APAKAH MAKSUD UMMIY NYA RASULULLAH SAW?  

Semoga Allah mengampunkan kita di atas salah tanggap dan salah tafsir terhadap status baginda Rasulullah SAW sebagai seorang rasul yang Ummiy. Selama ini kita difahamkan bahawa Ummiy itu bererti orang yang tidak tahu membaca dan menulis, ertinya buta huruf.  Jika begitu fahaman kita ertinya kita menganggap baginda orang yang tidak belajar, bererti seorang yang bodoh. Ensiklopedia Barat juga mendefinasikan Muhammad sebagai seorang yang illiterate. Bagi orang yang tidak prihatin, hal ini mungkin tidak menjadi apa-apa m asalah baginya, tapi bagi yang prihatin, yang hatinya terbuka, kita rasakan seolah-olah ada yang tidak kena dengan maksud Ummiy itu. Mana mungkin seorang rasul yang kemuliaannya sampai namanya digandingkan dengan nama Tuhan, dikatakan buta huruf. 

Maqam Rasulullah SAW

Sebenarnya yang dimaksudkan Ummiy itu ialah orang yang belajar secara luar biasa, bukan mengikut kaedah biasa atau belajar secara proses biasa. Tujuan belajar adalah supaya menjadi pandai, dengan mengisi ilmu kepada akal dan rohnya. Itulah hakikatnya. Jika akal dan roh tidak diisi dengan ilmu maka seseorang itu tidak akan dapat menjadi pandai. Orang yang hendak menjadi pandai secara biasa, kenalah melahirkan sebab lahiriah untuk mencapai matlamatnya. Contohnya melalui menulis, membaca, berguru, belajar di sekolah dan lain-lain. Bagi orang biasa, jika tidak mengikut kaedah ini, maka tidak akan menjadi pandai. Itulah lumrahnya. Tetapi itu adalah proses untuk manusia biasa.



Oleh kerana Rasulullah itu orangnya luar biasa, Allah pandaikan dia tanpa melalui proses biasa. Demikianlah Maha Besarnya Tuhan, Rasulullah dipandaikan melalui proses luar biasa. Jadi Rasulullah sebenarnya seorang yang belajar tidak secara biasa tapi secara luar biasa. Oleh itu sama sekali tidak benar jika dikatakan Rasulullah tidak belajar.  Sebenarnya Rasulullah SAW tidak perlu membaca dan menulis.

Mari kita bahaskan pula perkataan Ummiy itu. Ummiy didasarkan kepada ‘ibu’.

1. Ibu kalau dibahaskan secara lahir ia merupakan punca zuriat kerana ibu melahirkan. Jika tidak ada ibu, mana mungkin dapat melahirkan zuriat.

2. Bagi yang tidak bernyawa yang disebut ibu juga contohnya, ibu roti. Daripada ibu rotilah dapat hasilkan roti. Itu disebut ibu juga.

3. Ibu secara batin atau maknawi punya erti yang lebih hebat, iaitu ibu dan ayah pada diri kita ialah akal dan roh. Tanpa akal dan roh, tiada erti apa-apa. Sebab itulah Allah terus bagi ilmu pada Rasulullah tanpa menggunakan alat. Itulah sebabnya Rasulullah dikatakan Ummiy iaitu belajar secara terus dari Tuhan. Allah terus campakkan ilmu pada ibu dirinya iaitu akal dan roh. Oleh itu salah besarlah jika dikatakan Rsulullah tidak belajar.

Rupa-rupanya begitu hebat Allah memproses hamba-hamba yang dikehendaki-Nya dengan cara dipandaikan tanpa melalui proses belajar secara biasa. Itulah sebenarnya mukjizat Rasulullah yang cukup agung dan hebat. Ummiy itu adalah lambang kebesaran Rasulullah sebenarnya. Layaklah Rasulullah itu dikatakan ibu, kerana baginda ialah ibu segala ilmu, ibu segala kebaikan, ibu kepada perjuangan, ibu kasih sayang, perpaduan dan lain-lain kerana daripadanya lahirlah ilmu, kebaikan, perpaduan, kasih sayang, pengorbanan, perjuangan dan lain-lain.

Malah yang membenarkan dan melayakkan lagi baginda menjadi ibu berlandaskan gelaran Ummiy tersebut ialah kerana rohnya adalah ciptaan Tuhan yang pertama. Dan dari kerana kebesaran dan kemuliaan Nur Muhammad inilah diciptakan langit dan bumi, haiwan, tumbuhan, Syurga, Neraka dan lain-lain. Begitulah hebat dan mulianya Rasulullah hinggakan baginda dilantik menjadi Penghulu manusia dan namanya diangkat sebaris dengan nama Tuhannya.

Musuh-musuh Islam terutama Yahudi dan puak orientalis sebenarnya sangat kenal siapa Rasulullah. Kehebatan dan kemuliaannya ada dalam pengetahuan dan kajian mereka. Lalu mereka cuba mengelirukan dan mengkelabukan pemikiran umat Islam dengan mengatakan bahawa: “Rasulullah itu Ummiy yakni tidak tahu membaca dan menulis untuk membuktikan bahawa Al Quran itu bukan dari tulisan Rasulullah.” Nampak macam logik dan rasional hujah tersebut. Tapi sebenarnya mereka menutup maksud Ummiy yang sebenar yang memperlihatkan kehebatan Rasulullah SAW. Akhirnya umat Islam dari generasi ke generasi beranggapan Rasulullah itu buta huruf, dan kesan saikologi terhadap pemahaman palsu ini menyebabkan umat Islam menjadi umat yang mundur bukan setakat miskin ilmu, harta, kemajuan, dan lain-lain tetapi yang lebih parah dari itu ialah miskin iman.

Usaha-usaha untuk memperkecilkan martabat Rasulullah memang telah sekian lama dirancang oleh para musuh Islam. Mereka sengaja hendak memperlihatkan Rasulullah sebagai tidak bertamadun agar umat Islam juga akan mencontohinya. Kebesaran dan kemuliaan Rasulullah cuba ditutup dan dilindungi. Untuk memperlihatkan dengan lebih jelas bahawa Ummiy adalah satu mukjizat besar Rasulullah dan bukannya buta huruf.

Mari kita lihat pula kaedah menuntut ilmu melalui proses luar biasa ini. Rasulullah itu digelar Ummiy kerana padanya diberikan ibu segala ilmu. Sepertimana Al Fatihah dikatakan Ummul Kitab, kerana di dalamnya adalah intipati Al Quran, begitu jugalah dengan Rasulullah, di mana wahyu yang diturunkan kepadanya adalah ibu segala ilmu. Oleh kerana apa yang dianugerahkan kepada Rasulullah itu adalah ibu ilmu, ia tidak boleh diterima  melalui proses biasa. Ibarat seorang yang ingin mengail ikan yang besar, mestilah menyediakan kail yang besar dan kuat, umpan yang baik, tali kail mestilah kemas dan tahan, peralatannya mestilah gagah dan sesuai dengan ikan yang hendak dikail.

Begitu jugalah bagi seseorang yang ingin memperolehi ilmu luar biasa dari Tuhan sepertimana Rasululah mendapat wahyu, tidak cukup sekadar melalui proses biasa dengan menggunakan pancaindera. Ilmu wahyu yang Allah anugerahkan pada baginda adalah diajar terus kepada ibu dirinya iaitu akal dan roh. Ilmunya bukan dari sumber membaca dan menulis.

rumah Nabi



AddThis Social Bookmark Button


Related Posts with Thumbnails

Bumi Tuhan... Bersaksilah

 

Design by Amanda @ Blogger Buster