As Syahid Hassan Al Banna telah mengunjungi sebuah kampung di Sha'id. Setelah mengetahui kedatangan as syahid, ahli-ahli Ikhwanul Muslimin di Sha'id telah menyambut beliau dengan sambutan yang besar.
Namun di tengah-tengah kesibukan itu, muncul seorang petani tua yang ingin sangat berjumpa dengan Hassan Al Banna. Beliau bersungguh-sungguh menjemput Hassan Al Banna berkunjung ke rumahnya. Hassan Al Banna berasa bingung kerana banyak lagi urusan di Sha'id yang belum selesai. Hassan Al Banna juga bercadang untuk menziarahi ahli-ahli Ikhwanul Muslimin di Sha'id yang jumlahnya begitu ramai.
Untuk tidak mengecewakan hasrat petani tua itu, Hassan Al Banna bersetuju untuk singgah sebentar di rumahnya tetapi dengan syarat hanya meminum secangkir teh.Petani tua tersebut amat girang. Hatinya berbunga-bunga apabila Hassan Al Banna bersetuju untuk singgah di rumahnya.
Seperti yang dijanjikan, petani tua itu menyediakan secangkir teh untuk Hassan Al Banna. Hassan Al Banna pun berbual dengan petani tua tersebut sambil menghirup teh. Setelah selesai menghabiskan secangkir teh yang disediakan oleh petani tua tadi, Hassan Al Banna meminta izin untuk menyambung semula urusan beliau yang belum selesai.
Setelah Hassan Al Banna beredar bersama ahli-ahli Ikhwan yang menunggu beliau, tergerak hati kecil si petani tua untuk menghirup saki baki teh yang telah beliau sediakan kepada Hassan Al Banna.
Terkejut si petani tua tersebut kerana rasanya sungguh masin. Beliau menyangka garam yang dimasukkannya tu adalah gula.
Lebih mengejutkan, Hassan Al Banna telah menghabiskan secangkir teh tersebut kecuali saki baki yang amat sedikit.
Inilah jiwa yang mencontohi sosok perjuangan Rasulullah SAW. Diikutinya setiap ciri-ciri idolanya semampu mungkin. Bukan mencontohi dalam bab-bab harakiah sahaja.
Abu Hurairah meriwayatkan,
"Rasulullah tidak pernah mencela makanan walau sekalipun. Apabila baginda menyukai makanan, baginda memakannya dan kalau tidak menyukainya baginda meninggalkannya..."
(Sahih Muslim)
Rujukan : buku 6 mursyidul am
No comments:
Post a Comment