Murabbi Dan Rabbani?



Sudah menjadi Sunnatullah
(bagi orang yang kenal Tuhan,
yang tidak kenal Tuhan mengatakan sunnah
alam)
bahawa setiap benda itu adakalanya baik, adakalanya
rosak
Setiap yang rosak akan dibaiki semula
hingga normal seperti sediakala
Begitulah juga setiap benda
bukan sahaja dibaiki selepas rosak
tapi pandai menggunakan agar ia memberi guna
Membaiki setiap perkara itu
bukan semua orang menjadi pakar
dan boleh menggunakannya
Membaiki dan menggunakannya mestilah pakar
atau setidak-tidaknya boleh faham membaiki
dan menggunakannya

Begitulah sunnatullah atau sunnah alam
berlaku pada setiap yang dicipta
di dalam dunia dan di dalam kehidupan manusia
Hal yang disebutkan tadi semua orang
boleh menerimanya
Iaitu bukan semua orang boleh membaiki
atau menggunakan benda-benda yang rosak
yang ada dan berperanan
di dalam kehidupan manusia
Bahkan di setiap negara telah pun
memperundang-undangkan agar setiap perkara
yang rosak hendak dibaikpulih semula
mestilah hanya dibenarkan orang yang pakar
menanganinya sahaja
Siapa yang melanggar undang-undang
dihukum denda
setengah hal dihukum penjara
Kita buat contoh beberapa perkara
untuk renungan bersama:
Orang sakit lahir mestilah doktor yang bertauliah
dan yang berlesen mengubatinya
Jika yang merawat pesakit itu bukan doktor
hampir semua negara akan bertindak menghukumnya
kerana boleh membahayakan kepada manusia
Kalau mengenai enjin tidak semua orang
boleh membuka bengkel
mestilah orang yang ada tauliah
sama ada engineer atau foreman
Itu baru penyakit lahir atau benda-benda beku
mestilah dipastikan hanya orang
yang ada kelulusan atau ada kemahiran sahaja
baru boleh melakukannya
Tapi malangnya hendak membaiki manusia
boleh pula semua orang membaikinya
tidak kira siapa
Padahal manusialah yang hendak menentukan
baik buruk manusia dan kehidupan manusia
Dan juga hendak menentukan
alat-alat kehidupan manusia
apakah disalahgunakan atau sebaliknya
Manusialah hendak menentukan aman damainya
bersatu padu, bekerjasama
hendak bahagia dan harmoni di dunia
Mendidik manusia seratus kali susah
daripada hendak membaiki penyakit lahir
dan benda-benda beku seperti yang dinyata
Manusia ada fizikal, ada akal, ada nafsu
dan jiwa atau hati yang berperanan
di dalam diri dan di dalam kehidupan manusia
Senangkah hendak mendidik nafsu manusia
agar dapat dikontrol
daripada mendorong kejahatannya?
Mudahkah hendak mendidik akal
agar tidak bekerjasama dengan nafsu
membuat onar?
Apakah mudah mengkontrol perasaan (hati)
daripada mengikut hawa nafsu yang jahat, membuat
angkara?
Apakah mudah mendisiplinkan diri (anggota lahir)
agar tidak melaksanakan kehendak nafsu
yang jahat membuat durjana?
Manusia ada anggota lahir dan anggota batin
Anggota batinnya akal, nafsu dan hati
perjalanannya sangat halus dan seni
Mendidik manusia bukan sekadar
perlu kepada muallim
atau ustaz sekadar memberi ilmu
Muallim, guru atau ustaz hanya memberi ilmu
Mendidik manusia tidak cukup hanya memberi ilmu
Manusia perlukan murabbi atau rabbani
kerana kejahatan manusia itu
terlalu seni dan unik sekali
Murabbi atau rabbani
dia ada beberapa sifat yang perlu ada
berilmu, beramal, berakhlak mulia, menghayati
boleh mendidik manusia, boleh dicontohi
Murabbi dengan murid terus berhubung
sampai mati
Hubungan murabbi dengan murid
seperti anak dengan ibu bapa
bahkan lebih daripada itu tidak ada putusnya
Hubungan murabbi atau rabbani dengan murid
adalah hubungan roh dengan roh
hubungan hati dengan hati sampai mati
Macamlah Rasul dengan Sahabat
adalah hubungan roh dengan roh
kasih-mengasihi, cinta-mencintai
Hubungan kedua-duanya sampai mati
tidak boleh diputuskan oleh apa sekalipun
kecuali masing-masing atau salah satu memutuskannya
kerana tidak ada hubungan dengan
Tuhannya lagi
Zaman sekarang yang ramai adalah muallim
atau ustaz (guru/kiyai)
bukan murabbi atau rabbani
Murabbi dan rabbani di zaman ini
adalah bilangan jari susah dicari
Kerana itulah payah hendak mendidik manusia menjadi
baik dan jujur
kerana mubaligh atau guru dengan murid
lebih kurang sama kecuali ilmu
Mana ada pendidik di hari ini (guru atau rabbani)
ada ilmu, mengamalkan, berakhlak mulia, menghayati,
boleh mendidik dan terus berhubung
dengan muridnya hingga mati
Lihatlah hasil guru hanya memberi ilmu semata-mata
tabiat manusia tidak berubah
Murid-murid melawan guru
melawan emak bapa
hubungan guru dengan murid tidak ada
murid bergaduh sesama
Setelah dewasa masing-masing ada tugas
dan ada kerja
berlaku rasuah, malas bekerja,
hasad dengki, tidak sehati
Jatuh-menjatuhkan, zalim-menzalimi,
mementingkan diri, hidup nafsi-nafsi,
zina, tipu-menipu, budaya liar yang jijik
Yang memberi ilmu pun sama
mereka adalah muallim
bukan murabbi atau rabbani
Hendak mendidik manusia bukan sebarang orang
bukan calang-calang orang pilihan Tuhan
Lebih-lebih lagi guru bermotif makan gaji
kerana sesuap nasi
apakah mampu mendidik manusia
hingga cintakan atau takutkan Tuhan?
Pendidik murabbi atau rabbani
dia adalah bayangan Rasul
atau bayangan Nabi
Kerana itulah umat Islam seluruh dunia
tidak berkasih sayang
tidak boleh bersatu
tidak ada rasa bersama
tidak boleh bekerjasama
tidak bela-membela
takut dengan musuh-musuhnya
Umat Islam hari ini
sudah kehilangan murabbi atau rabbani
yang ada hanya guru memberi ilmu
tidak boleh dicontohi

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah