Sungguh Susah Menjaga Hati



Sungguh susah menjaga hati.
Sangat mudah tergelincir kepada dosa yang tidak disedari.
Ia amat seni.
Kejahatannya amat halus, payah hendak dikesani, kecuali para rasul dan nabi, sedikit daripada wali.
Sedikit sahaja kita boleh membuat kejayaan, hati mula berbunga, rasa luar biasa, tidak rasa berdosa.
Kalau ada orang lain yang lemah, mulalah hendak mengata dan menghina, tanggungjawab tidak ada.
Cakap-cakap besar pun bermula, menyanjung-nyanjung diri secara langsung mahupun tidak langsung menjadi ucapan lidah.
Mulalah membentak-bentak orang yang lemah, adakalanya mudah kita memberi malu di hadapan khalayak.
Jika kita yang lemah, membuat kejayaan tidak mampu, mulalah menghina diri dengan manusia yang berjaya.
Rasa malu, rasa kecewa, hasad dengki pun mula berbunga.
Kalau tidak kuat mujahadah, orang yang berjaya akan menjadi sasaran kita.
Begitulah sifat hati, mudah sahaja hendak riyak.
Mudah sahaja hairankan diri, rasa lebih, rasa boleh.
Kadang-kadang di waktu kita mengatakan jangan riyak, di waktu itu kedatangan riyak.
Ketika menyebut ikhlas, di waktu itu tidak ikhlas.
Di waktu kita mengatakan tentang sombong, di masa itu kita sombong.
Begitu susahnya menjaga hati.
Rasa kecewa, rasa hina kepada manusia, rasa putus asa.
Suluhlah hati dengan mata hati.
Agar mudah terlihat dosa-dosa yang halus tapi besar di sisi Allah. 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah