Jaga Sangat Jasad Lahir!

Engkau jaga sangat jasad lahir engkau
Engkau jaga dan belai muka engkau
agar licin dan cantik
Engkau gunakan berbagai-bagai jenis krim dan losyen
untuk menjaga kulit badan
Agar kulit sentiasa licin dan tegang
Engkau makan berbagai-bagai makanan awet muda
Untuk menjaga keteguhan dan kesihatan badan engkau
Semua yang engkau jaga itu adalah nilai dunia
Kerana badan lahir ini
bukan ada perasaan mengenal Tuhan
Jauh sekali rasa kehambaan
Lantaran itu apabila mati dibaham
oleh ulat dan jadi tanah
Ertinya ia tidak kekal abadi
Tapi malang sekali
Anggota batin engkau yang boleh jadi nilai Akhirat
engkau abaikan

Akal yang menjadikan engkau mukalaf
Jiwa atau hati yang boleh mengenal Tuhan
Engkau cuaikan
Nafsu yang boleh dididik dan dilatih untuk taat
Kepada Tuhan semesta alam
Engkau tidak ambil peduli pun
untuk bermujahadah terhadapnya
Padahal semuanya ada nilai Akhirat
Dia adalah kekal abadi di Akhirat kelak
Sama ada ke Syurga atau ke Neraka
Sebenarnya akal, jiwa, nafsu inilah hakikat diri engkau
Badan lahir kalau engkau abaikan
Hanya menderita di dunia sahaja
Tapi jasad batin iaitu hakikat diri engkau,
jika engkau abaikan
Dia akan menderita di Neraka
Engkau abaikan hakikat diri engkau
Engkau termasuk orang yang sangat zalim
Tapi engkau tidak nampak
engkau menzalimi diri engkau sendiri
Yang engkau nampak orang lain menzalimi diri engkau
Orang menzalimi diri engkau,
engkau dapat pahala
Tapi engkau menzalimi diri engkau sendiri,
dapat bala dan Neraka

Mari Mengenal Insan

Mari kita mengenal manusia (insan)
Kejadiannya yang pertama daripada tanah
Kejadiannya yang kedua daripada mani,
air yang hina dan meloyakan
Keluar daripada tempat yang hina
dan menjijikkan lagi memalukan
Fizikalnya lebih lemah daripada haiwan
seperti anjing, kucing, harimau, singa dan gajah
Tercucuk duri yang kecil sahaja pun terasa sakitnya
Sudah mengganggu dan menyusahkan
Anjing atau kucing kalau patah kaki sebelah
Masih mampu berjalan bahkan masih boleh berlari
ke sana ke mari
Kalau manusia tidak payah patah
kalau tergeliat pun sudah berpapah
Selalu sahaja makan banyak mengundang penyakit
Kalau sedikit makan badan pula lemah
Terlalu sejuk pun tidak tahan
Terlalu panas pun tidak tahan
Mudah sahaja ditimpa penyakit atau demam
Terlalu banyak kerja meletihkan badan
Tidak bekerja pun melesukan badan
Kecerdasan hilang


Bila berhadapan dengan udara tidak bersih
Mudah sahaja diserang penyakit
Selalu bergaul dengan orang yang berpenyakit
lebih-lebih lagi, penyakit menjangkit
Lambat makan beberapa jam sahaja sudah terasa lapar
Lebih daripada itu melemahkan badan
Padahal binatang beberapa hari tidak makan
belum begitu terjejas
Begitulah satu hari tidak dapat air sudah haus
Kalau beberapa hari tidak dapat lemah terus
Apa yang keluar daripada badannya
Lebih-lebih lagi daripada rongga-rongganya
semuanya menjijikkan
Baunya busuk lagi meloyakan
Seperti yang keluar daripada lubang telinga, mata, hidung,
daripada rongga-rongga bulu roma
Apatah lagi yang keluar daripada dua jalan
depan dan belakang
Jika diserang kudis, danur dan nanahlah yang keluar
Bahkan ulat pun boleh keluar juga
Sangat jijik dan meloyakan
Itu baru jasad lahir manusia yang kita perkatakan
Belum lagi jasad batin atau yang bersifat maknawiyah
yang akan kita sebutkan
Juga ketahanannya tidak ada atau rapuh
Sangat sensitif yang menyusahkan
Boleh menggugat kebahagiaan dan ketenangan
Kita datangkan beberapa contoh untuk pengetahuan
Sedikit sahaja orang kata atau cerca sudah menyakitkan hati
Belum lagi orang benci, menghina, memfitnah
Aduh lebih-lebih lagilah menderita dan tergugat diri
Hilang ketenangan
Kalau bertembung serentak
dengan kesusahan-kesusahan yang lahir
seperti miskin, sakit
Sesetengah orang kecewa bahkan putus asa
Melihat orang kaya atau senang, hati sakit pula
Datang penyakit hasad dengki
lebih-lebih lagi bertambah jiwa sakit
Apabila masyarakat manusia sudah rosak
Berbagai-bagai gejala masyarakat yang menakutkan terjadi
Seperti jenayah pergaduhan, pencurian
rompakan, perogolan, pembunuhan, peperangan
Maka jiwa pun sentiasa diburu oleh ketakutan,
musnah kebahagiaan
Kemudian manusia ada nafsu yang sangat menyusahkan
Ditahan kehendak-kehendaknya menyeksakan
Diturutkan sangat kehendak-kehendaknya
merbahaya dan memudharatkan
Memudharatkan diri sendiri dan merosakkan orang lain
Juga manusia ada perasaan
Perasaan ini juga sangat menyusahkan diri seseorang
Melihat sahaja benda yang kotor, menjijikkan dan meloyakan
Sesetengah orang selepas itu hilang selera hendak makan
Melihat sahaja benda yang menakutkan timbul rasa seram
Badan pun lemah longlai
Sesetengah orang kerana terkejut terus pengsan atau hilang akal
Oleh itu patutkah manusia sombong dan bangga?!
Cuma manusia ada untung sedikit, adanya akal
Dengan akal manusia boleh berfikir
Dapat pengalaman, dapat ilmu pengetahuan
Boleh maju, boleh membangun dan bertamadun
Tapi kalau akal sahaja yang dibangunkan,
roh tidak dibangunkan
Manusia boleh maju tapi bersama dengan kerosakan
yang berbagai-bagai bentuknya
Akibatnya untung sekarung, rugi seguni
Negara cantik, tapi hidup di dalam ketakutan
Oleh itu di manalah istimewanya manusia?
Di manakah kehebatannya?
Hingga menjadi sombong, bangga dan riyak
Kalau tidak ada sifat taqwa
maka tidak ada apa-apa keistimewaan manusia
Di Akhirat terjun pula ke Neraka, wal ‘iyazubillah

APALAH ISTIMEWANYA MANUSIA JIKA TIDAK ADA MEMBERI MANFAAT


Assalam... Manusia itu kalau kita kaji, nilai, analisa, di segi fiziknya tidak ada apa-apa keistimewaannya. Kerana pada fizikal manusia itu, ada dua perkara yang negatif:

Pertama: Kelemahan

Kelemahan yang kita maksudkan di sini ialah tubuh atau badan kasarnya tidak ada ketahanan. Ia mudah terdedah kepada bermacam-macam penyakit. Mudah diserang oleh demam, mudah ditimpa sakit kepala. Mudah sakit mata, sakit gigi. Ada penyakit yang lebih berat lagi seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, barah, strok atau angin ahmar dan lain-lain.

Selain itu ketahanan badannya sangat lemah dibandingkan jiwanya. Kalau terantuk, mudah saja luka atau bengkak dan sakit. Kalau jatuh atau terlanggar benda yang kuat atau kena langgar benda yang keras, mudah saja tergeliat, luka, patah, remuk dan hancur. Jika digunakan tenaga, mudah saja letih, lesu. Kalau tidak berhati-hati, ia membawa kepada sakit juga. Bahkan selepas menerima nikmat pun memberi effect kepada badan atau ada side effectnya. Contohnya, selepas makan lebih-lebih lagi kalau makan terlalu banyak, badan menjadi berat dan juga boleh membawa kepada berbagai-bagai penyakit. Selepas jimak iaitu selepas bersama dengan isteri, lebih-lebih lagi kalau ia kerap berlaku, badan menjadi lesu, lemah, hilang tenaga. Kalau lambat saja tidur di waktu malam, mata jadi mengantuk di waktu siangnya. Bukan setakat itu, badan pun menjadi lesu.



Begitulah lemahnya manusia itu. Ketahanan fizikalnya sangat tercabar dan selalu tercabar. Ketahanan fizikalnya sangat teruji. Dari cabaran luaran ini memberi side effect pula kepada manusia iaitu rohaninya pula tercabar, menjadikan emosinya tinggi, dia akan jadi pemarah, mudah tersinggung, benci, jemu dan lain-lain.

Kalau tidak dibendung dengan didikan Islam serta lemah pula bermujahadah, sifat batin yang negatif itu akan merosakkan orang lain. Maka timbul pula krisis dan perbalahan di dalam masyarakat manusia. Terjejas pula perpaduan, kasih sayang dan keharmonian hidup.

Kedua: Apa yang keluar daripada badan manusia, semuanya kotor dan menjijikkan.

Mari kita kaji kebenaran itu.

i. Air yang keluar daripada badan, peluh namanya, baunya masam, menjijikkan orang.

ii. Yang keluar daripada telinga, tahi telinga atau nanah yang busuk yang meloyakan.

iii. Yang keluar daripada hidung, hingus namanya atau tahi hidung, menjijikkan dan meloyakan, tiada siapa yang suka sekalipun yang punya diri.

iv. Yang keluar daripada mulut iaitu air liur, berbau busuk terutamanya air liur di waktu tidur, sangat busuk baunya lagi kotor. Adakalanya air liur itu najis (air liur basi).

v. Air mata walaupun tidak busuk, tetap dipandang jijik dan tidak digemari.

vi. Apatah lagi yang keluar daripada dua jalan, pintu depan dan pintu belakang, qubul dan dubur. Bukan saja terlalu busuk, jijik, bahkan najis. Lagi kotor. Benda yang keluar daripada manusia yang paling dibenci. Baunya sangat menyakitkan hidung manusia. Ia wajib dibasuh. Kalau tidak ia akan merosakkan ibadah kita, mengotorkan dan mencemarkan udara dan boleh menjejaskan kesihatan manusia serta boleh mengganggu ketenteraman.

Apa yang kita perkatakan tadi ialah perkara-perkara yang jijik yang semula jadi yang tidak dapat dielakkan oleh manusia. Ia merupakan tabiat semula jadi badan. Belum lagi kita memperkatakan perkara-perkara yang menjijikkan dan dibenci yang sangat menghinakan manusia serta menyusahkan manusia, iaitu penyakit-penyakit yang mendatang kemudian yang menimpa tubuh manusia seperti kudis, kencing manis, kayap, tokak, bisul, barah yang mengeluarkan nanah yang begitu busuk, kotor dan menjijikkan serta menyakitkan dan melemahkan tubuh manusia. Dengan itu lebih-lebih lagilah manusia itu tidak ada harga dan nilai dirinya. Adakalanya orang yang kita sayangi seperti anak dan isteri boleh tiba-tiba saja benci dan lari dari kita.

Kalaulah manusia itu tidak ada kebaikan dan keistimewaannya di sudut-sudut yang lain, yang ada hanya seperti apa yang telah disebutkan sebelum ini, di manalah istimewanya? Maka apalah erti hidup manusia? Tidak ada erti apa-apa kehadiran mereka di dunia ini. Hanya susah dan menyusahkan orang lain saja. Tidak ada harga dan nilai diri manusia itu. Mereka laksana sampah masyarakat. Bahkan lebih hina daripada sampah sarap. Kalau sampah yang tidak berguna yang mengganggu itu boleh disapu, kemudian dibuang atau dikumpulkan atau dilonggokkan kemudian dibakar saja, maka abunya boleh juga dibuat baja. Sedangkan manusia itu, tidak boleh dibuang apatah lagi hendak dibakar. Ia benar-benar bangkai bernyawa yang menyusahkan dan mengganggu kehidupan orang lain semata-mata.

Oleh yang demikian, dengan rahmat Allah dan kasih sayang-Nya kepada manusia sebagai hamba-Nya maka Allah mahu muliakan manusia dan meninggikan darjatnya. Maka Allah utus para nabi dan rasul alaihimussolatuwassalam dan kepada mereka diberi panduan dan petunjuk. Nabi yang akhir ialah Sayidina Muhammad SAW. Padanya diberi Al Quran sebagai panduan dan petunjuk kepada manusia, bagaimana manusia itu menjadi orang yang berguna. Di samping menjadi hamba-Nya yang mengabdikan diri kepada-Nya, manusia juga adalah khalifah-Nya untuk membangun, memajukan dan mentadbir dunia ini agar selamat dan bahagia di dunia. Di Akhirat kelak diberi ganjaran yang lebih besar lagi istimewa iaitu Syurga yang tiada tara dan bandingannya sebagai anugerah Allah kepada manusia. Kerana rahmat-Nya kepada manusia yang telah membuat kebaikan waktu di dunia seperti yang Dia mahu.

Oleh itu, manusia ambillah peluang berpandukan petunjuk dari Allah dengan cara besarkanlah Allah, cintailah Dia, takutlah kepada-Nya, sucikanlah Dia, merendah dirilah kepada-Nya, malulah kepada-Nya, bersyukurlah kepada-Nya, bertawakallah kepada-Nya, berharaplah kepada-Nya, redhalah dengan ketentuan-Nya, sabar terhadap ujian-ujian daripada-Nya melalui sembahyang, puasa, haji, membaca Al Quran, zikir, tasbih, tahmid, taqdis, mujahadah, jihad. Inilah caranya manusia berhubung dengan Khaliq-Nya sebagai hamba ciptaan-Nya.

Seterusnya sebagai khalifah-Nya pula; bangunkanlah dunia ini. Majukan dan tadbirlah mengikut sistem dan peraturan dari Allah kerana dunia ini Allah yang punya. Kita jangan memandai-mandai dan melakukan sewenang-wenangnya supaya dunia tidak rosak. Dan berkhidmatlah untuk sesama manusia demi untuk mencetuskan kasih sayang, perpaduan, kerjasama, keharmonian, keselamatan, keamanan dan kebahagiaan bersama melalui kuasa, pentadbiran, ilmu, tenaga, pengaruh, wang ringgit, harta dan lain-lain. Sesuaikan dengan panduan daripada Allah agar Allah redha dan Allah rahmati serta berkati. Kemudian takutilah Allah di dalam setiap perkara itu. Dengan itu moga-moga apa yang dibuat oleh manusia tidak ada berlaku side effectnya yang negatif yang akan merosakkan manusia itu sendiri.

Siapa di kalangan manusia yang dapat melakukan sedemi kian rupa, inilah manusia yang bertaqwa di sisi Allah. Dia dapat kemuliaan daripada Allah dan keampunan-Nya. Di dunia pula orang yang berjasa dengan manusia kerana kebaikan yang telah dicetuskannya, maka orang itu telah menutup kelemahan-kelemahan yang ada. Dia telah mendapat martabat di sisi Allah dan di sisi manusia kerana walaupun di dalam kelemahan, dia telah menjadi manusia yang berguna. Di Akhirat kelak layaklah dia mendapat keampunan dari Allah serta dapat masuk ke Syurga-Nya.

Dalam pada itu kalau manusia itu tidak dididik dengan didikan Islam, menjadikan manusia tidak takut dengan Tuhan, lupa dengan kehidupan hari Akhirat maka manusia itu berani pula melakukan berbagai-bagai bentuk kejahatan sama ada terang-terangan mahupun secara sembunyi melalui anggota lahirnya. Tangannya digunakan untuk mencuri, merompak, merasuah, memukul, membunuh. Kakinya dihalakan ke tempat-tempat kejahatan dan maksiat, ke kelab malam, ke disko-disko, ke tempat-tempat pelacuran, ke tempat-tempat judi, ke tempat-tempat berpeleseran dan pergaulan bebas. Mulutnya digunakan untuk mengumpat, menghina, memfitnah, berbohong, memaki, mengherdik, bercakap lucah. Matanya digunakan untuk melihat perempuan-perempuan ajnabi, gambar-gambar lucah, melihat-lihat kecacatan orang untuk disebarkan. Telinga pula suka mencuri-curi dengar rahsia orang untuk disebar-sebarkan. Dengan akalnya pula manusia selalu sahaja berfikir untuk melakukan berbagai kejahatan, merancang untuk melakukan kerosakan di bumi Tuhan ini.

Setelah kita mengkaji tentang manusia, fizikalnya atau badan lahirnya dan badan kasarnya tidaklah istimewa mana. Lantaran itulah manusia berusaha untuk menutup kelemahan semula jadi yang lahir ini. Terpaksalah badan mereka dibersihkan selalu, disabun, disyampu, dibedak, digincu, disapu minyak wangi. Dihias pula dengan pakaian yang cantik lagi mahal untuk menarik perhatian orang agar orang boleh dekat dan bergaul. Kalau tidak, orang akan lari kerana bau peluh saja orang tidak tahan. Bahkan ampun maaf, untuk menunaikan fitrah semula jadi di antara suami isteri pun kalau tidak berhias-hias dan disapu badan dengan minyak wangi dan bedak, tuntutan fitrah itu boleh terbantut atau kemahuan terus mati. Akibatnya boleh timbul krisis rumah tangga.

Begitu jugalah untuk menyihatkan badan agar ia sentiasa segar dan cergas, perlu riadhah dan joging selalu. Dijaga makan minum, cukup tidur, dijauhi tempat-tempat yang mendatangkan penyakit. Begitulah hakikat diri manusia semula jadi, tiada seorang pun boleh melepaskan diri atau mengelak diri daripada ditimpa oleh apa yang telah disebutkan.


Di sinilah kalau manusia itu sedar hakikat diri masing-masing yang tidak dapat mengelak daripada kelemahan-kelemahan sepertimana disebutkan di atas sekalipun dia raja dan orang yang berkuasa, berilmu dan berharta, maka manusia itu akan sentiasa insaf dan malu. Mereka akan tawadhuk dan merendah diri. Dengan itu mereka tidak akan sombong, megah, apatah lagi menindas dan menzalimi orang lain.

Perjuangan Islam


Islam tidak akan tegak kecuali melalui jihad atau perjuangan. Namun bukan mudah untuk memperjuangkan kebenaran. Sebelum melangkah ke gelanggang perjuangan terlebih dahulu mesti memiliki ilmu dan kefahaman tentang perjuangan.

Betapa susahnya perjuangan menegakkan kebenaran itu kerana kebenaran itu amat mahal dan tinggi nilainya. Sedikit sahaja di kalangan umat Islam ini yang mampu perjuangkan kebenaran kerana untuk memiliki ilmu dan memahami segala liku dan selok-belok perjuangan itu sudah amat sukar, betapalah untuk menempuh perjuangan itu sendiri.

Kita sudah terlalu jauh dari kehidupan perjuangan Rasulullah SAW dan para Sahabat. Tiada siapa yang berupaya mentafsirkan erti perjuangan itu secara tepat. Masing-masing ada berbagai fahaman dan tafsiran. Kalau dalam pentafsiran perjuangan itu sudah pelbagai, maka dalam perlaksanaan juga sudah pasti berbeza dan kadang-kadang bercanggah antara satu pihak dengan pihak lain atau satu puak dengan puak lain. Lebih parah lagi apabila masing-masing pihak mempertahankan bahawa takrif perjuangan pihak merekalah yang paling tepat lantas mempertikaikan pula pengertian dan cara pihak lain.



Akibatnya bukan saja Islam tidak tegak bahkan semakin runtuh kerana berlakunya krisis di kalangan pihak yang hendak memperjuangkan Islam itu. Sebab itu, tidak hairan di mana saja di dunia ini umat Islam terhina. Ini kerana tidak mendapat pembelaan Tuhan. Tuhan tidak bela dan tidak bantu para pejuang Islam kerana kaedah yang dibawa sudah tidak menepati kehendak Tuhan dan sudah jauh menyimpang dari cara yang pernah ditempuh oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat.

Kebenaran (Islam) itu datangnya dari Tuhan. Tuhan jugalah yang berhak untuk memenangkan agama-Nya. Sepanjang sejarah perjuangan kebenaran, di tangan para rasul, Tuhan angkat martabat kebenaran itu mengatasi yang lain. Tuhan yang mengilhamkan kepada para rasul bagaimana kebenaran itu mesti
diperjuangkan. Di zaman tiada lagi rasul, Tuhan tetap agungkan agama-Nya di tangan para pemimpin berwatak rasul. Itulah dia para mujaddid yang diutus oleh Tuhan setiap 100 tahun dan dilahirkan di awal kurun. Kepada para mujaddid inilah Tuhan ilhamkan kaedah tajdid hingga Islam itu kembali gemilang.

Kalau bukan di tangan mereka, Islam hanyalah ibarat bara saja. Tidak padam tetapi tidak menyala. Para mujaddid atau para pemimpin berwatak rasul inilah yang paling faham tentang jihad dan paling tepat tafsiran dan kaedah perjuangan. Dan di tangan merekalah dijanjikan kemenangan.  Memperjuangkan kebenaran yang pertama dan utama ialah memperjuangkan Tuhan hingga Tuhan dikenali, diagungkan, dibesarkan, ditakuti, dicintai dan dirasai segala-galanya dalam hidup manusia. Apabila manusia mendapat Tuhan barulah syariat Tuhan serta yang lain-lain itu ada nilai di sisi Tuhan. Andainya Tuhan tidak diperjuangkan maka syariat Tuhan sama saja seperti ideologi. Ini kerana agama mesti ada hubungkait dengan Tuhan.

Selain itu sekiranya Tuhan tidak ditakuti dan dicintai, syariat Tuhan amat mudah terabai dan terbarai. Apabila Tuhan tidak diutamakan, tidak dibesarkan, tidak diagungkan, tidak memiliki rasa bertuhan, maka syariat Tuhan juga turut dipandang remeh. Syariat sering diamalkan mengikut selera atau mengambil aspek-aspek yang menguntungkan. Kadang-kadang apabila menghadapi risiko, amat mudah mengenepikannya sahaja.

Kesimpulannya, aspek-aspek lain seperti keadilan, perpaduan, hukum-hakam menghapuskan kemungkaran dan kezaliman, akan menjadi mudah dilaksanakan, diamalkan dan dihayati setelah Tuhan itu terlebih dulu diperjuangkan. Segala syariat Tuhan sama ada yang berbentuk perintah mahupun larangan akan dirasai cantik dan indah untuk diamalkan. Perkara- perkara kecil dan remeh pun bernilai tinggi di sisi Tuhan dan seronok untuk diamalkan. Betapalah ajaran-ajaran Tuhan yang besar-besar.

Tuhan ciptakan manusia berserta dua peranan iaitu sebagai hamba dan khalifah. Sebagai hamba, Tuhan perintahkan manusia agar benar-benar kenal penciptanya iaitu Tuhan, mengagungkan Tuhan, membesarkan Tuhan, merasakan Tuhan segala-galanya. Sehingga dengan itu benar-benar memiliki jiwa tauhid, iaitu rasa takut dan cintanya kepada Tuhan amat mendalam serta tidak lekang dari hati. Amat merasai kehebatan Tuhan. Amat merasai Tuhan Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Berkuasa dan sebagainya.

Kesan dari itu rasa bertuhan amat mendalam seperti rasa takut, gerun, cemas, bimbang, cinta, mengharap, rasa Tuhan tempat bergantung serta merasai Tuhan itu segala-galanya serta keperluan paling utama. Sehingga dirasai mendapat Tuhan mendapat segala-galanya, kehilangan Tuhan dirasakan kehilangan segala-galanya dalam hidup. Sekaligus rasa kehambaan juga amat mendalam. Rasa lemah, dhaif, berdosa, derhaka, lalai dan leka. Juga merasa diri tidak upaya dan tidak mampu, bodoh dan jahil. Yakin bahawa setiap sesuatu kejadian dan peristiwa adalah kerja Tuhan yang tidak sia-sia dan mempunyai maksud atau hikmah di sebaliknya. Menerima bahawa setiap sesuatu itu ada maksud baik dari Tuhan yang Maha Sempurna dan Maha Hebat.

Natijah dari rasa bertuhan dan rasa kehambaan itu menjadikan seseorang hamba itu benar-benar bertaqwa. Rasa takut kepada Tuhan menjadikan seseorang itu membenci dan menolak segala kejahatan, kemungkaran lebih-lebih lagilah sangat membersihkan diri dari sifat-sifat mazmumah yang sangat meracun kehidupan manusia.

Rasa cinta kepada Tuhan pula menjadi pendorong paling kuat seseorang hamba itu membawa segala kebaikan, kebaktian, taat dan berbuat kebajikan. Lebih-lebih lagi dari rasa cinta kepada Tuhan itu menyuburkan segala sifat positif dan mahmudah. Apabila ini berjaya dikuasai oleh seorang hamba maka jadilah dirinya selamat dan turut menyelamatkan orang lain.

Peranan kedua yang Tuhan perintahkan kepada manusia ini adalah sebagai khalifah. Sebagai khalifah, Tuhan perintahkan supaya manusia ini mentadbir, mengatur, menyusun, membangun, berkemajuan dan mengendalikan segala urusan kehidupan manusia. Manusia perlukan pendidikan, ekonomi, kebudayaan, politik, sosial, kesihatan, makan minum, pentadbiran, perhubungan teknologi dan berbagai lagi. Semua keperluan manusia perlu diatur, ditadbir, dikendalikan sebaik mungkin. Oleh kerana bumi ini Tuhan punya, maka segala urusan kekhalifahan itu adalah amanah dari Tuhan. Sekaligus Tuhan mahu ia menjadi alat dan saluran untuk berbakti kepada Tuhan. Segala urusan kekhalifahan itu mestilah sifatnya selamat dan menyelamatkan. Mesti mendatangkan kesejahteraan kepada manusia. Mestilah memberi manfaat kepada manusia itu sendiri.

Apa jaminan bagi mereka yang bertanggung jawab terhadap tugas dan peranan kekhalifahan boleh mencapai matlamat di atas? Sudah terbukti di mana saja di dunia ini berlakunya bermacam-macam penyelewengan, pecah amanah, penindasan, kerosakan dan sebagainya. Di atas nama kemajuan dan pembangunan itulah manusia berkrisis, berpecah, bermusuh, bergaduh, tindas-menindas, menzalim, berebut kuasa, gila kuasa, berbunuhan dan berperang. Kemajuan dan pembangunan sudah hilang manfaatnya, menghapuskan kebahagiaan, keharmonian dan kesejahteraan manusia. Ini tidak lain dan tidak bukan kerana manusia yang mengendalikan urusan kekhalifahan itu tidak menyempurnakan bahkan tiada langsung peranan sebagai hamba. Dengan lain kata, pengurus, pentadbir dan pengendali urusan kehidupan manusia adalah di kalangan manusia yang tidak kenal Tuhan, tidak faham kerja Tuhan, tiada rasa bertuhan dan sekaligus tidak ada rasa kehambaan. Dengan lain kata, manusia yang tidak bertaqwa, manusia yang subur dengan mazmumah, jahat, derhaka dan mungkar. Sempurnanya peranan seorang hamba itulah jaminan selamatnya peranan sebagai khlaifah.

Di sinilah buktinya betapa pentingnya taqwa kepada manusia. Orang yang bertaqwa adalah mereka yang berhimpun sebanyak-banyak sifat mahmudah pada dirinya. Dan sifat-sifat mahmudah itu pula mestilah pada kategori yang tebal. Perlu diingat dan difahami bahawa kerja-kerja kekhalifahan itu amat mencabar, banyak risiko dan kerenahnya. Memikul bebannya mesti berjiwa besar. Orang yang berperanan sebagai hamba dan berjiwa tauhid saja yang berjiwa besar. Mereka saja yang mampu sabar, syukur, amanah, jujur, zuhud, tawakal, berkasih sayang, redha, ikhlas, tawadhuk, rajin, bertanggungjawab dan lain-lain dalam segala urusan kehidupan.

Sandaran hidup mereka hanya kepada Tuhan. Mereka menjadi orang yang sangat bersyukur terhadap Tuhan di atas rahmat dan nikmat yang tidak terhingga, tidak terhitung banyaknya. Di atas nikmat itu mereka juga takut kalau-kalau tidak pandai dan tidak cukup bersyukur. Ketaatan tidak pula menjadikan mereka riyak, sombong, sum’ah dan merasa senang, kerana ketaatan itu belum pasti diterima oleh Tuhan dan belum pasti sampai ke hujung hayat. Lantas segala ketaatan dan kebaikan dilupakan. Kesusahan yang menimpa tidak menjadikan hati resah dan rusuh. Kesusahan diterima dengan senang, tenang dan sabar.

Keyakinan tetap mantap bahawa di sebalik setiap kesusahan itu banyak hikmahnya. Hati sentiasa merintih terhadap kelemahan diri sekaligus mengharapkan pertolongan dan bantuan Tuhan. Terhadap bala bencana atau musibah diterimanya dengan redha kerana yakin bahawa tidak bergerak dan diam sesuatu itu melainkan datangnya dari Allah SWT dengan izin Allah dan dengan kehendak-Nya yang sudah ditakdirkan. Yakin bahawa Tuhan segala-galanya yang seluruh makhluk ini dalam genggaman-Nya.

Demikianlah kesan rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang mendalam dalam diri manusia. Ini juga membuktikan bahawa kepincangan yang berlaku dalam kehidupan manusia kerana tidak sempurnanya peranan kehambaan bagi digunakan dalam peranan kekhalifahan. Yakni manusia yang jahat, hati yang subur mazmumah ini yang menghasilkan kepincangan dalam kehidupan.

Sepintas lalu dapatlah disimpulkan sekiranya semua golongan dalam masyarakat dapat menyuburkan segala sifat-sifat mahmudah. Hasilnya golongan pemimpin akan sangat bertanggung jawab dan mendatangkan manfaat kepada manusia. Golongan kaya sangat membela dan berbakti kepada manusia yang memerlukan. Para ulama sangat berjasa dalam mendidik manusia. Golongan miskin dan pekerja sangat sabar dan redha tanpa mencetuskan sebarang masalah. Para suami sangat bertanggungjawab kepada isteri dan isteri-isteri patuh kepada suami. Anak-anak mudah dididik dan sangat menghormati ibu bapa dan orang-orang tua. Para wanita sangat menjaga maruah.

Para remaja menjadi aset kepada agama, bangsa dan negara. Masyarakat bertuhan bersungguh-sungguh untuk menegakkan keadilan dalam semua aspek bermula dari diri sendiri, keluarga, masyarakat dan seterusnya. Kasih sayang dan perpaduan amat mudah tercetus kerana masing-masing sama-sama mencintai Tuhan. Semua orang sangat melihat kepada cacat cela, kesalahan, kelemahan diri, mazmumah diri hingga tidak sempat memikirkan kesalahan orang lain kerana takutkan Tuhan. Kaedah dan pendekatan dalam memperjuangkan kebenaran itu pula sangat lemah lembut dan penuh dengan kasih sayang. Sehingga dengan itu amat mudah terbongkarnya fitrah rasa bertuhan di hati manusia. Sangat mudah menjinakkan hati manusia untuk dididik dan dibawa kepada Tuhan.

Inilah rahsia perjuangan kebenaran yang dibawa oleh orang-orang Tuhan di sepanjang zaman. Pendekatan yang diwahyukan kepada para rasul dan diilhamkan kepada para mujaddid. Oleh kerana mereka sangat memperjuangkan Tuhan maka Tuhanlah yang berhak membela dan memenangkan mereka. Tuhan janji kejayaan kepada mereka.

Sifat wanita menurut Imam Ghazali


Assalam. Mari kita berkongsi bersama sifat-sifat wanita yang baik untuk dijadikan isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Moga ada manfaat buat kita semua:)

1. Seorang perempuan yang beragama dan mempunyai sifat-sifat solehah serta takut akan Allah s.w.t. dan senantiasa menjauhkan diri daripada laranganNya dan perkara-perkara yang haram.

Ini adalah berdasarkan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud Berkahwin akan perempuan itu kerana hartanya, dan eloknya, dan kerana bangsanya, dan kerana agamanya, maka lazimkan olehmu berkahwin dengan perempuan yang mempunyai agama”




Dalam sabda Nabi s.a.w. yang lainnya juga menyebut bahawa Barang siapa berkahwin berkehendak akan perempuan kerana hartanya, dan kerana elok rupanya, nescaya diharamkan akan hartanya dan elok rupanya yakni ditegahkan akan hartanya dan elok rupanya dan barang siapa yang berkahwin akan dia kerana agamanya nescaya diberi rezeki oleh Allah s.w.t akan dia akan hartanya dan elok rupanya.”  

Namun ini tidaklah bermaksud harta dan rupa paras tidak dipentingkan dalam Islam. Dalam hadits lain ada menyebut bahawa salah satu ciri wanita yang baik adalah apabila suami memandang isteri, si suami akan merasa senang dan tenang. Ini berdasarkan jawapan Rasulullah s.a.w kepada sahabat apabila ditanya ‘Siapakah orang perempuan yang baik itu”. Maka jawab Rasulullah s.a..w “Perempuan yang baik itu ialah yang apabila engkau pandang mukanya, engkau akan rasa seronok”.

Maka dapat dikatakan bahawa paras rupa juga merupakan satu kreteria dalam memilih isteri. Walau bagaimana pun Nabi s.a.w. juga memberi amaran kepada lelaki supaya tidak memilih isteri semata-mata kerana cantik rupa paras dan kekayaan sahaja kerana ianya dikhuatiri akan menjadi punca kepada kepincangan sesebuah rumah tangga. Seperti mana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud ; “Janganlah kamu kahwini perempuan itu kerana segaknya semata-mata kerana takut disebabkan segak dan cantiknya menyebabkan kamu dihina olehnya, dan jangan kamu nikahi seorang perempuan semata-mata kerana hartanya kerana ditakuti hartanya menyebabkan dia melampau terhadap kamu,tetapi hendaklah kamu nikahi seorang perempuan itu kerana agamanya disamping paras rupanya cantik dan dari keluarga yang berharta”.

Namun Nabi s.a.w tetap menyarankan supaya kreteria pertama yang akan diambil kira apabila memilih isteri adalah dari segi agamanya seperti maksud sabdanya “Kalau sekiranya isteri kamu seorang hamba yang hitam kulitnya tetapi mempunyai agama yang kuat maka itu adalah lebih baik bagimu”. 

2. Disunatkan memilih seorang perempuan yang baik perangai dan akhlaknya kerana ianya akan membantu dalam menyempurnakan ibadah terhadap Allah s.w.t. Dinyatakan bahawa seorang pempuan yang buruk perangainya dan jahat lidahnya akan mendatangkan banyak mudarat di dalam sesebuah keluarga daripada manfaatnya melainkan suaminya itu adalah seorang yang sangat sabar orangnya dengan telatah dan kerenah isteri. Dalam hal ini dinyatakan juga sebagai panduan enam (6) sifat perempuan yang sebolehnya dielakkan apabila memilih calon isteri.

Sifat Al-Annaanah

Perempuan yang perbanyakkan keluh kesah dan suka mengadu-ngadu padahal dia sentiasa menghiasi dirinya. Jika dikahwini perempuan yang demikian akan  menyakitkan hati dan tidak peroleh didalamnya kebajikan.

Sifat Al-Mannaanah

Perempuan yang banyak membangkitkan atas suaminya iaitu seorang isteri yang suka mengungkit samada kebaikkannya ataupun keburukkan suaminya dalam pertuturan seharian bersama suaminya.  

Sifat Al-Hannaanah

Perempuan yang berkeinginan terhadap lelaki lain selain suaminya. Diwajibkan kepada lelaki supaya menjauhi perempuan yang bersifat tersebut kerana banyak mudaratnya.  

Sifat Al-Haddaaqah

Perempuan yang gemar akan tiap-tiap sesuatu dan ingin dia akan ia dan dengan itu memberatkan dia akan suaminya untuk membeli barangan tersebut. 

Sifat Al-Barraaqah

Terdapat dua sifat Al-Barraqah iaitu :-

* Terlalu suka menghias diri dan mencantikkan wajahnya secara keterlaluan.

* Suka memarahi keatas rezeki yang disediakan dan senantiasa merasa pemberian suami tidak mencukupi. (Termasuk sifat suka membandingkan pemberian suami dengan orang lain yang mendapat lebih baik dari suami mereka pada anggapannya)

Sifat Al-Sallaaqah

Perempuan yang suka memperbanyakkan perkataan iaitu perempuan yang suka bercakap sesuatu yang tidak berfaedah dan berbau umpatan. Selain itu menurut kata Saidina Ali r.a, terdapat juga sifat-sifat yang dianggap tidak baik jika ada pada seorang lelaki tetapi ianya baik jika terdapat pada seorang perempuan iaitu :-  

Sifat Al-Baqlu. 
Sifat kikir / kedekut kerana dengan sifat ini akan terpelihara harta suami. 

Sifat Az-Zahhu.
Sifat membesarkan diri / sombong kerana apabila seseorang perempuan itu membesarkan dirinya maka enggan dia untuk berkata-kata dengan semua orang dengan perkataan yang lemah lembut. Maka dengan itu akan terpeliharalah suami dari perasaan cemburu dan gelisah.

Sifat Al-Jubnu. 
Sifat penakut kerana dengan sifat ini akan terhindar ia daripada keluar rumah sesuka hati tanpa mengira masa dan waktu.Sifat ini juga akan memelihara seorang isteri daripada sifat cemburu dan perasaan curiga suami.  

3. Disunatkan memilih perempuan yang elok rupa parasnya. 

Disarankan untuk memilih seorang perempuan yang cantik rupa parasnya kerana dengannya semoga akan terhindar keinginan lelaki tersebut untuk memandang akan perempuan yang lainnya. Namun di ingatkan lagi bahawa di tegah untuk mengahwini seorang perempuan yang cantik tetapi tidak mempunyai agama.Dalam hal ini kita disarankan juga untuk memilih seorang perempuan yang kurang elok dari segi paras rupanya asalkan perempuan tersebut kuat beragama dam berakhlak mulia jika perkahwinan tersebut semata-mata untuk mengikut sunnah Nabi s.a.w dan untuk mendapatkan zuriat serta untuk membantunya mentadbirkan rumahtangganya, dan kebanyakkan orang-orang alim dan soleh memilih perempuan yang sebegini untuk dijadikan isteri.

4. Disunatkan untuk memilih seorang perempuan yang mas kahwinnya kurang / murah kerana sabda Nabi s.a.w yang maksudnya “Bermula yang terlebih baik perempuan itu ialah yang terlebih baik mukanya dan yang terlebih murah isi kahwinnya”

Dan dalam hadist Nabi s.a.w. yang lainnya bermaksud “Setengah dari baraqah maka perempuan itu iaitu segerakan dipersuamikan dan di segerakan rahimnya itu kepada beranak”

Secara ringkasnya tanda-tanda seorang perempuan yang baik adalah Rendah mas kahwinnya Disegerakan perkahwinannya. Menyegerakan untuk mendapat anak. 

5. Disunatkan memilih perempuan yang banyak beranak / melahirkan zuriat  kerana sabda Nabi s.a.w maksudnya ,Lazimkan keatasmu berkahwin dengan perempuan yang banyak anak dan perempuan yang banyak kasih sayang ke atas suaminya”  

6. Disunatkan memilih perempuan yang masih anak dara kerana menurut Nabi s.a.w apabila mengahwini perempuan (anak dara) akan menjadi lebih mesra perhubungan antara suami dan isteri.

7. Di sunatkan memilih perempuan yang berasal dari bangsa yang baik iaitu perempuan itu terdiri daripada anak cucu dikalangan orang yang beragama dan anak cucu dari orang yang soleh serta alim kerana menurut sabda Nabi s.a.w yang maksudnya “Pilih olehmu akan perempuan yakni tempat bagi mani kamu itu maka kerana bahawa sesungguhnya gemar itu terlebih mengekalkan”

Di galakkan memilih perempuan mahu pun lelaki dari kalangan yang baik-baik kerana menurut Nabi s.a.w, sifat baik dari ibu bapa kadang kala akan di warisi oleh anak samada lelaki mahupun perempuan. “Keturunan baik itu akan diwarisi oleh anak-anaknya”

Di samping itu Nabi s.a.w menasihatkan supaya lelaki berhati-hati apabila memilih perempuan agar tidak memilih perempuan yang mempunyai paras rupa yang cantik berasal dari keturunan yang rosak akhlaknya. 

8. Disunatkan memilih perempuan yang bukan dari kerabat yang hampir kerana yang demikian itu mengurangkan syahwat. Sabda Nabi s.a.w pula menyebut yang bermaksud “Jangan kamu kahwin akan perempuan dari kerabat yang hampir maka bahwa sesungguhnya anak itu dijadikan daif tubuhnya”

Demikianlah lapan sifat wanita yang di nyatakan oleh Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya.

CINTA

Aku cuba mencintaiMu Tuhan. Tapi tidak juga terasa. Aku cuba berkali-kali... tetap tidak terasa apa-apa juga. Aku fikir-fikirkan nikmatMu dan aku kenang-kenangkan rahmatMu.. Agar aku nampak kemurahanMu...

Atas nama ilmu aku akui yang aku belum betul-betul mengenaliMu. 

Aku susah hati, aku sedih selalu. Mengapa terjadi begini? Mengapa cintaku padaMu belum berbunga lagi. Sedangkan nikmatMu terlalu banyak padaku....

Kalau hendak dihitung, sudah tentu aku tidak mampu, walaupun dengan menggunakan mesin yang sangat canggih...

Aku sebenarnya iri hati... bila mendengar berita serta membaca kisah-kisah orang soleh zaman dahulu.... HEBATNYA CINTA mereka kepadaMu....




Hilang selera makan keranaMu... Asyik memuja dan memujiMu... Mensuci dan membesarkanMu... terutama di waktu malam yang sepi... di kala orang di hanyut dalam mimpi.. mereka memujaMu... merintih padaMu... Mengharap kasih sayang padaMu... 

Air mata mereka membasahi pipi... Adakalanya menitis ke bumi.... Ada sebahagiannya terus Kau panggil mengadapMu ya Rabbi...

 Mereka benar-benar merasakan ENGKAU ADALAH SEGALA-GALANYA...

ENGKAU ADALAH HATI JANTUNG MEREKA...

tapi.... Aku tidak begitu... ADUHHH!! Kerasnya hatiku.... 

JANGAN TINGGALKAN AKU TUHAN.... JIKA TIDAK APALAH ERTI HIDUP INI... SEGALA YANG AKU ADA TIDAK ADA ERTI LAGI JIKA KEHILANGAN ENGKAU... AKU MEMERLUKANMU...

Masukkanlah sedikit rasa cintaku padaMu Ya ALLAH.... Wahai Kekasih Allah.. Aku bertawassul.. Moga dikurniakan Rasa Cinta itu...

Bumi Tuhan... Bersaksilah