Subhanallah, Walhamdulillah, wa Lailahaillallah, wa Allahuakbar

Satu ketika seorang Badwi bertemu dengan Nabi Muhammad sollahualaihi wassalam dan bertanya pada Nabi. 

"Wahai Rasulallah, ajarkan saya satu kebaikan"

Maka jawab Nabi, " Ucaplah Subhanallah, Walhamdulillah, wa Lailahaillallah, wa Allahuakbar"

Kemudian pergilah pemuda ini sambil mengucapkan kalimah yang diberikan Nabi kepadanya. Namun dia tidak berpuas hati maka kembalilah pemuda Badwi ini bertemu semula dengan Nabi.

"Wahai Nabi Allah, apa yang tuan berikan tadi semuanya untuk Allah, apa yang saya dapat?"

Nabi sambil tersenyum menyatakan kepadanya.
 
" Wahai pemuda, Apabila kamu mengucap subhanallah, Allah jawab, Sesungguhnya hambaKu ini benar, Apabila kamu mengucap Alhamdulillah, Allah menjawab , Sesungguhnya hambaKu ini benar. Setelah itu kamu mengucap Lailahaillallah maka Allah menjawab bahawa hambaKu ini benar dan apabila kamu mengucapkan Allahuakbar maka Allah juga menjawab hambaKu ini sangat benar. Setelah itu apa bila kamu menambah, Ya Allah ampunilah daku, maka Allah menjawab, Aku akan melakukannya. Apabila kamu menambah lagi, Ya Allah kasihanilah daku, Allah menjawab, Aku akan melakukannya. Setelah itu kamu menambah lagi, Ya Allah karuniakanlah rezki kepadaku, maka Allah menjawab, Aku juga melakukannya". 

Lantas pemuda ini berlalu pergi dalam keadaan sangat gembira kerana mendapat pengkhabaran yang menggembirakan dari Nabi Muhammad Sollahualaihiwassalam. 

*Ayuh kita amalkan zikir besar ini teman-teman. Moga Allah memberkati kehidupan kita di dunia dan akhirat 😊

Subhanallah walhamdulillah walailahaillallah wa Allahuakbar. Allahumma ighfirli, warhamni, warzukni.

MADAH baru 270


*M556*
Apabila berusaha dan membuat kerja, Allah dilupakan, fikiran jadi letih, jiwa kosong, badan apatah lagi, akibatnya hati runsing selalu tidak menentu. 
Kalau tidak pandai kontrol nafsu, menjadi orang pemarah selalu.


*M557*
Selaraskanlah kehendak kita dengan kehendak Allah, tindakan kita sesuai dengan syariat-Nya, takutilah Allah kalau tersilap dan tersalah, pintalah hidayah dan taufik-Nya, kemudian serahkanlah diri kepada Allah.


*M558*
Harta kita selalu saja kita hisab, hutang orang kepada kita selalu saja kita kira, perniagaan kita selalu saja kita membuat penilaiannya, tapi diri kita kepada Allah sudahkah kita menghisabnya?!


*M559*
Kalaulah setiap hamba Allah itu merasakan dirinya paling hina dan tak guna dan tidak merasakan ada kebaikan, hingga terasa malu selalu dengan Tuhannya, nescaya tidak ada manusia yang ego, sombong, megah, gila glamor, hasad, pemarah, tamak dan dia rasa, apalah sangat dunia ini.


*M560*
Apabila tidak redha dengan ketentuan Tuhan, ertinya benci dengan Tuhan, tidak bersyukur ertinya lupa dengan Tuhan, tidak sabar ertinya menyanggah perbuatan Tuhan, tidak bertawakal ertinya bekerja tidak mengharapkan bantuan Tuhan.

Nikmat Dan Ujian


Setengah hamba Allah, makin banyak nikmat semakin kufur nikmat dan jauh daripada Allah.
Apabila diuji pula dengan kesusahan, tidak sabar pula dan tidak redha, bertambah jauh dengan Allah.
Ada setengah hamba, dengan nikmat dia kufur, dengan ujian kesusahan dia insaf dan dekat dengan Tuhannya.
Ada juga apabila diuji dengan kesusahan, dia kufur dan jauh dengan Allah, diuji dengan nikmat, semakin dekat dengan Allah.
Ada pula hamba Allah semakin banyak nikmat dan semakin banyak ujian yang menyusahkan, semakin dekat dengan Tuhannya.
Tapi apa yang berlaku di dalam pengalaman manusia, ujian dengan nikmat ramai yang tidak tahan.
Ada yang asalnya baik, apabila senang dan mewah, dia jadi syaitan.
Dia lupa daratan dan semakin jauh dengan Allah penciptanya.
Sedikit sekali di kalangan hamba Tuhan tidak tergugat imannya di dalam sebarang keadaan.
Senang dan susah padanya sama sahaja, kedua-duanya menambahkan iman.
Kerana itulah di dalam Neraka ramai orang kaya-kaya dan ramai orang-orang besar dan raja-raja serta perempuan.
Marilah kita berlindung dengan Allah daripada nikmat dan kesenangan yang membawa kufur dan derhaka dengan-Nya.
Marilah juga kita berlindung dengan-Nya daripada kesusahan dan kemiskinan yang membawa kekufuran dan derhaka dengan-Nya.
Ya Allah, berilah kami hidayah dan taufiq di dalam sebarang situasi dan keadaan.
Selamatkanlah kami di dalam semua keadaan dan hal.
Amin ya Rabbal 'alamin 


UNTUK BERJAYA CARILAH DOA DARIPADA ORANG-ORANG LAIN


1. Doa daripada Nabi Muhammad SAW - 

Syafaat Nabi itu benar-benar ada. Nabi sayang dan banyak berdoa untuk umatnya. Sayang/cinta dan berimanlah dengan Nabi Muhammad SAW. Perbanyakkan selawat kepada baginda Nabi. Amalkan sunnah-sunnah Nabi Muhammad.

2. Doa daripada para malaikat - 

Malaikat mendoakan kita pada setiap pagi (gandakan hartanya), ketika kita mendoakan orang lain, malaikat juga akan mendoakan kita (amin dan bagi engkau apa yang engkau doakan), malaikat mendoakan kita ketika kita berada di dalam majlis-majlis ilmu (hadirlah majlis-majlis ilmu) (malaikat akan lapor kepada Allah & Allah akan ampunkan dosa2 kita)(keikhlasan mereka yang hadir sama menjadi asbab pengampunan Allah). Malaikat mendoakan mereka yang menjaga adab-adab. 

3. Doa daripada ibu dan ayah - 

Ada keberkatan pada doa-doa ibu dan ayah (berkat -pertambahan kebaikan).

4. Doa daripada orang2 yang soleh/alim - 

Guru-guru kita atau sesiapa sahaja yang kita jumpa supaya mendoakan kita. 
Banyak kejayaan orang-orang terkenal sekarang adalah hasil dari doa guru-guru.

5. Doa dari orang mukmin kepada orang mukmin yang lain - 

Doa dari orang-orang yang kita tidak tahu (sahabat2/teman2).

MADAH baru 269


*M551*
Orang yang tidak berpaut kepada Allah, sekalipun dia seorang yang pandai, 
makin tua makin kosong jiwanya, 
makin ke hujung umurnya makin rasa sepi, 
makin bertambah lagi umurnya, makin menung sahaja, 
ada setengahnya ingin mati segera kerana jemu dengan hidupnya dengan dunia.


*M552*
Beramal dengan qadak dan qadar amat sulit, banyak orang gagal.
Banyak orang jatuh tersungkur di dalam kancah derhaka kerana qadak dan qadar sekalipun pandai menceramahkan tentang qadak dan qadar. Àpabila menimpa diri, jiwanya benci, gelisah setiap hari, mengadu sana mengadu sini, tuduh sana tuduh sini, mengomel dan merintih kepada setiap orang yang dijumpai hingga lupa orang benci, setengahnya ada yang jatuh kufur tidak disedari.


*M553.*
Kalaulah manusia ini rasa bertuhan kuat, nescaya setiap yang berilmu ingin menyampaikan sekalipun tanpa bayaran, setiap yang kaya akan mengagih-agihkan, setiap yang berjuang ingin membela, setiap yang berkuasa ingin menolong dan menjaga.


*M554*
Rasa bertuhan, apabila seseorang itu jiwanya tidak tergugat oleh harta, tidak tergugat oleh derita, tidak tergugat oleh orang kata, dia termasuk manusia luar biasa kerana jiwanya dengan Tuhan sahaja.


*M555*
Berusaha dan bekerjalah untuk mendapatkan ketentuan dari Allah, janganlah menunggu ketentuan dari Allah, tanpa berusaha dan bekerja, berusaha dan bekerja adalah hak kita, menentukan adalah hak Allah.

kenal Diri Maka Kenal Tuhan




Selalulah periksa hati atau jiwa.
Gerakannya halus, perjalanannya seni, kesannya besar.
Sungguh susah dan sulit sekali mengesan perjalanannya.
Kerana gerakannya tidak dapat dilihat oleh mata.
Bahkan akal fikiran pun tidak mampu mengesannya.
Hanya dapat dikesan dengan mata hati itu juga.
Serta disuluh oleh ilmu mengenai hati atau jiwa.
Siapa mengenal dan dapat mengesan perjalanan hati atau jiwanya, dia telah mengenal dirinya sendiri.
Orang yang mengenal diri, dia akan mengenal Tuhannya.
Barangsiapa tidak mengenal diri sendiri, sudah pasti dia tidak kenal Tuhan yang menjadikannya.
Orang yang tidak kenal Tuhan adalah menjadi bencana kepada dunia.
Makin pandai, jika tidak kenal Tuhan, makin menjadi perosak kepada dunia dan manusia.
Semakin kaya, kalau tidak kenal Tuhan, semakin merbahaya kepada manusia dan kehidupan.
Lebih-lebih lagi orang yang berkuasa tidak kenal Tuhan.
Berlakulah penzaliman, penganiayaan dan penindasan.
Aduh! Awasilah manusia yang derita dan terseksa.
Malang kepada manusia.
Berbagai-bagai perkara yang besar dan sulit manusia telah mengesan dan mengenalnya.
Bermacam-macam ilmu yang telah dapat diteroka.
Tapi malang sekali, sedikit sekali manusia yang mengenal diri. 


MADAH baru 268



*M546*
Zaman ini secara umumnya yang kita lihat, kambing orang di negara-negara padang pasir lebih taat kepada tuannya daripada orang-orang di negara-negara padang pasir kepada Tuhannya.


*M547*
Wahai manusia, janganlah kamu berbangga dan sombong dengan rekaan dan ciptaanmu, kalau tidak ada  bahan-bahan ciptaan dari Allah, kamu tidak akan dapat membuat dan mereka barang-barang itu.


*M548*
Banyak ahli-ahli sains mengkaji kejadian alam, kajian demi kajian, selidik demi selidik yang dibuat, akhirnya terdinding Pencipta. Apa yang mereka dapat adalah keajaiban alam bukan kehebatan pencipta-Nya.


*M549*
Layang-layang itu kalau terputus daripada tali pemegangnya atau diputuskan oleh pemegang tali, makin besar layang-layang itu dan semakin tinggi dia naik, jatuhnya bertambah teruk dan parah. 
Begitulah manusia, makin besar dan tinggi kedudukannya, apabila dia memutuskan diri dengan Tuhan atau Tuhan memutuskan hubungan dengan dirinya, kejatuhan dan kehinaannya lebih parah lagi.
Justeru itu, Tuhan adalah satu keperluan.


*M550*
Orang yang tidak percayakan Tuhan dan hari akhirat, adakalanya lebih berani daripada orang Islam, kerana di hati kecilnya berkata: "Kalau aku mati, aku jadi tanah, aku tidak berhadapan dengan kesusahan, selesai masalah. Kalau nasib baik, aku berjaya di dunia."

Milikilah Bahagia Hakiki



Susah hati itu kalau diikut-ikutkan sangat, 
ia akan parah menjadi penyakit jiwa.
Dari susah hati pergi kepada sedih, 
dari sedih kepada derita dan sengsara, 
kemudian kecewa, akhirnya putus asa.
Di waktu itu kaya, pandai, jawatan tinggi, nama, glamor, ada kuasa
tidak ada guna, 
tidak ada erti apa-apa.
Orang yang semacam ini kalau serba ada sekalipun, gelap dunianya.
Setengah orang bunuh diri kerana putus asa.
Mengapa dia kecewa hingga putus asa?
Padahal segala keistimewaan telah dimilikinya.
Ketahuilah, memiliki keistimewaan dunia bukanlah segala-galanya sekalipun tidak salah mempunyainya.
Kebahagiaannya sementara, atau kebahagiaan tipu daya, tidak sampai ke hujung, akhirnya kecewa.
Kebahagiaan bersama Tuhan adalah hakiki, sejati, kekal abadi.
Tuhan adalah segala-galanya.
Keistimewaan dunia tidak dapat apa-apa pun tidak mengapa.
Tapi kalau kehilangan Tuhan, segala-galanya tidak ada erti apa-apa.
Tapi kalau dapat kedua-duanya, dapat Tuhan, miliki dunia pula, ia menambah bahagia.
Bahagia dengan Tuhan tidak cukup percaya sahaja, sekalipun banyak ibadahnya.
Bahagia dengan Tuhan kenalah kenali Dia, kemudian terus takut dan cinta.
Kemudian yakin pula dengan peranan Tuhan.
Apa yang dilakukan-Nya kepada kita tidak sia-sia.
Apa yang Tuhan lakukan kepada kita, sama ada lahirnya nampak negatif atau positif, ada hikmahnya, ada pengajarannya.
Tuhan Maha Suci dari menganiaya.
Kalau pandai menerimanya, di situlah ada kebahagiaan.
Jika faham apa maksud Tuhan yang dilakukan-Nya kepada kita, kita redha, jiwa akan tenang.
 

MADAH baru 267


*M541*
Kalau seseorang itu tidak membuat persiapan untuk selepas mati, dia tidak dianggap cerdik, hanya sekadar pandai sahaja.


*M542*
Kalau kita orang yang berkuasa, ingatkan kuasa Allah, agar kita adil dan tidak menyalahgunakan kuasa. 
Kalau kita hakim atau kadhi, ingatlah di akhirat nanti ahkamul hakimin yang akan mengadili semua manusia termasuklah para hakim di dunia agar kita adil dengan saksama.
Kalau kita orang kaya, ingatlah Allah yang Maha Kayalah yang mengurniakan kekayaan itu, Dia akan tanya daripada mana dapat, bagaimana menggunakan dan kepada apa digunakan, agar kita mengelakkan daripada harta yang haram dan kita akan gunakan harta itu kepada yang diredhai-Nya.
Kalau kita orang yang alim, hendaklah kita ingat bahawa kita adalah pewaris Nabi, wajib menyampaikan kepada manusia, di samping menjadi contoh kepada manusia, agar kita tidak menyorokkan ilmu dan kita akan memberikan nasihat kepada manusia serta menjadi suri teladan kepada hamba-hamba Allah di dunia.


*M543*
Allah adalah Maha Besar, tiada yang lebih besar daripada Allah, justeru itu Dia patut dibesarkan dan patut disembah. Kalau ada orang yang lebih membesarkan pangkatnya, kekayaannya, perempuan-perempuan cantik hingga lupa membesarkan Tuhan atau dengan Tuhan acuh tak acuh, apa yang dibesarkan itu, itulah Tuhannya. Lantaran itulah Allah berfirman yang bermaksud: "Tidakkah kamu melihat ada orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan."


*M544*
Percayakan Allah yang Maha Àdil dan Maha Rahmat, serta percayakan akhirat dan pembalasan-Nya, menjadikan orang Islam tenang dan senang serta mengelakkan daripada kecewa dan putus asa. Contohnya kalau dia dizalimi, di akhirat akan diadili dengan adilnya, senang hatinya, ada lagi mahkamah yang akan membelanya.
Kalau dia susah dan menderita di dunia, dia tahu dosanya akan diampunkan atau ditinggikan darjatnya, lalu terhibur hatinya.
Kalau permintaannya kepada Allah tidak tertunai, di dunia hatinya tidak resah dan gelisah, kerana dia tahu Allah hendak simpankan di akhirat kelak.


*M545*
Jika rasa bertuhan tidak wujud pada seseorang, tidak mungkin dia boleh menjadi orang baik, seperti jujur, amanah, pemurah, tawadhuk, sabar, redha, pemaaf, meminta maaf, tawakal, bertolak ansur. Kalaupun dia nampaknya tidak jahat kerana keadaan tidak memberi peluang padanya membuat jahat, bukan kerana dia takutkan Allah SWT.

Fizikal Kuat, Jiwa Rapuh


Ramai orang yang lasak badannya tidak lasak hatinya.
Ketahanan badannya luar biasa, tidak tahu letihnya, tapi hatinya rapuh.
Boleh berjalan jauh, boleh membuat kerja berat, kurang rehat, sungguh luar biasa.
Jarang sakit, kalau sakit ringan masih boleh membuat kerja.
Mampu mendaki gunung, larat merenangi lautan, sanggup merentas hutan belantara.
Kerja tidak rehat-rehat, cergas, tangkas, gegas.
Begitulah hebatnya tubuh kasarnya, boleh menanggung beban yang berat, kurang rehat.
Tapi malang sekali ramai orang hatinya rapuh.
Jiwanya tidak tahan lasak, mudah sakit, mudah letih, mudah sedih.
Hatinya mudah merajuk, susah dipujuk, mudah sakit hati, mudah gelisah.
Mudah sahaja hatinya benci, meluat, jemu, lesu.
Jiwanya mudah terseksa, derita, sengsara, resah.
Jiwanya mudah sahaja tersinggung, padahal masalah kecil sahaja, tapi jiwa tidak mampu menanggung.
Mudah sakit hati, mudah berdendam, mudah dengki, mudah kecewa.
Yang lebih dahsyat mudah sombong, mudah marah, mudah menyerang, mudah tercabar.
Hati tidak tahan ada saingan, ada cabaran, ada tekanan, ada gesaan.
Begitulah manusia, ramai yang fizikalnya tahan lasak, tapi jiwanya rapuh, reput, mudah terpelengot.
Jiwanya tidak tahan lasak.
Tidak mampu dibebankan dengan kesusahan, dibenci, diberi malu, dihina, dikata.
Tidak sanggup ada saingan dan cabaran.
Tidak mampu berhadapan dengan tekanan, gesaan dan arahan, lebih-lebih lagi dengan kemarahan.
Oleh itu ramai orang yang sakit jiwa di dunia ini.
Paling tidak, sering sahaja risau, resah dan gelisah.
Orang yang takut dan cintakan Tuhan sahaja jiwanya lasak dan tidak rapuh.
 

MADAH baru 266


*M536*
Kita lebih banyak mendapat tahu tentang kelemahan diri kita daripada musuh berbanding dengan kawan-kawan kita, justeru itu doakan musuh-musuh kita itu, agar dia mendapat petunjuk atau agar dia diampunkan dosa-dosanya oleh Allah sebagai mengenang jasanya.


*M537*
Mengawal kambing agar jangan merosakkan harta benda orang lain lebih mudah daripada menjaga lidah agar jangan merosakkan orang lain.


*M538*
Jagalah lidah yang lembut ini, dia boleh merosakkan dan boleh membaikkan, boleh memecah belah, boleh mendamaikan, boleh menaikkan, boleh menjatuhkan, boleh menginsafkan, boleh meliarkan, boleh bermusuhan, boleh berkasih sayang, boleh membohongkan, boleh membenarkan, dengan kata-kata lain, lidah adalah penawar, lidah juga adalah racun.


*M539*
Bagaimana hebatnya kita dan walau besar manapun rumah kita, bila kita mati, rumah pertama yang kita masuki ialah keranda sebesar saiz badan kita, kemudian kita dipindahkan ke lubang kubur, kiri kanan tanah, atas bawah tanah, sangat sempit dan terhimpit, tidak ada sebarang lampu yang menerangi.


*M540*
Hendaklah kita takutkan Allah di sebarang tempat dan keadaan, kerana kematian kita tidak diberitahu, di tempat mana dan dalam keadaan macam mana, moga-moga kita mati di dalam keadaan bertaqwa.

Tujuan Mengenal Tuhan

Mengenal Tuhan tujuannya agar segala usaha dan ibadah ada tempat tujuan yang hendak disembahkan.
Agar segala usaha dan ibadah tidak disia-siakan.
Mengikut syariat itulah disiplin hidup dan syiar-Nya.
Sekaligus nampak kelihatan di dalam kehidupan insan, ayat-ayat dan tanda-tanda kebesaran Tuhan.
Akhlak yang mulia pula itulah dia bunga-bunga yang indah pada diri-diri insan.
Dari situlah di dalam pergaulan manusia di antara satu sama lain senang-menyenangkan.
Bahagia-membahagiakan, rindu-merindui untuk berjumpa.
Dari sinilah indahnya pertemuan di dalam pergaulan.
Kerana masing-masing di dalam diri membawa bunga.
Satu sama lain hibur-menghiburkan.
Suka-menyukakan dan menggembirakan.
Memanglah tabiat bunga sama ada bunga yang lahir mahupun bunga yang maknawi dan rohani.
Ia menyukakan, menghiburkan, menyenangkan dan menyejukkan mata dan hati.
Kalau bunga diri atau bunga-bunga maknawi dan rohani tidak ada, pertemuan manusia sesama manusia sangat menjemukan.
Bahkan di dalam setengah-setengah hal pertemuan itu sangat menakutkan.
Akibatnya pertemuan dan pergaulan itu dibuat sebab terpaksa.
Tidak bergaul, manusia tidak boleh hidup bersendirian.
Kerana manusia itu satu sama lain perlu-memerlukan.
Tapi kerana masing-masing bunga diri sudah tidak ada.
Pertemuan dan pergaulan secara terpaksa itu sangat menyakitkan. 


RAHSIA AL-FATIHAH



1. Al fatihah - *Seringkali di baca untuk arwah.*
2. Al fatihah - *Tanpa membacanya solat kita tidak sah*
3. Al fatihah - *Menjadi petunjuk bagi yg buntu dan resah.*
4. Al fatihah - *Jika merindui seseorang, maka bacalah.*
5. Al fatihah - *Dibaca ditiup pada beras, bagi anak yg bermasalah.*
6. Al fatihah - *Salah satu surah penawar sihir, sabda rasulullah SAW.*
7. Al fatihah - *Terjemahannya indah, hafalnya mudah.*
8. Al fatihah - *Sunat dibaca ketika masuk dan keluar rumah.*
9. Al fatihah - *Sunat dibaca ketika dirimu sedang marah.*
10. Al fatihah - *Bersama amalkan, tiada resah walaupun resah.*

*FADHILAT AMALAN HADIAHKAN AL FATIHAH*

Hari ini saya ingin kongsikan rahsia seorang bapa yang sangat saya hormati ilmu dan keperibadiannya. Oleh kerana saya sedang berusaha untuk 'tidak terlupa' mengamalkan nasihatnya, maka saya cuba kongsikan.

Kata orang, makin kita rajin menyampaikan, makin lekat sesuatu perkara itu di dalam ingatan. Jadi, seperti biasa, sama-samalah kita pesan memesan dan menyebar kebaikan.

Kata si bapa, ada satu amalan yang dilakukannya secara istiqamah. Setiap kali lepas solat, dia akan hadiahkan al-fatihah buat anak-anaknya.

Amalan tu bermula sejak Allah 'mengetuk hatinya' ketika mendengar satu kuliah di masjid. Kata penceramah, ramai yang malas hadiahkan al-Fatihah kepada Baginda Rasulullah. Dia yang tak pernah melakukannya serta merta diterasa sebak lalu menangis teresak-esak.

Sejak itu, amalan menghadiahkan bacaan al-Fatihah mula menjadi tabiatnya. Selesai solat, itulah ikhtiarnya. *Dihadiahkan Al-Fatihah untuk Rasulullah, kedua arwah ibubapanya, isteri kesayangannya dan juga anak-anak permata hatinya* juga.

Barangkali berkat amalan mudah itu, dia hidup tenang dan berjaya. Saya juga tumpang seronok melihat keluarga bahagianya.

Sahabatku yang baik, 
Cuma hadiahkan al-Fatihah! Mudah sahaja, kan? Berapa minit sangat masa yang diperlukan? Tapi perkara yang mudah, tidak akan mampu kita buat tanpa hidayah, perkara yang semudah ini pun kadang-kadang kita gagal buat dengan istiqamah.

Kita mungkin biasa membaca al-Fatihah sebagai wirid selepas solat. Namun selepas ini, jangan lupa niatkannya sebagai hadiah. Sebut satu persatu nama penerimanya. *Secara automatik, dengan hanya satu amalan, pahala kita akan jadi berganda-ganda. Sudah dapat pahala membacanya, dapat pula pahala bersedekah* dan mendoakan kebaikan untuk mereka.

Mulai sekarang, ketika ini, jom kita cuba buat perkara2 mudah yang disukai Allah. Jgn lupa, setiap kebaikan yang kita kirimkan untuk orang lain, pasti akan kembali pula kepada kita. Subhanallah.

Jom sama2 kita beramal secara istiqomah hadiahkan al-fatihah untuk Rasulullah SAW, kedua ibubapa kita, untuk suami/isteri kesayangan serta anak2 permata hati kita. Usah lupa hadiahkan untuk diri sendiri juga.
Aamiin. InsyaAllah, moga mendapat baroqah yg berterusan hingga ke jannah.

Kongsilah dengan rakan group yg lain...mudah-mudahan  penyebaran ini mendapat keberkatan dan pahala dari Allah s.w.t.               Alfatihah..

MADAH baru 265


*M531*
Apabila anak-anak majoriti telah rosak akhlaknya, perangai-perangai mereka telah mencucuk mata, majoritinya ibu dan ayahnya yang salah, bukankah pepatah Melayu ada berkata:
Bapa borek anaknya rintik.
Apabila murid-murid sudah banyak tidak bermoral, disiplin diri sudah tiada, majoritinya guru-gurunya yang bersalah, bukankah pepatah Melayu ada mengatakan:
Guru kencing berdiri, murid kencing berlari.
Apabila rakyat sudah banyak membuat masalah, disiplin diri sudah punah, menunjukkan kebanyakan pemimpin juga sudah rosak, kalau tidak terang-terangan membuat kejahatan, tetapi secara di balik tabir membuat maksiat, bukankah Hadis ada berkata yang maksudnya:
Manusia itu mengikut agama rajanya (pemerintahnya), ertinya bagaimana pemerintahnya begitulah rakyatnya.
Oleh itu untuk membaikkan golongan tadi, kita jangan jadi macam ketam, menyuruh anak-anaknya berjalan betul.


*M532*
Bermesralah satu sama lain, diberi pahala. Jangan gelak ketawa, hati mati membawa kepada dosa. Ziarah-menziarahi dan jaga disiplin, ia mendatangkan kasih sayang yang sangat diperlukan.
Bertolong bantulah, memudahkan kerja di samping perpaduan. Rasa susahlah di atas kesusahan orang lain, bergembiralah di atas kegembiraan orang lain, kita akan hidup di dalam harmoni.


*M533*
Setialah berkawan, kesalahannya lupakan, dia tersilap ingatkan, nasihatnya besarkan, kesusahannya jangan biarkan, harapannya tunaikan,  keluarganya hormatkan.


*M534*
Memberilah jangan sampai memalukan, menolonglah jangan sampai hilang kemerdekaan orang, membantulah jangan ada udang di sebalik batu.


*M535*
Biarlah berputih hati, jangan berputih mata, berkata-katalah jangan mengata, prihatinlah tapi jangan cari-cari pasal. 

 

Panduan Mujahadah


Mujahadah itu adalah satu kerja yang besar dan mencabar.
Mujahadah adalah satu penyeksaan dan menyusahkan. 
Mujahadah itu pahit tetapi di hujungnya manis.
Orang yang mampu bermujahadah itu secara istiqamah hanya orang yang berjiwa besar.
Mujahadah itu berperang di antara kehendak nafsu dan kehendak Tuhan.
Yang menerima risikonya adalah jasad atau badan. 
Adakalanya ia sangat menjemu dan membosankan.
Kalau jiwa tidak kuat, ia hanya berlaku sekerat  jalan.
Mujahadah, bertarung di antara kehendak Tuhan dengan kehendak nafsu dan syaitan.
Kata Tuhan, buat. Kata nafsu, jangan.
Kalau takutkan Tuhan tidak kuat, kata nafsulah akan diikutkan.
Adakalanya kata nafsu buat, kata Tuhan jangan.
Kalau tidak kuat takutkan Tuhan, kita akan buat arahan nafsu dan tidak larat hendak ikut Tuhan.
Kehendak nafsu dengan kehendak Tuhan selalu sahaja berlawanan.
Sentiasa sahaja dua kehendak itu macam tarik tali, masing-masing hendak menang.
Adakalanya kehendak Tuhan menang, adakalanya kehendak nafsu yang menang.
Kalah menang, kalah menang, selalu sahaja berlaku di dalam perlawanan.
Secara umumnya kehendak nafsulah selalunya yang berjaya dan menang.
Aduh! Oleh kerana dua kehendak, badan terseksa dan menyakitkan.
Jika takutkan Tuhan dari masa ke semasa dapat diganda-gandakan, Tuhanlah yang berjaya dan menang.
Takutkan Tuhan itulah pemangkin satu tenaga yang nafsu akan dapat dikalahkan.
Apabila kemahuan kita hendakkan Tuhan semakin kuat, nafsu sering dikalahkan.
Selain selalu meminta pertolongan Tuhan mengalahkan nafsu, insya-Allah Tuhan akan memberi kekuatan.
Jika kita semakin serius hendak ikut Tuhan, bukan nafsu dan syaitan, rahmat Tuhan pun datang.
Selepas itu mujahadah semakin  diringankan atau dimudahkan Tuhan.
Mujahadah yang bersungguh-sungguh itulah, jalan-jalan kebaikan di depannya semakin diperlihatkan oleh Tuhan.
Di waktu itu orang itu kebaikannya yang dibuat semakin banyak dan global, berterusan.
Itulah dia rahmat Tuhan bagi orang yang bermujahadah sungguh-sungguh dan berterusan kerana keredhaan Tuhan.
Tuhan pun ada memberi ingatan di dalam Al Quran: 
“Mereka yang bersungguh-sungguh kerana Tuhan, Tuhan pun akan tunjukkan jalan-jalan kebaikan.”
Tuhan sesungguhnya bersama orang-orang yang membuat kebaikan.
Begitulah cerita mujahadah.
Peringkat awal memang amat payah dan menjemukan.
Kalau tidak sungguh-sungguh dan tidak meminta bantuan Tuhan, mujahadah separuh jalan.
Bermujahadah itu memang menyusahkan dan menjemukan.
Bermujahadah sampai dapat memakan buah, sungguh jauh perjalanannya.
Siapa yang sanggup bersungguh-sungguh menempuh jalan, di hujung nanti datang rahmat Tuhan.
Hendak sampai kepada rahmat Tuhan itu sungguh sulit dan melalui penderitaan.
Jarang orang boleh bermujahadah sampai ke hujung.
Biasanya ramai yang sekerat jalan kerana banyak sangat gangguan.
Kecuali orang yang dibantu oleh Tuhan.  

MADAH baru 264


*M526*
Tidak mengapa miskin asalkan maruah terjaga, daripada kaya maruah sudah tiada.


*M527*
Kehilangan maruah ertinya kehilangan harga diri, kehilangan harga diri ertinya kehilangan aset diri, kehilangan aset diri bererti seorang itu telah kehilangan segala-galanya yang bersifat maknawi dan rohani, justeru itu hilang keyakinan orang sepanjang hayatnya.


*M528*
Kalau seseorang itu berdisiplin kerana undang-undang, etika kerja atau etika di dalam pergaulan atau malu dengan orang, ia bersifat pura-pura, ia tidak akan kekal, disiplin yang berkesan itu ialah yang datang daripada kesedaran jiwanya, dorongan dari lubuk hatinya, justeru itulah disiplin kehidupan mestilah bertunjangkan iman/aqidah.


*M529*
Watak manusia suka meniru dan selalu meniru sama ada di segi pakaian mahupun tingkah laku. 
Biasanya yang lemah mengikut yang kuat, yang disayangi mahupun yang dihormati.
Anak-anak mengikut tingkah laku ibu bapanya, yang rendah mengikut yang tinggi, yang bersandar, kepada siapa sandarannya. Murid-murid, guru-gurunyalah tempat ikutannya. 
Pengikut-pengikut, ketua-ketuanyalah suri teladannya. Pekerja-pekerja, majikannyalah tiruannya. Staf-staf pejabat, bos pejabatnyalah contoh teladan.


*M530*
Kalaulah di dalam keluarga atau rumah tangga bersifat pendidikan, guru-gurunya adalah ibu dan bapa sebagai suri teladan.
Di sekolah bersifat pendidikan, cikgu-cikgunyalah sebagai guru, mereka adalah suri teladan.
Di kampung bersifat pendidikan, ketua kampung sebagai guru, akan menjadi suri teladan, di mukim dan di daerah, datuk penghulu dan pegawai daerah sebagai pendidik dan menjadi suri teladan, begitulah seterusnya di dalam masyarakat umum, ketua negara, menteri-menteri, wakil-wakil rakyat bersifat mendidik dan menjadi suri teladan kepada rakyat, gejala masyarakat yang negatif tidak akan wujud, kecuali sedikit sangat.
Wujudkah masyarakat di Malaysia begini?! Masing-masing boleh memberi jawapan.

Niat Yang Betul Adalah Roh Amal



Engkau bersembahyang tidak semestinya engkau sembahyang.
Kalau bukan sembahyang, ertinya bukanlah ibadah namanya.
Lahir adalah rangka, khusyuk adalah roh atau jiwanya.
Tidak khusyuk ibadah, ibadah bangkai namanya.
Kalau ibadah bangkai, apakah Tuhan terima?
Engkau bekerja apakah hendak menambah taqwa?
Atau engkau bekerja hanya semata-mata menambah gaji.
Kalau semata-mata jadi gaji, akhirnya jadi najis atau jadi barang yang buruk sahaja.
Sifat taqwa itu adalah di atas kerja dan usaha.
Untung dunia ia terjadi dengan sendirinya.
Selama mana kita bekerja dan berusaha, memang ada hasilnya.
Kalau ia dibagi roh atau jiwa, alangkah baiknya.
Ia menghasilkan sifat taqwa.
Itulah bekalan ke Akhirat sana.
Untung di dunia memang terjadi dengan sendiri di atas kerja dan usaha.
Rohnya itu adalah kerana keredhaan Allah.
Jiwanya itu adalah kerana niat berkhidmat kepada manusia.
Kerana memudahkan manusia, membantu manusia di dalam kehidupannya.
Menolong memudahkan kehidupan mereka.
Dengan adanya usaha-usaha dan kerja-kerja kita itu, kalau niatnya betul, dapat pahala, itulah taqwa namanya.
Apakah kita berusaha dan bekerja ada niat kerana Allah dan untuk berkhidmat kepada hamba-hamba-Nya?
Apakah kita berusaha dan bekerja semata-mata kerana hendak hidup semata-mata?
Di sana ada gaji atau upah, atau ada hasil yang kita perolehi?
Hasil dari usaha tidak payah diniatkan, ia biasanya terjadi dengan sendiri.
Tapi apakah di dalam usaha itu ada niat yang murni seperti yang diceritakan tadi?
Niat yang murni itulah yang dikatakan di antara sifat taqwa.
Alangkah untungnya kalau kita bekerja dan berusaha mendapat dua pahala.
Pahala dunia itulah hasil usaha yang kita rasa di dunia lagi.
Pahala Akhirat kerana pada usaha dan kerja itu kita ada niat kerana Allah  dan berkhidmat kepada manusia.
Niat yang betul itulah roh amal, roh usaha, roh kerja, roh ibadah.
Itulah dia sifat taqwa untuk bekalan ke Akhirat sana. 

 

sahabat dan durian

 
--------------------

Satu hari ada seorang kawan lama call..
.
Dia nak datang ziarah kita setelah lama tak jumpa..
.
Bayangkan dah 10 tahun tak jumpa.
.
Gembira, teruja, tak sabar nak jumpa..
.
Maklumlah member zaman universiti. 
Susah senang sama sama.. 
Satu rumah sewa.. 
Pegi kuliah sama sama.. 
Main Counter Strike sama sama.. 
Main snoker sama sama.. 
Makan maggi dalam baldi sama sama..
.
Fuhhh...legend !!!
.
.
Kita pun azam nak prepare yang terbaik untuk dia..
.
.
Kebetulan pula kita ada dusun durian. Dan kebetulan durian pula tengah banyak. So apa lagi, kita pun bersiap nak ke dusun untuk ambil durian. Kita niat nak jamu dia 2 bakul durian..
.
Ya..dua bakul besar yang selalu apek guna untuk letak durian tu..
.
Yelah..Takkan member lama nak jamu sebijik dua kan? Dia pun dah ada famili.. Kita nak sedia the best untuk kawan lama..
.
.
Sampai di dusun banyak nyamuk. Bersilat kita dan menampar nampar nyamuk yang banyak..
.
Kemudian ada kerengga yang gigit kaki kita. Kita tepis, 
.
" Adoiii..kurang asam punya kerengga.." teriak kita..
.
.
Tak lama kemudian kita ternampak lipan tersangkut di bakul yang kita bawa tadi. Kita pun ambil kayu dan habiskan riwayat lipan tersebut..biarpun ambil masa dua tiga kali sebab cucuk tak kena kena.. 
.
.
.
Soalan?
Adakah kita terganggu dengan nyamuk, gigitan nyamuk dan lipan tadi?
.
Tentunya TIDAK. Sebab apa?

Sebab Tujuan kita jelas iaitu nak ambil 2 bakul buah durian dan niat nak jamu the best untuk kawan lama kita...
.
.
Justeru, nyamuk, kerengga dan lipan itu tidak mendatangkan apa apa kesan pun selagi durian kita tidak berjaya dikutip.
.
.
Sama juga dengan kehidupan..
.
Jika kita tahu ada tujuan atau matlamat yang lebih besar untuk kita capai selepas kehidupan, benda benda sampingan yang datang akan menjadi kecil.

==============

Allahua'lam.

sedekah

salam wrt...

sedikit perkongsian tentang kelebihan sedekah...

Adakah anda pernah membaca tntang faedah bersedekah?

1) amalan sedekah itu adalah salah satu pintu daripada pintu2 syurga

2) sedekah adalah sebaik2 amalan soleh dan sebaik2 sedekah ialah memberi makan

3) pahala sedekah akan menaungi pemiliknya pada hari kiamat dan melepaskannya dari azab neraka

4) sedekah dapat memadam kemurkaan Allah dan kepanasan kubur

5) sedekah adalah sebaik2 hadiah buat si mati, yang paling bermanfaat untuknya di kubur dan yang ditambah oleh Allah akan rezeki (kerana bersedekah)

6) sedekah adalah satu penyucian harta dan jiwa dpt menggandakan kebaikan.

7) sedekah adalah punca kegembiraan si pemberi dan punca wajahnya bercahaya di hari kiamat

😎 sedekah menjadi pengaman dari ketakutan pada hari huru hara besar dan hari yang tiada kesedihan kerana hilangnya sesuatu drpnya (hari kiamat)

9) sedekah menjadi punca keampunan trhadap dosa dan penghapusan daripada kejahatan

10) sebagai pembawa berita gembira tntang pengakhiran yg baik dan punca doa malaikat buatnya

11) orang yg bersedekah adlah org yg terbaik di kalangan manusia. Pahala sedekah pula adalah utk semua yg berkongsi tentang sedekah itu (bukan hanya utk si pemberi)

12) pemberi sedekah dijanjikan kebaikan yg banyak dan pahala yg besar

13) org yg suka menginfaq adalah salah satu sifat orang yg bertaqwa. Dan sedekah menjadi punca lahirnya kasih sayang hamba Allah kepada si pemberi.

14) sedekah tanda dermawan dan salah satu tanda kemuliaan dan kemurahan hati

15) Bersedekah memustajabkan doa dan merungkaikan segala kesulitan.

16) bersedekah menolak bala dan menutup 70 kejahatan di dunia.

17) sedekah memanjangkan umur, menambah rezeki, menjadi punca rezeki dan kemenangan

18) sedekah menjadi ubat, penawar dan penyembuh

19) sedekah menghalang kebakaran, tenggelam akibat banjir dan kecurian

20) pahala sedekah adalah tetap (tidak berbeza-beza) walaupun diberikan kepada haiwan ternakan atau burung2.

Dan sebaik2 sedekah skrg ini ialah menyebarkan msj ini dengan niat bersedekah.

silakan😊😊😊

MADAH baru 263


*M521*
Kalau rukun iman tidak dihayati, rukun Islam diabaikan, akhlak Islam tidak menjadi pakaian diri, orang itu tidak boleh dipercayai sekalipun pejuang Islam atau mubaligh, walau hebat membangun dunia untuk kepentingan manusia katanya atau kononnya.


*M522*
Menunggu atau menanti membawa kegelisahan, makin ke hujung membawa kecemasan, apabila sampai masa yang ditunggu tidak datang, membawa kekecewaan, adakalanya membawa kekesalan yang tidak berkesudahan. 
Oleh itu janji kita dengan orang jangan diabaikan.


*M523*
Orang yang bermaruah, biarlah hilang harta, wang ringgit, kehilangan jawatan dan kerja daripada kehilangan maruah diri kerana ia merupakan aset yang paling berharga pada manusia sepanjang hayat.


*M524*
Kalaulah barang yang berharga seperti emas, perak, intan, berlian tidak diletakkan lagi pada tempatnya iaitu di dalam bekas yang tertutup atau di dalam tempat yang eksklusif, ia akan terdedah sama seperti barang yang murah, pasti ia akan binasa, lebih-lebih lagi akan dicuri orang.
Begitulah perempuan, terutama wanita muda, aset yang sangat berharga, sudah tidak mahu lagi diletakkan di tempat yang terkawal bahkan sudah diletakkan di tempat yang terdedah, pastilah dia akan rosak dan merosakkan.


*M525*
Kesusahan bukanlah satu kehinaan, selagi dia tetap menjaga maruah diri, kesenangan tidak mesti mulia, kalau maruah sudah hilang.

Bumi Tuhan... Bersaksilah