MADAH baru 446



*776*
Ada orang, apabila ada orang di sesebuah parti atau jemaah melakukan kesilapan dan kesalahan, bukan sahaja orang itu dihina, dikata dan dicerca, bahkan jemaah orang itupun dikata dan dicerca.
Tapi apabila Allah takdirkan terbongkar kesalahan mana-mana orang di dalam parti atau jemaahnya, dia berkata itu kesalahan individu, tidak ada kena mengena dengan parti atau jemaah. 

*777*
Ada orang di dalam perjuangannya, sanggup korbankan dasar dan prinsip perjuangannya kerana mempertahankan satu dua orang yang disukainya walaupun orang yang dipertahankannya itu melakukan kesalahan.
Begitu juga ada orang yang sanggup korbankan dasar perjuangan kerana ada individu di dalam perjuangan itu berselisih faham dengannya. 

*778*
Di dalam satu perjuangan, kita mesti pandai membezakan, kesalahan dasar perjuangan, dengan kesalahan peribadi dalam perjuangan.
Apabila peribadi yang salah, kita tidak boleh meninggalkan perjuangan tapi apabila dasar perjuangan yang salah, tidak mengapa kita meninggalkan perjuangan itu. 

*779*
Perpaduan bukan boleh dengan cakap-cakap sahaja, bukan boleh lobi-lobi, lebih-lebih lagi bukan boleh di paksa-paksa.
Perpaduan lahir dari kasih sayang, kasih sayang itu lahir dari sikap kita, iaitu sikap harian kita seperti tawadhuk, pemurah, bertimbang rasa, suka memberi maaf, mudah meminta maaf, bertolak ansur, mengutamakan orang lain, mesra, suka membantu, asas yang diikat oleh iman. 

*780*
Tidak mengapa berjauhan badan, asalkan berdekatan hati, apalah ertinya berdekatan badan, kalau berjauhan hati.

Pengertian Pembaziran


Pembaziran adalah dianggap perbuatan syaitan.
Ia adalah perbuatan ditegah lagi haram di sisi Tuhan.
Pembaziran adalah luas pengertiannya.
Berhati-hatilah kita di dalam hidup agar jangan terjebak dengan pembaziran.
Pembaziran bukan sekadar memakai air berlebihan ketika berwuduk
atau mandi wajib atau mandi kebiasaan.
Itu hanya pembaziran terlalu kecil sahaja kalau dilakukan.
Banyak lagi pembaziran yang besar-besar kalau kita faham di dalam kehidupan.
Pembaziran pembelanjaan diri dan keluarga di dalam makan minum dan pakaian,
berlebih-lebihan dan bermewah-mewahan tidak sepatutnya dilakukan.
Memiliki kenderaan yang berlebih-lebihan untuk diri sendiri sahaja,
bukan untuk diguna sama buat perjuangan, ia adalah dilarang.
Rumah yang besar lebih daripada yang diperlukan untuk diri dan keluarga adalah pembaziran.
Yang lebih itu adalah kepunyaan orang lain yang memerlukan 
tapi disalurkan kepada kita oleh Tuhan.
Pada kita sebagai ujian, mampukah atau tidak untuk diagih-agihkan kepada yang memerlukan.
Tuhan suruh kita bercantik-cantik, lakukan, asalkan jangan berlebih-lebihan yang keterlaluan.
Kalau sudah keterlaluan hingga hilang keindahan, satu pembaziran.
Pembaziran bukan sahaja berlaku kepada harta, makan minum dan pakaian.
Ia juga berlaku kepada tenaga dan masa yang disia-siakan tanpa dimanfaatkan.
Mensia-siakan tenaga dan masa juga pembaziran.
Tenaga diguna kepada yang merosakkan bukan sahaja pembaziran bahkan memudharatkan.
Atau tenaga tidak diguna atau dibekukan, tidàk digunakan untuk membuat kerja-kerja yang berguna, ia tetap di anggap pembaziran.
Seperti tidur baring, berjalan-jalan tanpa apa-apa matlamat, duduk berborak-borak kosong membuang masa tanpa tujuan.
Sekaligus sikap ini berlaku dua pembaziran.
Pembaziran tenaga dan pembaziran masa yang sangat berharga buat insan.
Termasuk pembaziran tenaga dan masa, duduk berlepak-lepak, berfoya-foya tanpa tujuan.
Ilmu juga boleh jadi pembaziran.
Ilmu yang tidak diamalkan sekadar dimegah-megahkan.
Ilmu untuk bermujadalah dan berbalah, tidak dimanfaatkan.
Ilmu tidak diamalkan bukan sahaja pembaziran, kalau jadi mujadalah dan berbalah, 
pecah pula ukhwah.
Ilmu sudah jadi bahaya, pecah perpaduan kerana salah guna.
Di sini fahamlah kita, pembaziran banyak jalan.
Bukan pada harta, wang ringgit dan kekayaan saja.
Berbagai-bagai perkara boleh jadi pembaziran yang boleh menjadi kawan syaitan.
Haraplah ambil perhatian, moga-moga kita tidak dimurka Tuhan. 


Remaja Harapan




Putera-puteri, pemuda-pemudi adalah pemimpin pelapis di masa depan.
Pemimpin pelapis bagi sebuah negara, bangsa dan agama demi kebahagiaan dan keselamatan.
Mereka yang akan mengambil alih pimpinan negara, mengganti pemimpin yang ada sekarang.
Kalau pemimpin yang ada tidak pandai mendidik, menjaga mereka, pemimpin yang akan datang dari mereka akan merosakkan negara, bangsa dan agama Islam.
Mereka adalah aset bagi satu bangsa dan negara.
Aset yang lebih berharga daripada aset semula jadi yang menjadi khazanah negara.
Bahkan aset yang mati dan beku itu, aset yang menjadi man power itulah yang akan menggerak dan mentadbirnya.
Kalau mereka telah rosak kerana kecuaian pemimpin yang ada, kekayaan negara di masa hadapan merekalah yang akan membolotnya.
Bagaimana menjaga mereka sebagai aset negara dan bangsa?
Bangunkan akal mereka dengan berbagai-bagai bidang pengetahuan dan pengalaman untuk agama, bangsa dan negara.
Jagalah kesihatan mereka hingga fizikal mereka terpelihara, cergas dan berguna.
Didiklah nafsu mereka agar tidak rakus dengan nikmat dunia dan tidak sombong dengan kerjayanya.
Bangunkan roh mereka dengan mengenalkan Tuhan, takutkan Tuhan, cintakan Tuhan, tanamkan rasa bertuhan.
Hati mereka akan bersih dari noda-noda dunia.
Mereka akan menjadi manusia berakhlak mulia.
Akhlak yang mulia adalah bunga diri dan bunga bangsa.
Hati mereka yang bersih itulah ketahanan diri mereka daripada godaan dunia dan betina.
Jika mereka berhadapan dengan kesusahan dan penderitaan, jiwa mereka tahan.
Mereka akan sabar menerima ujian sama ada daripada manusia mahupun kejadian bencana alam.
Gejala-gejala negatif daripada luar buatan musuh, mereka dapat hindarkan.
Kerana ketahanan jiwa mereka begitu kebal dan tebal.
Pemimpin yang ada sekarang diharap ambil perhatian terhadap anak-anak muda.
Tersilap mendidik mereka, merekalah yang akan menghancurkan agama, bangsa dan negara mereka.
Satu bangsa kalau sudah tersilap, untuk memulihkannya semula memakan masa ratusan tahun lamanya.
Aduh, berapa generasi yang akan rosak dibuatnya.
Moga-moga Tuhan lindungi kita semua. 


MADAH baru 445


*26/7/2022* 

*M766*
Orang yang ada cita-cita perjuangan itu: 
* sanggup berkorban apa sahaja, 
* sangat berstrategi, 
* pandai mempertimbangkan perbelanjaan keluarga dengan pendapatan, 
* mendidik sama anak-anak dan isteri kepada perjuangannya, 
* tidak meminta kecuali kepada orang yang sangat dikasihinya, 
* pandai menilai kawan dan lawan, 
* sentiasa siap siaga, 
* tidak menyesal terkorban, 
* tidak kecewa dengan kegagalan apatah lagi putus asa, 
* pandai menilai masyarakat di zamannya sama ada yang berlaku di dunia mahupun yang berlaku di negaranya, 
* pandai mengorak langkah ertinya adakalanya ia mundur setapak ke belakang mengumpul kekuatan, adakalanya bertahan beberapa ketika, adakalanya terus maju, 
* optimis masa depannya, 
* melakukan tipu daya di dalam perjuangannya, 
* tidak melahirkan keluhan ketika terdesak, 
* tidak menghampakan permintaan kawannya atau permintaan orang yang susah, 
* berahsia kepada setengah orang dan tidak berahsia kepada setengahnya pula, 
* di dalam perjuangannya dia tidak melobi dan memaksa tapi dia sentiasa memberi penjelasan dan kesedaran, 
* mendekatkan diri kepada Allah dan selalu mengadu kepadanya, 
* tidak membuang-buang masa, 
* identiti dirinya dibawa ke mana-mana, dengan kata-kata yang lain orang yang ada prinsip, 
* peka dengan sebarang kejadian,
* tidak melulu, tidak mudah melatah, 
* setiap berita yang datang, dia menilai dan kaji lebih dahulu, 
* kehidupan harian melambangkan perjuangannya, keluarganya contoh cita-citanya, 
* sentiasa mencari ilmu dan pengalaman, terutama yang ada hubungan dengan membaikkan diri dan perjuangannya,
* serius tapi mesra. 

*M767*
Kalau ada orang di dalam hidupnya, terutama di dalam perjuangannya, tidak serius mencari rezeki, tapi rezeki tidak putus, tidak meminta-minta tapi orang hadiahkan, tidak memikirkan sangat masalah hidup tapi boleh hidup. 
Kalau memandang hartanya tiada, dia miskin, tapi melihat kehidupannya dia kaya. 
Tidak ada kepentingan dunia di dalam perjuangannya, bila dunia datang, dia tidak sayang mengorbankan untuk kebaikan orang atau perjuangan. 
Ini orang luar biasa.  

*M768*
Halangan di dalam perjuangan menegakkan kebenaran mula-mula sekali ialah nafsu dan syaitan, kemudian takut, selepas itu diuji dengan kelaparan diikuti dengan ujian kekurangan harta, kemudian diuji dengan sedikit pengikut, kalau Allah memberi kejayaan di dunia, diuji pula dengan nikmat yang melimpah ruah, Sayidina Umar menangis dengan yang akhir ini kerana banyak umat Islam kecundang. 

*M769*
Sibuk bekerja, membaca, berjuang tidak ada salahnya bahkan adakalanya dipuji, tapi kalau  buat-buat sibuk atau menyibuk, orang benci dan kerja pun tidak jadi.  

*M770*
Akhir di dalam suatu perjuangan, laksana penghuni sampan di laut... 
* Ada orang awal-awal lagi keluar dari sampan kerana takut sampan yang kecil hendak mengharungi lautan yang luas lagi dalam. 
* Sesetengahnya waktu mula mengharungi lautan, sampan berlenggang-lenggok kiri ke kanan, terjungkit-jungkit ke depan dan ke  belakang, 
dia rasa bimbang, keluar pula dari sampan.
* Ada setengahnya apabila ribut menyerang, gelombang besar memukul sampan, sampan terumbang-ambing di tengah lautan, 
kerana takut, terjun dari sampan. 
* Sesetengahnya apabila sampan sampai ke darat, ke destinasi yang di tuju iaitu pulau idaman, 
kerana seronok memakan buah-buahan, minum air yang menyegarkan, dengan angin sepoi-sepoi bahasa, dengan pemandangan yang indah, dengan rezeki yang  melimpah ruah, tidak ingin lagi naik ke sampan  mengharungi lautan.

MEMBETULKAN CARA PANDANG


-----------------------------------
Nabi Musa a.s melihat bangkai seekor anjing yang mati di padang pasir. Sahabat-sahabatnya menutup hidung malah ada yang loya dengan keadaan mata anjing yang hampir pecah, isi perut yang terburai..!

Akan tetapi Nabi Musa berkata,

"ALANGKAH PUTIHNYA GIGI ANJING ITU..!"

Sahabat-sahabatnya menegur bagaimana Nabi Musa boleh berkata demikian? Lalu Nabi Musa menjawab,

"AKU SEDANG BELAJAR MELIHAT KEBAIKAN DAN KECANTIKAN DI DALAM KEBURUKAN..!"

Semoga kita semua boleh melihat kebaikan di dalam diri seseorang waima MUSUH KITA sekalipun. InsyaAllah! Hati kita akan bertambah senang dan tenang..!

Jadilah seperti LEBAH..! Walaupun hidup di dalam lautan sampah, BUNGA juga yang dicarinya..!

Janganlah jadi seperti LALAT..! Walaupun hidup di taman yang indah, SAMPAH jua yang dinantinya..!

Semoga ikatan kita sesama insan akan lebih erat dan harmoni tanpa ada rasa dengki, irihati dan benci-membenci ..!

"SEKIRANYA KITA MELIHAT SESUATU YANG BURUK PADA ORANG LAIN
IA ADALAH CERMINAN UNTUK DIRI KITA..!

KERANA HANYA ORANG YANG 
HATINYA BERSIH, SELALU MELIHAT KEBAIKAN PADA ORANG LAIN..!"

Hati Gudang Rohaniah




Hati adalah merupakan gudang atau khazanah.
Orang yang beriman yang cintakan Allah dan takut dengan-Nya,
ini adalah merupakan khazanah yang tersimpan.
Di dalamnya isi-isinya intan, berlian, mutiara, emas dan perak mahmudah.
Orang yang tidak beriman atau lemah iman,
hati merupakan gudang yang tersimpan najis mazmumah yang rohaniah.
Makin orang itu dewasa semakin penuh dengan najis-najis mazmumah yang bersifat rohaniah.
Yang sudah matang akan meledak muntah.
Najis rohaniah inilah yang selalu melimpah ruah
melalui anggota lahir yang memusnah.
Kadang-kadang meleleh melalui lidah.
Ramai orang susah, ada orang terhina, ada yang kena fitnah.
Adakalanya mengalir melalui matanya, maka jadilah mata keranjang.
Dan mencari kesalahan orang.
Tidak kurang pula mengalir melalui otak untuk merosakkan agama, bangsa dan negara.
Haru-birulah bangsa dan negara dibuatnya.
Tergugatlah kestabilan negara.
Jika najis mazmumah itu mengalir, ramai orang kena lempang, rumah terbakar.
Bom meledak yang memusnah dan merosak.
Orang kena rompak, orang kena tembak, bank dirompak, rasuah banyak.
Kalau keluar mazmumah itu di tempat alat kelamin,
berlakulah rogol dan zina.
Seolah-olah gudang tadi adalah gunung berapi yang aktif.
Yang sering memuntahkan lahar yang memusnah dan merebak.
Menyakitkan dan membunuh binatang dan manusia di mana-mana sahaja.
Merosakkan harta benda dan khazanah negara.
Bahkan najis, mazmumah rohaniah ini lebih bahaya daripada  gunung berapi yang meledak.
Gunung berapi meledak sekali-sekala sahaja.
Tapi ledakan najis mazmumah ini.
Setiap waktu dan ketika, tidak kira di mana saja.
Kerosakan dan kemusnahan setiap hari berlaku, tiada rehat-rehatnya.
Hinggakan bahayanya manusia tidak dapat hidup di dalam keadaan aman, damai, harmoni dan bahagia. 


MADAH baru 444


*751*
Pemimpin-pemimpin negara, kalau sekadar membangunkan negara dengan bermacam-macam kemajuan kebendaan, banyak pemimpin yang boleh berbuat demikian.
Mendidik rakyat berkasih sayang satu sama lain dan taat dengan Tuhan, ini adalah pemimpin pilihan Tuhan sahaja yang boleh melakukan demikian seperti Sayidina Umar Abdul Aziz. 

*752*
Di antara sikap pemimpin yang sudah kehilangan wibawa tapi masih ingin mempertahankan jawatan yang ada, dia suka timbulkan isu baru agar orang ramai dapat dipesongkan daripada mempersoalkan perkara-perkara yang sangat menyusahkannya kepada perkara-perkara lain supaya orang ramai melupakannya. Ertinya melupakan kelemahan peribadinya dan kalau ada kesalahan orang lain dibesar-besarkannya supaya orang melupakan kesalahannya atau sengaja membuat tuduhan kepada musuh-musuhnya agar orang ramai marah kepada musuhnya itu, dengan harapan namanya naik semula atau orang menyanjung dia semula. 

*753*
Ada orang tunduk pada seseorang kerana kuasa,  bukan kerana dari jiwa. 
Ada orang tunduk pada seseorang kerana kekayaan, bukan kerana suka. 
Ada orang tunduk pada seseorang kerana bangsanya, bukan kerana kebenarannya. 
Ada orang tunduk pada seseorang kerana peribadinya dan kebenaran yang dibawanya. Yang keempat ini ialah orang atau pemimpin luar biasa. 

*754*
Orang yang kerana ada kekuatan dan kuasa, bila benci kepada seseorang, dia kuasai fizikal orang itu tapi tidak dapat menguasai hatinya atau batinnya.
Orang yang berkuasa itu sebenarnya lahirnya saja menang, batinnya kalah. 

*755*
Di antara keistimewaan kepimpinan Rasulullah SAW, baginda tidak memberi pengikutnya kekayaan dunia, tidak memberi bintang kehormatan, tidak memberi projek itu dan projek ini, tidak memberi tender itu dan tender ini, tidak menjanjikan rumah besar dan kenderaan istimewa bahkan ada pengikut-pengikutnya yang asalnya kaya, jadi miskin kerana Rasulullah suruh korbankan.
Ada yang mengikut Rasulullah mati disamun, dipulaukan, dikurung, dibakar, dipisahkan dari keluarga, dirampas hartanya, meninggalkan kampung halaman, cacat anggota kerana di seksa.
Namun demikian ketaatan mereka kepada Rasulullah SAW tidak berbelah bagi, sangat setia, sabung nyawa pertahankan Rasulullah SAW.
Tapi pemimpin-pemimpin negara terutama di zaman moden ini, pemimpin memberi kepada pengikut-pengikutnya bermacam-macam nikmat duniawi. Ada orang yang boleh menjadi kaya instant dibuat oleh pemimpin hingga golongan-golongan lain tersinggung dan sakit hati, terasa
dianaktirikan. Namun demikian pengikut-pengikut  pemimpin itu tidak juga setia. Ketaatannya pura-pura, di belakang mengata, ada yang sanggup mengata berdepan-depan, ada yang berusaha menjatuhkan. Apakah rahsianya ini?
Rahsianya tidak lain tidak bukan ialah Rasulullah menanamkan iman di dada pengikutnya. Para pemimpin yang lain menanamkan kebendaan di dada pengikutnya.

Peranan Ilmu


Ilmu dunia Akhirat adalah sangat berguna buat kehidupan insan.
Ilmu perlu sebanyak-banyaknya kerana keperluannya banyak.
Faedah dan manfaatnya adalah sangat banyak buat manusia.
Ia adalah laksana cahaya penyuluh hidup manusia dunia dan Akhirat.
Panduan untuk mendidik agar manusia terdidik.
Terutama ilmu mengenal Tuhan, takut dan cinta kepada-Nya.
Boleh mengenal syariat, panduan hidup buat insan.
Guide line buat membangun dan berkemajuan.
Panduan menyelesaikan masalah terutama waktu berbalah.
Tahu tipu daya musuh yang berniat jahat.
Boleh counter semula terhadap musuh yang khianat.
Pandai berstrategi di dalam setiap apa pun tindakan.
Boleh menilai semula apa yang telah dilakukan untuk kebaikan.
Boleh memikirkan apa rancangan masa depan.
Mudah bergaul di dalam masyarakat kerana ilmu menjadi panduan.
Boleh bertukar-tukar fikiran, ia juga adalah hiburan dan mudah dapat kawan.
Berjalan ke mana pun tidak takut kerana sentiasa ada panduan.
Ada ilmu pergi ke mana-mana pun terasa ada kawan dan mudah berkenalan.
Tidak canggung bergaul kerana ada modal, itulah ilmu pengetahuan.
Ke mana pergi dihormati orang kerana ilmu, asalkan ada kejujuran.
Ilmu itu adalah duit sekalipun tidak ada duit kerana ia boleh mendapatkan duit.
Adanya ilmu, tahu di mana salah dan di mana silap.
Ilmu adalah kawan setia yang tidak pernah berpisah dari kita.
Adanya ilmu, mudah mencari kebenaran sama ada yang bersifat dunia ataupun yang bersifat Akhirat.
Adanya ilmu, orang mudah yakin berkawan kerana ada panduan tempat pertanyaan.
Orang ada ilmu, dia tidak pasif. 
Tidak ada ilmu, dia jadi jumud.
Apabila ada ilmu, bergaul tidak canggung.
Tidak ada ilmu, bergaul terasa canggung.
Ada ilmu terasa riang, tidak ada ilmu terasa kosong dan terasa ada kekurangan.
Adanya ilmu mudah berbincang dan bertukar fikiran.
Ada ilmu macam pokok rendang yang berbuah lebat, orang suka datang.
Ilmu menjadikan seseorang tidak terasa sepi, ia sentiasa menghiburkan akal dan hati.
Adanya ilmu mudah mengesan mana yang bahaya dan mana yang tidak bahaya.
Ilmu yang menjadikan dunia ini cantik, indah, mudah berhadapan dengan kehidupan.
 

MADAH baru 443


*741*
Kalau kita orang besar atau orang pandai dan cerdik atau ada kuasa di tangan atau orang penting pada orang besar...
Segala kesalahan kita boleh kita sorok, kecurangan kita tidak ada orang yang berani memperkatakannya, kezaliman kita tidak sanggup orang membawa ke mahkamah, penipuan kita tidak ada orang yang berani membongkarnya. Janganlah kita merasa senang hati, janganlah kita merasa orang istimewa kerana ada satu lagi mahkamah yang paling adil menunggu-nunggu iaitu Mahkamah Rabbul Jalil.
Di waktu itu segala-galanya terbuka,
yang samar-samar menjadi jelas,
yang tertutup,  terbuka,
yang terlindung, nampak,
yang tersorok akan nyata.
Di waktu itu anggota-anggota kita akan bercerita, membuka pekung kita, 
mulut tertutup, tidak ada pembela sekalipun kekasih kita.
Tidak takutkah kita?! 

*742*
Pokok yang besar lagi tinggi itu, kalau ia tumbang atau jatuh, bunyinya kuat bergema satu kampung tapi kalau pokok yang kecil lagi mudah tumbang, bunyinya tidak kuat, adakalanya tidak di dengar.
Begitulah pemimpin besar, kalau dia jatuh dari jawatannya, gemanya besar, riuh rendah orang memperkatakannya, seluruh negara bahkan seluruh dunia. 

*743*
Setinggi-tinggi pokok ada hujung nya. Kalau kita memanjat pokok sampai ke hujung, berhati-hatilah, di waktu itu petanda kita akan turun. 
Biarlah kita turun secara biasa, ia akan selamat. Jangan turun terjatuh kerana tidak berhati-hati, kita akan dapat mudharat.
Begitulah seseorang itu bila naik menjadi pemimpin, janganlah mentang-mentang telah berkedudukan tinggi, kita sombong, kita boleh buat apa saja. Kalaulah nanti sikap kita itu menjadi sebab kita jatuh, gemanya besar dan kita dapat malu besar. 

*744*
Apabila seseorang pemimpin itu tidak cukup tinggi wibawanya, sudah tentu rakyat di dalam sesebuah negara atau pengikut di dalam sesebuah jemaah, tidak mungkin boleh disatukan. 

*745*
Pemimpin di dalam sesebuah negara atau sebuah jemaah, ibarat tali pengikat di dalam seberkas potongan-potongan kayu. Apabila tali itu kukuh dan kuat, berkas kayu itu akan kuat.
Tapi apabila tali pengikat itu tidak teguh, berkas kayu itu longgar dan tidak kuat, akhirnya mudah terburai dan terungkai.

MADAH baru 442


*736*
Rakyat di dalam sebuah negara itu adalah ibarat batu bata yang berharga.
Setengahnya tidak boleh dipakai lagi kerana pecah-pecah dan setengahnya masih elok lagi.
Tapi malangnya tidak ada lagi arkitek atau jurubina untuk membangunkan batu bata itu menjadi rumah.
Sayang sekali batu bata itu terbiar dengan percuma.
Begitulah rakyat sebuah negara,
setengahnya tenaga mereka tidak boleh lagi digunakan kerana terlibat dengan dadah dan budaya lepak.
Dan ada yang masih baik lagi
tapi tidak ada pemimpin yang mampu menggunakan tenaga mereka untuk membangunkan agama, bangsa dan negaranya. 

*737*
Hendaklah menjadi orang alim tapi jangan mengaku alim.
Jadilah orang alim tapi jangan membuat-buat alim. 

*738*
Janganlah jadi alim pelita, orang terang kita binasa.
Jangan jadi alim berkata-kata atau cerita tapi jadilah alim mengkota. 

*739*
Keindahan orang alim itu ialah tawadhuk, penyayang, pemurah.
Jika kaya, keindahan orang kaya itu pemurah,  tawadhuk dan penyayang. 

*740*
Keindahan pemimpin itu, adil, kasih sayang, merendah diri, bertimbang rasa, pemaaf, mesra, pemurah jika kaya.

Rahmat Dan Nikmat Tuhan



Mendapat pangkat dan kekayaan, ia adalah salah satu nikmat tapi belum tentu rahmat.
Badan sihat, ilmu banyak, belum tentu rahmat. Nikmat memanglah orang tahu itu adalah nikmat.
Badan sihat, berilmu, sudah tentulah nikmat.
Semua orang tahu badan sihat dan berilmu adalah nikmat, orang tidak boleh nafikannya.
Kalau Tuhan memberi rahmat, itu sudah tentu bersama nikmat.
Jika nikmat sahaja belum tentu bersama rahmat.
Kita perlu rahmat Tuhan bukan sekadar nikmat.
Jika nikmat sahaja, boleh membawa kecelakaan sama ada di dunia mahupun di Akhirat. 
Mendapat rahmat biasanya bersifat rohaniah, ia menyelamatkan.
Seperti takutkan Tuhan, cintakan-Nya, itu adalah rahmat.
Kerana ia ada hubungannya dengan iman.
Ia ada kaitannya dengan kebahagiaan di Akhirat.
Menjadi pemurah, pemaaf, merendah diri, mengutamakan orang lain, itu adalah rahmat.
Nikmatnya didapati atau diperolehi oleh orang lain sama.
Ramai orang tidak sedar bahawa pemurah, pemaaf, merendah diri,
mengutamakan orang lain itu adalah rahmat.
Menjadi sabar, tawakal, redha, berkasih sayang, itu juga adalah rahmat.
Tapi ramai orang tidak merasa itu adalah rahmat.
Ramai orang menganggap pandai, kaya, berpangkat, itu adalah rahmat.
Ia belum tentu menjadi rahmat tapi nikmat sudah pasti.
Kalau pandai, sombong, 
kaya, bakhil dan bangga, 
berpangkat menjadi megah dan ego, 
itu adalah bala.
Boleh jadi juga nikmat-nikmat itu akan menjadi rahmat Tuhan, hanya itu kemungkinan sahaja.
Di sini baru kita faham, nikmat rohani selalunya adalah bersama rahmat.
Nikmat lahir biasanya belum tentu bersama rahmat.
Ramai orang mendapat nikmat lahir, menjadi bala pula.
Bukan sahaja bala kepada dirinya bahkan bala kepada orang lain juga.
Kita perpanjang lagi tentang memperkatakan nikmat ini supaya lebih global lagi dan nyata.
Seperti kecantikan, memang semua orang mahu cantik.
Di sini adakalanya ada bala yang tersirat.
Muka cantik kalau megah, bangga, sombong, ia sudah jadi bala pula.
Gunakan kecantikan untuk komersial lebih lagi bala.
Sikap ini orang lain pula sakit hati dan benci, lagi bertambah bala.
Kalau cantik didedahkan aurat pula, ramai orang yang rosak imannya,
ini adalah bala yang lebih besar.
Ia akan membawa kepada laknat Tuhan kerana rosaknya merata dan global.
Oleh itu mintalah rahmat Tuhan, kalau diberi sudah tentu bersama nikmat.
Jangan semata-mata meminta nikmat kerana belum tentu bersama rahmat.
Biasanya nikmat lahir itu membawa kecelakaan dunia Akhirat jika disalahguna.
Diharap ambillah perhatian agar kita selamat.
 

ISNIN, 11 MALAM, 18 Julai 2022

salam wrt.
Mashaa Allah, hebat kuasa Allah. Malam yg penuh misteri. Kelahiran Hannan ke-4 dijadualkan dalam kereta Citroen Grand C4 Picasso. 

Allah beri kekuatan pada Zaf. kuat jeritan sang ibu saat jam menunjukkan pukul 10.45 malam. 

Aku tergamam. Selepas hntr anak2 ke Rumah sahabat Abg Khalil(kak syibrah), terus menuju ke Qeuh maternity unit. Jalan yg maps beri pun lain. 
Jeritan zaf makin kuat. sesampai di pintu masuk, xbuka pula. dan tiada manusia. Aku juga menjerit "Help!!" but nobody there.

Berhenti, Tekan hazard, tros tgk zaf. Zaf minta bukakan seluarnya, sbb perlu cpt utk keluarkan baby. Angkat kaki zaf ke atas. Rupanya jeritan td kepala Hannan dah keluar. Zaf ada pengalaman sambut bayi masa kerja doktor dulu. Now is my time. aku shj yg ada saat tu. Mujur sempat pegang badan baby. kalau tak meluncur shj keluar dgn air ketumban yg pecah tu.. 
dengar tangisan baby juga di malam hening itu.

Allah... mengucap panjang diriku yg kerdil. anakanda Hannan telah selamat keluar. Terima kasih Zaf lahirkan anak ke empat kami. dan aku bidannya malam ni. 
Selepas baringkan seat Zaf, terus cari org. Tahan kereta. dan 7 org midwife/nurse dtg assist. 
Dia bagi aku potong tali pusat.
Then baru masuk hospital. zaf naik wheelchair. rupanya pintu masuk malam xsama mcm siang😅

Apa2 pun Terima kasih Allah. Kau beri kemudahan. xsangka main Kahoot dgn anak2 sblm zohor tu ada mksd. Jadi bidan betul aku. Allah. Then ada ckp juga kali ni push sekali je tros meluncur keluar. betul jadinya. Allah...!!! subuh dlm wad bersalin. sujud syukur🤲🤲🤲

keadaan dlm wad bedah. Xsempat bersalin sini. dlm kereta. awal Hannan berenang keluar. Then mata dia dan bercakap2. cerdik budak ni. Moga solehah saham umi ayah. aamiiiin
Kenangan ni. balik terus basuh. dlm pkul 4 pagi. spray siap2. sbb darah dlln tu kena clear awal. tkut melekat. so sikit2 tu boleh settle. then masuk umah settle rendam baju2. esok dh terang baru mengadap.
lps basuh uri, cari tempat yg ok. blkg tnah keras berbatu. so, try tgk dpn. keras juga tp boleh dpt setengah hasta lbh sket. boleh dh tu. pakai gunting je cocok2 buat lubang.
selesai tanam dan kambus, letak pasu tembikar tu. berat sket. hempap dgn bata lagi. alhmdulillah. selesai. baju2 tgh jalan basuh. 

Inshaa Allah ptg ni discharge. nk beli kepci. bagi abg khalil n budak2 tu makan. In shaa Allah.

Alhamdulillah Ala Kullihal

MADAH baru 441


*731*
Golongan yang membawa kebenaran itu, selalunya pendukungnya  bilangannya sedikit tapi disokong oleh orang ramai sekalipun orang kafir. Barulah nampak kehebatan kebenaran itu dan luar biasa.
Begitu pulalah golongan yang membawa kebatilan itu, selalunya pendukungnya bilangannya ramai, tidak hairanlah disokong oleh orang ramai, bukanlah satu keluarbiasaan. 

*732*
Adakalanya seorang yang pernah menerima kebenaran, kemudian menolak semula kebenaran itu, dia lebih jahat daripada sebelum menerima kebenaran. 

*733*
Allah tidak akan persoalkan kelak, menang dan kalah tapi yang akan Allah persoalkan ialah benar dan salah.
Begitu jugalah Allah tidak akan tanya tentang berjaya dan gagal tapi yang Allah akan tanya adalah bekerja dan berusaha mengikut syariat atau sebaliknya melanggar syariat. 

*734*
Apabila Allah membantu usaha-usaha hamba-Nya yang mukmin dengan keredhaan-Nya, sama ada di sudut ekonomi, pembangunan, ketenteraan dan lain-lain kerana ketaqwaan hamba-hamba-Nya, terutama pemimpin, di samping mendapat kejayaan dan pahala, ia berlaku sekali dengan sifat-sifat terpuji seperti merendah diri di dalam kejayaan, timbul perpaduan, keharmonian, pemurah, bertimbang rasa, bertolak ansur, jujur, taat, setia, sabar, redha, adil, terlalu sedikit maksiat, masyarakat bersih daripada gejala-gejala tidak sihat.
Tapi apabila usaha-usaha kita berjaya dengan kemurkaan (dengan istidraj); justeru di dalam kita membangun, masa yang sama kita derhaka kepada-Nya; akan berlaku 'side-effect' dari kemajuan itu, iaitu lahir orang-orang jahat, timbul kerosakan akhlak, terjadilah perpecahan, perbalahan, perpaduan punah, disiplin hidup tiada, berfoya-foya, pergaulan bebas menjadi-jadi, zina, dadah, masyarakat huru-hara, hidup di dalam kebimbangan dan ketakutan, kemajuan yang pesat hanya boleh dimegah-megah dan dibangga-bangga sahaja, namun hidup terseksa. 
Di sinilah perlunya keredhaan dan keberkatan dari Allah di dalam usaha-usaha kita. 

*735*
Alangkah sedihnya negara maju,
pemandangan cantik,
perhubungan mudah
tapi manusia yang miskin terbiar sendiri.
Kalau ada yang membantu, untuk publisiti.
Orang kaya makan sendiri, membantu jauh sekali.
Orang alim membawa diri, jaga diri sendiri.
Muda-mudi atau muda remaja berfoya-foya atau berpeleseran, jadi bahan caci maki.

Manusia Luar Biasa



Manusia luar biasa jarang ada.
Mungkin 10 juta seorang, kalaupun ada.
Siapa manusia luar biasa?!
Apabila kena uji, dia sabar dan tenang.
Jika dapat nikmat, tidak terlonjak-lonjak kerana riang.
Jika orang caci dia, dia diam.
Kalau orang puji, dia tidak senang.
Melihat orang susah, susah pula hatinya, dia cuba membantunya.
Melihat orang membuat kemungkaran, dia rasa kasihan, dia mendoakan hidayah untuknya.
Kalau orang meminta kepadanya, jarang dia kecewakan,
adakala dia berhutang untuk orang.
Kekayaannya, merata orang dapat merasa, ertinya tidak makan seorang.
Kalau ada orang membawa berita baik atau buruk, tidak mudah menerimanya kecuali setelah disiasatnya.
Orang yang berbuat jahat kepadanya, dia boleh berbuat baik kepadanya.
Kesenangan orang kesenangannya, kesusahan orang kesusahannya.
Sangat simpati dengan orang, peri kemanusiaannya bukan kepalang.
Tidak pernah menghina dan mencaci orang kecuali kalau sudah dibolehkan.
Hasad dengki tidak ada di dalam ingatannya, apatah lagi berdendam.
Sentiasa berlapang dada dengan kerenah orang.
Mudah bertolak ansur di dalam berkawan demi keamanan dan kedamaian.
Mudah memberi maaf, apatah lagi meminta maaf.
Berkawan setia, kepentingan kawan sangat dijaga bahkan keluarganya juga.
Tidak suka menghina orang apatah lagi mencederakannya.
Suka diziarahi dan menziarahi.
Tidak suka mengangkat dan memuji diri.
Cakapnya bersukat, itu pun yang memberi manfaat.
Suka menghormati orang.
Orang bercakap, menumpukan pendengarannya.
Malunya sangat ketara, tawadhuknya jadi budaya,
tawakalnya pegangan hidupnya.
Inilah dia di antara sifat dan sikap orang yang luar biasa.
Inilah dia orang yang cemerlang di dalam kehidupannya.
 



Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau
memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua’alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

~ Usman Awang

MADAH baru 440



*711*
Zaman ini susahnya mendapat kawan setia,
guru yang mursyid,
pemimpin yang adil,
jiran yang dipercayai,
isteri yang setia,
anak yang berbakti dengan kedua ibu bapa,
ibu bapa yang mulia,
sanak saudara yang seia sekata,
penduduk setempat yang bekerjasama. 

*712*
Segala apa yang kita boleh buat, kaji semula untuk membaikinya,
kerja yang kita sedang buat, perhaluskan,
yang belum lagi dibuat, fikirkan,
syariat jadikan panduan. 

*713*
Berbuatlah, bertindak mengikut ukuran diri sendiri,
janganlah berbuat, bertindak mengikut ukuran orang lain,
kita akan kehilangan harga diri. 

*714*
Berusahalah mengikut syariat-Nya,
bertindaklah dengan bijaksana,
kajilah dahulu sebelum melaksana,
nilai semula setelah selesai mengerjakannya,
kalau terlanggar larangan-Nya,
pintalah ampun kepada-Nya,
tersalah teknikal, ubah caranya. 

*715*
Pandanglah atau merenunglah ke belakang,
untuk menilai segala yang sudah,
merenunglah ke hadapan untuk memikirkan apalagi yang hendak dibuat.
Setelah dibuat, kaji lagilah agar yang tidak kena dapat diubah..

Umat Islam Kini Tidak Berjiwa Besar




Perbualan umat Islam hari ini jika bertemu, 
perbualan bersifat peribadi.
Skop perbualannya sangat sempit dan terbatas sekali.
Sekitar makan, minum, pakaian, tempat tinggal, gaji, isteri.
Tuhan, bangsa, agama, negara, perjuangan, Akhirat jarang diperbualkan setiap hari.
Jika bertemu di sekitar itulah perbualannya.
Anda kerja apa? Berapa gaji anda? Tempat tinggal di mana? 
Sudah kahwinkah?
Berapa orang anak?
Kalau tidak bercerita tentang tadi, bercerita tentang tempat kerja.
Bos aku itu asyik menyinga aja! Apa sahaja aku buat serba tidak kena,
pening kepala aku dibuatnya!
Kalau belum kahwin, cerita fasal kahwin.
Susahlah hendak kahwin sekarang ini, belanja hantaran mahallah!
Orang macam aku ini siapalah hendak, jawatan kecil, gaji kecil,
perempuan sekarang mata duitan!
Orang macam engkau mudahlah kahwin, ramai perempuan yang hendak,
engkau yang susah hendak pilih!
Jawatan engkau besar, gaji engkau besar, mana perempuan yang tidak hendak!
Cuma engkau sahaja yang belum mahu kahwin.
Sekitar yang disebutkan tadilah rata-rata perbualan umat Islam bila bertemu.
Jika ada orang menceritakan Tuhan, agama, bangsa, perjuangan,
ramai yang tercengang-cengang.
Mereka rasa pelik, mereka tidak tahu hendak ikut sama membualkannya,
mereka rasa asing.
Kalau begitu umat Islam memandang agama, bangsa, negara perkara kecil sahaja.
Agama kepunyaan ulama, bangsa dan negara ini urusan pemimpin negara.
Ia bukan persoalan orang biasa atau urusan rakyat jelata.
Oleh itu bagaimanakah agama hendak kuat, bangsa hendak dihormati,
negara hendak berdaulat.
Ia bukan merupakan tanggungjawab bersama, bukan kepunyaan bersama,
hanya untuk orang tertentu sahaja.
Begitulah nasib agama, bangsa dan negara di seluruh dunia Islam.
Sungguh malang dan menyedihkan.
Bilakah agaknya umat Islam bertanggungjawab, berjiwa besar dan bercita-cita besar serta berpandangan jauh?
 

REZEKI


AlMarhum Hamka berkata

Rezeki tu bukan bermakna kamu dapat apa kamu nak. Tapi bila kamu terima apa yang Tuhan anugerahkan.

Kamu belajar tentang Sirah. Tahu Mariam tak berkahwin tapi dapat anak. Itulah rezeki dia. 

Kamu tengok pula Sirah Aishah. Kahwin tapi tak dapat anak. Itu pun rezeki dia. 

Allah swt hantar Musa Alaihi Salam kerumah Firaun sebagai anak angkat untuk membawanya ke syurga. Tetapi tetap juga Firaun menjadi manusia paling celaka yang memilih neraka. 

Allah menghantar Nuh Alayhi Salam untuk menyelamatkan kaumnya tetapi anak isterinya sendiri derhaka dan enggan terima dakwah baginda. 

Pelajari lah sesuatu dari kisah kisah seperti itu. Sungguh. Kamu akan faham bahawa rezeki masing masing tidak sama. Semua ada pro dan kontranya! 

Orang yang ada suami, ada isteri, ada anak ni bermakna ada tanggungjawab juga. Mudah mendapat pahala. Tapi mudah juga mendapat dosa. 

Yang tak bertemu jodoh, yang tak dikurniakan zuriat pun satu rezeki juga. Rezeki terlepas dari tanggungjawab dan risiko nak menjawab dihadapan Allah swt nanti. 

Jadi, sebelum kamu terus mengeluh tentang itu ini, kamu kena faham dulu konsep rezeki. Ada, tak semestinya untung. Tak ada, tak semestinya rugi. 

Kamu dapat apa yang kamu nak, tak semestinya kamu boleh terus bergembira. Kamu tak dapat apa kamu nak, tak semestinya kamu tak boleh bahagia. 

Takdir Allah swt ni misteri sifatnya. Entah² airmata redha yang kamu titiskan dalam mengharung kecewa itulah yang menghanyutkan kamu ke syurga-Nya.

Justeru, Rezeki tu bukan bermakna kamu dapat apa kamu nak. Tetapi bila kamu terima apa yang Allah swt beri.

Kamu hanya akan bahagia kalau kamu terima dengan redha.

Moga bermanfaat

Sumber: Almarhum Prof. Dr. H. Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA), Mantan Ketua Majlis Ulama Indonesia / Ahli Falsafah Tersohor

Bahagia Itu di hati.

tergelincir ummat

Tergelincirnya Ummat;
"Diakhir hayat Rasulullah ﷺ, Beliau kurang tersenyum kerana termimpi akan adanya khinzir-khinzir yang menaiki Mimbar-mimbar. Ini adalah simbol kepada Ulama' Su.
Yang akan ramai jumlahnya di akhir Zaman ini. Ini yang menjadi penyelaras kepada ramainya pengikut kepada Ad-dajjal."

"Digelar sebagai ulama' su. Kerana orang Alim kalau tergelincir mulutnya satu kalam sahaja akan tergelincir semuanya. Yakni semua pengikutnya akan tergelincir. Berapa ramai yang berpegang kepada satu pandangan daripada orang 'Alim yang didakwa alim dizamannya? yang pada akhirnya berlaku sedemikian."

"Dengan tergelincirnya orang alim akan berlakunya pembunuhan, penodaan kehormatan, pentengkaran, pengkafiran, permusuhan kepada seseorang dan sebagainya. Zaman kita ini diakhir zaman, terdapat ramai yang akan terpedaya kepada fitnah Ini. "

"Bagi kita untuk mengenali Ulama Su' adalah apabila ia berkata-kata maka ramai akan berkelahi, umat akan berpecah belah dan saling bertelingkah. Orang alim itu kalau tergelincir mulutnya lisannya saja, satu alam boleh tergelincir yakni dengan pengikutnya sekali."

"Diakhir zaman, akan muncul golongan-golongan yang zahirnya memperjuangkan Islam, dengan membawa fahaman mereka, membawa panji Islam, membuat bangunan-bangunan nampak seperti memperjuangkan Islam tapi menyimpan hati yang busuk didalamnya."

"Mereka memerangi Ummat Islam, menghantar matlumat kepada Musuh-musuh Islam, dan membawa perbalahan dan bergaduh sesama islam. Diakhir zaman, ilmu-ilmu dan akal manusia akan dicabut oleh Allah ﷻ."

"Bukan dicabut itu dikatakan waras atau tidak tetapi mereka tidak menggunakan akal, bukan dikatakan mereka tidak beramal ataupun gila tetapi tidak digunakan dan diisi dengan ilmu. Dan Hati mereka menyimpan perasaan yang busuk."

"Dikatakan akal-akal orang waktu itu akan diambil dan dicabut oleh Allah ﷻ, maknanya ramai ulama meninggal dunia sehingga tersisa org yg mempunyai akal tetapi tidak diisi dengan ilmu tanpa mengenali haq dan batil, makruf dan yg mungkar dan yg mana jihad dan yg mana pembunuhan sesama orang islam."

"Apa yg menyebabkan mereka buta?
Kerana kejahilan. kerana hati mereka didalam kegelapan. Tiada perasaan kasih sayang. Perumpaannya seperti orang yang berjalan diwaktu malam."

"Nabi bersabda; "Akan datang suatu zaman nanti fitnah umpama malam yang mengelapkan. Yang dikatakan gelap itu
adalah gelapnya fitnah sehingga orang tidak dapat membezakan yg mana betul dan yg mana salah. Moga-moga Allah ﷻ memelihara kita daripada fitnah yang dahsyat ini."

 Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar al-Hamid.

MADAH baru 439



*706*
Di akhir zaman, cerdik pandai dan orang besar di kalangan wanita,
susah mendapat jodoh,
tidak seperti di kalangan kaum bapa,
makin pandai atau makin berjawatan besar,
makin mudah mendapat jodoh.  

*707*
Di antara perkara yang menyeksakan hidup di akhir zaman ialah,
negara cantik tetapi tidak ada kawan.
Hidup nafsi-nafsi,
ada masalah tanggung sendiri,
kalau mengadu sama ada tidak dipeduli atau akan jadi bahan perli atau caci. 

*708*
Di akhir zaman jarang orang jadi pemimpin kerana ada kekuatan sendiri.
Oleh itu untuk naik jadi pemimpin,
kena pijak tengkuk kawan atau
kena jatuhkan dulu kawan di dalam organisasi atau beli undi.
Maka dapatlah pemimpin yang tidak sejati. 

*709*
Di akhir zaman ini,
bersembahyang di rumah lebih baik daripada di masjid dan surau kerana di masjid dan di surau tidak ada disiplin diri.
Kalau kita cuba melakukan,
boleh timbul sakit hati.
Kalau begitu, lebih baik di rumah sendiri, dapat kita disiplinkan anak isteri. 

*710*
Di akhir zaman ini,
di zaman sains dan teknologi,
kaya makan sendiri,
susah tanggung sendiri,
kalau ada bencana alam atau accident,
manusia mengambil peluang mencuri.

Bumi Tuhan... Bersaksilah