Manusia seringkali mentafsir bahawa rezeki adalah harta kekayaan atau keuntungan dari hasil sesuatu pekerjaan. Pada hakikatnya, pengertian rezeki lebih luas. Rezeki ialah segala keperluan hidup seperti keamanan, kebahagiaan, ketenangan, perlindungan, keamanan, ilmu, sifat-sifat terpuji saperti ikhlas, reda, syukur, tawadhu, khusyuk dalam sembahyang dan sebagainya. Secara umumnya rezeki adalah segala pemberian atau nikmat yang diberikan oleh Allah kepada hamba-hambanya.
Mengenai rezeki yang berupa harta kekayaan, ada orang mendapat rezeki yang berkat dan ada juga yang membawa celaka. Untuk mendapat keberkatan rezeki tersebut semestinya diperolehi dengan cara-cara yang halal dan ditambah lagi dengan rasa kesyukuran, sementara rezeki yang tidak berkat diperolehi dengan cara yang tidak dibenarkan syara' dan diiringi dengan tamak haloba dan sangat mementingkan kebendaan sehingga lupa kewajiban dan tuntutan syara'. Rezeki yang berkat akan menambahkan kedamaian, memperkukuhkan keimanan dan membentuk akhlak dan peribadi yang terpuji, memberikan kepuasan,memberikan kesihatan mental fizikal dan spritual. Ia juga akan memberi pengaruh terhadap ketenteraman, keamanan,sejahtera, keharmonian dan kehidupan berkeluarga, anak isteri patuh dan mendengar cakap, tidak mendatangkan masalah. Malahan rezeki yang berkat juga berperanan terhadap masyarakat dan negara saperti yang di alami oleh Negeri Saba'. Rakyatnya rukun damai,tanahnya subur,pohon-pohonnya berbuah.
Perlu dinyatakan bahawa Allah adalah pemberi rezeki kepada semua makhluk. Manusia sesungguhnya tidak mampu melakukannya, untuk memberi makan semua ikan di laut saja kita tidak akan sanggup. Perkara ini membuktikan bahawa kemampuan dan keupayaan manusia adalah terbatas. Tugas manusia berusaha tetapi yang menentukan usaha tersebut berhasil atau gagal, mendapat rezeki atau tidak, banyak atau sedikit adalah anugerah Allah Subhanahu Wataala.
No comments:
Post a Comment