MADAH baru 386


*1231*
Manusia itu apabila jiwanya telah mati, tidak ada ruangan lagi untuk mengingati Allah. 
Justeru suasana dan situasi di dunia ini setiap masa sentiasa melalaikan dari mengingati Tuhan. 
Di rumah dilalaikan oleh anak dan isteri. 
Di atas jalan raya dilalaikan oleh telatah manusia yang tidak ada tolak ansur dan berlapang dada. 
Di pejabat atau di tempat kerja disibukkan oleh kerja. 
Di waktu-waktu lapang dilalaikan oleh kawan-kawan atau berfoya-foya  dengan perempuan-perempuan cantik di tempat-tempat hiburan.
 
*1232*
Hati umat Islam tidak terhubung antara satu sama lain dikeranakan sifat-sifat mazmumah.
Selama mana mazmumah-mazmumah umat Islam menebal, selama itulah tidak akan lahir perpaduan 
sekalipun perpaduan itu setiap hari diperjuangkan dan menjadi slogan.
 
*1233*
Syukur nikmat dan kesabaran di dalam ujian amat mudah diucapkan tapi amat sulit dilaksanakan.
 
*1234*
Kebaikan itu pada mulanya kena faham dahulu, kemudian cubalah melaksanakan, kemudian terus mujahadah meneruskannya, selepas itu istiqamah melakukannya, kemudian dia akan jadi hiburan, seterusnya menjadi tabiat, kemuncaknya dia akan jadi budaya.
 
*1235*
Selalunya orang menangis kerana suami kurang simpati, isteri tidak menghormati, 
miskin papa orang tidak peduli, 
kena marah oleh ibu atau ayah, suami, bos pejabat tidak timbang rasa, 
sakit yang serius, kematian orang yang disayangi.
Jarang orang menangis kerana dosa dengan Tuhan, keterlanjuran dengan orang, tidak dapat melaksanakan hukum Tuhan,
amalan yang dibuat apakah diterima oleh Tuhan atau sebaliknya.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah