Terbaik

Imam Hasan Al Basri :"Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, BUKAN bererti akulah yang TERBAIK dalam kalangan kamu, BUKAN juga yang PALING SOLEH dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui BATAS untuk diri sendiri, seandainya seseorang itu HANYA dapat menyampaikan DAKWAH apabila dia sempurna, nescaya TIDAK akan ADA PENDAKWAH, maka akan jadi sikitlah orang yang MEMBERI PERINGATAN"

Zat yang Maha Hebat

Zat-Nya Adalah Maha Hebat
 
Apakah engkau tidak takut kepada satu Zat yang luar biasa
Yang Dia adalah Maha Berkuasa di atas segala-galanya
Dialah yang menaikkan orang-orang yang berkuasa
Dia jugalah yang menurunkan orang yang pernah berkuasa
Dialah yang memuliakan sesiapa yang Dia kehendaki
Itulah Dia Tuhan yang patut kita cintai dan takuti
Zat-Nya adalah Maha Hebat
Dekat-Nya tidak boleh ditunjukkan seperti makhluk
Jauh-Nya tidak boleh kita katakan
Kerana Dia tidak berjarak
Zat-Nya tidak terlibat dengan tempat dan juga tidak dilingkung oleh masa
Dia tidak terlibat dengan pihak dan hala
Kerana pihak dan hala adalah juga ciptaan-Nya
Tuhan tidak berhajat kepada makhluk-Nya
Tapi makhluk-Nyalah yang berhajat kepada-Nya
Istimewanya Dia kerana tidak dapat digambarkan
Bagaimana hendak digambarkan kerana Dia Maha Suci daripada penyerupaan
Yang boleh digambarkan itu ialah yang ada penyerupaan dan persamaan
Dialah yang mencipta seluruh yang wujud dan mentadbirnya
Seluruh yang ada ini, yang kecil dan yang besar
Pada Allah satu sahaja pandangan-Nya
Tidak ada berperingkat-peringkat penglihatan-Nya
Iaitu kecil dan besar sama sahaja, tidak ada perbezaannya
Tapi Dia tahu ada yang kecil dan ada yang besar
Itulah Dia Tuhan yang patut kita takuti dan cintai

suami isteri

Isteri gelisah memikir hidup mati
Suami gelisah memikir pengganti

Isteri bersabar demi kandungan
Suami berdebar mengikat hubungan

Isteri menangis terkenangkan anak
Suami menangis terbayang yang enak

Isteri bukan lagi vitamin
Suami sudah meniti pelamin

Isteri gundah membayangkan hospital
Suami semakin diserang gatal

Isteri tersentak tatkala dicerai
Suami tersenyum ikatan terlerai

Isteri melangkah hati kecewa
Suami menikah gelak ketawa

Isteri pendam si air mata
Suami bahagia membilang permata

Kepada yang ikuti paparan saya sejak dua tahun lalu, memang banyak kes wanita teraniaya. Termasuklah kes isteri dicerai ketika hamil, menjadi ibu tunggal, menjadi ibu tinggal... Malah saya juga menulis kisah mereka dalam lagu Sampai Bila.
“padamu aku hanya kaca yang tak berharga, pudar seri, kosong, kelam... tak bermakna."

Kredit: Fedtri Yahya

Engkau Ingin Berjuang?



Engkau ingin berjuang , tapi tidak mampu menerima ujian,
Engkau ingin berjuang, tapi rosak oleh pujian,
Engkau ingin berjuang, tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan.

Engkau ingin berjuang, tapi tidak begitu setia kawan,
Engkau ingin berjuang, tapi tidak sanggup berkorban,
Engkau ingin berjuang, tapi ingin jadi pemimpin,
Engkau ingin berjuang, menjadi pengikut agak segan.

Engkau ingin berjuang, tolak ansur tidak engkau amalkan, 

Engkau ingin berjuang, tapi tidak sanggup terima cabaran,
Engkau ingin berjuang, kesihatan dan kerehatan tidak sanggup engkau korbankan.

Engkau ingin berjuang, masa tidak sanggup engkau luangkan,
Engkau ingin berjuang, kerenah isteri tidak kau tahan,
Engkau ingin berjuang, rumah tangga lintang pukang,
Engkau ingin berjuang, diri engkau tidak engkau tingkatkan.

Engkau ingin berjuang, disiplin diri engkau abaikan,
Engkau ingin berjuang, janji kurang engkau tunaikan,
Engkau ingin berjuang, kasih sayang engkau cuaikan,
Engkau ingin berjuang, tetamu engkau abaikan.

Engkau ingin berjuang, anak isteri engkau lupakan,
Engkau ingin berjuang, ilmu berjuang engkau tinggalkan,
Engkau ingin berjuang, kekasaran dan kekerasan engkau amalkan.

Engkau ingin berjuang, rasa bertuhan engkau abaikan,
Engkau ingin berjuang, iman dan taqwa engkau lupakan,
Yang sebenarnya, apa yang engkau hendak perjuangkan?

ngadu domba

Orang yang mengadu domba adalah orang yang menyampaikan cerita dari satu orang kepada yang lain dengan tujuan menyebabkan permusuhan di antara mereka.

Hukum mengadu domba adalah haram, menurut ijma’ kaum muslimin. Keharamannya telah ditunjukkan oleh dalil-dalil syar’ie baik dari al-Quran dan juga as-Sunnah.

Allah berfirman, “Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina yang banyak mencela, yang ke sana ke mari mengadu domba.” (Al-Qalam: 10 – 11)

Merendah Diri Bukan Penghinaan


Ramai orang menganggap merendah diri itu satu penghinaan, bahkan satu kelemahan
Mengangkat diri atau sombong satu penghormatan bahkan satu kebanggaan dan kekuatan
Padahal merendah diri itulah satu penghormatan, bahkan satu kekuatan
Mengangkat diri itu satu penghinaan, bahkan satu kelemahan
Merendah diri orang senang, lembut hati orang, lahirlah kasih sayang
Dari kasih sayang lahir perpaduan, perpaduan membawa kekuatan
Mengangkat diri atau sombong, orang benci, hati orang renggang
Orang benci, hati renggang, pecah perpaduan
Satu tunggak kekuatan hilang
Pecah perpaduan di kalangan bangsa, satu kelemahan
Oleh itu fahaman ramai orang terbalik
Yang membawa kelemahan dikatakan akan membawa kekuatan
Yang akan membawa kekuatan dianggap membawa kelemahan
Di sini dapat kita faham ilmu sahaja tidak cukup kalau tidak ada didikan
Ilmu sahaja tidak cukup kalau tidak faham dan penghayatan
Berilah ilmu dan kefahaman
Yang lebih penting lagi diamalkan
Semuanya itu adalah penghayatan ilmu
Penghayatan ilmu itu barulah ilmu dapat dimanfaatkan di dalam kehidupan

Arab lemah?

Di waktu umat Arab sudah lemah, datangnya satu puak yang kecil sahaja, iaitu puak Kurdi yang dipimpin oleh Salehuddin Al Ayyubi. Pada etnik itu ada sifat besar yang boleh memberi kekuatan pada bangsa itu walaupun bilangannya kecil, iaitu ketaatannya pada pemimpin. Akhirnya bangsa Arab dapat dibela semula oleh satu puak yang asalnya hanyalah kecil dan terpinggir.

Sebagai contoh yang lain, Turki merupakan satu bangsa yang di dalamnya terdapat macam-macam etnik. Di antaranya ialah etnik Saljuk dan etnik Usmaniyah. Bani Usmaniyah ini berasal dari hulu. Pemimpinnya hanyalah merupakan ketua kampung saja. Tapi Tuhan menganugerahkannnya beberapa sifat yang mencabar, yang sangat memberi kekuatan pada kelompok kecil ini, iaitu :

1. Berani
2. Berpadu
3. Sangat mentaati pemimpin.
4. Sangat menjaga dan mengambil berat soal keberkatan

Dengan kekuatan-kekuatan inilah mereka yang asalnya duduk di hulu, ketuanya hanyalah ketua kampung, akhirnya berjaya mengetuai sebuah empayar Usmaniyah di Turki.

Demikianlah cara terbangunnya bani-bani Usmaniyah, Abbasiyah, Fatimiyah dan lain-lain, sehingga masing-masing berjaya membangunkan empayarnya sendiri dan boleh menguasai serta membangunkan Islam hingga akhirnya kegemilangan Islam terlaksana di tangan mereka.

Sibuk? kedekut? kaya? manis? Rugi? miskin? cantik?

Siapakah orang yang sibuk?..
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s 

Siapakah orang yang manis senyumannya?..Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil  berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman. 

Siapakah orang yang kaya?..
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?..
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta. 

Siapakah orang yang rugi?..
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan... 

Siapakah orang yang paling cantik?..
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik. 

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?..Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang. 

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?.. 
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya... 

Siapakah orang yang mempunyai akal?.. Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.. 

Siapakah org yg KEDEKUT? 
Orang yg kedekut ialah org yg membiar atau membuang mesej ini begitu sahaja, malah dia tidak menyampaikan pula pada orang lain..

Anak dan al-Quran

Saya dah lama sedar,

jika kita selalu latih anak untuk baca AlQuran setiap kali bila disuruh atau dijanji dengan reward

sebenarnya tak akan berjaya membentuk habit membaca AlQuran

Jujurnya, anak sy juga sy 'besarkan' begini pada awalnya

walaupun dia mampu menghafaz hingga 5 Juz ada usia 5 tahun

tetapi itu hasil selalu 'disuruh' dan diupah 'reward'

saya selalu buntu bila fikirkan nanti dah besar macam mana nak 'lekatkan' hati anak dengan AlQuran
.
.
Syukur Allah timbulkan kesedaran dalam hati sy awal..

tak jemu sy berdoa setiap masa supaya diberi petunjuk jalan kaedah yg tepat lahirkan anak CINTA Al Quran

Alhamdulillah kini pada usianya hampir menginjak 7 tahun sy nampak perbezaan besar dalam 'attitude baca AlQuran anak'

Hingga beberapa kali keluar dari mulut anak
"Mak, I can't stop baca AlQuran, dah ketagih ni..."

lalu dia baca dalam suaranya yang paling merdu dan dalam diam air mata saya mengalir

Allah, tidak dapat sy gambarkan perasaan sy ..bahagia yang amat

Rupanya Allah menegur saya..saya dulu perlu berubah..

beberapa perubahan yang saya buat sebelum sy dapat nampak 'perubahan' dalam diri anak:

1) Saya berhenti MENYURUH

saya mula lazimi semula Al Quran..jika sebelum ni kadang2 saja baca AlQuran..kini sy peruntukkan wajib setiap hari ada slot sy sendiri baca AlQuran..antara maghrib ke Isya' sy akan tangguhkan semua agenda shopping beli barang dapur dan sebaginya..pastikan diri sy duduk mengulang AlQuran..

saya mula nampak perubahan anak pada masa ni..mulanya dia hanya tengok dengan ekor mata,

hari seterusnya bila sy konsisten mengulang AlQuran, dia mula bawa rehal dan Al Quran dan dia mengulang surah-surah juzuk yg dah dihafaz

saya tak perlu 'SURUH' lagi dan ia berlangsung setiap hari

2) KAMI BACA BERGILIR AYAT AL QURAN

Setiap hari Jumaat wajib kami buat Halaqah, duduk dalam bulatan..baca Surah Al kahfi bergilir-gilir

Maklumlah Surah Al Kahfi kan panjang, cara untuk mudahkan anak mengulang surah ni ialah secara bergilir-gilir

Alhamdulillah, dapatlah baca bersama seluruh Al Kahfi

3) TADABBUR TERJEMAHAN AL QURAN

saya mula bertadabbur terjemahan AlQuran..lalu sy bercerita pada anak terjemahan surah..datang pula minat anak untuk bertadabbur bersama

kemudian kami tadabbur makna ayat-ayat yang anak dah hafaz

saya nampak sinar dimata anak bila dia mula tahu makna-makna ayat yg dia hafaz sebelum ni

MasyaAllah, indah bercinta dengan AlQuran

4) CUBA HAFAZ SAMA-SAMA

Jika sebelum ni selalu sy minta anak menghafaz sendiri

terbaru ni sy cuba menghafaz sama-sama Surah Al Dzariyat

baru sy tahu susahnya menghafaz dan faham apa yang anak lalui

letak diri kita juga dalam kasut anak untuk faham peritnya dia berusaha menghafaz

5) PUJI ANAK DEPAN SUAMI

bila nampak anak sy mula nak baca AlQuran tanpa disuruh, sy bercerita perihal anak pada suami

biasanya akan bertambah merdu bacaannya mungkin sebab sangat gembira
.
.

Seriously sy dan berhenti semua reward dan tutup mulut dari suruh anak mengulang Al Quran

Saya nampak yang kita dulu perlu JATUH CINTA dengan AlQuran,

baru mampu nak lahirkan anak PENCINTA AL QURAN

Ibu bapa perlu rasa RISAU bila selalu janji rewards untuk anak baca AlQuran

Segera TAKE ACTIONS dan berubah

sama-sama kita lahirkan keluarga cinta AlQuran

Silakan 'Share' jika penulisan ini bermanfaat buat yang lain.
Boleh 'Follow dan set 'See First' untuk dapatkan perkongsian mengenai Quranic parenting.

Kredit : Siti Aminah Sulaiman
#sitiaminahsulaiman
#anakcintaalquran
#quranicparenting

ISLAM ADALAH CARA HIDUP


Dikatakan Ad-Din itu ia bukan sekadar fahaman, malah ia adalah amalan hasil faham dan penghayatan. ‘Faham’ adalah kalimah pinjaman dari bahasa Arab, penghayatan juga berasal dari kalimah ‘hayat/hayati’ yang berasal dari kalimah Arab. Faham membawa erti tahu dan kenal, atau tahu dan yakin. Manakala hayati itu bermakna hidup. Jadi bila Dikatakan ISLAM itu dihayati, maknanya Islam itu dihidupkan, samada dalam diri, baik keluarga mahupun masyarakat.

Menghayati Islam ertinya menghidupkan Islam. Salah kalau kita tafsirkan menghayati itu kita fikir semata, tanpa perlaksanaan. Kalimah itu sendiri maknanya menghidupkan. Jadi Islam itu dihidupkan dengan cara ditegakkan dalam diri kita dan keluarga kita. Ia akan merebak kepada masyarakat kita. Begitulah Nabi Muhammad saw dan para sahabat dalam berdakwah, tidak sekadar bercakap. Mereka hidupkan Islam dalam diri mereka. Tegakkan sunnah dan syariat dalam kehidupan. Sebab itu cakap-cakap mereka masin. Mereka mengkotakan kata, tidak sekadar berkata tanpa hasilnya.

Untuk menguatkan lagi dakwah Baginda Rasul saw, Baginda Nabi saw sendiri melakukan dakwah bil-hal. Iaitu dakwah dengan perbuatan! Nabi saw akan melayan tamunya sekalipun bukan Islam sesuai dengan pangkat dan kedudukannya dalam masyarakat. Jika dia raja, sekalipun bukan Islam, maka Nabi akan muliakannya. Pernah Nabi sendiri bentangkan kain serbannya sebagai alas duduk tamunya yang bukan Islam. Jika dengan orang yang berkudis tangannya, Nabi sanggup makan sedulang dengannya. Bahkan Nabi saw sendiri melayan dan menyuap makanan orang tua yang menghinanya, menghalang laluan Nabi ke Kaabah. Lalu bagaimana orang tidak jatuh hati dengan akhlak dan layanan Nabi kita?

Oleh itu, Islam bukan hanya penyedap kata dan pemanis bicara. Ia adalah hidup mati kita. Ia adalah cara hidup dan mati kita. Ia adalah hala tuju hidup kita. Biarlah mati hidup kita dengan Islam, miskin atau kaya dengan Islam, seorang mahupun ramai, biarlah dengan Islam.

Kisah Menarik Permulaan Cuti Nov, Dec 2019.

1. Adik Basyirah susah nk buang air. Selama 44 hari pantang. agak kasihan. pusatnya agak naik sebab puas meneran. Akhirnya, selepas ummi abes pantang dan cuti skolah bermula, balik RCK, Adik Basyirah (yg dh hari kelapan x okok) dpt buang air besar 3 kali dan kali ketiga sgt banyak. alhamdulillah. hopefully adik dah pandai buang air ya.

2. Sabtu 23 November, start cuti. Umminya mula sakit perut. cirit birit katanya. kasihan juga. setiap 5 minit ke bilik air... hari ni juga, Kaklong raptai konvo Taski di Dewan Ipd Chembong. Ayah hantar dan ambil. Maisa teman ayah.Then masuk hari kedua, Ahad. hari Konvo kaklong. ummi nya ikut dgn adik basyirah. puaslah umminya ke tandas yg jauh sbb tandas dewan ipd teruk sgt..huhu... ayah sempat beli pil che keteh un tu. tp ttp xok. Umki xdpt fokus sgt dgn majlis kaklong. kaklong dpt Anugerah Bahasa Inggeris dan Sahsiah terbaik utk kategori 5 tahun. Alhamdulillah... tak sangka juga. video ada rekod😁😍😄. siap persembahan Kaklong ya.❤️💞👍🏻
sambung crite ummi... then ummi dh mula xsihat. hari Isnin ummi dh mula lebam bawah mata. muka chengkung. kurg air, kurg makan, kurg tenaga... Selasa pagi tros hntr ke KPJ. Masuk air dan warded. sian ummi...😭😭 Ayah nk teman dan tido situ, ptg tu dkt nk maghrib, dengar suara maisa dan Kaklong. hmm. dh smpi diorg dgn wan dan paktihnya. So, balik dgn maisa dan kak long. diorg tido dlm kereta. xjadi mkn sama² dgn ibu dan toyyib. tempah je la. Nasi goreng daging merah.hehe... esoknya, ummi dhnl beransur ok. ke toilet pun mlm td sekali shj. mujur di KPJ boleh consider ummi duk dgn Basyirah. kalau tak, I lah akan jadi mummy ok😂😂😂😁😄. Tghr gi kt Ummi. bawa la dua², klong n kakngah. Jalan² palm mall sampai 2x.huhu. sebab nk hilgkn boring. dptlah diorg sorg satu kipas dan pistol air. ayahnya dumble kau. haha.. Jenuh mengangkat ke kereta. parking kt KPJ. sampai² kereta, kunci upenya kt wad ummi. Adoii laaa... sumbat semuanbawah kereta, beli mee goreng, bawa mkn kt atas.  Ummi discharge lps Isyak sbb baru selesai proses dokumennya. kenalah dlm Rm420. kan ummi? entahlah😁😅

3. Kak Long dah stop Minum susu botol pada 1 Disember 2019 lepas dia mengalami cirit-birit juga after ummi. lembik je then berak cair.. maisa hilang kawan kejap.. haha..kesian sebab tu je kawan main dan kawan 'paksa main' dia.
sepanjang 3 hari cuti di RCK, klong mkin sihat. hari Isnin dah recover sepenuhnya. Ahad jalan ke rumah kawen kak yam chengkau  konon. haha.. rupenya majlis kawen tu hari sabtu. wawawawa.. tros la ke tampin sbb klong n maisa nk mkn pizza. ke dominos kiter... puas le makan cheese. first time ayah  mkn cheese banyak..huhu.. layankan anak². kalau nasi ngan sop feberet kaklong dh jimat dah. kena la around RM40. then tros solat zohor. pinggang ayah sakit juga time ni... tahan je.. belah kanan. Mujur pensyarah sport ummi ajar senaman plank pinggang. share kt youtube. alhmdulillah. byk kurg juga. amalkn je lps solat. 2 minit plank. 
smbung jalan di Family store... dptlah smbr baju pink adik Basyirah sepasang dan perfume bilik lavender. Maisa dh buka mainan mane tah. adoi... then solat Asar kt masjid putih. lps tu berlima menapak ke Pasar malam dr masjid. lalu jmbtn tu. sempatla tgk² baju klomg n maisa. mmg tu tujuannya. baju utk tahun 2020. mgkn boleh pakai smpi tgh tahun 2020. Xsampai 10 minit, hujan dh turun... duk la bawah bangunan tu... Basyirah dh nagis² nk susu. baju klong maisa cpt² je rembat. dpt la 3 pasang. alhmdulillah. ayah redah hujan berbekal plastik atas kepala. blik ke masjid amek kereta. then amek diorg, balik. smpi dh maghrib. Sekianlah kisahnya... kejadian kaklong jatuh longkang, air mineral tumpah atas katil dan air susu cawan klong tumpah atas lantai... no komen... huhu.. bye.. 

2 december 2019. 
11 malam. Bilik DD.
 

Bangsa Melayu

Bangsa Melayu jika nak maju dan berjaya diperingkat antarabangsa, dihormati dan disegani, jangan jadikan Allah dan agama-Nya sebagai sampingan. Belajarlah dari kejayaan dan kejatuhan empayar Islam lepas. Mereka dimuliakan kerana Islam, mereka dihina bila Islam bukan lagi matlamat, hanya alat untuk kekal berkuasa.

Empayar Turki (Sultan Muhammad Al-Fateh)i, empayar Kurdi (Sultan Salahuddin Al-Ayyubi), kegemilangan bangsa Arab dan lain-lain bangsa atas nama Islam, semua kerana Islam diperjuangkan. Bila Islam sekadar alat, bangsa yang diperjuangkan, maka ia akan hancur dengan sendirinya.

Bangsa Arab maju kerana Islam, Kurdi mulia kerana Islam, Turki mulia kerana Islam, bangsa Afrika juga pernah mulia kerana Islam, kerajaan Islam di India juga mulia kerana Islam. Namun bila bangsa diperjuangkan, agama hanya alat dan tunggangan, sesebuah empayar jatuh bukan kerana kuatnya musuh mereka tetapi perpecahan sesama mereka sendiri.

Tanah Melayu satu masa dahulu pernah mulia dan harum di persada dunia kerana Islam. Dengan Islam, otomatik bangsa akan mulia. Perjuangkan Islam, otomatik bangsa kita akan mulia. Tak perlu kita minta dimuliakan, minta dihormati, minta hak kita, perjuangkan Islam, dunia datang melutut di kaki kita. Bila tinggalkan Islam, dunia lari sampai terhina kita sekalipun 100 tahun mengejarnya.

Muliakanlah Islam, yang kini menjadi yatim piatu kerana sikap umatnya. Islam dihina-hina kerana sikap kita. Dengan muliakan Islam, Allah akan jaga dan bela kita. Sekali lagi, Islam akan menjadi empayar dunia, bangsa Melayu menjadi tunggaknya. Ini tidak mustahil, bila kita kembali kepada Allah, Tuhan Penjaga dan Pembela kita.

EKONOMI ISLAM

Wahai kaum muslimin, mari bangunkan ekonomi Islam,
Ekonomi sebahagian daripada kehidupan,
Ia merupakan kekuatan tambahan yang utama,
Di dalam menegakkan sendi-sendi masyarakat Islam.

Tiada ekonomi kecacatan akan berlaku,
Kehidupan kaum muslimin dicatur orang,
Lebih-lebih lagi bila tiada iman dan perpaduan,
Umat Islam akan terhina di mana-mana.

Sudah sampai masanya ekonomi dibangunkan,
Kita sudah lama jauh ketinggalan,
Jangan hanya seminar, jangan hanya banyak berslogan,
Melaburlah, bertindaklah, jangan ketinggalan.

Marilah melabur selalu, tiga peringkat ekonomi,
Ekonomi fardhu kifayah, komersial dan strategi,
Fardhu kifayah dimestikan, kalau tidak satu kesalahan,
Ekonomi komersial elok diwujudkan,
Yang strategi lihatlah keadaan.

Melaburlah, jangan lengah lagi,
Melaburlah, melaburlah
Untuk saham akhirat, jangan tunggu lagi,
Bertindaklah bertindaklah

Saham terbuka bila-bila masa,
Bila masanya lagi,
Inilah masanya untuk bertindak

Percaya Dengan Rasa Hamba Tidak Sama


 
Janganlah badanmu sahaja yang rukuk
Yang paling penting hatimu sama ikut rukuk
Janganlah badanmu sahaja yang sujud
Tapi hatimu tidak pun sujud
Janganlah kamu sekadar percayakan Tuhan
Tapi hatimu tidak terasa bertuhan
Janganlah kamu percaya bahawa kamu adalah hamba
Tapi tidak rasa pun rasa kehambaan di dalam kehidupan
Percaya dengan rasa hamba tidak sama
Percaya adalah atas dasar ilmu, rasa adalah hati
Yang boleh membangunkan peribadi adalah rasa kehambaan
Percaya sahaja diri hamba tidak membuat perubahan
Apabila kita benar-benar kenal Tuhan
Rasa kehambaan pun bertaut di dalam hati
Jika rasa kehambaan bertapak di dalam hati
Rasa bertuhan pun dapat dirasa oleh hati
Jika rasa bertuhan dan rasa kehambaan tajam di dalam hati
Itulah dia perisai diri dari kemungkaran
Apabila perisai diri wujud di dalam diri
Kemungkaran dapat dijauhi, kecuali sedikit

Abu Chin Peng


Kerana ABU, kecoh kesah mati di tangan komunis.
Mati di tangan British, Jepun buat2 lupa..
Sahih Melayu Mudah Lupa
PORTUGIS, SIAM, BRITISH, JEPUN, KOMUNIS... 

1511-1641 Masihi: Portugis serang, bunuh, rogol, sula, kejar, orang Melayu Melaka, bakar rumah, gedung, istana, masjid, dan kota Melaka. Jajah 130 tahun. Kampung Portugis elok masih ada di Melaka hingga hari ini dan mereka kita terima sebagai Bumiputra. 

1821-1842 Masihi: Siam serang, bunuh, rogol, sula, kejar, potong kepala, korek bijik mata, tikam telinga pakai buluh runcing, tanam hidup2 rakyat Negeri Kedah. Bakar seluruh Kedah sampai jadi padang jarak padang tekukur. Beribu-ribu Melayu Kedah dijadikan hamba abdi dibawa ke Ligor dan Bangkok. Hari ini orang Siam kita terima sebagai Bumiputra. 

1786-1957 Masihi: British tipu raja-raja Melayu, rasuah raja-raja Melayu, dan kawal pemerintahan Tanah Melayu, Sabah, Brunei, Sarawak, dan bunuh ramai pejuang tempatan seperti Tok Janggut di Kelantan dengan menggantung terbalik setelah dibunuh. Orang British dipandang tinggi sebagai Mat Saleh bila melancong ke sini. 

1942-1945 Masihi: Jepun serang Malaya daripada Singgora masuk ke Kota Bharu sampai ke Singapura. Ramai orang Melayu terutama askar-askar Melayu ditembak, dibunuh pakai bayonet, dipancung pakai pedang samurai, orang kampung dipaksa minum air sabun, tengok matahari sampai buta, anak2 perempuan dirogol, dijadikan pelacur, dan segala hasil beras dan tanaman lain dirampas. Hari ini ramai orang Melayu beli kereta Toyota, Honda, Mitsubishi, rempit motor Yamaha, Kawasaki, Suzuki dll. Padahal Leftenan Adnan dulu habis berlubang2 ditikam Jepun sampai pecah berancai organ dan kepalanya. 

1942-1990 Masihi: Komunis berjuang menentang Jepun atas nama MPAJA bersama Force 136, Askar Melayu, dengan bantuan British. Apabila Jepun kalah mereka bertukar menjadi Bintang 3 untuk melawan British yang ingin kembali menjajah Malaya dalam tahun 1945. Sehingga 1957, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh, Mat Indra, dan ramai lagi Melayu berjuang di dalam hutan untuk melawan penjajah. Akhirnya dalam tahun 1990, Parti Komunis Malaya dibubarkan dan menandatangani perjanjian damai dengan Kerajaan Malaysia. 

Sesudah 30 tahun Komunis terkubur, kenapa Melayu harus takut dengan abu Chin Peng yang lahir di Sitiawan itu? Abu mayat tidak memberi apa-apa nilai pun. Komunis pun sudah kalah 30 tahun lalu. Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh pun kita terima masuk ke Malaysia semula. Apa sebab Melayu mesti takut dengan abu mayat Cina tua yang kalah semasa dia hidup lagi? 

Sebabnya, umno dan pas mahu guna propaganda untuk memomokkan minda orang Melayu dengan kepalsuan dan penipuan, supaya mereka menjadi terprovokasi atas perkara yang tidak ada nilai langsung untuk ditakuti. 

"Menang jadi arang, kalah jadi abu"

Sungguh pun! Chin Peng kalah dan dah jadi abu! Takut apa Melayu oi!

*melayu patani*

Tambah sikit je:- Melayu takut  sama itu Abu Chin Peng

Manusia Hamba Dan Khalifah


Kita manusia hamba dan khalifah
Sebagai hamba kenalah beribadah
Sebagai khalifah kenalah mengatur, menyusun, mendidik, membangun dan berkemajuan
Dibangunkan itu semua untuk keperluan insan
Politiknya, ekonominya, pendidikannya, kebudayaannya, masyarakatnya, perhubungannya, tugasnya
Syariat jadikanlah panduan di semua aspek kehidupan
Apabila manusia berjalan seimbang kehambaannya dan kekhalifahannya
Dunia ini syurga sebelum Syurga
Manusia berakhlak mulia bersama tamadun
Laksana satu keluarga bersama pembangunan
Bekerjalah bersama kemajuan
Berukhwah, bersatu dan harmoni
Tidak ada ketakutan, tidak ada kebimbangan
Keadilan merata
Kasih sayang jadi budaya
Pemimpin payung, ulama obor, pemuda-pemudi tenaga
Orang tua doanya, kanak-kanak cahaya mata

Abai, Cuai dan Lalai


Marilah kita belajar memahami tiga istilah ini
Tiga istilah itu ialah abai, cuai dan lalai
Ada orang mengabaikan agama, ada orang mencuaikan agama, ada orang lalai beragama
Apakah erti mengabaikan agama?
Mengabaikan agama tidak melaksanakan ibadah dan syariat
Tidak fikir halal dan haram
Tidak faham rukun iman, tidak faham rukun Islam, tidak faham apakah itu ihsan
Sekalipun dia mengaku Islam, dia tidak mempedulikan agama
Islamnya hanya keturunan, mungkin ibu dan bapanya Islam
Atau mungkin juga dia tahu sedikit sebanyak mengenai Islam
Kerana pengaruh dunia dia tidak mengerjakannya
Itulah dia erti mengabaikan agama
Apakah erti cuai?
Cuai ini agak baik sedikit
Seseorang itu mengerjakan agama tapi apabila sempat sahaja
Jika tidak sempat ditinggalkan sahaja
Atau waktu ada mood dibuat, waktu tidak ada mood ditinggalkannya
Mungkin dikerjakan juga agama di waktu lapang, tidak sibuk, di waktu sibuk atau sakit ditinggalkan pula
Ada orang di waktu senang dikerjakan di waktu susah ditinggalkan
Termasuk cuai sebahagian ajaran Islam dikerjakan dan sebahagian lagi ditinggalkan
Itulah dia erti cuai beragama
Apa erti lalai?
Erti lalai, syariat-syariat lahir semuanya dikerjakan
Orang ramai lihat dia beragama dan taat orangnya dengan Tuhan
Tapi ibadahnya tidak dihayati, bahkan setengah bacaan-bacaannya tidak pun difahami
Tidak difahami apakah tuntutan ayat-ayat dan bacaannya yang diucapkan di dalam ibadahnya
Termasuk juga lalai, ibadah lahirnya tidak boleh dipersoalkan, lengkap tidak diabaikan
Namun takut dengan Tuhan tidak ada
Begitu juga cintakan Tuhan tidak ada di dalam jiwanya
Rasa kehambaannya tidak ada di dalam perasaannya
Kerana tertipu dengan ibadah lahirnya tidak terasa lagi berdosa
Hatinya rasa selamat kerana ibadahnya
Adakalanya dia jadi sombong dan megah dengan ibadahnya
Itulah dia di antara gambaran orang yang lalai
Orang yang beribadah begini, tidak ada nur di mukanya
Adakalanya orang boleh benci melihatnya padahal dia ahli ibadah
Dia termasuk orang yang tertipu di dalam ibadahnya
Orang yang bertaqwa itu ialah tidak mengabaikan, tidak cuai dan tidak lalai dengan agamanya
Ini orang yang selamat dan menyelamatkan dunia Akhirat

KEHEBATAN ILMU ORANG BERTAQWA


Ramai orang boleh jadi pandai hasil membaca dan belajar
Berbagai-bagai ilmu dia boleh memperolehinya hasil membaca dan belajar tanpa jemu-jemunya
Tapi jarang orang yang cerdik dan pintar
Cerdik dan pintar adalah kekuatan IQ semula jadi serta selalu akalnya dibawa berfikir dan berfikir dan memproses ilmu yang diperolehinya
Gabungan pandai dan cerdik ia akan jadi genius
Orang yang pintar orang yang luar biasa namanya
Genius ini orang Islam boleh dapat orang bukan Islam pun boleh memperolehinya
Di atas genius hanya boleh didapati dan diperolehi oleh orang yang bertaqwa sahaja
Saya pun tidak tahu apakah istilah yang patut diberikan kepadanya?
Kalau para-para Rasul kerana terlalu pandai dan cerdiknya dipanggil fathonah
Selain Rasul tidak boleh disifatkan dengan fathonah kerana ia khususiah bagi mereka
Sementara mencari istilah orang yang bertaqwa bolehlah disifatkan di atas genius dan di bawah fathonah
Orang bertaqwa itu gabungan cerdik dan pintar serta pandai ia ditunjangi oleh rohnya yang bersih yang diberi ilham oleh Tuhan
Dia dapat ilmu di dalam ilmu,
ilmu yang tersirat diberi faham,
natijahnya dapat ilmu hikmah
Tuhan berkata sesiapa dapat ilmu hikmah sesungguhnya mendapat ilmu yang banyak
Sesiapa yang bertaqwa dia diajar oleh Tuhannya
Ilmunya ada yang tersurat ada yang tersirat diperolehinya
Dia direzekikan ilmu yang halus dan seni-seni
Orang lain tidak dapat menerokanya, dia dapat menyelaminya
Kerana dia dapat ilmu tambahan dari Tuhan selain ilmu usaha (kasbi) dari titik peluhnya
Orang yang cerdik dan pandai kalau tidak dipimpin oleh hatinya yang bersih,
selalunya tersalah berfikir dan tersasar pandangannya
Adakalanya hingga fikirannya tersesat jalan menuju Tuhannya
Perlu diingat orang yang sibuk membersihkan hatinya tapi lupa mengasah akal fikirannya
dia jadi beku dan pasif
Orangnya baik, tinggi akhlaknya, tapi orang tidak rujuk kepadanya,
kecuali sekitar fardhu ain dan hukum-hakam sahaja
Untuk ilmu seluruh kehidupan atau global dia tidak mampu menjawabnya
Dia selamat tapi tidak dapat menyelamatkan orang lain
Kalau dia ulama, dia hanya ulama yang berwatak nabi
Ilmunya di dalam ilmu, atau ilmu yang tersirat atau ilmu hikmah sudah lama hilang
di kalangan umat Islam

Waktu Dhuha
03 – 03 – 2004

KALAU SATU BANGSASUDAH ROSAK


 Kalau satu bangsa itu berpecah-belah.
Sering jatuh-menjatuhkan satu sama lain.
Orang kayanya tamak dan bakhil.
Mementingkan diri sendiri.
Masing-masing mencari untung, mencari nama.
Mencari bintang gelaran.
Hormat-menghormati sudah tidak wujud.
Sekalipun di antara murid dengan guru.
Anak-anak dengan ibu bapa.
Rakyat dengan pemimpin.
Perhubungan suami isteri
 adalah perhubungan biologi.

Satu sama lain curiga-mencurigai.
Pemimpin dan orang-orang kaya sombong,
 angkuh, ingin dipuji.
Para ulama tidak dikenal lagi sebagai ulama.
Rakyat jelata hidup sudah tidak boleh
 didisiplinkan lagi.
Kejahatan dan kemungkaran berlaku terang-terangan
tanpa segan silu.
Muda-mudi berlalai-lalai, hidup tidak ada tujuan.
Kasih sayang, timbang rasa, mengutamakan orang lain sudah hilang.
Kata-mengata, fitnah-memfitnah, tuduh-menuduh jadi budaya.
Hal-hal yang kotor dan menjijikkan dipertahankan.

Semuanya itu adalah berpunca dari asasnya.
Adalah daripada sistem pendidikan yang sudah rosak.
Kerana dibangunkan oleh pemimpin yang berkuasa
yang sudah rosak fikrah dan jiwanya.
Environment dan situasi masyarakat
 hanya menyuburkan lagi.

Oleh itu bangsa itu perlu adanya pemimpin
 yang baik.
Agar dapat melagangkan satu sistem pendidikan
yang baik.
Untuk memulihkan semula kerosakan bangsa itu yang sudah kronik.
Ini sudah tentu memakan masa berpuluh tahun
untuk memulihkan.
Begitulah kalau satu bangsa itu sudah rosak
 jiwa dan tingkah lakunya.

Jika Hari Ini...


Jika Hari ini kita masih lagi boleh berbicara,
Maka bicaralah yang baik-baik....

Jika Hari ini kita masih lagi boleh bergurau senda,
Maka berguraulah dgn penuh kasih sayang.

Jika Hari ini kita masih lagi boleh menghirup udara,
Maka banyakkan ibadat jauhi maksiat.

Jika Hari ini kita masih lagi boleh membaca al-Qur'an,
Maka hayatilah makna setiap ayat dg penuh insaf.

Jika Hari ini kita masih lagi boleh solat penuh khusyu',
Maka banyakkanlah doa jangan alpa...

Jika Hari ini kita masih lagi boleh bersama insan tersayang,
Maka penuhilah dengan rasa kebaikan & sentuhan kasih sayang.

Mana tahu esok semuanya tiada lagi..
Mana tahu esok kita pula akan disolatkan..

Mana tahu esok kita pula yang mendengar..
Suara bacaan al-Qur'an penuh tangisan sendu..

Mana tahu esok tempat kita sudah berubah..
Dunia hanyalah pinjaman..
Smua yang fana akan ke alam barzakh.

Semoga hidup kita sentiasa dalam kebaikan & semoga kita pergi bertemu ALLAH  dalam keadaan husnul khotimah dg penuh keredhaan-Nya..
Aamiinnn...

Salam kasih sayang

Bumi Tuhan... Bersaksilah