Kena tahu!! Makmum muwafiq dan Masbuq.

Muwafiq: Seorang makmum yang sempat berjamaah dengan imam semasa berdiri (qiyam) imamnya, di mana ia sempat berjamaah dengan imam sekadar masa yang membolehkan ia membaca al-Fatihah hingga tamat mengikut pembacaan yang pertengahan di kalangan uruf (adab) orang ramai, tidak berdasarkan kepada bacaan makmum itu dan juga tidak berdasarkan kepada bacaan imam juga.
Masbuq: Seorang makmum yang tidak sempat berjamaah semasa berdiri imamnya sekadar masa membaca al-Fatihah dengan bacaan yang pertengahan, tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat, malahan perhitungan bacaan al-Fatihah itu tidak berpandukan kepada bacaan imam dan tidak berpandukan kepada bacaan makmum itu bahkan mengikut bacaan uruf orang ramai. Mana-mana makmum yang tidak sempat berjamaah dengan imam semasa berdiri imamnya sekadar masa yang membolehkan ia membaca al-Fatihah hingga selesai, maka dinamakan orang masbuq.
BILA BERLAKU?
Ia boleh berlaku ke atas seseorang makmum dalam semua rakaat sama ada pada rakaat pertama, kedua, ketiga dan seterusnya pada rakaat keempat.
HUKUM ORANG MUWAFIQ:
Hukum bagi orang Muwafiq dimaafkan kepadanya tertinggal jarak tiga rukun yang panjang daripada imamnya, tidak termasuk rukun yang pendek. Contoh rukun panjang seperti rukuk dan sujud. Manakala rukun yang pendek seperti iktidal, duduk istirehat, duduk tasyahhud awal dan duduk antara dua sujud.
CONTOH –CONTOH DAN GAMBARANNYA

1. Seorang makmum yang Muwafiq sedang solat berjamaah, sebelum imam qiyam berdiri tegak daripada sujud yang kedua, dia sudah rukuk.Maka makmum berkenaan mendapat rakaat itu kerana ketinggalan daripada imam belum masuk kepada rukun keempat.
2. Seorang makmum yang Muwafiq sedang berjamaah sebelum imam duduk tasyahhud akhir makmum berkenaan sudah rukuk, hukumnya dia juga mendapat rakaat itu.
Kedua-duanya contoh di atas menunjukkan bahwa makmum berkenaan masih lagi berada dalam jarak tiga rukun daripada imamnya, belum lagi masuk ke rukun keempat. Sebagaimana contoh- contoh di atas itu bahwa rukun-rukun yang renggang atau jarak antara makmum dengan imam ialah tiga rukun yang dikira daripada:
• Rukuk.
• Sujud yang pertama.
• Sujud yang kedua.
3. Jika seorang Muwafiq itu solat berjamaah, apabila imamnya sudah berada dalam qiyam kedua untuk membaca al-Fatihah tetapi makmum berkenaan masih lagi berada di qiyam pertama belum lagi habis bacaan Fatihahnya, atau imam sudah berada di tasyahhud akhir sedangkan makmum masih lagi berada di qiyam pertama dan Fatihahnya belum selesai, hukum makmum demikian ialah batal solatnya, kecuali ia membuat dua pilihan segera semasa imam hendak berpindah kepada rukun keempat iaitu:
Pilihan pertama: makmum berkenaan dikehendaki meninggalkan bacaan Fatihahnya dan terus mengikut dan melakukan apa yang sedang dilakukan oleh imam, dan ia tambah satu rakaat lagi selepas salam imam, atau;
Pilihan kedua: makmum berkenaan dikehendaki niat mufaraqah (berpisah) dari mengikut imam, kemudian ia hendaklah meneruskan bacaan al-Fatihah dan rukun-rukun yang lain dengan seorang diri sehingga selesai solatnya.
Jika makmum berkenaan gagal membuat pilihan segera sebelum imam sampai kepada rukun keempat iaitu qiyam kedua atau tasyahhud akhir maka batal solat makmum itu dengan sampainya imam kepada rukun kempat sedangkan ia masih berada di rukun yang pertama; tetapi tidak mengapa jika sama-sama berpindah (selisih) iaitu makmum sedang berpindah kepada rukuk manakala imam sedang berpindah kepada qiyam kedua atau berpindah kepada tasyahhud akhir.

MASALAH-MASALAH MAKMUM MUWAFIQ.
Ulama’-ulama’ fiqh telah menjelaskan bahawa hukum orang muwafiq itu ada beberapa masalah. Ada masalah yang disepakati oleh ulama’ dan ada masalah yang berlainan pendapat antara mereka.
Antara masalah yang disepakati hukumnya oleh ulama’ muta’akhirin ialah seperti berikut:

1. Orang muafiq yang dimaafkan oleh syarak kepada yang tertinggal tiga rukun jarak daripada imam itu ialah orang yang lambat bacaannya kerana tabiat kejadiannya begitu dan bukan waswas.
Tetapi orang yang lambatkan bacaannya kerana waswas tidak dimaafkan ketinggalan tiga rukun melainkan dimaafkan sekadar imam belum turun untuk sujud dia selesai bacaan Fatihahnya. Yakni orang muwafiq yang waswas boleh menghabiskan bacaan al-Fatihah sebelum imam turun untuk sujud, maka batallah solatnya kecuali makmum berkenaan niat mufaraqah sebelum imam turun sujud dan dia diwaktu itu dikehendaki meneruskan bacaan Fatihahnya dan mengerjakan rukun- rukun yang lain hingga selesai solat.
Kepada orang muwafiq yang waswas tidak boleh meninggalkan bacaan al-Fatihah dan terus melakukan apa yang dibuat oleh imam bila dia tidak sempat menghabiskan bacaan Fatihahnya, kerana ia dikira seperti hukum orang yang sengaja meninggalkannya.

2. Orang muwafiq yang syak sebelum ia rukuk dan sesudah imamnya rukuk adakah ia sudah membaca al-Fatihah atau belum, maka wajib ke atasnya membaca surah al-Fatihah dan dimaafkan ketinggalan tiga rukun daripada imamnya.

3. Seorang muwafiq yang lupa membaca al-Fatihah sehingga imamnya rukuk tetapi makmum itu belum rukuk. Kemudian dia teringat bahawa dia belum lagi membaca al-Fatihah. Makmum ini diwajibkan membaca al-Fatihah dan dimaafkan kepadanya ketinggalan tiga rukun seperti di atas.

4. Seorang muwafiq yang syak adakah dia membaca al-Fatihah atau belum lagi, ataupun dia teringat bahawa ia belum lagi membaca al-Fatihah sesudah imam dan ia sendiri telah rukuk. Hukum orang itu tidak boleh lagi ia kembali membaca al-Fatihah tetapi wajib ke atasnya mengikut imam dan apabila selesai salam imamnya, dia dikehendaki menambah satu rakaat lagi.

5. Orang muwafiq yang syak sama ada dia sudah membaca al-Fatihah sesudah ia rukuk sedangkan imam belum lagi rukuk, maka wajib ia kembali qiyam dan membaca al-Fatihah, dan ia dimaafkan ketinggalan tiga rukun yang panjang daripada imamnya.

6. Orang muwafiq yang tertinggal membaca al-Fatihah kerana sibuk membaca doa iftitah, tiba-tiba imamnya rukuk sebelum ia sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah, sama ada dia telah membaca sebahagian dari ayat-ayat al-Fatihah ataupun belum sempat membacanya walaupun sedikit. Hukumnya WAJIB dia membaca al-Fatihah dan dimaafkan ketinggalan tiga rukun daripada imamnya.

7. Orang muwafiq yang sedang menunggu saktah imamnya yakni beliau memperhatikan bacaan al-Fatihah imamnya untuk mendapatkan sunat dan bercadang membaca al-Fatihah apabila imam membaca surah nanti, tetapi imam tersebut terus rukuk tanpa membaca apa-apa surah, menyebabkan makmum tidak sempat baca al-Fatihah. Hukumnya dimaafkan tiga rukun yang panjang daripada imam dan wajib ke atasnya baca al-Fatihah.

8. Orang muwafiq yang sedang menunggu saktah imamnya untuk mendapatkan sunat dan bercadang akan membaca al-Fatihah apabila imam membaca surah sunat nanti, tetapi imam membaca surah yang pendek menyebabkan makmum tidak sempat habiskan al-Fatihah sedangkan imam sudah rukuk atau sujud, hukumnya juga dimaafkan tiga rukun panjang daripada imamnya.
PEMBICARAAN HUKUM ORANG MASBUQ
Sebagaimana dalam huraian yang lepas bahawa orang masbuq ialah oang yang tidak sempat berjamaah dalam qiyam imamnya sekadar masa yang membolehkan dia membaca Fatihah hingga tamat mengikut pembacaan yang sederhana di kalangan orang ramai.
Contohnya: Seorang makmum masuk solat berjamaah lewat iaitu ketika imam membaca surah al-Kafirun hampir tamat pada rakaat pertama, makmum itu dinamakan orang masbuq kerana masa qiyam imamnya itu tidak sempat dan tidak membolehkan ia membaca Fatihah hingga selesai.
Tetapi sekiranya seorang makmum masuk berjamaah solat isya’ ketika imamnya hendak memulakan bacaan surah ad-Dhuha selepas Fatihah, makmum itu dinamakan muwafiq kerana masa berdiri imamnya dia sempat membaca surah Fatihah mengikut pembacaan uruf orang ramai.
Makmum yang masbuq hukumnya dimaafkan meninggalkan bacaan Fatihah, kerana Fatihah yang belum dibaca atau sempat dibaca sebahagian sahaja oleh makmum itu dikira semuanya ditanggung oleh imamnya.

Syarat-syarat masbuq seperti berikut:
1. Imam suci dari hadas dan najis.
2. Rakaat yang makmum masbuq ikut itu bukan rakaat yang lebih, contohnya rakaat yang kelima.
3. Makmum masbuq sempat rukuk dan mempunyai tamakninah sebelum imamnya bangkit daripada rukuk.



Contoh-Contoh Masbuq 

Contoh Pertama:
Setengah daripada makmum itu pada mulanya dia adalah orang muwafiq, di dalam menunaikan peraturan-peraturan solatnya ia terlewat, belum sempat ia bangkit qiyam tiba-tiba imamnya telah rukuk atau hampir rukuk, hukum makmum itu ialah orang masbuq. Jika ia sempat qiyam dan terus rukuk sebelum imamnya bangkit daripada rukuk maka ia mendapat rakaat itu, dan dimaafkan dia meninggalkan bacaan Fatihah.



Contoh Kedua:


Didapati imam-imam solat terlalu cepat membaca bacaan di dalam solat. Apabila makmum berdiri daripada sujudnya didapati imamnya sudah rukuk dan ia tidak sempat menghabiskan bacaan Fatihah, maka hukumnya wajib ke atas makmum itu rukuk bersama-sama imamnya kerana ia seperti orang masbuq dan dia mendapat rakaat itu. Begitulah hukumnya jika hal keadaan ini berlaku hatta setiap rakaat sekalipun. Kalau makmum meneruskan bacaan Fatihahnya hingga selesai sedangkan imam sudah rukuk dan bangkit daripada rukuk, atau dia dapat rukuk bersama imam tetapi tidak sempat dapat tamakninah dalam keadaan imamnya sudah bangkit dari rukuk, maka luputlah rakaat itu darinya. Hendaklah dia terus mengikut imamnya sehingga salam, tetapi dia dikehendaki menambah satu lagi rakaat yang terluput tadi.
Adalah sunat bagi orang masbuq untuk tidak membaca apa-apa bacaan sunat selepas takbiratul ihram tetapi hendaklah membaca al-Fatihah sahaja kecuali ia menjangka sempat membaca al-Fatihah dan membaca zikir yang sunat itu baharulah boleh berbuat demikian.



Contoh ketiga:


Seorang masbuq yang berjamaah dengan imam, apabila rukuk imamnya dan makmum yang masbuq belum lagi sempat membaca surah al-Fatihah di mana ia tidak membaca apa-apa melainkan al-Fatihah, hendaklah ia tinggalkan bacaan al-Fatihahnya dan wajib ia mengikut imamnya rukuk, kerana al-Fatihah yang belum dibaca atau sempat dibaca sebahagian sahaja itu semuanya ditanggung oleh imamnya. Jika makmum yang masbuq itu bertabiat lambat bacaannya sekalipun, tidak wajib ke atasnya membaca lebih daripada kemampuan yang ia dapat. Berlainan kepada makmum muwafiq yang lambat bacaan, dia dikehendaki menghabiskan bacaan al-Fatihahnya dan dimaafkan ketinggalan tiga rukun daripada imamnya sebagaimana dalam penerangan yang lepas.



Contoh keempat:


Jika seorang makmum masbuq rukuk terkemudian daripada imam sebab ia membaca al- Fatihah hingga imamnya bangkit daripada rukuk, maka luputlah rakaat itu Dan wajib ke atasnya tambah satu lagi rakaat selepas salam imamnya.



Contoh kelima:


Seorang makmum masbuq bersolat jamaah sibuk membaca zikir yang sunat, tiba-tiba imamnya rukuk sedangkan dia belum membaca Fatihahnya. Makmum itu wajib ke atasnya membaca Fatihah sekadar huruf-huruf yang dibaca dalam zikir sunat itu, dan ia dikehendaki menggunakan ijtihad dzannya (perhitungannya) dalam hal ini.



Contoh keenam:


Jika seorang makmum yang masbuq itu diam tanpa membaca Fatihah selepas takbiratul ihram sehingga imamnya rukuk, wajib ia membaca Fatihah sekadar masa yang ia diam itu, dan ia dikehendaki menggunakan ijtihad dzannya dalam hal ini.
Apabila makmum masbuq itu selesai membaca daripada Fatihah kerana menggantikan zikir sunat atau diamnya dalam contoh kelima dan keenam di atas, kemudian wajib ia rukuk, jika ia dapat rukuk dengan imam sekadar tamakninah dengan yakin sebelum imamnya bangkit daripada rukuk sedangkan ia baharu sahaja selesai membaca Fatihah atau ia sempat rukuk dengan imamnya tetapi tidak ada tamakninah, maka luputlah rakaat itu dan dia dikehendaki tambah satu lagi rakaat selepas salam imamnya.


Jika imamnya sudah mengangkat kepala daripada rukuk dan makmum yang masbuq tadi masih belum sempurna bacaan Fatihahnya maka wajib makmum tadi niat mufaraqah sebagaimana diterangkan oleh Syeikh Ibnu Hajar dalam kitab Al-Minhaj al-Qawim, diterangkan oleh Al-Khatib Al-Syarbini dalam kitab Mughni dan diterangkan oleh Syeikh Ramli dalam kitab Nihayah.
Menurut pendapat Syeikhul Islam pula, makmum yang masih belum sempurna bacaan Fatihah nya sedangkan imamnya sudah mengangkat kepala daripada rukuk, tidak wajib atasnya niat mufaraqah, bahkan diberi pilihan antara mufaraqah atau tinggalkan rukuk dan sujud terus bersama imamnya.


MASBUQ JUMAAT.


Solat Jumaat diwajibkan dengan berjamaah. Oleh itu, tidak sah Jumaat kecuali dengan berjamaah sekurang-kurangnya dengan empat puluh orang yang berakal, cukup umur (baligh), merdeka dan bermastautin.
Bagi seorang makmum masbuq yang ingin mendapat Jumaat, dia hendaklah sekurang-kurangnya sempat rukuk bersama imam pada rakaat yang kedua serta mempunyai tamakninah. Kemudian dia hendaklah menambah satu lagi rakaat selepas salam imam dan disunatkan membaca Fatihah dan bacaan ayat Qur’an yang sunat dengan nyaring.
Jika ia tidak sempat mendapatkan rukuk bersama imam pada rakaat kedua itu, maka hendaklah ia menyempurnakan solat itu sebagai solat zohor iaitu dengan menambahkan empat rakaat selepas salam imam. Bacaan Fatihah serta ayat yang sunat selepasnya hendaklah dengan perlahan.

[Jumaat Berantai]
Mana-mana makmum masbuq yang sempat berimamkan orang yang mendapat satu rakaat dengan imam Jumaat, maka dia juga dikira mendapat Jumaat jika dia sempat mendapat sekurang- kurangnya rukuk imam pada rakaat kedua sebagaimana di atas, kemudian dia menambah satu rakaat lagi selepas salam imam.
Begitulah seterusnya sekiranya ada lagi makmum masbuq yang datang berimamkan makmum yang sempat berimamkan makmum masbuq sebelumnya, sehinggalah waktu asar


Terjemahan
Karangan Tuan Syeikh Daud bin Abdullah AlFathoni


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah