Amal Kita Belum Tahu

Kalau engkau hendak menasihati orang,
tanyalah hati engkau dahulu.
Tujuan nasihatkah atau hendak memberi malu.
Jika engkau baca hati engkau tentu engkau tahu.
Apabila engkau hendak memberi ilmu kepada orang, apakah tujuan engkau?
Engkau tentu tahu.
Untuk berkongsi ilmu atau hendak memberitahu yang engkau lebih tahu.
Kalau engkau hendak bercakap tentang sesuatu, niat engkau tentu engkau yang tahu.
Hendak menunjuk engkau pandai atau berkewajipan menyampaikan ilmu.
Ingatlah, pahala sesuatu amal ditentukan oleh ikhlasnya.
Kalau bukan tujuan kerana Allah, untuk Allah, amalan itu hanya macam debu sahaja.
Bukan pahala yang dapat tapi bala.
Oleh itu, menangislah selalu.
Amal kita belum tahu, apakah ia diterima atau sebaliknya.
Kalau ditolak, Nerakalah jawabnya. 


MADAH baru 262



*M516* 
Jadikan ziarah sebagai budaya, bukalah pintu rumah kita untuk tetamu, mencari ilmu dan pengalaman sebagai amalan.


*M517*
Keindahan pemuda itu cergas, tangkas dan mengikut kata-kata, keindahan wanita itu pemalu, sopan santun dan pandai menjaga rumah tangga.


*M518*
Untuk membangunkan dunia dan tamadunnya tidak perlu kedatangan para rasul dan para nabi. Kalau hendak membangunkan akhlak manusia, di sinilah perlunya Allah utuskan para rasul dan para nabi as dan orang yang menyambung perjuangannya.


*M519*
Banyak orang memikirkan, janganlah orang lain mengganggu dan menyusahkan dirinya. Dia lupa yang dia juga jenis orang juga, pun tidak kurang menyusah dan mengganggu orang lain. Cuma ia tidak disedari kerana yang menyusahkan orang itu ialah perangai kita, perangai kita mana kita sedari. Patutnya setiap orang berfikir agar jangan mengganggu orang lain.


*M520*
Kalau kita berilmu beramallah. 
Kalau kita berkuasa, adillah. Kalau kita kaya, pemurahlah.
Kalau kita pengawal keselamatan, berjaga-jaga dan mengawallah, jangan menindas.
Kalau kita guru, mendidiklah. 
Kalau kita ulama, jadi contoh dan menasihatilah.  
Kalau kita muda remaja, bertenagalah. 
Kalau kita pemudi, malulah dan jaga maruah diri.

Buatlah kebaikan untuk kehidupan Akhirat



Di dalam Al Quran disebut, 
Tuhan jadikan mati dan hidup 
untuk menguji manusia siapakah di kalangan mereka yang baik amalannya.
Tuhan sebut mati lebih dahulu daripada hidup.
Memikirkan selepas mati lebih utama daripada masa hidup.
Di masa hidup kenalah membuat amalan baik agar selamat selepas mati.
Oleh itu bagaimana pun status kita di dunia, 
yang penting membuat baik.
Selepas beriman kenalah membuat baik sesama manusia atau makhluk.
Membuat baik itulah kebahagian kita manusia di Akhirat kelak.
Tidak salah menjadi kaya tapi kenalah membuat baik.
Tidak mengapa berkuasa dan menjadi raja, yang penting membuat baik kepada manusia.
Tidak ada masalah menjadi pandai tapi kenalah membuat baik sesama.
Buatlah kemajuan sejauh yang termungkin. 
Tujuan kerana hendak buat baik, bukan kerana megah dan nama.
Kalau ada orang memilih hidup miskin bukan pula satu kesalahan.
Kalau miskin itu dia boleh membuat baik.
Membuat baik di sini mengikut disiplin Tuhan bukan disiplin buatan.
Dunia dan bumi ini adalah kepunyaan Tuhan bukan kepunyaan manusia.
Kenalah ikut disiplin Tuhan bukan disiplin manusia.
Manusia juga kepunyaan Tuhan.
Di sini fahamlah kita, baik yang dimaksudkan cara Tuhan.
Bukan baik secara manusia yang maksudkan.
Siapa menganggap kebaikan ini secara manusia, menuduh Tuhan tidak pandai memberi panduan kebaikan, dia tidak beradab dengan Tuhan.
Tidak beradab dengan Tuhan ertinya derhaka dengan Tuhan.
Haraplah semua manusia mengambil perhatian.
Agar kebaikan itu diiktiraf oleh Tuhan.
Sekianlah penjelasan mengikut Tuhan. 


MADAH baru 261



*M511*
Siapa yang menganggap sanjungan dan pujian itu merosakkan dirinya, kejian dan kata nista daripada manusia itu membaiki dirinya, insya-Allah dia akan selamat daripada sifat mazmumah yang merbahaya.


*M512*
Jangan selalu termenung, jiwa akan kosong, janganlah berangan-angan ingin mendapatkan itu dan ini, ia sepertilah kita mendapat sesuatu di dalam mimpi.
  

*M513*
Apabila pergi ke sekolah rasa terseksa, balik ke rumah terasa neraka, berkawan ukhuwah tiada, bergaul tengah masyarakat nafsi-nafsi sahaja, kalau iman tidak kuat, sakit jiwa dan kecewa, boleh membawa putus asa.


*M514*
Manusia ini, apabila tuntutan fitrahnya tidak terisi, kalau iman tidak ada, pasti ditimpa sakit jiwa atau kegelisahan jiwa, mudah  kecewa, boleh membawa putus asa.


*M515*
Secara *umumnya* orang lelaki suka menunjuk-nunjuk kekuatan dan kehebatan, orang perempuan suka menunjuk-nunjuk kecantikan dan perhiasannya.

Masa Berjalan Begitu Laju



Masa berjalan begitu laju.
Tidak pernah berhenti walaupun sedetik.
Ertinya begitu laju umur kita pergi.
Setiap detik umur kita meninggalkan kita.
Kalau begitu setiap detik umur kita berkurang.
Tapi kita tidak terasa.
Setiap detik dunia meninggalkan kita jauh.
Setiap detik pula Akhirat mendekati kita.
Kalaulah kita cintakan dunia,
apa yang kita cinta makin jauh terpisah.
Sedangkan Tuhan dan Akhirat tidak pernah kita cinta makin dekat.
Alangkah terseksanya jiwa.
Meninggalkan apa yang disuka dan dicinta.
Bertambah terseksa lagi yang di hadapan kita tidak pernah kita cinta.
Ertinya kita pergi ke Akhirat tidak membawa apa-apa.
Yang kita cinta hendak ditinggalkan, yang tidak dicinta akan berhadapan.
Aduh, dua kali penderitaan.
Meninggalkan yang kita cinta, hendak bertemu dengan yang tidak kita cinta.
Ingatlah, roda umur kita makin laju ke hadapan.
Dunia dan yang kita cinta makin jauh kita tinggalkan.
Tidak terfikirkah oleh kita apakah yang hendak kita bawa.
Untuk satu kehidupan yang begitu lama. 


MADAH baru 260


*M506*
Kalau kita hendak tahu diri kita itu wira atau orang lemah jiwa, cuba laksanakan yang nafsu tidak suka dan tinggalkan yang nafsu suka, dengan kata-kata lain, buat apa yang kita tidak suka, tinggalkan apa yang kita suka.


*M507*
Orang yang lemah jiwa walaupun pandai dan ada kedudukan, mereka akan berubah oleh situasi masyarakatnya, orang yang kuat jiwanya, mereka mengubah situasi masyarakatnya.


*M508*
Kalau kita suka meminta-minta, akan berlaku kepada kita,
pertama: maruah kita jatuh,
kedua: hilang wibawa,
ketiga: orang kurang percaya kepada kita,
keempat: kalau orang tidak beri, kita kecewa atau hati kita cacat dengannya,
kelima: kita terhutang budi kepadanya,
keenam: kita akan jadi orang yang malas bekerja,
ketujuh: hilang kemerdekaan kita,
kelapan: kita tidak suka memberi yang menghilangkan kesenangan kita,
kesembilan: kalau orang itu membuat salah, kita menjadi serba salah untuk menasihatkannya,
kesepuluh: kalau orang benci dengan sikap kita, mereka tidak mahu memberi lagi, kita akan susah kerana tidak biasa bekerja,
kesebelas: orang benci dengan kita.


*M509*
Di antara kerosakan yang berlaku di dunia ini ialah banyak orang suka dipuji, kalau tidak dipuji dia menderita, begitu pula banyak orang yang suka memuji, kerana mengharapkan sesuatu darinya, setengahnya dapatlah habuan hasil pujian, bukan hasil kepandaian dan kejujurannya.


*M510*
Janganlah mabuk dengan kejayaan,
janganlah mabuk dengan sanjungan dan pujian,
janganlah mabuk dengan nama dan bintang kehormatan,
ingatlah apakah Allah akan menyanjung?
Apakah Allah akan memuji, padahal kita akan mati?
Apakah segala kemegahan kita di dunia itu, boleh menyelamatkan kita daripada api Neraka yang sangat ngeri? 

 

Manusia Yang Paling Malang



Orang yang paling malang, orang yang kehilangan segala-galanya.
Kehilangan Tuhan, tidak ada harta, tidak ada pangkat, tidak ada nama, tidak ada keluarga.
Dia kehilangan sesuatu yang bersifat rohani dan yang bersifat maddi.
Yang bersifat rohani yang dimaksudkan, jiwanya atau rohaniahnya kosong.
Orang ini miskin lahir dan batin.
Sepanjang umur hidupnya di dalam kesengsaraan.
Kesengsaraan lahirnya dan penderitaan batinnya.
Orang semacam ini kehidupannya sudah tentu tidak terurus.
Fikirannya berserabut, jiwanya menderita, lara, keluh-kesah dan gelisah.
Dia kehilangan tempat berpaut secara ghaib dan secara lahir.
Kehilangan sandaran yang bersifat ghaib dan zahir.
Kehilangan segala-galanya di dunia lebih-lebih lagi kehilangan Tuhan, di dunia sudah menderita, tidak bahagia.
Lebih malang lagi hidup di Akhirat tempatnya di Neraka, wal'iyazubillah
Tidak mengapalah kehilangan segala-galanya yang bersifat dunia.
Janganlah kehilangan Tuhan yang Dia adalah segala-galanya
Tidak dapat mencari dunia tidak mengapalah.
Jangan pula sampai tidak dapat mencari Tuhan.
Dia adalah kebahagiaan dunia dan Akhirat.
Carilah Tuhan dan dapatkan-Nya, tidak mengapa kehilangan dunia.
Janganlah dapat dunia sampai kehilangan Tuhan.
Yang paling malang kehilangan Tuhan dan dunia.
Dia akan jadi orang yang celaka dunia Akhirat.
 

MADAH baru 259


*M501*
Seorang yang cerdik dan pandai tapi jiwanya rosak iaitu dirosakkan oleh sifat sombong, megah, pemarah, dendam, hasad, tamak, bakhil, ingin pujian, kerosakan yang dibuat lebih banyak daripada kebaikan, tapi kebanyakan orang tidak nampak, justeru dia lakukan dengan penuh bijaksana, orang yang cerdik dan pandai saja yang nampak.


*M502*
Tanda seseorang itu jiwanya lemah sama ada mukanya selalu muram (murung/tidak ceria) atau dia menjadi orang yang emosional, selalunya di dalam perjuangan, orang ini bila kena tekan oleh musuh, dia akan buka rahsia, dia menyesal dan kesal serta kecewa dan putus asa.


*M503*
Alangkah ruginya orang yang berjuang menegakkan kebenaran bertahun-tahun lamanya kemudian justeru ujian yang ditimpakan kepadanya dia tidak tahan kemudian dia rasa kesal dan menyesal, lebih-lebih lagi kecewa dan putus asa, mungkin marah-marah atau mengungkit-ungkit pengorbanannya kepada kawan-kawan atau rasa sedih dengan kesusahan yang menimpa, sepertilah orang yang membangunkan istana, kemudian di runtuhkan semula, ertinya zero semula.


*M504*
Orang yang tidak beriman atau lemah jiwanya, kehendak nafsunyalah menjadi undang-undang, bukan undang-undang Tuhan, kalau ada undang-undang yang hak, dia cuba tafsirkan kepada kehendak nafsunya, atau dia cuba lari daripada undang-undang itu, orang yang beriman sentiasa patuh dan taat kepada undang-undang Tuhan, kalau dia tidak tahu dia akan bertanya, jika dia tahu dia akan jadikan panduan.


*M505*
Di antara sikap orang lemah jiwa dan tidak bermoral suka meminta wang dan bantuan,  minta dihormati, minta dibalas jasa, menyebut-nyebut jasa, kesal dengan orang yang melupakan jasanya, kecewa dengan ujian atau dengan kegagalan usaha-usahanya. 

  

 

Bahaya cinta dunia



Cinta dunialah membuatkan manusia cintakan diri.
Cintakan diri membawa manusia hidup nafsi-nafsi.
Cintakan dunialah membawa pecahnya sanak saudara.
Apatah lagi sekadar kenalan dan kawan-kawan biasa.
Cintakan dunia hilang kasih sayang sesama manusia.
Cinta dunialah yang membunuh kasih sayang dan memecahkan perpaduan keluarga dan bangsa.
Akhirnya timbul perpecahan dan perseteruan di kalangan manusia.
Pergaduhan pun berlaku, perkelahian terjadi, peperangan berlaku.
Cintakan dunia ibarat racun membunuh kasih sayang.
Cinta dunia adalah musuh manusia sejagat.
Tapi manusia tidak sedar dan tidak faham.
Sungguh kejam cinta dunia itu.
Ia mengharu-birukan kehidupan manusia.
Ia merenggangkan persaudaraan, memecah-belahkan bangsa dan saudara.
 

MADAH bau 258



*M496*
Apabila sifat marah seseorang itu menggelodak, dia akan bertindak dengan melulu tanpa sempat berfikir-fikir, selepas itu barulah dia menyesal tapi apa boleh buat, tindakan sudah terlajak.


*M497*
Bersungguh-sungguh bekerja, bersungguh-sungguh menuntut ilmu, bersungguh-sungguh berjuang, bersungguh-sungguh membangun, bukanlah satu kesalahan, adakalanya memang disuruh, tapi bukan pula mesti gopoh gapah, tidak ikut disiplin, tidak ambil kira keselamatan orang lain, tidak ambil kira pembaziran, tidak ambil kira maruah dan moral serta tidak memperdulikan syariat. 


*M498*
Apabila kita gopoh membuat apa-apa kerja, selalu saja berlaku kesilapan
atau membuatnya tidak sempurna. Buatlah perlahan-lahan, penuh berhati-hati dan konsentrasi, hasilnya nanti memuaskan hati.


*M499*
Orang yang dengki dengan seseorang, dia yang sakit jiwa hingga hilang bahagia kerana marah dan geram dengan orang itu, sedangkan orang yang kena hasad itu dia tenang saja. 
Kalau orang yang kena hasad itu mendapat kejayaan, bergandalah jiwanya sakit, biasanya orang hasad ini kerana hatinya sakit, dia akan membebel bila jumpa orang, akhirnya orang pula akan benci dengannya.


*M500*
Orang yang selalu jiwanya derita, hilang bahagia, fikiran celaru, gelisah tidak menentu ialah orang yang hasad. 
Dia tidak cukup apa yang ada, tidak senang dengan Tuhan, bimbang kehidupan masa depan yang belum terjadi, inginkan apa yang ada pada tangan orang yang belum tercapai, susahkan hati di atas kesusahan yang ada.

Didikan Tuhan Berbagai Cara



Allah mendidik manusia atau hamba-hamba-Nya berbagai-bagai caranya.
Agar manusia menerima-Nya sebagai Tuhan dan patuh kepada syariat-Nya.
Adakalanya Dia lihatkan kebesaran-Nya melalui kejadian langit dan bumi agar manusia mengakui kewujudan-Nya.
Adakalanya dipujuk manusia dengan Syurga-Nya.
Betapa indahnya Syurga serta kelazatan nikmatnya dan kecantikan bidadarinya.
Pada masa yang lain ditakutkan dengan Neraka-Nya.
Betapa dahsyatnya Neraka dan azabnya yang maha pedih amat ngerinya.
Tidak kurang pula diceritakan kehidupan orang-orang yang soleh.
Di dunia lagi mendapat bahagia walaupun di dalam cabaran.
Orang-orang kafir atau yang toleh.
Di dunia lagi tidak bahagia walaupun kaya, betapalah di Neraka.
Allah juga menyedarkan manusia dengan nikmat-nikmat-Nya.
Diberitahu manusia ini daripada tiada kepada ada.
Dicipta manusia begitu cantiknya.
Dicipta mata, kepala, mulut, kaki dan tangan sesuai di tempatnya.
Mempunyai peranan yang berbeza untuk faedah mereka.
Disedarkan lagi dengan nikmat-nikmat di luar diri manusia.
Dia Tuhan, menganugerahkan biji-bijian, buah-buahan bertangkai.
Kegunaan hamba-hamba-Nya.
Selanjutnya Tuhan insafkan lagi manusia itu dengan lain cara.
Dengan perintah siapa menurunkan air hujan?
Siapa cipta udara kamu boleh hidup dengannya?
Begitulah Tuhan mendidik manusia berbagai-bagai jalan.
Manusia menerima bermacam-macam cara dan berbagai-bagai sikapnya.
Ada yang terus menolak kewujudan Tuhan, percaya dunia jadi dengan sendirinya.
Ada yang menerima kewujudan-Nya tapi membuat pembohongan tentang Zat-Nya.
Digambarkan bermacam-macam rupa.
Tidak kurang yang percaya keesaan-Nya tetapi menolak syariat-Nya.
Ada yang tepat aqidahnya tapi acuh tidak acuh dengan syariat-Nya.
Dalam pada itu ada yang beriman namun memilih-milih syariat-Nya.
Sedikit sekali yang beriman dan patuh kepada syariat-Nya. 


MADAH baru 257


*M491*
Kalau seseorang itu sudah hilang malunya, dia akan buat apa saja.
Kalau perbuatannya itu memberi faedah kepadanya, sekalipun orang tahu dan disiarkan beritanya di dalam surat khabar atau dibualkan orang dari mulut ke mulut namun dia tidak begitu terasa apa-apa lagi, yang penting padanya dia cari jalan jangan sampai kejahatannya itu boleh dibuktikan, takut kena hukum atau didenda atau dibuang kerja atau digugurkan jawatannya, justeru itu ada hubungan dengan kepentingannya.


*M492*
Orang zaman sekarang ini tidak takut membuat kesalahan, yang penting jangan ada orang dapat buktikan kesalahannya kerana malu sudah hilang, takut dengan Allah sudah tiada.


*M494*
Hari ini tidak malu sudah jadi budaya, siapa malu dianggap kolot.
Mencari kekayaan tidak kira halal haram, siapa menjaga syariat dianggap ketinggalan zaman. 
Hari ini makan gaji dianggap mulia, siapa kerja sendiri dianggap hina, setidak-tidaknya dianggap tidak ada status, walaupun pendapatannya lebih lumayan daripada makan gaji.
Seseorang itu kalau ada kelulusan tinggi tidak mahu makan gaji dianggap bodoh atau rugi, padahal manusia yang kaya di dunia ini bukan orang makan gaji, tapi kerja sendiri.


*M495*
Adakalanya kita duduk/tinggal seorang diri di suatu tempat, berasa takut, kerana kalau apa-apa terjadi tidak ada siapa yang akan menolong, tidak kurang juga berasa takut berada di suatu tempat yang ramai orang tapi kita tidak pernah berjumpa dan tidak pernah kenal orang-orangnya, ditambah lagi pula kalau bahasa dan budaya mereka kita tidak tahu.


*M495*
Sedih menghadapi kegagalan atau berhadapan dengan sesuatu ujian mungkin boleh dimaafkan kerana ia fitrah semulajadi, tapi kalau kesal dan menyesal atau kecewa dan putus asa, Allah Taala murka, justeru telah terputus tali perhubungan dengan Tuhannya.

Ciri Perjuangan Kebenaran


Perjuangan kebenaran jelas jalannya.
Jelas matlamatnya, jelas dasar dan konsepnya.
Jalannya tidak perlu dicari-cari.
Dasar ajarannya jelas bak matahari.
Di dalam berjuang masih tercari-cari tidak akan berlaku.
Mana boleh kebenaran diperjuangkan sambil mencari-cari dan mencuba-cuba.
Ilmunya adalah Al Quran dan Hadis Nabi.
Sikap dan perbuatannya adalah peribadi Nabi dan Sahabatnya.
Rasulullah SAW aqidahnya mengajak bertuhan dan rasa bertuhan.
Disiplin ibadahnya teratur dan penuh khusyuk dan tawadhuk.
Akhlaknya begitu terserlah yang merupakan bunga diri mereka.
Ramai orang tertawan dengan peribadinya sebelum tahu ilmunya dan tentang ajarannya.
Sentiasa membaiki diri, sentiasa merasa berdosa.
Malam mengabdikan diri kepada Tuhan.
Siang berjuang bak singa lapar.
Berusaha mengajak orang masuk Islam matlamat perjuangannya.
Lain sekali perjuangan Islam di masa kini.
Jalannya masih mencuba-cuba dan mencari-cari.
Cakap politik lebih banyak daripada mengajak orang bertuhan dan rasa bertuhan.
Mengata, mengecam, perli jadi budaya.
Musuhnya lebih banyak dihina daripada didoakan.
Akhlak diri tidak jauh bezanya dengan lawannya. 


MADAH baru 256


*M486*
Ikhlas darjat yang paling tinggi, ia adalah penentu apakah amalan diterima atau sebaliknya, ia adalah rahsia Allah, malaikat pun tidak mengetahui, yang punya diri pun tidak tahu.
Kalau seseorang memberi pada seseorang dengan tujuan waktu susah nanti dia dibantu oleh orang itu, batallah amalannya.
Kalau orang itu tidak mengucapkan terima kasih, hatinya berkata, 'Tidak patut', hilang ikhlasnya.
Kalau dia memberi dengan mengatakan, "Ambillah, saya ikhlas ni," batal pula ikhlasnya, di suatu masa orang yang pernah dibantu memusuhinya, hati kecilnya berkata, "Eh, orang ini tidak mengenang budi," keihklasannya ditarik semula.
Allah! Susahnya amalan diterima, periksalah hati selalu.


*M487*
Satu perkara itu kalau dibuat secara rasmi-rasmi atau sangat diprogramkan, atau diupacarakan, payah hendak ikhlas, iaitu payah hendak terhindar daripada riyak, ujub, gila nama, ingin glamour dan tujuan dunia.


*M488*
Janganlah berusaha sahaja tanpa tawakal, begitulah juga jangan tawakal saja tanpa usaha. 
Orang yang berusaha tanpa tawakal ialah orang yang bertuhankan diri secara tidak sedar.
Orang yang bertawakal tanpa usaha ialah orang yang ingin kepada Tuhan tapi tidak ada jalan.


*M489*
Batin manusia (hati manusia) lebih banyak derhaka kepada Allah daripada zahirnya tapi kebanyakan manusia tidak sedar.
  

*M490*
Kebanyakan manusia bila mendapat kesenangan lupa daratan, sombong, bakhil, menghina, menunjuk-nunjuk.
Apabila mendapat kesusahan, menderita, mengeluh sepanjang masa, adakalanya meminta-minta, selalu marah-marah saja.
Jadi, senang pun derhaka, susah pun derhaka. Bilakah hendak menjadi orang yang taat setia kepada Tuhan?!

Tolak Kezaliman Dengan Kebaikan

Tolaklah kezaliman manusia dengan kebaikan diri.
Mengadulah kepada Allah selalu.
Dan cara bertindak: 
Berserahlah kepada Allah.
Memohon ampunlah kepada Tuhan sebanyak-banyaknya.
Akuilah bahawa berlakunya penzaliman itu disebabkan dosa-dosa kita.
Jangan memaki-hamun dan menghina si penzalim.
Tapi doakanlah mereka agar mereka mendapat petunjuk.
Sabarlah di atas kezaliman mereka.
Cepat membaiki diri, cepat pulalah Tuhan menyelesaikannya.
Kezaliman manusia, jangan membalas penzaliman dengan penzaliman.
Akan berlaku nanti penzaliman itu bertambah besar dan merata negara.
Ia adalah hukuman dan pembalasan terhadap rakyatnya yang derhaka.
Oleh itu para ulama dan pemimpin masyarakat ajak rakyat bertaubat banyak-banyak.
Baiki diri, bersihkan hati atau jiwa.
Doakan si penzalim agar diberi hidayah oleh Tuhan yang mencipta.
Bukan secara menghasut-hasut rakyat menumbangkannya.
Cara itu boleh menimbulkan huru-hara di dalam negara.
Yang akan mendapat kesusahan semua rakyat jelata.
Ertinya kita telah melakukan penzaliman kepada manusia pula.
Berhati-hatilah bertindak terhadap penzalim.
Nanti kita pun menjadi penzalim juga. 


MADAH baru 255


*M481* 
Bersabarlah agar kita mendapat pahala tanpa hisab.
Redhalah dengan ketentuan Tuhan, selain pahala, hati tenang.
Bertawakallah kepada-Nya agar kita tidak jahat sangka dengan Allah.
Dengan nikmat, bersyukurlah agar Allah tambah lagi nikmat itu.
Berpuas hatilah dengan apa yang ada, agar hati tidak susah dengan perkara yang tiada.


*M482*
Amalan yang dihayati secara istiqamah memberi kesan kepada jiwa, buahnya pula akan memberi kesan kepada peribadi, dari situ lahirlah akhlak mulia yang dikehendaki. Inilah bunga di dalam kehidupan yang semua makhluk menyenangi.


*M483*
Apabila manusia sudah tidak berlapang dada, bertolak ansur pun tidak akan ada, di waktu itu manusia hidup di dalam bala, di jalan raya akan berlakulah kesesakan, di lorong-lorong tempat lalu lalang akan bersempit-sempit dan berhimpit-himpit, waktu menaiki bas atau kereta api akan berlakulah bertolakan, di tempat-tempat mengambil tiket akan berlakulah berpusu-pusu dan menyiku, jiwa radang selalu membawa jiwa tidak tenang.


*M484*
Jangan kita anggap orang yang berkorban selalu berpuluh atau beratus-ratus ribu itu dianggap pemurah, begitu juga jangan kita anggap orang yang selalu berkorban dua, tiga ringgit atau sepuluh, dua puluh ringgit tidak pemurah. Allah menilai seseorang itu pemurah atau tidak adalah berdasarkan senang dan susahnya pada seseorang itu, bukan berdasarkan banyak dan sedikit.
Contohnya:
Kalau seseorang itu pendapatannya seribu ringgit sebulan, tanggungannya seramai 5 orang, dia selalu berkorban 50 atau 60 ringgit, mungkin sudah dianggap pemurah oleh Allah.
Tapi kalau seorang itu pendapatan bulanannya satu juta, tanggungannya 5 orang, dia selalu menderma di antara 5 hingga 10 ribu, mungkin Allah belum menganggap hamba Allah itu pemurah.
Tapi ukuran orang ramai, bila mendengar sahaja orang menderma 20 ribu, oh! pemurahnya orang itu, padahal dia masih lagi dianggap orang yang bakhil oleh Allah kerana pendapatan bulanan 1 juta ringgit, mana padan menderma 20 ribu.


*M485* 
Hendaklah kita menjadi orang yang pemurah dengan harta, dengan tenaga, dengan buah fikiran, dengan kemesraan, dengan masa, dengan nasihat, dengan tolak ansur, dengan lapang dada. 

 

Penilaian Tuhan Pada Manusia



Untuk menjadi orang yang berilmu dan pandai mudah, bertanggungjawab dengan ilmu tidak semudah.
Hanya orang yang takutkan Tuhan sahaja yang boleh.
Menjadi orang yang kaya pun tidak susah, berkorban dengan kekayaan tidak mudah.
Biasanya apabila kaya jadi megah, sombong pun datang, bakhil pun menyerang.
Untuk mencari kemegahan secara dunia mudah, menjadi orang Tuhan tidak semudah.
Orang Tuhan, dia beribadah, berakhlak, berkorban, berkasih sayang, pemurah, merendah diri, pemaaf, berkhidmat.
Mencari nama dan glamor secara dunia ramai yang boleh, kerana ramai penyokongnya.
Tapi ada orang dia patut diberi nama, sebaliknya dihina, kerana dia beragama banyak pihak tidak suka.
Oleh itu di dunia ini tidak boleh menjadi ukuran menilainya.
Ada orang baik dianggap jahat kerana dia orang Tuhan. Ada orang jahat dianggap baik kerana dia disukai kerajaan.
Penilaian yang sebenarnya di Akhirat, tepat.
Yang akan patut dibela akan dibela, yang akan patut dihina akan dihina.
Semuanya berlaku dengan adil dan saksama.
Carilah penilaian Tuhan, janganlah cari penilaian insan.
Apalah ertinya dapat sanjungan manusia di dunia yang hanya sementara.
Carilah sanjungan Tuhan, ia kekal abadi di Akhirat sana.
Kalau engkau dianggap jahat oleh manusia tidak mengapa, jangan Tuhan yang anggap.
Janganlah terpesona dengan anggapan baik dari manusia, ia menipu daya.
Di Akhirat kelak kecewa, tempatnya Neraka.
Carilah kebaikan mengikut tanggapan Tuhan, sekalipun semua makhluk menghina.
Penghinaan itu hanya sementara, tanggapan baik dari Tuhan itu sepanjang masa.
Carilah redha Tuhan, jangan cari redha manusia.
 

MADAH baru 254


*M476*
Merintihlah dengan dosa, janganlah merintih dengan harta, menangislah dengan dosa, jangan menangis dengan orang  menghina, sedihlah dengan dosa, jangan sedih dengan orang kata.


*M477*
Di dalam berjuang hendaklah kita lebih takut dengan dosa kita lebih daripada takutkan musuh kerana dengan dosa itu Allah murka. Apabila Allah murka kita dibiarkan oleh Allah kepada musuh, di waktu itu kita akan berhadapan dengan dua kerugian, pertama kemurkaan Allah, kedua kekalahan dan kehinaan.


*M478*
Islam memberitahu kita bahawa di antara dosa yang Allah cepatkan pembalasan di dunia lagi ialah dosa menzalim manusia, tapi banyak manusia tidak terasa atau tidak sedar kerana beberapa sebab/faktor:
Pertama:
Kerana Allah lambatkan pembalasannya di dunia. Jadi bila berlaku, yang punya diri atau orang lain tidak terfikir disebabkan perbuatan zalimnya yang sudah lama yang pernah dilakukannya.
Kedua:
Kerana bentuk pembalasan Allah itu tidak sama seperti apa yang ditimpakan kepada orang yang kena zalim itu, umpamanya seseorang menzalim seseorang dengan cara memukulnya atau memfitnahnya atau memenjarakannya, tidak semestinya Allah balas kepada orang yang zalim itu seperti yang berlaku kepada yang kena zalim, tidak mesti dia kena pukul atau kena fitnah atau kena penjara, mungkin dilakukan bentuk lain seperti hartanya dirampas orang atau dilanggar kereta atau rumahnya terbakar atau terlucut jawatannya atau krisis rumah tangga atau pimpinannya banyak masalah atau dapat malu dan berbagai-bagai lagi. 


*M479*
Senang dan tenang tidak sama. Senang, orang yang mempunyai banyak kemudahan hidup. 
Tenang, orang yang hatinya bahagia. Kalau terpaksa pilih salah satu, pilihlah tenang daripada senang, yang paling baik dapat menguasai kesenangan dan ketenangan, iaitu kedua-dua sekali.


*M480*
Melahirkan orang pandai saja mudah, tapi melahirkan orang pandai yang juga merendah diri payah, melahirkan para pemimpin mudah, melahirkan para pemimpin yang adil, jujur, merendah diri yang payah, melahirkan orang kaya mudah, tapi melahirkan orang kaya yang pemurah dan tawadhuk payah. 

 

Bekalan Hidup Akhirat



Akhirat negara kehidupan yang kedua selepas dunia.
Di sana tempat tinggal yang kekal abadi.
Susah dan senang di sana ditentukan oleh kehidupan di dunia.
Berhati-hatilah hidup di dunia agar di sana tidak derita dan merana.
Di sana hanya ada dua tempat, Syurga dan Neraka.
Orang-orang yang bertaqwa ke Syurga, orang-orang fasik dan zalim ke Neraka. 
Carilah bekalan dengan sifat taqwa untuk kesenangan di sana.
Tidak ada sifat taqwa Nerakalah padahnya, tempat tinggal yang terseksa.
Berhati-hatilah hidup di dunia yang tidak lama.
Buatlah bakti kepada Allah Taala dan makhluk-Nya.
Janganlah jadi manusia yang lalai dan perosak.
Di Akhirat kelak tidak mampu menanggung azab dan sengsara.
Cintailah Allah, takutilah kepada-Nya dan cintailah makhluk-makhluk-Nya.
Hendaklah jadi manusia yang taat dan setia kepada Allah.
Tidak mengapa berhadapan dengan sedikit kesusahan yang sementara agar terlepas daripada kesusahan di Akhirat buat selama-lamanya.
Tebuslah kesusahan yang lama di Akhirat sana dengan kesusahan yang sedikit di dunia yang tidak pula lama.
Biarlah sesal dahulu, kerana sesal kemudian tidak lagi berguna.
Carilah bekalan untuk Akhirat dengan sesungguh-sungguhnya.
 

Andai ada kematian dirumah kita.

Simpan mesej ni.. 
Sebagai pedoman 

-------------------------------------------------------

Urusan untuk mendapat permit, 
perkebumian..
---------------------------------------------------

1) Call Ambulans.  Doktor akan sahkan kematian. Mereka akan bagi beberapa surat atau borang untuk dibawa buat laporan ke balai polis.

2) Call orang surau atau jiran yang terdekat

3) Bawa document yang diberi doktor tadi. IC simati, sijil lahir. Segala surat perubatan jika ada ke balai polis untuk buat laporan.
  
4) Ingat, bahagikan tugasan. Apabila disahkan oleh doktor tentang kematian. Sebelum hadirnya jiran². 

Urusan dirumah..
----------------------------

1) letak jenazah atas tilam, kaki ke arah kiblat. Muka mengadap kiblat.

2) Chek seluar atau pampers jika ada terkeluar najis, terkencing. Jika ada cuci dulu. 

3) Salin seluar baju yang bersih. 

4) Cari perca kain bersih.  Buat beberapa tali.  
sedia kan minyak zaitun atau baby oil.  mulakan dari muka.  Urut pelan² muka, rapatkan mulut dan ikat dari dagu ke kepala. 
 
5) Urut mata pelan², rapatkan.  Jika tak rapat.  letak duit syiling 50sen dikelopak. boleh dah rapat, keluarkan duit tu.  

6) Tangan, siku urut pelan². Kiamkan elok², ikatkan kemas².  

7) Punggung, peha rapat kan elok². Urut pelan².

8) Lutut rapatkan elok2.  ikat tali.  

9) betis rapatkan. ikat tali.

10) Penggelangan kaki urut, dengan minyak rapatkan dan ikat kemas². 
 
11) 2 ibu jari dirapatkan dan ikatkan.  

12) Ambik kain tudung bawal putih jarang, tutup bahagian muka..

13) Ambik kain batik panjang, tutup keseluruhannya.

Untuk persiapan yang lain²
-------------------------------------------

1) Siapkan dalam beg. Kain batik panjang 4 helai. Towel satu. 

2) Daun pandan sepokok, dibersihkan dan kerat². Simpan dalam plastik. 

3)  sebelum kedatangan jiran² .  anak² yang lain mesti tutup aib. Dengan cepat² bersihkan rumah.  

7) Bila jenazah dirumah dah ready semua.  sementara tunggu urusan yang seterusnya. Cuba ambik kesempatan membaca surah.    

Note,
Tujuan urut tadi. supaya segala sendi² tetap lembut sehingga memudahkan waktu nak mandi atau kapan. Buat pelan²,  sambil ti sedekah Al-Fatihah. Ni kerana jenazah yang tercabut nyawanya, didalam keadaan perit dan sakit.  

Wallahua'lam
Memoga bermafaat untuk saya dan semua.
Maaf sekiranya ada kekilafan dan kelemahan didalam catitan..

Gambar sebagai hiasan..
#muhasabahdiriselalu
#assalamhijrah
#ah2an

Bumi Tuhan... Bersaksilah