sila ambil perhatian!!



Assalam semua...

Kejayaan dalam mendidik manusia ialah bila mana seseorang itu mampu memperkenalkan Tuhan kepada manusia sehingga takut dan cinta kepada-Nya. Cinta dan takut itu menjadikan manusia itu suka untuk beribadah kepada Tuhannya. Buah daripada ibadahnya melahirkan manusia yang baik yang boleh memberi manfaat kepada orang lain. Ini semua ada hubungan rapat dengan ilmu rohaniah. Maka bagi orang yang ada cita-cita untuk membaiki diri atau guru-guru yang hendak mendidik manusia, mereka mestilah mengetahui ilmu rohaniah ini. Sekaligus mempraktikkan ke dalam diri mereka terlebih dahulu sehingga mereka menjadi baik. Contoh dan suri teladan yang baik daripada mereka itulah jadi ikutan pula kepada murid-murid dan pengikut-pengikutnya. Dengan kata-kata lain, mereka menjadi model hamba Allah yang baik yang mampu memberi faedah kepada manusia sejagat.



Melalui pengalaman kita, mendidik manusia adalah sulit sekali. Ini kerana manusia itu ada akal, roh, nafsu dan fizikal. Fizikal adalah anggota lahir. Akal, roh dan nafsu adalah anggota batin. Kejayaan mendidik manusia adalah ditentukan oleh tiga anggota batin yang tidak nampak tadi iaitu akal, roh dan nafsu itu. Jadi kalau pendidik-pendidik atau guru-guru tidak ada ilmu rohaniah, hanya faham fizikal manusia semata-mata, bagaimana dia hendak mendidik murid-murid dan pengikut-pengikutnya. Tentu sekali pendidik-pendidik atau guru-guru tadi akan gagal.

Mendidik manusia tidak cukup mendidik fizikal mereka sahaja. Tapi itulah yang berlaku selama ini. Murid-murid atau pengikut-pengikut dididik fizikal mereka semata-mata. Tiga anggota batin yakni roh, akal dan nafsu tidak dididik. Walhal hakikat manusia itu ialah anggota batin inilah, manakala anggota lahir mengikut saja.

Ilmu rohaniah ertinya ilmu yang berkait rapat dengan roh (hati nurani manusia). Ilmu rohaniah ini juga disebut sebagai ilmu tasawuf. Al Quran menganjurkan ilmu ini iaitu:  

Maksudnya:
 “Beruntunglah orang yang mensucikan hatinya dan rugilah orang-orang yang mengotorinya.” (Asy Syam: 9 - 10)

Roh atau hati nurani (anggota batin) adalah merupakan hakikat diri manusia. Ertinya, harga diri dan nilai diri manusia itu ditentukan oleh roh, akal dan nafsunya. Tanpa roh, manusia adalah bangkai. Kerana adanya roh juga maka manusia itu dikatakan mukalaf yakni makhluk yang diperintahkan untuk menyembah Allah, patuh kepada suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Tanpa roh, perintah dan larangan Allah tidak ada erti apa- apa. Tapi bukan semua roh itu yang menjalankan perintah dan menjauhi larangan. Ada juga roh yang melanggar perintah dan melakukan larangan. Ini bergantunglah kepada
proses pendidikan yang diterima oleh roh itu.

Roh yang taat, takut dan cinta pada Allah akan menjadikan manusia itu berguna dan menguntungkan dirinya serta orang lain. Tapi roh atau hati yang rosak atau kotor akan menjadikan manusia itu tidak berguna apa-apa lagi. Dirinya seolah-olah bangkai bernyawa. Dengan kata lain, dia adalah sampah masyarakat. Dia masih hidup, boleh bergerak ke hulu ke hilir, boleh mengatur dan mentadbir, bercakap dan bertindak, namun semua itu penuh kejahatan dan kerosakan. Maksud saya, sekiranya roh atau hati yang rosak atau kotor itu ada pada seorang pemimpin maka kepimpinannya tidak lagi adil bahkan penuh dengan kekejaman, diskriminasi, mementingkan diri, keluarga dan kliknya sahaja, malah dia adalah perosak bangsa, agama dan negara. Kalau roh atau hati atau anggota batin yang rosak itu berada dalam diri orang kaya, jadilah si kaya itu bakhil, tamak, lintah darat dan membazir.

Kalau roh atau hati dalam diri ulama sudah rosak, jadilah si ulama itu penjahat (ulama suk). Dia akan menjual ilmu Islamnya untuk membeli kepentingan dunia yakni dia gunakan ilmu Allah untuk mencari pangkat, nama dan duit semata-mata macam petani menjual tanamannya untuk mendapat duit. Ulama suk menjual ilmunya untuk kepentingan dunianya. Kalau ia bercakap adalah bagi pihak tuan bukan bagi pihak Tuhan. Kalau tidak bercakap, mereka menjadi syaitan-syaitan bisu pula.

Roh atau hati atau anggota batin yang sudah rosak kalau berada dalam diri para pemuda, pemuda itu akan menghabiskan masanya dengan berfoya-foya, berangan-angan, melepak-lepak dan berseronok-seronok. Tenaga sasanya disia-siakan tanpa memberi apa-apa faedah atau khidmat kepada masyarakat. Akhirnya mereka jadi sampah masyarakat.

Kalau roh atau hati yang jahat ada pada si miskin, maka keluh-kesahlah dia sepanjang masa, rasa hina, rasa malu kepada orang yang lebih darinya. Dengan orang kaya mereka rasa dengki dan dendam. Ertinya dia tidak sabar dan tidak redha dengan kemiskinan yang menimpa dirinya.

Demikianlah kalau roh yang jahat itu ada dalam diri para gadis remaja dan kaum wanita maka rosaklah dirinya dengan asyik berlawa-lawa, bersolek-solek dan bergaya untuk menarik perhatian orang padanya. Dirinya sanggup dijual pada sesiapa saja yang boleh memberi nikmat dunia padanya. Ramai lelaki yang tergoda. Sesama sendiri saling benci-membenci dan bersenget-senget hati.

Begitulah peranan roh dalam hidup manusia. Ia bagaikan raja dalam negara diri. Menjadi penentu baik atau tidaknya manusia itu bahkan penentu hidup mati manusia. Kalau ia keluar dari jasad, manusia akan menjadi bangkai. Kalau ia ada pula dialah yang akan mencorak kehidupan itu, baik atau buruk, perosak atau pengislah, peruntuh atau pembangun, bertanggungjawab terhadap masalah atau pencetus kepada masalah, pendamai atau penghuru-hara dan lain-lain lagi. Inilah yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

Maksudnya:
“Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, kalau baik daging itu maka baiklah manusia, kalau ia rosak maka rosaklah manusia. Ketahuilah itulah hati atau roh.” (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Nukman bin Basyir)

Pengalaman kita sendiri membuktikan bahawa hati atau roh kitalah yang menentukan tindak-tanduk kita. Fizikal (tangan, kaki, mulut, mata, telinga, perut dan lain-lain anggota) Cuma menunaikan kehendak-kehendak hati. Anggota lahir (fizikal) bukan penentu tetapi hanya pekerja dan buruh-buruhnya sahaja. Kalau hati mahu, semuanya jadi. Kalau hati tidak mahu, apa pun tidak jadi. Sebab itulah Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya:
“Sesungguhnya setiap amalan itu disertai dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang dinilai dari apa yang diniatkan. Sesiapa yang hijrah kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya itu adalah dinilai kerana Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrah kerana dunia yang diidamkan atau perempuan yang ingin dikahwininya maka hijrahnya dinilai kerana itulah.” (Riwayat Bukhari)

Kalau niat baik maka amalan itu diterima sebagai amalan baik. Sebaliknya kalau niat jahat maka amalan itu dikira jahat sekalipun nampaknya baik. Contoh, Si A berniat untuk sembahyang kerana Allah, maka sembahyang itu diterima sebagai amalan soleh. Manakala Si B meniatkan sembahyang itu untuk dia dikatakan orang baik maka sembahyangnya tertolak. Ada juga niat yang baik tetapi dilaksanakan dengan cara yang jahat. Ini juga tertolak. Misalnya seorang yang berniat untuk menolong seseorang dengan cara mencuri duit seseorang yang lain. Ini tidak betul. Lebih-lebih lagilah tidak betul kalau niatnya salah dan perlaksanaannya pun salah. Sebab itulah Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya:
 “Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati"

Di sinilah kita lihat Allah membahagikan amalan hamba-hambaNya kepada dua bahagian:

Pertama: Apa kata hati (niat)
Kedua: Bentuk perlaksanaan lahir

Dengan kata lain Allah bezakan niat dengan sikap. Walaupun kedua-duanya diperintahkan tetapi keutamaan diberi pada niat supaya seseorang tidak menipu dirinya dan orang lain dengan berbuat baik tapi bermaksud jahat. Manusia cuma nampak yang lahir dan tidak tahu apa yang dirahsiakan di dalam hatinya. Sedangkan kalau dia buat jahat orang boleh nampak dan boleh tegur untuk keselamatan dirinya.

Hal ini boleh diibaratkan pada sebiji buah yang ada kulit dan ada isi. Kedua-dua kulit dan isi adalah penting. Buah yang baik itu adalah kerana kulitnya baik dan isinya pun baik. Buah yang kulitnya baik tapi isinya tidak baik, ia tidak berguna apa-apa. Manakala buah yang kulitnya buruk sedangkan isinya baik pun tidak bagus. Cuma ia masih boleh dimakan. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya:
“Niat orang mukmin lebih baik dari amalannya.” (Riwayat Al Baihaqi dan Ar Rabi’)

Maksudnya niat yang baik itu lebih baik dari amalan yang baik kerana niat yang baik tidak dicelah oleh riyak atau ujub. Manakala amalan yang baik cukup mudah dihinggap oleh riyak dan ujub. Jarang manusia boleh selamat dari diganggu dan dirosakkan amalannya oleh riyak dan ujub. Ada Hadis mengatakan bahawa seseorang yang baru berniat baik sahaja sudah diberi pahala oleh Allah. Sedangkan niat yang jahat tidak dikira berdosa sehinggalah orang itu benar-benar melaksanakan niat jahat tersebut.

Para pembaca, pendidik, guru-guru yang dikasihi sekalian. Begitulah pentingnya roh diberi perhatian dan pendidikan. Memerhati, mengkaji dan menilai bidang inilah yang disebut ilmu tasawuf atau ilmu rohaniah atau ilmu batiniah. Ilmu yang merupakan satu bahagian yang terpenting dalam ilmu Islam di samping ilmu usuluddin yang menjadi asasnya dan kemudian ilmu fekah (syariat). Tasawuf umpama isi buah manakala ilmu syariat itu umpama kulit buah. Atau ilmu syariat itu dianggap kisrun (kulit) dan ilmu tasawuf itu dianggap lubbun (intipati). Kedua-duanya penting tetapi yang lebih penting ialah isinya kerana isi itulah yang mahu dimakan. Syariat dan tasawuf sama-sama penting tetapi keutamaan ialah tasawuf, kerana ia yang menjadi perhatian dan penilaian Allah. Oleh kerana ilmu rohaniah ini sangat berhubung rapat dengan pendidikan Sekian....

Murabbi Dan Rabbani?



Sudah menjadi Sunnatullah
(bagi orang yang kenal Tuhan,
yang tidak kenal Tuhan mengatakan sunnah
alam)
bahawa setiap benda itu adakalanya baik, adakalanya
rosak
Setiap yang rosak akan dibaiki semula
hingga normal seperti sediakala
Begitulah juga setiap benda
bukan sahaja dibaiki selepas rosak
tapi pandai menggunakan agar ia memberi guna
Membaiki setiap perkara itu
bukan semua orang menjadi pakar
dan boleh menggunakannya
Membaiki dan menggunakannya mestilah pakar
atau setidak-tidaknya boleh faham membaiki
dan menggunakannya

Begitulah sunnatullah atau sunnah alam
berlaku pada setiap yang dicipta
di dalam dunia dan di dalam kehidupan manusia
Hal yang disebutkan tadi semua orang
boleh menerimanya
Iaitu bukan semua orang boleh membaiki
atau menggunakan benda-benda yang rosak
yang ada dan berperanan
di dalam kehidupan manusia
Bahkan di setiap negara telah pun
memperundang-undangkan agar setiap perkara
yang rosak hendak dibaikpulih semula
mestilah hanya dibenarkan orang yang pakar
menanganinya sahaja
Siapa yang melanggar undang-undang
dihukum denda
setengah hal dihukum penjara
Kita buat contoh beberapa perkara
untuk renungan bersama:
Orang sakit lahir mestilah doktor yang bertauliah
dan yang berlesen mengubatinya
Jika yang merawat pesakit itu bukan doktor
hampir semua negara akan bertindak menghukumnya
kerana boleh membahayakan kepada manusia
Kalau mengenai enjin tidak semua orang
boleh membuka bengkel
mestilah orang yang ada tauliah
sama ada engineer atau foreman
Itu baru penyakit lahir atau benda-benda beku
mestilah dipastikan hanya orang
yang ada kelulusan atau ada kemahiran sahaja
baru boleh melakukannya
Tapi malangnya hendak membaiki manusia
boleh pula semua orang membaikinya
tidak kira siapa
Padahal manusialah yang hendak menentukan
baik buruk manusia dan kehidupan manusia
Dan juga hendak menentukan
alat-alat kehidupan manusia
apakah disalahgunakan atau sebaliknya
Manusialah hendak menentukan aman damainya
bersatu padu, bekerjasama
hendak bahagia dan harmoni di dunia
Mendidik manusia seratus kali susah
daripada hendak membaiki penyakit lahir
dan benda-benda beku seperti yang dinyata
Manusia ada fizikal, ada akal, ada nafsu
dan jiwa atau hati yang berperanan
di dalam diri dan di dalam kehidupan manusia
Senangkah hendak mendidik nafsu manusia
agar dapat dikontrol
daripada mendorong kejahatannya?
Mudahkah hendak mendidik akal
agar tidak bekerjasama dengan nafsu
membuat onar?
Apakah mudah mengkontrol perasaan (hati)
daripada mengikut hawa nafsu yang jahat, membuat
angkara?
Apakah mudah mendisiplinkan diri (anggota lahir)
agar tidak melaksanakan kehendak nafsu
yang jahat membuat durjana?
Manusia ada anggota lahir dan anggota batin
Anggota batinnya akal, nafsu dan hati
perjalanannya sangat halus dan seni
Mendidik manusia bukan sekadar
perlu kepada muallim
atau ustaz sekadar memberi ilmu
Muallim, guru atau ustaz hanya memberi ilmu
Mendidik manusia tidak cukup hanya memberi ilmu
Manusia perlukan murabbi atau rabbani
kerana kejahatan manusia itu
terlalu seni dan unik sekali
Murabbi atau rabbani
dia ada beberapa sifat yang perlu ada
berilmu, beramal, berakhlak mulia, menghayati
boleh mendidik manusia, boleh dicontohi
Murabbi dengan murid terus berhubung
sampai mati
Hubungan murabbi dengan murid
seperti anak dengan ibu bapa
bahkan lebih daripada itu tidak ada putusnya
Hubungan murabbi atau rabbani dengan murid
adalah hubungan roh dengan roh
hubungan hati dengan hati sampai mati
Macamlah Rasul dengan Sahabat
adalah hubungan roh dengan roh
kasih-mengasihi, cinta-mencintai
Hubungan kedua-duanya sampai mati
tidak boleh diputuskan oleh apa sekalipun
kecuali masing-masing atau salah satu memutuskannya
kerana tidak ada hubungan dengan
Tuhannya lagi
Zaman sekarang yang ramai adalah muallim
atau ustaz (guru/kiyai)
bukan murabbi atau rabbani
Murabbi dan rabbani di zaman ini
adalah bilangan jari susah dicari
Kerana itulah payah hendak mendidik manusia menjadi
baik dan jujur
kerana mubaligh atau guru dengan murid
lebih kurang sama kecuali ilmu
Mana ada pendidik di hari ini (guru atau rabbani)
ada ilmu, mengamalkan, berakhlak mulia, menghayati,
boleh mendidik dan terus berhubung
dengan muridnya hingga mati
Lihatlah hasil guru hanya memberi ilmu semata-mata
tabiat manusia tidak berubah
Murid-murid melawan guru
melawan emak bapa
hubungan guru dengan murid tidak ada
murid bergaduh sesama
Setelah dewasa masing-masing ada tugas
dan ada kerja
berlaku rasuah, malas bekerja,
hasad dengki, tidak sehati
Jatuh-menjatuhkan, zalim-menzalimi,
mementingkan diri, hidup nafsi-nafsi,
zina, tipu-menipu, budaya liar yang jijik
Yang memberi ilmu pun sama
mereka adalah muallim
bukan murabbi atau rabbani
Hendak mendidik manusia bukan sebarang orang
bukan calang-calang orang pilihan Tuhan
Lebih-lebih lagi guru bermotif makan gaji
kerana sesuap nasi
apakah mampu mendidik manusia
hingga cintakan atau takutkan Tuhan?
Pendidik murabbi atau rabbani
dia adalah bayangan Rasul
atau bayangan Nabi
Kerana itulah umat Islam seluruh dunia
tidak berkasih sayang
tidak boleh bersatu
tidak ada rasa bersama
tidak boleh bekerjasama
tidak bela-membela
takut dengan musuh-musuhnya
Umat Islam hari ini
sudah kehilangan murabbi atau rabbani
yang ada hanya guru memberi ilmu
tidak boleh dicontohi

Akibat Tidak Ada Didikan Rohani


Manusia ini kalau dari kecil tidak dididik rohaninya
Hanya diberi ilmu-ilmu syariat
yang lahir-lahir sahaja
Dia akan lebih kenal orang lain dari dirinya
Kejahatan orang lain dia lebih nampak
dari kejahatan dirinya sendiri
Orang lain sombong atau ego dia nampak
pada masa yang sama ego dirinya
lebih besar dari orang itu dia tidak terasa
Di waktu dia susah, orang tidak membantunya
dia terasa, padahal dia sendiri
tidak pernah membantu orang
dia tidak terasa satu kesalahan

Orang mementingkan diri dia tersinggung
dia mementingkan diri
dia tidak sedar yang sudah jadi budaya
Orang lain bakhil, dia nampak tidak patut
dia sendiri bakhil seolah-olah tidak mengapa
Orang tidak sabar, dia nampak sangat
dia tidak sabar, payah dia hendak memahaminya
Begitulah manusia jika tersalah didik dari kecilnya
Soal-soal roh atau hati yang ada hubungan
dengan mahmudah dan mazmumah
tidak pernah dia kenal
Kalaupun dia diajar tentang Islam hanya banyak
menekankan syariat lahir semata-mata
Akibatnya dia tidak kenal diri sendiri
Tidak kenal diri sendiri ertinya
tidak boleh nilai diri
Tidak boleh nilai diri sendiri,
kejahatan orang lainlah yang dia nampak
Kejahatan diri sendiri dia tidak nampak
Kejahatan diri sendiri dia tidak sedari
Oleh itu orang ini selalu sahaja menuding jari
kepada orang lain
Dirinya terkecuali daripada kesalahan
Ramai manusia di dunia hari ini bersikap begini

Maha Hebatnya Tuhan!

Subhanallah.. Rumah Allah.. Rindunya!


Mengapa engkau tidak terasa Maha Hebatnya Tuhan
Maha Berkuasa yang tidak ada tara dan tolok bandingnya
Kerana itulah engkau tidak takut pun kepada-Nya
Engkau tidak takutkah berhadapan
dengan Zat yang Maha Agung
Penglihatan-Nya berlaku serentak seluruh yang wujud
Sekalipun sebesar habuk tidak terkecuali daripada
penglihatan-Nya
Dan penglihatan-Nya tidak pernah rehat
sekalipun sekadar kerdipan mata
Pengetahuannya pun meliputi seluruh yang wujud
mahupun yang tidak wujud
Yang dahulu mahupun yang kemudian
Yang sudah luput mahupun yang masih wujud
Tidak pernah pun tercicir walau sebesar habuk
yang halus yang dilupakan-Nya

Pendengaran-Nya seluruh yang wujud, kecil dan besar,
bersuara atau tidak seluruh yang ada
Tidak ada satu benda tidak ada di dalam kekuasaan-Nya
sekalipun sebesar debu yang maha halus
Qudrah-Nya tidak menggunakan tenaga seperti makhluk
Iradah-Nya lulus kerana ia berlaku
bukan dari perasaan-Nya
Tuhan Berkehendak bukan mengikut perasaan
atau nafsu-Nya
Kerana Zat-Nya yang Maha Suci sudah sedia
mempunyai sifat kehendak
Kemampuan sifat Qudrah-Nya luar biasa
kerana bukan menggunakan tenaga
Sebut sahaja ada, berlaku ada,
sebut sahaja tiada, berlakulah tiada
Keagungan-Nya, kesempurnaan-Nya,
kemuliaan-Nya tidak pernah luak
Bahkan tidak pernah bertambah
Kalau berlaku pertambahan
bererti sebelumnya ada kekurangan atau luak
Kerana segala-galanya sudah sedia sempurna
Yang tidak perlu disempurnakan lagi
Apakah engkau tidak gerun
dengan Zat yang Maha Agung,
Maha Hebat dan serba Maha ini
Apakah engkau boleh melupakan Zat-Nya begitu sahaja
Tanpa terasa apa-apa di dalam hati dan jiwa engkau
Engkau sebenarnya telah diserang oleh penyakit jiwa
yang bukan penyakit jiwa yang biasa

Bumi Tuhan... Bersaksilah