Kebaikan Dan Keburukan Dunia



Kekayaan, kemewahan, kesenangan bukanlah satu kesalahan di dalam ajaran Islam.
Jika ia tidak merosakkan jiwa dan cara fikiran manusia atau insan.
Mungkin dari sini dengan kekayaan dan kemewahan boleh membuat baik kepada manusia.
Fakir, miskin, orang yang mendapat kemalangan dapat terbela.
Begitulah mengikut logik akal, memang tidak boleh disangkal.
Hujah ini sedap didengar tapi payah diamalkan atau payah hendak dikotakan kecuali sedikit dari manusia.
Perlu diingat, sejarah telah memaparkan kekayaan, kemewahan dan kesenangan majoritinya manusia derhaka.
Lebih-lebih lagi di samping kekayaan ada pula kuasa, terjadilah bermaharajalela dan membuat aniaya.
Ada yang asalnya miskin, susah, setelah kaya, senang lebih-lebih lagi ada kuasa dia derhaka.
Kekayaan, kemewahan, kesenangan macam ular bisa.
Memelihara ular bisa tidaklah salah.
Kalau pandai boleh jadi hiburan dan boleh dapat duit.
Tapi berapa ramai orang yang pandai menjaganya tidak berbahaya.
Kebanyakan orang akhirnya dipatuk ular, bukan senang menjaganya.
Begitulah kekayaan dan kemewahan ramai yang kecundang.
Kekayaan dan kemewahan merosakkan mereka hingga derhaka.
Oleh itu mari kita lihat kerosakan dari kekayaan dan kemewahan untuk mengambil ingatan.
Moga-moga kalau kita kaya dan mewah, kita tidak ditipunya, dengan Tuhan tetap kita taat dan setia.
Biasanya kekayaan dan kemewahan mendorong manusia derhaka.
Di antaranya:
1. mudah megah dan sombong serta riyak bersamanya. 
2. Rasa tawakal kepada Tuhan tercabut dari hatinya kerana apa yang dia hendak, ada dan sedia ada.
3. Kurang berharap kepada Tuhan kerana pada dirinya atau orang tempat sandarannya sudah sedia punya.
4. Rasa kehambaan dan tawadhuk mudah hilang.
5. Tidak terasa nikmat itu dari Tuhan, dia rasa dari usahanya atau dari kekayaan orang tuanya atau sandarannya.
6. Apabila sudah kaya, pembaziran payah dielakkan.
7. Kekayaan dan kemewahan menjadikan orang manja.
8. Mudah jatuh cinta dengan kekayaan dan kemewahan, mudah hilang rasa bertuhan bahkan tidak terasa perlunya Tuhan.
9. Setelah kaya dan senang terasa diri luar biasa, bergaul dengan golongan bawahan pun renggang.
10. Sekiranya kekayaan dan kemewahan itu Allah Taala ambil semula, dia jadi bingung. Apabila hendak hidup, tidak tahu hendak bersusah-susah.
11. Akhirnya dia suka mencari jalan senang, suka meminta-minta, suka berhutang, suka tipu orang, suka mencuri, mungkin bunuh orang.
12. Begitulah kekayaan dan kemewahan, memilikinya tidak salah tapi bahayanya banyak, ramai orang kalah.
Logiknya dengan kekayaan boleh membuat kebaikan tapi realitinya ia membawa kejahatan.
Kerana itulah diceritakan di dalam Neraka ramai orang-orang kaya dan yang berkuasa.
Hubaya, hubayalah (berhati-hatilah) dengan harta. 
Ia adalah ular berbisa, payah menjaganya. 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah