atau pangkat untuk kepentingan diri sendiri.
3. Tidak pun rasa takut dengan Allah Taala, itulah secara majoritinya kecuali sedikit.
4. Ilmu yang dimiliki tidak pun dijadikan panduan hidup kecuali di aspek-aspek tertentu.
5. Dengan ilmu yang banyak tidak pun menarik orang yang bukan Islam masuk Islam kecuali sedikit sangat. Oleh kerana itulah masyarakat manusia cepat menjadi jahat kerana cendiakawannya jahat.
6. Ahli-ahli ilmu tidak pun menjadikan ilmu obor dalam kehidupan manusia. Sebab itulah masyarakat manusia cepat menjadi jahat.

KAYA DENGAN ANAK-ANAK

Islam menggalakkan penganut-penganutnya berkahwin, bahkan lelaki dibolehkan berkahwin sehingga empat isteri agar mendapat zuriat yang banyak. Rasulullah SAW berbangga dengan umatnya yang ramai. Kaya dengan anak ini dengan tujuan seperti berikut:

1. Untuk menghibur Rasulullah SAW, kerana Rasulullah SAW berbangga dengan umat atau pengikut yang ramai.
2. Agar zuriat yang ramai itu dapat dididik secara Islam, dengan itu wujudlah suatu masyarakat Islam yang kecil yang akan menjadi tapak kepada masyarakat Islam yang lebih besar.
3. Anak-anak yang ramai yang terdidik dengan Islam adalah menjadi aset dan tenaga pelapis menyambung perjuangan ibu dan bapa untuk mengembangkan ajaran Islam.
4. Agar dengan ramainya anak-anak, terdidik pula dengan ajaran Islam, akan memberi pahala yang banyak kepada dua ibu bapanya, bahkan berkekalan selepas wafat ibu bapanya.
5. Agar kita bersyukur kepada Allah Taala kerana anak-anak itu adalah cahaya mata yang merupakan nikmat daripada Allah Taala, dengan itu kita dapat pahala syukur.
6. Agar dengan anak-anak yang banyak terasa kebesaran dan kekuasaan Allah Taala, ia merupakan ayatullah.

Biasanya apa yang terjadi pada orang banyak anak:

1. Secara umum umat Islam sudah tidak mendidik anak-anaknya dengan didikan Islam. Oleh itu lahirlah anggota masyarakat yang menyusahkan ibu bapa dan menjadi perosak kepada agama, bangsa dan negara.
2. Ibu bapa menjadikan anak-anak aset untuk mendapatkan kekayaan dunia semata-mata.
3. Berbangga dan sombong dengan anak-anak yang banyak dan berjaya mendapat pangkat dan kekayaan dunia.
4. Tidak ada pun menjadi cita-cita ibu bapanya bahawa anak-anak yang ramai hendak dijadikan tenaga penyambung memperjuangkan Islam.
5. Tidak ada cita-cita hendak menjadikan anak-anak atau keluarga sebagai tapak masyarakat Islam.

KAYA DENGAN PENGIKUT

Bagi umat Islam yang ada ilmu, ada karisma memimpin akan terjadi nanti ada pengikut-pengikut atau orang ramai cenderung kepadanya. Maka jadilah ia pemimpin secara fitrah semula jadi dengan tujuan:

1. Boleh mempersatukan umat Islam dengan daya dan karisma pemimpin itu.
2. Agar mereka dapat dididik secara Islam supaya kelak akan menjadi masyarakat contoh untuk memudahkan orang lain mengikut.
3. Supaya mereka dapat dijadikan tenaga untuk memperjuangkan syariat Islam agar Islam bertambah luas dan dapat menegakkan Islam secara global.
4. Agar dengan tenaga pengikut itu dapat diasuh supaya dapat bertolong bantu, dapat menegakkan amal makruf nahi mungkar.

Biasanya terjadi kepada pemimpin terhadap pengikutnya yang ramai:

1. Pemimpin biasanya berbangga-bangga dan sombong dengan banyaknya pengikut.
2. Pengikut tidak diasuh dan dididik secara Islam bahkan dididik secara dunia atau sekular semata-mata.
3. Para pemimpin menggunakan tenaga pengikut yang ramai untuk kepentingan diri.
4. Tidak diajak mereka berjuang untuk mengembangkan ajaran Islam serta menegakkan Islam secara syumul di dalam kehidupan.
5. Bahkan terdapat pemimpin menggunakan tenaga pengikut menentang para pejuang menegakkan Islam di dalam kehidupan.

 KAYA JIWA

Orang yang kaya jiwa ialah orang yang kuat imannya, kental keyakinannya. Akhirat menjadi matlamat bahkan memang sentiasa ditunggu-tunggu. Terhadap dunia - ada dengan tiada, sama sahaja. Ada pun tidak menggugat jiwanya, tiada pun tidak menggugat jiwanya. Berasa puas apa yang ada. Banyak atau sedikit serupa sahaja. Dia rasa kaya dengan Tuhan. Harta kalau tidak ada, tidak menyusahkan jiwanya. Kalau ada pula, terhibur dengan memberi. Tidak memberi lebih susah hatinya, apabila memberi lapang hatinya. Tenang hatinya dengan ujian dan kesusahan, kecuali sedikit mengikut fitrah semula jadi.

Orang yang kaya hati atau jiwa itu orang yang tidak dapat digugat oleh dunianya, sama ada kesusahan yang menimpa mahupun kesenangan yang mendatang, kecuali yang bersifat fitrah semula jadi yang tidak mencacatkan. Dunianya di tangan bukan di hati. Orang yang kaya jiwa ini, dunianya tidak dapat melalaikannya. Bahkan kalau dunia ada di tangan, terhibur hatinya jika memberi, susah hati jika tidak memberi.

Orang yang kaya jiwa ini Allah Taala berfirman:

Maksudnya: “Tidak merasa takut dan tidak berdukacita.” (Yunus: 62)

Maksudnya: “Orang-orang Tuhan, dengan sebab mereka itulah manusia diberi bantuan, diberi rezeki, dijauhi daripada bala bencana.”

Orang yang kaya jiwa tidak rasa inferiority complex dengan orang kaya, raja, cerdik pandai, orang yang berkuasa dan lain-lain lagi. Orang-orang Tuhan ini, awas, jangan susahkan dia, Allah Taala akan turunkan bala. Kalau tidak jangka pendek, akan berlaku jangka panjang. Kalau mereka disusahkan, ya, mereka hamba Allah, mungkin mereka susah, untuk meninggikan darjat mereka di Akhirat. Tapi Allah Taala akan susahkan manusia yang menyusahkannya di dunia lagi. Contohnya para nabi dan rasul, kalau mereka disusahkan, memang mereka pun mendapat kesusahan seperti dibunuh, dipenjara, disingkir daripada negaranya, difitnah, diberi malu. Tetapi apa yang Allah telah lakukan kepada manusia yang menyusahkannya? Tidak perlu saya sebutkan di sini, bacalah sejarah mereka.

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Ulama itu racun, sesiapa yang memakannya, dia binasa.”

Orang yang kaya jiwa ini dengan dunia mudah sahaja. Kalau ada, mereka rasa tanggungjawab mereka kepada agama dan masyarakat amat berat kerana itulah mereka susah hati kalau mendapat kekayaan dunia. Ditakuti tidak boleh bertanggungjawab kepada masyarakat. Kalau dunia tiada di tangan, senang hati mereka kerana ringan tanggungjawab mereka di dunia ini. Orang yang kaya jiwa ini, kalau mereka kaya harta, ramai boleh menumpang sama kerana dia tidak terpengaruh dengan harta kekayaan yang dimilikinya. Fakir miskin terbela, orang susah dibantu, yang memerlukan diberi, yang meminta dikasihi, orang yang berhutang diselesaikan hutangnya.

Orang yang kaya jiwa kalau dia kaya, dia menjadi bank kepada masyarakatnya. Kalau ada orang lain yang mendapat kesenangan, dia dapat bersekutu bersama rasa senang itu. Kalau dia mendapat kesusahan, hatinya tidak pula susah kecuali sekadar fitrah semula jadi.

KAYA DENGAN BUDI BAHASA

Orang ini adalah kerana didorong oleh iman, maka akhlaknya mulia, lapang dada dengan kerenah manusia, mesra dengan orang, tetamu dimuliakan, kawan dijaga, pemurah dengan tenaga, harta, ilmu dan dengan senyuman, lemah lembut, pemaaf, mudah minta maaf, pemalu, bahasanya dijaga, sekali keluar bak mutiara penuh dengan ilmu dan penuh dengan hikmah. Dia senang dengan orang, orang senang dengan dia.

Jika ada orang yang hasad dengki atau menyusahkannya, dia mendoakannya dengan kebaikan. Dia tidak pernah gelisah dengan kejahatan orang. Orang yang menyusahkannya pula yang susah dan gelisah. Orang yang berbuat jahat dengannya pula yang tidak tenang. Orang yang menyusahkannya rasa gelisah di hadapannya, orang yang disusahkan tenang sahaja. Sebab itulah orang yang kaya dengan budi bahasa, ini kalau ada orang membuat salah kepadanya, orang itulah yang sangat terseksa kalau orang itu bertemu dengannya. Kalau boleh hendak dielak-elakkan daripada bertemu.

Orang yang kaya dengan budi bahasa itu tidak suka menyusahkan orang bahkan suka menghiburkan dengan bantuan dan pertolongan, suka menziarahi orang khususnya kawan-kawannya. Orang terhibur dengan keberadaannya walaupun orang malu dengannya. Suka memberi hadiah kepada orang terutama kawan-kawannya, sangat mengenang jasa orang, budi orang dibalas. Orang datang berziarah, dia senang menerimanya.

Orang yang kaya dengan budi bahasa ini senang berbincang dengannya, mudah berkira, boleh berlebih kurang, mudah berkawan, tidak pernah tidak menunaikan hajat orang. Kalau hajat orang tidak boleh ditunaikan, susah hatinya, mudah menolong orang, hutang orang kepadanya tidak pernah dimintanya.

KAYA DENGAN KAWAN DAN KENALAN

Biasanya orang ini suka bergaul dengan orang, jauh perjalanannya dan suka merantau. Maka terjadilah banyak kawan dan kenalan dan banyak juga pengalaman. Tujuan banyak kawan dan kenalan itu agar dapat belajar dengan pengalaman, yang baik diambil, yang buruk ditinggalkan. Yang baik dijadikan pengajaran, yang jahat dijadikan sempadan. Allah Taala ada berfirman:

Maksudnya: “Berjalanlah di atas muka bumi ini maka lihatlah bagaimana kesudahan orang yang berdusta.” (Ali Imran: 137)

Orang yang banyak kawan dan kenalan kenalah tunaikan hak-haknya. Apabila bertemu beri salam. Apabila diberi salam jawablah salamnya. Apabila dia susah, kenalah tolong. Apabila dijemput ke rumahnya kenalah pergi tunaikan jemputannya, kecuali kalau jemputan itu ada maksiat dan kemungkaran. Di waktu-waktu tertentu kenalah memberi hadiah. Di waktu kawan mendapat kesenangan, lahirkanlah sama rasa kegembiraan dan kesenangan itu.

Di waktu kawan mendapat kemalangan dan kesusahan, lahirkanlah rasa kesusahannya. Ertinya rasa kesusahan dan kesenangan bagi orang mukmin hendaklah dikongsi bersama. Berkirim-kirim salamlah dengan kawan-kawan. Di waktu agak sudah lama tidak bertemu, ziarahilah ke rumahnya dan bawalah buah tangan. Tujuannya ialah untuk mengekalkan kasih sayang. Di waktu kematiannya atau keluarganya, ziarahilah sebagai mengucapkan takziah.

Tapi apa yang biasanya berlaku, orang yang kaya kawan dan kenalan itu tidak mengikut syariat Islam. Dengan ramainya kawan dan kenalan, dia mengambil peluang meminta tolong selalu suka berhutang dengan kawan, ziarah kawan dengan tujuan menyusahkan kawan, tidak ada pun hendak bawa buah tangan, ziarah-menziarahi sudah tidak berlaku. Kebaikan kawan tidak ditiru dan kejahatannya dijaja merata-rata. Berkirim-kirim salam sudah tidak berlaku. Kesusahan kawan tidak pun ingin membantu.

Dia berfikiran biarlah kawan memikirkan kesusahannya. Bukannya dia hendak memikirkan kesusahan kawannya. Begitulah di akhir zaman ini berkawan tidak setia, berkenalan tidak jujur bahkan berkawan itu hanya sementara waktu, di waktu susah, di waktu berdagang, kerana berkawan di waktu itu amat perlukan bantuan. Selepas itu berkawan sudah tidak berlaku lagi.

Sebagai penutupnya, jarang umat Islam itu yang mendapat kekayaan di semua perkara, iaitu kaya harta, kaya ilmu, kaya anak, kaya pengikut, kaya jiwa, kaya budi bahasa, kaya kawan dan kenalan. Kalau ada orang yang mendapat semua kekayaan ini, dia adalah manusia luar biasa. Setengah orang itu kaya satu-satu perkara atau dua perkara atau tiga perkara, tidak lebih daripada itu. Kalau kita tidak boleh kaya di dalam semua perkara, carilah kekayaan ilmu dan pengalaman, kekayaan jiwa dan kekayaan budi bahasa. Ini sudah cukup untuk menjadi manusia yang berguna di dunia dan Akhirat.

MENCARI KEKAYAAN DUNIA BOLEH TIMBUL PERMUSUHAN

Perlu diingat bahawa mencari kekayaan harta dan wang ringgit selalunya terpaksa melalui pertarungan yang sengit. Selalu sahaja ada saingan, musuhnya banyak, selalu sahaja iri hati, hasad dengki, akhirnya membawa kepada permusuhan dan perkelahian. Bahkan bangsa-bangsa di dunia ingin menguasai politik dan ingin menguasai sesebuah negara dan sesuatu bangsa itu.

Dengan kata-kata yang lain, lahirnya penjajahan di antara satu bangsa ke atas bangsa yang lain atau penjajahan negara ke atas sesebuah negara yang lain, tujuannya tidak lain, melainkan kerana hendak merebut harta dan kekayaan atau menguasai ekonomi. Timbullah peperangan, penzaliman, diskriminasi, kelas-kelas masyarakat di kalangan manusia. Berlaku peperangan dunia yang pertama dan peperangan dunia kedua, hakikatnya kerana hendak berebut atau memonopoli kekayaan dunia.

Lalu lahirlah mala petaka besar kepada bangsa-bangsa di dunia, berlakulah kerosakan di atas muka bumi, terjadilah yang menjajah menjadi kaya, bangsa yang kena jajah, jatuh miskin. Kemudian akhirnya bangsa yang kena jajah bangun berjuang membebaskan tanahair masing-masing, pun secara umum ingin menguasai kekayaan negaranya supaya jangan selama-lamanya dikaut oleh penjajah.

Selama bangsa-bangsa di dunia berebut-rebut kekayaan harta dan wang ringgit menjadi matlamat, maka selama itulah dunia tidak akan aman. Bangsa-bangsa di dunia akan sentiasa bermusuhan di antara satu sama lain. Peperangan tidak akan habis-habis dan berkesudahan.

PERJUANGAN YANG PALING SELAMAT

Perjuangan yang paling selamat ialah memperjuangkan kekayaan ilmu, kekayaan budi bahasa dan kekayaan jiwa. Memperjuangkan kekayaan-kekayaan yang kita sebut itu membawa kepada keamanan, kasih sayang dan keharmonian. Memperjuangkan kekayaan ilmu, kekayaan budi bahasa dan kekayaan jiwa, semua manusia selamat. Berebutkan kekayaan ini tidak ada pertarungan, tidak ada jatuh-menjatuhkan, tidak ada peperangan. Ia berjalan dengan aman, kasih sayang, banyak kawan, bertolong bantu dan keharmonian.

Kalau bangsa-bangsa di dunia ini, kekayaan yang tiga itulah menjadi matlamat hidup dan lantas memperjuangkannya, alangkah indahnya dunia ini dan alangkah bahagianya manusia dan akan jadilah manusia laksana satu keluarga. Tidak ada agama di dunia ini dan juga tidak ada sebarang ideologi di dunia ini yang mengambil serta memperjuangkan kekayaan tiga perkara ini melainkan agama Islam sahaja. Tapi oleh kerana umat Islam jiwanya telah rosak, mereka mendapat didikan dari orang kafir khususnya bangsa-bangsa Barat, maka di waktu itu umat Islam tidak lagi menjadi matlamat memperjuangkan tiga kekayaan itu. Bahkan apa yang diperjuangkan oleh umat Islam hari ini ialah kekayaan harta dan wang ringgit. Maka sudah tidak ada lagi bezanya orang yang bukan Islam dengan orang Islam kecuali golongan yang sedikit.

Oleh itu tidak hairanlah masyarakat umat Islam tidak jauh beza dengan masyarakat orang bukan Islam. Apa sahaja gejala masyarakat atau penyakit masyarakat wujud di dalam masyarakat orang yang bukan Islam, itulah juga yang wujud di dalam masyarakat umat Islam. Kita hendak betulkan semula amat susah dan payah sekali kerana rintangan dan halangan itu datang daripada umat Islam sendiri. Wallahua'lam.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah