Tegakkan Islam Dalam Diri Dahulu


Engkau ingin memperjuangkan Islam,
Perjuangkan Islam di dalam diri lebih dahulu
Engkau ingin didik orang, didiklah diri lebih dahulu
Engkau ingin menyampaikan risalah Islam?
Engkau hayati lebih dahulu
Kalau engkau merasa Islam itu satu kebenaran,
Tegakkanlah kebenaran di dalam diri lebih dahulu
Islamkanlah diri lebih dahulu sebelum meng-Islamkan orang
Kalau tidak begitu, nanti akan ditertawakan orang
Jika di dalam diri belum kelihatan Islamnya,
Mana boleh mempengaruhi orang lain untuk menerima Islam
Di dalam diri belum selesai,
Mana boleh meyakinkan orang untuk menerimanya
Pakailah Islam itu di dalam diri lebih dahulu
Orang akan melihatnya
Kalau indah dilihatnya,
Akan ramai pula yang akan memakainya
Islam bukan macam menjual barang
Apa yang kita jual tidak mesti kita pakai
Kita tidak memakai apa yang kita jual, orang tidak akan mempertikaikan
Tapi Islam adalah keyakinan, keindahan dan keselamatan
Tentulah kita dahulu yang mengamalkannya

Orang Yang Lemah Rasa BerTuhan


Watak semulajadi manusia, terutama perempuan,
kalau rasa bertuhan lemah, suka menunjuk-nunjuk
Kalau mukanya cantik, dia suka orang mengambil perhatian kepadanya
Jika dia berpakaian, dia suka orang melihatnya cantik dan menarik
Sekiranya suaranya sedap, dia ingin menarik perhatian orang dengan suaranya yang merdu
Begitulah juga jika seseorang itu petah bercakap
hendak sangat bercakap untuk orang memujinya
Jika dia sasa, tegap, berani, suka menceritakan keberanian dan kehandalannya
Sengaja dia cari-cari fasal bagaimana boleh menceritakan kehebatannya
Seterusnya di dalam pergaulan suka menceritakan kepandaian, kebolehan, keberaniannya
Hingga setengah orang untuk menarik perhatian orang, tidak segan-segan silu menceritakan di tempat kerjanya ramai perempuan atau laki-laki jatuh hati dengannya
Bahkan perangai manusia itu, di tengah ramai, apa sahaja kelebihan yang ada pada dirinya dia akan bercerita
Dia akan cari jalan bagaimana dia hendak promosikan dirinya
Sikap ini ada beberapa perkara  akan berlaku kalau kita perhati di dalam pergaulan
Sebenarnya yang mengambil perhatian itu sedikit sangat, yang ramai tidak peduli pun,
Kerana bukan kita seorang manusia
Orang lain manusia juga
Sikap menunjuk-nunjuk ini mengundang kebencian orang, orang meluat, 
Kalau orang benci apa untungnya?!
Perhatian orang pada seseorang hingga orang jatuh hati padanya
sekalipun orang itu tidak suka orang mengambil perhatian ialah akhlaknya
Orang jatuh hati dengan akhlak, 
Seperti tawadhuknya, kemesraannya, kasih sayang, timbang rasa, bertolak ansur, mahu berlebih kurang, pemaafnya, suka meminta maaf, perikemanusiaannya
Akhlak itulah orang jatuh hati, akhlak itulah orang senang hati, akhlak itulah orang perhati
Orang itu buruk pun tidak mengapa, akhlak itulah mencantikkannya
Pakaian tidak menarik pun tidak mengapa, tapi akhlak yang mulia itulah tarikan manusia
Kepercayaan orang adalah pada akhlaknya bukan selainnya
Akhlak adalah bunga diri, 
Tidak ada bunga diri, tidak ada perhatian manusia
Berakhlak mulialah sekalipun kita tidak hendak perhatian manusia,
Perhatian manusia sudah pasti ada

Kemuliaan Seorang Hamba

Kemuliaan seorang hamba di sisi Allah Taala ialah manakala dia dapat mengekalkan rasa kehambaannya
Rasa malu, rasa hina diri, rasa tidak sempurna, rasa tidak berguna
Tidak pernah memandang besar dengan amal ibadah dan kebaikannya
Bahkan dia lupakan sahaja
Tidak merasa dirinya baik, 
lebih-lebih lagi tidak merasa diri istimewa dan luar biasa
Dia merasa di dalam kesalahan dan dosa
Tidak pernah dia merasa dirinya mulia
Begitu juga kehinaan seorang hamba itu ialah apabila merasa diri mulia
Dia rasa orang istimewa dan luar biasa
Dia rasa baik, rasa pandai, rasa berjasa dan tidak berdosa
Rasa kehambaan sudah tidak ada atau hilang dari perasaannya
Dia rasa tuan, dia rasa perlu dihormati dan dibesar-besarkan
Kalau orang tidak hormat, sangat tersinggung perasaannya
Bahkan ke mana sahaja dia pergi memang minta dihormati
Jika tidak dihormati sakit hati
Jasa atau kebaikannya selalu sahaja dikenang, bahkan minta dikenang
Kejahatan dan kecuaiannya selalu sahaja dilupakan
Kebaikannya selalu sahaja diingatnya
Kelebihannya selalu sahaja minta dipuji
Kalau dipuji, wah, berbunga hatinya
Kalau dikeji atau dicaci, terseksa jiwanya
Hatinya sakit, benci kepada orang itu pun bermula
Jadi, kemuliaan seseorang itu bukan minta dimuliakan
Tapi merasa diri hina,
di situlah kemuliaan di sisi Tuhan

TUJUAN BERJUANG

Tujuan berjuang kerana hendak mengenalkanTuhan pencipta alam.
Agar Dia disanjung, dicintai, disembah dan dijadikan idola.
Selepas itu hendak kenalkan syariat-Nya untuk keselamatan manusia.
Agar manusia hidup bersatu, bekerjasama, harmoni dan bahagia.
Berjuang bukan kerana ekonomi, membangun dan berkemajuan.
Ia merupakan sampingan sahaja,kalau boleh dijadikan untuk Tuhan.

Berjuang mengajak manusia membesarkan Akhirat.
Mengingatkan manusia,Akhirat tempat akhir buat insan.
Di sana tempat kekal abadi.
Sama ada di Syurga mahupun di Neraka.
Itulah dia tugas-tugas para da’i, mubaligh-mubaligh dan ulama.
Mengajak manusia menyembah Tuhan.
Jalan dan caranya itulah syariat-Nya.

Jangan membesarkan Tuhan atau menyembah-Nyacara yang kita reka-reka.
Sekalipun yakin betul, tapi tersesat jalannya.
Ingin kepada Tuhan, jalannya telah dinyatakan dan dijelaskan.
Kalau jalannya mengikut cara sendiri,tidak sampai kepada-Nya.

Hari ini dakwah dan ceramah merata negara.
Mercup tumbuhnya macam cendawan tumbuhdi musim hujan.
Tapi isinya politik dan unsur-unsur yang membawa pergaduhan.
Tuhan tidak dikenalkan, jauh sekali untuk disanjung dan dibesarkan.
Ini bukan pendakwah tapi pendakyah.
Ia bukan fisabilillah.
Tapi jalan yang sudah tersalah.
Ini bukan hendak mencari redha Allah.
Tapi mencari bala dan dosa serta Neraka

Aduh! Malangnya Manusia


Anjing apabila diberi makan, dimanjakan, dibelai,
dibuat  baik, dia akan sayang tuannya
Sekalipun makanan itu hanya tulang-tulang,
sisa-sisa dan bahan-bahan lebihan
Dilahirkan kepadanya kasih sayang,
diusap-usap belakangnya, ia akan taat setia
Diajar dan dididik, ia akan mengikut arahan tuannya
Selepas itu ia tidak akan berpisah lagi dengan tuannya
Waktu di rumah ia jaga tuannya, waktu berjalan ia ikut tuannya
Begitulah anjing yang hina apabila kenal tuannya,
Ia tahu kasih tuannya, ia akan sayang dan taat kepada tuannya
Begitulah Tuhan sebagai tuan manusia,
Tuannya beri dia hirup udara, dia boleh hidup
Di waktu lapar diberi makan, di waktu haus diberi minum,di waktu letih ditidurkan
Tuhan Tuan bagi manusia, diberi bermacam-macam kemudahan hidup,
rumah, kenderaan, pakaian
Entah apa lagi belaian Tuhan kepada manusia
yang tidak dapat diucapkan
Tapi malangnya, manusia tidak kenal Tuhan sebagai Tuannya,
Dia lupa Tuannya, jauh sekalilah taat.
Kalau begitu kebanyakan manusia lebih jahat dan hina daripada anjing yang hina
Anjing apabila dibelai oleh tuannya, ia taat dan setia
Ia tidak mahu berpisah lagi dengan tuannya
Anjing lebih mengenang budi tuannya daripada manusia
Sepatutnya anjing yang tidak ada akal belajar dengan manusia
Ini terbalik pula, manusia kena belajar dengan anjing yang hina
Aduh malangnya manusia!
Tidak mengenang budi jasa Tuannya iaitu Tuhan
Anjing lebih mengenang budi jasa-jasa tuannya
Patutlah manusia ramai yang masuk Neraka,
Anjing selamat dari Neraka

Engkau Tidak Lihatkah Kuasa dan Kerja Tuhan?

Engkau tidak lihatkah kuasa Tuhan dan kerja-kerja-Nya
Setiap hari kita lihat, membaca dan mendengarnya
Sungguh menakut dan mengerikan
Orang-orang kaya, yang punya nama, tiba-tiba mati mengejut meninggalkan harta
Orang-orang kaya yang punya glamour, tiba-tiba muflis menjadi papa
Pemimpin-pemimpin yang ternama yang sedang membina nama,
Tiba-tiba dijatuhkan oleh rakyatnya
Seorang yang ternama dikagumi oleh dunia mati terhina
Gunung berapi meledak, gempa bumi menggoncang, air bah mengamuk
Tidak dapat dibendung oleh alat-alat sains teknologi yang canggih
Kapal terbang jatuh membunuh beratus-ratus penumpang,
Yang tidak mampu tenaga manusia membendungnya
Belum lagi manusia mati setiap hari akibat perang yang manusia bukan suka
Tapi tidak dapat menahan dan membendung daripada berlakunya peperangan yang memusnah
Hampir setiap bulan di dunia ada sahaja negara yang dipukul ribut
Memusnahkan dan merosakkan apa sahaja
Air bah yang mengganas memusnah, meruntuh dan membinasakan apa sahaja
Belum lagi soal-soal jenayah yang manusia tidak suka tapi terjadi
Eksiden dan pelanggaran kereta setiap hari membunuh dan merosakkan
Tanah runtuh dan berbagai-bagai lagi kejadian yang mengerikan terjadi,
Tidak mampu manusia mengelakkannya sekalipun mempunyai ilmu yang tinggi
Begitulah kuasa Tuhan dan kerja Tuhan di dunia ini
Tapi tidak ada manusia mengambil iktibar dan pengajaran
Tidak juga manusia itu kembali kepada Tuhan
Di Akhirat lebih lagi parah kena hukuman
Bagi mereka yang tidak sedar dan tidak rujuk kepada Tuhan,
Yang seksaannya lebih parah lagi,
Yang penderitaannya lebih sengsara lagi dan lebih hebat

syurga ibu dan wanita

Patutlah di tapak kaki EMAK ada syurga

Semasa hamil

- mual dari pagi sampai ke malam
- ada yang habis sakit belakang
- belum masuk cerita check up berkali kali
- kadang jadi moody sepanjang hari
- ada yang badan lemah longlai sampai 9 bulan 10 hari

Semasa melahirkan

- sakit sebelum beranak tu yang ramai tak tahu
- sakit kontraksi ni kadang boleh sampai berhari hari
- ada digunting jalan lahirnya (Episiotomy) 
- ada yang mengalami komplikasi sehingga perlu dioperasi
- belum lagi cerita tentang risiko kematian ketika melahirkan

Semasa berpantang

- tak semua lauk boleh dimakan
- tak ramai tahu kalau nak buang air punya lah sakit dan seksa
- belum masuk cerita nak kena jaga luka
- lagi teruk nak hadap si anak yang menyusu setiap masa
- sampai si emak yang masih belum pulih pun tak boleh nak rehat mana

Semasa menyusu

- tak ramai tahu menyusu ni 10% je melibatkan susu
- ianya 10% susu dan 90% komitmen
- tak ramai tahu sakitnya melecet sini sana
- tak ramai tahu lenguhnya belikat dan badan
- tak ramai tahu berapa jam je sehari si ibu boleh betul betul lelap mata

Semasa membesarkan kita

- dialah mekanik
- dialah driver
- dialah chef
- dialah home tutor
- dialah cleaner
- dialah peacemaker
- dialah entertainer
- dialah plumber
- dialah provider
- dialah teacher
- dialah segalanya

Emak ni umpama garam,
Kehadirannya tidak diingat,
Tetapi bila dia tiada,
Semuanya menjadi tiada rasa
Kosong

- Taufiq Razif -

kisah Presiden Turki


Presiden Turki, Erdogan berkata:

Ketika saya masih kecil, saya sangat ego (hagah), selalu mengambil yang terbaik untuk diri saya sendiri.

Perlahan-lahan, semua orang meninggalkan saya dan saya tidak punya ramai kawan.

Tidak terfikir itu salah saya tetapi saya mengkritik dan menyalahkan orang lain.

Ayah saya telah memberi saya 3 kalimat pengajaran dan beberapa pilihan untuk membantu saya dalam hidup.

Pada suatu hari, ayah masak 2 mangkuk mie dan letak atas meja, semangkuk ada telur dan 1 lagi tiada.

Ayah berkata, "Anakku, pilih, mangkuk mana yang kamu nak".

Untuk pengetahuan, masa itu telur susah dapat.
Hanya boleh makan telur semasa adanya Temasya Tahun Baru Islam. Pasti saya pilih yg ada telur.

Ketika makan, saya rasa cukup bijak kerana pilih yg ada telur, tapi saya terkejut melihat mangkuk ayah ada 2 telur dibawah mie.

Saya sangat menyesal, marah pada diri sendiri kerana telah salah pilih.

Ayah tersenyum dan berkata; "Anakku, kamu harus ingat, apa yg kamu lihat, mungkin tidak benar, jika kamu berhasrat ingin beruntung dari orang lain, kamu akan menemui kegagalan dan keciwa....

Keesokan harinya, ayah masak 2 mangkuk mie spt biasa, semangkuk ada telur di atasnya, semangkuk lagi tiada, kemudian suruh pilih.

Kali ini saya rasa bijak buat pilihan yg mana saya pilih yg tiada telur namun terkejut bila mendapati tiada 1 pun telur dibawahnya.

Ayah saya tersenyum faham dan berkata...
"Anakku, kamu tidak harus selalu bergantung pada pengalaman, kerana ianya boleh mengucar-kacir dan mengeciwakan hidupmu dan selalu tertipu. Tetapi kamu tidak boleh terlalu sugul dan bersedih. Ini merupakan pengajaran buat kamu. Kamu tidak akan dapat pengajaran seperti ini di sekolah hingga ke universiti.

Hari ketiga, ayah masak mie lagi, semangkuk ada 2 telur dan semangkuk lagi tiada dan suruh saya pilih.

Kali ini, saya suruh ayah pilih dulu kerana ayah adalah kepala keluarga yang pasti memilih yg ada telur dan saya ingin melepaskan mie yg ada telur kepada ayah, tidak mengapa saya dapat yg tiada telur. Ayah telah pilih yg ada telur.

Ketika makan saya menjangkakan pasti mangkuk saya tiada telur, tapi rupa2 ada 3 telur dibawah.

Ayah tersenyum faham riak muka saya dan berkata;
"Anakku, harus ingat, ketika kamu berniat memberikan yg terbaik kepada orang lain, kebaikkan itu akan kembali kepada kamu".
  
Saya selalu ingat 3 untaian kalimat nasihat ayah dan hidup saya selalu melakukan sesuai nasihatnya.

Dan... Alhamdulillah saya berjaya.

Sebab, jika ada iri hati/dendam dan mementingkan diri sendiri, di situ ada kekacauan dan semua jenis kejahatan.

CnP

#Stayathome

MENTAL MISKIN BERJIWA PENGEMIS


Seorang sahabat lama yang tinggal di Perth, Australia bercerita tentang pengalaman pertamanya:
 
Suatu petang, sesudah menikmati secangkir capucino di Gloria Jeans Café yang capucinonya paling sedap, kami singgah di kedai roti yang sudah hampir mahu tutup. Membeli sebatang roti kismis dan minta kepada si penjaga kedai roti, untuk dipotong, sebab bila sampai nanti di rumah senang dimakan.

Selesai dipotong dan dibungkus rapi, lalu diserahkan kepada saya. Langsung saya mengunjuk wang kertas 10 AUSSIE.
Tapi ditolak dengan senyum manis, sambil berkata
"It's free,  nothing to pay.” 

"Are you sure?” kata saya.

Gadis remaja yang bertugas menjual itu, menjelaskan, bahawa kalau kedai sudah hampir mahu ditutup, roti tidak boleh lagi dijual. 
Boleh diberikan kepada siapa yang mahu atau dihantarkan ke Second Hand Shop untuk orang yang memerlukan.

Agak tercengang juga saya mendengar penjelasannya..

Terbayang, kalau di Malaysia, wah boleh saja bankrap, kerana orang ramai bakal menunggu kedai tutup supaya dapat yang percuma.

Belum selesai cerita dengan si gadis, tiba-tiba datang sepasang suami isteri, yang juga mahu membeli roti. Rupanya tanpa saya sedari, mereka sudah mendengar percakapan kami. 
Kelihatan si suami adalah orang Australia, sementara isterinya orang Asia. 

Si isteri juga minta roti dari si gadis, tetapi di cegah oleh suaminya, sambil berkata,
 
"No darling, please. We have enough money to buy. Why do we have to pick up a free one?"

Kalau kita mampu beli, jangan ambil yang percuma. Let other people who need it more than us to take it."

Wahhhh.. saya rasa tersindir dan wajah saya panas… Ego saya melonjak ke muka, benar-benar tersindir dengan perkataannya itu. Dalam hati saya tergamam, ”Hmm.. saya ini dulu berniaga juga tau?”

Tapi, syukur cepat sedar diri, tidak sampai terucapkan. Kerana orang yang bercakap itu si suami kepada isterinya, masakan saya tiba-tiba menyampuk di tengah-tengah?

Hampir saja saya berbuat kesalahan. Kerana mereka tidak pun bercakap dengan saya… Kalau saya merasa tersindir, itu salah saya sendiri.

Hingga menjelang tidur, kata-kata si suami kepada isterinya masih terngiang-ngiang di telinga, 

"We have enough money to buy... why do we have to pick up a free one.
Kalau kita mampu beli, jangan ambil yang percuma."

Setelah saya renungkan, saya merasakan bahawa kata-kata itu benar..

Kalau semua orang yang punya duit, ikut sama dan dapatkan roti percuma, yang biasanya dihantarkan ke Second Hand Shop untuk dibahagi secara percuma, bermakna  orang yang sungguh-sungguh memerlukan bakal tidak dapat bahagian roti percuma.

Walaupun saya sesungguhnya mahu membayar, namun si gadis yang tidak mahu menerima wang saya.

Pelajaran hidup ini tidak mungkin akan saya lupakan.

*Kalau kita mampu beli. Jangan ambil yang percuma. Biarlah orang lain yang lebih memerlukan mendapatkannya.*

Satu sikap prihatin terhadap orang lain diterapkan dengan kesungguhan hati.

Kini saya baru tahu, kenapa di kelab, ada kopi percuma, tetapi jarang ada yang ambil, mereka lebih suka membeli. 
Bukan kerana segan, tetapi terlebih kerana rasa peduli mereka pada orang lain, yang mungkin lebih memerlukan.

Pelajaran yang sungguh-sungguh memberikan inspirasi bagi diri saya sendiri.

Tuhan sudah memberikan rezeki dan keberkatan yang cukup untuk kita, tidak perlu lagi kita mengambil bahagian berkat yang diperuntukkan bagi orang lain. 

Ketika kita mendengar ada program untuk membantu orang miskin, apa yang ada dalam benak kita?

Apakah kita akan ikut serta agar mendapat bahagian? 

Ataukah kita memaklumkan agar sahabat dan saudara kita dapat bahagian juga?

Atau kita ikut jadi pahlawan dengan mengajukan diri sebagai pendamping program, tetapi dalam fikiran kita tersimpan niat busuk untuk memperkayakan diri sendiri?

Sahabat, 

Kemiskinan bukan untuk dieksploitasi. 

Orang miskin dan kemiskinan adalah ladang amal. 

Keberadaan orang miskin adalah cara Tuhan untuk menguji sejauh mana pemedulian dan keimanan kita.  

Jangan mengaku beriman jika tetangga kanan kiri masih ada yang kelaparan.

Sudah sampai saatnya kita bangkit dan sedar,  tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah. 

Menjaga harga diri lebih baik daripada menjatuhkan kehormatan hanya demi sesuap nasi.

"Maka nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan?"

"Biasakanlah memberi makan kpd orang miskin."_

Semoga bermanafaat hendaknya.

Antara sebab mengapa dunia tak pernah sunyi dengan Keberadaan si miskin
1. Agar kewajipan zakat sentiasa relevan
2. Sebagai penyubur kepada hati manusia.

 Terima kasih duhai pengemis dan si miskin.

Yati Paradi

Cara Mendidik Anak-anak


Dari kecil lagi mendidik anak-anak itu hendaklah kenalkan Tuhan, mencintai dan menakuti-Nya
Dari kecil lagi jangan terlalu dibelai dan dimanjakan
Kalau memarahinya, jangan keterlaluan sampai hilang pertimbangan, jangan kerap pula dilakukan
Atau tidak pernah dimarahi, kejahatan dibiarkan berpanjangan
Sayangnya kita kepada anak itu jangan terlalu dinampakkan
Apa sahaja kehendak anak-anak ditunaikan tanpa dipersoalkan
Jangan dididik dengan duit keterlaluan dan berlebih-lebihan
Begitulah juga jangan pakaian berlebih-lebihan hingga pembaziran
Kalau sekadar yang diperlukan, itu tidak mengapa, bahkan itu adalah kewajipan
Sembahyang dari kecil lagi diajar dan disuruh  dirikan
Jangan setelah dewasa barulah hendak diperintahkan
Padahal sembahyang itu dari kecil lagi mesti dibiasakan
Supaya setelah dewasa ia telah mendarah mendaging, payah hendak ditinggalkan
Begitulah juga halal haram, pantang-larang Tuhan, dari kecil lagi diajarkan,
Minta mereka tinggalkan
Mana yang disuruh Tuhan, dari kecil lagi diajarkan dan diamalkan
Setelah dewasa, mereka mudah meneruskan kerana sudah kebiasaan
Dari kecil lagi pergaulan bebas dibataskan
Kalau hendak keluar rumah hendaklah dipersoalkan, balik ditanyakan mengapa lambat pulang hingga larut malam
Didik mereka memilih kawan yang beragama dan takutkan Tuhan
Silap pilih kawan, ia akan merosakkan
Latih dari kecil lagi memasak, mengemas rumah, cintakan ilmu dengan banyak membaca ilmu pengetahuan
Latih mereka hidup berdisiplin 
Ada time ibadah, ada time membaca, ada time makan, ada time rehat, ada time bermain ada time berjalan
Setelah dewasa kelak mereka akan menjadi bangsa yang ada disiplin hidup yang berkekalan
Disiplin itulah menjadikan bangsa itu beragama, rajin, maju, bersatu, rasa bersama bekerjasama dan berwibawa
Bangsa itu akan kuat, disegani dan dihormati serta diikuti
Latih dari kecil lagi makan bersama, sembahyang bersama, bekerjasama dan dengan jiran dihormati dan diperhati
Didik anak-anak selepas Subuh dan Asar jangan dibenarkan tidur kecuali perlu
Kerana ia akan melemahkan akal fikiran menjadi manusia pemalas
Dari kecil lagi didik hormati ibu bapa
Berkasih sayang dengan saudara-mara dan keluarga
Hubungkan silaturrahim dengan sanak saudara
Berkawan hendaklah setia, utamakan kawan dari diri kita

KISAH IMAM AHMAD, PENJUAL ROTI DAN ISTIGHFAR



Suatu ketika Imam Ahmad bin Hanbal pergi bermusafir lalu apabila malam menjelma beliau singgah di sebuah masjid dalam satu perkampungan bertujuan merehatkan badannya.

Namun penjaga masjid itu tidak mengenali Imam Ahmad. Penjaga masjid itu tidak membenarkan beliau berehat di masjid itu walaupun beberapa kali diminta dan dirayu oleh Imam Ahmad.

Imam Ahmad akur lalu beliau beredar dari masjid tersebut. Sampai di luar masjid Imam Ahmad bertembung dengan seorang penjual roti yg sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Si penjual roti menegur Imam Ahmad dan mereka berbual seketika. Setelah mengetahui kisah Imam Ahmad tidak dibenarkan berehat di masjid, penjual roti itu lantas mengajak dan mempelawa Imam Ahmad untuk bermalam di rumahnya.

Sampai sahaja di rumah si penjual roti melayan Imam Ahmad selayaknya sebagai seorang tetamu. Dihidangnya makan dan minum dan berbual seketika tanpa dia mengetahui bahawa tetamunya itu seorang imam yg hebat iaitu Imam Ahmad bin Hanbal. Selepas itu si penjual roti menunjukkan tempat tidur utk Imam Ahmad berehat dan dia pun meminta diri kerana perlu menyiapkan rotinya yg akan dijual keesokan hari.

Imam Ahmad memerhatikan sahaja si penjual roti yg berhati mulia itu melaksanakan pekerjaannya dari awal hingga dia siap membakar rotinya. Suatu perkara yang menarik perhatian Imam Ahmad, sepanjang melakukan pekerjaan membuat roti itu si penjual roti tidak putus melafazkan istighfar di bibirnya. Sementara tangan si penjual roti ligat membuat kerja, bibirnya pula dibasahkan dengan istighfar tanpa henti dan tanpa jemu.

Lantas Imam Ahmad bertanya kepada si penjual roti:
"Aku melihat engkau melaksanakan pekerjaanmu sambil melafazkan istighfar tanpa henti. Apakah sudah lama engkau mengamalkan yang sedemikian? Apakah pula hasilnya yg engkau dapat?"

Jawab si penjual roti:
"Itulah amalan ku (istighfar) telah sekian lama aku lakukan tanpa henti dan tanpa jemu."

"Dan faedah yg aku dapati daripada amalan ku itu, tiada satu pun doa yg aku pohon kepada Allah melainkan akan diperkenankan oleh-NYA. Melainkan satu sahaja hajat dan doa ku yg masih belum Allah berikan."

"Apakah hajat mu yg belum diperkenankan Allah itu?" tanya Imam Ahmad lagi.

Jawab si penjual roti:
"Aku sangat berhajat utk bertemu dengan imam yg hebat di zaman ini iaitu Imam Ahmad bin Hanbal."

Terkejut dan terkedu Imam Ahmad mendengar jawapan si penjual roti. Lantas beliau berkata: 
"Rupanya ini semua perancangan Allah yg sgt hebat. Saya tidak dibenarkan berehat di masjid kerana untuk datang ke sini demi memenuhi doa dan permintaan mu."

"Apakah maksud mu wahai tetamu aku muliakan?" tanya si penjual roti dgn penuh kehairanan.

"Akulah Imam Ahmad bin Hanbal yg kau doa dan pohon pada Allah utk bertemu." jawab Imam Ahmad dengan linangan air mata.

Subhanallah...

Rasulullah s.a.w bersabda yg bermaksud:

"Barangsiapa memperbanyak istighfar (mohon ampun kepada Allah), nescaya Allah menjadikan baginya pada setiap kesedihannya jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada kelapangan dan Allah akan memberinya rezeki (yang halal) dari arah yang tiada disangka-sangka.” 

(HR. Ahmad, Abu Dawud, dan Ibnu Majah)

PESAN DARI HABIB UMAR TENTANG HATI


"Ada manusia yang mana amalannya seperti gunung di dunia, akan tetapi di akhirat umpama debu yang berterbangan, kerana hatinya."

"Kedengkian sesama muslim itu adalah penyakit, jadilah kamu seorang da'i, yakni yang mengajak), dan bukannya seorang qadi, yakni yang menghukum. Semua para wali Allah itu, diangkat darjatnya, oleh Allah, karena hatinya yang bersih, tidak sombong, tidak dengki, dan selalu merendah diri."

"Sebagai tanda jika Allah Ta'ala ingin menutupi semua kejahatanmu, Maka Allah akan jadikan dirimu senang menutupi aib orang lain. Dan ketika Allah ingin membuka aibmu, Allah jadikan pula dirimu suka mencari-cari aib atau kekurangan orang lain."

"Semoga kita semua termasuk dalam golongan orang yang merendah diri, dan, tidak suka mencari cari aib atau kekurangan orang lain."

(Al Habib Umar bin Muhammad BenHafidz)

Mendidik Manusia Mesti Kaitkan Dengan Tuhan


Tidak pernah kita dengar orang berkata :
"Aku tidak mahu menipu kerana aku takut bangsa dan negara"
Atau ada hati kecil berkata: "Aku tidak mahu hasad dengki, 
Tidak mahu berdendam, mencuri, berzina
Dan lain-lain kejahatan kerana takut negara."
Atau ada kedengaran orang menberi nasihat seseorang:
"Buatlah baik jangan buat jahat.
Takutlah kepada bangsa dan negara!"
Yang selalu kita dengar atau hati kecil berkata "Aku tidak mahu buat jahat."
Atau "Aku hendak buat baik kerana Allah suruh kita."
"Tuhanlah suruh buat"
"Tuhan tidak suka"
"Tuhan akan masukkan neraka orang yang jahat"
Orang buat baik atau tidak mahu buat jahat ada kaitan dengan Tuhan
Rupanya buat baik atau tidak buat jahat, jarang orang kaitkan dengan bangsa dan negara
Cuma kalau orang buat baik kerana Allah, bangsa dan negaralah yang mendapat untungnya
Oleh itu kalau hendak mendidik manusia, kaitkan dengan Tuhan, 
Yang mendapat untung sudah tentulah bangsa dan negara
Hendak jadikan manusia baik dan tidak jahat, kenalkan Tuhan dan asuh manusia mencintai-Nya atau takutkan-Nya
Bukan ajak manusia cintakan bangsa atau negara
Cintakan bangsa dan negara adalah buah cinta Tuhan Allah
Kalau manusia baik dan manusia sudah tidak jahat kerana takutkan Tuhan,
Memanglah bangsa dan negara yang mendapat untung
Bangsa dan negara secara automatik maju, aman damai kerana orang takutkan Allah,
Bukan takutkan bangsa dan negara
Tapi apa yang terjadi sekarang, para pemimpin mendidik rakyat cintakan bangsa dan negara
Bangsa dan negara tidak dicintai, Tuhan pun bukan sahaja tidak dicintai, bahkan Tuhan pun dilupai
Cintakan Allah, membawa orang cintakan bangsa dan negara
Cintakan Allah, bangsa dan negara ,
Yang akan mendapat untung adalah bangsa dan negara maju, aman damai dan harmoni
Jadi cintakan Allah Tuhan semesta, adalah rahsia atau anak kunci orang cinta agama, bangsa dan negara     

Kisah silaturrahim

Kisah ahli neraka di Telaga Barhut
.
Kisah ini disebutkan oleh Imam Az-Zahabi di dalam kitab terkenalnya iaitu Al-Kaba'ir.  
Mari kita baca kisah tersebut di dalam kitab Al-Kaba'ir halaman 48-49.
Dan diriwayatkan bahawa ada seorang lelaki kaya telah pergi ke Baitullah Al-Haram untuk menunaikan ibadat Haji. Setelah tiba di Mekah, beliau telah menyimpankan wangnya sebanyak 1000 dinar kepada seorang lelaki yang soleh dan terkenal dengan sifat amanah. Kemudian lelaki kaya itu pun menuju ke ‘Arafah untuk berwuquf di sana.

Setelah selesai berwuquf di ‘Arafah (dan amalan-amalan Haji yang lain), beliau pun kembali ke Mekah (bertemu dengan lelaki yang diberi amanah untuk menyimpan wangnya dahulu) dan beliau mendapati lelaki yang menyimpan wangnya itu telah meninggal dunia. Beliau kemudian bertanya kepada ahli keluarga si mati tentang wang yang disimpan kepada si mati (lelaki itu). Kemudian ahli keluarga si mati menjawab bahawa mereka tidak mengetahui tentang wang simpanan tersebut yang diberikan kepada si mati.

Kemudian lelaki kaya itu mendatangi seorang Ulamak di Mekah dan memberitahu tentang keadannnya dan wangnya (yang telah disimpan kepada lelaki yang terkenal jujur dan amanah itu). Lalu Ulamak itu mengatakan: “ Apabila tiba pertengahan malam, pergilah ke telaga Zamzam dan lihat ke dalamnya, kemudian serulah nama si Fulan itu. Jika seandainya lelaki itu termasuk ahli Syurga, maka dia akan terus menjawab seruanmu.Maka pada waktu tengah larut malam, lelaki kaya itu pun pergi ke telaga Zamzam lalu memanggil nama lelaki itu. Sekali dan dua kali dan seterusnya namun tidak ada yang menjawab seruan tersebut.

Pada keesokannya harinya lelaki kaya itu datang menemui Ulamak Mekah itu dan menceritakan apa yang telah berlaku pada malam tadi. Mendengar cerita itu, Ulama itu pun terus mengucapkan “INNALILAHI WA INNA ILAIHI RAJI’UN, aku takut bahawa sahabatmu itu termasuk ahli Neraka. Pergilah engkau ke Yaman, di sana ada telaga yang bernama Barhut. Dikatak bahawa telaga itu adalah mulut Neraka Jahanam. Pergilah ke telaga tersebut pada tengah malam dan serulah nama si Fulan itu. Jika dia termasuk ahli Neraka, maka dia akan menjawab panggilan itu.
Maka pergilah si kaya itu menujuk ke Yaman, lalu bertanya kepada orang-orang di mana letakknya telaga tersebut. Kemudia beliau pun ditunjukkan di mana tempat letakkan telaga tersebut. Pada malamnya datanglah ia ke telaga Barhut itu lalu memanggil nama orang lelaki tersebut. Maka dengan serta merta orang itu menjawab. Lalu orang kaya itu pun bertanya, “Di mana engkau menyimpan wang dinarku?” Orang itu menjawab: “Aku telah menyimpanya pada suatu temapt di rumahku dan aku tidak percayakannya kepada sesiapa pun walaupun anakku sendiri. Sekarang pergilah engkau ke tempat sekian-sekian dan galilah ditempat itu nanti engkau akan menemui wang dinarmu itu di sana.”
Kemudian lelaki kaya itu bertanya pula,”Apa yang menyebabkan engkau berada di sini (padahal engkau orang yang baik) dan kami menyangka engkau orang yang baik?” Maka orang itu menjawab “Aku mempunyai seorang adik perempuan yang miskin. Aku tidak pedulikannya, tidak bertanya hal keadaannya serta tidak belas kasihan kepadanya. Maka oleh kerana itulah Allah telah menyeksa aku di sini dan menempatkan aku di Neraka Jahanam ini.”
____________________
Di akhir kalam beliau, Imam Az-Zahabi menyatakan dengan tegas:

"Bagi MEMBENARKAN cerita ini, tersebut di dalam hadis sabda Nabi ﷺ : 'Tidak akan masuk Syurga orang yang memutuskan hubungan silaturrahim."
......................
Hadis nabi mengenai telaga Barhut

Rasulullah SAW bersabda:
 أَنَّ فِيهَا أَرْوَاحَ الْكفَّار وَالْمـُنَافِقِينَ وَهِي بِئْرٌ عَادِيِةٌ قَدِيْمَةٌ عَمِيْقَةٌ فِي فَلَاةٍ وَوَادٍ مُظْلِمٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya pada telaga Barahut terdapat roh-roh orang kafir dan Munafiq, ia merupakan telaga yang berbahaya, dalam, lama pada tempat yang jauh dan wadi (lembah) yang gelap.” 
....
Diriwayatkan daripada Abu Bakar al-Najad daripada Ali Bin Abi Talib RA, katanya: 
خَيْرُ وَادِي النَّاسِ وَادَي مَكَّةَ، وَشَرُّ وَادِي النَّاسِ وَادِي الأَحْقَافِ، وَادٍ بِحَضْرَمَوْت يُقَالُ لَهُ: بَرَهُوْت فِيهِ أَرْوَاحُ الكُفَّار
ِMaksudnya: “Sebaik-baik lembah kepada manusia ialah lembah Mekah, dan seburuk-buruk lembah manusia ialah lembah Ahqaf, iaitu lembah di Hadramaut, dikatakan dengan nama Barahut di mana terdapat padanya ruh-ruh orang kafir.” [4]

Blog as- suhaime.blogspot.com

Dewasa atau Baligh


Di dalam ajaran Islam, manusia itu boleh jadi dewasa (baligh) paling cepat 9 tahun, paling lambat 15 tahun
Ertinya manusia boleh jadi dewasa sekitar 9-15 tahun
Maksud dewasa di sini bukan sahaja fizikalnya atau tubuh kasarnya
Bahkan keempat anasir di dalam badan dewasa sama, 
akalnya, nafsunya dan rohnya
Buktinya fizikal manusia setelah dewasa, sekalipun berumur 9 - 15 tahun,
jika dia berkahwin sudah ada nafsu dan boleh dapat anak
Akal ikut dewasa kalau mendapat pendidikan yang tepat
9 - 15 tahun sudah boleh menjadi alim dan orang yang bertanggungjawab
Bahkan boleh menjadi profesor atau doktor falsafah,
Boleh hafaz Al Quran, dan hafaz ribuan Hadis
Begitu juga nafsunya akan ikut dewasa jika dididik dengan betul dan tepat
Berumur 9 - 15 tahun seseorang boleh memiliki setidak-tidaknya mendapat nafsu mulhamah
Seterusnya roh manusia boleh dewasa mengikut tubuh kasarnya dewasa
Berumur 9 -15 tahun kalau cukup asuhannya, rohnya boleh menjadi bercahaya dan boleh mendapat hidayah 
Dan dapat firasat dari Tuhan dan boleh menjadi orang bertaqwa
Selama ini yang sangat dijaga jasad lahirnya sahaja, tiga anasir lagi tidak diendahkan
Ia diberi makan yang cukup, dijaga kesihatannya,
dijaga kesuburan pertumbuhan badannya
Maka badan lahirnya pun segera subur dan dewasa,
10 atau 12 tahun dia sudah baligh atau matang
Malangnya tiga anasir lagi dibiarkan tidak dididik,
Bahkan tidak dipedulikan, iaitu akal, nafsu dan rohnya
Oleh yang demikian, seseorang itu sudah tidak seimbang lagi di dalam dirinya
Di waktu badan kasar dewasa, badan halus atau rohaninya tidak dewasa,
Bahkan masih bersifat keanak-anakan
Akal, nafsu dan rohnya masih keanak-anakan
Badan kasarnya sudah boleh melahirkan anak dan boleh menjadi ibu dan bapa
Jasad lahirnya sudah boleh membuat tugas besar,
Jasad batinnya belum mampu bertugas besar dan penting
Akibat daripada sistem pendidikan yang tidak tepat dan tidak seimbang
Di samping para pendidik, ibu bapa, guru-guru, penjaganya tidak faham mengimbangkan empat anasir di dalam diri manusia
Maka terjadilah empat anasir di dalam diri manusia tidak serentak dewasa bersama tubuh kasarnya
Yang punya diri pun rugi, negara dan bangsa pun ikut rugi
Kerana manusia itu adalah aset negara dan bangsa

sangka baik

Kau baca status rakan-rakan di FB, tiba-tiba terjumpa,

"Sweet sangat. My hubby goreng karipap hari ni."

Kau cakap dalam hati, "Alahai, goreng karipap frozen pun nak kecoh. Aku masak beriani kambing relaks je. Beriani gam pula tu."

Kemudian jumpa lagi orang tulis,

"Tahniah anakku dapat nombor satu dalam periksa akhir tahun."

Hati kau bercakap lagi, "Eleh, anak aku bukan takat nombor satu, menang pertandingan peringkat ASEAN kot. Dahlah ketua pengawas, hafaz 30 juzuk al Quran, state player squasy. Tak ada pun kecoh dekat FB. Nak menunjuk pun agak-agak la."

Baca lagi ke bawah, ada suami orang tulis,

"Terima kasih isteriku jadi ibu yang penyayang kepada cahaya mata kita yang seorang ni."

Kau pun komen, "Anak aku ada 15 orang, isteri aku jaga steady je. Dahlah dia VP syarikat multinasional. Balik rumah uruskan rumah, layan aku semua elok. Tak ada pun sibuk nak cakap terima kasih di FB. Cakap dalam bilik sudahlah."
.
.
========
.
Bang, kak, kalau semua hidup orang ni kau nak ikut cara kau, memang semua kau akan komen negatif.

Kalau hidup kau sempurna, alhamdulillah. Orang lain tak semestinya sama macam kau. Nilai yang orang lain pandang pun berbeza. Di mata kau mungkin nampak remeh, tapi di sisi orang lain, ia satu perkara yang besar. 

Mungkin suami orang lain, jarang-jarang atau tak pernah ke dapur. Sekali suami tu masak pula, sudah tentulah isterinya melompat gembira walaupun yang dimasak cuma karipap frozen. Setakat campak dalam minyak panas saja kau kata.

Anak orang lain, mungkin dah bertahun-tahun cuba nak dapat nombor satu tapi tak dapat. Sentiasa kena buli dalam kelas, tak ada duit nak pergi tuisyen atau beli buku rujukan. 

Kau mana tahu dia punya kepayahan. Sekali dapat nombor satu, kau boleh bayang tak macam mana gembiranya mak ayah dia. Dia nak kongsi kegembiraan itu dengan kawan-kawan, tiba-tiba kau pula yang sakit hati.

Isteri orang pun kau tak tahu kesusahan yang dia hadapi macam mana. Mungkin isteri dia ada masalah dengan keluarga mertua, atau ipar duai. Mungkin isteri dia banyak  berkorban dan bersabar sepanjang perkahwinan

Baru sekali dua dia nak tulis penghargaan di media sosial, kau dah sangka buruk yang bukan-bukan. Mana kau tau dia tak cakap terima kasih dalam bilik ke, dekat dapur ke, waktu tengok TV ke?

Keadaan dan situasi orang tak sama dengan kita. Kita tak tau cerita-cerita orang di sebalik tabir. Yang kita nampak cuma apa yang ditulis. Dan daripada tulisan pendek itu pun, kau nak jatuhkan hukuman macam-macam.

Kalau nak buruk sangka, semua benda kau boleh jadikan modal. Orang tulis pasal nak pergi kerja pun nanti kau kata dia berlagak nak tunjuk konon ada pekerjaan hebat.

Hati kita ini, kalau kau biarkan hitam, memang takkan putih tiba-tiba. Kalau kau rasa orang itu ini berlagak dan sebagainya, kau unfollow saja. Itu lebih selamat untuk mengelakkan hati kau tambah berkarat.

Kemudian kau banyakkanlah didik hati itu supaya berbaik sangka dengan kawan-kawan sekeliling. Bersihkan hati dengan zikir dan mengingati Tuhan. 

Kalau kau tak boleh buat itu semua, lebih baik kau kurangkan penggunaan media sosial dalam hidup. Nanti kau pun tambah tertekan, habis semua orang kau nak balun.

Begitulah. Tenang-tenang saja. Jangan biarkan hati kau berfikir yang bukan-bukan.

#sangkabaik

Peringatan

Assaℓam’mualaikum Warahmatuℓℓahi Wabarakatuh. 

*Kepada sesiapa yg menerima viral ini bacalah .. kalau tak baca rugi sgt2*

Utk Shbt2... Jiran2... adik beradik... dan anak2 yg dikasehi....

PERINGATAN KEPADA DIRI YANG LUPA TERMASUKLAH SAYA

*Bacalah pesanan in dengan mata dan hati*

*Jahat atau baik kita..*
*solat jangan ditinggalkan.*
*Solat bukan sebab kita baik.*
*Solat sebab perintah Allah.*
*Solat kita adalah lambang kehidupan kita...*

*Solat lah ...Kerana Allah menjanjikan Rahmat, kebahagiaan, keberkatan hidup & rezeki...*

*NABI saw tidak kagum dgn pangkat & kekayaan manusia.*
*Jika tidak, sudah pasti gunung yg hendak ditukarkan kpd emas tidak ditolak oleh BAGINDA...*

*Orang bekerja seronok kalau dapat bonus. Itu masa hidup....*

*Kalau dah mati...*
*Dapat anak tak tinggal solat itu bonus..*
*Dapat anak yg pandai Al Quran itu bonus...*
*Sedekah masa hidup itu bonus...*
*Ilmu yg di kongsi itu bonus...*

*Sehebat mana pun kita...kita tetap akan mati....*
*Sehina mana pun kita...kita tetap akan mati...*
*Takut mcm mana pun dengan mati...tetap akan mati...*
*Berani mcm mana pun ...tetap akan mati*
*Sayang Macam mana pun kita dengan Kehidupan Ini...tetap akan mati...*
*Hakikat hidup di dunia Ini adalah kematian di akhirnya....*
*Mati itu pasti...*
*Sakaratul maut itu pasti...*
*Alam barzakh itu pasti...*
*Ingat mati ...*
*Renungkan Saat sendirian setelah mati. Lenyaplah sangkaan buruk kepada sesiapa pun....*
*Kita tak bawa segunung harta setelah mati.* 
*Kita tak bawa sijil tertinggi yg kita Ada.  Kita hanya mengharap Rahmat Allah Tuhan sekelian alam.....*

*Teruslah melangkah,*
   *selama engkau*
*di jalan yang baikk*

*Meski terkadang kebaikan*
   *tidak sentiasa dihargai*

*Jangan menjelaskan tentang*
  *dirimu kepada siapa pun*
*kerna yang menyukaimu tidak*
  *perlu tahu tentang semua*
*kebaikan yang kamu lakukan*

*Dan yang membencimu tidak*
  *percaya tentang kebaikan*
     *yang masih ada pada dirimu*

*Hidup bukan tentang siapa yang terbaikk*
  *tapi tentang siapa yang mahu berbuat baikk dan sentiasa memperbaiki diri*

*Hari ini dan semalam*
    *adalah hari yang berbeza*

*Pintu taubat sentiasa terbuka*
   *untuk hamba-hambaNya*

*KITA BUKAN SIAPA-SIAPA*
  *UNTUK MENILAI SIAPA-SIAPA*

*PADA AKHIRNYA SEMUA BERAKHIR  "SAMA..."*

*SAAT USIA 50- an.... "CANTIK DAN HODOH, SAMA SAJA..". (tak peduli seberapa cantiknya kamu,  di usia itu kedutan, darkspot, kulit kendur, tak boleh lagi terus kamu sembunyikan dengan gincu dan bedakmu...*

*SAAT USIA 60-an...  "PENDIDIKAN TINGGI DAN PENDIDIKAN RENDAH, KEDUDUKAN TINGGI DAN KEDUDUKAN RENDAH, SAMA SAJA..". (Setelah semua bersara, tak ada lagi boss atau bawahan..)*

*SAAT USIA 70- an... "RUMAH BESAR DAN RUMAH KECIL, SAMA SAJA..".(Tulang sendi, lutut dan kakimu sudah mulai longgar, semakin sulit untuk bergerak.. sekarang kamu cuma perlu ruang kecil untuk di-diami..  ).*

*SAAT USIA 80- an...(itupun kalau masih hidup)*
*(PUNYA DUIT DAN TIDAK PUNYA DUIT, SAMA SAJA.."*  *saat itu duitmu tak lagi boleh membeli steak yang enak lazat, gulai, rendang dan lain2 kerana tubuhmu tak lagi boleh dimasuki banyak makanan, lidahmu sudah tak punya rasa,*
*dan kamu tak berdaya lagi ke-tempat di mana kamu boleh menghabiskan duitmu).*

*SAAT USIA 90- an... "TIDUR DAN BANGUN, SAMA SAJA", (kerana setelah bangun, kamu tetap tidak tahu apa yang akan kamu lakukan )*

*SAAT AJALMU TIBA.... "KAYA DAN MISKIN,  SAMA SAJA".  Kamu hanya akan di-baluti kain kafan dan dimasukkan ke dalam tanah yang ukurannya sama, orang2 akan menangisi kamu kemudian melupakanmu, kerana mereka akan meneruskan kehidupan yang dipenuhi oleh persoalan hidup masing2.*

*Oleh kerana itu,  semasa hidup, _jangan terlalu tinggi hati_ atas apa yang kita MILIKI, kerana kita akan berakhir SAMA..   _JANGAN Terlalu Keras mencari duit sampai lupa amal ibadah bekal akhirat nanti_, kerana PADA AKHIRNYA  kamu tak memiliki APA2...*

" ...kecuali Amal Kebaikan Dan Ibadah.. 
Yang akan di bawa Di Akhir Cerita... "

Sharing is jariah #jompahala

KALAU KITA SEORANG PENDIDIK

Kalau kita sebagai pendidik,
Fikiran (akal) dan jiwa orang kenalah diambil kira
Cara orang berfikir secara umum kenalah tahu
Psikologi orang atau perasaan orang kenalah boleh dibaca secara rambang setidak-tidaknya dan diambil kira
Engkau mesti faham tentang nafsu dan tabiat nafsu
Mendidik orang bererti membangunkan insaniahnya
Mendidik orang fikirannya (akal), jiwa dan nafsunya adalah menjadi target
Soal fizikal perkara gampang, bahkan sampingan sahaja
Ketiga-tiga anggota manusia yang bersifat batiniah itu mendidiknya tidak sama
Mendidik akal ada caranya, mendidik jiwa ada caranya
Dan mendidik nafsu ada caranya pula
Mendidik akal memberi ilmu, maklumat dan pengalaman yang berguna dunia dan Akhiratnya
Disuburkan dengan cara mengkaji, berfikir, membaca serta mengamalkannya
Mendidik jiwa menanamkan keyakinan dengan Tuhan dan apa-apa sahaja yang diwajibkan percaya
Suburkan rasa bertuhan supaya lahir sifat kehambaan kerana manusia itu hamba
Setiap hamba mesti ada rasa bertuhan dan rasa kehambaan
Mendidik nafsu pula tunjukkan cara bermujahadah
Agar sifat-sifat mazmumah dibuang
Dan sifat-sifat mahmudah disuburkan
Tanamkan rasa bertuhan sangat membantu membuang mazmumah dan lahirnya sifat mahmudah
Adakah zaman sekarang ini pendidik-pendidik yang faham mendidik akal, jiwa dan nafsu insan?!
Itulah yang menjadi tanda tanya kita
Kalau kita kata tidak ada, ramai cerdik pandai yang sensitif
Yang berkecil hati dan tidak boleh menerimanya
Yang sebenarnya pemberi ilmu ramai, pendidik tidak ramai
Kerana itulah manusia sudah ramai yang rosak dan punah-ranah insaniahnya
Yang sangat menonjol yang dapat dilihat ialah kasih sayang sudah hilang
Maka seluruh manusia di dunia telah menderita dan kecewa

Hindari Perkara Yang Mematikan Hati


Pembunuh jiwa atau mematikan hati banyak perkaranya
Kenalah jaga bersungguh-sungguh jangan sampai menimpanya
Orang yang jiwa mati atau buta hati merosak manusia dan dunia
Bahkan perosak segala-galanya terutama agama
Di antara perkara pembunuh jiwa atau pembunuh hati
Mata tidak dikawal daripada dosa
Telinga juga suka mendengar perkara yang lucah dan tidak bersopan
Mendengar umpatan dan perkataan yang melalaikan
Hati suka mengkhayalkan kecantikan perempuan yang tidak halal
Di waktu keseorangan suka berangan-angan dan berkhayal-khayal
Apatah lagi makan minum yang syubhat dan tidak halal
Lebih-lebih lagilah membunuh jiwa atau mematikan hati atau menghitamkannya
Pergaulan bebas di antara laki-laki dan perempuan kenalah jaga
Kerana di sana boleh memberangsangkan nafsu haiwan kepada manusia
Dari rangsangan nafsu yang jahat merosakkan jiwa
Apabila jiwa rosak berbagai-bagai mazmumah akan menimpanya
Di waktu itu tidak mampu untuk mengkontrolnya
Lahirlah berbagai-bagai maksiat dan kemungkaran oleh manusia
Gejala masyarakat pun bermaharajalela
Punah-ranahlah pergaulan manusia
Di waktu itu hilanglah keamanan dan keharmonian di dalam masyarakat manusia
Maka menjadi balalah kepada kehidupan manusia
Di Akhirat masuk Neraka

Mari Kita Mengenal Nafsu


 
Nafsu itu sangat jahatnya, begitulah Tuhan memberitahu
Di dalam Al Quran ada diceritakan untuk ingatan
Nafsu sifatnya dungu, melulu
Kehendaknya tidak bertepi, apa sahaja dia mahu
Halal atau haram dia tidak peduli, yang penting apa sahaja perlu dimiliki
Kemahuannya sangat dahsyat, hebat hingga menjadi sesat
Kehendaknya hingga badan penat, dia tidak penat
Badanlah yang terima risikonya akibat kehendak-kehendaknya
Tuntutan kemahuannya mudharat dan memudharatkan, rosak dan merosakkan
Masyarakat huru-hara dibuatnya, manusia pecah-belah kerananya,
Peperangan terjadi disebabkannya
Kehendak nafsu tidak pernah puas-puas
Dapat sedikit hendak banyak,
Setelah banyak, yang dapat terasa sedikit
Hendak tambah lagi, hendak banyak lagi, cari lagi, hingga badan letih dibuatnya
Tamak pun datang, bakhil pun menjelang
Jika tidak dapat, dia melukakan hati, 
Jika dapat, dia membungakan hati
Hati pula rosak dibuatnya
Dapat menjadi bangga, tidak dapat kecewa pula
Hati raja diri pun menjadi pengkhianat kepada Tuhannya, derhaka kepada Penciptanya
Nafsu punya angkara, akal fikiran manusia pula dirosaknya
Cerdik pandai pula dibodohnya, bahkan ditipunya
Manusia berfikir kehendak nafsunya yang melulu, tanpa memikirkan akibat buruknya
Hingga cerdik pandai berfikir sudah tidak normal lagi
Dungu di dalam cerdik, gila di dalam siuman, bodoh di dalam pandai
Mereka yang telah dikudakan oleh nafsu itulah yang memikirkan kehidupan manusia
Bila manusia hidup di dalam ketakutan, mereka juga yang hendak memikirkan manusia yang telah rosak itu
Maka lahirlah kerosakan di dalam kerosakan
Dunia bertambah parah, untuk membaikinya bertambah bingung dan susah
Maka jalan keluarnya tangkapan demi tangkapan, hukuman demi hukuman,
Penjara sesak dibuatnya
Yang masyarakat ikut nafsu, yang jahat ikut nafsu, yang kena tangkap ikut nafsu
Yang membuat undang-undang ikut nafsu, yang menghukum ikut nafsu, 
Apa sudah jadi?
Yang jadi dunia sudah dikuasai oleh nafsu
Dunia telah lesu  
Dunia sudah jadi neraka sebelum Neraka
Kehidupan di dunia hari ini sudah tidak ada erti apa-apa lagi
Manusia terancam oleh nafsunya sendiri

Bumi Tuhan... Bersaksilah