Bismillahirrahmanirrahim...



Assalam.. Sebelum ini, kita sudah memperkatakan muqaddimah kepada Ummul Kitab ini. Belum lagi memperkatakan isinya, baru menyentuh yang luar-luar. Kalau ibarat istana, kita belum tahu apa yang ada di dalamnya dan secantik mana ia, tapi kita baru lihat dari luar. Lihat dinding luar itu pun sudah terasa keindahannya. Kalau kita masuk dalam istana, tentu lebih puluhan kali keindahannya. 

Marilah kita lihat lagi ke dalam Ummul Kitab yang merupakan seluruh intipati isi Al Quran dan Sunnah, demi untuk keselamatan manusia dunia dan Akhirat. Ummul Kitab ataupun Al Fatehah itu, bagi siapa yang mengamalkannya akan mendapat kemenangan. Ia bukan sahaja surah pembuka Al Quran tetapi pengertian sebenarnya ialah 'Surah Kemenangan'. Dengan maksud, kalau diamalkan, ia adalah penentu, pembawa kemenangan. Ia bukan surah pertama diturunkan tetapi isinya itu kalau difahami, dihayati, diamalkan dalam kehidupan dan perjuangan, maka ia boleh membawa kemenangan. Al Fatehah dimulai dengan:
 
Maksudnya: "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang." (AlFatehah: 1)



Di sini Tuhan sebut dengan nama-Nya, yang mana Tuhan itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dua sifat ini adalah sifat Tuhan yang termasuk dalam Asmaul Husna yang 99. Ertinya sifat-sifat Tuhan yang disebut dalam Asmaul Husna yang ada dalam Quran dan Hadis itu semuanya merupakan satu pakej yang memperlihatkan kebesaran, keagungan dan kehebatan Allah. Daripada keseluruhan nama-Nya itu, yang Tuhan tidak sebut sebenarnya lebih banyak tidak terhingga. Ertinya kebesaran dan keagungan Tuhan tidak ada kesudahan tetapi Tuhan hanya sebutkan 99. Apa yang peliknya, daripada 99 sifat Tuhan itu, Tuhan sangat menonjolkan sifat Rahman dan Rahim-Nya. Sebab itu Hadis ada menyebut:

Maksudnya: "Setiap perkara yang baik, kalau tidak dimulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim maka terputuslah berkatnya."

Tuhan tidak pilih sifat-sifatnya yang lain. Contohnya: Bismillahi Jabbar, Bismillahi Sobur atau Bismillahi Syakur. Mengapa Rahman dan Rahim yang dipilih? Daripada perkataan Bismillahirrahmanirrahim tersebut, bismi itu bukan sifat. Allah itu pula nama yang dikatakan Ismu Jalalah iaitu nama yang Maha Agung. Ia nama bagi satu Zat yang dikatakan Dialah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi. Manakala Rahman dan Rahim itu sifat Allah. Yang dimasyhurkan dan dipopularkan ialah dua sifat-Nya iaitu Rahman dan Rahim. Dua sifat inilah yang sangat menonjol. 

Mengapa Tuhan suruh memulakan perkara yang baik dengan Bismillah? Kalau kita kaji setidak-tidaknya ada beberapa maksud atau faedahnya iaitu:

Hikmah Pertama: Agar manusia merasa bahawa sifat Tuhan yang tertonjol adalah Rahman dan Rahim-Nya.

Mengapa Tuhan tonjolkan dua sifat ini? Kalau kita prihatin, memang dua sifat inilah yang tertonjol. Katalah Asy Syakur, ia tidak berapa nampak. Al Jabbar dan Al Qahar boleh dilihat sekali-sekala seperti tsunami, gunung berapi meletus, dilanggar kereta, ada pemimpin yang jatuh. Sekali-sekala nampak Al Kabir dan Al Kudrah-Nya. Sedangkan Rahman dan Rahim sangat tertonjol. Setiap detik ia tertonjol. Tapi pelik, kita tidak terkesan dan tidak prihatin. Sebaliknya kita terkesan dengan sifat-Nya yang sekali-sekala berlaku. Berlaku gempa bumi di Iran misalnya, sebulan orang perbualkan padahal berapa tahun sekali ia berlaku. Ajaib sekali. Bila ada orang mati dilanggar kereta, ia jadi bualan padahal bukan setiap detik ia berlaku. 

Patutnya yang diperhatikan ialah Rahman dan Rahim Tuhan sebab ia bukan sahaja setiap detik berlaku bahkan setiap suku detik berlaku. Buktinya, ia berlaku sejak kita bangun tidur lagi iaitu:
  • Sedar-sedar sahaja dari tidur kita boleh bernafas. "Hidup lagi aku. Sayangnya Tuhan dengan aku. Dengan nafas itulah aku boleh hidup." Dapat hidup itu sendiri adalah Rahman dan Rahim Tuhan. 
  • Bila kita pergi bilik air, itu juga Rahman dan Rahim Tuhan. "Boleh melangkah lagi aku. Tuhan sayang lagi dengan aku."
  • Masuk bilik air, ada air untuk mandi. Lepas mandi kita rasa segar. Tenaga kita yang tidak aktif semalaman itu, bila dapat air, terasa segar. Padahal waktu sakit lenguh-lenguh badan itu betapa dahsyat. Bila kena air, 3/4 daripada sakit itu hilang. Itulah kasih sayang Tuhan. Baru sampai ke bilik air sahaja, berapa ribu Rahman dan Rahim Tuhan. Dapat bernafas dan dapat mandi dalam bilik air.
  • Selepas itu kita menunaikan sembahyang. Dapat bersembahyang itu pun Rahman dan Rahim Tuhan juga.
  • Seterusnya kita keluar pergi kerja dengan nafas yang turun naik, itu juga Rahman dan Rahim Tuhan yang berlaku setiap detik. Kita melangkah kaki, memijak di bumi Tuhan. Kalaulah Tuhan jerluskan, bukankah dahsyat. Kita dapat berpijak dengan baik di bumi Tuhan. Boleh pula melihat-lihat ciptaan Allah, "Rupanya mata aku tidak buta. Ini Rahman dan Rahim Tuhan."
Dengan Rahman dan Rahim Tuhan itu, kita seperti dilambak-lambak dengan nikmat Tuhan. Firman Allah:

Maksudnya: "Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (An Nahl: 18)

Sejarah menceritakan bagaimana orang yang lurus dan bersih hatinya serta sangat sensitif itu sangat nampak rahmat Tuhan itu seolah-olah macam salji turun. Kalau dia bukan pemimpin; rasa itu untuk dirinya sahaja; maka dia akan mabuk (sakar) dengan Tuhan. Dia macam orang gila kerana tidak tahan dengan rahmat dan nikmat yang bukan sahaja matanya dapat lihat bahkan hatinya juga melihat. 

Manakala bagi pemimpin, biasanya Tuhan kawal supaya tidak sampai mabuk. Setakat hatinya sahaja yang merasa rahmat dan nikmat Tuhan itu. Jika mabuk, dia tidak akan boleh memimpin. Kalau Rasulullah itu bukan pemimpin, mungkin dia pun sudah mabuk. 

Bacalah kisah-kisah ahli sufi yang bukan pemimpin, ramai yang pelik-pelik. Kalau kita hendak ikut dia pun, dia tidak suka. Dia rasa terganggu perhubungannya dengan Tuhan kerana kita. Sayidina Ali dan Sayidina Umar pernah bertemu dengan Uwais Al Qarni yang mana tentulah pangkat dan darjat mereka lebih tinggi daripada Uwais Al Qarni. Uwais Al Qarni itu hanya afdhalut tabiin iaitu tabiin yang paling utama. Itu pun dia tidak mahu bercakap panjang dengan Sayidina Umar dan Sayidina Ali. 

Orang yang ada hubungan hati dengan Tuhan, dia tidak seronok untuk berhubung dengan manusia. Ini kerana dia bukan pemimpin. Uwais hanya jaga kambing orang ramai. Dia adalah ulama berwatak nabi yang hanya jaga dirinya. Sebab itu dia mabuk dengan Allah. Sebaliknya kalau orang datang berjumpa Sayidina Umar dan Sayidina Ali, biasanya orang hendak berlama-lama kerana dia rasa itulah ibadahnya. Tengok muka mereka pun terasa terhubung hati dengan Tuhan, belum lagi mendengar kata-kata mereka. Hati mereka sangat terhubung dengan Tuhan tapi mereka tidak mabuk. Tidak seperti Uwais Al Qarni yang sentiasa terhubung dengan Tuhan sehingga jadi mabuk. 

Jadi itu hikmah yang pertama mengapa Tuhan menonjolkan diri-Nya dengan dua sifat ini. Kalau orang prihatin dalam kehidupannya; mata, akal dan rohnya prihatin; memang sifat Rahman dan Rahim Tuhan sangat menonjol. Sifat Rahman dan Rahim Tuhan yang mencurah-curah itu ibarat seorang yang berada di padang pasir, didatangkan salji yang tidak berhenti-henti. Munasabahlah dua sifat ini tertonjol. 

Peliknya, begitu sekalipun tertonjol dalam kehidupan manusia, bahkan Tuhan ingatkan selalu dengan disebut Rahman dan Rahim itu melalui Bismillahirrahmanirrahim namun kita buat tidak tahu dan kita tidak rasa. Padahal sepertimana yang disebut di atas tadi, sejak dari bangun tidur, di bilik air, di depan rumah, belum pun jauh kita melangkah, begitu banyaknya nikmat Tuhan kepada kita. Jadi munasabahlah Tuhan suruh menyebut nama ini pada setiap perbuatan yang baik. Memang sifat inilah yang tertonjol. 

Malangnya sifat yang tertonjol ini tidak diperhatikan manusia. Menunjukkan hati manusia sudah terlalu lalai. Kalau ia berlaku kepada orang bukan Islam kita tidak hairan tapi orang Islam yang masih solat, puasa dan naik haji pun tidak rasa. Seolah-olahnya Rahman dan Rahim Tuhan itu kebetulan sahaja. Ini samalah dengan contoh berikut sebagai bandingan: Katalah kita ada kawan, seorang kaya yang agak pemurah. Dia ajak kita jalan-jalan sekali-sekala. Dia beri kita pakaian, beri kita hadiah untuk dibawa balik. Dua bulan kemudian kita jumpa dia lagi. Dia ajak kita makan dan ajak kita bersiar-siar dengan keretanya. Ia berlaku sekadar sebulan sekali atau dua bulan sekali. Itu pun kita mula bercakap, "Baiknya orang itu. Pemurah dan berkasih sayang."

Tapi pelik, kita sebagai anak yang setiap hari duduk dengan emak, dia beri buku sekolah, dia beri pakaian, sekali-sekala dia bawa kita keluar, kita tidak pernah rasa mak atau ayah sayangkan kita. Malah sempat pula berfikir, "Mak ni sayang ke dengan aku? Jangan-jangan dia benci." 

Hati kita boleh terikat dengan orang luar padahal sekali-sekala sahaja orang itu buat baik kepada kita. Itu pun kita sudah sayang dengan orang itu. Padahal mak ayah hari-hari buat baik pada kita, tanggung makan minum kita tapi tidak terasa mak ayah sayang. 

Samalah seperti apa yang kita buat pada Tuhan. Tuhan pemurah dengan kita setiap detik dan setiap saat tetapi kita tidak pernah sebut. Setiap detik Tuhan beri kasih sayang tetapi kita tidak pernah terasa kasih sayang Tuhan. Tidak pernah jatuh hati dengan Tuhan. Tidak pernah terasa serba salah dan malu dengan Tuhan. Kalau ikut akal, tidak logik ia berlaku. Kalau dibahaskan dari segi logik, tentulah kita akan lebih sayang dengan orang yang hari-hari belanja kita, bukan dengan orang yang belanja kita sebulan sekali. Anehnya yang tidak logik itulah yang berlaku. Begitulah kita buat pada Tuhan. Sekalipun kita sembahyang, puasa, wirid, zikir tetapi tidak nampak nikmat, rahmat dan kebaikan Tuhan. Enam bulan sekali, bila sakit gigi, kita kata, "Apa Tuhan ni?" 

Yang sekali itu yang diingat. Waktu sihat itu kita lupa. Termasuklah kita yang berjuang, solat, puasa dan naik haji, kita tidak teringatkan rahmat dan nikmat Tuhan. Itu menunjukkan susahnya hendak hidupkan hati padahal kita dimandikan dengan Rahman dan Rahim Tuhan setiap hari. Jadi Tuhan suruh baca Bismillah kerana Tuhan hendak isytiharkan dua sifat yang menonjol ini. Sifat yang lain hanya berlaku sekali-sekala untuk menyedarkan dan menginsafkan manusia. 

Hikmah kedua: Supaya lahir cinta terhadap Tuhan dan sesama manusia.

Setiap kebaikan yang kita buat sama ada yang bersifat maddi atau maknawi, jangan lupa membaca Bismillah supaya berkat dan lahir cinta terhadap Tuhan. Apa rahsianya? 

Kita cinta atau tidak cinta Tuhan, itu tidak jadi masalah bagi Tuhan. Keagungan Tuhan tetap dan tidak berubah sama ada kita cinta atau bencikan-Nya. Tuhan seolah-olah mengajar kita, apabila kita membaca Bismillah, kita akan tersedar atau tersentak yang mana waktu itu kita akan prihatin dengan banyaknya nikmat Tuhan. Ini supaya kita cintakan Tuhan. Agar kita jatuh hati dengan Tuhan. 

Faedahnya bukan untuk Tuhan. Untungnya adalah untuk sesama manusia. Kalau orang cintakan Tuhan, automatik dia akan cinta sesama manusia. Bila cinta sesama manusia, tiada pergaduhan, ada tolak ansur, bekerjasama, bermaaf-maafan, tiada hasad dengki, tidak ada peperangan. Keuntungan, faedah dan manfaatnya untuk manusia, bukan untuk Tuhan. Di sini ada rahsia dalam rahsia. Dalam Rahman dan Rahim Tuhan itu, bila kita kaji hikmahnya, dalamnya itu ada Rahman dan Rahim. Hikmahnya itu juga adalah Rahman dan Rahim Tuhan. Dalam Rahman ada Rahman. Dalam Rahim ada Rahim. Dalam kasih ada kasih. Dalam cinta ada cinta. Dalam kebaikan ada kebaikan. 

Kalau yang di luar pun kita tidak sedar, yang mata boleh lihat pun tidak perasan, betapalah yang tersirat. Kerana manusia ini, walaupun dia sembahyang tetapi hatinya sudah buta. Kalaulah Tuhan tidak ingatkan dengan Bismillah, teruslah buta hati kita. Walau sudah diingat-ingatkan pun masih tidak sedar. Macam anak kita yang setiap hari duduk di rumah, kita beri pakaian, pergi sekolah beri duit belanja, beri buku, tetapi tidak pernah dia rasa emaknya sayang. Orang yang sekali-sekala belanja dia, dia kata, "Macam mana saya tidak sayang dia, sebab dia belanja." Padahal orang itu belanja sebulan sekali. Sedangkan emak dia setiap hari beri belanja, dia tidak sayang. Manalah hati tidak menangis. Itu adalah kerana kita juga iaitu emak ayah tidak pun jatuh cinta dengan Tuhan maka Tuhan balakan. Maka anak kita pun tidak dapat rasa kasih sayang kita. Itu di antara anak, emak ayah dan orang luar. Yang kita pula, antara manusia dengan Tuhan. Pemberian manusia kita rasa tetapi pemberian Tuhan kita tidak rasa. Jadi kita sama dengan anak kita.

Ada orang pemurah dengan kita, kita puji tetapi Tuhan setiap detik beri kita rahmat, tidak pernah kita puji atau promosikan-Nya. Tidak rasa bersalah dengan Tuhan, tidak fikir macam mana hendak balas nikmat Tuhan. Khusyuk atau tidak kita dalam solat adalah sebagai tanda kesyukuran kita kepada Tuhan. Jadi patutlah Tuhan suruh baca Bismillah. Besar peranannya yakni hendak menyedarkan manusia bahawa Tuhan itu berkasih sayang. Agar dengan itu manusia cinta Tuhan. Hasil cinta Tuhan, akan cinta sesama manusia. Akan berlakulah keamanan, keselamatan dan kebahagiaan. 

Selama ini kita belajar Bismillah, "Kalau hendak buat sesuatu perkara, baca Bismillah ya. Jangan tidak ikut Sunnah ya." Setakat itu sahaja. Kalau baik sedikit, "Kalau tak baca Bismillah, nanti tidak berkat." Hanya sekadar itu. Tidak perasan mengapa besarnya Rahman dan Rahim Tuhan itu. Tidak terasa besarnya Tuhan, tidak terasa peranan-Nya besar. Tidak nampak hikmahnya besar. Tidak nampak besarnya rahmat dan nikmat Tuhan. Tidak nampak patutnya kita cinta Tuhan supaya kita cinta sesama manusia. 

Hikmah ketiga: Supaya manusia dapat rasa kehambaan.

Tuhan suruh setiap kebajikan itu dimulakan dengan Bismillah. Ertinya dalam satu hari, berapa ratus kali kita baca Bismillah. Hendak makan, minum, pakai pakaian, hendak berjalan, kita baca Bismillah. Apa maksudnya yang lain? 

Maksudnya ialah supaya kita rasa hamba. Rupa-rupanya kita tidak boleh hidup tanpa Tuhan. Rasa kehambaan itu sifat tawadhuk yang wajib. Tuhan suka sangat hamba itu rasa hamba. Jadi bagi orang yang prihatin, dengan sendiri dia jadi tawadhuk, rasa perlu dengan Tuhan, dia rasa kalau tidak kerana Tuhan, dia tidak boleh hidup. Lahir rasa bertuhan. Tidak besarkah? Akhirnya hati kita sentiasa berhubung dengan Tuhan. Rupanya kehendak Tuhan supaya kita baca Bismillah, kebanyakannya hari ini tidak sampai matlamat. Paling baik, baca Bismillah itu dapat berkat kerana ikut Sunnah Rasulullah.

Hikmah keempat: Agar apa yang dibuat, diberkati Tuhan

Hikmah lain yang tersirat, kalau kita tidak baca Bismillah dalam berpakaian, makan minum ertinya apa yang kita buat tidak berkat. Kalau tidak berkat, Tuhan tidak bersama kita. Bila Tuhan tidak bersama, itu yang jadi masalah. Bila makan minum, penyakit pun banyak. Bila kita berpakaian, hati jadi lalai, rasa diri cantik dan hebat. Lalai itu adalah satu bala dari Tuhan. Buat apa pun kalau tidak baca Bismillah, walaupun berjaya, Tuhan beri secara istidraj. Maju di satu sudut tetapi negatif di sudut lain. Berniaga maju tetapi orang benci, anak isteri tidak harmoni. Oleh kerana Tuhan marah, diberi secara istidraj. Untung di satu sudut, di lain sudut Tuhan tarik kasih sayang, makan banyak datang penyakit dan lain-lain lagi. 

Hikmah kelima: Bismillah dan Fatehah diwajibkan dalam sembahyang sebagai kasih sayang Tuhan.

Dalam solat, selepas baca Fatehah sampai habis, kemudian sebelum baca ayat atau surah lain, kita baca lagi Bismillah. Selain hendak pertahankan berkat, kedudukannya sunat sahaja. Tetapi bagi Al Fatehah, diwajibkan membaca Bismillah kerana ia satu ayat daripada surah itu. Kalau tidak baca Bismillah, batal Fatehah dan batal solat. Apa maksudnya? 

Sebenarnya kita baca Bismillah ini merupakan kasih sayang Tuhan. Al Quran yang isinya ada dalam Al Fatehah itu, kalau kita ada ilmunya, boleh fahami, hayati dan applykannya dalam kehidupan kita, itu rahmat dan nikmat Tuhan yang paling besar, yang mana kita akan selamat di dunia dan Akhirat. Begitu kasih sayang Tuhan. Patutlah Tuhan suruh baca Bismillah di awal Al Fatehah sebab Tuhan itu Maha Pengasih dan Penyayang. Patutlah wajib baca Bismillah pada Al Fatehah, tidak seperti surah-surah lain. 

Inilah yang sebenarnya kemuncak hikmah Rahman dan Rahim Tuhan. Apa yang saya cerita tadi, termasuk dalam isi Fatehah. Saya dahulukan ia supaya kita nampak, sebab nikmat yang lahir ini mudah untuk kita faham dan cepat terasa. Nikmat yang bersifat rohaniah perlu dikaji dan dibahaskan baru terasa. Begitu juga rahmat dan nikmat Tuhan yang bersifat aqliah lebih mudah kita rasa daripada yang bersifat ruhiyyah atau maknawiah. 

Nikmat Tuhan ada tiga bentuk iaitu yang bersifat mata, bersifat akal dan bersifat roh. Mata cepat nampak nikmat tetapi itu pun payah untuk terasa. Yang bersifat aqliah, mungkin lambat sedikit untuk terasa. Manakala yang bersifat ruhiyyah itu lebih-lebih lagilah lambat untuk dikesan dan dirasa. Ia perlu dikaji, dicungkil dan diulaskan baru terasa.

sekian...

HIKMAH DI SEBALIK TUJUH AYAT DALAM FATEHAH


As-salam... Al Fatehah ada tujuh ayat. Kalau kita lihat, tujuh ayat dalam Al Fatehah itu dirangkapkan dua ayat, dua ayat. Ia seolah-olah berbentuk sajak. Hujungnya disamakan iaitu sama ada huruf mim atau huruf nun di akhir setiap ayat. Ada ayat yang berakhir dengan 'mim' dan ada ayat yang akhirnya dengan 'nun'. Ayatnya seolah-olah bahagian akhirnya dipasang-pasangkan.  Sebenarnya dalam jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh ini, ada hikmah yang besar. Secara isyarat, ia ada hubungan dengan manusia dan dengan ciptaan Tuhan. Antaranya ialah: 

1. Tujuh ayat menggambarkan tujuh hari dalam seminggu. Dalam tujuh hari itulah sama ada manusia hendak jadi jahat atau jadi baik, dapat rahmat atau dapat laknat, dapat bahagia atau celaka, jadi kafir atau jadi mukmin, kaya atau susah, sakit atau sihat. Apakah ada hari yang lain selain daripada tujuh hari itu (yakni Ahad hingga Sabtu)? Tentu tidak. Ertinya dalam masa seminggu, kalau seseorang itu benar-benar menghayati Al Quran; yang intipatinya ada dalam tujuh ayat Fatehah itu, sehingga ia benar-benar berperanan dalam hidupnya, maka dalam seminggu itu dia boleh selamat. Kalau Fatehah tidak berperanan pada dirinya dalam seminggu, maka akan kena laknatlah dia. Huru-hara, haru-biru dan celakalah hidupnya. 



2. Tujuh ayat berkait dengan tujuh anggota badan. Dalam seminggu itu sama ada manusia jadi baik atau buruk, ditentukan oleh anggota yang tujuh. Sebab itu dalam sembahyang; yang mana sembahyang itu adalah rukun Islam yang kedua; kesemua tujuh anggota ini terlibat atau digunakan. Kalau agama lain, mereka menyembah Tuhan tidak melibatkan semua anggota. Sebaliknya dalam ajaran Islam, semua anggota terlibat untuk tunduk dan patuh kepada Tuhan.  

Ketujuh-tujuh anggota itu ialah: 

a. Kepala - ini termasuklah anggota-anggota yang ada di kepala seperti mata, mulut, telinga, lidah dan lain-lain. Kegunaan kepala pula ada bermacam-macam jenis.  

b. Dua tangan - ia juga banyak peranannya. Ia boleh berbuat baik atau berbuat jahat, boleh bunuh orang, boleh selamatkan atau celakakan orang.

c. Kedua-dua lutut  

d. Kedua-dua tapak kaki.

 Dalam sembahyang, anggota-anggota sujud itu merupakan tujuh anggota penting tubuh manusia. Semuanya terlibat dalam solat. Dalam doa Iftitah kita menyebut, "Hidupku dan matiku adalah untuk Allah." Ertinya semua anggota yang penting dalam diri kita ini secara tidak langsung sudah kita ikrarkan bahawa kita serahkan pada Allah. Ertinya kita akan menggunakannya ke jalan Allah sebagaimana yang Allah kehendaki. Oleh itu kalau kita sedari dan hayati, apa yang disebut dalam bacaan melibatkan juga anggota dalam perbuatan. 

3. Tujuh ayat berkait dengan tujuh Neraka dan tujuh Syurga. Al Fatehah ada tujuh ayat. Kalau intipati Quran dapat dihayati atau tidak dapat dihayati, itu yang akan menentukan nasib seseorang nanti sama ada Neraka yang tujuh atau Syurga yang tujuh. Semua ditentukan oleh intipati Al Fatehah. Kalau Al Fatehah berperanan dalam hidupnya, dia akan dapat salah satu dari tujuh peringkat Syurga. Kalau tidak dapat dihayati dan tidak dapat dijadikan amalan hidup, dia akan masuk salah satu dari tujuh peringkat Neraka.

4. Tujuh ayat itu juga menggambarkan di dunia ini ada tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi  Di langit ada macam-macam makhluk Tuhan yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Demikian juga dengan tujuh lapis bumi yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Ramai ahli sains yang membuat kajian sudah mengesahkannya tetapi ia setakat hubungan yang lahir. 

Sebenarnya ia bukan sekadar hubungan yang lahir sahaja. Manusia bukan hanya berhubung dengan matahari, bulan dan bintang sahaja. Tidak juga hanya berhubungan dengan isi bumi, lautan, hutan, binatang, tanaman dan seumpamanya. Bahkan manusia juga berhubung rapat dengan makhluk yang ghaib seperti malaikat. Malaikat juga menentukan hidup manusia. Kenapa? Sebab ia juga tumpang mendoakan manusia pada Tuhan dan ia juga boleh tumpang melaknat manusia. Tetapi hal yang ghaib ini ahli sains tidak dapat kesan. Mereka hanya mampu kesan yang lahir seperti hubungan matahari dengan manusia, hubungan bulan, pasang surut air laut, bintang-bintang dengan kehidupan manusia. Tentang malaikat, mereka tidak tahu. Padahal malaikat ikut campur tangan dalam menentukan keselamatan manusia. Mereka juga mendoakan dan memberi berkat dengan izin Tuhan. Mereka juga melaknat manusia dengan izin Tuhan kerana kederhakaan manusia. Perkara yang ghaib ini ahli rohani sahaja yang boleh kesan tetapi saintis tidak boleh kesan. 

Selain malaikat, jin-jin juga ada hubungan dengan hidup manusia. Ini tidak dapat dikesan oleh ahli sains, tetapi boleh dikesan oleh ahli-ahli rohani. Apa maksud jin-jin juga terlibat? Jin itu hidupnya ditumpangkan dengan manusia. Dia bergaul dengan manusia. Oleh sebab itu, apa bahasa manusia itulah bahasa jin. Kalau di Malaysia menggunakan bahasa Melayu, jin pun bercakap dalam bahasa Melayu. Di Indonesia, jin bercakap bahasa Indonesia. Kalaulah di Malaysia ada jin yang berbahasa Indonesia, bermakna jin itu berasal dari Indonesia. Jin di negara Arab berbahasa Arab. Jadi jin tumpang bahasa manusia itu untuk menunjukkan manusia lebih mulia dari jin.  Selain itu, jin juga tumpang belajar dengan manusia. Firman Allah di dalam Al Quran: 

Maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al Quran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan (nya) lalu mereka berkata, 'Diamlah kamu (untuk mendengarkannya).' Ketika pembacaan itu selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan." (Al Ahqaf: 29)

Mujurlah kita tidak nampak jin sebab kita tidak akan sanggup hendak melihatnya. Begitu juga soal makan. Jin kafir makan tulang-tulang haiwan yang disembelih oleh orang kafir. Jin Islam pula tumpang makan tulang-tulang binatang yang disembelih oleh orang Islam. Oleh sebab itu berhati-hatilah apabila membuang tulang. Buanglah pada tempatnya. Kalau tulang-tulang itu dibiarkan bersepah, jika ada jin yang datang untuk makan lalu terlanggar anak kita maka akan timbul masalah. 

5. Tujuh ayat ini kalau kita jadikan panduan, ia boleh didik nafsu kita yang tujuh peringkat Inilah hikmah terpenting dari jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh itu. Makin kita hayati, makin kita dapat mendidik diri dan nafsu kita. Bila dikategorikan, nafsu manusia ada tujuh peringkat iaitu: 

i. Nafsu ammarah
ii. Nafsu lawwamah
iii. Nafsu mulhamah
iv. Nafsu mutmainnah
v. Nafsu radhiah
vi. Nafsu mardhiah
vii. Nafsu kamilah 

Isi Al Quran itu terkandung dalam Al Fatehah yang terdiri dari tujuh ayat. Nafsu ada tujuh peringkat dan ayat Al Fatehah juga ada tujuh. Itu bukan kebetulan. Hikmahnya adalah, kalau Al Fatehah ini dihayati, nafsu boleh menjadi baik. Nafsu itulah yang menentukan celaka atau bahagia, patuh atau tidak patuhnya kita pada Tuhan. Paling-paling lemah, Al Fatehah atau isi Al Quran ini dapat mendidik nafsu sampai ke peringkat mulhamah. Walaupun nafsu mulhamah ini masih belum mantap, masih goyang tapi itu pun dikira sudah baik. Itulah nafsu orang soleh. Manakala mutmainnah pula, ia peringkat nafsu yang sudah istiqamah, sudah tetap serta tidak mudah goyang. 

Di sini juga dapat kita faham bahawa manusia akan bermula dengan nafsu yang paling jahat kepada nafsu yang paling baik kalau dia benar-benar mengendalikan nafsunya itu. Kalaulah manusia menghabiskan banyak masanya untuk mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan nafsu dan mempraktikkannya, sesungguhnya manusia akan mampu meningkatkan dirinya dari tahap ke tahap. Dia akan dapat meningkatkan dirinya daripada bernafsu ammarah kepada lawwamah, mulhamah, mutmainnah dan paling tinggi akan sampai kepada mardhiah. Namun ada di kalangan manusia yang mampu sampai kepada nafsu kamilah; nafsu yang paling atas; iaitu para nabi dan rasul. Manusia biasa boleh menjangkau sampai nafsu mardhiah sahaja kalau dia sangat berusaha mengendalikan nafsunya. 

Cara untuk kita mengendalikan nafsu hingga sampai ke taraf malaikat, itu semua mesti dirujuk kepada Al Quran. Ia tidak boleh dirujuk kepada ilmu jenis lain. Siapa yang boleh menguasai Al Quran sepenuhnya dan mempraktikkan Al Quran terhadap nafsunya, maka dia akan merasai bagaimana dia merangkak beralih dari satu tahap ke satu tahap. Hebatnya Allah kerana menciptakan dalam diri manusia, satu nafsu yang tidak boleh dilihat tetapi memang berperanan. Kalau manusia mahu, dia boleh mentadbir nafsunya itu. Tetapi untuk itu ianya mesti dirujuk kepada Al Quran. 

Ayat Al Quran itu terlalu banyak, namun Allah yang Maha Bijak telah meminta kita memberi tumpuan kepada tujuh ayat sahaja. Kalau kita boleh mengambil tujuh ayat ini untuk kita kuasai segala kekuatan yang ada di dalamnya maka kita akan boleh mengendalikan nafsu kita. Yang sebenarnya kalau kita boleh kuasai tujuh ayat itu, kita boleh sampai ke peringkat ketujuh, yang mana nafsu itu boleh kita tadbir dan kuasai. Nabi-nabi boleh melakukannya hingga mereka sampai peringkat ketujuh itu. 

Allah yang menciptakan nafsu itu tujuh peringkat, tahu untuk memadankannya dengan tujuh ayat dari surah Al Fatehah itu. Allah SWT menetapkan kekuatan tujuh ayat Al Fatehah itu boleh mengendalikan tujuh peringkat nafsu itu walaupun sifatnya tidak sama. Namun kita seperti diberi amaran bahawa kebanyakan manusia tidak akan mampu untuk mengambil seluruh kekuatan Al Fatehah itu untuk memerangi nafsu sehingga peringkat tertinggi melainkan setakat mulhamah atau paling tinggi mutmainnah. 

Maha Besar Tuhan yang mampu mencipta tujuh ayat yang dengan kekuatannya mampu berhadapan dengan tujuh peringkat nafsu. Saintis pun tidak pernah boleh mengesan kehadiran nafsu itu tetapi Allah boleh wujudkannya dan Allah berkata bahawa Dia membuatnya sebanyak tujuh jenis. Namun orang rohani yang diberi ilham oleh Allah boleh melihat kekuatan Al Fatehah ini yang dirangkum dalam tujuh ayat. Rupanya walaupun ilmunya ilham tetapi ia bersifat falsafah. Iaitu melihat keajaiban ciptaan Tuhan merangkumkan kekuatan 6,666 ayat itu ke dalam tujuh ayat sahaja yang mana ia boleh dipakai untuk mengendalikan tujuh peringkat nafsu. Ia bukan kebetulan. Seseorang yang dhaif dalam mengambil tujuh ayat ini maka dia akan dhaif dalam mengendalikan tujuh tahap nafsu itu. 

Jadi di sini kita sudah nampak kebesaran Fatehah padahal baru memperkatakan kulit atau muqaddimahnya sahaja. Baru di pintu Fatehah, belum masuk ke dalam tetapi sudah nampak besar isinya. 

Kalau ulama masyhurkan Al Fatehah itu sebagai Surah Pembukaan kerana ia diletak di depan Al Quran, itu tidak salah tetapi bagi saya elok dimasyhurkan sebagai Surah Kemenangan sebab pengertiannya lebih luas. Ini kerana ia merangkumi semua kehidupan langit dan bumi, yang ghaib dan rohani seperti Syurga, Neraka, nafsu dan lain-lain. Tuhan sendiri dalam menamakan surah ini menggunakan isim fi'il - 'yang telah mendapat kemenangan'. Lebih baik makna ini kita masyhurkan kerana Surah Fatehah itu menentukan seseorang itu mendapat kemenangan atau tidak sama ada di dunia mahupun di Akhirat. Agar dengan itu hidup ini dipandang berat dan tidak disia-siakan. Jangan dianggap semuanya kebetulan. Ia ada hubung kaitnya dengan hidup kita. Wassalam...

Al-fatehah untuk anda!

Assalam... Malam ini, nak kongsi berkenaan surah Al-fatehah. Surah yang hari-hari kita baca.  Sudahkah kita memahaminya? Ia bukan surah sebarangan..no,no,no... Sila ambil perhatian ya! Buat diri dan anda semua... Perkongsian ini harap bermafaat dunia akhirat. Siapa yang menghayati Al-fatehah, dia menghayati Al-quran...:) Mari sama-sama kita kita mulakan bacaan... 
 Surah Al Fatehah terdiri daripada ayat-ayat Makkiyyah atau disebut juga Suratul Makkiyyah. Sebagai ingatan, ayat Makkiyyah ialah setiap ayat atau surah yang turun sebelum Rasulullah berpindah atau berhijrah ke Madinah. Manakala ayat Madaniyah pula ialah setiap ayat atau surah yang turun selepas Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, sekalipun ayat itu tidak turun di Madinah. Ayat itu mungkin turun di Mekah, mungkin turun di Thaif atau mungkin turun di dalam perjalanan. Ayat-ayat di dalam surah Al Fatehah diturunkan secara beransur-ansur sebanyak dua kali, iaitu sebahagian ayat turun di Mekah, sebahagian ayat lagi turun di Madinah. Walau bagaimanapun, semua ayatnya adalah ayat-ayat Makkiyyah. Ia dikatakan surah Al Fatehah atau 'Surah Pembukaan'. Ia boleh juga dikatakan 'Surah Yang Dapat Kemenangan' sebab menurut bahasa Arab, 'kemenangan' berasal dari perkataan 'fath'. 


MENGAPA AL FATEHAH DISEBUT SURAH KEMENANGAN? 

Al Fatehah dinamakan 'Surah Kemenangan' kerana ia adalah ibu kitab atau Ummul Kitab. Ibu kepada kitab yang tertulis di Luh Mahfuz itu ada di dalam Al Fatehah. Dengan ertikata yang lain, kandungan Al Fatehah meliputi seluruh Al Quran. Kalau surah Al Fatehah dapat difahami dan dihayati intipatinya, itu pun sudah cukup untuk memahami intipati Al Quran. Jadi bila seseorang memahami Al Fatehah, menghayati dan mengamalkannya, ia akan menjadi orang yang dapat kemenangan. 

Sudah disebutkan tadi, intipati Al Quran yang 30 juz itu ada dalam Al Fatehah yang sebanyak tujuh ayat. Ertinya, katalah ada seorang pakar yang diberi ilmu oleh Tuhan. Dia tidak membaca keseluruhan Al Quran tetapi dia berkata, "Mari kita hurai Al Fatehah." Maka dia pun syarahkan isi Al Fatehah itu mungkin selama setahun kerana ibarat hendak menggali lombong; tidak mungkin sekadar pakai cangkul dan tidak mungkin selesai dalam satu hari; untuk mengeluarkan 'emas' Al Quran itu sudah tentu memakan masa. 

Selepas setahun pakar itu memberi kuliah, dia pun berkata, "Mari tengok Al Quran." Maka mereka akan dapati apa yang disyarahkan huraian dari Al Fatehah itu akan sama dengan seluruh isi Al Quran. Cuma, tidak pernah ada orang yang buat begitu kerana tidak ada orang yang pakar. Begitulah huraian atau tafsiran Al Fatehah itu. Bilamana tafsiran ini jadi ilmu lalu dihayati dan di'apply'kan, pasti seseorang itu akan dapat kemenangan. Inilah hujah mengapa surah ini disebut Surah Yang Dapat Kemenangan.

SURAH PEMBUKAAN

Maksud biasa Al Fatehah yang selalu dibahas oleh ulama ialah 'Surah Pembukaan' kerana ia diletak di depan iaitu di pintu Al Quran. Ertinya Al Fatehah adalah surah yang pertama. Peliknya kerana ia bukan ayat yang mula-mula turun. Ayat yang mula-mula turun ialah dari Surah Al 'Alaq sebanyak lima ayat. Sepatutnya Surah Pembukaan itu ialah Surah Al 'Alaq tetapi ia tidak disebut sebagai 'Surah Pembukaan' atau 'Surah Kemenangan.' 

Mengapa?

Di sini kita dapat rahsianya. Hikmahnya ialah kerana Al Fatehah itu mengandungi semua aspek sama ada aqidah, syariah atau akhlak. Terutamanya aspek syariah yang mana kalau diperluaskan, syariah itu ialah peraturan atau undang-undang sistem hidup. Manakala hikmah diturunkan Surah Al 'Alaq dahulu ialah Tuhan hendak tanamkan aqidah dahulu. Kalau aqidah belum ada; tidak tahu adanya Tuhan, tidak tahu kemampuan dan kuasa Tuhan; maka apa perlunya syariah. 

Oleh itu walaupun Surah Al 'Alaq turun awal, ia tidak disebut sebagai Surah Pembukaan atau Surah Kemenangan kerana ia hanya menyebut satu juzuk iaitu aqidah. Al 'Alaq sahaja tidak mewakili seluruh Al Quran. Maka sebab itulah Surah Al Fatehah yang meliputi seluruh isi Al Quran dijadikan surah pertama walaupun ia bukan surah yang pertama turun.

BISMILLAH ADALAH SALAH SATU AYAT AL FATEHAH

Dalam Surah Al Fatehah ada tujuh ayat termasuk Bismillahirrahmanirrahim. Bismillahirrahmanirrahim itu adalah ayat dari Al Fatehah (ayatul min ayatil Fatihah). Ertinya ia wajib dibaca di dalam solat ketika membaca Al Fatehah. Bagi orang Wahabi, mereka tidak memasukkannya dalam Al Fatehah. Oleh itu kaum Wahabi kebanyakannya tidak membaca Bismillah dalam solat. Mereka terus saja membaca Alhamdulillah... 

Lebih malang lagi, imam-imamnya juga ada yang tidak membaca Bismillah. Padahal kalau imam itu bijaksana, berhikmah dan menghormati mazhab serta memikirkan kepentingan masyarakat umum, apa salahnya dia membaca Bismillah. Bahkan bagi mereka pun membaca Bismillah adalah sunat, bukannya haram. 

Kalau dia membaca Bismillah, dia dapat pahala sunat. Sedangkan bagi orang yang yakin Bismillah itu wajib dibaca, maka batal sembahyang orang tersebut bila imam tidak membaca Bismillah. Jadi kalau imam itu bijak, walaupun dia anggap baca Bismillah itu sunat, dia akan membacanya kerana selain dapat pahala sunat dan menghormati mazhab yang lain, ia juga menyelamatkan makmumnya dari terbatal sembahyang. 

bersambung....(",)

Bumi Tuhan... Bersaksilah