hidup ini adalah sebuah universiti. Oleh itu belajarlah dengan kehidupan. Pasti engkau mempelajari pelbagai hikmah setiap kejadian yang berlaku. Inilah sebuah perjalanan....buat tatapan bersama..
ISLAM KEMBALI GEMILANG?
Setiap orang yang mengaku beragama Islam, mahu tidak mahu pasti inginkan Islam memerintah negara ini khususnya, dan dunia ini amnya. Namun ramai yang masih tidak mengetahui bagaimanakah caranya Islam dapat naik semula untuk memerintah dunia ini. Masih ramai yang tertanya-tanya bagaimanakah caranya Islam boleh muncul sebagai kuasa baru dunia itu. Dan masih terlalu ramai yang tidak nampak apakah ada cara yang sesuai untuk Islam naik. Selain itu, masih ramai yang keliru dengan kaedah kebangkitan Islam seperti yang disebut oleh RSAW 1500 tahun yang lampau. Dari Nukman bin Basyir katanya, “Suatu ketika kami sedang duduk-duduk di Masjid Nabawi SAW dan Basyir itu adalah seorang yang tidak banyak cakap. Datanglah Abu Saklabah lalu berkata, “Wahai Basyir bin Saad, adakah kamu hafaz hadis Rasulullah SAW tentang para pemerintah?” Huzaifah RA lalu segera menjawab, “Aku hafaz akan khutbah baginda SAW itu.” Maka duduklah Abu Saklabah Al-Khusyna (untuk mendengarkan hadis berkenaan). Maka kata Huzaifah RA, Nabi SAW telah bersabda, “Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu. Maka berlakulah zaman itu seperti yang Dia kehendaki, kemudian Allah pun mengangkat zaman itu seperti yang Dia kehendaki.
Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan yang berjalan menurut cara Zaman Kenabian. Maka berlakulah zaman itu seperti yang dikehendaki oleh Allah ia berlaku. Kemudian diangkat-Nya apabila Dia berkehendak mengangkatnya.
Kemudian berlakulah pula Zaman Pemerintahan Yang Menggigit (Fitnah). Maka berlakulah zaman itu seperti yang dikehendaki oleh Allah berlakunya. Kemudian Dia mengangkatnya seperti yang Dia kehendaki mengangkatnya.
Kemudian berlakulah Zaman Pemerintah Yang Zalim (Diktator). Maka berlakulah zaman itu seperti yang Allah kehendaki ia berlaku. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian berlakulah pula Zaman Kekhalifahan yang berlaku menurut cara Zaman Kenabian.”
Kata Huzaifah RA, “Kemudian baginda SAW diam.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam kitab Musnad Al-Imam Ahmad bin Hanbal, Juzuk 4, halaman 273. Ia juga terdapat di dalam Kitab As-Silsilatus Sahihah, Jilid 1, hadis nombor 5. Akibat daripada itu, ramailah yang mengikut-ikut sahaja cara yang sedia ada. Ramailah yang taklid buta dan yang mentaklidbutakan orang, sedangkan pada masa yang sama mereka sibuk mengajak orang ramai supaya jangan bertaklid buta, kononnya tidak akan maju sampai bila-bila. Masing-masing masih tidak jelas apa itu pemerintahan Islam yang sebenar, dan jika dikatakan kepadanya bahawa Islam naik tidak melalui kaedah politik yang digunakan pada hari ini, tiba-tiba sahaja mereka akan garu kepala yang tidak gatal. Tidak kurang pula yang terus menolak tanpa berfikir lagi dan sebagainya. Setelah itu, timbul pula beberapa persoalan yang amat penting untuk dijawab dengan penuh saksama dan tepat menurut kehendak ajaran Islam yang tulen. Antara persoalan utama yang selalu diajukan jika diberitahu kepadanya bahawa Islam tidak naik melalui sistem yang sedia ada ialah, apakah kaedah itu adalah:
1. Kaedah politik Barat, yang menekankan penggunaan sepenuhnya sistem demokrasi yang diasaskan oleh Barat, sistem politik ala-Barat atau menggunakan gabungan antara sistem demokrasi yang disesuaikan dengan Islam (separuh demokrasi dan separuh lagi Islam )?
2. Kaedah rampasan kuasa seperti yang pernah digunakan di Pakistan, Afghanistan, Libya dan Iran?
3. Kaedah jihad terhadap yang berlainan agama seperti mengebom gereja-gereja, menyerang kuil-kuil dan membunuh pengikut-pengikut mereka seperti oleh KMM, Al-Ma'unah, GAM dan MILF?
4. Kaedah cakna dan memperkasakan ilmu pengetahuan seperti yang sering dilaung-laungkan oleh para sarjana dan cendekiawan Islam di hampir setiap puncak menara gading?
5. Kaedah penguasaan ekonomi seperti yang dicanang dan dipraktikkan oleh para usahawan dan koperat Islam?
6. Kaedah penerapan nilai-nilai Islam yang menekankan penghayatan secara tebuk-tebuk seperti yang pernah cuba diterapkan ke dalam sistem pentadbiran dan perbankan kita suatu ketika dahulu?
7. Atau adakah cara lain lagi, selain daripada yang di atas, yang boleh digunakan untuk membolehkan Islam naik semula memerintah dunia ini? Jika ada, apakah nama cara itu? Siapa pengasasnya? Di mana tempatnya? Apakah orang itu sudah ada pada masa kita ini? Bagaimana fikrahnya? Bagaimana ilmunya? Apa nama partinya jika dia orang politik? Jika dia bukan orang politik, apakah nama gerakannya? Militankah dia?
Islam tidak akan dan tidak pernah berjaya jika dinaikkan menggunakan kaedah yang lain daripada kaedah Islam itu sendiri. Diumpamakan kita membasuh kain yang terkena tahi ayam dengan menggunakan arak. Itulah umpamanya orang yang cuba menegakkan Islam dengan menggunakan kaedah selain dari kaedah yang ada dalam Islam itu sendiri. Ada yang berkata, kita naik dahulu dengan cara Barat, dan selepas mendapat kuasa nanti, kita tukarlah sistem Barat itu dengan sistem Islam. Cara ini juga tidak betul kerana apabila kita menggunakan kaedah yang selain dari Islam, pastilah hasilnya akan melencong pula dari yang disasarkan. Kaedah rampasan kuasa tidak akan berjaya kerana bukti-bukti sejarah yang terang jelas menunjukkan bahawa kaedah ini sentiasa gagal membawa keamanan kepada sesebuah negara itu, malah rakyat akan bertambah membenci kerajaan yang didirikan secara kekerasan dan rampasan kuasa. Kaedah jihad seperti yang cuba dilaksanakan oleh beberapa pihak sebenarnya bukanlah bentuk jihad yang dikehendaki oleh Islam. Ada banyak bentuk jihad yang lain yang lebih sesuai diterapkan kepada orang ramai, sama ada kepada yang beragama Islam sendiri, mahupun kepada orang yang bukan Islam. Jihad dengan senjata bukanlah kaedah yang pertama dan utama yang patut kita gunakan. Lagipun kaedah ini tidak pernah disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadis mengenai peristiwa akhir zaman. Kaedah cakna dan memperkasakan ilmu seperti yang selalu disebut-sebut di hampir setiap forum dan seminar sebenarnya bukanlah kaedah yang terbaik untuk membangunkan Islam. Ilmu yang tidak disertakan tauhid, roh Islam dan amalan hati pasti akan gagal juga. Apatah lagi jika guru yang mengajar agama Islam itu adalah orang yang tidak tentu akidahnya, orangnya fasik ataupun orang kafir. Jika benar dengan memperkasakan ilmu-ilmu agama dapat membangunkan ummah, kenapa sehingga kini universiti masih gagal menunjukkan bahawa merekalah pelopor terhadap kebangkitan semula Islam di rantau sebelah sini? Setakat artikel ini ditulis, tidak pernah lagi ada orang yang berkata bahawa kebangkitan semula Islam pada zaman ini di Timur ini, bermula di universiti, dibangkitkan oleh para pensyarahnya. Kaedah penguasaan ekonomi juga menunjukkan hasil yang hampir sama jika dilihat secara umum, menurut kaca mata orang ramai. Kaedah penerapan nilai-nilai Islam dalam sistem pentadbiran dan perbankan juga tidak menunjukkan bahawa kaedah ini mampu menjadi peneraju kebangkitan semula Islam pada zaman ini. Malah sebenarnya kaedah ini lebih banyak menghasilkan orang-orang yang berpura-pura dan bersikap berketrampilan (serba boleh). Maksudnya, orang itu akan mempermain-mainkan Islam sama ada secara sedar atau tidak. Misalnya mereka berpakaian biasa yang terdedah sana dan sini pada hari-hari biasa, manakala pada hari Jumaat, bertudung litup. Kemudian pada hari lain, buka semula seperti biasa. Atau contoh lain ialah orang itu boleh menjadi imam sembahyang pada satu masa, manakala pada masa yang lain, dia juga mampu menjadi imam semasa berjudi atau minum arak. Memang persoalan seperti ini pernah ditimbulkan oleh orang ramai. Pada hari ini, umat Islam sudah mula frust dan fed up terhadap sistem politik yang ada dan digunakan pada hari ini. Mereka bukan tidak mahukan Islam itu naik, tetapi jemaah-jemaah yang kononnya mendukung perjuangan menegakkan sebuah negara Islam masih belum juga menampakkan sebarang persediaan untuk menyambut tugas yang maha besar itu. Mereka masih lagi sibuk dengan cara dahulu juga iaitu bertempik dengan penuh semangat sambil mencerca pihak lawan yang kononnya tidak mahukan Islam, tidak nampak lagi usaha yang bersungguh-sungguh dari mereka, yang menjurus ke arah itu, sedangkan canangannya sudah begitu lama diwar-warkan. Sebenarnya memang benar bahawa Islam tidak naik dengan cara yang sedia ada pada hari ini, dan sekali-tidak tidak akan naik dengan cara itu. Islam ada sistemnya sendiri yang amat jauh berbeza daripada sistem-sistem yang sedia ada, baik pada hari ini mahupun pada masa lalu. Jika begitu, persoalannya, bagaimanakah islam akan naik untuk gemilang kali keduanya?
Labels:
renungan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment