Taqwa secara umumnya adalah perkara yang telah lama hilang dari umat Islam. Ia berlaku sejak tujuh ratus tahun dahulu bermula dari kejatuhan empayar Islam. Sebab itu,mulai peristiwa tersebut, umat Islam terhina di mana-mana.
Bukan kita tidak berjuang, bukan kita tidak berbuat, bukan kita tidak berusaha dan bukan kerana kita tidak berani tetapi hasil yang kita dapat dari perjuangan dan usaha kita itu tidak padan dengan tenaga yang kita curahkan dan tidak berbaloi. Ibarat orang menanam padi beratus ekar, hasilnya hanya beberapa guni sahaja sedangkan dalam Islam ada kaedah untuk mendapat hasil yang berlipat ganda. Kita boleh tanam padi satu ekar tetapi hasilnya berpuluh-puluh guni. Inilah rahsia tersirat yang mesti kita bongkar. Kita kena kaji kenapa ada orang menanam sedikit tetapi hasilnya banyak. Dan ada pula orang menanam banyak tetapi hasilnya sedikit.
Umat Islam mesti mengubah cara berfikir. Kita mesti tanam cita-cita Tuhan dan cita-cita Rasul dan hendaklah kita berfikiran luas. Kita mesti ingat bahawa dalam ajaran Islam, syariat mahupun bantuan yang datang dari Tuhan ada yang berbentuk lahir dan ada yang berbentuk batin. Selama ini kita hanya tahu dan mengkaji yang lahir sahaja. Kalaupun kita dapat bantuan dari Allah, kita hanya dapat yang berbentuk lahir iaitu yang sedikit sahaja. Hanya setakat 10% maksimum. Bantuan yang bersifat batin dan ghaib yang nisbahnya sebanyak 90% kita tidak dapat. Padahal inilah kelebihan umat Islam terdahulu di zaman Sahabat, Tabiin, Tabit Tabiin dan para salafussoleh. Mereka banyakdibantu dengan bantuan-bantuan batin dan bantuan-bantuan ghaib. Mereka tahu rahsianya dan mereka tahu kaedahnya. Iaitu mereka bersandar kepada Allah dengan mengusahakan dan menjadi orang yang bertaqwa. Mereka hanya berbuat 10%. Yang 90% lagi Allah yang cukupkan.
Banyak ayat dan Hadis yang menceritakan tentang hal ini dan tentang janji-janji Tuhan kepada orang-orang yang bertaqwa. Disebut bahawa orang bertaqwa rezekinya diberi tidak tahu dari mana sumbernya. Dilepaskan dia dari masalah hidup. Diberi ilmu dan dipermudahkan urusan dan berbagai-bagai lagi. Kemudian waktu susah, waktu darurat, waktu tercabar walaupun berlaku juga ujian untuk didikan tetapi tidak berlama-lama.
Tuhan akan beri jalan kepada orang bertaqwa untuk terlepas dari ujian itu. Di situ ada dua maksud.
1. Bagi orang bertaqwa, ujian yang mencemaskan adalah untuk mendidik. Dalam cemas ada didikan.
2. Selepas itu, Tuhan cepat lepaskan dia dari ujian itu supaya terasa bantuan Tuhan. Itu hiburan bagi orang bertaqwa supaya mereka dapat bersyukur.
Kesusahan itu berbagai-bagai bentuk. Kesusahan sakit, musibah, musuh mencabar dan lain-lain lagi. Kalau ada bala bencana di tempat kita, itu juga kesusahan. Kalau waktu itu ada orang jahat dan baik, kita boleh lihat orang baik cepat dilepaskan dari kesusahan itu. Orang jahat mungkin selepas itu akan bertimpa-timpa lagi kesusahan. Didatangkan berkat pada orang bertaqwa dalam berbagai aspek sama ada pada harta, keluarga, perjuangan, pendidikan, kebudayaan, pentadbiran dan lainlain
No comments:
Post a Comment