Marilah kita mempelajari erti istiqamah.
Agar kita faham, hayati dan laksanakan di dalam kehidupan.
Erti istiqamah: tetap pendirian di atas kebenaran.
Tetap di atas keyakinan yang diwajibkan.
Berterusan membuat kebajikan yang telah diamalkan.
Yang wajib ditinggalkan, terus ditinggalkan berpanjangan.
Apabila diperjuangkan apa yang disebutkan, terus-menerus diperjuangkan, tidak ada perhentian.
Itulah dia erti istiqamah di dalam Islam.
Istiqamah ada dua bahagian.
Yang lahir dan yang batin atau yang bersifat fizikal dan yang bersifat rohaniah.
Yang lahiriah sebagai contoh, jika sudah bersembahyang, terus-meneruslah bersembahyang.
Kalau sudah berpuasa dan lain-lain amalan, dibuat berterusan.
Begitulah amal kebajikan yang lain-lainnya sekalipun yang sunat, amalannya berterusan tanpa ditinggalkan.
Istiqamah amalan lahir agak mudah dan senang.
Tapi sangat susah bagi kebanyakan orang.
Adakalanya istiqamah, adakalanya tidak dapat dilakukan.
Jika yang lahiriah yang mudah pun payah dan susah melakukan istiqamah berpanjangan.
Yang batin atau yang bersifat rohaniah lagilah susah dan payah mengamalkan.
Kita buat beberapa contoh untuk difaham sebagai panduan.
Takutkan Tuhan diperintah. Kadang-kadang takut, kadang-kadang bukan sahaja tidak takut bahkan dilupakan.
Cintakan Tuhan disuruh, kadang-kadang dirasakan, adakalanya hilang di dalam perasaan.
Keyakinan dengan perkara yang diwajibkan, kadang-kadang teguh pegangan, adakalanya longgar keyakinan.
Keyakinan dengan Tuhan tentang rezeki, kejayaan dan kemenangan di masa depan,
adakalanya menjadi pegangan, di waktu yang lain pula goyang.
Rasa bertuhan dan rasa kehambaan, di waktu-waktu tertentu ada di dalam perasaan, di waktu yang lain perasaannya hilang.
Di setengah-setengah ketika boleh merendah diri, di setengah-setengah masa menyombong pula.
Kasih sayang sesama manusia kadang-kadang ada, kadang-kadang hilang.
Kadang-kadang bertimbang rasa, adakalanya hati merasakan peduli apa dengan mereka.
Lebih-lebih lagi ikhlas amat susahnya hendak istiqamah.
Selalu sahaja apabila membuat kebaikan, sedikit sangat kerana Tuhan. Kebanyakannya kerana diri atau selain Tuhan.
Inilah dia erti istiqamah dan payah sangat beristiqamah.
Kerana istiqamah itu adalah sifat para wali.
Di dalam kitab dikatakan, "Janganlah engkau meminta kewalian tapi mintalah istiqamah."
Istiqamah sangat diperintah sekalipun amalan itu sedikit.
Itu lebih baik daripada amalan yang banyak tapi tidak istiqamah.
No comments:
Post a Comment