al-jannatul ajilah.. indanya...

Perkara pertama yang dituntut dalam Islam ialah mengenal Tuhan.

Ada hadis yang bermaksud: "Awal-awal agama mengenal Allah."
Hanya setelah kita kenal Tuhan, barulah kita tahu betapa baiknya Tuhan kita itu. Betapa Dia sangat mengambil berat tentang kita. Betapa Dia cukup menjaga dan mencukupkan segala keperluan kita. Betapa Dia sangat melindung dan membela kita. Betapa Dia tidak ada apa-apa kepentingan terhadap diri kita dan tidak menuntut apa-apa keuntungan dari kita. Dia hanya memberi, memberi dan terus memberi dan tidak pernah mengambil apa-apa dari kita.

Betapa kasih sayang-Nya Dia terhadap kita. Diberi-Nya kita nikmat supaya kita bersyukur. Dan kalau kita bersyukur, ditambah-Nya lagi nikmat-Nya itu kepada kita. Diuji-Nya kita dengan kesusahan. Dan kalau kita bersabar, dihapuskan dosa-dosa kita dan diangkat-Nya darjat kita. Dalam nikmat-Nya ada rahmat. Dalam ujian-Nya juga ada rahmat. Alangkah baiknya Tuhan kita itu. Keampunan-Nya mengatasi kemurkaan-Nya.

Kalau kita terbuat dosa sebesar dunia ini pun, Allah akan kurniakan keampunan-Nya sebesar dunia ini juga kalau kita sudi dan mahu bertaubat dan meminta ampun dari-Nya. Disuruh-Nya kita beriman dan beramal soleh. Bukan kerana Dia akan mendapat untung apa-apa tetapi kerana Dia mahukan kita selamat hidup di dunia dan selamat hidup di akhirat. Supaya hidup kita tenang dan bahagia. Supaya di dunia ini pun kita dapat hidup seperti di syurga sebelum Syurga yang sebenar di akhirat nanti. Inilah apa yang dikatakan `Al Jannatul Ajilah` atau `syurga yang didahulukan` yang Tuhan janjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Tuhan seolah-olah bertungkus-lumus menjaga kita. Pagi petang, siang dan malam. Dia tidak tidur, tidak rehat, tidak mengantuk dan tidak penat. Dia tidak pernah melupakan kita. Kita yang selalu melupakan Dia. Namun, dalam kita lupakan Dia pun, Tuhan tetap menjaga kita. Dia tetap memberi kita rezeki. Dia Tuhan. Dia tidak perlukan kita. Kita hamba. Kita yang perlukan Dia. Tetapi Tuhan rela `memperhambakan` Diri-Nya dan bersusah-payah demi untuk menjaga kepentingan hamba-hamba-Nya.

Begitulah Tuhan. Kalau kita betul-betul kenal akan Dia, sudah barang tentu kita akan sayang dan jatuh cinta pada-Nya. Jasa dan kebaikan-Nya kepada kita tidak dapat dikira atau dihitung. Ia terlalu banyak. Tak kenal maka tak cinta. Yang tidak sayang dan tidak cinta pada Tuhan hanyalah orang yang tidak kenal akan Dia. Setelah cinta, akan timbul rasa takut pada Tuhan. Takut ini bukan macam kita takut harimau. Tuhan bukan hendak baham kita macam harimau.

Kita takut terputus cinta dengan Tuhan. Kita takut kalau-kalau Tuhan tidak peduli atau tidak endahkan kita lagi . Kita takut Tuhan tidak kisah dan tidak ambil berat tentang kita lagi . Kita takut Tuhan lupakan kita. Kita takut tersisih dari rahmat, keampunan dan kasih sayang Tuhan.

Bagi orang yang bercinta, putus cintalah yang paling ditakutinya. Ini termasuklah bercinta dengan Tuhan. Takut inilah yang dinamakan `taqwa`. Taqwa ini banyak faedah dan kebaikannya pada diri kita. Antaranya:

* Ia menghapuskan dosa
* Ia mendatangkan syafaat
* Ia benteng dari maksiat
* Ia pemangkin untuk membangunkan syariat
* Ia boleh mencetuskan rasa bertuhan yang sangat kuat diikuti dengan rasa kehambaan yang juga kuat
* Ia membunuh sifat `hubbud dunia` atau cinta dunia iaitu ibu atau kepala segala maksiat
* Ia membakar dan mencairkan sifat-sifat mazmumah dan keji di dalam hati

Perkara kedua yang dituntut dalam Islam selepas mengenal Tuhan ialah kasih sayang . Kasih sayang sesama manusia adalah cetusan dari rasa cinta dan rasa takut kepada Tuhan . Manusia tidak akan boleh bersatu padu dan berkasih sayang kalau tidak diikat dengan tali-tali Allah.
Dalam Al-Quran, Tuhan ada berfirman:
"Berpeganglah kamu pada tali-tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah." (Al-Imran:103)

Tali-tali Allah di sini bermaksud rasa cinta dan rasa takut pada Allah . Kalau semua manusia cinta dan takut pada Allah, mereka akan berkasih sayang di antara satu sama lain kerana hati-hati mereka diikat kepada Tuhan yang satu. Sesiapa yang berpegang kepada Allah, mereka akan berkasih sayang sesama mereka. Tidak ada orang bergaduh kerana merebut Tuhan.

Sesiapa yang berpegang kepada dunia (apa-apa pun selain Allah), hati-hati mereka akan bercerai berai dan mereka akan berpecah belah. Memang dunia ini punca segala rebutan, pergaduhan, perbalahan, krisis, penindasan dan perpecahan.

Ada Hadis yang bermaksud lebih kurang: "Kamu tidak cinta pada Allah kalau kamu tidak cinta pada makhluk-Nya."

Kalau cinta pada makhluk selain manusia pun sudah dianggap sebagai bukti cinta kita pada Tuhan, inikan pula cinta kita sesama manusia? Tentulah cinta dan kasih sayang sesama manusia itu lebih dituntut. Sebagai tamsilan, kalau kita hormat, sayang dan cinta kepada bos kita, sudah tentulah kita sayang juga pada kucingnya. Kalau kita pergi ke rumah bos, masakan gamak kita tendang kucingnya atau kita sengaja pijak ekor kucingnya. Kita sayang bos kita dan sudah tentu kita sayang kepada apa sahaja yang disayangi oleh bos kita itu termasuk kucingnya. Itu baru betul-betul sayang.

Samalah dengan Tuhan. Kalau kita betul-betul cinta Tuhan, automatik, kita akan sayang pada apa sahaja yang menjadi kesayangan Tuhan termasuklah sekelian makhluk-Nya. Kasih sayang juga banyak faedah dan kebaikannya pada diri kita.
Antaranya:

* Ia memudahkan kita memaafkan orang
* Kalau kita bersalah, kita mudah meminta maaf
* Kita jadi mudah mesra dengan orang
* Mudah memberi senyum kepada orang
* Bertanggungjawab terhadap jiran
* Kalau kita kaya, senang jadi pemurah
* Kalau kita miskin, mudah sabar dan tidak menganiayai harta orang kaya
* Mudah memberi bantuan kepada orang susah, menolong mereka, bersimpati atau memberi kemesraan kepada mereka.

Cuba kita lapangkan fikiran dan hati kita buat seketika dan mari kita bayangkan suatu suasana di mana hubungan kita dengan Tuhan sungguh baik iaitu kita sangat cinta pada-Nya, kita baik sangka dengan-Nya, Dialah pelindung, pembela dan penyelamat kita dan Dialah tempat kita bergantung harap dan tempat kita mengadu segala hal dan masalah. Kita betul-betul rasa Tuhan itu kita punya, Tuhan itu hak kita dan kita rela dan berbahagia menjadi hambaNya.

Bayangkan juga satu suasana di mana semua manusia disekeliling kita, baik ibu kita, ayah, isteri, anak-anak, jiran tetangga, rakan pejabat, rakan sekolah, kawan sekampung, kawan setaman, semuanya kekasih-kekasih kita belaka yang sangat kita sayang dan rindukan. Mereka juga merasakan begitu terhadap kita. Selalu bertanya khabar, bertolong bantu, ziarah menziarah, memberi hadiah dan mendoakan kita. Mereka sangat-sangat inginkan kebaikan untuk kita dan sanggup pula bersusah payah dan berkorban apa sahaja untuk kita.

Alangkah bahagianya hidup kita. Dengan Tuhan kita bercinta, Sesama manusia kita berkasih sayang. Kalau wujudlah keadaan yang seperti ini, apalagikah yang kita inginkan? Kita rasa kuat dengan Tuhan, rasa terbela sesama manusia, rasa aman, tenang, harmoni dan penuh keselamatan. Hidup di dunia bersama kekasih. Pulang ke akhirat pun untuk bertemu kekasih.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah