Zikir Di Dalam Perasaan Dan Jiwa



Menyebut alhamdulillah sebagai zikir, menggambarkan rahmat dan nikmat Tuhan secara sedar terlalu banyaknya.
Yang besar-besarnya Tuhan, Rasul, Al Quran, iman, Islam, ibadah, ilmu pengetahuan dan sebagainya.
Selain itu yang mengiringinya barulah seluruh kehidupan yang Tuhan beri kepada kita yang tidak dapat dikira.
Kalau itulah yang digambarkan barulah syukur itu memberi erti dan makna, besar pahalanya.
Mengucapkan alhamdulillah itu sungguh lazat di hati dan di jiwa.
Janganlah menyebut alhamdulillah hanya semata-mata di bibir sekadar maknanya segala puji itu kepunyaan Tuhan.
Sekadar itu tidak terasalah besarnya dan luasnya rahmat dan nikmat Tuhan kepada kita.
Mengucapkan syukur sekadar terasa nikmat Tuhan itu sekadar makan, minum, pakaian, harta dan kekayaan tidak terasa besarnya nikmat Tuhan.
Sungguh malang kita telah merendahkan martabat Tuhan tanpa sedar kerana kurangnya ilmu pengetahuan.
Mungkin  perkataan syukur yang dilafazkan itu di dalam kemurkaan Tuhan.
Kita memperkecil-kecil Tuhan dan nikmat-Nya, tidak sepadan dengan ucapan mengikut yang sebenarnya.
Beribadah dan berzikir diberi pahala berdasarkan sejauh mana ilmu pengetahuan.
Sejauh mana ilmu yang ada di dalam pengetahuan setiap apa yang diucapkan, sesuai dengan hakikatnya, pahalanya lumayan.
Ibadah orang jahil tidak terasa apa-apa di dalam sebutannya.
Kerana kosong daripada ilmu pengetahuan, kerana itulah apa yang dibaca tidak berkesan kepada jiwanya.
Begitulah seluruh bentuk zikir diucapkan kenalah faham berdasarkan ilmu pengetahuan serta penghayatan.
Seperti Subhanallah, Allahu akbar, lailaha illallah, biarlah berdasarkan ilmu pengetahuan.
Barulah  kita terasa menyebutnya, dan sangat memberi kesan kepada jiwa.
Jiwa kalau sudah disuburkan dengan zikir yang faham dan penghayatan.
Dilakukan pula secara tetap dan istiqamah di dalam kehidupan.
Jiwa yang sudah subur dengan rasa bertuhan sangat memberi kesan kepada kehidupan manusia.
Zikir ertinya ingat.
Ingat adalah di dalam perasaan dan jiwa.
Kalau maknanya sahaja tahu itu adalah tahu sahaja bukan mengenal.
Zikir perlu diasak di dalam jiwa hingga terasa siapa sebenarnya Tuhan.
Elakkanlah zikir secara jahil kerana ia tidak memberi kesan pada jiwa.
Ilmu pengetahuan perlu ada setiap apa yang kita baca dan ucapkan.
Jangan hanya sebut  di lidah semata-mata, tidak terasa oleh jiwa.
Haraplah diambil perhatian.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah