Dari ketiga-tiga ilmu ini, tapak atau asasnya adalah ilmu usuluddin. Di
atas tapak ilmu yang menjadi pegangan dan keyakinan setiap orang Islam itu,
maka ditegakkan syariat (feqah) dan akhlak (tasawuf).
Kalau diibaratkan kepada sebuah bangunan,
usuluddin itu adalah foundationnya. Bangunan rumah serta peralatan-peralatannya
itulah syariat dan akhlak. Kalau begitu rumah dan peralatan rumah itu tidak
dapat ditegakkan sekiranya foundation
rumah tersebut tidak ada. Atau ia tidak
kukuh dan tidak kuat. Justeru itu, dalam ajaran Islam:
1. Usuluddin itu adalah asas Islam atau tapak Islam.
2. Syariat dan tasawuf ialah furu’ dan cabang cabangnya.
Kalau begitu, ilmu usuluddin dalam ajaran Islam amat penting
dan utama. Kerana ia mengesahkan syariat dan akhlak. Syariat dan akhlak tidak ada nilai di sisi ALLAH,
kalau aqidah atau usuluddinnya telah rosak.
Perkara-perkara yang berkaitan dengan ilmu usuluddin ialah:
1. Keyakinan kita dengan ALLAH dan sifat-sifat-Nya sama ada
sifat-sifat yang wajib, sifat-sifat yang mustahil atau sifat-sifat yang harus.
2. Keyakinan kita dengan para rasul dan sifat-sifatnya.
3. Keyakinan dengan kitab-kitab yang pernah diturunkan oleh
ALLAH seperti Al Quran, Zabur, Injil dan Taurat.
4. Keyakinan kepada para malaikat.
5. Keyakinan pada Qadha dan Qadar ALLAH.
6. Yakin kepada Syurga dan Neraka serta perkara-perkara lain
yang merangkumi perkara di Alam Ghaib.
Maka ilmu usuluddin yang menjadi asas kepada ajaran Islam
merupakan ilmu yang paling penting. Ia menjadi perkara utama dan pertama untuk
setiap individu Islam yang mukallaf mempelajarinya. Belajar ilmu usuluddin ini
hukumnya fardhu ain yakni wajib bagi setiap individu yang mukallaf. Bahkan
jatuh berdosa besar bagi orang yang tidak mempelajarinya. Hatta boleh jatuh
kufur secara tidak sedar kalau jahil tentang ilmu ini. Ilmu usuluddin yang berkait dengan ALLAH dan sifat-sifat-Nya,
kalau tidak dipelajari, paling mudah untuk menyebabkan terjatuh kepada kufur.
Sebab itu dihukumkan wajib bagi setiap mukallaf mempelajarinya terlebih dahulu
mendahului ilmu-ilmu yang lain. Dalam Hadis, Rasulullah SAW ada menyebut:
Terjemahannya: Awal-awal agama ialuh mengenal ALLAH.
Oleh itu ilmu usuluddin itu tidak boleh dicuaikan dari
mempelajarinya. Supaya ia dapat dijadikan pegangan dan keyakinan yang mantap
(teguh) di hati. Tanpa dicelahi dengan unsur-unsur jahil, syak, zan dan waham.
Sekiranya dicelahi oleh jahil, syak, zan dan waham, atau salah satu darinya,
maka seluruh amal ibadah itu tidak sah atau tertolak. Ertinya tidak dapat apa-apa
di sisi ALLAH. Amalan itu hanya sia-sia sahaja. Walau bagaimana baik dan kemas
sekalipun ibadah yang dipersembahkan pada ALLAH, sekiranya dicelahi oleh salah
satu daripadanya, maka ibadah itu akan dicampak semula ke muka pengamalnya.
Mengikut kebiasaan, walaupun cantik amalan syariat atau akhlak,
ia masih tetap bergantung kepada aqidah. Sekiranya aqidahnya baik, maka baiklah
syariat dan akhlaknya. Tetapi kalau aqidahnya rosak, maka rosaklah syariat dan
akhlaknya. Tamsilannya seperti sebatang pokok. Kalau pokoknya subur, itu adalah
kesan daripada akar tunjang yang kuat tadi. Yang menjadikan ianya berdaun,
menghijau, menghasilkan bunga cantik dan harum mewangi serta buah yang banyak
(lebat) lagi sedap rasanya. Sehingga menjadikan kepingin semua makhluk terutama
manusia untuk mendekati dan bernaung di bawahnya serta mengambil manfaat
darinya.
Begitulah juga bagi mereka yang aqidahnya baik, tentunya
syariatnya jadi sempurna dan akhlaknya cantik. Semua hukum-hakam yang lima
yakni yang wajib dan sunat dapat ditegakkan, yang haram
dan makruh
dapat dijauhi, dan yang harus (mubah)
terpulang hingga ia mencorak hidup individu dan masyarakat.
Di sinilah pentingnya pelajaran aqidah atau usuluddin ini
kerana ia boleh mencorakkan hati seseorang. Sehingga yang lahir dalam tindakan
adalah gambaran hatinya itu. Alhasil, kalau sudah ramai yang aqidahnya tepat
dan kuat, maka akan lahirlah negara yang aman makmur yang mendapat keampunan
ALLAH. Kerana aqidah yang tepat dan kuat itu mendorong hamba-hamba-Nya bersyariat
dan berakhlak atau menjadi orang yang bertaqwa.